30 October 2011

Kepada Prof Aziz Bari, saya doakan saudara selalu.

Prof Aziz Bari telah menerima surat dengan berisi peluru pada pukul 11.45 pagi semalam dan ini merupakan satu lagi usaha untuk menekan masyarakat yang berfikir. Nampaknya sekarang hanya satu sahaja cara untuk kita hidup aman di negara ini; iaitu dengan mendiamkan diri sahaja dan tidak memberikan tentangan tentang pandangan kuning masyarakat kita khususnya mereka yang bersama pihak berkuasa.

Jika ada telinga hanya dengar sahaja dan jika ada mata hanya tengok sahaja. Jangan bercakap benda yang benar. Tugas kita hanya menganggok seperti burung balam sahaja walaupun yang kita dengar itu adalah perkara bodoh dan sumbang untuk negara. Jika kita telah bersekolah tinggi jangan gunakan ilmu itu kerana yang penting kita di minta mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh pihak yang sedang berkuasa.

Yang boleh menelanjangkan Raja-Raja Melayu hanyalah UMNO. Orang lain nak bercakap benar dan tidak pun menderhaka kepada raja akan diambil tindakan seperti Aziz Bari. Dulu UMNO kata kita tidak perlu Raja kerana raja-raja ini hanya memeningkan kepala rakyat kononnya. Kita boleh baca semua kenyataan pemimpin UMNO semasa krisis perlembagaan 1993 dahulu. Saya dah sebut isu ini puluhan kali dan tidak bercadang untuk mengulanginya lagi.

Apabila terdesak UMNO menggunakan raja-raja Melayu untuk berlindung dari pengaruh pembangkang yang kian hari kian bertambah. UMNO cuba memisahkan pembangkang dengan raja-raja sedangkan DAP, PAS dan yang lain tidak pernah membuat tekanan terhadap raja-raja. Sekarang UMNO sudah menjadi parti yang pengecut; terpaksa berlindung macam kucing di celah ketiak raja-raja Melayu yang pernah mereka hina dahulu.

Apabila kerajaan Selangor ingin meminda perlembagaan negeri untuk memberi kuasa kepada Tuanku Sultan dalam memilih Setiusaha Kerajaan Negeri UMNO pula yang menyanggah dan tidak mahu memberikan kuasa itu kepada Sultan Selangor seperti yang di peruntukan kepada Sultan Selangor sebelum krisis perlembagaan 1993 dahulu.

Sekarang pula bila ada seorang prof undang-undang dan pakar dalam isu perlembagaan UMNO marah-marah pula dan menggantung tugas Prof itu. Hari ini prof itu menerima pula surat berisi peluru yang datangnya dari orang yang tidak gemar dengan tindakan prof itu. Saya tidak menuduh UMNO yang menghantar peluru itu kerana nanti kena saman pula kita. Tetapi yang jelas ianya datang dari pihak yang bermain politik kotor yang tidak bersetuju dengan pandangan yang berbeza. Pihak berkuasa amat takut dengan pengaruh Aziz Bari yang kian bercambah di kalangan rakyat yang sudah pandai berfikir.

Yang menentang pandangan Aziz Bari ini hanyalah mereka yang bermain politik dan tidak tahu pun tentang undang-undang jauh sekali untuk memberikan tafsiran undang-undang dari sudut moral demokrasi yang kita kononnya anuti itu. Dengan isu ini kita telah nampak yang UMNO sudah terdesak dan terasak ke dinding. Maka UMNO terpaksa menjadi ‘aggressive’ dan melakukan tindakan provokatif pula.

Kepada Prof Aziz Bari saya hanya memohon supaya bersabar dan melalui dugaan ini dengan penuh keimanan. Walaupun beliau seorang Professor yang hebat tidak salah jika saya yang tidak mempunyai kepandaian seperti beliau untuk memberikan nasihat dan sokongan moral kepada beliau.

Kita mesti akui yang orang yang bersabar akan akhirnya berjaya dan sesiapa yang melakukan apa-apa tindakan dengan niat serong akan akhirnya gagal juga. Itu adalah hakikat yang benar dan real.

Ratusan ribu malahan jutaan rakyat secara moralnya berada dibelakang Prof Aziz dan sentiasa mendoakan beliau agar berada di dalam sepenuh keredhoan Tuhan Maha Esa. Prof Aziz mesti akui yang berkata benar diakhir zaman ini memang susah. Tetapi niat dan hajat yang baik akhirnya akan di redhoi Tuhan juga.

Biarkan sahaja apa yang akan diperkatakan terhadap saudara tetapi jika saudara tetap dengan niat dan pendirian yang baik saudara akan berjaya akhirnya. Kata alim ulamak yang muktabar, jalan ke syurga itu penuh dengan duri dan onak, tetapi sebaliknya jalan ke neraka itu penuh dengan roti dan keju yang lazat-lazat.

Bagi saya yang tidak dapat berbuat apa-apa ini, hanya meningkatkan doa untuk saudara ketingkat yang lebih tinggi lagi. Orang ramai percaya kata-kata saudara itu merupakan menifestasi rakyat yang inginkan sebuah kerajaan yang berlandaskan ‘rule of law’, beretika, demokrasi yang luhur, tidak rasuah dan menyalah gunakan kuasa serta pimpinan yang ‘magnanimous’ dan menghormati pandangan rakyat yang setia kepada negara dan bangsanya.

Tindakan saudara membuat lapuran polis di atas surat yang mengandungi peluru itu adalah wajar dan diharapkan pihak yang berwajib akan membuat siasatan yang adil dan bijaksana.

Saya terus mendoakan saudara dan hadapilah isu ini dengan tabah. Insyaallah saudara akan berjaya melepasi dugaan ini.

27 October 2011

Slogan baru rakyat - ABU! (anything but UMNO) atau (asalkan bukan UMNO)

Perkasa dan Ibrahim Ali begitu kecewa dengan kehadziran yang begitu kecil semasa Himpunan Sejuta umat di Stadium Shah Alam beberapa hari yang lepas. Hanya 5000 orang sahaja yang datang untuk menghadziri perhimpunan itu. Pada awalnya adalah dijangkakan seramai ratusan ribu orang Melayu Islam akan hadzir tetapi jelas walaupun dengan publisiti yang begitu meluas hanya 5000 orang sahaja yang hadzir.

Tetapi kawan rapat saya memberi komen sinis yang jika himpunan itu hendak bercakap kepada 1 juta umat maka pengelola perhimpunan itu terpaksa mengadakan 200 kali perhimpunan seperti itu untuk menyukupkan jumlah 1 juta itu.

Satu hakikat yang sangat jelas ialah jika apa-apa perhimpunan itu di anjurkan oleh kumpulan yang ada kaitan dengan parti pemerintah begitulah keadaan sambutannya. Persepsi rakyat begitu rendah terhadap parti pemerintah dan kedatangan seramai 5000 orang dari seluruh negara itu sudah boleh di anggap berjaya jika di bandingkan dengan persepsi rendah orang ramai terhadap pemerintah.

Ramai dari rakan-rakan yang saya temui beberapa hari sebelum perhimpunan itu diadakan meramalkan yang kedatangan dan sambutan terhadap perhimpunan itu adalah rendah. Masing-masing memberi sebab masing-masing dengan andaian masing-masing.

Tetapi yang pasti himpunan 1 juta umat itu adalah perhimpunan yang dipengaruhi oleh politik dan di sabitkan pula dengan penglibatan parti-parti dalam BN walaupun penganjurnya adalah di atas nama NGO. PAS dan parti-parti lain memang tidak terlibat dengan perhimpunan itu. Yang mampu membawa keluar ramai umat ialah parti-parti dari PR dan tidak ada mana-mana perhimpunan anjuran BN atau kumpulan yang bersimpati dengan BN itu berjaya mengumpulkan umat yang ramai.

Isu tuduhan BN terhadapa kristian yang berusaha memurtadkan orang Islam itu (jika benar pun) tidak mungkin boleh di selesaikan dengan perhimpunan seperti itu. Jika kita sayangkan agama kita orang Islam mesti di hormati dan untuk mendapatkan penghormatan itu hanyalah dengan menunjukan kita sebagai seorang Islam yang baik lebih-lebih lagi kepada pemimpin-pemimpin yang beragama Islam.

Menjadi pemimpin bukannya satu kerja mudah. Pemimpin mesti menunjukan kewibawaan yang tinggi dan jika di pandang dari sudut keagamaan pemimpin-pemimpin kita harus menunjukan yang mereka betul-betul menghormati dan menjunjung agama kita dengan tahap yang sewajarnya.

Kita terlalu obses bercakap pasal Islam tetapi rakyat nampak jelas pemimpin kerajaan sendiri melanggar Islam dengan tidak merasa malu dan silu. Melakukan rasuah adalah bertentangan dengan Islam dan Islam menyamakan perasuah itu sebagai orang yang memakan daging saudaranya sendiri. Bagaimana sebuah kerajaan yang menjadikan Islam sebagai modal politik sedangkan apa-apa yang dilakukan itu semuanya bertentangan dengan kehendak Islam.

Dalam lapuran Ketua Audit negara yang baru dikeluarkan itu nampak jelas tidak ada Islamnya lagi. Barang yang berharga RM 400 dibeli oleh jabatan-jabatan yang terlibat dengan harga lebih dari seribu ringgit.

Pembelian alat keperluan angkatan tentera yang Def Tech boleh bekalkan dengan harga RM450 juta dibekalkan dengan harga lebih dari RM5 billion. Dimana Islamnya dan dimana amanahnya sebagai pemimpin yang beragama Islam. Apa semuanya ini?

Apabila rakyat yang terdesak pergi meminta bantuan dari pihak gereja walaupun tidak ada bukti mereka dimurtadkan maka semua mereka (kerajaan) mempolitikannya dan mengadakan perhimpunan sejuta umat pula.

Rakyat ramai yang terdesak kehidupannya tetapi mereka mendengar pemimpin-pemimpin melakukan kerja yang menyakitkan hati mereka. Mereka mendengar isteri-isteri pemimpin melalui TV memakai emas berlian berkarat-karat beratnya. Tas tangan kepunyaan setengah isteri- isteri pemimpin kita berharga ratusan ribu ringgit bagi satu beg tangan itu.

Kalau dikaji latar belakangnya bukannya datang dari keluarga yang kaya-raya pun. Mereka semuanya datang dari taraf sosial yang tidak jauh bezanya dengan kita semua ini. Sikap menunjuk-nunjuk ini selalunya dilakukan oleh mereka yang berlatar belakangkan mereka yang baru jumpa ‘dunia’. Mereka tidak senang hidup jika orang ramai tidak tahu yang mereka sekarang adalah isteri pemimpin yang kaya raya.

Orang tua-tua dahulu ada berkata, ‘kalau orang berdarah raja itu jika menjadi tukang sapu sampah atau jadi tukang cat sekali pun, ia tetap raja, tetapi jika si sengkek diletakan mahkota di kepala mereka sekali pun, mereka tetap sengkek’.

Rakyat yang terdesak kehidupan mereka tidak dapat menyelesaikan masalah mereka dengan ‘one-off payment’ sebanyak RM 500 yang diumumkan oleh PM baru-baru ini. Kalau pemimpin kita tidak cukup dengan gaji yang besar sehingga melakukan rasuah bagaimana rakyat hendak hidup dengan bantuan RM500 itu? RM500 itu sebenarnya tidak cukup pun untuk membiayai makanan kucing orang-orang kaya dalam kerajaan pada hari ini.

Rungutan ini memang sudah lama tetapi keadaan masih tidak nampak akan berubah. Jika rakyat mengambil keputusan untuk mencari penyelesaian dengan mencuba memberikan mandate kepada parti-parti lain untuk mentadbir negara itu merupakan satu tindakan yang tidak boleh disalahkan. Ini negara demokrasi bukan?

Lagi pun tidak ada dosa atau kesalahan untuk sesiapa memberikan sokongan kepada pihak lain jika mereka tidak berpuas hati dengan pimpinan yang telah diberikan mandat selama lebih dari 5 dekad ini. Kuasa itu adalah kuasa rakyat bukannya kuasa mereka yang sedang memerintah itu.

Ibrahim Ali semasa ucapan penutup perwakilan Perkasa baru-baru ini telah bertanya, dimanakah perginya orang-orang Melayu dan Islam kerana tidak memberikan sambutan kepada himpunan 1 juta umat itu walaupun tujuannya ialah untuk perjuangan Islam dalam mempertahankan orang Islam dari dipengaruhi oleh kristian dengan tujuan memurtadkan orang-orang yang beragama Islam.

Jawapannya mudah: orang ramai tahu tujuan dan matlamat perhimpunan itu di adakan bermotifkan politik pihak berkuasa. Rakyat tahu himpunan itu bukannya kerana Islam. Rakyat tidak lagi mudah dipengaruhi oleh politik desperate pihak tertentu dan membuang masa sahaja.

Pihak yang menganjurkannya mempunyai matlamat tersirat yang lain dari matlamat untuk perjuangan agama suci Islam itu. Rakyat sudah tidak lagi mahu diperkotak katikan seperti dahulu lagi.

Enough is enough. Sekarang rata-rata orang berkata, ABU! (Anything but UMNO). Semuanya ini bukan salah sesiapa. Itu semua berlaku kerana salah laku perbuatan dan pemikiran UMNO itu sendiri.

26 October 2011

Aziz Bari akan di tuduh? - Ada orang lain yang patut di tuduh dahulu lagi.

Prof Aziz Bari mungkin akan di tuduh di Mahkamah dan Polis telah pun melengkapkan siasatan keatas Prof yang controversial itu. Mengikut berita yang kita terima pihak polis telah mengambil gambar rumah beliau dan semalan pihak Polis telah mengambil gambar pejabat beliau serta computer riba Prof itu. Jika beliau dituduh maka teranglah sudah yang kita berada di sebuah negara yang menyamai sebuah negara ‘autocratic’.

Semuanya ini adalah hasil dari komen beliau tentang kenyataan ke bawah duli Tuanku Sultan Selangor berhubung dengan isu agama yang juga merupakan isu controversial sejak kebelakangan ini. Ahli-ahli Parlimen BN telah mendesak supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Prof Aziz kerana pandangan yang berbeza tentang isu kenyataan Sultan Selangor.

Jika benar dengan apa yang di katakan oleh peguam Prof Aziz yang ahli akademik tersohor ini akan di tuduh di mahkamah dan ini merupakan satu tindakan yang patut di tentang habis-habisan semata-mata bagi mempertahankan kebebasan membincangkan isu yang akademik ini.

Jika benar Aziz Bari akan di tuduh maka ‘conclusive’lah pandangan setengah pihak yang BN tidak tahan dengan pandangan yang berbeza walaupun ianya hanya merupakan pandang dari sudut akademik semata-mata.

UMNO memainkan isu derhaka kepada Raja untuk menyekat ahli akademik untuk memberikan pandangan. Sebagaimana yang saya nyatakan beberapa hari yang lepas, yang patut di hadapkan ke mahkamah ialah Dr Mahathir Mohammed yang telah menghina Raja-Raja secara terus pada tahun 1993 dahulu.

Jika Aziz Bari di kenakan tuduhan tetapi tidak pula mengenakan tuduhan kepada pemimpin utama UMNO Dr Mahathir serta pangampu-pengampunya dahulu maka jelas tindak terpilih yang di lakukan oleh pihak pemerintah ini adalah keterlaluan. Bagaimana pemimpin kerajaan dan parti begitu kebal dari sebarang tindakan walaupun tindakan mereka adalah keterlaluan?

Kenapa undang-undang hanya untuk setangah pihak dan tidak untuk pihak yang lain yang telah melakukan kesalahan yang lebih serius lagi? Kenapa ada dua set undang-undang? UMNO dan pemimpinnya wajar memberikan jawapan kepada persoalan yang sangat besar implikasinya terhadap kestabilan politik negara.

Isu ini merupakan satu isu yang akan mendapat perhatian meluas dari rakyat dan ianya tidak akan dapat mengelakan masyarakat mempolimikannya. Ia juga mendapat perhatian masyarakat antarabangsa justru itu isu ini telah membayangkan betapa tidak ‘magnanimous’ nya kerajaan dalam menghadapi krisis intelektual yang pimpinan kita sedang hadapi.

Keadaan ini memang tidak boleh dibiarkan berlanjutan. Rakyat khususnya masyarakat akademik dan mahasiswa wajar mengambil langkah tegas untuk mempastikan perkara seperti ini tidak berulang di mana-mana menara gading di tanah air. Tindakan ini adalah tindakan pengecut dan ianya adalah satu tindakan politik yang menindas.

Penindasan pemikiran ini merupakan satu indikasi jelas pihak berkuasa menggunakan undang-undang dan perlembagaan secara salah semata-mata untuk mengekang pandangan rakyat tidak bersetuju dengan pihak kerajaan. Isu seperti ini membentuk kecenderungan rakyat akan berpecah belah kerana melakukan interpretasi terhadap perlembagaan mengikut ‘expediency’ pihak yang berkuasa.

Tindakan UIA ini telah memalitkan BN dan di dalam negara sedang menanti PRU ini ianya merupakan saat dan waktu yang sangat sesuai untuk menolak pemerintah yang berat sebelah dan kurang ‘magnanimity’ ini.

Secara peribadi saya memandang isu ini sebagai isu yang boleh membantu BN menghadapi jalan sukar untuk mendapat sokongan dari pihak rakyat yang ramai ini.

Lepas satu, satu isu yang dicipta oleh pihak berkuasa untuk memisahkan rakyat dari kerajaan yang sedang memerintah. Asalakan sahaja BN tidak menyalahkan orang lain, BN bebas untuk berbuat apa yang mereka suka.

24 October 2011

Muhyiddin dalam kebimbangan. - Tak boleh salahkan beliau.

Tan Sri Muhyiddin berkata beliau bimbang dengan berbalahan yang berlaku dalam komponen BN yang berlaku pada hari ini. Apa yang dimaksudkan oleh Timbalan Pengerusi BN itu ialah masalah ‘intra-party’ dalam komponen itu nampak serius sedangkan pilihanraya sudah hampir tiba.

Tan Lian Ho Ketua Wanita Gerakkan telah meminta supaya Koh Tsu Koon untuk memperbaiki kepimpinannya dan jika Koh tidak berkemampuan Tan Lian Ho supaya menarik diri dari kepimpinan Gerakkan. MCA pula menghadapi masalah kerana ramai dari penyokong MCA itu adalah penyokong kepada Ong Tee Kiat dan beliau telah menyatakan secara terbuka bahawa CSL merupakan seorang calun yang tidak ‘winnable’.

Semuanya ini merupakan barah-barah yang ada di alam parti-parti komponen BN dan keadaan ini jika tidak dikawal, Muhyiddin beranggapan isu ini akan menjejaskan prestasi BN dalam PRU nanti. Masalah ini bukan sahaja berlaku di dalam 6 komponen parti-parti BN terbesar di Semenanjung ini tetapi merupakan satu isu besar di dalam parti-parti dalam BN keseluruhannya.

UMNO memang menghadapi masalah ini dimana-mana. Kepimpinan UMNO di bahagian-bahagian kebanyakannya menghadapi masalah calun kerana kepimpinan bahagian-bahagian dalam UMNO itu tidak semestinya diterima oleh masyarakat ramai untuk mewakili mereka di dalam dewan-dewan legislatif di negeri-negeri masing-masing tetapi juga di dalam dewan Parlimen.

Itulah sebabnya Najib berkata UMNO akan turunkan hanya calun boleh menang dan tidak semestinya dari kalangan kepimpinan bahagian. Tetapi jika calun yang di anggap boleh menang bukan di kalangan pemimpin bahagian yang dipilih oleh bahagian maka calun yang di anggap boleh menang itu tidak akan menang kerana jentera parti dalam pilihanraya itu datangnya dari bahagian.

Di mana-mana kita pergi kita akan mendengar rungutan dalam isu calun ini. Ada yang menyatakan kepada saya yang mereka tidak tahan lagi dengan berbagai-bagai kenyataan kepimpinan yang mengguris hati mereka di peringkat bahagian. “Habis kita nak jadi apa bang?” seorang yang berjawatan besar bahagian dari Perak mengadu kepada saya.

“Kalau gitu biarlah pembangkang sahaja yang mentadbir Perak kerana pentadbiran pimpin BN Perak hari ini pun bukannya ‘legitimate’ pun” sambungnya lagi. Saya hanya menjawab, “Nasib you all lah! Masalah ini sudah lama. Tetapi baru sekarang nampak jelas. UMNO sudah terabai sejak 30 tahun lalu lagi. Sekarang sudah payah nak betulkan”

“Kat NS macam mana abang nampak?” tanyanya lagi. Saya jawab, “tak tau. Abang tak tau. Yang abang tahu the war-lords are fighting each other. Sudah jadi kanser, the cells are killing each other. All good cells are destroyed. I think they need chemotherapy. Lain-lain abang tak tau”.

Keadaan ini kita dengar di mana-mana, dari utara ke selatan, dari timur ke barat. Itu masalah ‘intra-party’, belum lagi di pandang dari sudut ‘inter-party’. Masalah yang paling besar ialah perhubungan di antara parti-parti dalam BN itu tidak sebaik dahulu. Ahli-ahli UMNO masih terluka dengan kenyataan MCA dan Gerakkan yang menyalahkan UMNO kerana kekalahan banyak kerusi dalam pilihanraya yang lalu sehingga tidak dapat mengekalkan majoriti dua par tiga kerusi di dewan parlimen serta di beberapa buah negeri yang di menangi oleh BN.

Selain dari itu lima negeri telah jatuh ketangan PR dan hampir kesemua kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan telah jatuh ke tangan pembangkang. Rakyat sudah biasa dan tidak lagi kekok untuk menyokong pembangkang kerana pembangkang telah terbukti sentiasa berkembang pengaruh mereka di mana-mana.

Rakyat sedar mereka selama ini telah diperdaya oleh BN melalui media masa perdana dan sekarang ini jika media memainkan isu panas terhadap pembangkang rakyat tidak lagi mahu menerima apa yang di siarkan oleh media perdana itu bulat-bulat. Mereka tahu itu adalah semata-mata propaganda politik untuk parti-parti yang memerintah.

Perbalahan ‘intra-party’ dan ‘inter-party’ dalam BN ini, jika dibuat kajian sedalam-dalamnya, ia tidak dapat di sembuhkan lagi. Bagi setengah pihak hanya setelah BN berada di luar kerajaan sahaja penyakit yang dihadapi mereka akan sembuh. Ini akan berlaku kerana yang akan tinggal bersama UMNO dan BN itu sahaja yang akan berkeupayaan untuk memperbaiki penyakit yang di hadapi oleh UMNO/BN itu.

Buat masa ini ‘krisis keyakinan’ terhadap UMNO dan BN itu merupakan persepsi yang begitu ‘conclusive’ oleh rakyat yang bakal memilih pada PRU yang akan datang. Pemimpin-pemimpin tidak mungkin mampu memperbaiki keadaan ini. Hanya rakyat sahaja yang bakal memberikan penyelesaianya nanti.

Apa yang dibimbangi oleh Muhyiddin itu memang satu hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

22 October 2011

Sebelum ambil tindakan ke atas Prof Aziz Bari, ambil tindakan terhadap pemimpin UMNO dulu

Sekarang Aziz Bari dari UIA pula yang menjadi sasaran. Saya selalu berkata di dalam pimpinan UMNO dan BN bercakap benar adalah satu kesalahan. Berbeza pendapat itu adalah kesalahan. Jika sesiapa yang mengkritik secara berterusan akan ada sahaja helah untuk memberikan tekanan kepada seseorang itu.

UMNO dan BN sudah beraja di hati dan bersultan di mata. Aziz Bari tidak mengkritik Sultan tetapi beliau di tuduh berbuat demikian. Mereka berkuasa dan mempengaruhi pentadbiran UIA untuk menghantar surat tunjuk sebab kepada Aziz Bari. Kata-kata Aziz Bari di interpretasikan sebagai menderhaka kepada Sultan.

Entah bila UMNO ini sayang pada Raja saya pun tak tahu. Setahu saya UMNOlah yang menderhaka kepada Raja pada 1993 dahulu. UMNOlah yang telah menelanjangkan Raja-Raja Melayu dalam krisis perlembagaan itu. Ramai pemimpin UMNO yang membuat kenyataan mengkritik Raja sebagai institusi yang kononnya sudah tiada relevannya lagi.

Malahan ada ahli Parlimen bercakap begitu bongkak dengan mencadangkan Raja_Raja Melayu di ikat dan dirotan dan sebagainya. Lebih menyedihkan lagi Almarhum Tuanku Jaafar telah dituduh menyewakan tanah untuk membela babi di Bukit Pelandok. Utusan Malaysia lah yang mengetuai serangan terhadap Raja Melayu semasa itu.

Media perdana telah mensensasikan isu Raja-Raja Melayu dan memfitnah Raja Melayu seolah Raja-Raja Melayu itu lebih rendah dari manusia biasa. Apabila saya sebut isu ini ada pula yang mengatakan Dr Mahathir melakukannya semata-mata untuk kebaikan Raja Melayu itu sendiri dan berbagai-bagai alasan yang diberikan oleh penyokong beliau bagi menghalalkan tindakan menghina Raja-Raja Melayu itu.

Kenapa sekarang UMNO dan pemimpin-pemimpin yang menghina secara direct semasa itu tidak dihadapkan ke mahkamah sedangkan perlembagaan negara sebelum dipinda semasa itu telah dengan terang menyatakan yang Raja tidak boleh di sentuh samada di dalam atau di luar parlimen. Kenapa Dr Mahathir, dan ramai di antara pemimpin UMNO semasa itu tidak di kemukakan kepada pengadilan sedangkan Aziz Bari yang hanya membawa pandangan akademik itu dengan pantas di perlakukan dengan tidak adil.

Aziz Bari adalah seorang tokoh akademik dan beliau mempunyai pengikut dan ramai yang memberikan perhatian terhadap pandangan beliau. Mahasiswa UIA kini sedang memberontak kerana tindakan yang tidak adil terhadap seorang tokoh akademik yang serius yang pandangannya diambil perhatian bukan sahaja oleh Mahasiswa UIA tetapi juga oleh masyarakat ramai yang mengikuti pemikiran beliau.

Hari demi hari pihak yang memerintah menunjukan sikap tidak menghargai pandangan terbuka seorang yang serius terhadap keadaan semasa negara. Tindakan terhadap Aziz Bari mendapat tentangan orang ramai kecuali dari mereka yang buntu dan jumud pemikiran.

Jika pun Aziz Bari hendak di ambil tindakan, pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin politik negara yang terang-terang telah melacorkan institusi Raja pada tahun 1993 dahulu. Pihak yang memegang kuasa perlu ingat mereka yang menyaksikan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu pada tahun 1993 dahulu masih ramai yang hidup dan masih ingat betapa beratnya nesta yang dilemparkan terhadap Raja-Raja Melayu oleh pemimpin UMNO yang diketuai oleh Presiden UMNO semasa itu.

Sekarang ini bekas Presiden UMNO itu pula yang mengkritik Aziz Bari dengan mengatakan Aziz Bari bersifat kurang ajar terhadap Raja Melayu. Saya tetap berharap supaya nasib Aziz Bari akan diperjuangkan oleh pelajar-pelajar dan Mahasiswa seluruh negara kerana isu ini bukan setakat melibatkan mahasiswa UIA tetapi juga masyarakat mahasiswa seluruh negara.

Saya berharap agar seluruh masyarakat kampus termasuk kakitangan akademik universiti-universiti seluruh negara memberikan desakan supaya tokoh akademik di bela secara optima untuk memastikan tidak ada pihak yang akan di ambil tindakan secara tidak adil di masa-masa yang akan datang semata-mata kerana memberi pandangan yang berbeza.

Jika kali ini tindakan di ambil terhadap Aziz Bari, selepas ini tidak ada sebab kakitangan akademik yang lain tidak akan menerima nasib yang sama pada masa yang akan datang. Saya mengikuti hampir semua pandangan Aziz Bari dan saya tidak nampak apa-apa sebab kenapa beliau cuba di sabitkan dengan isu seditious seperti yang di tuduh terhadap beliau.

Ambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin negara yang telah melanggar institusi Raja-Raja dahulu kemuka pengadilan dahulu sebelum berfikir untuk melakukan sesuatu terhadap Aziz Bari. Ini penting jika pihak berkuasa ingin membuktikan yang semua orang tidak kebal dari segi undang-undang.

Jangan hanya pandai mengaku yang pihak berkuasa adalah adil kepada semua sedang pemimpin besar UMNO lah yang telah melakukan kesalahan yang paling besar terhadap institusi demokrasi negara.

21 October 2011

Malaysia kilang fitnah - sekarang sudah sampai keperingkat antarabangsa.

Pemimpin UMNO dan BN sangat hebat melakukan fitnah dan sekarang sudah sampai ke peringkat antarabangsa. Anya Corke seorang pelajar Wellesley College AS semalam menyfatkan fitnah yang di sabitkan terhadap dirinya sebagai satu insiden yang sangat hina dan mengejutkan.

Pelajar perempuan kelahiran Amerika ini menyatakan yang dia tidak pernah mengenali anak Guan Eng dan sesiapa sahaja di dalam keluarga Guan Eng itu. Anya menambah dia tidak pernah diperkosa oleh sesiapa dan lawatan terakhirnya keMalaysia ialah tujuh tahum yang lalu.

Anya Corke merasa simpati terhadap anak Guan Eng yang telah dijadikan mangsa fitnah itu yang dipalitkan dengan dirinya yang beliau tidak pernah berjumpa, mengenali dan mendengar nama yang disebutkan oleh pemfitnah itu.

Sebagai seorang yang berakhlak pelajar perempuan ini telah meminta media di Malaysia supaya menghormati privacy nya supaya tidak menjejaskan nama baik kolejnya, keluarganya serta Chess Federation serta badan-badan gabungannya. Anya adalah ‘Grand Chess Master kelas pertama dari Hong Kong yang kini mewakili England.

Kenyataan Anya Corke ini membayangkan betapa akhlak itu menjadi elemen utama dalam kehidupan mereka walaupun beliau masih muda. Beliau memberi pengajaran kepada kita yang akhlak itu penting dan boleh menjejaskan nama baik kolejnya serta badan Chess antarabangsa yang beliau menjadi ahlinya.

Nilai inilah yang sepatutnya diambil oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan mengakui jika perlakuan kita itu tidak baik ianya akan menjejaskan nama baik parti yang mereka anggotai. Di sini UMNO tidak pernah mahu belajar yang rasuah itu akan menjejaskan nama baik parti dan perjuangannya.

Jika Anya Corke yang masih dalam belasan tahun boleh menjiwai moral yang tinggi untuk menjaga nama baik badan yang di anggotainya kenapa pemimpin dan anggota UMNO yang semuanya beragama suci Islam itu tidak mampu untuk menahan nafsu untuk mengilang fitnah yang tidak ada tolok bandingnya itu. Di sini kita lihat bukti bahawa moral itu merupakan elemen sejagat yang tidak hanya di percayai oleh mereka yang beragama Islam.

Kes memfitnah anak Guan Eng dan pelajar perempuan yang tidak dikenalinya itu merupakan fitnah yang telah dapat di kesan dengan cepat. Kita tidak tahu berapa ratuskah fitnah yang telah dilakukan oleh setengah pihak dalam kerajaan yang tidak dapat dikesan dan diketahui umum.

Sekarang orang ramai telah mula sedar yang UMNO dan BN hanya mampu untuk mengekalkan kedudukan mereka sebagai pemerintah dengan melakukan fitnah yang tidak terperi hinanya seperti isu yang sedang diperkatakan ramai ini.

Sekarang orang ramai sudah ‘conclusive’ tentang satu persepsi mereka terhadap UMNO; iaitu pengarang dan pengilang fitnah sepenuh masa untuk mempastikan musuh politiknya tersungkur.

Dalam kes ini, pengarang fitnah ini hanya ambil mana-mana gambar secara rambang dan siarkan dalam internet dan kaitkan nama anak Guan Eng dengan gambar itu. Silapnya pemfitnah ini salah langkah dengan menyatakan perempuan itu adalah seorang pelajar SMK Heng Ee, George Town.

Ramai juga yang bertanya kepada saya bila Utusan akan membuat komen terhadap isu ini. Saya hanya menjawab, “tak taulah, kalau boleh dia nak tutup isu ini cepat-cepat”. Utusan itu hanya alat propaganda sahaja”

Yang sudah pasti fitnah yang dilakukan oleh beberapa pemimpin UMNO itu sudah sampai keperingkat antarabangsa. Nama Malaysia dalam bidang fitnah memfitnah sudah menjadi terbilang. Itulah kejayaan slogan ‘Malaysia Boleh’.

Berbohong boleh, memfitnah boleh, rasuah boleh dan menyalah gunakan kuasa boleh! Yang tidak boleh hanya melawan presiden UMNO, membetulkan senarai pengundi dan berkata benar. Berkata benar adalah dosa yang amat besar dalam UMNO.

20 October 2011

Kerana politik, sanggup mengorbankan kanak-kanak yang tidak bersalah

Isu yang dimainkan oleh Ketua Bahagian Bukit Gelugor, Dr Novandri serta beberapa blogger pro-UMNO terhadap anak Lim Guan Eng memang jelas mendapat perhatian ramai dan kebanyakan dari reaksi yang saya secara peribadi terima menunjukan sebagai satu isu yang menjadi kemarahan ramai.

Ramai yang meminta saya menulis dan memberi komen tentangnya. Saya tidak mempunyai komen panjang tentang isu ini. Yang pasti ‘Law-makers’ dari UMNO nampaknya menjauhi diri mereka dari isu ini dan rata-rata kita mendengar yang UMNO tidak terlibat dengan isu yang panas ini. Malahan Ahli-Ahli Parlmen UMNO meminta Guan Eng menyaman Dr Novandri dan bloggers pro-UMNO jika itu merupakan fitnah yang sengaja diadakan kerana tuntutan politik yang ‘desperate’.

Komen saya senang sahaja; ini merupakan satu lagi dari banyak bukti yang UMNO begitu ‘desperate’ untuk mendapatkan kembali kerusi-kerusi yang mereka tertewas dalam pilihanraya yang lalu. UMNO tidak menampakan lagi sikap seperti parti yang memimpin negara. UMNO sudah menjadi ‘defensive’ dan ini merupakan petanda yang parti itu sedang menuju kearah kejatuhan. Ini hakikat.

UMNO tercari-cari kesalahan DAP di Pulau Pinang seperti orang mencari kutu yang halus dalam rambut. UMNO tidak mempunyai modal lagi untuk mendapat perhatian ramai. UMNO nampaknya sudah menjadi ‘sour-grape’ dan jika sudah dihinggapi oleh penyakit seperti ini selalunya parti yang seperti ini akan ditinggalkan oleh orang ramai.

Orang ramai akan mula berfikir samada parti ini mampu untuk menjadi pelindung kepada rakyat kerana orang ramai akan sendirinya akan merasa tidak berkeyakinan jika sebuah parti pemerintah sanggup melakukan perkara yang amat menjijikan itu semata-mata untuk menyambung nikmat berkuasa.

Memalitkan seorang kanak-kanak yang tidak bersalah kerana kepentingan politik serupalah seperti penjenayah kanak-kanak yang sangat tidak bertanggungjawab. Ada pihak yang sanggup melakukan kerja seperti ini semata-mata kerana hendak menjatuhkan pihak lawan. Jika Guan Eng yang hendak dijatuhkan kenapa jadikan anaknya sebagai mangsa?

Tidak kah ‘penjenayah-penjenayah’ ini merasa malu apabila Guru Besar SMK Heng Ee, George Town sendiri manafikan adanya berlaku perkara yang difitnahkan oleh pihak tertentu di dalam UMNO itu? Kenapa setengah pihak yang desperado ini sanggup menyiarkan gambar orang lain yang dikatakan sebagai anak Guan Eng? Gambar yang dikatakan sebagai anak Guan Eng itu rupa-rupa gambar orang lain yang sedang belajar di AS.

Inilah sebenarnya yang berlaku di dalam UMNO. UMNO sudah hilang segala-galanya. Yang ada hanyalah saki-baki kuasa yang ada yang dimandatkan oleh rakyat dalam pilihanraya yang lalu.

Tidakkah terfikir oleh ‘penjenayah-penjenayah’ ini bagaimana kanak-kanak berusia 16 tahun itu menghadapi hidup seharian kerana fitnah yang amat hina ini? Isu ini jelas merupakan satu fitnah yang amat rendah darjatnya. Kerja seperti ini tentulah berlaku kerana mereka sudah terbiasa melakukannya. Kata perbilangan ‘alah bisa tegal biasa’.

Kalau sudah biasa dengan jenayah, untuk melakukan jenayah yang lain akan menjadi perkara biasa. Kepada semua yang bertanggungjawab merencanakan pembohongan ini berfikirlah apa dengan tekun dan bertanya kepada diri sendiri, ‘apa yang telah aku lakukan ini?’ dan perbaikilah diri masing-masing.

Politik itu politiklah! Tetapi janganlah sampai melakukan perkara yang sangat ternoda ini. Jangan tunjukan sangat ‘desperation’ itu kepada khalayak ramai. Semua tindakan yang dilakukan terhadap seorang kanak-kanak sekolah itu hanya merupakan tindakan ‘self defeating’ bagi parti yang memerintah.

Itu sahaja komen saya.

19 October 2011

Khairy - jadilah seorang dewasa

Khairy Jamaludin mempertahankan tindakan mengisukan anak Lim Guan Eng dan beliau menuduh pengkritik beliau sebagai hipokrit. Ramai yang mengkritik Khairy kerana menurut setengah pihak tindakan Khairy itu merupakan tindakan desperado UMNO. Lebih memeranjatkan lagi banyak pihak ialah isu itu diperbesarkan oleh Khairy dan beberapa blogger pro UMNO.

Kalau orang lain dari Khairy memanglah tidak memeranjatkan tetapi ianya datang dari Khairy seorang pemimpin UMNO yang agak mempunyai kelas yang agak jauh tingginya dari ramai pemimpin yang lain. Isu seperti ini selalunya hanya permainan pemimpin yang bukan setaraf dengan Khairy.

Tetapi UMNO tetap UMNO, kerana UMNO itu merupakan parti yang tidak mampu membina kepimpinan sebaliknya boleh merosakan orang bijak pandai untuk menjadi jumud pemikiran dan merendahkan kredibiliti mereka. Yang ada di dalam barisan kepimpinan UMNO itu kebanyakan mereka adalah mereka yang tinggi kelulusan akedamik mereka.

Tetapi oleh kerana terpengaruh dengan cara dan budaya UMNO mereka menjadi jumud dan lemah pemikiran mereka dari masa kesemasa. Penyakit UMNO ini rupanya sangat ‘contagious’ kerana seorang yang hebat seperti Khairy pun boleh dihinggapi oleh penyakit ini.

Itulah sebabnya saya berkali-kali menulis dan memberitahu siapa yang membaca blog ini bahawa ramai di antara pemimpin dalam UMNO itu ibarat ikan mati. Ikan mati sentiasa terpengaruh dengan keadaan sekeliling dan jika ikan mati itu dikeluarkan dari laut iakan itu akan jadi ikan masin.

Sebaliknya ikan yang hidup jika dikeluarkan dari lautan yang ‘environment’nya masin, ikan itu tidak masin tetapi merupakan ikan ‘fresh’ yang enak dimakan. Di sebaliknya ikan masin hanya diletakan di bibir pinggan sahaja dan di cubit-cubit sedikit untuk menjadi pembuka selera sahaja.

Saya berharap Khairy hanya melakukan kesilapan sahaja, bukannya kesalahan. Orang muda julung berkeris memang begitulah. Seorang anak muda yang sudah pandai memegang dan bermain keris selalunya akan mudah melayangkan langkah untuk berkeris dan kadangkala batang pisang pun disanggahnya.

Walau bagaimana pun saya tetap mengiktiraf Khairy sebagai pemimpin masa depan yang masih ada di dalam UMNO. Walaupun UMNO masih belum tentu mendapat mandat seterusnya dari rakyat. Saya yakin Khairy akan menjadi pemimpin walaupun UMNO itu berkemungkinan berada di pihak pembangkang, sebagaimana ramalan ramai termasuk mereka dari dalam UMNO sendiri.

Sebagai anak muda tentulah ada kecenderungan untuk melakukan kesilapan. Khairy ibarat seorang yang meniti permatang sawah; jika tergelincir kedalam lopak sawah cepat-cepat naik di permatang dan teruskan perjalan politik nya. Insyaalah Khairy akan sampai juga akhirnya ke penghujung permatang sawah yang jauh itu.

Hanya saya ingin memberikan pandangan sedikit. Isu yang diguna pakai oleh Khairy ini memanglah satu isu yang tidak sepatutnya digunakan oleh seorang yang berkelulusan dari university terkenal dunia.

Biarlah orang yang masih mempunyai mentaliti sekolah atap sahaja yang memainkan isu kelas rendah ini. Jaga nama universiti terkenal itu dengan baik. Saya pernah bercita-cita untuk belajar di universiti itu tetapi tidak kesampaian kerana saya tidak cukup kepandaian untuk kesana.

Khairy mesti elak dari di anggap oleh orang ramai sebagai garam yang tidak diperlukan dalam quantiti yang banyak. Bukan kah selalu chef-chef masakan berkata, 'bubuh garam sesedap rasa' sahaja. Lain-lain perkataan Khairy akan hanya di anggap sebagai garam, gunanya untuk menyedapkan rasa masakan sahaja dan tidak lebih dari itu.

Ayuh Khairy, cepat-cepatlah jadi seorang dewasa.

18 October 2011

Chua Soi Lek - seorang kembiri politik

Chua Soi Lek dikatakan akan bertanding samada di NS, Johor atau pun Perak dalam pilihanraya yang akan datang ini. Beliau telah menyatakan yang beliau telah dijemput oleh menteri-menteri besar ketiga negeri ini dan ditawarkan kerusi untuk beliau (CSL) untuk bertanding di dalam PRU yang akan datang ini.

Chua Soi Lek adalah juga pengerusi MCA negeri bagi Johor dan Perak. Sejak terlibat dalam scandal video lucah beberapa tahun yang lalu Soi Lek merupakan seorang Presiden Parti dalam komponen BN yang masih belum dapat menentukan di mana beliau akan bertanding. Nasib beliau sama seperti nasib Presiden Parti Gerakkan yang masih tercari-cari kawasan untuk bertanding.

Ini merupakan pertama kali dalam mana presiden-presiden parti tidak mendapat ilham di mana mereka akan bertanding. Ketua Wanita Gerakan sendiri telah meminta Presidennya supaya tidak lagi bertanding kerana jika presidennya bertanding ia akan membawa rebah kepada Gerakkan. Hairan juga kenapa Ketua Wanita Gerakan masih ingat yang Gerakan masih teguh dan kuat.

Soi Lek merupakan seorang presiden MCA yang paling ‘controversial’. Dia juga adalah presiden MCA yang paling kelam kabut dengan keadaan politik hari ini yang kecenderungan bangsa Cina lebih memberikan sokongan kepada DAP. Ramai orang Cina dan orang Melayu sudah tidak lagi mahu menerima mana-mana parti politik yang ‘chauvinistic’ seperti MCA. Bangsa Cina lebih berminat kepada parti berbilang kaum dan itulah sebabnya DAP sedang mendapat sokongan dari bangsa Cina dengan jelas sekali.

Orang Melayu pun mulai sedar yang menyertai parti yang ‘chauvinistic’ Melayu pun merupakan satu perkara yang sudah ketinggalan zaman kerana mereka lebih berminat untuk berbaik-baik dan hidup bersama secara aman dalam masyarakat berbilang kaum serta jiran tetangga yang berbilang bangsa dan agama di samping menghormati di antara satu dengan lain.

‘Chauvinist’ macam mana sekali pun, rakyat tahu ianya tidak praktikal untuk hidup sendirian dengan bangsanya sendiri sedangkan negara kita adalah negara berbilang kaum dan tidak ada keamanan jika masing-masing bangsa dan parti memainkan isu rasis yang ‘chauvinistic’ itu.

Pemimpin atau parti yang hanya mendapat sokongan dari kaumnya sendiri sahaja tidak mungkin dapat mentadbir negara dengan baik. Pemimpin yang akan berjaya memimpin rakyat Malaysia adalah pemimpin yang bersifat ‘magnanimous’ serta mendapat sokongan dari semua kaum.

Faktor inilah yang menyebabkan parti-parti di dalam PR mendapat sokongan kerana rakyat sudah naik jemu mendengar UMNO dan penyokongnya bercakap pasal Melayu sesama sendiri untuk mendapat sokongan politik sedangkan yang hendak ditadbirnya ialah rakyat semua kaum. Begitu juga MCA yang hanya bercakap pasal Cina dan menaikan semangat kaum Cina untuk membenci Melayu dan bangsa lain dalam negara ini.

Bentuk siasah dan politik zaman sekarang ini dan masa-masa akan datang ialah politik berbilang kaum yang bersama-sama hidup tanpa rasa prejudis di antara satu kaum dengan yang lain.

Usaha PAS untuk menjadikan parti itu menjadi parti yang diterima oleh semua kaum nampaknya sudah mula mendatangkan hasil. Usaha DAP untuk menunjukan serta menjadikan parti itu benar-benar sebuah parti berbilang kaum sedang menampakan hasil. Jika kita berkehendakan sokongan rakyat pendekatan kita ialah pendekatan tanpa isu rasis dan perkauman menebal kerana tidak ada satu kaum pun boleh hidup dengan kaumnya sendiri dalam negara ini.

Di atas hakikat inilah UMNO sudah tidak lagi relevan sebagai parti yang membawa penyatuan kaum kerana sifatnya yang rasis yang keterlaluan. UMNO dahulunya merupakan parti yang diyakini oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi juga oleh semua kaum kerana sifatnya yang magnanimous dan bijak mentadbir negara yang berbilang kaum dengan penuh etika dan melunaskan pentadbiran berdasarkan kepada moral dan ‘governance’ yang baik.

Penyakit yang dihadapi oleh UMNO ini juga menular kedalam MCA dan MIC. Segala-galanya bertindak di atas lunas perkauman yang sangat merbahaya untuik masa depan dan rakyat. Penyebab kenapa isu rasis begitu menggila dimainkan oleh pimpinan UMNO, MCA dan MIC ini ialah kerana pemimpinnya lemah dan tidak lagi diyakini oleh rakyat seperti dulu.

Budaya yang menjolok mata itu berlaku di setiap peringkat parti, dari atas sehingga ke cawangan-cawangan. Oleh itu bagaiman rakyat hendak meneruskan sokongan dan seterusnya memberikan mandat kepada mereka lagi?

Bak kata Dr Mahathir sendiri: UMNO sudah busuk hingga ke ususnya. MCA serta Gerakkan juga telah menghadapi masalah besar kerana terlalu mengikut rentak dan langkah UMNO yang tidak mempunyai moral dan etika seperti parti yang memerintah negara.

Tidak hairanlah jika presiden MCA itu menjadi seorang kembiri politik dan sampai sekarang belum dapat menentukan tempat atau kawasan untuk beliau sendiri turun bertanding dalam pilihanraya yang akan datang.

16 October 2011

Rakyat mesti berterima kasih pada BN?

Muhyiddin menyeru supaya rakyat berterima kasih kepada BN kerana BN telah mengubah taraf kehidupan mereka selama ini. Beliau membuat seruan ini di Seremban semalam dalam lawatan kerja sehari beliau ke Negeri Sembilan. BN telah memerintah negara lebih dari 5 dekad terus menerus dan tidak pernah kita mendengar pemimpin BN mengucapkan terima kasih kepada rakyat.

Sepatutnya BNlah yang berterima kasih kerana rakyat selama ini telah memberikan sokongan kepada BN selama 5 dekad sehinggakan BN merasakan hak untuk berkuasa itu hanyalah untuk BN sahaja. Oleh kerana berkuasa terlalu lama secara terus menerus BN menyangka yang hak untuk berkuasa itu adalah hak mereka sahaja.

Bagaimana mereka yang telah dimandatkan untuk memerintah meminta rakyat berterima kasih sedangkan merekalah yang sepatutnya berterima kasih kepada rakyat kerana telah diberikan mandat itu sebegitu lama kepada BN. Bagaimana mereka yang memberi itu mesti mengucapkan terima kasih kepada yang menerima? Selama ini BNlah penerima kuasa yang rakyat berikan dan BN jugalah yang tidak berterima kasih kerana tidak lagi menjaga pemberi mandat dengan jujur dan telus.

Dalam pilihanraya ini pemberi mandat itu adalah rakyat dan jika BN masih ingin berkuasa BN khususnya UMNO patut mengucapkan terima kasih kepada rakyat bukannya mundar mandir minta rakyat yang berterima kasih kepada BN pula. Hakikatnya bukan BN yang memberi mandat kepada rakyat tetapi sebaliknya rakyat yang akan memilih kepada siapa yang mandat itu hendak diberikan.

Oleh kerana sifat BN yang tidak berterima kasih kepada rakyat itulah yang menyebabkan UMNO dan BN semakin hari semakin lemah. UMNO sudah begitu tidak terurus kerana sokongan rakyat terhadap parti itu sudah berkurangan dengan begitu nyata sekali.

Rakyat ramai sudah merasakan yang mereka hanya diperkudakan oleh BN untuk kepentingan kroni dan ‘warlords’ dalam UMNO sahaja dan ini adalah sikap tidak berterima kasih kepada rakyat. Rakyat telah memberikan mandat bukan untuk membina kumpulan ‘war lords’ tetapi untuk memerintah mengikut kehendak dan cita rasa mereka.

Yang melakukan rasuah bukannya rakyat tetapi pemimpin-pemimpin, ‘war lords’ serta kroni di dalam pentadbiran kerajaan BN itu. Rakyat. Merasa ‘fed-up’ mendengar pemimpin UMNO macam Muhyiddin supaya rakyat berterima kasih sedangkan kita tahu yang mereka tidak pernah berterima kasih kepada rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada mereka selama ini.

Sebaliknya mereka salah gunakan kepercayaan rakyat dengan melakukan rasuah dan menyalah gunakan kuasa dan seterusnya menyalahkan semua pihak yang lain kerana masalah keresahan yang dihadapi rakyat. Bagaimana rakyat hendak berterima kasih kerana sumbangan BN dalam menyusahkan rakyat?

Pemimpin kita tidak pernah mengaku bersalah tetapi kesalahan mereka akan sentiasa dilemparkan kepada pihak lain pula. UMNO patut berusaha untuk menunjukan rasa terima kasih kepada rakyat tetapi bukannya dengan memberikan tunai secara ‘one-off’ yang tidak seberapa untuk melekakan orang Melayu dan seterusnya melakukan segala perkara yang tidak senonoh itu secara berterusan. Rakyat sedar seribu ringgit bantuan ‘one-off’ itu hanya menambah pendapatan rakyat sebanyak RM 2.73 sen sehari dalam setahun itu. Kenaikan pedapatan sebanyak itu tidak akan menjayakan niat kerajaan untuk menjadikan negara ini sebuah negara rakyat yang berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Bila hendak bercakap itu elok berfikir dahulu. Rakyat tidak lagi pekak dan bisu seperti anggapan setengah pemimpin kita. Rakyat pun sudah ke sekolah sikit-sikit. Setakat hendak membahagikan RM1000 dengan 365 hari dalam setahun itu sudah boleh sekarang.

Untuk mendapatkan mandat rakyat hanya dibayar RM2.73 sen sehari sahaja bagi tahun 2012. Hebat kan? Untuk itu rakyat mesti berterima ksih kepada BN.

14 October 2011

Hilangnya sakit tak semestinya hilangnya penyakit

Sakit dan penyakit itu adalah dua perkara yang berlainan. Saya pernah menulis isu ini lama dahulu di dalam blog ini.Saya akan terus kepada relevannya isu sakit dan penyakit ini kepada pimpinan parti UMNO/BN dan kerajaan yang memerintah sekarang ini.

Masih ada ramai yang percaya yang UMNO akan masih di terima kerana kerajaan telah membentangkan belanjawan yang akan memulihkan sakit rakyat dan dengan bantuan ‘one-off’ sebanyak seribu dua itu akan mengembalikan sokongan ramai kerana orang ramai sudah hilang sakitnya dengan pembentangan belanjawan baru-baru ini.

Seseorang yang selalu menghadapi sakit kepala, telinga dan mata misalnya akan menghilangkan sakit-sakit itu dengan memakan panadol soluble dan berbagai ubat penahan sakit yang lain. Setiap kali selepas makan ubat penahan sakit itu sakit yang kita rasakan itu akan hilang, tetapi tidak beberapa ketika selepas itu sakit itu akan kembali dan kita menelan pil penahan sakit itu lagi.

Lama kelamaan pil penahan sakit itu tidak akan berkesan lagi kerana pil itu sudah melemahkan ‘immune system’ tubuh kita. Akhirnya kita akan kehospital juga untuk mencari sebab kenapa sakit-sakit mata, telinga dan kepala itu sentiasa berulang dan ubat penahan sakit pun sudah tidak berkesan lagi.

Sampai sahaja di hospital barulah kita tahu yang kita sudah menghadapi penyakit dan penyakit itu ialah darah tinggi rupanya. Sepatutnya kita tidak terus memakan pil penahan sakit sebelumnya. Sepatutnya kita patut selesaikan isu penyakit yang menyebabkan sakit yang kita rasai itu. Apabila darah tinggi sudah terlalu ‘acute’ maka tubuh kita dengan sendirinya tidak akan berfungsi dengan baik dan tidak mungkin mampu untuk bertindak dengan baik lagi.

Apabila seseorang itu sudah tahu yang dia ada penyakit darah tinggi, dengan secara automatik dia tidak akan berada dalam tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan kehidupan dengan baik. Banyaklah pantang larang yang perlu di perhatikan kerana penyakit darah tinggi tadi akan memaksa seseorang menghidapinya untuk tidak melakukan banyak perkara dan akhirnya dia akan mati dengan penyakit itu juga .

Inilah yang sedang dihadapi oleh UMNO dan BN. Sakit-sakit dalam BN itu memang sudah lama dirasakan oleh ramai tetapi UMNO menyelesaikan masalahnya dengan memberikan ubat penahan sakit sahaja. Caranya ialah dengan memberikan ubat penahan sakit dengan memberikan projek-projek kepada ‘war lords’ dalam UMNO dan memberikan imbuhan kewangan ‘one-off’ kepada rakyat dalam bentuk wang ringgit seribu dua sahaja seperti yang di sebut dalam bajet 2012 yang lalu.

Walaupun mendapat sedikit wang dan akan menghilangkan sakit buat seketika tetapi sakitnya akan datang kembali dalam masa yang tidak berapa lama lagi. Seribu ringgit yang diberikan secara ‘one off’ itu akan habis sekelip mata kerana bagi ramai yang mendapat seribu ringgit itu hanyalah sekadar melepaskan sebahagian kecil hutang semasa mereka sahaja. Selepas itu mereka akan kembali sakit kerana penyakitnya tidak diperbaiki. Penyakit sebenar mereka ialah kemiskinan.

Tindakan menghilangkan sakit rakyat ini memang tindakan biasa BN terutamanya semasa pilihanraya sudah hampir tiba. Semasa hilangnya sakit buat sementara itulah selalunya pilihanraya akan di adakan dan mereka akan kembali sakit apabila pilihanraya sudah selesai dan UMNO telah kembali berkuasa.

Tetapi kini rakyat sudah tidak lagi mudah terpedaya dengan pemberian tunai ‘one-off’ itu kerana mereka tahu mereka akan kembali sakit tidak beberapa lama selepas pilihanraya di adakan. Rakyat mahukan pelan pembangunan untuk rakyat yang boleh diguna pakai buat jangkamasa yang panjang. Rakyat tidak lagi mahu ikan tetapi rakyat mahukan kail yang baik untuk membolehkan mereka mengail dalam jangkamasa yang lama untuk mendapat ikan selama-lamanya.

Penyakit yang di hadapi rakyat ialah kesusahan menghadapi kenaikan harga barang dan wang imbuhan ‘one off’ itu hanya boleh membantu mereka dalam jangkamasa yang singkat sahaja sedangkan nyawa masih panjang lagi. Rakyat sudah mual mendengar pihak kerajaan mengumumkan kadar inflasi kita adalah di bawah 4 peratus tetapi harga barang keperluan meningkat berkali ganda.

Dalam pada itu rakyat masih nampak dengan jelas penyakit yang tidak kunjung sembuh masih berlaku di hadapan mata kepala mereka, iaitu rasuah di setiap peringkat pentadbiran kerajaan. Memang ada kerajaan menangkap seorang dua dan di tuduh di mahkamah tetapi itu hanya menghilangkan sakit buat seketika sahaja. Rakyat tahu lebih ramai yang melakukan kerja keji itu tidak ditampilkan untuk menghadapi tuduhan di Mahkamah.

Dalam pada kerajaan mengambil tindakan kepada beberapa orang rasuah tetap juga bertambah rancak dan nyata ianya merupakan satu kanser yang tidak mungkin dapat di sembuhkan. Kanser tetap membunuh setiap sel yang baik di dalam sistem pentadbiran negara dan dalam jangka masa yang tidak berapa lama seluruh sistem kerajaan akan lumpuh oleh kerana kegiatan rasuah yang tidak mampu dikawal itu.

Apabila sel-sel kanser rasuah tidak dapat di kawal maka batang tubuh kerajaan itu akan akhirnya menjadi kurus dan akan matilah segala sistem pentadbiran kerajaan dan contoh-contoh kejatuhan kerajaan-kerajaan yang besar di dunia ini bukannya kecil.

Menubuhkan MACC itu tidak dapat menyembuhkan penyakit rasuah tetapi sekadar menghilangkan sakit buat sementara sahaja. Lagi pun pesakit tidak mungkin mampu untuk menyembuhkan penyakit itu.

Serupa jugalah penyakit yang di hidapi penyakit kesusahan tidak mungkin dapat bertahan dengan hanya memberikan ubat menahan penyakit sahaja kerana penyakitnya tidak diubati terlebih dahulu.

07 October 2011

Bersatu di luar BN - Bahagian 2

Tulisan saya dua hari lepas berkisar tentang kegagalan rakyat bersatu padu kerana permainan politik oleh pemimpin dan parti yang lemah dengan menghangatkan isu rasis. UMNO menakut-nakutkan orang Melayu yang hanya UMNO sahaja yang mesti di undi jika Melayu hendak selamat.

MCA pula menakut-nakutkan bangsanya dengan memaksa kaum Cina untuk mengundi MCA kerana parti itu sahajalah yang boleh menjamin masa depan bangsa Cina dan begitu jugalah yang kita dengar dari MIC untuk orang India. Tetapi orang Cina dan India tidak lagi termakan dengan isu rasis yang di mainkan oleh parti-parti mereka kerana mereka sudah melangkah jauh untuk mencari perubahan. Mereka lebih sayang kepada bangsanya dari parti-parti mereka.

MCA merasakan yang partinya sudah hilang sokongan dari bangsanya sendiri, Begitu juga MIC dan UMNO. Malahan di antara mereka dalam komponen BN pun sedang bertelagah menyalahkan di antara satu dengan yang lain. Bagaimana parti-parti di dalam satu komponen yang bertelagah di antara satu dengan lain itu mampu mendapatkan keyakinan rakyat?

Oleh kerana sikap kurang berkeyakinan untuk mendapat sokongan rakyat inilah yang menyebabkan mereka memainkan isu perkauman yang amat sensitif ini. Oleh kerana kuasa parti-parti dan pemimpin-pemimpin mereka sanggup menggadaikan keharmonian di antara kaum di negara ini. BN khususnya UMNO hanya boleh kekal di atas perpecahan rakyat.

Keenakan berkuasa menyebabkan mereka tidak sanggup diketepikan rakyat di dalam pilihanraya. Maka mereka menggunakan isu rasis ini kononnya untuk menjaga masa depan kaum masing-masing dan mereka menggunakan isu ‘continuity’ sebagai alasan untuk terus berkuasa dan terus menikmati hidup berkuasa kalau boleh buat selama-lamanya. UMNO telah mengambil alih tanggungjawab Tuhan kerana mengaku hanya UMNO sahaja yang boleh menjamin masa depan orang Melayu.

Mereka tidak dapat menerima hakikat yang semua perkara tidak ada yang kekal. Sedangkan nyawa kita pun tidak kekal apatah lagi kuasa politik pinjaman ini. Dalam sebuah negara demokrasi kehilangan kuasa itu adalah lumrah dan mendapat kembali kuasa yang telah hilang pun adalah lumrah juga. Jika BN kehilangan kuasa kali ini ianya adalah biasa dan jika BN mampu memperbaiki diri mereka tidak mustahil kuasa akan kembali kepada mereka pada pilihanraya-pilihanraya yang berikutnya.

BN memang patut merasakan dan mengalami bagaimana duduk di kerusi pembangkang supaya mereka sedar betapa susahnya duduk di sebelah pembangkang dan kesusahan yang bakal di alami oleh BN itu mungkin boleh menjadikan BN lebih matang dan tidak boleh mengambil sikap ‘for granted’ jika kembali berkuasa.

Tidak salah untuk kita berhelah untuk mendapatkan kuasa tetapi biarlah helah-helah tersebut berada di dalam ‘parameter’ moral dan etika kemanusiaan yang munasabah. Penolakan rakyat terhadap yang sedang berkuasa sekatrang ini bukannya tidak bersebab. ‘There is always a cause for a cause’ kata perbilangan Inggeris.

Oleh kerana telah berkuasa begitu lama, terbentuk dalam BN khususnya UMNO bersikap ‘arrogant’ yang begitu menjolok mata. Mereka terus menerus melakukan perkara yang tidak betul kerana berkeyakinan yang rakyat tetap akan mengundi mereka walau apa pun yang mereka lakukan. Mereka mengganggap yang rakyat tidak akan mengalihkan sokongan dari mereka dan itulah yang menyebakan mereka berani melakukan perkara-perkara yang di luar batasan moral selama ini.

Tetapi keadaan itu sudah jelas berubah dan BN sekarang baru hendak menyedarinya tetapi sudah agak terlambat. BN tidak sedar yang rakyat sudah lama terluka di atas tindakan mereka yang tidak melandaskannya kepada moral yang tinggi. Rakyat khususnya yang masih muda sudah tidak lagi memandang BN seperti pemimpin mereka harapkan lagi. Kalau kita pinjam kata-kata Dr Mahathir, UMNO sudah busuk hingga ke ususnya. Ia bermaksud yang UMNO sudah tidak boleh diperbaiki dan dibersihkan lagi.

BN sedar-sedarnya sudah jauh tersasar dari perjuangannya dan tidak mungkin kembali kepangkal jalan kerana melakukan perkara di luar tabii demokrasi sebenar sudah menjadi budaya kepada politik mereka. Selama ini BN tidak peduli dengan sokongan ‘legitimate’ dari rakyat. Asalkan dapat undi mereka tidak kisah samada sokongan itu sokongan ‘legitimate’ atau pun tidak.

Sampai bila kah BN hendak menyelamatkan diri dengan menggunakan kaedah yang kotor dengan memutar belitkan isu sensitif di saluran media perdana dengan memomokan pihak lain terutamanya PAS dan DAP. Lama kelamaan rakyat akan tahu juga segala kelemahan kita kerana rakyat sudah pandai berfikir. Haya pemimpin-pemimpin kita yang malas berfikir.

Banyak di antara kritikan blog ini terhadap BN telah mendapat reaksi kutukan tanpa perbahasan atau setidak-tidaknya alasan yang boleh di terima akal. Kebanyakannya tanpa ‘argument’ yang rasional tetapi hanya melemparkan kutukan semata-mata. Tetapi itulah UMNO dengan penyokong-penyokongnya. Tidak ada siapa boleh memperbaikinya. Mungkin mereka belum lagi sedar yang kata-kata nesta itu telah menjemukan orang ramai tetapi apakan daya sikap itu sudah menjadi budaya yang kekal dengan BN khususnya UMNO.

Tidak ada apa lagi yang boleh menyangkutkan hati kita terhadap ketelusan UMNO itu. Segala yang dilakukan hanya untuk kepentingan beberapa individu sahaja dan itu pun mereka merasakan yang mereka itu masih berada di pihak yang benar.

Manipulasi harga saham MAS dan Air Asia sudah berlaku sejak beberapa ketika dahulu semata-mata bagi memudahkan AirAsia untuk secara sistematik mengambil alih pegangan 20 peratus saham di dalam MAS. Harga saham MAS dimanipulasikan kepada harga terendah RM 1.60 dan saham Air Asia telah dilonjakan kepada RM 5.95 semasa ‘share swap’ di antara AA dan MAS itu, Segala-galanya berlaku di hadapan mata kepala Khazanah. Dalam proses ini ramai tidak percaya perkara seperti ini sanggup di lakukan oleh mana-mana pihak kerana rakyat tahu ada pihak di dalam Khazanah juga tidak jujur dalam pengendalian ‘share swap’ yang kontroversial ini kerana keuntungan peribadi yang besar. Mereka ini tidak beramanah untuk menjaga kepentingan rakyat.

Semuanya boleh berlaku dan dalam isu AA dan MAS ini ianya merupakan kes si tikus memakan ular. Ianya hanya membolehkan beberapa orang di dalam Air Asia menyelesaikan hutang yang bertampok-bertompok sejak mengambil alih Air Asia ini dahulu. Tetapi masih ramai di antara rakyat masih membisu dan memberikan sokongan kepada kumpulan ini menjahannamkan harta benda rakyat.

Yang pasti beberapa orang yang terlibat dalam skandal ini meraih keuntungan peribadi yang sangat besar. Yang anihnya kerajaan yang memerintah menganggapkan yang semua rakyat boleh di perdaya dan dipermainkan dan di samping itu memaksa setiap orang menyokong mereka.

Tetapi masih ada rakyat yang diperdayakan dengan menggunakan isu Melayu sebagai cara untuk menambat sokongan rakyat dan memalingkan pandangan rakyat dari isu wang dan harta benda mereka yang dicuri oleh ‘perompak kolar putih’ yang sedang bermaharajalela. Mereka (pemimpin dan penyokong) tidak mahu rakyat sedar tentang segala penyelewengan yang dilakukan terhadap rakyat.

Pemimpin-pemimpin UMNO melaungkan slogan Melayu tetapi ramai di antara pemimpin UMNO itu ada ada tawkeh-tawkeh Cina yang menjadikan mereka boneka di dalam kabinet persekutuan dan pemimpin kerajaan di negeri-negeri tadbiran mereka dan meraut peluang perniagaan untuk bagi pihak pemimpin-pemimpin UMNO. Ini amat menjemukan sesiapa yang nampak tentang kemungkaran ini. Oleh itu jika ada orang Melayu yang menyertai parti lain seperti DAP dan PAS maka elok sedarkan diri juak-juak mereka (UMNO) untuk tidak melabelkan mereka yang menyertai parti lain itu sebagai boneka.

Kita mesti sedar yang penyokong-penyokong parti kerajaan adalah juga boneka kepada pemimpin-pemimpin yang sedang giat membelasah harta benda rakyat dengan cara yang sangat sistematik. Mereka adalah boneka kepada perasuah yang rakus tanpa batasan. Di sinilah letaknya perbezaan di antara penyokong dengan pengkritik UMNO. Yang menyokong itu adalah dari mereka yang sanggup di perdayakan oleh pemimpin-pemimpin mereka yang tidak jujur dan yang tidak menyokong itu adalah dari mereka yang tidak tahan lagi dengan tindakan tidak bermoral pemimpin itu.

Masing-masing ada pilihan: boleh pilih yang bermoral atau kekalkan sokongan yang sudah hilang moral. Marilah kita menghormati kehendak masing-masing. Sedangkan Tuhan pun mewujudkan iblis dan syaitan dan sesiapa boleh memilih di antara kehendak Tuhan dan agamaNya atau menolaknya dengan bersekongkal dengan perasuah seperti yang dipersepsikan terhadap parti-parti yang memerintah sekarang ini. Hanya Tuhan berjanji, kerja dengan niat baik akan di balas baik.

Tepuk dada, tanyalah selera. Tetapi hakikatnya rakyat memang hendak bersatu, tetapi kebanyakan mereka lebih rela bersatu di luar BN. BN atau UMNO itu bukannya agama atau Tuhan yang tidak boleh disekutukan. Orang ramai bukannya bertukar akidah tetapi sekadar bertukar wadah.

Pertukaran wadah itu pun di dorong oleh kelemahan UMNO itu sendiri. Seorang Melayu yang menyertai DAP tidak akan mengurangkan Melayu mereka. Lahirnya seorang Melayu itu akan tetap seorang Melayu sehingga akhir hayatnya.

Melayu yang berjiwa hidup tidak akan hilang identitinya jika menyertai mana-mana parti berbilang kaum. Melayu yang hidup jiwanya itu adalah ibarat ikan yang hidup bertahun-tahun di lautan dalam yang masin. Ikan yang hidup itu jika dikeluarkan dari lautan dalam, ia tetap tidak masin.Tetapi sebaliknya jika ikan mati di keluarkan dari lautan dan di jemur, ianya akan jadi ikan masin yang kering.

Anologi ini membezakan di antara mereka yang berjiwa besar dan inginkan perubahan dengan mereka yang fakir jiwanya dan terus sahaja memberikan sokongan kepada pengkhianat rakyat dan negara melalui rasuah dan salah guna kuasa itu.Jika UMNO dan pemimpin serta penyokongnya menganggap sesiapa yang menyertai PAS, DAP atau PKR itu sebagai boneka, maka pihak yang menyokong BN itu juga adalah boneka kepada kumpulan penagih rasuah dan penyalahguna kuasa pula.

Maka akhirnya akan wujud dua kumpulan boneka. Boneka yang pertama ialah boneka kepada kumpulan penagih rasuah dan satu pihak lagi ialah boneka kepada pihak yang bersih dan beretika dan tahu menyelangarakan kerajaan dengan lebih bersih dan transperan.

Rakyat perlu diberikan kebebasan untuk memilih di antara dua kumpulan ‘boneka’ ini. Bagi diri saya saya memilih untuk menjadi ‘boneka’ kepada kerajaan yang bersih dan jujur terhadap rakyat dan negara. Saya mungkin akan menjadi ‘boneka’ kepada kumpulan yang bersih yang mengelak dari memainkan isu rasis yang tidak berfaedah kepada rakyat dan negara. Masa akan menentukannya.

Saya sedar saya tidak ada negara lain untuk saya berlindung. Malaysia sahajalah negara saya. Saya tidak mampu untuk berada di negara lain kerana saya tidak mempunyai apa-apa. Hanya negara ini sahajalah tempat saya untuk hidup sehingga di panggil Allah swt ke arash. Saya seperti saudara mempunyai generasi saya yang saya tinggalkan yang perlukan jaminan dan tidak di terbiar melata di negara mereka sendiri.

Masalahnya orang melayu sekarang sudah kehilangan UMNOnya. Ada parti yang saya anggotai menggunakan nama UMNO, tidak mempunyai ciri-ciri UMNO yang sebenarnya. Jasad UMNO sudah lama terpisah dengan rohnya. Yang masih ada pada UMNO sekarang hanyalah alat sokongan penafasan, iaitu saki baki KUASA yang ada kepada parti itu.

Jika alat sokongan penafasan ini dicabut oleh rakyat nanti maka berhentilah denyutan jantungnya dan tidak akan bergerak lagi.

04 October 2011

Rakyat mahu bersatu, tetapi bersatu di luar BN

Di dalam sesebuah negara seperti negara kita yang penduduknya terdiri dari berbilang kaum, yang paling penting kita mesti perjuangkan ialah membina masyarakat dan rakyat yang bersatu dan muhibbah.

Di dalam negara kita dini hari kita sedang melihat keruntuhan dan kejatuhan tahap perhubungan kaum yang merbahaya. Perhubungan di antara kaum ini kini sudah sampai keperingkat yang terendah malahan lebh rendah dan merbahaya dari keadaan sebelum 13 Mei 1969 dahulu.

Laungan dan bisikan rasis yang di amalkan oleh pemimpin-pemimpin yang tidak berkepimpinan merupakan penyebab utama kenapa penyakit membenci di antara satu kaum dengan kaum yang lain sudah sampai ke tahap yang sangat menyakitkan. Oleh kerana kelemahan pimpinan yang tidak di hormati oleh rakyat berbilang kaum maka parti-parti yang rasis yang menganggotai BN sedang sibuk memukul gendang perkauman untuk mendapat sokongan kaum yang mereka masing-masing pimpin.

Semasa kepimpinan negara mempunyai kredibiliti yang tinggi kerana sifat ‘magnanimity’ mereka yang tinggi dahulu, mereka berani untuk mengambil sikap yang jelas untuk melakukan usaha mencapai penyatuan rakyat. Tun Abd Razak berjaya membawa semua pemimpin berbilang kaum kemeja perundingan dan menyatakan dengan terus terang yang ‘national unity’ itu ada matlamat terakhir bagi negara kita.

Tun Razak dan pimpinan beliau berani menyatakan perpaduan kaum itu adalah perkara yang terpenting untuk dicapai. DAN itu pun ‘ultimate’ negara. Kepimpinan semasa itu berani mendapatkan persetujuan semua pemimpin kaum di negara ini untuk negara melalui dasar-dasar yang jelas bagi mencapai matlamat perpaduan kaum itu. Pemimpin-pemimpin UMNO sebagai parti yang utama semasa itu faham tentang keresahan rakyat yang menyebabkan berlakunya kejadian 13 Mei ’69 itu.

Di sinilah lebihnya pemimpin pra Mahathir. Mereka mampu menyelami masalah rakyat yang berbilang kaum ini. Apabila mereka tahu dan faham semua masalah rakyat ini maka barulah mereka lakukan tindakan dengan menggubal dasar-dasar yang boleh menyelesaikan masalah itu. Ini memang asas ilmu pengurusan; ‘one has to understand problems up to specific even before thinking of solving them’.

Pemimpin kita berjaya menyelami segala masalah rakyat yang berbilang kaum, maka pimpinan pun dengan mudah menggubal dasar-dasar untuk membentuk proses-proses ke arah matlamat ‘national unity’ itu.

Tun Razak dan barisan kepimpinannya berjaya mendapat sokongan semua kaum untuk beliau melaksanakan DEB dan pencapaiannya ialah melalui beberapa proses yang telah dipersetujui oleh semua kaum.

Pertamanya untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Keduanya untuk menghapuskan cara mengenali satu-satu kaum itu melalui fungsi ekonominya. Kerajaan tidak mahu lagi Melayu di kenali sebagai pekebun dan petani kecilan yang duduk di desa-desa. Kaum Cina tidak hanya dipersepsikan sebagai gulungan peniaga sahaja dan kaum India tidak digambarkan sebagai hanya pekerja ladang kepunyaan bangsa asing dan taukay besar-besar sahaja. Ketiganya untuk merapatkan jurang pendapatan di antara yang berada dengan tidak berada.

Keempatnya untuk membesarkan serta melebarkan kek ekonmi negara dan menyusun pembahagian harta kekayaan negara mengikut kaum secara equitable (bukan equal).

Bumiputra di berikan kemudahan dan galakan untuk mencapai 30 peratus penyertaan di dalam bidang ekonomi dan industri dan bukan bumiputra sebanyak 40 peratus dan selebihnya untuk bukan rakyat Malaysia.

Dasar ini telah di persetujui oleh semua pihak termasuk yang bukan bumiputra kerana proses pembahagian dan menambah penyertai bumiputra itu bukannya dengan mengambil alih atau merampas hak bukan bumiputra tetapi sebaliknya dengan membesarkan kek ekonomi tadi untuk bumiputra mengusahakan pencapai matlamat pegang kekayaan serta equiti negara sehingga 30 peratus menjelangnya tahun 1990.

Apabila dasar ini mula dilaksanakan saya masih teringat bagaimana kerjasama di antara semua kaum begitu jelas dan saya sebagai seorang pegawai kecil di dalam kumpulan pelaksana itu merasakan kenikmatan begitu nyata kerana ramai rakan rakan bukan Melayu di dalam syarikat-syarikat yang dikuasai oleh bukan bumiputra telah berinteraksi dengan kami untuk mencari jalan bagi menambah penyertaan bumiputra di dalam pengurusan syarikat-syarikat milik mereka.

Mereka berbangga jika dilihat sebagai agen perubahan dan sentiasa memberikan peluang untuk melatih dan mendidik bumiputra dalam bidang pengurusan syarikat syarikat awam yang besar-besar.

Di pihak kerajaan pula telah di wujudkan puluhan atau mungkin ratusan agensi-agensi yang berkepentingan bumiputra untuk membesarkan kek ekonomi bagi melunaskan cita-cita untuk mencapai matlamat 30 peratus pegangan bumiputra dalam equiti kekayaan negara. Puluhan syarikat-syarikat ‘public companies by guarantee’ (sekarang GLC) untuk memegang kekayaan bagi bumiputra yang pada dasarnya akan dipindahkan ketangan bumiputra akhirnya.

Dalam lain perkataan sesiapa yang memegang tampuk kepada syarikat-syarikat GLC ini, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk memajukan syarikat-syarikat tersebut untuk kepentingan orang Melayu dan bumiputra keseluruhannya. Mereka sebenarnya sedang memegang amanah bagi pihak bumiputra semuanya.

Tetapi ramai di antara Melayu yang memegang jawatan-jawatan tertinggi di dalam syarikat-syarikat tersebut sudah lupa atau pun tidak tahu kenapa mereka berada di sana kerana hari ini kita lihat bumiputra tidak mendapat apa-apa dari syarikat-syarikat tersebut sebaliknya hanya berjaya meningkatkan ego kumpulan pengurusan GLCs tersebut. (kita sentuh isu ini dalam posting yang akan datang). Ketua-ketua eksekutif syarikat-syarikat kerajaan ini menjadikan amanah yang di berikan rakyat untuk memupok kekayaan mereka yang tiada batas moral dan agamanya.

Perlaksanaan DEB pra Mahathir sangat berjaya kalau di ukur dari kepantasan peningkatan peratusan pegangan bumiputra di dalam pegangan kekayaan negara. Dari 2.7 peratusan pegangan bumiputra dalam kekayaan negara ini pada 1971 peratusan itu telah meningkat kepada 18.4 peratus pada 1984. Kesungguhan pucuk pimpinan semasa itu untuk melihat matlamat untuk mencapai 30 peratus penyertaan bumiputra di dalam industri dan perniagaan membuahkan pencapaian yang memberansangkan tetapi ianya hanya sehingga DEB di abaikan oleh pucuk pimpinan pada pertengahan lapan puluhan yang membantutkan perkembangan itu.

Sehingga sekarang bumiputra belum pun sampai ketahap 20 peratus penyertaan di dalam equiti ekonmi negara. Malahan kita tidak langsung mendengar pemimpin-pemimpin kita bercakap dan memberikan focus untuk menyelesaikan isu penyertaan bumiputra di dalam bidang perdagangan dan perindustrian.

Keistimewaan untuk bumiputra itu di ambil alih oleh bumiputra yang menjadi kroni kepada pucuk pimpinan dan bumiputra yang mempunyai kebolehan tidak lagi berkemampuan untuk membuktikan kebolehan mereka untuk memajukan diri mereka dengan DEB itu. DEB telah di cemari sejak 3 dekad yang lalu kerana segala keistimewaan yang sepatutnya di rasakan oleh orang Melayu yang ramai hanya di bolot oleh segelintiran Melayu yang berada di dalam sistem kronism yang menebal sekarang ini.

Apabila budaya kronism ini bermaharajalela maka ianya memberikan pandangan negatif bangsa-bangsa lain yang telah menyokong DEB selama ini tetapi bumiputra tidak juga maju. Orang Melayu sendiri yang sudah lama bersabar melihat kemungkaran dari kronism ini sedang dalam pencarian untuk mengelak dari budaya kronism ini berkembang lebih menggila lagi.

Banyak bukti telah di tunjukan oleh orang Melayu sendiri tentang kemarahan mereka terhadap budaya rasuah melalui kronism ini tetapi pemimpin-pemimpin tidak juga mahu berubah budaya buruk ini. Mungkin mereka (pemimpin) mengambil isu isu sebagai isu kecilan sahaja maka mereka (pemimpin) mengambil sokongan Melayu itu sebagai ‘for granted’.

Akhirnya matlamat penggubalan dasar-dasar untuk mencapai matlamat perpaduan rakyat itu gagal dilaksanakan sehinggakan tidak lagi mungkin boleh mencari perdamaian abadi dalam perhubungan antara kaum di negara ini. Mahu tidak mahu kita mesti hidup dalam ‘neighborhood’ berbilang kaum dan adalah tidak aman jika masing-masing kaum tidak menghormati di antara satu dengan lain.

Rakyat kini cenderung untuk bersatu secara berkekalan tetapi mereka sedar yang perpaduan itu akan hanya boleh dicapai jika semua rakyat berbilang kaum beramai-ramai bersatu di luar BN dari sekarang ini. Isu rasis yang digembar gemburkan oleh parti-parti dalam BN sesungguhnya merupakan satu tindakan yang menentang semangat hidup muhibbah dalam masyarakat berbilang kaum. Orang Melayu tidak boleh lagi melayani penyakit rendah diri dan sentiasa merasa takut untuk bersama-sama hidup saling asih mengasih di antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Mungkin ada formula baru tetapi eloklah di tunggu sehingga posting yang akan datang ini………(bersambung)…