28 May 2013

Semua mesti berkorban untuk keharmonian rakyat dan negara

Semalam kita terbaca kenyataan Mahathir yang tiada siapa yang berkelayakan untuk mengganti Najib walaupun sebelum itu beliau berpendapat berlainan. Sebelumnya Mahathir pernah menyatakan yang Najib perlu diganti jika prestasi BN dalam PRU13 yang lalu lebih lemah daripada PRU12 pada 2008 dahulu. Semalam Mahathir mengaku pula yang tidak ada yang layak untuk menggantikan PM Najib. Sekaligus ia memberi makna yang Muhyiddin tidak layak untuk menggantikan Najib walaupun BN telah menunjukkan prestasi terburuk dalam mana-mana PRU yang lepas-lepas.

Jika dicari pengganti di kalangan MT yang ada, sememangnya tiada pengganti untuk Najib kerana menggantikan Najib dengan sesiapa di kalangan pimpinan dalam MT itu, ia bukanlah satu perubahan. Semua mereka itu seperti yang selalu saya sebut, datang dari acuan yang sama. Dari Abdullah, Najib dan sesiapa sahaja di kalangan mereka dalam MT UMNO itu menjadi pewaris kepada kepimpinan hari ini, keadaan dan ‘environment’ politik negara tidak akan berubah. Keadaannya akan sama sahaja.

Apa yang dikatakan oleh Mahathir itu betul. Tetapi jika UMNO mahukan perubahan, parti itu perlu mengalihkan ‘ambience’ politik jauh dari keadaan sekarang. Maksudnya UMNO perlu memilih mereka yang dari luar MT itu. Jika ini tidak dilakukan maka UMNO tunggu sahajalah ketentuan yang akan dilakukan oleh rakyat dalam PRU14 yang akan datang. Itu tidak akan dapat dielakkan.

Itu sebabnya dalam posting yang semalam saya menulis tentang betapa perlunya negara ini memulakan perubahan yang drastik untuk mengelakkan rakyat berada dalam keadaan sekarang. Pandangan ini adalah pandangan yang sejujur-jujurnya dan pihak pembangkang tidak perlu melakukan apa-apa lagi untuk berkuasa jika transformasi sebenar dan drastik tidak dilakukan sekarang.

Pandangan buruk rakyat terhadap UMNO dan BN tidak dapat diubati lagi. Sekarang sudah sampai satu tahap jika pimpinan UMNO bercakap benar pun sudah tidak diyakini lagi oleh rakyat dengan sepenuhnya. Stigma negatif yang sedang melekat di batang tubuh UMNO itu sudah tidak boleh dihilangkan lagi.

Justeru apa yang dikatakan oleh Mahathir itu ada kebenarannya, yang tiada siapa yang berkelayakan menggantikan Najib kerana mereka di sekeliling Najib dan MT UMNO itu adalah serupa PM Najib juga. Maka tidak payahlah diganti jika ada pihak hendak menggantikan Muhyidin dengan Najib. Jika UMNO serius hendak berubah orang yang paling sesuai untuk diberikan kuasa itu adalah ‘council of elders’ dan mereka yang ada pada hari ini terpaksa berkorban dan mengundurkan diri.

Ada yang menyebut pengganti kepada yang ada sekarang adalah kerajaan perpaduan yang telah pun ditolak oleh Azmin Ali dalam Kongress tahunan PKR dua hari lepas. Tetapi mana-mana parti pun tidak boleh menentukan keadaan sekarang kerana ini adalah pandangan rakyat yang mahukan semua pihak bersatu dalam satu ‘congregation’ kepimpinan yang melibatkan semua pihak.

Apabila semua pihak bersetuju untuk bersatu maka masing-masing pihak terpaksalah ‘berseri-beri’ kata orang tua-tua. Maksudnya tidak semua pihak atau individu mendapat semua yang mereka mahukan. Dalam proses ini setiap pihak dan individu tertentu mesti bersedia untuk berkorban walaupun terpaksa meletakkan jawatan atau melupakan kehendak peribadi untuk menjadi orang yang paling berkuasa.

Jika pihak yang sedang memimpin sekarang tidak berkemampuan untuk bertahan dan berbuat baik, mungkin tindakan mengundurkan diri mereka boleh membawa keharmonian kepada rakyat dan kerajaan kita. maka pengunduran itu adalah satu kerja baik yang akan dikenang oleh rakyat sampai bila-bila.

Maksudnya ada pihak yang boleh berjasa kepada negara dengan mendapatkan kuasa dan ada pihak lain yang perlu berundur untuk maksud yang sama. Tidak juga terlupa kepada pihak yang mesti melupakan hasrat untuk berkuasa semata-mata untuk kepentingan negara. Yang pentingnya kesemua pihak ini membantu untuk mewujudkan kebaikan dalam negara dan keharmonian rakyat keseluruhannya.

Sesungguhnya setiap orang itu boleh melakukan kebaikan untuk yang ramai ini, asalkan sahaja setiap yang terlibat itu jujur untuk melihat kebaikan yang kita hendak wariskan kepada generasi negara yang akan datang.

Tetapi selalu usaha baik itu gagal kerana ada di antara yang ramai itu terpengaruh dengan bisikan 'khatir' yang mahukan kita sentiasa berpecah-belah. Melawan bisikan jahat 'khatir' itulah sebenar-benar perjuangan yang paling besar di sisi Tuhan yang Maha Esa. DAN peperangan melawan bisikan 'khatir' ini adalah peperangan sepanjang hayat bagi mereka yang ingin tergolong dalam manusia yang mukmin.

17 comments:

Anonymous said...

Masa 56 tahun adalah masa yang panjang untuk belajar dan mengajar cara untuk menangkap ikan tetapi kenapa melayu memilih untuk mencuri ikan.

akulah69 said...

Berdasar kesederhanaan dan kebijaksanaan, kelihatan dato' saifuddin abdullah sesuai. Sya percaya, seorang PM tidak wajar diwarisi drpd seorang bapa. Andaikata hishamuddin naik, kita rakyat nmpak ketidaksesuaiannya, dengan emosi, menurut perasaan, perkauman, itu yg kita lihat. Saifudin lebih neutral. Kita harap saifuddin ada keberanian utk mencabar kedudukan najib atau muhyidin. Kalah tak mengapa, menang bonus buat beend. Tp biasalah, dlm umno org baik akan disingkirkan.

Anonymous said...

Kekayaan dan kekuasaan adalah yang terbaik bagi umno, sangat mustahil dapat diubah melalui acuan yang sama.mereka tidak akan menerima kenyataan dan kesalahan sambil itu menyalahkan orang lain.

awangbatuburok said...


Salam Tuan Aspan,

Apakah tuan mencadangkan rakyat terpaksa akur dan bekerjasama dengan "syaitan yang dikenali" demi mengelakkan pertarungan yang berterusan?

Apakah berlaku dizaman Rasulullah SAW pembentukan kerajaan perpaduan (UG) dengan pemerintah bumi Mekah ie, Abu Jahal dan kuncu-kuncunya demi mengekalkan perpaduan bangsa quraish Mekah pada masa itu?

Mohon sedikit pencerahan.

Anonymous said...

Mungkin unity goverment boleh dilakukan dgn mereka yg lebih jujur dan ikhlas utk membaiki kesilapan dan merealisasikannya dgn berkesan

Ya semua pihak kena fikir bersama demi kepentingan negara..apabila kepentingan negara diutama secara automatik nasib melayu akan tetap terbela

bwh said...

Salam tuan,

Apa yg nak dihiraukan kenyataan Madey, manusia hipokret yg dah nyanyuk. Anggap saja dia dah jadi sejarah yg menghitamkan lanskap politik negera. Kita hanya boleh pakai cakap Madey ni nanti di mahkamah Allah SWT. Bayangkan 28juta manusia mendakwa dia sorang dihadapan Allah Azzawajalla, nau'zubillah.

Mengenai cadangan tuan tentang tolak ansur antara BN dan PR, sy rasa ianya boleh kalau BN tu bersih. Tapi apabila BN dan rasuah, salahguna kuasa dan yg sewaktu dgnnya dah jadi synonym maka BN kenalah ambil contoh parti LDP Jepun, undur dan kalau nak berkuasa semula belajarlah jadi hero rakyat.

Kerajaan campuran hanya boleh wujud kalau kedua2 belah pihak bersih. Tetapi dlm hal BN dan PR sekarang mustahil mereka boleh bersama sebagai satu kerajaan. Yg satu hendakkan bathil tetap dilakukan dan yg satu berpegang kpd hak tanpa kompromi.

Rakyat dgn jelas telah memilih PR sahaja utk menerajui negara bukan bercampur dgn BN yg telah dihumban ke longkang. Hanya penipuan ala budak hingusan, BN menang. Kemenangan yg penuh bathil, hina dan jijik yg sanggup dilakukan oleh manusia2 melayu yg mengaku Islam dan malang bagi negara ini kerana spesis manusia ini hanya wujud di Malaysia.

Umno/BN dah tak relevan dan telah hilang status memperjuangkan ketuanan melayu serta nasib rakyat keseluruhannya. Umno/BN spt hidung tak mancung pipi tersorong2, rumah dah kata pergi kubur dah kata mari dan mcm ayam berkokok ekor penuh dgn taik.

Kumpulan manusia dlm umno/BN kecuali MCA, mereka sudah hilang maruah dan harga diri. Mereka mungkin hanya sedar apabila bumi dan langit dan seisinya enggan berkawan malah melaknat mereka.

Rumusan, penyelesaian paling tepat utk kebaikan negara dan rakyat, umno/BN WAJIB undur dan terima apa hukuman yg bakal dihakimi oleh rakyat. Org kata berani buat berani tanggung dan inilah ketikanya umno/BN kena tanggung.

Unknown said...

Mmg hy Dato saifudin...tp nk ke mereka yg lain berkorban

Anonymous said...

Majoriti rakyat Malaysia masih seronok jika golongan bangsawan dan elite jadi Ketua mereka. Mereka masih percaya golongan bangsawan akan menjaga keluarga mereka.

Mahathir dari dulu lagi akan melantik atau menyokong pemimpin yang ' tidak cerdik' dan dipenuhi dengan masalah peribadi. Dengan itu pemimpin yg jenis ini boleh disuruh-suruh utk memperkayakan diri dan keluarganya. Mahathir tahu antara Najib atau muhiyuddin Najib lebih mudah utk di kotak katikkan.

Mohd Zuki

Anonymous said...

Mahadir malu nak ckp..iaitu hanya mukhriz saja yg layak mengantikan najib..apa? mereka inggatkan jawatan pm hnya berhak kepada keluarga pm saja..sepatutnya umno di perbetulkan sejak zaman mahadir lagi,penipuan yg di lakukan oleh beliau..

Najib pon bijak bila menyuruh nazir cimb berkerjasama dgn mirzan San Miguel (syarikat arak) bersatu membeli bank filipina..pasal najib tau mahadir anak beranak tamak mengenai duit..skrg najib tidak ada penganti yg layak..

mahadir ingat malaysia ne dia yg punya..yg boleh menentukan ketua negara..

Anonymous said...

malaysia akan lebih bagus jika tiada umno dlm arus politik malaysia...pemimpin umno hanya berlingkar untuk kepentingan wang dan kuasa...bukan untuk kedaulatan islam dan melayu..

Selama umno berkuasa,cuba kita lihat pada yg terjadi pada islam dan melayu..adakah lebih baik atau akan akan bertambah teruk..rakyat malaysia khasnya org melayu kena tipu kaw kaw dgn umno..

Akan tiba masa nya org cina menjadi pm di tanah melayu kerana kebodohan umno...akan tiba masa nya akan ada org melayu kencing di kubur madey..kerana geram akan madey..masa tu akan terlambat..

Anonymous said...

Mestilah mahadir tak mauk tukar najib sebab murkriz dan dpt jadi km...nanti orang kata tak kenang budi...bila dah sampai masa nanti utk murkriz jadi pm baru lah najib ada penganti yang layak...tetapi kenapa rakyat malaysia mesti dengar cakap mahadir....malaysia untuk rakyat sepatutunya....cubalah fikir sendiri...tiada yang salah selagi tiada yang salah dapat diperbetulkan....

Anonymous said...

AA, saya tengok lagak laku penyokong PR ini pun meragukan saya yang PR tu bolih jadi pengganti kerajaan ni.
Nak buang org tu, nak kencing kubur orang ini, nak baling BN kat longkang dan macam macam lagi. Sombong! Kalau Anwar dan PR memerintah tidak terkejut keadaan aka lebih dahsyat lagi. Mulut mereka celupar macam apa aje.

Itulah dia apa yang org cakap...macam kudung dapat cincin. Takut saya mendengarnya. Elok maintainlah BN ni..atau terima apa yang AA cadangkan itu.

razak

Anonymous said...

Anon, (razak),

saya pun berpendapat yg sama. Jika sikap sombong sudah ada belum pun memerintah, memilihpimpinan seperti ini satu kesilapan. Kita memerhati dan melihat.

Kalu gitu, cukuplah memangkah PR dalam pru yg baru ini. Pru yg akan datang saya sudah muktamad hendak berikan undi kepada BN kembali.

Sombong mereka tidak bertempat. Lagak mereka mcm sudh memerintah. Kata org pi mai pi mai duk tang tu jugak.

salam razak.

Anonymous said...

Tiada apa yang dapat diubah selagi yang salah itu belum dibetulkan lagi.

Anonymous said...

Jangan biarkan kepentingan parti mengatasi kepentingan negara, Lantiklah menteri dari kalangan mp dan adun PR, mereka pun dipilih oleh rakyat.

Anonymous said...

Dalam 1 pejabat pun ada juga kaki lawan dan tidak sependapat, tapi syarikat tetap bertambah maju, sebabnya semua berkerja untuk kebaikan syarikat.Rakyat mungkin memilih pemimpin secara demokrasi tapi parti mengatasinya secara kukubesi, fikir2kan la.

Anonymous said...

Razak.

Saya amat sokong dan mungkin juga Tuan Aspan pun menyokong terhadap kenyataan anda. Terutama apabila orang seperti anda mengkritik PR dan kalau boleh kritik Anwar Ibrahim lagilah Tuan Aspan akan sokong 1000%.