31 October 2013

Tidak kenal yang mana hujung dan pangkalnya, masih nak pegang kuasa

UMNO adalah parti tua. Penyakitnya pun penyakit tua. Ramai ahli-ahli UMNO cuba mencari pemimpin-pemimpin muda untuk meremajakan parti itu tetapi penyakit yang sering menghinggapi orang tua juga di hinggapi pemimpin muda dalam parti itu. UMNO adalah parti yang tidak mengikut arus perubahan zaman dan parti itu adalah sebuah parti kekampungan yang tidak mampu berubah dalam semua hal walaupun niatnya hendak berubah itu nyata dan jelas.

UMNO tidak tahu apa yang hendak di ubahnya. UMNO tidak tahu lagi apa yang baik yang perlu di lakukannya dan lebih sedih lagi mereka tidak tahu pun mana yang baik dan yang buruk. Mereka menyangka yang apa yang Najib lakukan hari ini adalah pembaharuan tetapi sebenarnya tindakan Najib itu sebenarnya tidak menunjukkan yang UMNO sudah mula untuk berubah.

UMNO mentadbir kerajaan seperti mentadbir persatuan bola takraw dan mengambil keputusan tanpa bersandar kepada dasar-dasar tetap yang telah di gubal. Apabila di rasakan ada satu pihak atau kumpulan marah dan tidak berpuas hati semasa itu kumpulan itu akan di berikan hadiah dalam berbagai-bagai bentuk dan cara. Selalunya akan di berikannya wang sogokan di atas berbagai-bagai nama.

Najib mentadbir negara seperti mentadbir khairat kematian. Apabila mendengar seseorang meninggal dunia Najib akan memberikan bantuan khairat kematian dengan jumlah yang kecil. Bantuan akan hanya tiba jika ada kematian. Bantuan itu tidak akan mendatangkan kemajuan kepada keluarga si mati selain dari menggunakan wang itu untuk membeli kain kapan mayat dan biskut semasa kenduri tahlil sahaja.

Maksud saya banyak perbelanjaan itu di buat dengan keputusan ad hoc tanpa pelan yang konkrit yang akhirnya membawa negara ke kancah pembaziran yang tidak terkira jumlahnya. Sebelum pilihanraya dahulu, tiba-tiba jururawat mendapat bayaran ‘one off’ sebanyak RM100. Lepas itu kita melihat Najib memberikan bantuan kilat kepada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang memakan belanja berpuluh juta ringgitnya.

Kita bukan mempersoalkan jumlah wang yang di berikan kepada sekolah Cina tetapi biarlah ia terancang dalam pelan yang konkrit dan di rancang perbelanjaan itu dengan teratur dan tersusun. Najib dan UMNO perlu ingat wang itu semuanya adalah wang rakyat bukannya wang peribadi mereka. Pemberian bantuan itu mesti di rancang terlebih dahulu dan jangan membantu secara adhoc kerana ia akan memudharatkan kewangan negara.

Baru-baru ini saya menyambut beberapa rakan-rakan saya yang pulang dari mengerjakan rukun haji. Mereka keseluruhannya merungut kerana seramai 800 orang istimewa telah di bayar oleh kerajaan untuk mengerjakan rukun haji melalui IMDB. Mereka terdiri dari ketua kampung, imam dan bilal dan ketua-ketua masyarakat di beberapa buah kampung yang selalunya adalah penyokong kuat kerajaan.

Tidak ada siapa yang marah jika IMDB mendapatkan kuota Haji itu sendirian dari Kerajaan Arab Saudi, tetapi kesemua bakal haji itu menggunakan kuota Tabung Haji yang banyak berkurangan tahun ini. Najib tidak sedar yang ada lebih dari 70,000 orang Islam kita yang sudah lanjut usianya masih belum dapat kesempatan untuk menunaikan ibadah Haji itu, sedangkan mereka adalah di kalangan yang telah membuat simpanan sejak puluhan tahun dahulu. Sempatkah mereka ini mendapat giliran untuk ke tanah suci ini, sedangkan umur mereka semakin lanjut.

Saya mencadangkan supaya kumpulan yang istimewa ini biarlah mendapatkan kuota itu dengan istimewa. Jika masih hendak menggunakan kuota Tabung Haji mereka ini perlu mengikut giliran dan utamakan mereka yang tua-tua yang telah lama menyimpan berdikit-dikit sejak muda mereka.

Janganlah oleh kerana setengah orang berada di koridor kuasa mereka mempunyai keistimewaan untuk melanggar dan lompat giliran. Orang yang tidak menjadi ahli JKKK pun hendak menjadi tetamu Allah juga. Bukannya orang kuat UMNO sahaja yang hendak mengerjakan ibadah haji dan mencium batu hajarul aswad itu. Orang yang tidak ada dalam jawatankuasa JKKK pun hendak juga merasa berada di Arafah dan berwukuf serta melontar semasa tiga hari tasyrik itu.

Orang yang tidak menjadi ketua kampung juga ingin bertawaf dan ber sai di antara Safar dan Marwah itu. Orang yang tidak bilal juga mahu mengalami menziarahi Rasullullah saw di Medinah kerana menziarah makam Rasul itu serupa menziarahi baginda semasa baginda masih hidup. Hendak menziarahi Rasul juga mesti menjadi orang kuat JKKK dan UMNO.

Tuhan dan agama orang PAS, PKR dan DAP Islam juga ialah Allah swt. Allah itu bukannya Tuhan orang UMNO sahaja. DIA adalah Tuhan semesta alam, dan Tuhan kepada semua makhluk. Kita tahu yang lautan dan desiran ombak itu adalah berzikir terhadap Allah. Pokok dan pohon semua berzikir kepada Tuhan tanpa henti-henti. Hanya setengah umat manusia sahaja yang tidak mahu lagi atau terlupa untuk berzikir terhadapNya. Agama itu hanya tempelan politik mereka sahaja.

Jika segala tindakan kerajaan itu tidak mengambil kira semua perkara negara tidak akan melihat satu pentadbiran yang matang kerana pemimpin bertindak mengikut kemahuan dan syahwat politik masing-masing.

Itu semuanya perkara kecil sahaja. Belum lagi kita sentuh isu perpaduan kaum dan agama yang sedang dalam keadaan yang sangat merbahaya dan menakutkan. Belum lagi menyentuh tentang isu pembahagian kekayaan negara secara ‘equitable’ yang menjadi teras pembangunan ekonomi negara dan rakyatnya. Kalau kita dengar cakap-cakap dan kenyataan pimpinan negara seolah-olah perancangan mereka itu adalah terbaik tetapi rakyat tetap tidak terurus dengan betul.

Pendeknya negara sedang di pimpinan oleh apa yang di sebut sebagai ‘faked leaders’ yang tidak berapa faham di mana hujung dan pangkalnya kaedah pentadbiran kerajaan yang benar-benar berkemampuan untuk melaksanakan semua perancangan baik yang telah di gubal itu.

Perancangan tetap tinggal perancangan tetapi semua perancangan selama ini terbantut di peringkat perlaksanaannya kerana perlaksanaan semua perancangan itu di kotori dengan perlakuan rasuah dan salah guna kuasa pemimpin-pemimpin kita terutamanya pemimpin utama negara kita.

Blog ini mengulangi, selagi tiada tindakan berkorban dari mereka yang memimpin sekarang ini, tidak akan terjumpa penyelesaian terhadap masalah negara ini. Kesemua pimpinan yang berada di dalam UMNO itu wajar berundur dan berikan kuasa untuk seseorang atau kumpulan yang lain yang tidak terlibat dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah mengendalikan proses perubahan itu.

Rakyat sudah terlalu lama menunggu dan perubahan masih juga tidak nampak akan tiba.

30 October 2013

Busuknya politik, baunya datang dari usus pemimpin-pemimpin sendiri

Apabila kita berbohong lama kelamaan orang ramai akan mengetahui bohong kita itu juga. Apabila kita buat perkara yang terbalik, hasilnya juga akan terbalik. Hanya apabila kita melakukan kerja secara jujur dan mengikut kehendak jiwa jujur sahaja kita susah hendak dipersoal oleh mana-mana pihak, waimma dari musuh kita sendiri.

Apa tah lagi jika pemimpin mengkhianati rakyat dan kerajaan secara senyap sekali pun, akhirnya ia akan terbongkar kepada pengetahuan umum. Tidak ada kesalahan, terutamanya kesalahan pimpinan kepada rakyat itu boleh di lindungi sampai bila-bila masa. Ia akan tetap mendapat perhatian umum akhirnya membawa badai buruk kepada pemimpin itu.

Apabila kita membeli alat persenjataan untuk negara misalnya, kerajaan dan pemimpin yang bertanggungjawab mesti mencari harga yang terendah dalam mengikut spesifikasi yang kita perlukan. Tujuannya ialah untuk mengurangkan perbelanjaan mana yang boleh tanpa mengorbankan spesifikasi yang di perlukan itu.

Matlamat mencari harga yang murah itu tentulah kerana rasa bertanggungjawab ke atas wang rakyat yang di belanjakan itu. Itulah tanggungjawab pemimpin parti yang berada di Kementerian-Kementerian untuk melakukan pemantauan terhadap cara wang rakyat di belanjakan. Tugas menteri itu bukannya satu tugas yang susah jika mereka mengikut apa yang perlu mereka lakukan di Kementerian masing-masing.

Tetapi Menteri-Menteri mencari masalah dengan melakukan tanggungjawab terbalik dari apa yang sepatutnya mereka lakukan. Contohnya Menteri Pertahanan perlu memastikan yang ‘end user’nya ia itu pasukan angkatan tentera kita membeli alat persenjataan dengan harga yang setimpal dengan harga pasaran barang yang di beli itu. Tetapi seperti yang di syaki ramai Menteri yang bertanggungjawab mencari jalan dan berusaha untuk membeli barangan atau alat persenjataan itu dengan harga yang tinggi.

Ini berlaku tentulah kerana ada kepentingan dikalangan mereka itu dan itu sudah pasti boleh di tuduh sebagai tindakan rasuah. Ia dilakukan dengan begitu sistematik dan di lindungi pula oleh akta-akta yang menyukarkan untuk mengambil tindakan terhadap pesalah-pesalah rasuah itu. Malahan mereka bukan hendak mentadbir dan menjaga rakyat sebaliknya mereka memunafaatkan jawatan mereka sebagai modal untuk berniaga secara besar-besaran. Modalnya perniagaan ialah jawatan Menteri, dan pelanggannya ialah rakyat yang membelinya dengan harga yang berlipat kali ganda.

Entah siapa yang mendapat keuntungan di atas penghapusan subsidi gula yang di umumkan oleh PM Najib sama-sama kita boleh agak. Tetapi kalau kita tela'ah dengan teliti keadaan di sekeliling industri gula ini ramai yang merasakan yang harga bahan mentah gula yang di ‘import’ itu adalah amatlah jauh lebih tinggi dari harga pasaran dunia. Harga bahan mentah gula di pasaran tidak melebihi USD 17 pada tahun lepas tetapi kita telah mengimport bahan itu melebihi USD 20.

Tetapi rakyat tidak mengetahui apa yang sedang berlaku di dalam industri gula ini, maka dengan mudah rakyat telah tertipu bulat-bulat dengan menggunakan isu kencing manis dan sebagainya. Apabila seseorang itu tidak tahu menahu apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini mereka tidak akan merasa tertekan hidup di negara ini.

Itu sebabnya kadangkala lebih baik kita tidak tahu apa-apa tentang penipuan dan pembohongan kerajaan ini kerana mengetahuinya akan membuat kita merasa ‘stressful’ di atas perlakuan pimpinan kita itu. Malahan penghapusan subsidi gula itu bukannya mengurangkan bilangan pesakit diabetes malah ia berkemungkinan menambah bilangan pesakit diabetes itu.

Sebenarnya rakyat di bohongi oleh kepimpinan kita,. pembohongan itu di lakukan dengan sistematik sehinggakan mereka memperalatkan pembohongan mereka untuk meraih sokongan ramai. Itu sebabnya kita selalu terlihat, lagi mereka (rakyat) di bohongi lagi kuat sokongan mereka kepada kerajaan dan pimpinannya hari ini.

Sikap berbohong ini bukan sahaja dilakukan oleh parti UMNO dan BN malahan ada parti dalam pasukan pembangkang juga mendapat keistimewaan ini. Ada parti yang mengaku sebagai parti ‘multiracial’, akhirnya menumpukan usaha untuk ‘memompong’ politik dengan kaumnya sendiri sahaja. Berbagai cara dan isu di timbulkan untuk mengenepikan orang Melayu dalam parti itu.

Apabila berlaku keadaan sebegini maka ramai rakyat yang serba salah. Hendak di telan mati bapa, hendak diluahkan mati pula ibu. Saya menyebut ini kita sentiasa di permainkan oleh pemimpin politik, tidak kira dari komponen BN mahu pun dari satu parti dalam Pakatan Rakyat.

Sememangnya kita berada di akhir zaman. Tanda dan dalilnya banyak di tunjukkan dalam pimpinan kita. Yang baik dikatakan salah dan yang buruk dikatakan benar. Rasuah seolah-olah tidak salah lagi, merompak dan melanun juga menjadi mainan dan hobi kepada yang berkuasa.

Yang bercakap benar akan terhimpit, yang berbohong juga menjadi pemimpin kita. Jika sampai pertolongan dari Tuhan selamatlah kita, jika tidak sama-samalah kita ketahui apa yang akan terjadi.

Yang menerima malangnya bukan setakat generasi yang akan datang, generasi sekarang pun sudah lemas dengan permainan kotor barisan  yang tidak jujur itu. Politik semakin hari semakin busuk mungkin sudah sampai ke ususnya.

Busuknya sudah tidak boleh di lindungi lagi, kerana bau busuknya itu berpunca dari ususnya.

28 October 2013

Najib lupa daratan atau kufur nikmat?

Perdana Menteri Najib merupakan seorang Perdana Menteri yang berlagak seperti anak nakal. Seorang anak nakal ini tidak akan faham masalah yang ada pada orang lain atau adik atau ibu bapa mereka. Anak nakal selalunya kuat berbelanja, maklum sajalah wang ringgit itu bukannya dia yang mencarinya. Dia hanya pandai berbelanja dan berbelanja tidak kira di waktu baik atau waktu buruk.

Pembentangan bajet baru-baru ini menunjukkan sikap berpura-pura Najib, yang dengan selamba beretorik dengan slogan wasatiyah, dan berbagai-bagai yang lain yang melambangkan kerajaan beliau berbelanja secara berhemah dengan wang rakyat yang ada. Tetapi di dalam berslogan hebat itu beliau telah memperuntukan Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan yang sangat besar dalam sejarah negara, iaitu sebanyak RM16.45 billion.

Bajet bagi Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2010 adalah  RM11.88 billion, bagi tahun 2012 sebanyak 13.72 billion dan bajet bagi 2014 adalah  RM16.45  billion. Peruntukan Jabatan Perdana Menteri lebih besar dari peruntukan belanjawan Kementerian Pertahanan dan ini merupakan keadaan yang amat susah untuk diterima oleh rakyat ramai.

Jabatan-jabatan penting di bawah JPM tidak menelan belanja yang sebegitu besar. JAKIM hanya di peruntukan kurang dari RM800 juta, dan Unit Implimentasi dan Koordinasi (ICU) tidak melebihi RM400 juta. Agensi-agensi penguatkuasa di bawah JPM seperti Penguatkuasa Maritim tidak pun sampai berbelanja sampai RM 400 juta.. Ini bermakna jumlah yang RM14 billion itu hanyalah untuk kegunaan Pejabat Perdana Menteri sahaja.

Elok pembahas-pembahas di Parlimen meminta Perdana Menteri memberikan pecahan terperinci terhadap RM14 billion yang lain itu. Persoalannya kenapa begitu mahal untuk menyelenggarakan Perdana Menteri sekarang ini, sedang PM itu sendiri telah memotong banyak perkara yang selama ini di belanjakan oleh rakyat sendiri.

Yang amat menyakitkan bagi rakyat sekarang ini, pemimpin kita khususnya Perdana Menteri sendiri menunjukkan sikap tidak mahu berkorban untuk rakyat seperti beliau sarankan rakyat untuk berkorban. Dalam pada kita semua di potong segala subsidi seperti subsidi bahan petroleum dan sebagainya, Perdana Menteri masih memberikan peruntukan yang berlipat kali ganda jumlahnya dari peruntukan pada beberapa tahun sebelumnya.

Perdana Menteri masih lagi mengelilingi dunia tanpa had dan berlegar di seluruh dunia hampir setiap minggu dengan jet peribadi yang telah menelan belanja hampir RM100 juta sejak tiga tahun yang lalu. Kenapa PM begitu boros sedangkan rakyat di mintanya berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat. Malahan bukan sahaja meminta rakyat berjimat, segala subsidi yang telah dirasai oleh rakyat di tarik satu persatu.

Kenapa bersikap seperti ‘nangoi’ dan tidak mempunyai ‘finesse’ walaupun sedikit?. Kenapa tidak ada rasa malu dengan mengkufurkan nikmat pemberian Tuhan melalui rakyat yang sedang dalam kesusahan? Kenapa tidak langsung mempunyai ‘conscience’ dalam diri Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya? Kenapa?

Kepada Najib kami berseru, berbuat baiklah sedikit. Bentuklah sedikit jiwa rakyat di dalam diri saudara itu. Bersikaplah sebagai seorang yang mempunyai ibu bapa. Kenapa malukan nama baik keluarga? Kalaulah PM Najib masih bersikap begini tidak payah hapuskan subsidi gula, sikap beliau sendiri akan menambah pesakit diabetes kerana kehidupan yang stressful rakyat sekarang ini.

Apakah benar kata-kata seorang pemimpin kita yang lain, membawa keluar seseorang dari kampung itu adalah mudah, tetapi hendak mengeluarkan kampung dari dalam diri seseorang itu adalah kerja yang sangat susah. Najib ini dikendongnya kampung itu kemana-mana. Malahan beliau berbangga pula menunjukkan kampungnya itu di khalayak ramai dengan selamba sahaja.

Dalam dunia ini bukan Najib seorang memegang jawatan Perdana Menteri ini, tetapi PM yang lain itu tidaklah bersikap seperti si kudung mendapat cincin seperti sikap PM kita ini. Siapa yang membuatkan Najib menjadi begini? Siapa yang tahu?

Kenapa tidak ada langsung sifat malunya? Kenapa? Hendak kita biarkan sahaja kah keadaan ini berterusan? Kenapa UMNO dan BN tidak bertindak terhadap Najib yang sudah melupakan daratan ini?

Hentikanlah budaya 'vandalism' yang di amalkan oleh PM ini. Cara beliau berbelanja amat menakutkan kita. Beliau sudah menjadi seorang Maharaja dan tidak lagi pemimpin rakyat.

27 October 2013

Bukan gula sahaja penyebab diabetes, Najib juga mungkin penyebabnya

Dalam ucapan PM Najib di konvensyen tahunan Parti Gerakan semalam, beliau masih lagi menyebut tentang penghapusan subsidi gula semasa pembentangan bajet 2014 jumaat lalu. Beliau berkata mengambil gula berlebihan akan mengurangkan tenaga batin kita. Isu ini menjadi bahan ledakan sms dikalangan rakyat dan kebanyakannya berlawak dan menyalahkan pesakit kencing manis yang menyebabkan Najib menghapuskan subsidi gula itu.

Rupa-rupanya penghapusan subsidi gula itu bukan untuk mengurangkan beban perbelanjaan terhadap subsidi kerajaan kepada rakyat tetapi penyebabnya ialah pesakit kencing manis. Kalaulah tiada pesakit kencing manis tentulah Najib tidak akan tarik balik subsidi gula itu. Baik juga Najib ni. Jadi, penyebab kenapa subsidi gula di hapuskan ialah kerana terlalu ramai yang mengidap penyakit kencing manis. Yang tidak kena kencing manis menjadi mangsanya.

Najib takut jika ramai rakyat yang memakan terlebih gula, nafsu seks kita akan berkurangan, itu pun berita baik. Najib prihatin tentang tahap kemampuan seks rakyatnya. Niat Najib untuk mengatasi masalah seks rakyat kerana gula itu boleh dilakukan dengan mengadakan rancangan seperti BRIM, juga tentang seks ini. Najib hendak jaga semua kehendak rakyat.

Tetapi ramai juga yang tidak lagi berkemampuan untuk melakukan seks walaupun mereka tidak mengambil gula berlebihan. Najib kena selesai masalah ini juga terutamanya dikalangan anak-anak muda yang sedang menghadapi krisis kewangan yang telah menjadi bankrap. Tahun lepas seramai lebih dari tiga ribu anak-anak muda bankrap kerana hutang kad kredit dan tidak akan mampu untuk berkahwin.

Najib terpaksa mengambil tahu rakyat yang terlalu berfikir tentang tahap rasuah negara pun menghadapi masalah seks kerana pemikiran mereka tertumpu meneliti masalah budaya rasuah dalam negara ini.  Mereka ini terlalu kecewa dan mereka tidak lagi mempunyai nafsu untuk seks lagi. Maksud rakyat itu, jika pengambilan gula berlebihan boleh diatasi dengan penghapusan subsidi gula, bagi kumpulan ini pula Najib mesti menghapuskan budaya rasuah ini.

Dengan penghapusan subsidi gula ini nampaknya akan menambah kekurangan kemampuan seks rakyat lagi, kerana kita masih melihat PM Najib tidak mengurangkan perbelanjaan peribadi beliau jika ke keluar negara. Tidak nampak pun usaha untuk mengurangkan perbelanjaan perjalanan beliau. Beliau masih lagi menggunakan wang rakyat dengan menaiki pesawat khas atau jet peribadi. Sejak tiga tahun yang lalu rakyat telah membayar RM100 juta untuk kos perjalanan Perdana Menteri dengan isteri, yang ayu dan genit itu.

Kenapa kos yang keterlaluan tinggi ini tidak di kurangkan? Kenapa semuanya rakyat yang terbeban untuk mengurangkan kos dalam kehidupan mereka. Najib mesti tahu kehidupan yang ‘stressful’ boleh menyebabkan seseorang itu mendapat berbagai-bagai penyakit termasuk penyakit kencing manis.

Sekarang ini dimana-mana di Sabah dan Sarawak rakyat mengeji dan tidak berpuas hati dengan pembentangan bajet Najib jumaat lalu. Sebabnya semua orang tahu. Kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak juga mungkin menyebabkan mereka dihinggap berbagai-bagai penyakit kerana ‘stressful’ dengan apa yang mereka lihat sedang berlaku di negara ini. Kencing manis mungkin menjadi salah satu penyakit yang akan timbul hasil dari kehidupan yang ‘stressful’ ini.

Saya sengaja menyebut isu ini sebagai bacaan ringan bagi mereka yang tidak ada bahan bacaan di hujung minggu ini. Maksud saya keseluruhannya gula bukan semestinya penyebab kencing manis. Mungkin kencing manis itu di sebabkan oleh banyak fakta yang lain termasuk Najib yang menjadi penyebabnya.  Rakyat begitu 'stressful' yang di sebabkan oleh kelemahan pimpinan Najib itu.

Isu gula yang di timbulkan oleh Najib ini begitu ‘contagious’ akibatnya. Dua hari lepas dalam kempen prk Sg Limau, Muhyiddin pula bercakap yang Allahyaham Ustaz TS Azizan meninggal kerana gula, bukannya kerana ajal beliau sudah sampai.

Hanya kita nak beritahu Muhyiddin, rezki, jodoh, ajal maut itu di tangan Tuhan. Jangan salahkan gula pula. Jangan terikut-ikut Najib yang sudah hilang punca itu. Jangan buat malu Tan Sri...guna isu lain untuk berkempen.

Nyawa Tan Sri dan nyawa saya sendiri kita tidak tahu bila Tuhan akan datang ambil. Bukan kah nyawa kita ini Tuhan yang punya?

26 October 2013

Bajet 2014: Sabah, Sarawak adalah tali hayat BN, tapi dapat 'lopong' sahaja

Bajet 2014 yang di bentangkan oleh Menteri Kewangan Malaysia semalam, di katakan ramai sebagai ‘ritual’ biasa dan tidak memberikan apa-apa yang memberangsangkan kepada rakyat terutamanya bagi Sabah dan Sarawak. Yang memberikan pujian seperti biasa hanyalah professor-professor yang manjadi  politikus ‘arm chair’ setiap kali bajet tahunan di bentangkan oleh Menteri Kewangan negara.

Banyak di antara perkara yang hendak dilaksanakan pun akan mula terlaksana pada tahun 2015 dan 2016 nanti. Saya sebagai orang kampung yang simple dan sebagai rakyat yang biasa sahaja tidak pun nampak apa-apa impak kepada kehidupan rakyat kecuali bagi mereka yang sudah sedia kaya raya sekarang ini.

Yang miskin-miskin masih lagi di nodai oleh BRIM yang tidak ada apa-apa ‘consequence’ terhadap kehidupan rakyat seperti kami di bawah-bawah ini. Oleh itu biarlah kami memberikan komen seperti orang biasa sahaja tanpa menggunakan istilah-istilah besar seperti yang di gunakan oleh pembentang bajet itu.

Tetapi yang saya dan ramai yang berhubung dengan saya berkata, ‘we are getting only the bones. No money, nothing It’s full of intrigues and figure juggling and let’s not shout about it!”. Itulah yang dapat saya susun kembali kata-kata mereka yang menghubungi saya dan itulah ‘summary’ yang dapat saya susun dari kata-kata rakan-rakan saya dari berbilang kaum kepada saya malam tadi.

Tetapi yang saya tahu Sabah dan Sarawak tidak mempunyai apa-apa kelebihan dari apa yang kita jangkakan sebelum itu. Kedua-dua negeri yang sedang dalam keadaan tertekan dalam banyak hal tidak mendapat apa-apa kelebihannya walaupun dari kedua-dua buah negeri inilah kekuatan kerajaan yang ada pada hari ini.

Walaupun BN Sabah dan Sarawak menyumbang hampir 50 kerusi di Dewan Parlimen Persekutuan, sumbangan mereka itu tidak di hargai oleh pimpinan persekutuan dalam pembahagian belanjawan kali ini.

Walaupun di dalam bajet yang di dasarkan kepada lima teras utama itu di baca dengan kuat dan jelas, ia tidak perlu di laungkan lagi kerana ia merupakan ritual ucapan biasa yang kita dengar setiap tahun itu.

Bajet itu hanyalah premis yang paling sesuai untuk di minta sokongan dari ahli-ahli Dewan Rakyat untuk di luluskan untuk mengurangkan subsidi terhadap rakyat dan menambahkan beban rakyat semata-mata. Jelas dari pencukaian dan punca-punca lain kerjaan tidak mampu untuk memenuhi apa yang di perlukan oleh kerajaan itu maka kepada rakyatlah pimpinan pada hari ini untuk mencari sumber kewangan yang sangat-sangat di perlukan itu.

Seperti yang dijangkakan harga gula misalnya naik lagi dengan mengurangkan subsidinya dari kerajaan dan alasannya seperti biasa untuk mengurangkan kencing manis seperti yang di sebut oleh pembentang bajet itu.

Topik topik lain seperti penyediaan rumah mampu milik dan sebagainya itu adalah isu biasa bagi semua negara sedang membangun dan ia tidaklah membuatkan bajet negara kali ini berbeza dengan bajet-bajet sebelumnya dan bajet-bajet di negara membangun yang lain.

Yang jelas kelihatan ialah pengabaian terhadap negeri-negeri Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak yang begitu nyata walaupun kedua-dua negeri itulah letaknya nyawa dan nafas BN sehingga pilihanraya yang akan datang.

Tidak ada apa-apa yang cemerlang kali ini, biarlah bajet ini mendapat pujian mereka dari ahli-ahli akademik yang begitu laris untuk di minta pandangan dan ulasan untuk di siarkan pandangan mereka melalui stesyen-stesyen TV arus perdana kita.

25 October 2013

Ego dan jiwa-jiwa kecil berdiri di antara PAS dan UMNO

Sejak negara mengadakan pilihanraya, Sg Limau adalah sinonim dengan PAS. Negara telah mengadakan pilihanraya sebanyak 13 kali dan PAS telah berjaya di kawasan ini sebanyak 9 kali sementara UMNO memenangi kawasan ini hanya 4 kali.

Sekarang ini PAS merupakan penyandang kepada kerusi ini, dan pilihanraya kali ini ramai yang masih beranggapan yang PAS akan tetap memenangi kerusi ini walaupun dengan majoriti yang lebh mengecil. Dalam pilihanraya 2013, Allahyarham Tan Sri Uztaz Azizan telah mengalahkan lawannya dengan majoriti undi sebanyak 2774.

Jika di nilai dari untung ruginya memenangi kerusi ini, kedua-dua belah pihak tidak menokok dan mengurangkan tahap kehadiran parti masing-masing. Kemenangan PAS di sini tidak menambah apa-apa, sekadar menunjukkan bahawa PAS tetap mempunyai pengaruh dan sokongan di kawasan ini. BN tetap menjadi kerajaan negeri Kedah. Kemenangan BN sekadar menunjukkan pada ramai yang Mukhriz mempunyai sedikit ‘consequence’ kerana beliau baru sahaja mengetuai kerajaan BN selepas PRU yang lalu. Kalau BN kalah di kawasan ini UMNO tetap berkuasa ke atas kerajaan negeri itu.

Dalam pilihanraya ini masih lagi peperangan ego yang besar dan segala usaha yang di sebutkan oleh setengah pihak akan ada perpaduan di antara kedua parti Melayu itu hanya tinggal cerita dongeng semata-mata. PRU ini masih lagi di tahap ‘siapa kuat dia menang’ tetapi tidak nampak unsur untuk meningkatkan perpaduan di antara kedua-dua belah pihak. Tidak ada lagi unsur yang boleh meyakinkan kita yang kedua-dua belah pihak mahu menjalin kerjasama yang baik dan telus untuk kepentingan umat melayu yang masing-masing bersetuju sedang dalam kegelapan.

Hakikatnya apa dan siapa sahaja yang memenangi kerusi ini tidak membawa apa keuntungan kepada sesiapa. Calon UMNO (BN) berdepan dengan media dengan begitu kerap memberikan segala perancangan beliau untuk kawasan ini. Kata-kata itu sememangnya kata-kata biasa dalam mana-mana pilihanraya. Maudhuknya tetap menjanjikan kemudahan asas dan pembangunan ekonomi dan sebagainya. Ini kita dengar dalam setiap pilihanraya sejak dari dulu lagi tetapi kawasan-kawasan itu masih lagi tidak mempunyai cukup pembangunan.

Sudah 56 tahun merdeka, keadaan Melayu Islam tetap sama sedangkan janji-janji dalam setiap pilihanraya adalah janji yang sama. Seandainya janji setiap calon BN dilaksanakan sejak merdeka dahulu, masakan negeri Kedah tetap sebuah negeri yang miskin berbanding dengan negeri-negeri lain? Kedah bukannya miskin sejak PAS memerintah sahaja. Kali ini berjanji lagi seolah-olah jika mendapat kemenangan semua rakyat dan pengundi di Sungai Limau itu akan maju dan menyumbang untuk mencapai matlamat negara maju menjelang 2020.

Baik pemimpin pusat dan negeri apabila berjanji seolah-olah dunia ini hendak dialihnya. Matahari yang terbit dari timur hendak di terbitkannya dari barat. Najib berjanji seolah-oleh beliau mampu mengalirkan sungai dari muara naik ke bukit, serta menukar malam menjadi siang dan siang menjadi malam.

Sesungguhnya pemimpin UMNO yang selama ini meminta PAS menghulurkan salam persahabatan hanya berada di bibir sahaja tetapi tidak menunjukkan kesungguhannya. PAS dikatakan degil dan sombong oleh UMNO kerana keras kepala kononnya. Tetapi dalam isu ini PAS tidak boleh dipersalahkan kerana PAS pernah mengalami di pecat oleh UMNO dan parti itu terkeluar dari BN suatu ketika dahulu.

Oleh yang demikian jika UMNO yang menyebut dan meminta PAS mengulurkan salam persahabatan maka UMNO mesti serius dan menunjukkan bukti nyata yang mereka (UMNO) serius meminta PAS bersahabat dan bekerjasama dengan mereka bagi menjamin kepentingan orang Melayu itu. Jika PAS kekurangan keyakinan terhadap niat UMNO itu, UMNO perlu tunjukkan bukti kerana PAS tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Bagi saya isu ini timbul selepas PRU yang lalu apabila BN merasakan yang mereka telah kehilangan sokongan yang jelas dari rakyat. Pilihanraya Sungai Limau ini sepatutnya menjadi titik permulaan bagi UMNO untuk menunjukkan bukti keikhlasannya dengan memberikan kerusi ini secara percuma kepada PAS dan membiarkan PAS untuk mengekalkan kerusi ini.

Jika ini telah dilakukan oleh UMNO, PAS akan terikat dengan kejujuran UMNO itu dan tidak akan lagi dapat memberikan alasan yang lain untuk tidak berkompromi di kalangan umat Melayu ini. Rakyat akan memerhatikan kejujuran UMNO itu dan PAS pula tidak akan mampu untuk mengeji UMNO di mana-mana lagi.

UMNO tentunya mendapat markah yang tinggi di mata rakyat dengan menghantar mesej jelas yang parti itu adalah serius  untuk bersatu atau bekerjasama. Kali ini giliran PAS pula untuk menunjukkan keikhlasan. Memberikan bukti keikhlasan seperti ini tidak akan ada lagi elemen-elemen yang boleh menggangu gugat penyatuan kedua-dua parti ini, dan yang tinggal hanyalah interaksi di antara pemimpin-pemimpin kedua-dua parti untuk menyempurnakan matlamat baik itu.

Tetapi untuk melakukan kerja baik seperti ini akan mendapat halangan pihak-pihak dan individu yang tidak mahu kerjasama ini terlaksana. Ini di sebabkan selalunya perpaduan itu akan membunuh politik mereka yang berpentingan peribadi dikalangan parti-parti itu.

Individu dan pihak-pihak ini mungkin berada dalam PAS dan UMNO sendiri dan lebih-lebih lagi dari parti-parti komponen BN dan Pakatan Rakyat sendiri. Penyatuan ini akan membebankan politik setengah pihak dan individu lain.

Oleh kerana politik kita dipimpin oleh mereka yang bercita-cita besar tetapi mempunyai jiwa yang kecil dan kenit, melakukan kerja dan perkara seperti ini merupakan usaha yang tidak munasabah kerana mereka melihat dalam kontek kepentingan peribadi mereka. Kita mesti ingat ada orang yang mahu menggunakan perpecahan ini untuk menutupi kelemahan dan kerendahan moral mereka.

Ada pihak yang tidak inginkan kedua-dua belah pihak Melayu ini bersatu kerana mereka sedang megelirukan orang Melayu dengan laungan 'multiracialism' nya. Sebenarnya mereka semata-mata berusaha memecah belahkan orang Melayu bagi kepentingan kelompok dan kaum mereka semata-mata.

Apa yang perlu bagi UMNO ialah pemimpin yang berjiwa besar dan menunjukkan betapa seriusnya mereka mahu melihat perpaduan di kalangan kelompok Melayu Islam yang merupakan kelompok terbesar dalam negara ini.

Yang kita nampak dengan jelas hanya ego berada di antara kedua-dua belah pihak sekarang ini.

23 October 2013

Perjanjian Persekutuan Malaysia: Selangor, Johor, NS dan lain-lain tidak sama statusnya dengan Sabah dan Sarawak

Jika tidak ada kepimpinan yang betul negara akan punah ranah. Sesudah 56 tahun Malaysia merdeka dan 50 tahun Persekutuan Malaysia wujud, sekarang sudah kedengaran perbalahan politik walaupun di dalam hati, di antara Semenanjung dengan negeri-negeri Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak. Keadaan ini amat membimbangkan kerana sekian lama kita merdeka tidak pernah kita mendengar orang ramai bercakap tentang Sabah dan Sarawak keluar Malaysia.

Walaupun kemungkinan ia terjadi adalah ‘remote’ tetapi cakap-cakap seperti ini menunjukkan ada masalah besar di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Ini membayangkan satu hakikat, iaitu pimpinan negara tidak sampai ketahap nilai pemimpin sebuah negara Persekutuan. Jika tidak kerana kelemahan pemimpin masakan perkara seperti ini berlaku?

Penubuhan Malaysia adalah penubuhan satu gabungan persekutuan yang lebih besar, menambah bilangan ahli dalam Persekutuan Malaysia kepada 14 buah negeri yang berdaulat. Tetapi perjanjian itu adalah perjanjian di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak dan ini bermakna status Sarawak dan Sabah adalah sama dengan Persekutuan Tanah Melayu dengan kedua-dua buah negeri itu.

Lain-lain perkataan Sabah dan Sarawak tidak sama statusnya dengan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu mempunyai 12 negeri-negeri yang bergabung di dalamnya. Persekutuan Malaysia pula adalah gabungan tiga buah negara (i), iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Jika diandaikan Sabah dan Sarawak sama dengan status keahlian dalam Persekutuan ini sama dengan Selangor, NS, Perak dan lain-lain itu adalah pemahaman yang salah mengikut perjanjian Persekutuan Malaysia itu.

Maka wujud perjanjian yang istimewa di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan kedua-dua buah negeri ini, maka tertubuhlah sebuah Persekutuan yang baru yang di namakan Persekutuan Malaysia. Perjanjian mungkin akan di sentuh dalam posting yang akan datang, tetapi yang penting kita sebagai rakyat Malaysia fahami ialah ada perjanjian yang di namakan ’20 points agreements’ di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan kedua-dua buah negeri ini. Perjanjian inilah yang menjadi isu kini dan rakyat Malaysia keseluruhannya wajib memahami apa yang di katakan sebagai Perjanjian Persekutuan Malaysia itu.

Perjanjian 20 perkara di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak ini wajar di telaah oleh semua pihak supaya mereka mengetahui apa sebenarnya yang di perbalahkan sekarang ini. Isu inilah yang nampaknya tidak dapat di selesaikan oleh kepimpinan kita di Persekutuan dan masih bermain-main dengan silat-silat yang akan sampai pengakhirnya.

Isu ini amat wajar di selesaikan dan saya dan ramai lagi berharap ada pemimpin yang akan membawa isu ini kepada peringkat rakyat untuk di fahami dahulu oleh rakyat. Apabila telah di fahami, kita berharap akan mula semua pihak berusaha untuk mempastikan masalah yang sudah di fahami nanti dapat di selesaikan oleh pimpinan yang memahami isu dan mempunyai kekuatan dan kemahuan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit.

Kita perlu memahami dengan teliti tentang isu ini agar kita tidak di kelirukan oleh mana-mana pihak apabila isu ini membesar jika ia berlaku. Mungkin minggu hadapan atau waktu yang sesuai isu ini akan timbul dalam blog ini untuk di bahaskan.

Isu perjanjian Persekutuan Malaysia ini sepatutnya di fahami secara mendalam oleh semua rakyat, tidak kira samada kita rakyat negara dari Semenanjung atau dari kedua-dua buah negeri, Sabah dan Sarawak.

22 October 2013

Dr Mahathir perlu berjiwa besar, buangkan jiwa yang kecil itu

Pemilihan UMNO sudah berlalu dan keputusan telah diketahui umum. UMNO masih dengan ‘packaging’ nya yang sama. UMNO itu begitu ‘special’ sehinggakan ia tidak boleh di ubah pembungkusannya dengan penampilan yang  berbeza. Jika dulu blog ini menyatakan dengan jelas yang UMNO dan rasuah itu ‘ibarat aur dengan tebing’, selepas pemilihan yang lalu ia tetap dengan ‘packaging’ yang sama, imej yang sama dan segala-galanya sama.

Satu lagi yang dapat kita pelajari, ialah, Mahathir tidak sehebat dahulu. Dulu segala-gala kemahuannya di turuti oleh ahli-ahli dan perwakilan UMNO. Kini Mahathir sudah tidak di endahkan lagi oleh ramai pemimpin dan ahli-ahli UMNO. Dr Mahathir tetap berfikir beliau masih di ingati dan di jadikan pakar rujuk kepada parti. 

Mahathir semakin hari semakin mengecil sokongan dan ramai orang UMNO tidak mahu lagi mendengar segala apa yang di katakan oleh beliau. Penyertaan Mukhriz dalam pertandingan Naib Presiden baru-baru ini pada hakikatnya adalah penyertaan Dr Mahathir. Dalam politik tentu bahasa politiknya sendiri dan tentulah kita cuba di yakini penyertaan Mukhriz itu adalah di atas prestasi dan kemahuan beliau sendiri.

Dalam pemilihan kali ini seperti juga pemilihan-pemilihan sebelumnya, ada pihak yang mempunyai pandangan yang menggunakan mata hati. Mata-mata hati ini telah belajar acapkali yang mereka dibelakang pemimpin utama itu bukannya pengikut pemimpin itu. Mereka hanya lah penyokong dan penyokong ini boleh beralih pada bila-bila masa.

Jika benar Najib sebelum ini adalah pengikut Dr Mahathir tidak akan ada usaha beliau untuk memberikan arahan secara senyap dan menggunakan institusi tertinggi negara dan negeri untuk mengekalkan ketiga Naib Presiden kesayangan Najib ini. Itu hakikat walaupun Najib menafikannya. Najib tidak mahu lagi pimpinan lesu beliau di pengaruhi oleh bekas ‘boss’nya itu. Najib tidak menghormati Dr Mahathir lagi walaupun Najib telah ‘mencari makan’ begitu lama dengan Dr Mahathir.

Dr Mahathir ini Dr Mahathirlah. Beliau terasa kesunyian kerana dalam tempoh tiga bulan sahaja orang yang ramai-ramai mencium tangan beliau dahulu tidak kelihatan oleh kelibat mata beliau. Malahan beliau tahu mereka yang mencium tangan beliau dahulu sekarang sudah mencium tangan Abdullah Badawi pula. Mahathir sangat terasa yang beliau sudah ditinggalkan oleh ramai yang ‘mencari makan’ dengan beliau dahulu. Mereka-mereka itu sedang sibuk ‘mencari makan’ dengan Abdullah pula.

Abdullah juga merasakan pengalaman ini juga. Tetapi Abdullah ini lembut orangnya dan beliau tidak terasa sangat kesunyian dan sanggup menerima hakikat yang begitulah nasib kebanyakan ahli dan pemimpin politik. Cantiknya Dr Mahathir atau Abdullah Badawi itu hanyalah semasa mempunyai kuasa sahaja. Pemimpin utama ini selalunya tidak sedar yang musuh atau yang akan menyakitkan mereka sendiri ialah penyokong yang mengusung mereka ke hulu kehilir itu. Maklumlah Perdana Menteri Malaysia mempunyai kuasa yang lebih besar dari Presiden AS.

Perdana Menteri Malaysia boleh menentukan siapa yang hendak di penjara dan siapa yang hendak di keluarkan penjara. Semua senjata dan hukum ada di tangan Perdana Menteri Malaysia ini. Jadi tidak lah terkejut ramai yang hendak menjadi Perdana Menteri bukan kerana apa, tetapi kerana kuasa. Itu jugalah kehendak orang seperti Anwar Ibrahim yang membawa penyokongnya bersorak dan bertepuk tangan dalam majlis-majis ceramah politik beliau.

Semuanya itu kerana kuasa yang boleh menentukan nasib masa depan semua orang dan ada yang mengaku seolah-olah mereka boleh menentukan nasib semua orang selepas mati.  Anwar sendiri merasakan pengalaman di tinggalkan penyokong-penyokongnya. Yang ramai-ramai menyokong Anwar semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu pun sekarang mengeji Anwar sampai tahap optima. Tetapi ramai melihat mereka itu pernah membawa tempurung menadah dengan Anwar untuk membina kehidupan yang kaya raya.

Sekarang giliran Dr Mahathir pula di tinggalkan oleh ramai. Begitu ramai yang berkata seminggu dua dahulu yang mereka tidak mahu menyokong Mukhriz kerana Mukhriz adalah anak Dr Mahathir. Oleh itu jika di pandang dari sudut yang berbeza Mukhriz tewas dalam pemilihan Naib Presiden itu adalah kerana badi bapanya sendiri.

Itu sebabnya jangan berdendam sampai ke tulang kerana orang kita dendami itu mungkin menjadi penyelamat kepada yang berdendam itu. Dr Mahathir sepatutnya sedar yang beliau dikerumuni oleh ramai pengampu dahulu kerana beliau ada kuasa, boleh membuat sesiapa kaya raya dalam sekelip mata dan boleh menjatuhkan sesiapa juga dengan sekelip mata.

Dalam kes kekalahan Mukhriz itu, tidak dapat di elakkan dari persepsi yang kalah itu sebenarnya adalah Dr Mahathir. ‘The ultimate looser is Dr Mahathir’. Ia bukan sahaja kalah dalam undian atau bilangan sokongan tetapi yang lebih besar ialah kekalahan dalam mempertahankan imej atau status sebagai seorang yang sepatutnya menjadi negarawan.

Dalam keadaan yang begitu suntuk bagi beliau sekarang ini, beliau tidak ada masa lagi untuk membina status negarawan untuk beliau. Jika ada pun pihak yang hendak mengukuhkan status beliau sebagai negarawan pemimpin yang memberikannya ialah pemimpin yang mewarisi kepimpinan beliau. Tetapi yang mewarisi kepimpinan beliau adalah dari penyokong-penyokong beliau dan bukannya dari pengikut beliau.

Pak Lah bukannya pengikutnya, tetapi sekadar penyokongnya sahaja. Begitu juga Najib yang hanya menjadi penyokongnya selama ini dan tidak pernah menjadi pengikutnya. Baik Pak Lah mahu pun Najib mereka menyokong Mahathir sementara mendapat kuasa, sama seperti Mahathir sendiri bertahan di bawah Hussein Onn sementara menjadi Perdana Menteri.

Mahathir sepatutnya telah membina pimpinan dan bukannya kumpulan yang dijadikan penyokong untuk politik beliau semata-mata. Akhirnya negara tidak berkepimpinan dan beliau sendiri menerima padah oleh kerana tindakan penyokong-penyokong beliau sendiri yang kini sudah merasakan diri mereka sebagai pemimpin yang turun dari langit.

Mungkin Mahathir perlu kembali kepada ‘basic’ dalam pemikiran dan tindakan beliau, iaitu memberikan tumpuan untuk membetulkan keadaan dan bermula dari punca masalah yang kita hadapi sekarang. Jika ada orang dan pemimpin yang beliau kenali sebelum lahirnya barisan pimpinan hari ini, mungkin beliau akan terbela maruah beliau yang kini pasti akan di calarkan oleh mereka yang sedang merasakan berada dilangit.

Rujuk kembali kepada pemimpin dalam parti yang beliau telah sisihkan dan korbankan bagi kepentingan negara dan tidak kurang pula untuk menjaga kepentingan imej dan status beliau sebagai seorang yang dianggap sebagai negarawan.

Selesaikan masalah dari punca ianya datang. Insyaallah jika di izin Tuhan ia akan mengamankan jiwa beliau (Mahathir) terutamanya dalam usia beliau sekarang. Sebelum membersihkan negara elok kita sendiri melakukan introspeksi dan bersihkan jiwa kita sendiri dahulu.

Yang penting sekarang ialah negara dan bagi Dr Mahathir kesempurnaan hidup dalam persaraan itu akan memberikan lebih ketenangan kepada beliau. Lagi pun jika beliau bersama melakukan pembersihan ini, ia merupakan pembersihan kepada kekotoran politik yang beliau telah lakukan dahulu.

Mahathir perlu membuang jiwa kecil dalam dirinya itu. Beliau perlu bersama-sama melakukan perubahan dengan memindahkan kuasa dari barisan kepimpinan yang ada kepada seorang yang berkelayakan walaupun mungkin orang itu tidak pernah berada di dalam pemikiran beliau.

Kadangkala orang yang kita benci itulah yang boleh menjaga nama baik kita di saat kita sedang menghampiri penghujung hayat ini. Kepada penyokong-penyokong dan pengampu-pengampu dahulu akhirnya akan meninggalkan kita, kerana mereka juga tidak mempunyai jiwa besar dalam diri mereka.

Bak kata perpatah, biduk berlalu kiambang bertaut. Itulah masa dan saat yang paling bahagia bagi diri kita.

21 October 2013

Chua Soi Lek kena 'rejek'

Nampaknya Liow Tiong Lai sudah pasti akan bertanding jawatan Presiden MCA Disember ini. Penolakan usul mencela Timbalan Presidennya Liow Tiong Lai yang di usahakan oleh Chua Soi Lek semalam juga menunjukkan yang CSL akan rebah jika Liow Tiong Lai menandingi beliau dalam pemilihan parti Disember ini. Tindakan perwakilan menolak usul yang di rancang oleh Chua Soi Lek itu telah memberikan keputusan awalan dalam pemilihan parti itu nanti jika pertandingan itu melibatkan Liow Tiong Lai.

Tiong Lai telah mendapat kemenangan awal jika beliau menandingi CSL dalam perhimpunan agung parti itu Disember ini. Pendeknya CSL lah yang memberikan markah awalan yang tinggi kepada Tiong Lai untuk menandingi beliau nanti. Senjata CSL untuk menjatuhkan Tiong Lai buat selama-lamanya itu telah memakan tuan. Sekarang CSL lah yang sepatutnya mengundurkan diri seperti yang beliau janjikan sebelum PRU dahulu. Lagi pun keputusan yang beliau akan dapati jika beliau masih bertahan telah pun kita lihat semalam.

CSL akan tamat riwayat politiknya hujung tahun ini. Jika CSL tidak lagi berada di dalam kepimpinan parti itu, MCA akan pasti menampakkan hasil yang positif selepas CSL berada di luar kepimpinan parti itu nanti. Penolakan usul yang di rencanakan oleh CSL in menandakan Presiden parti itu sekarang sedang menunggu waktu persaraannya. Persepsi buruk terhadap MCA akan berkurangan kerana yang membebankan parti itu sejak beberapa tahun dahulu ialah kerana Presidennya sendiri.

Tetapi kemenangan moral Tiong Lai ini juga tidak boleh di lihat sebagai kemenangan mutlak kerana kelebihan yang ada kepada Tiong Lai hanya dalam lengkungan 5 peratus sahaja. Beliau wajar mendapatkan bantuan dari pihak yang ketiga dalam MCA, dan pihak itu adalah pihak Ong Tee Kiat yang masih mempunyai pengaruh dalam parti itu.

Beberapa hari yang lepas saya terbaca kenyataan yang Ong Tee Kiat sanggup bertanding jawatan tertinggi parti itu dan tidak juga menolak kemungkinan bertanding jawatan yang di bawah sedikit dari jawatan Presiden itu. Kalau di buat perkiraan mudah jika OTK dan Tiong Lai bersatu maka usaha untuk menundukan CSL yang begitu ‘controversial’ di mata rakyat itu akan menjumpai jalan mudah. MCA yang dalam kegeringan ini akan bertambah pulih dan mampu kembali menjadi parti yang penting kepada rakyat khasnya bagi kaum Cina.

Selama ini MCA hanya mempunyai masalah imej kepimpinan dan jika itu dapat di selesaikan maka tidak banyak isu lain yang dihadapi oleh parti itu. Sebagai sebuah parti yang telah begitu banyak jasanya kepada negara khususnya kaum Cina selama ini, usaha untuk menggamit kembali sokongan itu akan bertambah mudah.

Kaum Cina khususnya telah banyak mendapat jasa dari MCA ini terutamanya dalam bidang ekonomi dan lebih-lebih lagi dalam penyediaan kemudahan pendidikan kepada rakyat dan kaum Cina khususnya. Prestasi MCA mula menurun dalam pilihanraya ke 12 lagi kerana parti itu dianggap sebagai parti yang terlalu ‘subservient’ kepada UMNO, rakan kongsi terbesarnya dalam BN. MCA telah menjadi mangsa keadaan kerana masalah kelemahan dalam kepimpinan UMNO itu sendiri.

Oleh itu jika ada perubahan kepada tahap kepimpinan UMNO dan MCA pula dapat menyelesaikan masalah CSL ini, maka parti itu akan menemui jalan yang agak mudah untuk pulih di mata rakyat.

Kali ini MCA wajar menunjukkan ‘vibrancy’ nya sebagai parti yang masih mempunyai kuku dalam kerajaan kerana untuk menumpang kekuatan UMNO sudah agak payah kerana UMNO masih lagi dalam pencarian. Bagi setengah pihak MCA akan menjumpai jalan penyelesaian tentng kepimpinan lebih awal dari UMNO kerana UMNO masih lagi tercari-cari jalan untuk keluar dari masalah kepimpinannya sekarang ini.

Pemilihan baru-baru ini tidak menyelesaikan masalah kerana hasilnya tidak menampakkan perubahan. Kepimpinannya masih lagi mereka yang sama yang bermentaliti yang sama dan kesemuanya sama. Tidak mungkin niat parti itu untuk meremajakannya dapat terlaksana kerana meremajakan parti memerlukan mereka yang mampu berubah pemikiran mereka kepada kehendak waktu dan zamannya dan tidak semestinya di ketuai oleh yang berumur remaja.

Ramai yang percaya jika kita mahukan segala-galanya berpecah berikan tugas itu kepada UMNO, jika hendak menjadikan keadaan lebih parah lagi, berikan tugas untuk membinanya semula kepada UMNO.

Justeru itu, jika MCA dapat menyelesaikan masalahnya, maka sebahagian besar dari masalah kepimpinan dalam BN itu akan dapat di selesaikan. Kita hanya menunggu lagi bila UMNO pula boleh menyelesaikan masalahnya.

20 October 2013

Yang nak jadi pemimpin tu ramai, yang berkepimpinan sudah tiada

Kenyataan begitu jelas, UMNO penuh dengan pemimpin dan pemilihan pemimpin dalam UMNO sentiasa mendapat liputan meluas dari media massa perdana dan alternatif. Keputusan pemilihan sudah di ketahui dan dijangka. Apa yang di jangka itu benar semuanya. Apa dia kebenarannya? Banyak kebenaran yang di jangka dari awal.

UMNO tidak mempunyai kepimpinan lagi. Malahan pemimpin-pemimpin yang menang itu tidak berkepimpinan. Mereka tidak tahu ‘hujung pangkal’ tentang kepimpinan. Mereka tidak memahami apa yang hendak di pimpin, bagaimana hendak memimpin dan apa perlu dilakukan dan nilai yang perlu ada untuk memimpin. Mereka itu layaknya duduk dengan saya dikedai kopi mamak selalu.

Yang mereka tahu ialah, aku sekarang dah jadi Menteri dan jadi itu dan ini. Tetapi jika ditanya apakah yang mereka hendak lakukan, mereka akan berkata melakukan segala-galanya untuk agama, bangsa dan negara.

Rupa-rupanya agama, bangsa dan negara itu ialah semua untuk mereka. Jika agama itu mereka ke Mekah setiap tahun dan bulan. Perjuangan untuk bangsa itu ialah dengan memainkan isu rasis dan perjuangan untuk negara itu ialah bekerja kuat untuk menjadi Perdana Menteri kerana jika menjadi Perdana Menteri mereka akan memperkosa negara dan rakyatnya sekali.

Perkara lain mereka tidak tahu. Itu sebabnya menjadi pemimpin besar itu penting bagi peribadi mereka kerana kejayaan mereka di ukur dari setakat mana tingginya kedudukan yang mereka boleh capai. Jika jawatan yang di sandang mereka itu jawatan yang tinggi, itu adalah kejayaan bagi mereka. Itulah sebabnya mereka bermati-matian untuk mendapat jawatan besar.

Kekurangan ilmu kepimpinan mereka dengan senang mereka tutupi dengan bermain politik wang kerana mereka dari awal menjadikan bangsa Melayu itu orang yang marhen dalam segala bidang dan menjadi bangsa yang sentiasa mengharapkan perlindungan. Jadi mereka boleh di bayar dan di beli dan sesiapa yang membayar akan mendapat undi dan sokongan.

Bagi mereka yang lemah ilmu agamanya sedangkan mereka mahu menjadi orang yang kononnya beragama, mereka menggunakan isu seperti isu nama Allah dan isu ini boleh membuat orang ramai yang telah di kosongkan jiwa dan batin mereka untuk bersatu kononnya untuk membela agama dan bangsa.

Mereka ini sentiasa mahukan perlindungan kerana bersikap rendah diri dan tidak mahu berlumba-lumba untuk mendekatkan mereka kepada agama. Mereka terlalu ‘naïve’ dan mahukan perlindungan itu dan mahukan agama itu datang kepada mereka untuk melindungi mereka yang dalam kedhaifan itu. Mereka bukannya untuk Allah tetapi mereka hanya mahukan nama Allah itu sahaja dan mereka mengaku memperjuangkan Islam. Mereka hanya mahu menguasai nama Allah itu sahaja tetapi tidak mahu mengesakan Allah itu. Mereka mahukan nama Allah itu sebagai tangkal yang di lekatkan dibibir dan telinga manusia yang dipimpin mereka.

Jika mereka mahu mengesakan Allah mereka tidak akan lakukan rasuah dan berbagai-bagai tindakan mazmumah dalam hidup mereka. Pemimpin seperti ini pada hakikatnya mahukan perpecahan kerana kuasa yang ada kepada mereka akan memudahkan mereka menguasai rakyat dengan menanamkan nilai-nilai mazmumah di dalam diri rakyat pimpinan mereka.

Tidak usah kita mengharapkan atau menaruh harapan untuk UMNO mengetahui segala-galanya ini. Mengharapkan pimpinan yang ada sekarang ini memperjuangkan agamanya, bangsanya dan negaranya sudah menjadi satu perkara yang tidak mungkin tercapai lagi. Bak kata AR Tompel, “It’s impossible!”.

Akhir-akhir ini saya berulangkali menyatakan, hanya satu jalan sahaja untuk membetulkan keadaan negara ini, iaitu tanggungjawab ini dilakukan oleh parti-parti dalam BN untuk membetulkan landasan perjuangan rakyat. PBB, PBRS dan lain-lain parti di Sawarak serta parti-parti lain dalam BN di Sabah wajar melakukan sesuatu. Mereka pun bermasalah dengan pemimpin-pemimpin utama UMNO dan bahangnya dirasakan oleh mereka jua.

Mereka wajar bersatu dan jika mendapat sokongan parti-parti dalam pakatan maka tindakan untuk membetulkan negara masih ada harapan untuk di perbaiki. Tidak usah menumpukan kepada parti-parti lagi, tidak kira parti dalam BN atau pembangkang. Yang penting dalam keadaan genting sebegini wajar semua parti memikir dan mengutamakan keselamatan negara dalam semua bidang.

Kita cari seorang pemimpin yang boleh menghidupkan kembali semangat negara kita yang sudah di ambang kehancuran itu. Ahli-ahli legislatif persekutuan wajar bersatu untuk mencari seorang yang mampu dan masih mempunyai roh perjuangan untuk negara dan rakyat sejagat, bukannya untuk memperjuangkan sekelompok rakyat pimpinan kerajaan hari ini.

Tidak pernah kita melihat di mana-mana negara yang parti pemerintah mempunyai jiwa yang begitu fakir dan tidak pernah juga kita mendengar parti pemerintah dan kerajaan berebut-rebut dengan nama Tuhan selain dari negara kita. mereka tidak mahu menerima ketentuan Tuhan itu sendiri tetapi hanya memerlukan nama Tuhan itu untuk kepentingan politik mereka semata-mata.

Kata-kata pemimpin hanya indah di dengar tetapi tidak terlihat apa yang mereka sebutkan itu terlaksana. Semalam kita mendengar Najib menasihati mereka yang menang yang beliau kehendaki itu. Beliau menasihatkan mereka yang menang itu supaya mengambil kemenangan itu sebagai tanggungjawab kerana semuanya itu akan di soal di akhirat nanti. Cantik dan enak bunyinya.

Sekarang biar kita pula mengarahkan nasihat itu kepada beliau sendiri. Berbuat baiklah kepada negara dan rakyat berbilang kaum dan agama ini. Jadikan itu matlamat saudara. Oleh kerana saudara tidak berkemampuan untuk melakukannya gunakanlah cebisan pengaruh yang ada untuk menyatukan kepimpinan negara yang sudah punah ranah ini.

Mungkin anda terpaksa melakukan sesuatu yang tidak dijangka, iaitu berhenti sahaja dan biarkan kepimpinan parti-parti dalam BN itu berunding untuk mencari kepimpinan yang boleh menyelamatkan keadaan negara jika di izin Tuhan.

Orang boleh melakukan sesuatu yang baik itu berada diluar kepimpinan tertinggi UMNO. Itu sahaja cara bagi anda menebus kembali kelemahan-kelemahan anda yang telah menyebabkan negara kita terumbang-ambing tanpa hala dan tuju sekarang ini.

Itu sahaja cara bagi anda untuk menikmati ketenangan jiwa di masa hadapan. Sebagai mana yang di sarankan oleh blog ini sebegitu lama, ‘we need to restart this nation anew’.

Tinggalkan lah nama yang baik sebelum kita menghembuskan nafas kita yang terakhir. Maklum sajalah ajal dan maut itu adalah hak Allah semata-mata. Kita boleh di ambilnya pada bila-bila masa.

Najib perlu sedar yang musuh beliau terlalu ramai dalam UMNO itu. Kemenangan tiga kerat Naib Presiden yang penyandang itu tidak mampu menolak arus yang sedang mengalir dengan deras dalam UMNO itu sendiri.

Jika Najib tidak melakukan kebaikan untuk negara dan dirinya sendiri dalam masa yang terdekat ini, nescaya beliau tidak akan menyedari yang suatu hari yang tidak berapa lama lagi beliau akan dikelilingi oleh mereka yang akan menolak beliau. Semasa itu nanti kemenangan ketiga-tiga calon Naib Presiden itu tidak menjamin keselamatan beliau sendiri.

Najib mesti tahu, apabila graf kepimpinannya menurun yang tiga pemimpin ini belum tahu kekal bersama beliau. Masa itu nanti hendak mara tidak boleh dan berundur pun akan memakan dirinya sendiri.

Sedangkan harimau pun mati meninggalkan belang, takkan lah Najib tidak dapat meninggalkan nama walaupun sedikit.

19 October 2013

Kerajaan berjiwa fakir, halang pelajar berjumpa Anwar di Australia

Pimpinan yang terbaik ialah pimpinan yang mempunyai ‘magnanimity’ yang tinggi dan tidak  berjiwa fakir. Pemimpin yang terbaik ialah pemimpin yang berjiwa besar, bukannya pemimpin yang bercakap besar atau garang. Sekarang ini zaman kemajuan dan bukan lagi zaman batu dalam mana siapa yang mempunyai otot yang paling besar dan keras merekalah yang berkuasa.

Arahan kerajaan agar pelajar-pelajar Malaysia tidak menghadiri program Adelaide Festival of Ideas yang bermula hari ini amat memalukan dan melambangkan kemiskinan  serta kefakiran jiwa pimpinan kerajaan. Ini di sebabkan kerajaan tidak mahu pelajar kita di Australia berjumpa dan mendengar ucapan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang di jangka berucap malam ini.

Saya secara peribadi memprotes tindakan penguasa pelajar di Australia yang bertindak seperti tuan kepada kandang kerbau dan kambing. Mereka menganggap pelajar kita ibarat kambing yang hanya di halau untuk masuk dan keluar kandang mengikut kemahuan tuannya. Kenapa perkara ini berlaku? Jawapannya ialah kerana jiwa miskin dan terlalu kecil tidak mempunyai keyakinan diri yang terlalu menonjol.

Anwar ada hak untuk bertemu dan di temui oleh sesiapa termasuk pelajar dan orang awam yang lain. Ini adalah demokrasi. Pelajar merupakan gulungan yang sedang dalam latihan berfikir. “Scroll’ yag mereka terima semasa konvo itu hanyalah untuk mengesahkan yang semua mata pelajaran yang mereka pelajari telah tamat di lalui dan lulus peperiksaan.

Tetapi motif utama seseorang itu menjejak dan duduk dalam kampus itu ialah untuk melatih diri untuk berfikir dan bertindak secara betul dan benar. Saya tidak tahu kenapa orang yang mengeluarkan arahan itu tidak menggunakan daya pemikiran untuk bertindak secara orang yang telah di pelajarinya di universiti dahulu. Ini amat menghairankan kepada mereka yang mempunyai sedikit daya pemikiran.

Takut jika kalau Anwar mempengaruhi pelajar? Kenapa takut? Kita mesti menghormati pemikiran pelajar yang sedang dalam latihan itu. Tidak semestinya mereka akan terpengaruh dengan Anwar kerana mereka mempunyai daya pemikiran yang baik. Jika pun Anwar mampu mempengaruhi mereka apakah kesalahannya? Kenapa takut.

Saya sendiri telah mengikuti setiap langkah politik Anwar sejak zaman pelajar lagi. Saya mengikuti Anwar sejak beliau mengetuai PKPIM yang berpejabat di ITM Jalan Othman pada 1970 dahulu. Kalau hendak terpengaruh dengan beliau sayalah orang yang paling mudah untuk mempercayai Anwar kerana sudah begitu lama melihat dan mendengar kata-kata dan pemikiran beliau.

Kita mesti ingat orang yang rumahnya bersempadan dengan kawasan gereja tidak semestinya akan menganut agama kristian. begitu juga seorang kristian yang rumahnya berhampiran dengan suruan dan masjid, tidak mudah untuk menukar agamanya kepada Islam. Begitu juga bagi mereka yang mendengar ucapan Anwar, tidak akan terpengaruh dengannya begitu mudah. Jika mudah terpengaruh dengan Anwar jumlah yang menghadiri ceramahnya sebelum pilihanraya dulu pun tidak dapat menumbangkan BN dalam PRU yang lalu.

Tetapi sehingga hari ini saya tidak mempunyai keyakinan kepada Anwar untuk mengetuai kerajaan. Itu pemikiran saya dan saya tidak marah dan akan berbuat apa-apa kepada mereka yang yakin kepada beliau. Saya ada alasan saya sendiri kenapa saya kekurangan keyakinan terhadap beliau dan orang lain ada sebab dan asas mereka sendiri kenapa mereka yakin terhadap Anwar. Ini demokrasi. “Let us respect each other’s opinion”

 Jika ada pelajar-pelajar yang mengikuti blog saya ini di Australia, saya menyeru agar datang beramai-ramai untuk mendengar pemikiran Anwar itu jika tidak mengganggu waktu belajar dan ulang kaji pelajaran mereka. Pergi ramai-ramai dan meriahkan majlis itu. Tidak ada salahnya.

Katakan kepada pihak yang memberi ugutan biasiswa akan di tarik balik dan sebagainya itu, yang biasiswa yang anda terima itu bukan duit UMNO atau duit datuk dan nenek pemimpin UMNO. 

Duit itu adalah duit dari cukai rakyat termasuk dari ahli PAS, DAP, UMNO dan mungkin dari mereka yang bersimpati dengan Parti Komunis Malaya yang di haramkan itu. Duit itu duit orang ramai.

18 October 2013

Saya bersetuju dengan Dr Mahathir, UMNO itu rasuah dari dulu

Saya bersetuju dengan Dr Mahathir yang politik wang sememangnya satu fenomena lama dalam UMNO. Ia berlaku semasa beliau menjadi Presiden parti itu lagi, tetapi mereka tidak akan mengaku menerima atau memberi wang dalam pengundian itu. Jarang-jarang saya bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir ini, tetapi isu politik wang sekarang ini saya bersetuju dengan beliau. Politik wang masih berlaku tetapi tidak mempunyai bukti untuk diketengahkan.

Anak beliau sendiri sedang bersaing untuk menjadi Naib Presiden kali ini. Oleh kerana hanya dengan membayar undi baru mendapat undi dari perwakilan maka ada kita mendengar Mukhriz juga dikatakan membeli undi di Sabah dan beberapa tempat yang lain, tetapi bak kata bapanya sendiri adalah susah untuk membuktikan permainan politik wang ini dan kita mendengar juga Mukhriz sendiri tidak dapat mengelak dari bermain cara politik yang sama.

Dr Mahathir juga membayangkan yang semasa beliau menjadi Presiden UMNO, salah seorang atau lebih dari Timbalan-Timbalan yang ramai itu bermain dengan politik wang. Ini memang berlaku dari dulu lagi dan beliau tidak dapat mengawalnya.

Semuanya itu saya bersetuju dengan Dr Mahathir. Tetapi saya akan lebih bersetuju jika Dr Mahathir memahami yang politik wang ini bukan sahaja berlaku dalam masa pemilihan. Politik wang ini sudah berlaku setiap waktu dan setiap tempat.

Apabila seseorang itu menjadi pemimpin utama kerana politik wang, pemimpin ini akan mendapat tempat dalam kerajaan dan mereka menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan hasil dari politik wang tadi untuk terus memainkan politik wang. Memberikan peluang dan menggunakan pengaruh keatas Petronas dan juga mana-mana agensi kerajaan untuk mendapatkan laba adalah politik wang yang lebih besar dalam isu ini.

Dr Mahathir terlupa yang keuntungan dan kemudahan anak-anak beliau mendapatkan kontrak besar-besar dalam kerajaan itu adalah hasil dari politik beliau juga. Maka politik wang ini elok kita hentikan sahaja isu ini kerana lagi kita bercakap tentangnya lagi banyak permainan politik wang berlaku.

Kalau tidak kerana politik, Mirzan tidak akan mendapat peluang menggunakan dana rakyat untuk melepaskan beliau dari kegagalan beliau dalam perniagaan dahulu. Mirzan menggunakan hampir dua billion ringgit wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaannya.

Menggunakan wang kerajaan untuk majlis pertunangan anak seorang pemimpin negara beberapa ketika dahulu itu adalah politik wang. Ratusan ribuan wang rakyat di gunakan untuk majlis pertunangan pemimpin politik ini. Memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) adalah politik wang.

Mendapatkan ahli keluarga dana yang murah dari kerajaan untuk membela lembu sebanyak RM250 juta itu politik wang, kerana jika bukan kerana politik, orang yang saya maksudkan itu tidak akan dapat menggunakan wang kerajaan begitu banyak.

Menggunakan kedudukan dengan menyewa jet peribadi yang menelan belanja hampir seratus juta dalam tempoh tiga tahun itu adalah politik wang. Beliau ini tidak akan mendapatkan peluang untuk memerah keringat rakyat untuk membiayai jet-jet peribadi ini jika tidak kerana politik.

Saya bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir ini, tetapi beliau hanya menyebut tentang politik wang hanya dalam pemilihan UMNO sahaja. Dalam konteks ini kita semua teringat beliau gagal untuk menjadi perwakilan UMNO Kubang Pasu oleh kerana politik wang.beberapa tahun dahulu.

Beliau kalah dalam pemilihan itu kerana beliau tidak mempunyai pengikut setia dan beliau sendiri kalah untuk menjadi perwakilan kerana politik wang itu. Selama ini beliau di ikuti ramai kerana pangkat yang ada kepada kita sahaja. Apabila kuasa hilang hendak jadi perwakilan ke Perhimpunan Agung pun gagal kerana politik wang itu.

Itu sebabnya jika kita tidak mempunyai sokongan kita akan gagal dengan musuh kerana musuh hanya menggunakan wang sebanyak RM200 bagi menolak kita dari menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO.

Dalam pemilihan kali ini, calon-calon terutamanya calon-calon Naib Presiden, wang merupakan penentu kalah menangnya calon itu. Itulah sebabnya mana-mana Menteri Besar yang tidak turut serta dalam pertandingan kali ini sangat beruntung kerana tidak payah bermain dengan pembelian undi yang belum pasti membawa kemenangan dalam pertandingan itu.

Jika ada Menteri Besar menyertai pertandingan kali ini ia sudah pasti bersedia dengan wang ringgit yang banyak untuk di taburkan kepada perwakilan.

Itu sebabnya UMNO sudah menjadi parti yang dianggap ‘jahanam’ kerana tiada wang tiada undi. Rasuah sudah tidak dapat di kawal lagi dan ia tidak akan dapat dihapuskan lagi. Rasuah dan UMNO itu ibarat aur dengan tebing, saling menyandar diantara satu dengan yang lain. Tiada UMNO tiada rasuah besar, dan jika tiada rasuah besar UMNO akan hilang di muka bumi ini.

Rasuah sahaja yang boleh menyelamatkan UMNO itu. Jika ada pun cara lain untuk mengelakkan permainan wang dalam politik ini ialah dengan mengenepikan semua pemimpin UMNO dalam pemilihan parti itu.

Tetapi kalau hendak buang semua, siapa pula yang mereka hendak undi? Sebabnya yang ditandingi itu rasuah dan yang menandingi juga adalah perasuah. UMNO tidak akan dapat membetulkan keadaan ini sendirian. Ia memerlukan semua parti dalam BN itu menggunakan tindakan yang dihalalkan oleh demokrasi untuk menukar semua pemimpin UMNO itu.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang baik tidak mahu bertanding kerana ahli-ahli dan perwakilan sudah di budayakan memberikan undi kepada mereka yang menghulur wang rasuah dalam pemilihan.

Oleh itu tidak ada ruang untuk pemimpin bersih untuk mengambil alih kepimpinan UMNO itu jika tidak dibantu oleh parti-parti yang insaf dalam BN itu.

Dalam hal ini Dr Mahathir kena bersetuju dengan saya pula.

17 October 2013

Meremajakan UMNO: siapa yang nak meremajakannya?

Isu yang muda dan lama dengan yang muda dan remaja menjadi isu penting dalam pemilihanan parti UMNO Sabtu ini. UMNO yang kian mengempis sokongan dari rakyat kini mengeluarkan seolah-olah semacam fatwa yang parti itu wajar di sarati dengan yang muda. Saya bersetuju sebahagian nya dan tidak bersetuju sebahagian yang lain.

Di sana sini kita mendengar UMNO sepatutnya di remajakan bagi menempuh zaman baru yang penuh mencabar kini. Apa dia remaja itu? Adakah ia dimaksudkan parti itu dan pimpinannya mesti dipenuhi oleh mereka yang remaja sahaja. Ada pula yang berkata yang dewasa juga perlu dalam parti untuk mengimbangi kedudukan kepimpinan parti. Adakah ini bermaksud hanya yang tua-tua sahaja yang mesti berada dikepimpinan parti?

Kalau kita hendak meremajakan parti dengan mengumpulkan orang muda-muda sahaja dalam parti dan kepimpinannya, cuba beritahu kita apa yang mereka boleh melakukan perkara yang melebihi dari orang tua-tua dan dewasa? UMNO selama ini sememangnya di penuhi oleh orang yang remaja tetapi ia tetap jatuh sokongan dari orang ramai.

Mukhriz memberikan alasan kejayaan merampas Kedah dari Pakatan Rakyat bukan isu yang kecil, maka beliau sepatutnya berada di jawatan Naib Presiden. Mukhriz jadikan kemenangan di Kedah itu sebagai penyebab yang beliau wajar di jadikan Naib Presiden partinya.

Tetapi perlu di ingat pemimpin-pemimpin UMNO dahulu lebih besar kejayaan dan pencapaiannya. Malah pimpinan dahulu telah berjaya merampas kuasa bagi seluruh negara pada tahun 1957 dahulu dan ramai di kalangan mereka yang mengusahakan kejayaan itu tidak pernah menduduki jawatan Naib Presiden itu.

Sesungguhnya yang dimaksudkan meremajakan parti itu ialah pemimpin yang boleh memahami kehendak rakyat semasa mengikut kemahuan dan kehendak waktu sekarang. Itu yang dimaksudkan meremajakan parti itu. Remaja tidak semestinya datang dari orang muda. Saya selalu berbincang tentang isu ini, bukan untuk apa tetapi untuk keperluan sendiri kerana saya perlu ‘keeping abreast’ dengan keadaan masa sekarang dan yang akan datang.

Yang berumur lima puluh tahun tidak semestinya lebih muda dari mereka yang dalam umur enam puluhan. Kenapa saya berkata begitu? Yang menyebabkan seseorang itu tua atau muda bergantung kepada organ-organ seseorang itu. Ramai yang sudah lama hidup menjangkau umur tujuh puluh tahun tetapi organ-organnya masih muda dan berfungsi dengan baik. Organ yang terpenting tentulah otak dan pemikiran.

Mereka yang mempunyai organ-organ penting didalam tubuhnya yang masih muda dan berfungsi dengan baik itu lebih baik dari mereka yang masih muda tetapi mempunyai banyak ‘dysfunctional organs’ dalam tubuhnya. Dalam kepimpinan kesihatan tubuh dan organ-organ dalam kepimpinan itu amat perlu, terutamanya orang seperti otak yang membolehkan seseorang itu berfikir dengan baik untuk meremajakan parti itu dan mana-mana parti sekali pun.

Kesihatan tubuh dengan mempunyai oragan-organ yang muda dan remaja amat perlu walaupun usianya sudah tinggi. Orang yang muda tidak semestinya boleh meremajakan parti kerana ramai di kalangan yang muda pada hari ini tidak mampu meremajakan parti dengan kelemahan pemikiran mereka. Ramai yang muda masih tidak dapat mengakui bahawa agama kita melarang kita bersikap rasis dan rasuah.

Bagaimana mereka ini boleh meremajakan parti jika masih bergelut dengan rasuah kerana mereka yang remaja pemikirannya akan menerima kejahatan rasuah itu merupakan sikap yang sudah tua dan jauh dari meremajakan parti. Jika pemimpin yang masih muda tidak memahami keadaan dunia sekarang ini, itu bukan pemimpin yang remaja, kerana pemimpin yang remaja akan memahami yang cara politik sekarang ini sudah berubah.

Saya terjumpa beberapa orang yang tidak menerima orang itu dan orang ini sebagai pemimpin kerana mereka sudah tua. Tetapi semasa saya bercakap dengannya saya tahu dia baru balik dari hospital dan akan melakukan pembedahan hati kerana organ hatinya sudah tua walaupun dia baru berusia lima puluh empat tahun. Ia bemakna dia lebih tua dari pemimpin yang masih sihat walaupun berusia enam puluh lima tahun kerana dia ini mempunyai organ yang terlalu tua dan memerlukan pembedahan.

Ada yang mengatakan orang itu sudah tua walaupun sihat tetapi yang mengata ini sudah kehilangan giginya lebih dari sepuluh batang. Oleh yang demikan siapa yang tua dan siapa yang remaja?

Tetapi organ yang terpenting yang perlu untuk remaja ialah pemikiran dan jiwa walaupun jiwa itu bersifat maknawi. Organ-organ yang remaja serta jiwa yang sentiasa bersih dan mampu  berfikir dan melakukan sesuatu yang baik kepada rakyat dan negara itu merupakan pemimpin yang sentiasa remaja walaupun mereka sudah melampaui enam puluh tahun misalnya.

Ramai anak-anak muda masih dibuai dengan cara berfikir lama dan ini menyebabkan parti-parti yang mereka pimpin itu tidak remaja. Remaja atau sebaliknya kepimpinan itu terpulang kepada kemampuan organ-organ penting seperti otak dalam tubuh kita itu mampu berfungsi mengikut waktu dan zamannya.

Kalau di sabitkan isu ini dengan UMNO, ia merupakan isu yang paling penting yang perlu ditangani oleh Pemudanya, kerana yang muda-muda dalam UMNO tidak mempunyai pemikiran untuk meremajakan partinya. Mereka lebih menumpukan bermain politik, aku orang ini, dia orang itu. Walaupun muda mereka masih tidak mampu meremajakan pemikiran mereka jauh sekali untuk meremajakan partinya.

Jika itulah alasan Mukhriz untuk menjadi Naib Presiden UMNO elok kita fikirkan apakah benar itu matlamatnya menjadi Naib Presiden itu? Apa bila orang bercakap tentang kerajaan parti masing-masing bercakap tentang keremajaan parti, sedangkan baik dari pimpinan tertinggi sehinggalah kepada kepimpinan terendah mereka masih berfikiran dengan tindakan yang ‘outmoded’ yang tidak selari dengan kehendak rakyat dan negara yang mereka kelolakan.

Pendeknya yang banyak umurnya tidak semestinya tidak mampu meremajakan negara dan parti, dan yang muda pula tidak semestinya mempunyai nilai dan kemampuan untuk meremajakan partinya atau pun negaranya.

Jiwa yang remaja itu tidak semestinya dipunyai oleh mereka yang baru dan muda umurnya. Apa yang berlaku dalam UMNO sekarang tidak memungkinkan mereka meremajakan UMNO itu kerana mereka masih mempunyai daya pemikiran tua yang di semai oleh UMNO itu sendiri.

Mereka masih memainkan isu perkauman dan berbagai-bagai isu yang memecah belahkan rakyat, dan tindakan ini sudah pastinya pemikiran yang kuno dan jumud, justeru ia amat jauh dari apa yang dikatakan sebagai keremajaan parti dan negara. Seperti biasa ia hanyalah retorik yang begitu kuno dan ‘outmoded’.