Berminat pula saya menulis
sambungan kepada posting saya yang lepas lanjutan dari isu perletakkan jawatan
serta kebersaraan TS Taib (TSTM) dari kerajaan dan akan menjadi Gabenor Negeri kenyalang itu. Tentunya persaraan TS Taib ini merupakan peristiwa
yang menjadi minat ramai untuk bercakap dan mentelaah tentang isu ini lebih
mendalam lagi. Masakan tidak, TSTM merupakan Ketua Kerajaan yang paling lama
sekarang ini, bukan sahaja dalam Malaysia malahan diantara yang
terlama dalam dunia moden ini.
Moralnya Sarawak adalah sebuah
negara yang bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah.
Sarawak mempunyai kedaulatannya sendiri dan ia bukan setaraf dengan Perlis dan
Melaka dari sudut tarafnya dalam Persekutuan Malaysia. Sarawak dan Persekutuan Tanah
Melayu adalah ‘equal partner’ dan kedudukan itu sekali gus memberikan kita
gambaran yang mereka di Sarawak adalah sebuah
negara ysng khusus yang telah bergabung dengan dua buah negara yang lain.
Itu sebabnya tidak ada siapa yang
mempersoalkan beliau satu-satunya Ketua Kerajaan Negeri yang menggunakan kereta
termewah dalam dunia sekarang ini, Rolls Royce misalnya. TSTM adalah raja dalam
kategorinya yang tersendiri.
Taib sahajalah yang boleh secara
terbuka melabelkan pegawai SPRM sebagai budak nakal semasa cuba melakukan
penyiasatan keatas tuduhan rasuah terhadap beliau dan sehingga sekarang TSTM
tetap unggul dan masih mempunyai kuasa penentu bagi negerinya sendiri. Apabila
beliau bersara pada hakikatnya beliaulah yang akan menentukan pengganti beliau
dan tidak akan ada penentangnya.
Jika ada pun kesilapan pencarian
terhadap penggantinya, ia akan hanya dirasakan setelah penggantinya itu
mentadbir negeri Sarawak selepas beberapa
ketika nanti. Bagi Putrajaya pengganti yang diharapkan mereka ialah sesiapa
yang boleh bekerjasama dan mahu menunjukkan sikap kompromi dengan kerajaan
Persekutuan untuk merapatkan pengaruhnya terhadap Sarawak
itu.
Banyak pendapat ramai yang
berkata yang kalau pun beliau terlibat dalam skandal rasuah seperti yang
dipersepsikan dan berbagai lagi, tidak akan ada sesiapa dikalangan Jemaah
Menteri Persekutuan termasuk Perdana Menteri sendiri boleh melakukan apa-apa
tindakan penguat kuasaan terhadap TSTM. Jika ia dilakukan terhadap beliau, TSTM
boleh menunjukkan ‘middle finger’ beliau dengan santai sahaja. Pendeknya
setakat hari ini TSTM mempunyai ‘immunity’ yang tinggi dan tidak ada pihak
nampaknya yang mampu memberikan beliau tekanan
politik oleh sesiapa di Persekutuan ini.
TSTM menguasai segala-galanya di
Sarawak dan kita tidak berapa berkeyakinan yang penggantinya nanti mampu untuk
memberikan kepimpinan yang sama tarafnya dengan kepimpinan TSTM. TSTM merupakan
seorang yang mempunyai kepimpinan yang kuat kerana dalam banyak-banyak pemimpin
beliau sahajalah yang kita tidak mendengar berucap dengan retorik dan slogan
yang besar-besar. Selalunya hanya pemimpin yang kekurangan keyakinan dirinya
sahaja cuba
menutupi kelemahan mereka dengan berslogan, lepas satu slogan satu slogan yang
lain pula wujud.
Pesanan TSTM supaya melindungi Sarawak ‘at all cost’ yang membawa maksud jangan biarkan
UMNO bertapak itu, memberikan persepsi yang amat buruk kepada UMNO sebagai parti
pemerintah sekarang. Dalam pada parti itu menghadapi masalah keyakinan di
Semenanjung dan Sabah, Sarawak pula sedaya upaya cuba
untuk menahan parti itu berkembang di Sarawak.
Ia membawa makna kepada Sarawak, UMNO lebih
tidak boleh dipercayai. Tetapi DAP dan PAS yang tidak mendapat apa-apa halangan
untuk bergiat di negeri kenyalang itu.
Semasa persaraannya nanti TSTM
tidak banyak yang ‘outstanding’ dengan pemimpin di Sarawak. Semasa persaraan
tidak ada masalah tentang isu kepelbagaian bangsa dan suku kaum serta agama
walaupun katanya Sarawak mempunyai 33 suku
kaum yang tinggal dalamnya. Berbeza dengan Semenanjung yang bergolak tentang
isu Allah walau pun bangsa-bangsa dan suku kaum di Semenanjung ini hanya kecil
jika dibandingkan dengan Sarawak.
Ada
pihak yang berkata di Sarawak tidak ada masalah dan isu yang berkait dengan
perhubungan kaum kerana Sarawak belum di
sentuh oleh UMNO. Jika UMNO telah mula menyentuh Sarawak
tentu isu perkauman akan menjadi hangat dan akan terus membelah kesatuan
diantara kaum disana. Pimpinan UMNO hanya kuat jika ada
perbalahan diantara rakyat dan inilah lebihnya TSTM dengan pimpinan UMNO
Persekutuan. TSTM kekal dengan gah sebagai pemimpin terulung dan terlama dalam
keadaan aman damai. Itulah kekuatan TSTM yang sebenarnya kerana beliau
berkemampuan untuk menyatukan semua suku kaum dan agama sejak mula menjadi
Ketua Menteri Sarawak itu dan telah kekal selama 33 tahun sebagai Ketua
Kerajaan.
Dr Mahathir sebaliknya terpaksa
memecah belahkan partinya sendiri untuk kekal hanya 22 tahun berbanding dengan
TSTM yang kekal selama 33 tahun tanpa membelahkan partinya sendiri. UMNO telah
mewujudkan dua parti serpihan, Semangat 46 dan PKR semasa pentadbiran Dr
Mahathir.
Walau apa pun kita jangan begitu
yakin yang kestabilan semasa TSTM itu akan berulang di zaman pentadbiran
penggantinya sebab pimpinan yang diasuh oleh TSTM belum lagi menunjukkan bukti
tentang kekuatan kepimpinan mereka. Selama ini mereka hanya selesa kerana duduk
dibawah dagu TSTM semata-mata. Sarawak tetap
utuh walaupun kepimpinan Persekutuan sedang menghadapi krisis keyakinan yang
begitu besar sekali dalam sejarah negara merdeka kita ini.
Hanya kita berharap keadaan yang
berlaku di Semenanjung tidak akan berlaku di Sarawak. Semoga pilihan TSTM untuk
menunjuk penggantinya itu merupakan pimpinan yang mampu untuk mengekalkan
kestabilan politik negeri kenyalang yang pesat membangun itu.
Jika diukur dari segi jangka masa
pentadbiran dan kuasa yang diperolehi TSTM merupakan yang paling berjaya dan
ikuti oleh Dr Mahathir Mohamed yang menguasai negara selama 22 tahun itu.
Najib pula merupakan yang paling
tidak berjaya kerana baru menguasai 4 tahun sahaja kuasa kerajaan beliau telah
menghadapi desakan yang amat kuat untuk bersara dan yang paling kuat desakan
itu datangnya dari Dr Mahathir.
Tetapi seperkara yang harus
difahami, yang saya maksudkan ialah penguasaan siasah negara sahaja, bukannya
menguasai politik negara yang bermoral. Saya menyebutnya kerana dalam proses
bertahan selama yang dikehendaki mereka itu banyak isu moral telah diketepikan
sehinggakan banyak institusi demokrasi telah jahanam kerana mempertahankan
pemimpin yang moral mereka terbuka untuk dipersoalkan.
5 comments:
Saya amat setuju dengan pendapat tuan.Apa yang berlaku diMalaya itu adalah disebabkan oleh desakan peribadi untuk kekal mengawal dan terus berkuasa.Untuk menjadi yang kuat dan berkuasa lebih lama tidak boleh sama sekali mengunakan sentimen dalaman yang akhir sekali akan memecahbelahkan diri sendiri seperti yang berlaku kepada umno, berbeza dengan Sarawak yang mengunakan sentimen luaran iaitu sentimen ancaman umno kepada kestabilan negeri sarawak.
Sebab itu agaknya TSTM mahu 'Gabenor' Sarawak. Supaya dia masih boleh dan masih ada ruang memantau dan menegur penggantinya nanti.
Salam Tuan Aspan,
Memang benar politik berbagai kaum agak tenang di Sarawak kerana ketiadaan Umno dan Perkasa yg memperjuangkan ketuanan Umnoputra. Dimana ada Umno-Perkasa maka disitu akan wujud politik rasis yang melampau. Tidak ada "rule of law" sebagaimana yg sedang berlaku di Sem Malaysia. Diskriminasi terhadap rakyat Kelantan, Terengganu (1999-2003) adalah merupakan fakta yang nyata dan tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun yg berfikiran waras.
kedua-dua jenis kepimpinan samada di semenanjung ataupun sarawak...pada saya tak apa yg nak dibanggakan . Tak ada apa yg nak disanjung dgn rekod lama mentadbir Taib Mahmud dan khayalan perpaduan yg dibawa oleh Taib Mahmud.
demokrasi ialah akhirnya bak kata Lincoln..Government of the people, By the people, for the people......
Tapi kita disini...Government of the politician, perut politician dan perut kroni2 yg sewaktu dengannya.
Terimakasih.
Hardwork pays.
Post a Comment