05 May 2011

UMNO sudah tidak UMNO lagi - 'Attribute' sebagai parti pemerintah sudah hilang.

Dalam posting saya yang lepas saya telah berjanji untuk membuat ulasan yang ringkas apa kah unsur-yang sudah tiada lagi yang menyebabkan rakyat sudah tidak memberikan sokongan penuh kapada parti yang memerintah. Apa pula unsur-unsur baru yang menyebabkan keadaan yang membuatkan perpaduan rakyat berbilang kaum ini luntur dengan cepatnya.

Apakah elemen-elemen baik yang sudah hilang itu? Pandangan politik selalunya boleh sahaja disangkal dan dinafikan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan kita. Tetapi perbezaan ini biasa kerana politik ini dimainkan oleh manusia yang mempunyai pemikiran yang amat susah untuk disatukan. Apa yang boleh disatukan ialah pemahaman dan ‘understanding’ bagi mencari ‘point of reconciliation’ di antara dua pemikiran yang berbeza.

Memang susah untuk mencarinya tetapi mengikut pengalaman yang sudah-sudah manusia atau individu pemimpin yang mampu mencari ‘the point of reconciliation’ itu ialah seorang yang secara relatifnya diterima dan dihormati oleh masyarakat umum, bukannya oleh mereka yang sedang memihak kepada mana-mana pihak yang berbalah.

Dulu Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail merupakan dua manusia pemimpin yang dihormati oleh semua pihak. Walaupun UMNO menghadapi keputusan yang tidak baik di dalam pilihanraya 1969 tetapi kedua pemimpin UMNO ini memang dihormati oleh kawan dan lawan. Semua pihak dapat merasakan kejujuran Tun Razak maka mudahlah bagi PM kedua negara kita itu membawa kemeja perundingan untuk mencari penyelesaian kepada kerumitan yang sangat besar yang dihadapi oleh negara semasa itu.

Rakyat berbilang kaum termasuk kaum-kaum yang berbalah semasa itu melihat dan berkeyakinan Tun Razak adalah pemimpin yang ikhlas untuk mencari perdamaian. Itulah sebabnya GERAKKAN, parti pembangkang yang ditubuhkan oleh Syed Husein Al-Atas dengan rakan-rakannya telah sanggup kemeja perundingan dengan pemimpin UMNO semasa itu walaupun UMNO telah menurun pengaruhnya di dalam pilihanraya 1969 itu.

Keyakinan yang sebeginilah yang sudah tidak ada lagi di dalam kepimpinan negara. Baik pemimpin serta ahli-ahli parti-parti yang ada melihat kepimpinan pada hari ini tidak sampai dan tidak berkemampuan untuk mendapatkan penghormatan seperti pemimpin-pemimpin terdahulu yang saya sebutkan tadi.

Tidak mungkin mana-mana pemimpin lain yang serius untuk mendewasakan negara ini akan mempunyai keyakinan terhadap individu pemimpin yang mengutamakan glamour peribadi serta anak isteri serta kroni-kroni mereka. Jarang-jarang kita mendengar Tun Razak selaku PM negara ini beretorik dengan nada yang tinggi ibarat ketua demonstrasi dengan ucapan yang menggegarkan.

Mungkin pemimpin dahulu kekurangan ‘form’nya tetapi mereka kaya dengan ‘substance’ di dalam mereka. Pemimpin dahulu menghormati rakyat dengan membawa rakyat bersama di dalam melaksanakan segala program kerajaan terutamanya program yang melibatkan kepentingan mereka. Pemimpin–pemimpin mengambil setiap masa berinteraksi dengan rakyat melalui segala usaha kerajaan termasuk program ekonomi yang melibatkan rakyat yang ramai di peringkat akar umbi.

Segala projek besar kerajaan akan dibawa sekali rakyat untuk bersama memikirkan cara yang terbaik dalam perlaksanaannya. Pegawai-pegawai penerangan di daerah merupakan pegawai kerajaan yang sangat penting dan diberikan tugas melaksanakan kursus sivik kepada semua kampong dan urusan itu dilakukan dengan ketua-ketua kampong dan JKKK. Ceramah sivik di adakan di setiap kampong dan dalam kursus sivik itulah rakyat membangkitkan apa-apa yang tidak kena dengan perlaksanaan projek-projek tersebut.

Berinteraksi secara ‘direct’ dengan rakyat itu banyak keuntungan bagi kerajaan. Pertamanya dari dialog-dailog itu kita akan dapat merasakan keinginan rakyat dan kita boleh mengetahui apa-apa kekurangan dengan program yang ingin kita laksanakan itu. Maka kita boleh melakukan ‘adjustments’ di sana-sini hasil dari lapuran dialog dengan orang ramai itu.

Kebaikan berjumpa terus dengan setiap rakyat di kampong-kampong ini akan membina perasaan interaksi rakyat dengan kerajaan. Di samping itu rakyat akan merasakan yang mereka adalah sebahagian dari ‘decision making’ oleh kerajaan itu dan mereka akan bersama-sama bertanggung jawab di atas apa-apa keputusan itu. Itulah yang berlaku di zaman pra-Mahathir dahulu. Rakyat merasakan yang mereka dibawa bersama di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan.

Tetapi selepas zaman Husein Onn keputusan yang dilakukan oleh kerajaan tidak di beritahu kepada UMNO dan JKKK dan rakyat ramai. Keputusan yang di ambil oleh kerajaan hanya dilaksanakan tanpa membuat apa-apa ‘reference’ kepada rakyat melalui UMNO dan JKKK. Dari sejak itu rakyat tidak lagi faham ‘wisdom’ sesuatu keputusan kerajaan itu. Orang ramai hanya diarah dan dipaksa menerima segala-gala keputusan tanpa soal jawab. Lama kelamaan rakyat tersisih dari kerajaan tanpa disedari.

Ketua-ketua kampong pun mempunyai masalah untuk memanjangkan idea kerajaan itu kerana ketua-ketua kampong pun tidak faham apa-apa yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan itu. Malahan ketua-ketua kampong sekarang sibuk dengan menguruskan projek pembangunan kecil melalui lessen-lesen kelas F mereka.

Sekarang ini di daerah-daerah pegawai di pejabat daerah sendiri pun ada dua tiga lessen kelas F untuk mendapatkan kerja-kerja dari projek pembangunan kecil di kampong-kampong dan tidak ada pihak yang melakukan ‘monitoring’ terhadap kegiatan yang salah ini. Tetapi sekarang itu sudah tidak menjadi kesalahan lagi kerana korupsi dan salah guna kuasa merupakan perkara yang sudah dibudayakan. Salah-salah sebut kita pula yang akan menjadi mangsa kutukan mereka.

Keadaan ini berlaku dihampir semua daerah. Mereka merupakan pemimpin penting di daerah tetapi mereka menyalah gunakan kuasa yang ada kepada mereka dan rakyat sendiri sudah ‘detached’ dengan puak-puak ini. Saya berpendapat penyakit ini tidak mungkin dapat diatasi oleh pimpinan pada hari ini kerana pimpinan sendiri menpunyai program peribadi untuk memperkayakan diri dengan mengambil sendiri projek-projek ini melalui kroni-kroni mereka.

Pemimpin sekarang ini berebut-rebut dengan rakyat untuk mendapatkan projek, tanah dan yang lain-lain untuk membina kekayaan mereka. Nilai kepimpinan yang ada sudah rosak binasa. Ramai pemimpin yang tinggi-tinggi di dalam UMNO atau BN sendiri mengakui hakikat ini tetapi mereka seperti juga pemimpin lain tidak berani bersuara untuk melaksanakan tanggungjawab untuk membetulkan keadaan ini. Mereka takut jawatan mereka akan hilang. Masing-masing menjaga kepentingan msing-masing tanpa memikirkan apa yang akan berlaku pada generasi mereka yang akan datang.

Mereka hanya berani bercakap di belakang tetapi tidak berani menegur kepimpinan yang lebih tinggi dari mereka. Di hadapan pimpinan besar mereka tertunduk-tunduk untuk mengekalkan apa yang ada kepada mereka. Kepada mereka ini kita ucapkan ‘Selamat Cari Makan’ sahajalah.

Rakyat sebenarnya adalah di dalam ‘desperation’ untuk melihat perubahan tetapi mereka tidak nampak juga perubahan walaupun pemimpin tertinggi mengumumkan satu demi satu projek pembangunan yang nilainya berbillion ringgit. Rakyat di bawah tetap dengan keadaan lama malahan dengan naiknya harga barangan sekarang ini mereka merasakan himpitan dan tekanan dari kenaikan kadar inflasi yang tinggi itu.

Mereka memilih untuk memberikan undi dan sokongan kepada pembangkang yang dikatakan oleh pemimpin–pemimpin UMNO sebagai pihak yang tidak berkemampuan untuk menjadi kerajaan. Tetapi apabila rakyat di lima buah negeri memberikan mandat kepada PR maka nyata mereka mampu memimpin dengan lebih baik dari pihak kita.

Apabila PR mampu mentadbir UMNO pula yang berasa tidak tentu arah kerana rakyat nampaknya memberikan dukungan kuat kerana apa yang mereka mahu lihat, iaitu perubahan budaya dan sikap itu boleh diberikan oleh PR kepada mereka.

Ramai rakan-rakan dari Selangor mangakui yang pentadbiran Selangor sekarang adalah lebih telus dan mampu menyelesaikan perkara-perkara penting yang telah diabaikan oleh kerajaan BN dahulu.Sebelum ini BN mengambil semuanya ‘for granted’ dan tidak menyedari rakyat ramai memerhatikan tingkah laku yang kurang baik sejak berdekad-dekad dahulu.

Sekarang ini kita menyaksikan pemimpin-pemimpin UMNO di Selangor ‘terhayak ke sana, terhayak ke sini’ untuk memalingkan sokongan rakyat kepada mereka. Mereka berdemonstrasi di sana sini dan bercakap seperti orang yang sudah ‘tidak betul’ lagi. 'Attribute' mereka seperti pembangkang, maka mereka akan terus jadi pembangkang di Selangor. Bagi saya di Selangor keputusan pilihanraya nanti adalah ‘predictable’. UMNO sudah tidak UMNO lagi.

Anda tahu maksud saya.

04 May 2011

Kenapa dulu lain, sekarang lain?

Rakyat sudah mula tertanya-tanya kenapa dulu kehidupan rakyat berbilang kaum begitu aman dan sentosa sedangkan sekarang keadaan sudah tidak begitu lagi. Kenapa politik negara dulu tidak begitu berkecamuk dan permainan isu kaum tidak begitu menular? Apakah elemen-elemen yang ada yang membawa keamanan dan keharmonian semasa itu yang tidak ada sekarang ini yang menyebabkan keadaan begitu merunsingkan kita sehingga kita berbalah di antara kita.

Sesungguhnya elemen penting yang ada kepada kepimpinan zaman itu dan yang tidak ada sekarang ini ialah kekurangan unsur ‘magnanimity’ kepimpinan. Tetapi unsur penting ini hanya ada kepada pemimpin yang dihormati serta pemimpin yang mampu menzahirkan sifat kejujuran dan diyakini serta dirasakan oleh rakyat. Apabila berlaku peristiwa berdarah 1969 dahulu semua pihak telah merasakan betapa peritnya hidup berbalah apatah lagi berbalah di antara kaum yang besar di negara ini. Peristiwa itu semua pihak menghargai kehidupan muhibbah di antara kaum dan agama.

Di waktu itu lah semua pihak menyedari bahawa perpaduan itu adalah elemen yang penting. Rakayat menerima hakikat yang perpaduan itu hanya akan terlaksana dengan kehadziran berbagai kaum dan puak. Pimpinan semasa itu berusaha membangunkan negara dengan matlamat yang satu iaitu untuk mencapaai ‘national unity’ yang hakiki dengan rakyat menyayangi negara yang mereka diami ini, serta mengakui negara ini adalah sebuah negara bertuah dan berdaulat.

Dulu pemimpin-pemimpin kita membangunkan negara dengan penuh dedikasi serta menyulami usaha pembangunan itu dengan moral dengan spiritualism yang tinggi. Setiap usaha membina negara itu tidak akan tertinggal unsur-unsur serta ‘ingredient’ penting di dalam apa yang disebut sebagai 'nation building'.

Sesuatu usaha pembangunan akan dikaji dengan teliti dan tidak tergesa-gesa. Semua aspek penting seperti keuntungan kepada bangsa-bangsa yang terlibat samada selari dengan dasar besar negara yang telah digubal dengan penuh berhati-hati oleh pemimpin kita. Dasar yang saya maksudkan itu ialah DEB.

Falsafah pembangunan diberi keutamakan terlebih dahulu. Kalau kita baca lapuran perhimpunan agung UMNO 1972 dahulu, Tun Dr Ismail di dalam ucapan penangguhan perhimpunan agung itu bahawa Malaysia mampu membangunkan negara dengan cepat dan deras kerana negara kita merupakan negara yang di rahmati tuhan dengan hasil mahsul yang melimpah ruah.

Allahyarham Tun Dr Ismail menambah jika kadar pembangun itu dilakukan dengan terlalu cepat dan pesat maka ada kaum akan ketinggalan kerana kaum itu belum lagi bersedia untuk menerima pembangunan itu kerana telah ketinggalan begitu lama dan jauh ke belakang. Apa yang dikatakan oleh Tun Dr Ismail itu adalah kata yang penuh falasafah yang bersandarkan kepada realiti.

Tun Dr Ismail bermaksud jika kita bangunkan negara dengan kadar yang terlalu cepat maka orang Melayu akan ketinggalan, dan segala dasar yang baru digubal untuk mewujudkan pembahagian kekayaan negara secara ‘equitable’ akan gagal. Bagi Timbalan Perdana Menteri itu, jika kekayaan tidak dibahagikan secara ‘equitable’ akan terjadi apa yang telah berlaku pada 1969 itu akan berulang kerana salah satu sebab berlakunya pertumpahan darah itu adalah kerana perasaan tidak puas hati orang-orang Melayu.

Pendeknya, kejayaan membina dan membangunkan negara dengan kadar yang terlau pantas itu akan manjadi harga yang terlalu mahal kepada negara. Oleh kerana itu maka kerajaan telah mengambil isu pembangunan dengan berhati-hati dan teliti. Tidak ada faedahnya mendapat pembangunan yang terlalu pesat jika ‘side effect’nya adalah ketidak setabilan politik negara.

Maksud yang dikatakan oleh Tun Dr Ismail itu ialah kita membangun mengikut kadar yang tidak memberikan risiko kepada keamanan negara. Biar perlahan tetapi ianya boleh menyulamkan pembangunan itu dengan pembangunan politik dan social yang mantap untuk negara.

Ibarat kata jika kita hendak membuat apam yang tebal, apinya biarlah kecil agar apam itu masak diluar dan di dalam dengan sempurna. Membuat kueh apam tidak boleh tergesa-gesa. Kalau semata-mata untuk melihat kueh apam itu masak dengan cepat apinya terpaksa besar. Risikonya jika api terlalu besar apam itu tidak akan sempurna…masak di luar mentah di dalam.

Falsafah yang dinyatakan oleh Tun Ismail itu ialah, negara tidak mahu pembangunan yang tidak memberikan ke saimbangan kepada kesetabilan politik negara yang tidak sempurna. Itu jugalah falsafah pemimpin kaum Cina dan India . Mereka menerima spiritualism dalam politik adalah perkara yang diutamakan dalam merangka dasar pembinaan negara tercinta kita ini.

Ini semuanya ada di dalam BN sejak kejadian berdarah 1969. Orang-orang Cina tidak mahu pergaduhan kerana mereka mementingkan ekonomi. Asalkan sahaja mereka boleh maju di dalam bidang ekonomi mereka sudah berpuas hati dan mereka menganggapkan kesetabilan ekonmi itu merupakan isu yang sangat mereka hargai.

Malahan bangsa Cina telah memberi sokongan kepada DEB dan menyebelahi BN di setiap pilihanraya sehinggalah mereka beralih akhir-akhir ini. Ini berlaku tentunya bersebab. Apa kah yang sudah tiada yang mereka tidak gemar lagi kepada BN? Kalau kita ikutkan kata dan jawapan politik tentulah pemimpin UMNO dan penyokongnya menyalahkan DAP. Tetapi sebabnya bukan kerana DAP, PAS, PKR atau lain-lain.

Tentu ada unsur yang selama ini yang menjadi ‘ingredient’ bagi menyatukan semua pihak itu sudah hilang. Apakah yang sudah hilang itu? ATAU apakah ada unsur-unsur yang baru yang mendatang yang telah membelahkan kesatuan di antara rakyat dan kaum seperti yang sedang berlaku pada pada hari ini.

Ramai yang boleh memberikan sebab dari sudut masing-masing. Tetapi kalau hendak lihat dan mendengar dari sudut saya elok saya tulis dalam posting saya yang akan datang.

02 May 2011

Semuanya sudah terbalik - Yang betul nampak salah, yang salah nampak betul.

Kita tidak payah untuk membuat andaian bila pilihanraya akan tiba. Akhirnya ia akan tiba juga. Masa masih panjang sehingga tamat penggal sekarang ini. Bagi PM Najib untuk membuat keputusan memanggil pilihanraya bukan kerja yang mudah apatah lagi dalam situasi politik hari ini. Sebagai pemimpin yang sedang berada di tampuk kuasa beliau lah yang akan menentukkan tarikh dan waktu untuk memanggil pilihanraya itu.

PM Najib tentunya akan melihat dari berbagai-bagai aspek sebelum membuat keputusan dan keputusan itu hanya akan dibuat sesudah beliau yakin yang rakyat sedang bersama kerajaan pimpinannya. Dalam keadaan sekarang PM Najib masih belum mendapat ilham kerana politik negara termasuk yang melibatkan parti-parti dan ahli-ahlinya yang berada di dalam BN sendiri belum lagi berada di tahap yang meyakinkan.

Bagaimana PM Najib hendak mengadakan pilihanraya sekarang? Masalah terlalu besar yang ada di hadapannya termasuklah masalah beliau sendiri. Najib sedang berhadapan krisis kepimpinan yang sangat besar kerana beliau tidak dapat menguasai sokongan padu dari dalam UMNO itu sendiri serta tidak mampu untuk mengawal tingkah dan laku pemimpin-pemimpin di dalam komponen BN itu sendiri.

Najib tidak ada ‘privilege’ untuk membuat keputusan dengan tenang dan aman kerana beliau terlalu terpengaruh dengan pengaruh dari tepian parti seperti pengaruh bekas pemimpin raksaksa negara dan banyak lagi elemen yang mengganggu beliau di dalam membuat keputusan dengan sendiri.Pendeknya Najib bukan bermasalah dengan musuh yang terang, tetapi beliau bermasalah dengan harimau yang menghendapnya dari celah belukar dan semak.

Apabila persepsi ramai melihat Najib sebagai seorang yang kurang diyakini maka ramai di kalangan pemimpin yang tinggi dalam hairaki parti begitu jelas sedang mengambil ‘position’ politik bagi menyesuaikan dengan keadaan jika Najib mengambil tindakan untuk berhenti dan terus bersara. Oleh kerana tradisi di dalam UMNO itu memudahkan orang nombor dua mengambil alih di atas nama peralihan kuasa secara aman, maka sudah ramai pula yang sekarang menghampiri Muhyiddin kerana Muhyiddin adalah ‘putra mahkota’ UMNO sekarang ini.

“Bang, marilah bergiat balik bang. Nampaknya Muhyiddin akan mengambil alih dan abang bolehlah aktif balik. Muhyiddin sedang mengesut sedikit demi sedikit kepada kerusi yang diduduki oleh Najib bang” Kata seorang pemimpin bahagian dengan yakin. Saya menjawab, “Terima kasih lah bro, abang kau ni dah berehat dan menunggu mati aje. Kau bergiatlah. Abang nak tengok juga sejauh mana politk kau boleh pergi. Abang kau ni dah ramai cucu. Biarlah duduk jauh-jauh dan jadi pemerhati sahaja sambil-sambil menjaga cucu. Kalau abang nak komen abang komen melalui blog abang. Itu cukup dah!”

Kata-kata pemimpin bahagian itu, kalau dikaji betul-betul membayangkan ada pihak dalam UMNO sendiri yang ingin melihat Najib itu bersara secepat mungkin kerana ada orang yang sedang menunggu untuk mengambil alih kerusi yang di duduki Najib itu. Kabarnya usaha itu secara halus di dalangi oleh orang yang berpengaruh untuk memudahkan Muhyiddin menjadi PM dalam kadar yang segera kononnya untuk menyelamatkan UMNO dari ditinggalkan oleh orang Melayu.

Itu masalah dalaman UMNO. Masalah di kalangan parti-parti komponen di dalam BN juga merupakan masalah yang tidak boleh di abaikan oleh pucuk pimpinan BN di Kuala Lumpur. Keretakan di kalangan parti-parti di Sabah sudah mula dikesan dan sudah dizahirkan oleh LDP supaya UMNO tidak lagi menjadi ketua kepada BN di negeri itu. Mampukah keretakan ini dihalang dari menjadi pecah dan terbelah, belum lagi dapat dipastikan. Yang pasti keretakan wujud di kalangan parti-parti dalam komponen BN itu sendiri.

Oleh yang demikian saranan Najib untuk PAS bekerjasama dengan BN memang tidak salah. Tetapi masalahnya UMNO hanya mahu bekerjasama dengan PAS semasa keadaan terdesak sahaja. Semasa dalam keadaan kuat UMNO tidak melakukan usaha memperkuatkan kekuatan yang sedia ada tetapi di sebaliknya memaki PAS dan pimpinannya setiap kesempatan yang ada. Semua ulamak PAS dipersendakan kerana orang sudah ramai Melayu memilih PAS kerana parti itu mengambil landasan Islam dalam perjuangannya.

Dalam keadaan terdesak barulah UMNO hendak mencari PAS sedangkan dengungan kutukan pemimpin dan penyokong UMNO masih kedengaran di mana-mana. Apabila PAS ada ‘apprehension’ nya untuk menerima tawaran itu maka PAS juga yang di kutuk dan dikata dengan bermacam panggilan. Kita seolah-oleh bersikap dan berperangai seladang….kalau berjalan di hadapannya kita akan ditanduknya, tetapi apabila berjalan di belakangnya kita akan ditendangnya.

PAS mempunyai pengalaman bersama UMNO di dalam BN dahulu kerana UMNO hampir pupus semasa pilihanraya 1969 dahulu. Semasa itu UMNO terdesak maka PAS diminta untuk bersama dan PAS setuju. Tetapi apabila PAS sudah bersama maka PAS dianggap sebagai masalah pula. Dr Mahathir telah mengakui ini beberapa hari yang lalui di Alor Setar yang PAS membawa masalah kepada BN semasa itu. Itulah sebabnya PAS ditendang keluar dari BN.

Sekarang perasaan terdesak UMNO itu kembali semula dan meminta PAS kembali bekerjasama dengan UMNO. Jika PAS kali ini menolak adakah itu salah PAS lagi? Kita telah membuktikan yang kita tidak selesa dengan perjuangan yang dilandaskan agama itu dan lebih mesra dengan parti-parti liberal seperti parti-parti di dalam BN sekarang. Maka itu juga hak UMNO untuk memilih.

Tetapi apabila UMNO cuba hendak menggunakan PAS kembali maka hak PAS untuk menolaknya jangan dipersoalkan lagi. PAS ada pengalaman bersama UMNO ini. PAS pun ada juga sedikit harga diri dan tidak mahu dipergunakan oleh UMNO hanya semasa mereka terdesak. Pemimpin PAS juga manusia biasa seperti pemimpin UMNO. Mereka ada perasaan dan perasaan itulah yang perlu kita fahami.

Pemimpin kita tidak sedar yang pemikiran orang sudah membangun dan UMNO tidak pernah berusaha untuk membangunkan pemikiran selari dengan pemikiran manusia sejagat. Kita wajar sedar yang Islam itu membangun mengikut masa dan zamannya. Bukan sahaja minat terhadap Islam ini berlaku di negara kita, malahan kecenderungan manusia di zaman ini terhadap Islam memang besar, termasuk di Amerika Syarikat sendiri di mana ratusan ribu orang putih Amerika memeluk Islam sebagai cara hidup mereka sejak akhir-akhir ini.

Pemimpin kita berucap di pentas dunia menuduh orang lain memberikan persepsi buruk terhadap Islam tetapi di negara sendiri pemimpin yang beriya-iya mempersendakan agamanya dan pemimpin yang berusaha kearah mengaddinkan Islam itu. Salah benar cerita lain, tetapi usaha mereka ada sedangkan kita masih lagi tersepit dengan pemikiran sempit yang parti itu adalah lebih besar dari agama.

Melakukan rasuah tidak menjadi isu besar, tetapi mengkritik UMNO itu dosa besar. Berkata benar itu salah tetapi meminda hukum agama mengikut kemahuan kita tidak salah. Mengaibkan orang lain tidak salah tetapi pihak untuk menutup keaibannya itu salah. Semuanya diambil dari sudut yang terbalik. Sedangkan Tuhan sendiri sentiasa menutup keaiban umatnya, kita pula yang melakukan perkara yang bertentangan denganNya. Kita tidak takut mengaibkan orang lain serta berbangga pula bila mangaibkan diri sendiri.

Agaknya kita ini memang sudah hampir kepada keadaan matahari akan terbit dari barat seperti yang saya sebut dalam posting saya yang lepas.

Wallaahualam.

01 May 2011

Sekarang BN terpaksa menggunakan ugutan pula

Dalam masa dua hari ini keadaan politik bertambah panas. Ada dua tiga isu yang membuatkan suhu politik negara naik dengan mendadak. Pertamanya saranan Najib supaya PAS meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) dan yang keduanya amaran keras Najib terhadap orang Cina jika kaum itu tidak memberikan sokongan kepada BN. Satu lagi isu ialah MCA telah melakukan ‘brainstorming’ di antara pemimpin di peringkat kawasan dan tertinggi untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan jika MCA di tolak oleh pengundi khususnya dari pengundi kaum Cina dalam pilihanraya yang akan datang.

Kaum Cina nampaknya menjadi sasaran hebat dan gertak mengertak di lakukan keatas kaum itu baik dari pimpinan Melayu BN dan juga dari MCA sendiri. BN sedang memulas tangan kaum Cina kerana sokongan kaum itu terhadap BN sudah kian lemah. Dalam keadaan yang sama UMNO masih lagi belum pulih dari perasaan rendah diri kerana takut ditinggalkan oleh kaum Melayu.

Keadaan meruncing ini merupakan yang paling menyakitkan BN, malahan keadaan ini mungkin bertambah rumit lagi jika dibandingkan dengan zaman Abdullah Badawi. ‘Intuition’ yang ada pada diri saya dengan jelas memberikan bayangan yang kali ini BN akan menghadapi keadaan yang jauh lebih rumit untuk mengekalkan kuasa dari pilihanraya 2008 yang lalu.

Jika semasa pilihanraya dahulu gegaran terhadap BN hanya berlaku di Semenanjung tetapi kali ini undi popular BN di Malaysia timur telah jatuh dengan begitu besar sehinggakan negeri Sarawak sudah pasti tidak lagi kekal sebagai ‘fixed deposit’ bagi BN lagi. Dalam pada itu BN perpaduan BN di Sabah sudah menunjukan berlakunya pergolakan apabila parti LDP menuntut supaya BN di negeri itu tidak lagi diketuai oleh UMNO Sabah.

Apabila LDP membuat kenyataan itu Ahli-ahli DUN Sabah dengan tergesa-gesa telah membuat kenyataan untuk menyokong Musa Aman sebagai Ketua Menteri tanpa berbelah bagi. Tindakan ini merupakan satu lagi petanda yang BN khususnya UMNO di Sabah sudah sampai ke persimpangan. Jika keadaan ini tidak terkawal maka Sabah juga tidak akan lagi menjadi simpanan tetap bagi BN pada masa yang terdekat ini. Susah untuk mencari alasan bagi menafikan keadaan ini.

Berbalik kepada ugutan Najib terhadap orang Cina, ianya merupakan tindakan yang membazir. Ianya membazir kerana dengan ugutan itu ianya menunjukan yang pemimpin kita sudah berada di dalam keadaan panik setelah tidak berjaya memujuk kaum Cina untuk menyokong BN melaui MCA di Semenanjung dan SUPP dari Sarawak. Jika seseorang pemimpin masih mempunyai keyakinan pada diri dan partinya sendiri, kenyataan yang berelimenkan ugutan tidak mungkin timbul.

Dalam nafas yang sama Najib telah meminta supaya PAS meninggalkan Pakatan Rakyat kerana pada pandangan PM Najib PAS tidak ada apa-apa keuntungan berada di dalam gugusan PR itu. Najib sudah sedar yang Melayu sendiri mempunyai parti alternatinya iaitu PAS seperti bangsa Cina mempunyai alternatifnya, DAP.

Dua bangsa terbesar di negara ini, Melayu dan Cina yang selama ini telah bersatu di dalam BN, sekarang ini sudah ada kecenderungan kedua-dua kaum terbesar ini untuk bersatu di luar BN. Isu yang diharapkan oleh BN untuk membantunya mendapat sokongan dari rakyat seperti isu sodomy Anwar dan video seks juga yang melibatkan Anwar telah gagal untuk dimunafaatkan oleh BN kerana keraguan rakyat terhadap BN lebih besar dari isu yang dipalitkan terhadap Anwar. Malahan isu-isu itu telah menjadi ‘counter productive’ kepada BN pula.

Politik seperti juga ilmu metamatik mempunyai formula yang jelas untuk diikuti supaya mendapat jawapan yang tepat. Formula kekuatan politik di negara ini khusunya di Semenanjung bergantung kepada dua kaum terbesar iaitu Melayu dan Cina. Jika kedua kaum terbesar ini bersatu di bawah BN maka BN lah yang akan meraih kuasa dari rakyat. Jika kedua-dua kaum ini memilih untuk bersatu di luar BN maka jawapannya mudah untuk diketahui umum…tidak payah untuk disebut dan dinyanyikan.

Inilah yang menyebabkan Najib bertindak mengugut dan menekan kaum Cina supaya memberikan sokongan kepada BN. Tidak mugkin pemimpin nombor satu akan melakukan ugutan jika keadaan masih memihak kepadanya. Sebagai seorang pemimpin yang paling tinggi tentunya beliau akan melakukan kempen secara beretika dan 'civil' serta lebih demokratik. BN patut sedar yang kaum Cina telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi selama ini dan kecenderungan meeka untuk memberikan kepada pihak alternatif hanya berlaku sejak beberapa tahun dahulu sahaja. DAN berlakunya keadaan ini mesti bersebab yang datangnya dari pihak kita.

Tetapi oleh kerana segala cara telah dilakukan tetapi kaum Cina masih tidak menyokongnya maka adalah natural bagi PM Najib mengugut kaum itu sebagai kaedah yang sudah tidak dapat dielakkan lagi. Ugutan merupakan kaedah yang terakhir untuk mengekalkan kuasa mentadbir negara.

Dengan ugutan ini ianya secara otomatiknya melenyapkan persepsi yang cuba ditanam oleh BN yang DAP itu sebuah parti yang rasis kerana yang rasis sebenarnya ialah BN yang diketuai oleh UMNO.

Pandangan ini tidak akan saya tulis jika saya tidak yakin tentang kebenaran situasi yang telah saya gambarkan tadi. Pandangan yang saya utarakan ini sebenarnya juga adalah pandangan setengah pemimpin UMNO walaupun di dalam terang mereka mempertahankan UMNO itu.

Mungkin pandangan saya ini merupakan pandangan yang salah tetapi dalam keadaan apa sekali pun saya tetap mempertahankan ramalan saya ini akan menjadi kenyataan jika kita tidak melakukan ‘soul searching’ yang intensif.