15 September 2012

Selamat Hari Malaysia, jagalah perlembagaan dengan baik

Besok 16hb September adalah hari kenangan penubuhan Malaysia dan kita namakan Hari Malaysia. Tanggal 16hb September ini juga merupakan hari yang kita ingati sebagai hari dalam mana Persekutuan Tanah Melayu telah menambah ahli keluarganya apabila Sabah dan Sarawak dan juga Singapura telah menyertai Persekutuan ini yang namakan Persekutuan Malaysia. Lain-lain perkataan Singapura, Sabah dan Sarawak telah mencapai kemerdekaan mereka dengan menyertai Persekutuan Malaysia pada 16hb September 1963 dahulu. Walau bagaimana pun Singapura telah dikeluarkan dari persekutuan kita dan menjadi negara merdeka sendiri.

Saya berumur 11 tahun semasa itu dan saya masih ingat yang kami dikampung berkumpul sekeliling radio kerana itu sahajalah alat komunikasi kerajaan kepada kita, terutamanya bagi kita yang duduk dipedalaman yang jauh dari bandar dan kemajuan. Semasa itu tidak semua rumah mempunyai radio, tetapi datuk saya Haji Kassim merupakan orang yang pertama dikampung itu yang mempunyai radio. Kampung kami jauh dipedalaman dan tidak mudah bagi kami untuk keluar ke bandar kerana perjalanan ke bandar itu memakan masa berjam-jam lamanya.

Kewududan Persekutuan Malaysia ini merupakan salah satu usaha untuk British memerdekakan tanah-tanah jajahannya dan yang membuatkan Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia ini adalah kerana rasa senang hati dan kepercayaan British terhadap kepimpinan negara kita yang tatkala itu diterajui oleh pemimpin yang masyur buat zaman itu, itu Tunku Abdul Rahman Putra Al haj.

Tidak payahlah kita olah bagaimana susur galur kejadian yang menyebabkan penubuhan Persekutuan Malaysia itu, tetapi cukup bagi kita untuk menghayati makna persekutuan dan kemerdekaan itu.

Sebagai sebuah negara Persekutuan yang merdeka, tentulah kita dipayungi oleh perlembagaan negara yang lengkap walaupun tidak selengkap perlembagaan Islam. Kita bercita-cita untuk mendapatkan perlindungan dan pentadbiran negara yang luhur dan baik kerana persekutuan ini sahajalah yang kita ada untuk kita wariskan kepada generasi yang akan datang sampai bila-bila selagi dunia belum kiamat. Kita tidak mempunyai kekuatan ekonomi yang membolehkan kita pergi ke merata tempat untuk tinggal. Malaysia sahajalah negara tempat kita berlindung dari ancaman luar dan dalam negara.

Oleh itu yang terpenting bagi kita ialah untuk menjunjung keluhuran perlembagaan kita dan tidak sekali-kali mencerobohinya walau sekuat mana pun tekanan untuk mempertahankan kepentingan peribadi kita.  Perlembagaan kita itu adalah ‘supreme’ dan mencerobohinya adalah satu tindakan pengkhianatan terhadap negara.

Tetapi telah 49 tahun Persekutuan Malaysia wujud tetapi kita masih lagi tidak atau pun belum kemas menjaga kedaulatan perlembagaan kita dengan sepenuhnya. Kadangkala oleh kerana permainan politik yang terlalu kotor ada kalanya perlembagaan itu di cemari dan ia sangat menusuk hati kita yang kasih dan mencintai negara dan perlembagaannya. Kadangkala bukannya unsur asing yang mencerobohi perlembagaan kita, tetapi ia datang dari rakyat kita sendiri.

Untuk kita berusaha menilai kembali peranan kita untuk menjaga perlembagaan kita elok kita sebut satu dua insiden pencerobohan yang dilakukan oleh manusia yang diamanahkan untuk menjaga kedaulatan perlembagaan itu sendiri.

Insiden yang paling menyayat hati ialah kejadian yang berlaku dalam tahun 1993 dahulu. Pada tahun itu ia merupakan tahun yang telah memberikan pimpinan kita cobaan besar samada mereka itu mendaulatkan perlembagaan atau mendaulatkan kepentingan politik dan kuasa mereka. Semasa itu perlembagaan memperuntukan yang isu Raja-Raja tidak boleh di sentuh samada di dalam atau pun di luar parlimen.

Tetapi dalam krisis perlembagaan itu Raja- Raja Melayu telah dihina dan diperkosa oleh UMNO pimpinan Mahathir kerana kewujudan Raja-Raja dan Majlis Raja-Raja dengan peruntukan kecil yang ada terhadap Raja-Raja tidak menyelesaikan politik UMNO khususnya bagi Dr Mahathir sendiri.

Mahathir semasa itu mahu segala apa yang beliau inginkan dilakukan tidak diganggu gugat oleh peruntukan yang ada untuk Raja-Raja Melayu. Mahathir dan UMNO mahukan kebebasan yang tidak bersempadan ibarat bebasnya haiwan di hutan. Sedih ceritanya tetapi jika ada kesempatan dalam kehidupan saya teringin juga  menulis buku tentang kejadian dan insiden-insiden yang berlaku dalam krisis perlembagaan yang sesungguhnya di mulakan oleh kesalahan UMNO itu sendiri.

Berbagai-bagai alasan di buat untuk menghina perlembagaan kita dalam isu ini. Ada pemimpin UMNO yang menyatakan tindakan terhadap Raja-Raja itu adalah untuk memperbetulkan sikap dan tabiat Raja-Raja yang tidak sesuai lagi buat masa sekarang. Raja-Raja terlalu banyak terlibat dalam perniagaan dan keadaan itu harus di berhentikan. Itulah sebabnya Raja-Raja wajar di kecilkan peranan mereka dan tidak boleh lagi bertindak mengikut sesuka hati mereka.

Tetapi kita semua melihat dengan mata kepala kita sendiri yang perlakuan seorang dua Raja-Raja semasa itu adalah perbuatan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri Pemimpin-pemimpin UMNO sendiri yang mengampu Raja-Raja dan telah merosakan imej seorang dua Raja. Apabila Mahathir merasakan tertekan dengan peruntukan yang ada kepada Raja-Raja Melayu dan peruntukan itu akan menyekat baginya untuk melakukan semua perkara sumbang maka jalan yang paling singkat bagi Mahathir dan UMNO ialah dengan menyerang Raja-Raja dan menghina baginda semua dengan kata-kata yang amat mengaibkan institusi Raja yang merupakan elemen penting di dalam sistem kerajaan kita.

Sekarang baru lah UMNO sedar yang institusi Raja-Raja itu penting dan sekarang semakin hampir dengan Raja kerana kepentingan mereka jua. UMNO sekarang ini,kalau boleh hendak berada di bawah ketiak Raja-Raja pula dan menuduh pihak lain pula yang cuba mencemari kedudukan Raja-Raja Melayu. Sekarang dengan ‘hypocrisy’ yang amat keterlaluan UMNO kononnya adalah parti yang mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Tetapi kita mesti ingat yang kita telah meminda perlembagaan 181(2) dan 159(5) kerana krisis tersebut. Kedua-dua peruntukan itu memberikan perlindungan terhadap bangsa Melayu. Dengan peruntukan itu orang Melayu di ibaratkan mendapat perlindungan yang begitu kuat. Ia diibaratkan seperti sebuah peti yang di kunci dengan sembilan mangga kunci yang kukuh dan tidak ada apa pun yang boleh melakukan apa-apa terhadap bangsa Melayu. Itulah dia kuasa yang diberikan kepada Raja-Raja Melayu untuk orang melayu.

Tetapi peruntukan itu telah dimansuhkan dan Sembilan kunci itu tidak akan dapat mempertahankan bangsa Melayu jika ada pihak-pihak yang cuba melakukan perkara buruk terhadap bangsa kita.

Sampailah hajat Dr Mahathir dan penyokong-penyokong beliau di dalam UMNO. Apabila bangsanya sudah tidak mempunyai peruntukan yang kuat itu maka sampailah hajat Mahathir yang begitu resah dengan bangsa Melayu selama ini walaupun beliau memilih untuk menjadi Melayu untuk kepentingan peribadi beliau.

Membinasakan Sembilan buah kunci ini merupakan hadiah busuk UMNO kepada orang dan bangsa Melayu.

Bersambung………

14 September 2012

Rakyat asing/BN VS rakyat berdaulat Selangor/Pakatan Rakyat.

Selangor tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negerinya jika pilihanraya di adakan pada bulan November atau sebelumnya. Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak akan bersama dengan negeri-negeri lain dengan membubarkan DUN jika Najib mengumumkan pembubaran Parlimen seperti yang lazim di lakukan oleh mana-mana negeri di masa-masa yang lalu.

Kita sudah mendengar pendirian dari Kelantan yang berpendapat tidak mempunyai masalah untuk membubarkan DUNnya mengikut tarikh yang akan di umumkan oleh Najib. Kita masih lagi menunggu respon P Pinang dalam hal ini.

Sesungguhnya Selangor adalah salah sebuah negeri berdaulat yang berada di dalam Persekutuan Malaysia dan negeri itu berhak untuk membubarkan atau tidak Dewan Legislatifnya. Tidak ada pihak lain berhak untuk menentukan tarikh pilihanraya bagi negeri yang berdaulat itu.

Pendirian negeri Selangor iru bersebab dan bukannya membuat keputusan itu semata-mata kerana hendak berlainan dari negeri-negeri lain. Selangor telah menjadi medan pihak yang inginkan kembali berkuasa dengan melakukan berbagai-bagai tektik kotor yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Pihak BN telah menambah lebih dari empat ratus ribu pengundi yang dipersoalkan ‘ligitimacy’nya sebagai pengundi.

Sampai kehari ini masalah itu belum dapat di selesaikan oleh SPR dan pilihanraya sememangnya tidak patut di adakan selagi semua pihak berpuas hati tidak ada pengundi-pengundi yang tidak 'legitimate' termasuk di dalam senarai pengundi yang terdaftar dengan SPR.

Jika terdapat ratus ribu pengundi segera yang di daftarkan dengan pemberian kad pengenalan kepada warga asing itu, maka ia merupakan satu isu pengkhianatan kepada negara. Kita tidak mahu negara kita di tentukan politiknya oleh rakyat asing yang di berikan kad pengenalan segera semata-mata untuk kepentingan pihak yang sedang dalam keadaan ‘desperate’.

Jika ini berterusan  maka keadaan akan menjadi berbeza. Ia akan mewujudkan situasi dalam mana pemilihan adalah di antara rakyat asing yang di sokong oleh BN dan rakyat Selangor yang di sokong oleh Pakatan Rakyat.

Dalam isu ini apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Selangor amat mudah untuk di fahami. Pakatan rakyat Selangor mahukan rakyat Selangor yang tulin sahaja yang mengundi dan bukannya dari rakyat asing yang mendapat kad pengenalan segera yang dikeluarkan oleh pihak BN.

Ia bermakna kerajaan Selangor terpanggil untuk mempertahankan kedaulatan negeri Selangor dengan membenarkan hanya rakyat tempatan Selangor sahaja yang mengundi. Tindakan kerajaan Selangor itu semata-mata untuk menjaga kedaulatan Selangor sebagai sebuah negeri yang menganggotai kerajaan persekutuan Malaysia ini.

Perlu di ingat kedaulatan kerajaan persekutuan itu datangnya dari kedaulatan kerajaan negeri-negeri yang menganggotai persekutuan kita ini.

Jika tercacat kedaulatan negeri yang menganggotai persekutuan itu maka ianya akan menjejaskan kedaulatan persekutuan kita ini.

Tetapi jika akhirnya Selangor terpaksa juga menghadapi pilihanraya kali ini tanpa dibersihkan senarai pengundi, maka pilihanraya nanti adalah pilihanraya untuk memilih pendatang asing yang di sokong oleh BN atau pun memilih kehendak rakyat negeri Selangor sendiri.

Yang penting rakyat dan pengundi tulin Selangor mesti mempertahankan kedaulatan negeri mereka dengan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat yang benar-benar mahukan hanya rakyat tulin Selangor sahaja yang mengundi.

12 September 2012

Najib tidak ada pilihan, beliau akan terpaksa meletakkan jawatan selepas PRU13

Kerana permainan pemimpin-pemimpin besar UMNO berpecah-belah ahli-ahli serta pimpinan ke peringkat bawahan. Akhirnya ahli-ahli di bawah hanyalah diperguna untuk menjadi ‘kuda pelejang’ pimpinan yang di atas. Nampaknya seperti tenang tetapi hakikatnya pergolakan ini berlaku di antara pimpinan yang hendak terus berkuasa dan pemimpin yang sudah terkelior untuk merasa nikmat menjadi orang nombor wahid dalam UMNO. Maklum sajalah secara konvensyennya Presiden UMNO itu adalah Perdana Menteri Malaysia.

Itulah sebabnya saya selalu bercakap yang UMNO itu akan akhirnya kecundang bukan oleh kerana pihak-pihak lain tetapi oleh pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri. Kepada siapa yang berpengalaman lama dalam permainan ini mereka hampir kesemuanya telah tidak bergiat lagi dan tidak mengambil endah tentang parti mereka yang kian hari kian menguncup itu. Mereka yang kekal hanyalah mereka yang merasa nikmat dari parti kerana berjaya dalam meloloskan diri dalam percaturan politik yang sangat ‘complicated’ dalam UMNO itu.

Siapa yang menjadi korban dari permainan kotor politik oleh pemain-pemainnya ini? Yang menjadi korban ialah parti dan pemimpin-pemimpin berwibawa yang selalunya tertumpas dalam permainan politik kotor ini. Hasilnya negara ditadbir dan dikuasai oleh mereka yang hanya tahu membina kekayaan dan kepentingan keluarga mereka semata-mata dan mereka selalunya akan disokong oleh mereka yang tiada sisek politiknya. Mereka akan menjadi pemimpin untuk mendukung pimpinan yang memerlukan sokongan tanpa mengira mereka-mereka ini berguna atau sebaliknya untuk negara dan parti.

Perbuatan Mahathir yang memulakan politik memecah dan mengeksploitasi di antara pemimpin-pemimpin yang berpontensi ini lama-kelamaannya menghasilkan parti dan pimpinan yang kita lihat pada hari ini. Mereka yang mewarisi kepimpinan Mahathir ini merupakan mereka-mereka yang datang dari acuan yang sama dan siapa juga dari mereka ini menjadi pemimpin tidak akan membawa faedah kepada negara. Kesemua yang ada di dalam barisan kabinet dan pimpinan UMNO (majlis tertinggi) itu merupakan kumpulan yang sudah hilang arah dan tujuan perjuangan dan mereka hanya mementingkan wang ringgit yang merupakan matlamat utama mereka.

Oleh itu permainan politik di antara pemimpin besar negara pada hari ini akan menambahkan bencana kerana kejayaan mana-mana pihak pun tidak akan membawa apa-apa faedah kerana seperti yang saya sebutkan tadi mereka datang dari acuan yang sama. Jika mereka datang dari acuan yang sama sesiapa yang mengambil alih kepimpinan negara tidak akan membawa apa-apa kebaikan lagi.

Kali ini pilihan pimpinan negara mesti datang dari pemimpin yang datang dari acuan dan budaya yang berbeza dari kumpulan yang ada. Itulah yang menyebabkan orang ramai tidak lagi mempunyai rasa kasih dan hormat kepada UMNO seperti dahulu kala. Malahan ahli-ahli UMNO sendiri tidak menghormati pimpinan mereka dan selalu sahaja memberikan sokongan kepada pembangkang dalam senyap senyap. Lebih ramai lagi akan memberikan sokongan kepada parti-parti bukan BN dalam peti undi dan saya amat merasai keadaan itu akan berlaku.

Jika Najib kekal dengan kemenangan kecil Najib terpaksa meletakkan jawatan dan yang mengambil alih beliau jika datangnya dari mereka yang ada dalam barisan kepimpinan UMNO itu ia akan membawa UMNO ke penghujung usianya tanpa ragu-ragu lagi.

Pendeknya apa pun yang akan berlaku UMNO tidak akan menjadi relevan lagi. Apabila UMNO tewas lebih banyak kerusi kali ini ia merupakan saat UMNO yang akan dipandang sepi dan tidak berdaya lagi untuk maju kehadapan.

Ramai yang faham mengapa Muhyiddin beriya-iya meminta Pak Lah berhenti kerana beliau tahu yang akan mengambil tempat Pak Lah ialah pemimpin yang dengan senang boleh di ketepikan oleh beliau. Muhyiddin tahu Najib mempunyai ‘baggage’ yang berat tetapi beliau (Muhyiddin) sendiri mempunyai ‘baggage’ seberat yang dibawa oleh Najib.

Muhyiddin mungkin berjaya mengenepikan Najib tetapi UMNO itu akan terus kecundang bersama beliau (Muhyiddin) jika beliau yang mengambil alih dari Najib. Keadaan ini merupakan salah satu daripada penyebab mengapa UMNO semakin hari semakin berkurangan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Apa pun, jika UMNO menang dengan margin yang kecil dari yang dicapai oleh Pak Lah dahulu Najib akan dipaksa meletakkan jawatannya sebagai PM oleh partinya sendiri. Itu pun pelan Dr Mahathir..tetapi untuk mendapat kemenangan itu ramai yang berpendapat ia sudah 'predictable'. UMNO akan jatuh dan kehilangan kuasa.

11 September 2012

UMNO: Bermasalah dengan rakyat, bermasalah sesama sendiri

Saya hendak menyambung apa yang saya tulis dalam posting saya semalam. Saya telah membuat komen tentang pandangan Dr M yang Pakatan Rakyat akan memerintah lama jika menang dalam pilihanraya yang ke-13 nanti. Pandangan itu adalah pandangan yang sangat natural. Jika PR diberikan mandat ke Putrajaya, rakyat akan selalunya memberikan setidak-tidaknya dua penggal untuk memerintah.

Dalam pada itu UMNO dan BN yang menjadi pembangkang pula mempunyai masa untuk memperbaiki diri dan belajar menjauhi diri dari segala dosa dan noda yang telah mereka lakukan terhadap rakyat. Pakatan Rakyat pula akan menjadi perhatian rakyat dan sebagai sebuah komponen yang telah melalui liku-liku yang memeritkan untuk memperbaiki siasah dan politik negara tentalah PR akan lebih berhati-hati dalam menguruskan pentadbiran negara.

Rakyat semakin hari semakin pandai dan matang dan PR tentulah bersedia untuk melengkapkan diri untuk mentadbir rakyat yang kian hari kian celek dalam segala-galanya. Dengan itu akan wujudlah sistem dua parti yang akan memberikan rakyat segala kuasa penentu untuk masa depan negara.

Tetapi apa yang dikatakan oleh Dr M yang PR akan memerintah lama itu ada kebenarannya. UMNO yang tidak pernah duduk di kerusi pembangkang amat susah untuk memperbaiki diri kerana mereka tidak pernah merasakan kesusahan. Saya selalu membandingkan nilai di antara pembangkan seperti PAS bersama DAP itu dengan UMNO ibarat ‘ayam kampung dengan ayam daging’..

UMNO saya anggap sebagai ayam daging kerana ahli-ahli UMNO tidak berkemampuan untuk hidup tanpa diberi makan oleh tuannya. Ayam daging tidak berhenti mematuk makanan dan apabila dikeluarkan dari rebannya ayam itu akan mati dalam masa yang singkat. Sebaliknya orang PAS boleh diibaratkan sebagai ayam kampung kerana mereka pandai mencari makanannya sendiri. Itu sebabnya ayam kampung harganya lebih tinggi dari ayam daging. Dagingnya lebih manis dan tidak mudah hancur apabila direndang di dalam kuali walaupun berjam-jam lamanya.

Oleh itu jika UMNO gagal untuk mendapatkan mandat kali ini, parti itu tidak akan dapat meneruskan perjuangannya yang tidak menentu itu lagi. Itulah sebabnya mereka dalam UMNO khususnya yang besar-besar begitu runsing memikirkan keadaan mereka selepas pilihanraya nanti. Mereka lebih memikirkan peribadi mereka dan tidak ada masa untuk memikirkan masa depan negara.

UMNO kehilangan kepimpinan sejak Mahathir mengenepikan semua pemimpin-pemimpin berwibawa secara sistematik semasa beliau menjadi PM yang sebegitu lama, sehinggakan yang tinggal hanyalah mereka yang tidak sepatutnya berada di dalam barisan kepimpinan. Apabila mereka mendapat jawatan dan tanggungjawab mereka keliru dan tidak mengetahui apa sebabnya mereka berada di tempat yang diberikan itu.

Itu sebabnya kita lihat yang pandai membuat kasut disuruh membuat songkok dan yang mahir membuat songkok disuruhnya membuat kasut. Itu pun yang Mahathir mahukan kerana beliau lebih mementingkan kedudukan peribadi beliau sahaja. Yang berkepimpinan di setiap peringkat tidak mendapat perhatian parti dalam proses membina kepimpinan parti untuk jangka masa yang panjang.

Kalau pun UMNO hendak membina kepimpinan baru dengan menonjolkan calon-calon yang boleh menang sekali pun sudah tidak menjadi, kerana parti itu sendiri sudah tidak ‘winnable’ lagi.

Masalah yang lebih besar ialah masalah dalaman yang berlaku di dalam UMNO sekarang ini. Di kalangan pemimpin-pemimpin tinggi UMNO sendiri tidak semua yang merasa senang dengan cara Najib mentadbir negara. Itulah sebabnya kita mendengar banyak desas-desus di kalangan kepimpinan UMNO yang mahukan Najib berundur dan memberikan Muhyiddin menerajui parti menghadapi pilihanraya kali ini.

Usaha setengah pemimpin UMNO itu memang ada, dan ia memberi makna mereka mahukan Muhyiddin mengambil alih jawatan yang dipegang oleh Najib sebelum pilihanraya nanti…..kononnya untuk memastikan kemenangan BN sekali lagi kali ini.

Dalam keadaan sekarang UMNO terutamanya Najib terpaksa menghadapi musuh dari luar yang boleh dilihat dengan nyata, tetapi yang paling membimbangkan beliau sepatutnya ialah untuk menghadapi musuh dari dalam yang lebih merbahaya.

Musuh-musuh Najib dari dalam itu ibarat harimau yang sentiasa menghendap dan menunggu masa untuk menerkam Najib dan kalau boleh tepat pada tengkoknya. Ia akan berlaku pada bila-bila masa sahaja. Pada kumpulan ini, tatacara untuk pengambilalihan kepimpinan UMNO dari Najib itu sudah tersedia lama dahulu, iaitu semasa Najib mengambil alih kepimpinan dari Pak Lah dahulu lagi.

Masa untuk mengimplimentasikan tatacara itu sudah hampir tiba. Masanya sudah masak dan hanya menunggu masa dan saatnya sahaja.

Isu ini boleh kita kupas jika tidak ada halangan dalam posting-posting yang akan datang.