28 April 2014

Masih kah PR kekal dengan 52 peratus undi popular sekarang ini?

Anwar berkata ‘Pakatan Rakyat is the rightful government to this country’ kerana mendapat 52 peratus dari undi rakyat negara ini dalam pilihanraya yang lalu. Kerjasama secara tidak formal ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu telah berjaya mengumpul sebanyak 52 peratus dari undi rakyat berbilang kaum dalam PRU yang lalu walaupun BN memenangi dalam jumlah kerusi yang di pertandingkan. Itu sistem kita selama ini, dalam mana pihak yang mendapat jumlah kerusi yang terbanyak akan menjadi kerajaan.

Tetapi jumlah sokongan rakyat sebanyak 52 peratus itu mungkin tidak lagi menjadi kenyataan jika pilihanraya diadakan sekali lagi kerana tentunya sebilangan besar dari penyokong PAS tidak lagi akan menyokong Pakatan Rakyat apabila isu hukum hudud timbul. DAP menentang keras hukum hudud itu walaupun suatu ketika dahulu pimpinan utamanya telah berjanji untuk menghormati perjuangan bangsa dan agama lain dinegara ini.

Apa pun DAP ada hak untuk tidak bersetuju kerana Islam itu bukan agamanya kepada kebanyakan pemimpin dan ahli parti itu. Malahan parti itu telah meminta PAS agar keluar dari Pakatan Rakyat dan sekali gus dari segi moralnya Pakatan Rakyat hanya mempunyai dua parti sahaja dalam Pakatan pembangkang itu. Justeru peratusan sokongan yang memihak kepada pembangkang sudah pastinya berkurangan dari 52 peratus yang digembar gemburkan itu. 

Jadi pengakuan Anwar yang PR itu merupakan pihak yang secara politik dan moralnya adalah parti yang sepatutnya menjadi kerajaan itu sudah tidak relevan lagi. DAP telah dengan jelasnya meminta PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan parti itu berkata yang dalam politik tidak ada persahabatan dan permusuhan yang berkekalan, maka DAP merasakan ini adalah masanya untuk mengambil tindakan berpisah dengan PAS kerana perbezaan yang sangat jelas dalam banyak hal perjuangan dan matlamat parti masing-masing.

Seandainya PAS benar-benar tidak lagi bersama dalam Pakatan Rakyat parti itu tidak akan menghadapi masalah moral kerana sememangnya dari awal penubuhannya, perjuangannya adalah untuk meningkatkan Islam yang hendak diaddinkan dalam pentadbiran kerajaan negara ini. Malahan jika PAS benar-benar parti yang mempunyai moral dan maruah yang tinggi, parti itu sepatutnya menyahut cabaran DAP itu kerana ini merupakan keputusan yang menjadi penentu kepada masa depan parti itu samada parti yang boleh diyakini dan tidak berbohong dipandangan mata rakyat.

PAS boleh memberikan penjelasan yang baik dalam isu hudud ini jika parti itu benar-benar mahu melaksanakan hudud di negeri Kelantan. Kelantan adalah salah sebuah negeri yang menganggotai Persekutuan ini dan Kelantan adalah sama seperti negeri lain yang memberikan sumbangan kepada kedaulatan negara. Kedaulatan negara datangnya dari penyertaan negari-negeri yang berdaulat dalam Persekutuan ini kerana negeri itu juga mempunyai legislatif nya sendiri.

Tiada apa salahnya jika negeri itu mempunyai undang-undangnya sendiri yang berlainan dari undang-undang diperingkat persekutuan dan negeri-negeri yang lain. Amerika Syarikat juga adalah sebuah negara Persekutuan yang dianggotai oleh 52 negeri di dalamnya dan ada negeri-negeri dalam Amerika Syarikat yang mana sebahagian dari undang-undangnya berbeza dengan undang-undang dinegeri-negeri lain dalam AS itu.

Maka tidak ada kesalahannya jika di Malaysia ini Kelantan dibenarkan melaksanakan hukum hudud itu memandangkan negeri itu mempunyai 97 peratus dari rakyatnya adalah dikalangan orang Melayu yang beragama Islam.

Hanya yang perlu menjadi fokusnya sekarang ini, tentukan undang-undang hudud itu adalah hudud yang sebenarnya dan ini belum ternyata lagi berjaya atau gagalnya perlaksanaannya di Kelantan. Malahan sebagai seorang Islam saya ingin melihat undang-undang hudud ini terlaksana di Kelantan yang akhirnya nanti dapat membezakan undang-undang mana yang lebih baik dari yang ada sekarang ini.

Alasan hudud ini menyalahi perlembagaan negara adalah alasan yang lembek. Negeri-negeri berdaulat itu ada undang-undang tubuh dan enakmen syariahnya sendiri yang boleh dipinda untuk kehendak rakyat negeri itu. Yang penting kerajaan persekutuan memberikan sokongan yang secukupnya bagi negeri ini untuk melaksanakan undang-undang itu.

Kita bersetuju yang undang-undang hudud ini wajar dilaksanakan dengan begitu berhati-hati agar ia tidak menjejaskan negara, tetapi ia tidak semestinya menjadi alasan kenapa hudud itu tidak perlu dilaksanakan di Kelantan. Mungkin ia memerlukan penglibatan ramai sadaqiah Islam peringkat antarabangsa yang berwibawa untuk membantu bagi perlaksanaan cita-cita PAS untuk melaksanakan hukum itu di negeri Kelantan yang 97 peratus dari rakyatnya yang beragama Islam itu.

Mungkin bukan mudah untuk memulakan perlaksanaannya tetapi tidak salah untuk diusahakan dan memulakan perlaksanaannya dalam keadaan berhati-hati dan cermat. Yang pentingnya dalam tidak beberapa lama selepas perlaksanaannya kita dapat membuktikan hukum dan undang-undang Islam itu mampu untuk menunjukkan kewibawaannya dari hukum-hukum civil yang ada hari ini.

Jika ia gagal menunjukkan bukti itu maka yang gagal nanti ialah PAS, bukannya hukum Allah itu. Kegagalan adalah sifat mustahil bagi Allah s.w.t..  Tiada apa yang gagal bagi Allah kerana nyawa dan nafas kita sendiri adalah dari Allah dan terbentangnya dunia dan alam ini adalah kenyataan kehebatan yang mustahil boleh dibandingkan dengan sesuatu.

Masakan hukum dan undang-undang agama yang diturunkannya itu adalah undang-undang yang gagal memberikan keadilan kepada umat sejagat.

Berbalik kepada isu sokongan 52 peratus kepada PR yang di sebut oleh Anwar itu, hakikat sebenarnya sekarang ini keadaan 52 peratus yang memihak kepada PR itu bukan lagi satu kenyataan dan ia telah menjadi sejarah bukan kerana sesiapa tetapi kerana PR itu sendiri.

26 April 2014

Kita memerlukan politik baru sebelum terlambat

DAP meminta PAS keluar dari Pakatan Rakyat jika masih bertegas untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan, kerana perlaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam agenda Pakatan Rakyat yang menggabungkan 3 buah parti termasuk PAS. Selain dari DAP banyak parti-parti lain seperti MCA dan beberapa buah parti di Sabah dan Sarawak juga tidak bersetuju dengan perlaksanaan hukum hudud itu.

DAP berpendapat PAS tidak seharusnya berpendirian untuk mendapatkan semua kehendaknya, disamping mendapat sokongan dari gabungan Pakatan Rakyat tetapi tidak bersetuju dengan pendirian PR dalam isu hudud. Kata Pengerusi Organisasi DAP, dalam politik tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal. Itu benar kerana politik itu hidup dan selalu berubah-ubah keadaan dan situasinya.

Semasa perdebatan diantara Setiausaha Agung DAP dengan Chua Soi Lek beberapa ketika dahulu, DAP telah mempertahankan perhubungannya dengan PAS kerana isu hudud itu menjadi isu hangat yang dipermainkan oleh MCA. Lim Guan Eng dengan jelas memberitahu hadirin dan masyarakat awam yang DAP menghormati perjuangan bangsa dan agama lain dan itu pun sebabnya ada perpaduan dalam Pakatan Rakyat.

Tetapi dalam keadaan akhir-akhir ini DAP nampaknya sangat keras menentang apa yang hendak dilakukan oleh PAS dan janjinya untuk menghormati perjuangan bangsa dan agama lain sudah jelas bukannya janji yang mudah dikotakan oleh parti yang dikuasai oleh kaum Cina itu. Jadi betullah kata pemimpin DAP itu yang dalam politik tidak ada kawan dan musuh yang kekal.

Maka dalam situasi sekarang ini perpecahan dan pertentangan berlandaskan agama dan perkauman semakin melebar. Sudah ramai yang memperjuangkan politik kepelbagaian kaum semakin cemas kerana nampaknya masing-masing bangsa sedang berusaha untuk menguasai politik negara. Kaum Cinanya sudah bersatu dengan kaumnya sendiri dan kaum bukan Cina seperti Melayu sudah mula bersama-sama memikirkan nasib bangsanya sendiri.

Saya mengambil isu ini untuk dikomen kerana blog ini sudah begitu lama berharap akan ada politik baru dalam negara ini kerana mereka yang sedang menguasai politik kerajaan dan pembangkang sudah jelas tidak mampu untuk memperjuangkan apa yang diperjuangkan oleh parti pimpinan mereka. UMNO yang menentang keras hukum hudud telah mula ada seruan dikalangan pimpinannya untuk parti itu dengan PAS bersatu dan melaksanakan agenda bangsa dan agamanya termasuk hukum hudud ini.

Dalam keadaan sekarang, tidak ada kemungkinan yang rakyat akan bersatu seperti yang kita alami dahulu. Yang kita nampak sekarang di semenanjung ini jika kuasa politik di perolehi oleh kaum Cina maka ini akan merupakan kematian bagi kaum Melayu dan bangsa itu akan hilang identitinya sendiri. Di sebaliknya jika mandat diperolehi oleh kaum Melayu maka kuasa politik itu tidak akan mampu dirasakan oleh kaum Cina seperti dahulu semasa MCA menjadi tulang belakang perjuangan untuk kaum Cina dahulu.

Justeru negara memerlukan kepimpinan yang berimej yang berlainan dari yang ada sekarang, baik dari pihak kerajaan mahu pun pihak pembangkang. Kita terpaksa memulakan politik baru yang membolehkan semua kaum tidak merasa ketinggalan dalam arus dan kuasa politik dan semua bidang kehidupan manusia yang tinggal dalam negara ini.

Dalam keadaan politik Melayu yang kian lemah, sudah timbul kesedaran yang Melayu perlu bersatu kerana orang melayu sudah tidak sanggup menahan cemuhan bangsa lain sekarang ini. Begitu juga lah bangsa lain sudah tidak lagi mampu untuk membendung perasaan tidak puas hati dalam keadaan politik kini.

Jika bersatunya Melayu maka ia akan membuktikan yang kuasa politik negara ini terletak ditangan Melayu dan pemimpinnya. Tetapi bolehkah Melayu itu bersatu dengan kepimpinan yang ada pada hari ini? Jawapannya tentulah tidak!, kerana pimpinan Melayu terutamanya dalam UMNO sudah hilang arah matlamatnya kerana mereka sudah membudayakan politik ampu mengampu dan bergantung kepada perut yang gondolan untuk berkuasa yang mengakibatkan perpecahan dikalangan pimpinan dan rakyat Melayu itu sendiri. Tetapi sebusuk-busuk melayu itu jika ia berkuasa ia masih ada terbau Melayu nya.

Mahu tidak mahu semua kaum mesti mengakui yang politik negara ini adalah bergantung kepada kaum Melayu jika mereka berpadu. Oleh yang demikian, jika ada usaha oleh bangsa Melayu yang berada dalam PAS, UMNO dan PKR, maka kedudukan dan kekuatan politik melayu itu akan tetap kekal menguasai politik tanahair kita ini.

Permainan ‘partisan politics’ sudah tidak lagi mampu untuk negara ini dikekalkan kerana masing-masing bangsa tidak mahu berkorban untuk kemahuan negara. Jika ini keadaannya dan tidak boleh di elakkan lagi maka perpaduan UMNO dengan PAS itu adalah satu usaha yang paling baik tetapi biarlah mereka yang melakukan jenayah politik dalam UMNO itu serta-merta berundur dan dicari pemimpin yang baru untuk melakukan pembaharuan siasah negara ini.

Saya secara peribadi merasakan yang lanskap politik tanahair akan berubah dengan pesatnya dengan keluarnya seruan lantang dari pemimpin DAP supaya PAS keluar dari Pakatan Rakyat. Apabila sudah hambur kata-kata seperti itu maka ia menunjukkan yang perhubungan dan penyatuan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu tidak akan kekal dan akan berpecah dalam jangka masa yang agak deras.

Blog ini meramalkan yang Pakatan Rakyat akan berbentuk lain tanpa PAS di dalamnya. Jika itu berlaku maka niat dan hasrat Pakatan Rakyat untuk duduk di Putrajaya hanyalah mimpi disiang hari sahaja. Mungkin ramai ‘polical novis’ tidak bersetuju dengan pandangan ini, tetapi itu tidak mengapa. Masing-masing perlu melalui hakikat ini dalam PRU yang akan datang sebelum yakin dengan apa yang saya katakan ini.

Itu sebab saya ulangi, jika mereka dalam DAP dan parti-parti berbangsa bukan Melayu yang lain mahu merasakan nikmat bersama berkuasa, wajar berfikir untuk menurunkan ego masing-masing dan bersama-sama melalui proses perubahan bagi mewujudkan politik dan siasah yang baru bagi negara ini. Jika sekarang ramai ahli-ahli parlimen sedang melakukan lobi melobi dikalangan mereka dalam isu hudud, mereka juga sepatutnya juga lobi melobi untuk memilih kepimpinan baru negara bagi mendapatkan ‘ambience’ baru dalam politik negara ini.

Sekali lagi blog ini mengulangi, ‘we need to start new politics urgently’ sebelum terlambat. Jangan dilengah-lengahkan.

16 April 2014

Jangan setakat hendak menggunakan nama Allah sahaja, gunakan undang-undangNya sekali

Saya mengambil keputusan untuk menulis isu yang lain dan tidak akan menyambung artikel yang lepas seperti yang saya janjikan. Saya tidak dapat menyentuh blog saya sendiri sejak beberapa hari yang lepas kerana kesibukan dan kesuntukan masa. Isu yang menarik bagi saya untuk memberikan komen ialah isu undang-undang hudud yang menjadi isu hangat sekarang ini setelah kerajaan negeri Kelantan telah mengambil keputusan untuk membentang ‘private bill’ di parlimen dan bertegas untuk melaksanakan hukum hudud di negeri Kelantan.

Isu ini telah mendapat reaksi yang bersalahan dari beberapa pihak termasuk dari MCA, komponen BN sendiri. Ketua Wanita MCA sendiri telah meminta Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dengan PKR untuk bertegas menentang usul yang akan dibentangkan oleh PAS kerana PAS adalah rakan kongsi Pakatan Rakyat. Heng Seai Kie telah meminta Anwar untuk memberhentikan usaha PAS untuk membentangkan bill itu jika Anwar benar-benar Anwar dan Pakatan mengotakan apa yang mereka janjikan.

MCA telah turut membidas DAP kerana tidak melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan untuk menggagalkan usaha PAS itu kerana ia dianggap oleh MCA sebagai permainan politik yang mengelirukan rakyat Malaysia keseluruhannya. Permainan DAP, mengikut kata Ketua Wanita MCA itu adalah tindakan untuk mendapatkan undi semata-mata dan tidak membuat apa yang mereka perkatakan.

Tetapi pandangan MCA itu tidak sepenuhnya benar kerana DAP sememangnya telah berjanji yang kesemua 38 orang ahli legislatif nya di parlimen tidak akan menyokong usul itu dan menentang pembentangan bill tersebut. 

Sebagai rakyat biasa saya tidak ada masalah tentang kehadiran hukum hudud dinegara ini. Hanya saya hendak memberikan pandangan yang usaha itu perlukan usaha yang sangat berhemah dan teliti agar ia tidak memberikan kesan negatif kepada negara. Sebagai seorang Islam adalah tidak patut saya menolak hukum hudud itu kerana itu adalah hukum yang diturunkan Allah s.w.t. dan bukannya yang dicipta oleh PAS. PAS hanya hendak memberikan hukum Tuhan  itu keutamaan kerana kita semua bertuhan.

Mana mungkin oleh kerana Karpal Singh tidak setuju kita terpaksa membatalkan niat untuk melaksanakan hukum hudud itu. Takkanlah kita takut kepada Karpal dari hukum Tuhan.

Hudud ini wajar dilaksanakan kerana jika ia terlaksana dengan sempurna ia akan terbukti satu undang-undang yang berguna untuk semua manusia berbilang kaum, bukan setakat untuk orang Islam semata-mata.

Tetapi sebelum ia dilakukan ia perlu melalui penerangan yang teliti dan menyeluruh untuk kefahaman semua. Beri kefahaman kepada semua yang masih ramai mempunyai syak wasangka kepada hukum Islam ini. Ia perlu difahamkan dari hukum hududnya sehingga kepada hukum Qisasnya supaya ia akan di fahamkan yang hudud itu bukannya hukum yang tidak bertimbang rasa malahan undang-undang yang berupa undang-undang ‘preventive’ ini akhirnya menjadi undang-undang yang sesuai untuk diguna pakai oleh semua umat diakhir zaman ini.

Saya tidak memahami sepenuhnya undang-undang ini tetapi saya tahu dan yakin yang ianya adalah satu undang-undang yang boleh mengadili semua manusia dalam semua hal tanpa mengira bangsa dan agama. Hanya sekarang ini ia belum ada usaha meyakinkan semua pihak dalam isu ini.

Kepada pihak yang berkata undang-undang Tuhan ini tidak dapat disesuaikan dengan perlembagaan negara, elok kita perkuatkan iktiqad yang perlembagaan negara itu adalah ciptaan manusia sedangkan hudud itu adalah ciptaan Allah s.w.t..

Kita pernah mendengar ada usaha untuk membawa isu hudud ini ke mahkamah suatu ketika dahulu. Tindakan itu nyata adalah tindakan untuk undang-undang buatan manusia membicarakan undang-undang ciptaan Tuhan yang Maha Esa.

Bagi yang menentang hudud ini mereka akan memberikan berbagai-bagai alasan untuk menentang hukum Allah ini, tetapi mereka beriya-iya untuk menggunakan nama Allah dalam agama mereka.

Jangan kita setakat berperang menggunakan namaNya dan berperang untuk mempertahankan namaNya oleh setengah pihak sahaja. Kita gunakan undang-undangNya sekali. Allah tidak berbohong malahan berbohong itu adalah sifat mustahil bagiNya. Apa jua yang diturunkanNya adalah untuk kebaikan umat sejagat bukan setakat untuk kebaikan rakyat Kelantan sahaja.

Segala-galanya yang datang dari Allah s.w.t. itu ada hikmahnya bukan sahaja kepada yang beragama Islam malahan kepada keseluruhan umat manusia sejagat. Hanya setengah diantara kita tidak sesuai dengan undang-undang itu kerana ia tidak mahu melaluinya dahulu untuk menikmati hikmah dari Tuhan itu.

Hanya yang sangat perlu dilakukan ialah untuk berfikir habis-habisan dalam melaksanakan hukum hudud ini, kerana yang terpenting sekali seperti yang di sebutkan tadi ialah pemahaman yang terperinci wajar difahami sebelum ianya dilaksanakan dan tumpukan kepada kaedah perlaksanaan yang terbaik yang tidak menjejaskan imej agama itu sendiri.

Kita tidak mahu agama itu menjadi bahan ejekan dan dipandang rendah oleh umat manusia kerana ini adalah satu usaha yang amat drastik bagi negara kita dan juga bagi banyak negara yang lain. Ini merupakan satu usaha dan perubahan yang sangat besar yang mempunyai risiko ketidak tepatan perlaksanaan dengan hukum sebenarnya.

Setakat ini  PAS belum lagi melakukan semuanya ini termasuk mengadakan jawatankuasa perlaksanaan yang mungkin memerlukan penglibatan ulamak-ulamak yang muktabar dan sadiqiah Islam dari seluruh dunia untuk mempastikan ia terlaksana dengan betul dan tepat dengan hukum dan semangat undang-undang itu sendiri.

11 April 2014

Kita perlukan pimpinan yang berakal, bukannya yang berotot besar

1) Saya hendak bercakap tentang masa depan politik dan lanskapnya mengikut pandangan saya yang cetek bagi setengah pengkritik saya, walaupun saya bukan seorang yang telah berjaya dalam politik seperti setengah pengkritik saya tuduh. Mereka yang sudah beranggapan negatif terhadap orang seperti saya yang lantang bercakap dan berkata dengan komitmen yang tinggi tentang ketulusan dalam apa yang saya hendak perkatakan ini.

2) Bagi saya kejayaan seorang ahli politik itu ialah kejayaan mereka untuk tidak terlibat dengan kerja mungkar terhadap negara, tetapi ramai yang lain beranggapan kepada siapa yang tidak berjaya mendapat kerja dengan kerajaan melalui politik itu adalah seorang politikus yang gagal. Siapa yang berjaya menjadi menteri pada mereka itu adalah ahli politik yang berjaya. Pada siapa yang tidak mendapat apa-apa dalam kerja politiknya, itu dianggap sebagai ahli politik yang gagal (failed politician).

3) Walau bagaimana pun bagi saya seorang yang berjaya dalam politik ialah mereka yang bijak memimpin dan tidak terlibat dengan kerja-kerja rasuah dan salah guna kuasa seperti yang kita lazim lihat pada masa kini. Dalam kontek politik negara kita ini, mendapat kerja sebagai menteri dan sebagainya itu adalah kerja yang boleh memuaskan kehendak hati untuk menjadi kaya raya dan memperkuatkan ego yang digunakan untuk menunjukkannya sebagai satu kejayaan dalam hidup.

4) Memegang kuasa itu merupakan ‘ultimate’ bagi mereka dan apabila mendapat kuasa idaman itu mereka tidak akan mampu menggunakan kuasa untuk kepentingan ummah, sebaliknya kuasa itu dipergunakan untuk kepentingan peribadi mereka yang lebih menjurus untuk kepentingan harta benda dan kekayaan diri dan keluarga mereka.

5) Itulah sebabnya belum tentu seseorang itu menjadi menteri misalnya, dia telah mendapat kejayaan, kerana ramai diantara mereka telah terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa itu sendiri adalah mereka yang secara otomatiknya seorang pemimpin yang gagal.

6) Selalunya mereka yang tidak mempunyai kepimpinan akan melakukan kerja hina itu semata-mata untuk menutup kelemahan pimpinan mereka, maka itu jugalah penyebabnya kenapa politik wang itu sudah menjadi kelaziman bagi mereka yang sedang memegang kuasa dalam kerajaan. Mereka yang seperti ini adalah pemimpin yang gagal kerana tidak berjaya memunafaatkan kepimpinan mereka untuk kebaikan ummah dan rakyat yang mereka tadbir.

7) Bagi mereka ini, mereka hanya berjaya menjadi ketua tetapi ketua-ketua yang tidak berkepimpinan dan itulah yang sedang berlaku dinegara ini. Ketua-ketua yang tidak berkepimpinan ini lah yang menjadi penyebab kepada salah laku pimpinan yang membawa kepada rasuah tidak terhalang, penyalahgunaan kuasa yang tidak terbatas, retorik yang besar-besar dan lebih-lebih lagi mereka tidak akan membuat keputusan yang betul dalam semua keputusan yang dibuat mereka.

8) Apabila negara dan kerajaan di tadbir oleh mereka yang seperti ini maka politik negara akan menjadi kucar kacir kerana kebanyakan keputusan yang dibuat mereka mempunyai kecenderungan untuk keputusan yang tidak betul dan tepat. Mereka yang seperti ini jika kekal lama ia akan membina budaya pentadbiran yang tidak sihat dan politik yang kotor kerana mereka tidak mampu untuk mengekalkan sokongan yang di dasarkan kepada perolehan yang baik dari kepimpinan yang baik dan jujur. Mereka tidak akan mampu untuk mempamirkan kemahiran dalam mentadbir negara sebagai ‘testimonial’ yang baik untuk memimpin, sebaliknya pengekalan kuasa semata-mata berdasarkan kepada ‘otot’ yang kuat sebagai pihak yang mempunyai kuasa semata-mata.

9) Otot-otot yang kuat ini akan mempengaruhi dan memaksa semua institusi kerajaan dan demokrasi telah dijahanamkan kerana institusi-institusi ini tidak lagi bebas untuk bertindak mengikut kaedah yang betul. Otot-otot ini akan menggunakan tekanan dan paksaan kepada semua institusi demokrasi yang sepatutnya berfungsi dengan bebas tanpa pengaruh mana-mana pihak. Pemimpin yang lemah akan memusatkan kuasa kepada mereka dan institusi-institusi demokrasi ini hanya digunakan sebagai alat untuk kepentingan pemimpin-pemimpin yang lemah tadi.

10) Inilah yang dialami oleh negara ini dan ia akan tetap dalam keadaan ini selagi tidak ada perubahan yang drastik dengan menggunakan kaedah yang agak ‘unorthodox’ yang belum pernah dilakukan semata-mata untuk merubah acuan buruk yang telah terpakai sekian lama oleh pimpinan kita. Kita memerlukan pimpinan yang mempunyai akal fikiran yang baik dan betul, bukan pemimpin yang hanya membina otot yang pejal untuk menyalah gunakan kuasa.

11)  Kenapa saya mencadangkan agar peralihan dan perubahan itu mesti dilakukan secara ‘unorthodox’? Saya hendak sebut semuanya itu dalam posting yang akan datang, mungkin besok atau lusa.