30 November 2006

4. Burung Balam

Budaya ‘Burung Balam’ di dalam UMNO semakin hari semakin menebal. Apa yang dikata pemimpin mereka terus mengangguk walaupun apa yang dikatakan itu tidak munasabah. Ke hulu kata ketua ke hulu mereka pergi. Yang penting apa ketua kata itu benar…jangan disanggah. Ahli-ahli dianggap seperti kerbau, guna mereka untuk bekerja siang dan malam. Apabila UMNO kuat mereka bermaharajalela dan menggunakan kuasa bagi mengumpul harta macam ‘Qarun’ di zaman jahiliah dahulu. Mereka tahu ahli-ahli akan ikut apa kata ketua. Kami di bawah dilakukan seperti kerbau, membajak sawah yang luas. Apabila waktu menuai tiba, tikus di kepuk padi yang kenyang.

Saya teringat waktu saya kecil dahulu, saya ditugaskan oleh ibu saya untuk menjaga seekor kerbau. Setiap petang saya menarik kerbau tersebut dari sawah padi ke kawasan pondok yang saya sekeluarga tinggal. Dalam saya mengendalikan kerbau itu saya dapat satu pelajaran tentang sifat haiwan ini. Saya ingin berkongsi pengalaman dan pelajaran yang saya dapat dari sifat kerbau ini.

Setiap kali saya menarik kerbau ini, saya tidak ada apa-apa masalah. Haiwan ini akan ikut sahaja malahan tali yang di ikat dihidungnya itu kendur sahaja. Begitulah pengalaman saya bertahun-tahun menjaga kerbau itu. Jalan yang kerapkali saya lalui adalah jalan yang sama. Adakalanya saya cuba untuk mengikuti jalan yang lain, tetapi waktu itu saya dapati kerbau itu tidak mahu mengikut jalan yang berlainan ini. Tali yang mengikat hidung kerbau itu didapati terik. Saya tidak berdaya hendak menarik kerbau itu, maka saya terpaksa mengikut jalan yang lazim saya lalui.

Rupa-rupanya haiwan pun tidak mahu mengikut tuannya secara membabi buta. Adakalanya dia mengikut kata dan adakalanya dia membantah. Berdasarkan pengalaman ini saya sangat hairan bagaimana kita ahli UMNO yang merupakan manusia yang lengkap sifatnya dan mempunyai akal fikiran, boleh mengikut apa sahaja yang dikata pemimpin walaupun arahan pemimpin itu tidak munasabah. Kita hanya mengikut membabi-buta walaupun tiada tali yang mengikat hidung kita.

Seluruh jentera parti dan kerajaan berkumpul di Kubang Pasu untuk memastikan Tun Mahathir tidak dipilih sebagai perwakilan ke perhimpunan agung UMNO yang baru selesai pada 17hb November yang lalu. Hilang segala pertimbangan pucuk pimpinan dengan mengajar dan mengajak ahli-ahli UMNO untuk melupakan jasa-jasa pemimpin yang telah banyak berjasa kapada UMNO dan rakyat, termasuklah kapada beliau sendiri. Inilah didikan Presiden UMNO kita yang baru ini.

Pada hari pertama dia menjadi Perdana Menteri, beliau berucap di Pulau Pinang di hadapan ribuan rakyat jelata sambil berkata, “MARILAH BEKERJA DENGAN SAYA, JANGAN BEKERJA UNTUK SAYA” Rupa-rupanya beliau menyeru kita bekerja denganya untuk ‘Mengerjakan’ Tun Mahathir. Akhirnya Mahathir menerima tikaman keris yang diberikan kapada penggantinya itu. Kalau Tun Mahathir yang berjasa kapada beliau diperlakukan sedemikian rupa, bagaimana beliau hendak mengingati jasa kita semua yang kerdil ini. KITA INI BUKAN ANAK ATAU MENANTUNYA !!

SEKIAN BUAT HARI INI ...





28 November 2006

3. Anjing Sukom

Sebagai seorang yang berasal dari kampung pedalaman banyak juga pengalaman yang boleh dijadikan pelajaran untuk menempuh kehidupan dalam bidang yang berbagai. Malah kita boleh belajar dari haiwan haiwan yang mampu untuk mengajar kita menilai perbezaan di antara kita sesama manusia apatah lagi kita yang mempunyai minat bersiasah.

Saya dilahir dan dibesarkan dikampung yang begitu jauh dari kehidupan moden ini. Api eletrik dan air ‘dalam bosi’ hanya dapat kami nikmati pada penghujung tahun 70an. Kampung kami semasa itu masih menjadi tempat orang memburu landak, pelanduk dan lain lain haiwan untuk makanan orang kampung semasa itu. Kami tidak mampu untuk ke pasar yang begitu jauh dari kampung kami. Sayur-sayuran kami tanam sendiri, dan jika hendak makan daging kita tunggu orang-orang kampung yang dapat hasil buruan seperti pelanduk, kijang dan sebagainya atau sembelih haiwan ternakan seperti itik dan ayam.

Di antara pemburu-pemburu yang saya kenal ialah saorang tiong hua bernama Ah Fatt kalau tidak silap pengingatan saya. Dia pemburu babi dan kadangkala dia memburu rusa. Ah Fatt mempunyai sepuluh ekor anjing untuk pemburuannya. Anjing anjing ini dinamakan ANJING SUKOM dan tugas anjing-anjing ini ialah untuk menghambat rusa bagi membantu Ah Fatt menembaknya. Apabila rusa sudah dihambat, maka Ah Fatt dengan pantas menembak rusa itu dan terus sahaja melapah rusa tersebut.

Semasa Ah Fatt melapah rusa tersebut maka anjing-anjing sukom tadi mulalah menyalak tidak sabar-sabar untuk mendapatkan upah menghambat rusa tadi. Ah Fatt pantas memotong sepuluh kerat tulang-tulang rusa untuk diberikan kapada sepuluh ekor anjing tadi. Maka senyaplah anjing-anjing tadi, menggigit tulang yang dilemparkan oleh Ah Fatt. Ah Fatt mendapat daging batang pinang, anjing sukom sangat berpuas hati dengan secebis tulang. Setelah mendapat tulang tadi anjing-anjing sukom ini merasakan seperti “Dunia Ana Yang Punya” menggigit tulang sebatang seekor. Sampai keakhir hayatnya Ah Fatt kaya raya tetapi anjing-anjing sukom tadi tidak tahu dimana.

Cerita yang sependek ini pun boleh dijadikan pelajaran. Dalam plot cerita tadi kita nilailah diri kita dalam konteks UMNO. Kita akan akhirnya tahu samada kita ini adalah ‘Ah Fatt’ atau ‘anjing sukom’. TEPUK DADA TANYALAH SELERA.

2. Singa Raja Binatang

Pemikiran pemimpin dan ahli UMNO sudah jauh mundur ke belakang walaupun pemimpin nombor wahidnya berretorik untuk meningkatkan pemikiran rakyat ke tahap pemikiran kelas satu. Bagaimana cita-cita itu boleh dicapai sedangkan pemimpin yang kononnya memperjuangkan 'Mentaliti Kelas Satu' itu sangat jauh dari mentaliti tahap itu. Bukan tujuan saya untuk memberikan markah atau memandang rendah kepada kelas pemikiran pemimpin ini, tetapi cukup jika saya katakan apa yang dikatakannya itu memang beliau tidak boleh mencapainya. Bukan dia orangnya yang layak untuk memperkatakan perjuangan sebesar itu. Bukan dia! Bagi saya lebih molek dia cari isu-isu lain yang dia boleh lakukan. Pesan orang-orang tua, kalau nak mengukur baju biarlah mengikut badan sendiri.

Presiden parti kita ini sudah banyak sangat berangan-angan. Tidak berapa lama dahulu beliau berkempen Kepimpinan Beretika. Kempen itu tidak pergi ke mana-mana, malah tiada siapa di kalangan pemimpin yang ada pada hari ini ada etika kepimpinan kecuali beberapa orang pemimpin didikan Almarhum Tunku A Rahman dan Tun Razak yang masih ada di kalangan pemimpin-pemimpin kelas tiga pada hari ini. Tidak susah bagi kita untuk mengetahui sebab-sebab kempen-kempennya tidak menjadi. Dengan mudah sahaja kita tahu yang kempen retorik beliau ini adalah 'idea' yang didapati dari pihak ketiga yang beliau tidak dapat memahami dengan sepenuhnya. Beliau mengumumkan kempen-kempen tersebut semata-mata untuk menunjukkan kelainan dalam teks ucapan. Pelan pelaksanaan tidak disediakan. Jika benar pemimpin kita ada etika kepimpinan, tidak mungkin UMNO begitu bercelaru pada hari ini.

Ahli-ahli UMNO termasuk pemimpin-pemimpinnya sudah jauh terkeliru dalam perjuangan. Mereka tidak tahu kenapa mereka dipilih jadi pemimpin. Mereka akhirnya tidak tahu bagaimana hendak memimpin. Itulah sebabnya di dalam Islam kita mesti memilih pemimpin kerana kepimpinannya, bukan kerana takut kapadanya.
Singa adalah raja seluruh binatang. Singa jadi raja bukan kerana binatang-binatang di hutan sayang padanya tetapi kerana mereka takut kepada singa yang ganas itu. Jadi jika mendapat pemimpin seperti singa maka wazirnya akan menjadi serigala yang bercakap besar seperti hulubalang mempertahankan singa untuk kekal menumpang kuasa singa tadi. Apabila serigala mengganas maka anjing-anjing akan bersama-sama menyalak kerana memang sifat anjing hanya taat pada siapa yang memberi makan walaupun dia dikurung oleh tuannya. Apabila ada pihak yang hendak masuk ke rumah tuannya untuk mengambil kembali barang-barang yang dicuri tuannya, maka anjing-anjing ini akan dilepaskan untuk membaham mangsanya itu. Maka yang lain-lain ini hanya dijadikan kambing yang boleh dijual atau disembelih untuk juadah singa- singa dan serigala-serigala serta anjing-anjing tadi.

Akhirnya kita hanya dikambingkan. Itu sahajalah layaknya kita ini. JUMPA LAGI. Selepas ini saya hendak bercerita. Tajuk cerita saya ialah 'Anjing Sukom'. Tunggu besok!

27 November 2006

1. Kata-kata Hang Tuah

Lama juga rasanya saya menyertai UMNO serta bergiat bersamanya, tetapi belumlah saya merasakan kebimbangan seperti yang saya alami sekarang ini. Perasaan cemas dan bimbang ini amat jelas dirasakan bersama oleh ramai ahli-ahli serta rakyat jelata amnya. UMNO sekarang sudah tidak lagi sama dalam semua aspek, baik dari segi perjuangan, rupa bentuknya malah ianya sudah hilang segala identitinya yang asal dan akhirnya sudah pasti tidak mampu untuk menjadi parti yang boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan orang melayu dan bangsa- bangsa lain sejajar dengan fungsinya sebagai parti tunjang untuk perpaduan rakyat majmuk Malaysia.

UMNO kini sudah menjadi parti untuk manusia-manusia eksklusif. Perjuangan pemimpin di setiap peringkat hanya untuk kepentingan material peribadi yang keterlaluan sehinggakan ahli- ahli di bawah diperlakukan seperti lembu untuk kepentingan pemimpin-pemimpin atasan. Kami dibawah sentiasa dipersalahkan jika ada apa-apa masalah kapada parti. Orang yang lama sudah tidak dipedulikan pandangan mereka. Akhir-akhir ini kecenderungan untuk menerima bulat- bulat pandangan budak-budak yang masih mentah dan berhingus sudah begitu nyata.

Ahli-ahli di bawah dididik untuk mengamalkan ‘herd mentality’ dan tidak boleh mengkritik pemimpin walau sebesar manapun kesalahan yang dilakukan oleh mereka, lebih-lebih lagi kepada pemimpin nombor satu negara. Malahan bercakap benar adalah menjadi kesalahan besar bagi mereka yang mengaku melaksanakan pentadbiran dengan keterbukaan. Tugas perwakilan-perwakilan di perhimpunan UMNO hanyalah untuk tepuk tangan dan memuji pemimpin nombor satu negara.

Kita diminta bersatu untuk terus melindungi mereka yang rakus kuasa walaupun mereka tidak mampu mentadbir negara. Sesiapa sahaja yang memberikan pandangan yang berbeza dengan pucuk pimpinan dengan pantas oputunis-opotunis politik akan mengambil kesempatan. Zahid Hamidi begitu pantas membelasah Mukhriz Mahathir apabila Mukhriz memberikan komen yang betul terhadap ucapan dasar presiden di perhimpunan agung UMNO baru-baru ini. Reaksi Zahid Hamidi tidak lebih daripada membodek dan mengambil hati Perdana Menteri, kerana menjadi Menteri adalah matlamat ketua bahagian Bagan Datoh ini. Zahid tahu yang PM perlukan suara-suara seperti ini. Memang ini adalah sifat pemimpin yang lemah seperti Pak Lah, yang perlukan pujian-pujian untuk menutup kelemahan kepimpinannya. Sekarang ini ramai pemimpin seperti Zahid yang berada dalam UMNO.

Sehingga hari ini, ahli-ahli tidak dapat mencari jalan untuk memberikan pandangan yang berbeza walaupun kita diminta menyelesaikan masalah mengikut saluran yang betul. Dimanakah saluran itu? Sampai bilakah ahli-ahli disekat untuk menyuarakan pandangan yang ada kelainan? Kalau ada silalah beritahu. Kami hendak tahu saluran itu kerana kalau ia penting untuk dibincang secara terbuka bagi menyelamatkan bangsa dari terjerumus ke lembah kehinaan. Kata-kata Hang Tuah yang "Melayu Tidak Akan Hilang Di Dunia" itu benar. Di mana- mana ada melayu. Akan tetapi kalau inilah kualiti kepimpinan yang kita harapkan untuk menjaga warisan kita saya sudah yakin MELAYU AKAN HILANG DUNIANYA.