01 September 2009

Alam terbentang dijadikan GURU Bhg 2

Alam dan sejarah telah membuktikan bahawa hanya kejujuran boleh bertahan walaupun dihimpit dengan kerakusan pihak-pihak yang mempunyai kuasa yang bersifat abusive dan tidak ada kejujuran.

Walaupun bersifat jujur dalam zaman yang sudah di penghujung ini memeritkan tetapi kita wajib ingat bahawa perjungan dengan kejujuran itu tetap akan mendapat syafaat Rasul dan rahmat Tuhan.

Seseorang pemimpin yang jujur misalnya wajib mendapat dan melalui dugaan besar, maka itulah sebabnya pemimpin yang baik adalah pemimpin yang telah melalui pahit maung perjuangan yang panjang dan menyakitkan.

Bak kata seorang ulamak yang muktabar, ‘neraka itu dipagari roti yang enak-enak, sedangkan syurga itu dipagari onak dan duri’.

Untuk mencari keredhaan Tuhan kita mesti mengakui bahawa kita terpaksa melalui onak-onak dan duri-duri. Yang mudah ialah untuk mencari jalan ke neraka kerana neraka itu disaluti dengan roti-roti yang enak, lazat dan melekakan sebelum kita diterjunkan ke dalamnya.

Ini disebabkan insan yang jujur membawa sifat Tuhan yang mana manusia menjadi khalifahnya. Bukankah kita diberitahu bahawa Muhammad itu adalah sifat Allah?

Orang yang jujur akhirnya akan menerima rahmat Tuhan dan syafaat Rasulnya kerana segala janji Tuhan dan Rasulnya tetap akan terlaksana.

Berbohong dan sifat-sifat mazmumah adalah sifat mutahil bagi Tuhan dan Rasulnya. Hanya kita sahaja yang selalu tidak bersyukur dengan melakukan kekufuran dalam pentadbiran yang diamanahkan kepada kita.

Buku-buku sejarah hanya memberikan kita apa yang berlaku mengikut consequencenya tetapi Alam yang terbentang memberikan kita lebih daripada itu.

Ianya memberikan kita keinsafan dan pengajaran bahawa kita perlu melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya dan memohon keredhaan-Nya agar segala keburukan itu tidak berlaku kepada kita dan masyarakat kita.

Sebab itulah insan yang zuhud senantiasa bertawassul dan bertawajjuh sambil berdoa “Ya Allah! Kepada Mu Aku Bermaksud dan Hanya Keredhaan Mu Yang Aku Tuntut”.

Doa sebesar ini tentulah kerana hakikat sebenarnya kita bertanggungjawab atas akibat baik dan buruk daripada tindakan dan amalan seharian kita.

Sebanyak 24 Dinasti yang besar di Negara China sebagai contoh akhirnya tersungkur satu demi satu kerana mereka tidak membina negara mereka diiringi keredhaan Tuhan.

Akhirnya Dinasti Qing, dinasti yang terakhir berkubur pada tahun 1910 telah ditentang oleh rakyat melalui revolusi rakyat kerana kezaliman dan unsur-unsur rasuah yang tiada batasnya.

Kita telah melihat bahawa segala yang buruk yang dialami oleh bangsa-bangsa terdahulu boleh juga berlaku kepada negara dan masyarakat kita.

Julius Caesar yang begitu perkasa akhirnya jatuh bergelimpangan kerana wanita, harta dan takhta.

Segalanya ini adalah af-aal Tuhan yang nyata dan ianya bukan berlaku untuk catatan sejarah semata-mata tetapi di sebaliknya adalah untuk kita jadikan pelajaran agar tidak berlaku kepada negara dan masyarakat kita.

Pada akhir zaman ini banyak perkara yang berlaku tidak mengikut tabii dan perlakuan biasa.

Unsur-unsur yang terbalik dan bertentangan dengan keadaan biasa berlaku dengan meluas.

Banyak contoh yang berlaku kini secocok dengan dalil-dalil yang ditunjuk sebagaimana yang tertulis di dalam kitab-kitab agama kita.

Elok kalau kita gambarkan cebisan keadaan yang biasa kita lihat yang merupakan dalil-dalil hari hendak kiamat tetapi sudah dianggap lumrah dan diterina oleh masyarakat kini.

Antara dalil kiamat yang mudah kita nampak dengan mata kepala kita ialah:-

1. Peranan wanita yang terlalu besar dalam keluarga, masyarakat, siasah, pentadbiran dan banyak lagi unsur-unsur kekuasaan wanita yang boleh mempengaruhi keadaan.

2. Buah-buahan di luar musim sudah menjadi kebiasaan.

3. Yang bathil bermaharajalela sedangkan yang haq dan yang baik terhimpit oleh kebathilan.

4. Pemimpin yang durjana diagungkan dan diraikan sedangkan pemimpin yang baik dan jujur tidak mendapat tempat di hati masyarakat.

5. Kerja-kerja mungkar dipertahankan sedangkan kerja-kerja dan usaha yang baik dianggap seperti jenayah. Untuk membongkar kerja-kerja dan usaha yang boleh memudaratkan masyarakat adalah kerja yang paling sulit kerana dilindung oleh pihak yang berkuasa.

6. Penjenayah dan pengkhianat dihormati masyarakat kerana kekayaan dan kedudukan yang hebat dalam masyarakat setempat.

7. Orang miskin dan yang tidak mempunyai social standing dianggap sepi oleh masyarakat. Kata perbilangan, ‘Hinanya besi kerana karat, hinanya manusia kerana melarat’.

Persoalannya sekarang ialah sanggupkah kita menjadi pembawa dalil ini kerana dalil-dalil ini merupakan elemen yang terlalu negatif.

Seandainya kita memilih untuk menjadi pembawa dalil maka harapan kita untuk hidup dalam keredhaan itu tidak akan berhasil seperti dalam doa kita tadi.

Bagaimanakah tuntutan kita untuk mendapatkan keredhaan itu dikabulkan jika kita adalah manusia pembawa dalil kiamat itu tadi?

Kalaulah kita tidak tunduk kepada kenyataan ini, apakah yang kita rungutkan jika keadaan masyarakat dan siasah negara kita ini berkecamuk sedemikian rupa?

Kenapa kita hanya berusaha untuk menghilangkan sakit tetapi usaha untuk menghilangkan penyakit dianggap salah?

Penyakit kita ialah kehilangan nilai keperibadian sehinggakan rasuah tidak lagi dianggap sebagai jenayah, sedangkan agama kita jelas mengatakan bahawa barang siapa yang rasuah itu samalah seperti manusia yang memakan daging saudaranya sendiri.

Penyakit kita ialah kehilangan identiti, dan perlu difahami hilangnya sesuatu bangsa di muka bumi ini ialah kerana kehilangan identitinya.

Elok juga kita jangan terlalu lena dengan kata-kata keramat, 'Takkan Melayu hilang di dunia', kerana jika kita tidak berani berubah ‘Melayu akan hilang dunianya’.

Kenapa kita masih bertegas untuk dipimpin oleh pemimpin yang rasuah? Kenapa kita takut-takut untuk memilih pemimpin yang bersih?

Adakah oleh kerana kita sudah biasa dengan kekotoran sehinggakan kita takut untuk mendekati manusia dan segala apa yang bersih?

Adakah kita semua ini sudah menjadi ulat tahi yang suka hidup dalam tahi yang kotor?

Ulat tahi jika kita keluarkan seekor dua dari tahi dan kita cuci dan letakkan di tempat yang bersih mereka tidak akan hidup lama. Ulat-ulat ini akan tercari-cari tahi dan jika terjumpa tahi yang dicarinya, maka ulat-ulat ini akan hidup dengan aman di dalam tahi itu tadi.

Kita perlu berfikir dan bertafakur walaupun sejenak sehari, kerana berfikir sejenak itu lebih baik daripada beramal sepanjang malam.

Jadikanlah alam yang terbentang luas ini untuk kita berguru. Bagaimana kita hendak menafikan hakikat bahawa kita perlu berguru?

Muhammad (s.a.w) yang segala-galanya berada dengan baginda pun berguru dengan Jibril semasa baginda diisraqkan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan seterusnya dimikrajkan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha dan seterusnya ke Arash.

Dalam kitab suci kita pun terdapat banyak ayat-ayat yang menyuruh kita mencari Guru iaitu Guru yang Mursyid.


Sekian…………………………………………………….Aspan Alias

No comments:

Post a Comment