Masalah yang nyata tidak boleh dinafikan kehadirannya. Masalah yang ada di hadapan kita ialah masalah keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang terlalu serius.
Kepimpinan sudah terlalu lama menafikannya dan tidak bertindak untuk memperbaiki keadaan mengikut apa yang sewajarnya dilakukan bagi membanteras merebaknya perasaan tidak puas hati rakyat yang memilih.
Krisis keyakinan ini telah dibiarkan menular kerana sikap sambil lewa pihak yang berwajib sehinggakan rakyat sudah sampai ke tahap tidak lagi mahu mempercayai apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan.
Kes Kota Puteri di Kedah merupakan kes yang terbaru di mana kita dibayangkan sebagai pihak yang tidak peka dengan kehendak undang-undang yang kita sendiri telah bina.
ADUN BN memang telah melanggar undang-undang dan Speaker Dewan Undangan Negeri berhak dan berkuasa untuk mengosongkan kerusi Kota Puteri itu.
Tetapi dalam kes ini SPR pula yang menentukan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Puteri itu masih lagi milik BN.
Rakyat tidak lagi hormat kepada kita kerana kita melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan yang ada.
Hukuman undang-undang hanya untuk pihak yang tidak sebulu dengan kita.
Dalam kes Kota Puteri ini ianya melambangkan bahawa pihak BN begitu paranoid terhadap pilihanraya kecil.
Kalau pun hendak berkuasa takkanlah sampai melakukan perkara yang tidak baik di hadapan mata pengundi.
Kita wajib menunjukkan bahawa kita sudah mula menunjukkan sikap buruk yang lama itu kita tinggalkan di belakang dan mempamerkan sikap demokrasi asas yang kita juga memilihnya dahulu.
UMNO perlu faham yang kita tadbir ini adalah manusia bukannyanya haiwan peliharaan. Saya telah menulis dalam tulisan saya yang lepas, sedangkan kerbau dengan tali dengan kelikir di hidung pun tidak mahu mengikut segala-galanya.
Pemimpin-pemimpin kita tidak mahu belajar daripada kesilapan sendiri. Bila orang seperti saya mengkritik tahu pula nak tunjukkan kemarahan. Pendeknya, pemimpin marah dikritik walaupun mereka melakukan kesalahan besar yang tidak berpatutan.
Mereka mahu kita di bawah ini hanya menjadi dahan yang bengkok untuk kera-kera meniti semata-mata. Sampai bilakah kita hendak bersikap jahil dan jumud seperti ini?
Sebenarnya masalah yang kita hadapi ialah masalah yang dicipta oleh pemimpin-pmimpin kita sendiri.
Persepsi buruk masyarakat sudah tidak dapat diperbaiki lagi. Pemimpin BN kepada mereka adalah pemimpin rasuah. Itulah stigma yang ada pada pemimpin BN khususnya UMNO pada hari ini.
Pemimpin-pemimpin UMNO/BN dianggap pemimpin yang merebut harta rakyat yang ditadbirnya.
Jika pemimpin-pemimpin tidak tahu hendak menyelesaikan masalah maka jangan pula kita marah jika rakyat mengambil keputusan untuk menarik balik sokongan daripada kita.
Walaupun saya dikritik kerana teguran ini, saya akan terus menegur kerana jika saya menyokong tindakan ini maka saya menzalimi parti saya sendiri dengan membiarkan parti kita dipandang hina oleh orang Melayu.
Saya sanggup diperlakukan apa sahaja oleh sesiapa kerana saya tahu jika pemimpin-pemimpin kita ini tidak mampu untuk berubah serta berkorban UMNO dan BN akan tumbang.
Apabila keadaan itu berlaku saya ingin melihat keadaan mereka-mereka yang mengampu ini.
Kalau yang mengampu ini bertujuan untuk mendapat kekayaan, orang ramai mahu lihat sebesar mana kekayaan mereka.
Kalau pangkat yang mereka cari berapa ramai di kalangan pengampu ini mendapat pangkat itu.
Segala-galanya serba tak kena dan saya tidak nampak bagaimana UMNO dan BN boleh kembali pulih.
Situasi sekarang sangat jelas; samada pemimpin sekarang berkorban demi parti dan negara dengan meletakkan jawatan atau UMNO/BN ditewaskan oleh suara rakyat di dalam pilihanraya nanti.
Kita harus membuat pertimbangan yang drastik kerana kita hanya mempunyai satu antara dua pilihan yang disebut di atas tadi.
Pilihlah! Tetapi mesti bertanggungjawab atas pilihan saudara.
Kembali kepada tajuk tulisan ini; Jadikan Alam yang luas terbentang ini sebagai GURU.
Sekian…………………………………………………………………….Terima Kasih
No comments:
Post a Comment