30 June 2013

Kalau main politik dengan orang asing, memang buruk padahnya

Jusuff Kalla, mantan Naib Presiden Indonesia telah di kritik keras oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana membuat kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Malaysia.

Pengerusi DAP itu telah membidas Jusuff kerana membocorkan isi kandungan perbincangan sulit diantara Anwar dan PM Najib dan menuduh Anwar tidak memenuhi perjanjian diantara kedua-dua pemimpin negara itu. Anwar telah dikatakan mendapat bantuan kewangan dari syarikat besar dari Filipina, Amerika Syarikat, Turkey dan juga Thailand untuk membiayai ralli ‘blackout 505’ yang dianjurkan oleh pihak Pakatan Rakyat baru-baru ini.

Kenyataan Jusuff itu telah menjejaskan kredibiliti Anwar dan seterusnya menjejaskan kredibiliti Pakatan Rakyat sekali gus. Karpal mendesak Jusuff Kalla untuk memohon maaf kepada Anwar secara terbuka. Karpal berkata Anwar tidak sepatutnya percaya kepada Jusuff kerana tindakan Jusuff itu memberikan impak negatif kepada gerakan pembangkang dinegara ini. “Jusuf ternyata mempunyai agenda beliau sendiri” kata Karpal.

Saya tidak mahu memberikan komen tentang samada Jusuff patut meminta maaf diatas tindakan beliau membocorkan semua perundingan sulit Anwar dengan siapa dan dimana perundingan itu dibuat. Bagi saya seseorang pemimpin negara ini tidak kira Anwar atau pun sesiapa, melibatkan pemimpin asing untuk politik sendiri di negara sendiri itu adalah satu tindakan yang tidak bermoral.

Inilah padahnya jika keghairahan kita untuk menjadi orang penting negara membawa orang atau pemimpin asing untuk terlibat sama. Tindakan Jusuff membocorkan rundingan rahsia Anwar dengan Najib dan membocorkan cerita bantuan kewangan yang Anwar perolehi dari luar negara itu mungkin tidak beretika.

Tetapi tindakan pemimpin negara menggunakan pihak luar untuk membantu politiknya sudah cukup untuk meyakinkan rakyat yang Anwar mampu diperguna oleh kuasa asing. Mendedahkan diri dengan bantuan politik dari luar ini akhirnya seorang pemimpin itu menjadi pemimpin ‘puppet’ kuasa asing.

Itu sebabnya sekarang sudah tidak ada lagi ‘freedom fighters’ di dunia ini kerana Amerika Syarikat dan kuasa asing yang lain telah mencorakkan politik banyak negara didunia ini. Kuasa asing telah mengadu-domba rakyat sesebuah negara dan kenyataan ini boleh kita lihat berlaku dinegara-negara Timur Tengah beberapa ketika dahulu dan disetengah negara itu masih berlaku.

Jika kita kaji dari ‘content’ rundingan sulit itu ia melibatkan bantuan kewangan dari kuasa asing dan tidak terkejut jika negara kita seperti yang disyaki oleh banyak pihak juga terlibat dengan permainan halus kuasa asing itu.

Jika kita menjadi alat permainan politik pengaruh dan kuasa asing maka kita wajar membuat pendirian yang tegas dalam hal ini. Kita boleh memilih untuk bermain politik mengikut suasana negara kita atau memilih untuk dijadikan alat oleh kuasa asing yang mempunyai kepentingan mereka dikalangan kuasa asing itu.

Tetapi apa yang jelas kita lihat dalam urutan sejarah, sesebuah negara yang diperguna oleh kuasa asing itu selalunya menjadi hancur siasahnya dan akan hilang identiti rakyat dan negara-negara terbabit.

Menjadi pemimpin dengan menggunakan kuasa asing untuk menyandarkan politiknya adalah selemah-lemah seorang pemimpin dan yang tidak bertulang belakang yang kuat.

Tanpa bantuan kuasa asing pemimpin seperti ini sememangnya tidak mempunyai apa-apa ‘consequence’ dalam sesebuah negara itu.

29 June 2013

Membenteras rasuah itu kerja susah, kerana terpaksa melawan diri sendiri

Rasuah itu satu jenayah yang sangat besar dalam kehidupan seseorang tidak kira disisi masyarakat, kerajaan dan lebih-lebih lagi disisi agama suci kita. Rasuah merupakan jenayah yang paling awal dilakukan oleh manusia dan jika boleh dianggapkan sebagai budaya ia adalah budaya yang tertua didunia ini

Rasuah amat dibenci oleh agama kita kerana rasuah itu boleh menjatuhkan tamadun manusia dan sesebuah negara. Itu sebabnya agama kita menganggap rasuah itu adalah satu dosa besar yang disamakan sebagai seorang yang memakan daging saudaranya sendiri. Tetapi dalam sistem masyarakat negara yang rasuah, kegiatan buruk ini kadangkala dibanggakan oleh sipelakunya.

Apabila rasuah sudah menjadi budaya seluruh manusia yang ada di dalam sistem itu akan terlibat dengan rasuah itu samada secara ‘direct’ atau ‘indirect’ dan tidak ada sesiapa yang boleh membetulkan persepsi rasuah itu dengan mudah tanpa mendapat tentangan dari masyarakat yang menerimanya sebagai budaya tadi. Memerangi rasuah ini lebih hebat dari menghadapi peperangan dua wilayah yang mempunyai kekuatan ketenteraan yang besar.

Perjuangan menentang rasuah ini adalah seperti anggota-anggota tentera yang menghadapi serangan musuh dari luar. Sebelum memenangi peperangan itu ramai yang terkorban dan mati begitu sahaja ditengah medan perjuangan itu. Rasuah lebih hebat lagi dari peperangan Khandak kerana ia melibatkan peperangan melawan nafsu sendiri. Melawan nafsu sendiri itu adalah peperangan yang terhebat besarnya kerana ia terpaksa dilakukan sepanjang hayat kita. Dalam perjuangan rasuah ini ia akan menjatuhkan ramai pemimpin yang baik yang tidak terlibat bersama dengan budaya ini.

Di dalam peperangan Khandak dahulu, Saidina Ali karammallah huwajhah telah bertanya kepada rasulullah apakah peperangan yang lebih besar dari peperangan Khandak yang baru sahaja selesai dengan kemenangan tentera Islam dalam bulan ramadhan itu. Islam yang hampir tewas akhirnya memenangi peperangan itu. Rasulullah menjawab peperangan yang paling besar ialah memerangi diri sendiri, yang membawa maksud memerangi nafsu syahwat sendiri.

Justeru melawan dan berperang dengan rasuah ini adalah peperangan yang sangat besar dan hebat kerana ia merupakan peperangan melawan nafsu yang cenderung untuk melakukan kejahatan termasuk rasuah. Jika kita tidak mempunyai kekuatan batin, mental serta keteguhan agama yang tinggi dan kuat nescaya perjuangan itu akan terhenti ditengah jalan sahaja.

Apabila satu-satu negara yang rasuah sudah menjadi budaya rakyatnya, ia amat sukar untuk diperbaiki. Sebagai contoh yang senang, jika seseorang yang dianiaya oleh pihak sesiapa, pihak Polis adalah tempatnya kita mengadu untuk mempertahankan diri kita.

Tetapi dalam sebuah negara yang rasuah pihak Polis ini belum tentu lagi berkemampuan untuk memberikan perlindungan kepada pihak yang teraniaya tadi jika elemen rasuah sudah menjalar kedalam Jabatan Polis itu. Pihak Polis mungkin menutup kes-kes seperti ini kerana ada elemen yang mampu untuk menukar sikap Polis terhadap pengadu itu, iaitu rasuah.

Kita boleh membawa sesuatu kes penganiayaan itu kepada mahkamah. Mahkamah juga belum tentu boleh menjadi tempat perlindungan bagi rakyat yang teraniaya tadi jika budaya rasuah juga telah meresap kedalam Badan Kehakiman itu. Selalunya sistem yng telah tercemar dengan rasuah itu tidak mudah dapat diperbetulkan kerana dalam kesemua institusi demokrasi yang wujud itu dilacurkan oleh pimpinan  politik yang berkuasa dan rasuah itu tadi.

Jika negara yang mengakui sebagai sebuah negara demokrasi sekali pun, jika rasuah menjadi budayanya maka demokrasi itu sendiri tidak akan terlaksana dengan betul. Pimpinan yang rasuah dan gila kuasa akan menjahanamkan sistem pengasingan kuasa yang selalunya wujud dalam sesebuah negara demokrasi itu tadi. Mereka yang berkuasa yang rasuah tidak mungkin mampu untuk membuat keputusan dengan baik dan betul.

Di negara kita pengasingan kuasa diantara ‘judiciary’, legislatif dan eksekutif itu sudah mula dilacurkan pada pertengahan tahun lapan puluhan dahulu. Politik dan eksekutif telah melacurkan sistem pengasingan kuasa itu. Tidak payah kita ulas apa kah yang saya maksudkan itu kerana blog ini sarat dengan ulasan itu sejak wujudnya blog ini. Sampai kehari ini keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi yang dilaksanakan dinegara ini dipersoalkan oleh mereka.

Apabila sistem itu sudah penuh dengan rasuah, semua pihak terlibat dengan rasuah dan yang bercakap menentang rasuah itu juga dilaungkan oleh mereka yang rasuah maka tidak mungkin penyakit dan budaya hina ini  akan dapat diperbaiki. Masing-masing mempertahankan tindakan pihak yang lain yang rasuah kerana semuanya terlibat secara terus atau secara ‘indirect’.

Maka dalam sistem yang sarat dengan rasuah itu, ia juga akan melibatkan perkara-perkara lain. Ia secara ‘head-on’ dengan memfitnah agamanya sendiri, memfitnah adat dan adabnya sendiri dan akhirnya ia kehilangan identiti mereka sendiri. Agamanya akan terfitnah dengan sendirinya kerana Islam tidak pernah membenarkan rasuah dilakukan oleh umatnya lebih-lebih lagi pemimpinnya.

Islam difitnah oleh umatnya sendiri kerana orang Islam sepatutnya teguh kerohaniannya dan tidak mudah terliur dengan wang ringgit secara haram itu. Apabila seseorang dan kumpulan atau kerajaan itu dipersepsikan sebagai rasuah, dengan sendirinya ia membayangkan yang mereka tidak menghormati agamanya sendiri, maka tidak hairan jika Islam dipandang sebagai agama yang tidak baik pada mereka yang bukan Islam.

Selagi Islam itu tidak di’addin’kan sebagaimana yang dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin kita selama ini selagi itulah negara tidak akan mendapat rahmat dan akan tetap berada ditahap dan situasi sekarang ini.

Maka jangan kita mengelak dari melakukan perubahan itu, tetapi perubahan itu wajar dilakukan oleh pimpinan yang mempunyai moral kepimpinan yang baik. Jika yang hendak melakukan perubahan itu tidak selesai masalah moral dan peribadi mereka ia tidak akan membawa makna kepada perubahan yang dilakukan itu.

Elakkan dari menggantikan pimpinan yang ada dengan orang yang belum selesai masalah moral yang mereka hadapi. Mereka yang sedang menghadapi isu moral serta kekurangan peribadinya, ia tidak boleh dibenarkan memimpin dan mereka yang seperti ini elok duduk bersama dibawah ini dengan orang seperti saya sahaja.

Mari kita hanya jadi penyokong setia kepada pimpinan yang jujur untuk melakukan perubahan itu.  Tidak payah hendak menjadi pemimpin, kerana ia akan hanya membantutkan usaha untuk melakukan perubahan bagi negara yang ketandusan kepimpinan ini.

28 June 2013

Siapa yang berikan konsessi kepada Pexco.... Sarawak atau Petronas?

Najib mempunyai tanggungjawab yang terbesar sekarang ini untuk memberitahu rakyat tentang konsessi bloc pengeluaran petroleum seluas 45 ribu kilometer persegi kepada sebuah syarikat, Pexco di Sarawak baru-baru. Isu ini bukannya isu yang kecil dan Najib serta kabinet negara tidak boleh melengah-lengahkan untuk memberitahu rakyat negara kita ini.

Apa yang menyebabkan perkara ini berlaku dan siapa kah yang bertanggungjawab terhadap penganugerahan konsessi pengeluaran minyak yang terbesar itu kepada sebuah syarikat peribadi dan bukannya kepada Petronas? Jika Najib tidak ada dalam negara, Muhyiddin dan kabinet Malaysia wajar memberikan penerangan khas secara serius dalam jangka masa yang terdekat ini.

Petronas juga wajar memberitahu rakyat kenapa dan mengapa bloc yang terbesar itu tidak diperolehi oleh Petronas sendiri? Petronas telah diwujudkan pada tahun 1974 dahulu untuk bertanggungjawab terhadap semua hal tentang pengeluaran minyak samada dipersisiran atau diluar persisiran pantai negara ini sampai bila-bila.

Setiap kerajaan negeri dalam Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Petronas dan dalam perjanjian itu semua hasil minyak dalam negara ini telah di serahkan kepada Petronas dan tidak pada mana-mana pihak yang lain. Ini adalah isu yang sangat besar dan setiap seorang dalam kabinet terutamanya Perdana Menteri, wajib memberitahu rakyat secepat yang mungkin tanpa berlengah-lengah lagi.

Rakyat mahu tahu samada benar kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang jujur kepada rakyat yang telah memberi mandat kepadanya. Jika sah ada elemen penyelewengan serta ‘rompakan’ yang sistematik terhadap harta rakyat dan negara, tidak salah jika rakyat melakukan desakan untuk Najib dan kabinet hari ini meletakkan jawatan secara ‘en bloc’ diatas premis kebertanggungjawaban bersama.

Pexco ini mempuyai kaitan dengan Usaha Tegas Sdn Bhd kepunyaan T Anandakrishnan, manusia yang terkaya di negara ini yang terkenal hubungan baik dengan Dr Mahathir, Penasihat Petronas, serta pimpinan tertinggi negara.

Ada persoalan utama yang kita wajib diberitahu.

Siapa yang memberikan konsessi itu kepada Pexco? Adakah kerajaan Sarawak atau Petronas yang memberikan konsessi itu kepada syarikat empunya Ananda ini? Pendeknya siapa yang memberikan konsessi dan siapa menerima konsessi ini penting untuk diketahui umum.

Pada pertengahan tahun tujuh puluhan dahulu, semua kerajaan negeri termasuk Sarawak telah menandatangani perjanjian dengan Petronas untuk memberikan semua hak mencari dan mengeluarkan minyak kepada Petronas buat selama-lamanya dan kerajaan-kerajaan negeri yang terlibat dengan pengeluaran minyak oleh Petronas itu dibayar royalti sebanyak 5 peratus diatas harga FOB.

Lain-lain perkataan perjanjian ini tidak membolehkan mana-mana pihak untuk mendapat konsessi itu selain dari Petronas kerana semua hak keatas minyak dan pengeluarannya serta penjualannya adalah hak Petronas. Tidak sepatutnya timbul isu mana-mana kerajaan negeri memberikan konsessi kepada mana-mana pihak dan jika ia berlaku itu merupakan satu ‘miscarriage of Law’ yang amat serius yang dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri, termasuk kerajaan Sarawak.

Sekarang ini rakyat mesti diberitahu perjanjian konsessi Pexco ini dilakukan dengan siapa? Apabila terjawab persoalan ini barulah rakyat boleh memilih samada meneruskan tindakan terhadap kerajaan yang telah mereka berikan mandat ini, atau mempersoalkan kewibawaan Petronas itu sendiri.

Dalam isu ini Petronas juga wajar keluar dengan kenyataan tegas yang syarikat petroleum nasional itu tidak terlibat dengan pemberian konsessi ini. Jika konsessi itu diberikan oleh Petronas maka isunya bukan lagi dengan kerajaan, tetapi dengan Petronas itu sendiri dan rakyat mahu tahu kewajaran konsessi ini diberikan kepada Anandakrishnan pula.

Kepada PM Najib...Kami hendak tahu cerita sebenarnya sekarang. Jangan dilewat-lewatkan jawapan ini. Rakyat tidak mahu lagi isu rompak-merompak terhadap harta rakyat ini terus-terusan berlaku.

Balik sahaja dari Tanzania ini, Najib terus sahaja berikan jawapannya kepada Parlimen kerana persoalan ini juga telah timbul diParlimen. Ini isu yang sangat serius, dan semua rakyat wajar mengikutinya secara dekat kerana harta yang disyaki diselewengkan ini adalah harta kita semua.

26 June 2013

Tiada lagi pemimpin yang bercakap dan bertindak dengan keluhuran hati

Tidak ada siapa yang mempunyai pemikiran yang realistik akan berupaya mengakui yang dinegara ini sudah ada politik berbilang kaum dalam sesuatu parti. Begitu hebat sekali isu ini menjadi bahan atau barang jualan politik sekarang ini khususnya sebelum pilihanraya ke 13 yang lalu. Tiada pihak dapat melakukan apa yang mereka jaja dan laungkan dimana-mana.

Masing-masing dengan ‘intrigue’ politik masing-masing  dan tidak ada pihak yang serius untuk membina politik berbilang kaum ini. Masih ada lagi unsur satu pihak cuba untuk menguasai satu kaum yang lain dengan melakukan helah yang berbagai semasa pilihanraya yang lalu. Tidak ada satu pihak yang mahu mengakui yang keadaan ini tidak akan berubah sampai bila-bila selagi pimpinan parti yang berteraskan kepada perkauman ini payah untuk menerima hakikat ini.

Apa yang dilaungkan tidak selari dengan apa yang dilakukan. Tentulah keadaan ini berlaku kerana tidak ada kejujuran untuk melakukannya dan ini hanya melambangkan masih wujud dalam jiwa masing-masing sifat tidak mempercayai diantara satu dengan lain. Perhubungan baik yang dipaparkan hanyalah untuk tempelan sahaja bagi mengaut sokongan ramai dalam pilihanraya itu.

Lakunan-lakunan ini akhirnya akan diketahui umum juga dan rakyat yang memahami akan akhirnya dipersalahkan kerana tidak mahu menerima apa-apa pandangan rakyat yang ramai ini. Lakunan-lakunan ini lah yang membuatkan rakyat naik mual dan jemu mendengarnya dan kita mengharapkan tidak ada pihak yang akan menyanyikan irama ‘multiracialism’ lagi bermula dari sekarang.

Jangan lagi ada pihak yang mengkritik pihak lain yang musuh dan seteru politik itu memainkan isu rasis menebal sedangkan pihak yang melaungkan itu sendiri adalah rasis. Tidak ada siapa lagi akan mempercayai yang sekarang sudah ada pihak yang memperjuangkan keperbilangan kaum dalam pertubuhan politik masing-masing. Laungan itu adalah ‘fallacy’ politik semata-mata yang tidak pernah dilakukan dan diusahakan oleh mana-mana pihak pun.

Tetapi kita bukan tidak pernah mengalami penyatuan kaum itu dahulu. Hanya apabila BN menjadi lemah dan keadaan yang telah lama kita alami dengan baik itu terganggu dan menjadikan isu perkauman sebagai isu besar yang menjadi isu mainan pihak yang berseteru dengan BN itu. Sebagaimana yang saya sebut selalu, BN telah wujud lama dahulu apabila setiap kaum bekerjasama dengan baik.

MCA dengan penyatuan kaum Cina yang kuat, MIC pula dengan penyatuan kaum India dan tentulah UMNO itu menjadi parti yang telah menyatukan kaum Melayu selama kita mencapai kemerdekaan negara. Tetapi penyatuan ini telah mula terombak oleh kerana permainan politik yang tidak telus dalam BN sehinggakan parti-parti dalam BN itu mula menjadi persoalan dari rakyat. Salah satu akibatnya ialah pihak yang berseteru dengan BN ini telah berjaya memecahkan kesatuan dikalangan pimpinan dan ahli-ahli dalam BN itu.

Oleh kerana pandangan dan persepsi rakyat terhadap pimpinan UMNO dan BN itu semakin buruk, maka apa-apa sahaja isu yang dilemparkan terhadap BN itu mudah diyakini oleh rakyat jelata. Diantara isunya yang sangat besar ialah isu perkauman yang BN dikatakan telah gagal untuk melunaskan tanggungjawab berterusan untuk penyatuan itu.

Apa sahaja yang dikatakan pembangkang itu betul semuanya dan apa sahaja yang dikatakan oleh BN itu semuanya salah dan tidak berwibawa untuk diyakini oleh rakyat yang ramai. BN telah mengabaikan partinya kerana pimpinan BN sudah tidak tahu lagi apa yang baik dan apa yang buruk yang perlu dilakukan. Semua orang tahu BN itu mahu melakukan apa yang baik, tetapi seperti yang dikatakan tadi mereka tidak tahu apa yang baik yang hendak mereka lakukan.

BN juga tidak mahu melakukan apa yang tidak baik, tetapi mereka tidak tahu apa yang tidak baik yang mereka harus mengelak dari melakukannya. Mereka kehilangan terus segala hidayah untuk mentadbir negara seperti yang diamanahkan oleh rakyat selama ini. UMNO sudah kematian rohnya samasekali dan tidak lagi boleh mara dan berundur. Semuanya serba tidak kena.

Kelemahan inilah yang membuatkan ramai rakyat sudah hilang keyakinan terus terhadap UMNO terutamanya dari kaum bukan Melayu dan sedikit peratusan kaum Melayu. Hasilnya keadaan ini telah diambil kesempatan oleh pembangkang dan mengembalikan isu perkauman terhadap UMNO dan BN. Pembangkang terutamanya DAP telah dengan mudah membalas isu perkauman yang dimainkan oleh UMNO itu. UMNO dalam keadaan terdesak telah memainkan isu perkauman bagi mengekalkan kaum Melayu dibelakangnya.

Hasil dari keadaan ini maka kesempatan itu diambil oleh pihak lain untuk membina kekuatan bangsanya juga dengan memainkan isu perkauman yang dilaungkan oleh BN itu. Keputusan akhirnya isu perkauman itu tetap wujud malah lebih jelas lagi kerana pengundian kali ini menunjukkan ia dilakukan mengikut salur-galur perkauman yang menebal.

Sekarang ini seolah-olah isu perkauman ini tidak dapat diatasi walaupun oleh mereka yang melaungkan ‘multiracialism’ itu. Kalau begitu keadaan keengganan banyak pihak untuk menyerapkan sikap 1Malaysia atau Malaysian Malaysia itu hanyalah setakat dibibir sahaja.

Tidak salah lagi jika masing-masing memikirkan hanya untuk kaumnya sahaja kerana tidak ada yang mahu menghilangkan perasaan dan tindakan perkauman itu setakat ini. Kita wajar menolak mana-mana pihak yang mengaku kononnya sebagai pejuang kepelbagaian dalam parti mereka atau pertubuhan mereka kerana kita sudah mengetahui hasilnya kerana ia terlalu ‘predictable’.

Mana-mana pihak yang melaungkan perpaduan kaum itu, sesungguhnya itulah kumpulan yang paling ‘chauvinist’, tidak kira samada pertubuhan itu pertubuhan bangsa Melayu atau yang bukan Melayu, serta pertubuhan yang mengakui untuk semua bangsa tetapi yang didominasi oleh satu-satu kaum itu sahaja. Elok dihentikan sahaja sesiapa melaungkan slogan-slogan  perpaduan untuk semua kaum itu, kerana kita tidak nampak perjuangan itu akan sampai kemana-mana.

Kalau hendak sangat berjuang berdasarkan untuk memperjuangkan kaum sendiri sahaja, ayuh kita teruskan perjuangan untuk bangsa masing-masing sahaja. Itu pun yang masing-masing mahukan nampaknya.

Hentikan retorik yang memperjuangkan untuk semua bangsa itu dari mana-mana pihak. Itu hanya permainan lidah yang tidak bertulang sahaja.

It’s not REAL. Bukan mudah hendak mencari pemimpin yang bercakap, bertindak dan menulis dengan hati.

25 June 2013

Tidak ada yang tidak berjerebu, semuanya berjerebu

Jerebu semakin hari semakin menebal. Walaupun berkurangan di selatan tanah air tetapi ia menebal di Kuala Lumpur dan Selangor. Bacaan API ialah diantara bahaya kepada amat merbahaya. Pengalaman jerebu 1997 dahulu sangat menyakitkan kehidupan kita. Sekarang keadaan itu berulang dan semua tahu sebab ia berlaku.

Dari tingkap rumah saya semalam sehingga pagi tadi masih lagi nampak dengan jelas bangunana Hotel Summit yang jauhnya hanya empat ratus meter sahaja dari rumah saya. Tetapi sewaktu saya menulis ini bangunan Hotel itu sudah diliputi sepenuhnya oleh jerebu itu. Saya tidak pandai menilai tahap jerebu secara saintifik. Saya hanya melihat bangunan Hotel Summit itu sahaja. Jika bangunan Hotel itu tidak kelihatan lagi ia bermakna jerebu semakin serius.

Tahun ini sememangnya kita tahu berjerebu. Suasana semuanya penuh dengan jerebu. Keadaan udara kita berjerebu, entah bilakan selesai. Politik juga berjerebu. Semuanya berjerebu. Himpunan 505 juga berjerebu. Pentadbiran kerajaan berjerebu dan parti-parti politik juga dihinggapi jerebu dengan dahsyatnya.

Akhirnya pemikiran rakyat sendiri berjerebu dan sudah tidak nampak arah yang mereka perlu lalui. Mengikut BN itu adalah melalui jerebu. Hendak ikut Pakatan Rakyat pun berjerebu juga.

Kalau kita pandang dan lihat jauh kehadapan apa pelan pembaharuan oleh BN kita sudah hendak melihatnya kerana terlalu berjerebu dihadapannya. Tidak nampak dengan jelas apa pembaharuan yang akan dilakukan oleh BN. Dihadapannya terlalu tebal jerebu yang menyelubungi dan kita tidak nampak dengan jelas apa akhirnya program pembaharuan yang bakal dilakukan oleh BN itu.

Di sebelah Pakatan Rakyat pula tidak kurang jerebu yang menyelubunginya. Anwar sendiri, menuduh ada suara-suara UMNO di dalam Pakatan Rakyat. Jerebu dipihak ini juga sangat tinggi tahapnya. Sekarang perjuangannya tertumpu kepada tuntutan mereka supaya SPR meletakkan jawatan. Tidak tahu dimana letaknya perjuangan asalnya. Jika asyik dengan demonstrasi dan himpunan, semakin tebal nampaknya jerebu dihadapan mereka dan sudah tidak lagi jelas apa yang diperjuangkan mereka. Sampai bila himpunan ini diadakan tidak siapa yang mengetahuinya.

Perjuangan melalui demonstrasi telah jelas menambah kekacauan kepada negara. Di Mesir himpunan jalanan negara itu telah menjatuhkan kerajaan Mesir pimpinan Mubarak, tetapi hasilnya sampai kehari ini negara itu masih tidak selesai masalah mereka. Akhirnya Mesir telah menghadapi krisis ekonomi yang sangat getir dan nilai wangya berbanding dengan matawang antarabangsa telah menjunam lebih dari seratus peratus. Begitu juga dinegara-negara lain di Timur Tengah itu. Jerebu politik melanda semua negara-negara terbabit.

Itu sebabnya saya selalu memberikan pandangan yang berlainan. Saya lebih yakin ada cara lain yang boleh melakukan perubahan itu. Ia hanya boleh dilakukan oleh pemimpin Melayu  yang boleh diterima oleh semua bangsa. Bagi saya sememangnya jelas kedua-dua pihak wajar berhenti berkelahi dan menerima hakikat perubahan itu perlu dilakukan oleh orang lain dan yang berkelahi itu bersama-samalah memberikan sokongan itu kepada orang yang akan melaksanakan pembaharuan itu.

Selagi ego dan kesombongan pimpinan masing-masing masih besar, selagi itulah pembaharuan tidak akan tercapai. Kalau ada pun perubahan itu, perubahan itu hanyalah perubahan kepada keadaan yang lebih buruk lagi.

Jerebu politik bukan sahaja berlaku diluar bahkan ia berlaku lebih teruk lagi di dalam Dewan-Dewan Legislatif. Jerebu politik ini tidak boleh dihindar dengan memakai ‘mask’ dimuka tetapi  ia hanya boleh menggunakan kejujuran jiwa dan ketelusan terhadap rakyat dan negara. 

Itulah sebabnya kita mahu dan mimpikan ada orang yang boleh menghilangkan jerebu ini, untuk menghilangkan jerebu yang ada di dalam kerajaan serta kementerian dan jabatan yang berjerebu itu.

Tetapi hakikatnya bagi setengah pemimpin lagi berjerebu politik itu lagi mudah mereka untuk menggunakan keadaan itu untuk kepentingannya.

Usaha ramai ahli-ahli legislatif persekutuan dari Malaysia Timur dan Semenanjung yang dengarnya sedang berlaku perlu diberi sokongan kerana usaha pihak ini memungkinkan jerebu politik tanah air akan dapat di turunkan.

Rakyat ternanti-nanti waktu mereka boleh menarik nafas dengan lega tanpa jerebu serta tanpa bersusuh payah memakai topeng. Kita sudah jemu banyak pihak tidak jujur dan memakai topeng yang melindungi keadaan sebenar mereka.

Kita tidak mahu lagi mendengar ada pihak yang melaungkan perjuangan ‘multiracial’ tetapi disebalik topeng itu mereka adalah rasis, serasis-rasisnya. Ada yang bertopengkan isu moral tetapi pemimpin mereka tidak terlepas dari isu moral yang sudah menjadi ‘stigma’ kekal dalam politik tanah air kita.

Selagi isu jerebu politik ini tidak selesai selagi itulah orang ramai akan hidup dalam  ‘deception’ sentiasa.

24 June 2013

Selepas berhimpun, elok berehat. Kaji kelemahan sendiri pula

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata tidak ada himpunan ‘black 505’ lagi buat sementara waktu ini. Apa yang menyebabkan beliau berkata demikian tidak pula dapat difahami kerana beliau masih lagi belum berjaya meminta Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR  berundur serta meletakkan jawatan mereka.

Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR diminta berundur dan meletakkan jawatan diatas tuduhan pihak pembangkang yang diketuai oleh Anwar, penipuan besar-besaran telah berlaku semasa PRU 13 yang lepas. Ketua Pembangkang ini berkata selepas perasmian konvensyen Pakatan Rakyat semalam.

Semasa himpunan 505 sehari sebelum itu, Anwar berkata yang beliau sependapat dengan pandangan Husam Musa, Naib Presiden PAS yang ada dikalangan Pakatan Rakyat yang sedang menghadapi sindrom kepenatan. Mereka ini, kata Husam itu adalah, UMNO dalam Pakatan Rakyat.

Anwar meminta semua pihak supaya tidak dihinggapi penyakit sindrom kepenatan ini kerana perjuangan untuk meminta SPR meletakkan jawatan belum tercapai lagi. Tetapi kita mesti juga menerima hakikat bahawa rakyat yang ramai ini juga memerlukan masa untuk merehatkan pemikiran mereka. Rakyat ini manusia dan memerlukan rehat dari memikirkan tentang himpunan dan demonstrasi-demonstrasi ini.

Pemimpin-pemimpin yang menganjurkan himpunan ini boleh berehat dengan kemudahan kehidupan mereka bercuti dimana-mana contohnya, tetapi bagi mereka yang diheret untuk berhimpum ramai-ramai tidak mempunyai kemudahan seperti yang ada kepada pimpinan seperti Anwar dan lain-lain itu.

Dalam himpunan 505 di Padang Merbok sabtu lalu, kehadiran sudah banyak berkurangan. Hanya 10 peratus dari jumlah sasaran 300,000 orang itu yang hadir dan setengahnya sudah meninggalkan Padang Merbok pada jam 6 petang lagi. Pihak penganjur telah memberikan alasan jerebu sebagai penyebab utama kenapa kekurangan peserta himpunan itu, tetapi mereka tidak menghadirkan diri kerana banyak sebab-sebab yang lain.

Satu perkara yang kita harus sedar, keupayaan seseorang menerima dan mendengar lagu yang sama berlarutan itu ada hadnya. Mendengar ceramah dan lawak jenaka yang sama oleh mereka yang sama itu sangat membosankan kebanyakkan orang yang pernah menyertai himpunan itu. Mereka tahu apa yang akan mereka dengari sebelum mereka tiba ke tempat himpunan itu kerana semua isi kandungan ucapan yang akan mereka dengar semuanya ‘predictable’.

Lama kelamaannya ramai-ramai yang hadir itu terlalu kenyang dengan ucapan yang sama, kandungan ucapan yang tidak berubah selain dari lawak jenaka dan pertunjukan pentas oleh penceramah-penceramah yang sama. Lauk pauk yang kita suka sendiri pun akan terasa menjemukan jika dihidangkan setiap masa dihadapan kita. Ramai yang bertanya apabila kembali kerumah, “apa yang aku baru dapat pada hari ini?” Apa yang mereka dapati hanyalah keletihan dan salahkan mereka merasakan kepenatan itu?

Mereka kembali bertanya, “Ini saja kah kegiatan sebuah atau sekumpulan parti yang dikatakan parti-parti perjuangan?” Sampai bila hendak berhimpun dan berdemonstrasi itu? Pilihanraya akan diadakan lima tahun lagi dan setakat ini mereka telah berkempen dan berhimpun sudah menjangkau  lima tahun lamanya untuk persediaan PRU ke13 yang lalu.

Bagi orang seperti saya yang tidak pandai dan berpengaruh ini, berpendapat masing-masing parti perlu mengkaji kelemahan masing-masing kenapa Pakatan Rakyat kalah walaupun ‘mood’ semasa itu menampakkan situasi yang tidak memungkinkan BN memenangi mana-mana kerusi di seluruh negara. Mudahlah untuk menyalahkan SPR dan sebagainya tetapi tidak adakah kesalahan kita sendiri?

Bagi pihak yang hendak melakukan pembaharuan yang terpenting dilakukan ialah mengetahui dan memahami apa-apa kelemahan dan kesalahan sendiri dahulu. Takkanlah tuduhan penipuan itu sahaja yang menyebabkan pihak kita kalah dalam PRU itu. Bagi diri saya sedikit sebanyak tahu apa kelemahan yang ada disetiap parti yang menganggotai Pakatan Rakyat itu. Jangan emotional bila mendengar teguran seperti yang saya paparkan ini.

PKR mempunyai masalah budaya yang tidak jauh bezanya dari budaya UMNO yang bermain politik sesama sendiri tanpa had. DAP pula telah saya sebut sebagai parti yang ‘smart’ dengan tuduhan pihak lawan sebagai parti rasis tanpa disedari ramai bahawa rupa dan penampilan parti itu sendiri adalah sebagai sebuah parti yang hanya mewakili kaum Cina sahaja.

Bagi saya PAS mempunyai ciri parti yang baik, tetapi oleh kerana imej baik itu PAS tidak membentuk ‘skill’ pengurusan yang baik sebagai persediaan untuk mentadbir negara diperingkat tertinggi. Parti itu apabila diberikan peluang untuk mentadbir mereka gagal dalam mentadbir negeri yang di perintahnya kecuali Kelantan.

Terengganu pernah dimenangi oleh PAS dengan majoriti 4/5 di Dewan Undangan Negeri Terengganu, tetapi tidak berjaya mengekalkan kuasa di Terengganu semata-mata kerana kegagalan mentadbir negeri itu. Baru-baru ini saya ke Kedah untuk membantu PAS dalam pilihanraya berulang-alik setiap minggu.

Tetapi nyata kerana pentadbiran negeri Kedah dibawah PAS tidak mempunyai ummph yang kuat maka rakyat memulangkan kembali kuasa kepada BN walaupun BN itu merupakan parti yang terlalu banyak isu untuk dipersoalkan. Daripada menyertai himpunan lebih baik PAS memulakan usaha membina kemahiran mentadbir. PAS boleh menghantar pimpinan ke kursus-kursus pentadbiran di mana-mana pusat pengajian tinggi ternama diseluruh dunia bagi persediaan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan kita.

Dari bersusah payah ke Padang Merbok berhimpun, kenapa PAS tidak fokuskan usaha untuk mengilap kemahiran mentadbir negeri dan negara?  Benar, Islam itu tinggi, tetapi jika kita benar-benar memperjuangkan Islam itu, mewujudkan kemahiran pentadbiran itu juga kehendak Islam. Kenapa tidak diberikan tumpuan terhadap isu besar ini. Islam itu selari degan setiap masa dan zaman, maka amat perlu untuk meningkatkan ‘skill’ pentadbiran dengan gigih.

Kalau kita gagal menjadi pentadbir yang baik maka sekali gus kita tidak memenuhi tuntutan agama suci kita itu. Kita mesti akui yang politik itu adalah ‘game of perception’. Kalau kita gagal untuk memberikan persepsi baik maka ia memberi makna kita gagal.

Kita perlu ingat, mengekalkan pengaruh melalui himpunan 505 itu tidak akan mampu mengekalkan sokongan ramai buat jangka masa yang lama. Yang akan mengekalkan sokongan ramai ialah hasil dan kemampuan kita mentadbir. TS Khalid Ibrahim terkenal sebagai seorang yang tidak pandai berpolitik, tetapi hasil kerja tangan dan minda beliau telah mampu untuk hampir melenyapkan BN di negeri Selangor baru-baru ini.

Terima lah teguran dan pandangan secara ilmiah dan terbuka. Jangan kita memberikan reaksi seperti yang kita dengar beberapa hari yang lalu dimana teguran saya itu terbit kerana saya tidak menjadi calon oleh seorang pemimpin besar sebuah parti dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Berbalik kepada isu himpunan 505 itu, ia tidak akan membawa sesiapa kemana-mana. Yang boleh memberikan ‘consequence’ ialah memperbaiki parti dan perjuangannya dan jika boleh diluruskan niat dan tujuan pimpinan melakukannya. Lama kelamaan rakyat akan menyedarinya.

23 June 2013

Dengarnya ada berita baik untuk negara, betul ke?

Waktu dan zaman berubah. Ia juga membawa perubahan kepada keadaan sesebuah negara termasuk politiknya sendiri. Negara kita tidak terkecuali dari melalui perubahan ini. Tidak mungkin keadaan sekarang mampu memberikan satu kerajaan yang benar-benar stabil dan berkesan.

Baik dari pihak kerajaan dan pembangkang, roh politik yang sebenarnya secocok dengan kehendak rakyat dan negara sudah tidak dapat di perkasakan lagi. Tidak mungkin kita akan mengalami satu keadaan yang pernah kita alami dahulu jika keadaan sekarang berterusan berlaku.

Ramai rakyat yang berfikir, dan ada juga pemimpin yang mencari jalan penyelesaian terhadap kecelaruan politik negara kita ini. Tentunya penyelesaian itu terbit dari pemikiran manusia yang insaf dan tekun mengamalkan introspeksi terhadap kecelaruan ini. Yang berfikir dengan bertanggungjawab akan sentiasa mencari kaedah untuk memperbaiki keadaan negara dan diri sendiri.

Di akhir-akhir ini ada kedengaran usaha beberapa pemimpin dikalangan ahli-ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan keadaan yang ada sekarang ini dan formula baru nampaknya sudah mula bertunas. Samada ia akan berjaya dilakukan, itu juga adalah ketentuan dari Tuhan Maha Esa. Seperti biasa keresahan dikalangan pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli legislatif itu akan membawa perubahan dan gerak ini diharapkan adalah gerak yang diredhai Tuhan.

Kedengaran yang mereka bersungguh-sungguh mahukan perubahan ini dilakukan sekarang juga dan sambil itu melakukan transformasi yang sebenarnya yang diperlukan oleh negara dan rakyat. Jika gerakan ini menghasilkan perubahan kepada negara ia perlu mendapat sokongan semua pihak agar impian rakyat untuk hidup dalam ‘environment’ politik yang baru dan kesejukan siasah negara dapat dirasakan semua.

Kita mahukan sebuah negara baru, seperti yang selalu disebutkan oleh blog ini. Kita mahukan dasar yang baik perlaksanaannya. Kita mahukan imej rasuah yang tertempel kepada kerajaan hari ini dihapuskan dan ‘stigma’ BN itu rasuah, rasuah itu BN wajib dilenyapkan.

Imej ini tentulah datang bersama dengan manusia yang memimpinnya. Seperti yang blog ini selalu tekankan, tiada siapa dikalangan ahli-ahli kabinet sekarang berkemampuan untuk membawa perubahan ini kerana mereka semuanya terlibat dengan isu rasuah ini, setidak-tidaknya dalam erti kata ‘collective responsibility’ jemaah menteri itu.

Ia mesti dilakukan oleh pemimpn yang dipilih rakyat yang tidak terlibat bersama kabinet sekarang dalam semua keputusan ‘collective’ itu. Memilih gantian dari mereka yang berada dalam barisan kabinet dan MT UMNO sekarang ini tidak akan ada perubahannya. Selalu blog ini menyatakan dengan tegas yang mereka ini datang dari satu acuan yang sama.

Apabila kerajaan baru itu dipimpin oleh seorang yang tidak berada didalam kabinet yang mempunyai ‘stigma’ buruk itu, sekali gus imej dan pandangan serta persepsi rakyat itu akan berubah. Perubahan ini perlu dilakukan dengan kadar yang segera sebelum kita berpecah dan berbelah dalam semua hal kehidupan bernegara. Jika perubahan ini berlaku secara yang disebutkan dan dicadangkan ini maka kita agak pasti negara kita akan dipandang dengan lebih tinggi oleh masyarakat antarabangsa.

Jika Najib menjadi isunya sebagai Perdana Menteri yang terlemah ia tidak boleh diperbaiki. Tetapi beliau boleh mengubah imej serta persepsi rakyat terhadap beliau dengan mewariskan kepimpinan negara kepada seorang yang bertanggungjawab dan beramanah. Meninggalkan nama yang baik bukan semestinya melalui hasil kerja yang baik tetapi juga dengan memberikan tanggungjawab negara kepada orang yang lebih berkemampuan dari beliau itu juga adalah tindakan meninggalkan nama yang baik buat beiau.

Tindakan mengaku kelemahan dan memberikan kepimpinan negara kepada seorang yang berkebolehan untuk memperbaiki keadaan negara itu sendiri adalah pengorbanan yang sangat besar kepada rakyat dan negara. Tindakan itu juga adalah tindakan mulia demi untuk rakyat dan negara.

Beliau akan diingati oleh generasi yang akan datang sebagai seorang pemimpin yang berani melakukan tindakan untuk kebaikan dengan berkorban kepentingan peribadi beliau sendiri. Begitu juga kepada Muhyidin Yassin dan rakan-rakan kabinet yang lain. Mereka juga akan turut dikenang oleh generasi yang telah menyokong usaha rakyat untuk merubah dan menghindarkan negara dari terjerumus kedalam politik yang kacau bilau.

Jika berlaku perubahan ini, maka kita tidak lagi bersusah payah memikirkan tentang tindakan rakyat berhimpun ke sana ke mari sambil berbalas-balas tuduhan diantara pihak-pihak yang berbalah sekarang ini.

Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran apa yang kita dengar itu. Tetapi jika Tengku Razaleigh lah orangnya yang disebut-sebut menjadi pilihan untuk diberikan tugas memperbaharui semangat negara dan demokrasi kita serta rakyatnya, ia merupakan berita yang amat memberangsangkan oleh banyak pihak dinegara ini.

Dari sudut psikologinya sahaja negara akan menganjakkan imej dan stigma negatif negara yang sedang kita alami sekarang ini kepada imej yang baru yang memberangsangkan. Apa yang sangat perlu bagi negara sekarang ialah lonjakan persepsi yang baik untuk memulakan kerja dan tanggungjawab mengtransformasikan negara dengan semangat baru dalam ‘ambience’ siasah yang baru.

Bermula dengan semangat yang baru dan suasana politik negara yang baru, maka mudahlah kita mengalihkan tumpuan rakyat yang sedang berbalah sesama sendiri di negara ini kepada penantian baru bagi mereka. Lantas lebih mudahlah rakyat bersatu serta memberikan sokongan kepada kerajaan baru dengan doa serta restu yang menyeluruh dari rakyat jelata. Suasana politik baru inilah faktur besar yang akan menyatukan rakyat yang sedang berbalah ini.

Dalam perjumpaan-perjumpaan saya dengan semua pihak setiap hari jelas apa yang kita dengar sekarang sudah terbina harapan menggunung yang sangat-sangat mereka tunggu dan nanti-nantikan, iaitu sebuah negara yang bersemangat baru.

Blog ini bersama yang ramai dibawah ini amat teruja untuk menulis lagi tentang isu ini lagi dalam posting-posting yang akan datang. Kerana apa blog ini teruja untuk menulisnya? Kerana nama yang disebut-sebut itu adalah nama yang sangat cocok dengan keperluan negara yang inginkan pembaharuan itu.

Tengku Razaleigh merupakan seorang ahli politik yang veteran disamping seorang teknokrat dan 'planner' pembangunan yang telah meletakkan asas ekonomi negara dizaman kegemilangan beliau. Hanya politik dalaman UMNO semasa itu yang telah mengenepikan beliau dari arus perdana politik negara. Beliau dikenali diperingkat antarabangsa dan pernah mempengerusikan setidak-tidak tiga institusi kewangan antarabangsa yang berbeza fungsinya dalam satu masa yang sama.

Diantaranya ialah Bank Dunia yang beribu Pejabat di Washington, Bank Pembangunan Islam yang beribu Pejabat di Jeddah serta Bank Pembangunan Asia yang beribu Pejabat di Manila. Hanya politik dalaman UMNO sahaja yang menyebabkan beliau diketepikan sejak tiga puluh tahun dahulu sehinggalah sekarang.

Teruja pula blog ini untuk menulis tentang pemimpin yang sedang menjadi sebutan ramai sekarang ini. Insyaallah, kita berjumpa lagi

20 June 2013

Tiada ahli-ahli biasa yang 'unimportant' itu, tiada pimpinan parti

Dalam sesebuah parti kekuatannya dari ahli biasa yang ramai-ramai. Ahli-ahli biasa inilah yang membentuk kepimpinan parti itu. Ahli-ahli biasa inilah yang menentukan arah tujuan dan bentuk dan rupa parti itu. Ia melibatkan pembentukan sikap dan budaya parti itu sendiri. Kekuatan pemimpin itu bergantung kepada sejauh mana atau seramai mana ahli-ahli biasa ini memberikan sokongan kepada seseorang pemimpin itu.

Maka amatlah menyedihkan jika didapati seorang pemimpin parti menganggap seorang ahli parti biasa tidak penting atau istilah yag popular terbentuk sehari dua ini sebagai ‘unimportant’. Menganggap sesorang ahli biasa dalam parti sebagai ‘unimportant’ itu adalah terlalu ‘uncalled for’. Ia memberi pengertian yang semua ahli biasa tidak penting bagi orang yang mengeluarkan kenyataan itu. Ia bemakna hanya seorang dua pemimpin sahaja yang penting dalam parti itu.

Tetapi ini adalah sikap biasa dalam politik dunia ketiga kerana pemimpin  itu jarang-jarang sedar yang mereka dibesarkan dan diangkat oleh ahli-ahli biasa terutamanya parti yang melaksanakan sistem demokrasi. Walaupun ahli-ahli biasa itu kadangkala bertindak mengikut apa yang dicaturkan oleh pemimpin mereka secara sistematik, yang pentingnya ahli biasa itu adalah penting dalam sesebuah parti yang demokratik.

Ramai pemimpin terlupa yang mereka bukannya menjadi orang besar dengan sendirinya seperti Tuhan yang terdiri dan wujud dengan sendirinya. Mereka menjadi pemimpin bukan terjadi begitu sahaja. Ahli-ahli biasa inilah yang membuatkan mereka itu menjadi pemimpin.

Saya menyebut ini kerana saya telah mengalami isu ini dalam sehari dua yang lepas kerana ada pemimpin besar parti yang saya anggotai menganggap saya itu ‘unimportant’ kerana saya hanyalah seorang ahli biasa. Justeru saya tulislah sedikit tentang isu ini kerana ia amat penting bagi mengingatkan pemimpin yang sedang berada di ‘aras yang tinggi’ dalam parti itu supaya tidak menjadi angkuh.

Kita mahukan mereka sedar bahawa ahli-ahli biasa inilah yang telah membuatkan mereka berdiri dan duduk ditempat yang tinggi itu. Kita mahu pemimpin yang telah diangkat tinggi oleh ahli-ahli biasa ini sedar akan dirinya dan kembali mengingati dari mana mereka berasal dan sejauh mana mereka boleh maju sendirian tanpa ahli-ahli biasa ini.

Hidup ini perlu berseni sedikit sebanyak dan kita tidak boleh melambangkan diri kita sebagai pemimpin yang kasar atau ‘crude’ dalam berinteraksi dengan pihak yang ramai terutamanya kepada ahli-ahli parti mereka jika mereka itu pemimpin politik. Kelebihan orang melayu disini. Mereka lebih berseni dan lembut dalam mengupas isu dan bertindak.

Hanya sekarang nampak sedikit sebanyak kelemahan orang Melayu yang kini sudah berkurangan dari seni politik mereka kerana budaya yang sudah dialih dan dianjak oleh pimpinan pada hari ini. Itu sebab kita terdengar ramai yang sudah begitu fasih mencarut dan bercakap kasar seolah-olah mereka itu bukan Melayu lagi.

Berbalik kepada isu ahli biasa yang ‘unimportant’ tadi saya suka menyeru kepada pimpinan mana-mana parti terutamanya kepada parti yang saya anggotai, supaya lebihkan seni perhubungan diantara mereka dengan ahli. Adab dan sopan itu merupakan budaya timur tidak kira ia berbangsa Melayu, Cina atau India dan apa-apa bangsa sekali pun.

Hak individu mesti kita hormati termasuklah hak untuk tidak dihormati sebagai manusia yang mempunyai pemikiran sendiri. Yang pimpinan berinteraksi itu ialah dengan manusia, bukannya haiwan peliharaan. Maka adalah wajar seorang pemimpin itu tidak berkasar dan sombong terhadap ahli dan rakyat yang dipimpim mereka.

Kesenian dan kelembutan dalam berinteraksi itu adalah lambang sejauh mana ketamadun kita dalam kontek masyarakat timur ini.

Itulah yang membezakan diantara seorang manusia dengan manusia yang lain, atau diantara seorang pemimpin dengan pemimpin yang lain. Kita tidak boleh menganggap manusia yang kita pimpin itu sebagai haiwan peliharaan sahaja. Kalau dirasakan hendak dikurung dikurungnya, kalau hendak menyuruh kerja diarah-arahkan saja dan jika hendak memaki hamun tidak ada halangan langsung dan tiada batasan adab dan adat.

Kita tidak mahu melihat pemimpin kepada manusia bersikap seperti pengembala lembu yang boleh memukul dan mengurung haiwan peliharaan mengikut hati dan rasa sendiri sahaja.

Kita perlukan pemimpin yang layak memimpin manusia dan bukannya pengembala lembu yang hanya layak untuk mengembala haiwan peliharaan sahaja, lebih-lebih lagi di zaman dunia yang moden yang tidak bersempadan ini.

19 June 2013

Bila berbalah tentang dasar parti, jangan serang peribadi individu

Keputusan pilihanraya ke 13 sememangnya merupakan tanda aras dan memberikan banyak jawapan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh semua pihak sebelum pilihanraya itu diadakan. Malaysia sebagai sebuah negara yang memberikan semua rakyat hak untuk memilih akan memberikan semua jawapan yang di isukan dalam proses masing-masing mendapatkan sokongan dan kemenangan.

Negara kita baru sahaja melepasi pilihanraya umum yang sangat panas semasa mengharung waktu berkempen beberapa bulan sebelum itu. Seperti biasa setiap pihak memberikan janji dan memaparkan manifesto masing-masing untuk menambat hati rakyat.

Individu atau kumpulan yang menang bersukaria dan yang kalah berdukacita dan ada yang mengambil keputusan tidak menerima keputusan pilihanraya itu sambil memberikan tuduhan yang pilihanraya tidak diurus dengan baik dan ‘transparent’. Keputusan ini juga memperlihatkan ada unsur-unsur kesombongan pada diri individu dan kepimpinan parti-parti kerana merasakan partinya atau dirinya sendiri sudah besar dan tidak akan tercabar lagi.

Seperti biasa manusia mempunyai pemikiran sendiri dan memberikan pandangan secara baik dan jujur terhadap mana-mana parti yang terlibat dalam proses kemenangan dan kekalahan hasil pilihanraya itu. Banyak juga orang lupa jika kuat pada hari ini tidak semestinya kuat pada esok hari.

Otot yang besar akan menjadi lembek dan mulut yang celupar itu akan membisu apabila sampai masanya. Ada manusia yang berfikir yang mereka akan hidup sihat sentiasa dan tidak akan menghadapi hari tuanya semata-mata kerana merasakan diri mereka sudah hebat.

Kadangkala ada pemimpin kerana terlupa bahawa masa dan zaman sentiasa berubah sehinggakan lupa bila bercakap itu membezakan bercakap sebagai pemimpin parti atau sebagai individu. Ada yang tidak menyedari yang mereka itu sudah menjadi sombong semata-mata kerana merasakan yang mereka sudah berada di ‘cloud nine’, begitu glamor dan terlupa dari mana mereka datang dan kemana mereka akan pergi, sedangkan hidup masih panjang lagi perjalanannya.

Saya sendiri baru mengalami secebis pengalaman apabila saya memberikan pandangan yang sebuah parti yang memperjuangkan ‘multiracialism’ itu sebenarnya tidak melaksanakan apa yang mereka laungkan dan perjuangkan. Komen saya dipetik oleh akhbar media perdana tempatan dan komen saya yang saya berikan secara jujur itu mendapat reaksi bernadakan peribadi yang tidak sepatutnya keluar dari seorang yang berkedudukan sebagai seorang pemimpin besar parti itu.

Dia memberikan reaksi yang mengatakan saya ini bukannya orang penting (unimportant). Tidak pernah saya mengatakan saya seorang yang penting. Jika ada insiden-insiden yang saya mengakui diri saya sebagai penting tolong beritahu saya. Benar saya sememangnya tidak penting (unimportant) tetapi saya hanya memberikan komen sebagai ‘ordinary citizen’ atau seorang biasa yang melata dipinggiran politik ini. Saya bukannya seorang pemimpin pun.

Oleh kerana saya tidak penting (unimportant) itulah persoalan timbul kenapa komen saya itu diberikan reaksi yang begitu ganas bunyinya? Jika komen yang tidak digemari itu datangnya dari seorang yang tidak penting (unimportant) maka tidak ada sebab pemimpin itu memberikan reaksi terhadap komen saya itu dengan nada yang agak angkuh dari seorang pemimpin yang bakal mengambil alih teraju parti itu?

Saya dituduh kecewa kerana tidak menjadi calon dalam PRU 13 yang lepas dan ini merupakan komen yang sangat peribadi. Jika pun saya dijadikan calon ia tetap tidak melambangkan ‘multiracialism’ seperti yang dilaungkannya itu kerana ia akan hanya menambah bilangan Melayu di dalam senarai itu hanya menjadi dua orang sahaja dari seorang yang ada sekarang.

Jadi isu saya tidak bertanding tidak sepatutnya terkeluar dari mulut pemimpin ini jika beliau ada jawapan sebenar kepada komen saya itu. Beliau melarikan isu pandangan saya itu dengan memberikan komen peribadi. Kepada pemimpin yang saya maksudkan itu, saya ingin mengingatkan kembali bahawa saya tidak pernah berjumpa dengan beliau dan menuntut hendak menjadi calon itu.

Malahan sejak saya menyertai parti itu saya tidak bertemu dengan beliau walaupun sekali. “Please bro, don’t equate my values with yours, don’t be too personal, and try not to be arrogant. You may not have regards for me, but at least give regards to your own self.” Saya tidak ada apa-apa perasaan peribadi yang tidak baik terhadap anda. Jadilah seorang yang dewasa.

Saya ulangi, saya ini sememangnya tidak penting. Tetapi jika hendak memberikan reaksi juga kepada komen yang tidak penting itu sepatutnya dia jawab isu yang saya berikan itu, iaitu parti itu bukan parti ‘multiracial’. Buktikan yang parti itu adalah parti ‘multiracial’ dalam ertikata yang sebenarnya. Takkanlah tidak ada jawapannya jika benar komen itu datangnya dari seorang yang ‘unimportant’ tadi. Kenapa membuat serangan peribadi. Komen saya itu tidak langsung mengandungi unsur peribadi terhadap sesiapa.

Itu sebabnya ramai yang merasakan politik ini kadangkala sudah dijadikan isu peribadi. Ketidak matangan reaksi dari pemimpin ini boleh juga difahami kerana beliau ini adalah seorang yang masih muda dan masih merasakan beliau berada dalam mood ‘honeymoon’ kerana kejayaan beliau dan partinya dalam pilihanraya yang lalu.

Sesungguhnya saya hanya memberikan pandangan secara terbuka tanpa mengusik isu peribadi dalam akhbar media perdana itu. Tetapi saya tidak mengambil hati dengan komen peribadi keatas diri saya itu. Setidak-tidaknya kita dapat belajar lebih mendalam lagi apa sebenarnya sikap dan ‘attribute’ parti atau jenis pemimpin yang ada didalamnya dengan lebih jelas lagi.

Kalau dahulu kita kecewa dengan pihak parti berkuasa kerana tidak boleh mempunyai pandangan yang berbeza, sekarang jelas penyakit yang sama juga wujud dalam parti yang lain juga. Dengan komen pedas terhadap diri saya itu maka saya mula berfikir yang sesiapa yang bercakap banyak, bercakap tentang isu yang diperjuangkan mereka, mereka jugalah yang menggagalkan isu dan perjuangan mereka itu.

Dalam posting saya beberapa hari yang lepas saya ada menyebut yang laungan ‘multiracialism’ itu hanya mainan lidah yang tidak bertulang itu sahaja.

18 June 2013

Tidak boleh dielak, negara dan politik baru wajib berlaku

Kumpulan yang kecil, jika ia bermuafakat dan bersatu serta ‘organized’ akan menjadi majoriti. Maksudnya jika sekumpulan yang kecil jika mempunyai organisasi yang baik dan lengkap ia akan mempunyai pengaruh yang besar dalam sesebuah masyarakat atau negara. Ia akan mampu mengalahkan dan mendahului kumpulan yang besar yang berpuak-puak dan berpecah belah.

Dalam dunia ini kaum yahudi merupakan kaum yang terkecil tetapi kaum ini menguasai semua bidang kehidupan manusia dalam dunia ini. Di negara ini kaum Cina sudah menunjukkan bukti kenyataan ini, kerana dengan penduduk yang hanya 25 peratus sahaja ia telah menunjukkan kesepaduan mereka dan telah berjaya mempengaruhi keadaan politik negara, lebih jelas lagi semasa PRU ke 13 yang baru lalu ini..

Di sebaliknya kaum Melayu yang melebihi 60 peratus penduduk negara ini berpecah belah dan hampir sahaja menjadi mangsa politik perkauman yang jelas-jelasnya telah menjatuhkan kekuatan siasah negara ini.

Negara mencapai kemerdekaannya sudah menghampiri enam dekad dan kemajuan yang dicapai oleh negara amat pesat dan kita perlu akui yang kaum Cina yang mempunyai hanya 25 peratus jumlah penduduk telah memainkan peranan membangunkan negara dan menguasai sebahagian besar ekonomi negara ini.

Bagi kaum Cina perniagaan dan perdagangan serta industri ini sudah menjadi darah daging mereka dan kaum ini telah melalui banyak kepayahan untuk membentuk bangsa ini untuk menjadi bangsa yang sentiasa bekerja kuat dan membina ekonomi bangsanya sampai ketahap yang ada pada hari ini.

Rakan kita dari kaum Cina ini begitu ‘organized’ sehinggakan kempulan yang dianggap kecil seolah-olah sudah menjadi kumpulan majoriti kerana kemampuan mereka mempengaruhi keadaan negara dalam semua bidang kehidupan, lebih-lebih lagi dalam bidang ekonomi dan politik.

Berbagai-bagai dasar telah digubal untuk mengimbangi penguasaan harta kekayaan negara secara ‘equitable’ tetapi sehingga hari ini matlamat DEB yang mengandungi dasar ini telah gagal dilaksanakan oleh kerajaan sejak tahun lapan puluhan dahulu. Kejayaan awal dasar ini telah dicapai dan mendapat sokongan dari bangsa-bangsa lain di negara ini semasa itu, iaitu dalam lingkungan tahun-tahun tujuh puluhan dan awal lapan puluhan dahulu.

Semasa itu kaum Cina sendiri merasakan yang dasar itu perlu disokong kerana mereka mengakui yang hidup berniaga dan berpolitik di negara ini tidak akan ada kestabilannya sehingga semua kaum menikmati kekayaan negara secara ‘equitable’ semasa itu. Tetapi pimpinan Melayu sendiri telah mengabaikan dasar ini dan menumpukan untuk membina negara ini sebagai negara maju dan perindustrian secara kilat.

Benar, negara kita maju dalam industri dan perniagaan, tetapi pengabaian dasar untuk membentuk rakyat yang mempunyai pegangan kekayaan dan pendapatan secara ‘equitable’ itu telah melenyapkan harapan orang melayu untuk bersama-sama berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakan dari bangsa lain di negara ini. Sampai kehari ini matlamat itu tidak dapat dicapai.

Dalam pada itu bangsa Cina sudah melalui zaman dan generasi yang baru yang telah terlupa tentang tanggungjawab mereka untuk bersama-sama membantu mengimbangi penguasaan ekonomi dan kekayaan negara kita ini. Apabila sampai situasi ini maka wujud keadaan dalam mana orang Melayu tidak mencapai apa-apa dan di samping itu dituduh mendapat layanan istimewa kerajaan terus-terusan. Maka orang Melayu tersepit sehingga ke hari ini.

Akhirnya bangsa Cina menganggap Melayu itu sebagai bangsa pengemis yang kebanyakkan dikalangan yang ada disekeliling mereka yang berkuasa hanyalah sebagai ‘rent seekers’ semata-mata. Di beberapa blog didalam media alternatif komen-komen mencarutkan bangsa Melayu oeh bangsa bukan melayu kerap kita lihat dan terbaca.

Perasaan resah gelisah ini diperguna oleh pihak yang ingin menguasai politik negara samada dari pihak kerajaan mahu pun dari pihak pembangkang. Inilah akibatnya jika dasar-dasar yang boleh diguna-pakai buat jangka masa yang panjang itu dicemari oleh pimpinan yang mewarisi kepimpinan negara selepas tahun tujuh puluhan dahulu.

Kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang sudah tidak dapat menerima apa yang sedang berlaku sekarang. Pihak kerajaan tidak tahu apa kebaikan yang mereka lakukan dan pihak pembangkang pula mengambil kesempatan ini untuk memanjat tangga kekuasaan  politik yang sangat asing dari apa yang kita alami lama dahulu.

Sekarang sudah hilang suasana dalam mana setiap kaum bekerjasama untuk menjayakan dasar yang menguntungkan semua pihak semasa itu.

Itu sebab saya selalu menyarankan yang negara kita amat memerlukan pembaharuan dan memulakan negara yang baru, sistem yang baru dengan barisan pemimpin yang lain dari yang ada pada hari ini untuk membina sebuah negara yang baru itu Negara memerlukan seseorang yang berkemampuan unutk membina ‘architecture’ politik yang baru untuk menamatkan budaya menghina dan memaki hamun pihak-pihak yang berlawanan.

Segala kata-kata kasar dan kesat yang keluar dari mereka yang baru sahaja mengenal politik atau hendak berjinak dengan politik. Kadangkala mereka menggunakan kata-kata yang begitu kesat seolah-olah mereka tidak pernah mendapat pemdidikan dari ibu bapa mereka.

Apabila berlainan pendapat maka mereka akan menjadi kasar dan biadap walaupun orang yang berbeza pendapat itu bercakap dengan beradab serta bersopan. Kalau dahulu saya mempunyai pandangan rendah ini terhadap penyokong BN, selepas pilihanraya apabila pihak yang telah tewas dan kecewa pula mengambil tempat mereka yang biadab sebelumnya itu.

Rupa-rupanya serupa sahaja sikap mereka dari kedua-dua pihak yang berbalah ini. Bagaimanalah mereka ini mampu mendapat sokongan ramai untuk membuat pembaharuan seperti yang mereka laungkan itu?

Saya teringat kepada satu perbilangan baru yang selalu kita dengar sekarang ini, iaitu ‘lebih sudu dari kuah’. Memaki hamun menjadi budaya mereka dengan menggunakan samaran ‘anonymous’.

Nasib baik juga pihak ini tidak menang dalam PRU yang lepas. Kalaulah mereka memenangi pilihanraya yang lalu, tidak dapat kita bayangkan betapa sombong dan angkuhnya sikap mereka itu sekarang ini.

Itulah sebabnya saya katakan ketentuan Tuhan itu adalah yang terbaik bukan sahaja untuk pihak yang mempertahankan kedudukan tetapi juga pihak yang melawan tetapi mendapat kekalahan itu.

Di sebalik ketentuan itu sudah semestinya ada hikmah yang tidak ternilai bagi semua pihak.

16 June 2013

PRU13: Apa yang diputuskan Tuhan itu adalah terbaik bagi kita

Dalam pilihanraya atau sesuatu pertandingan, ‘post-mortem’ lazim dilakukan selepas pertandingan atau peperangan khususnya pada pihak yang kalah. ‘Post-mortem’ itu dilakukan kerana ingin mengetahui apa silap dan salahnya hingga menyebabkan kekalahan dan kenapa pihak lawan menang mengatasi kita. Ia bermatlamatkan untuk membetulkan kesilapan yang telah mereka lakukan dan mencari jalan untuk mengatasinya dan membuat keputusan baru hasil dari ‘post-mortem’ tersebut.

Dalam sesuatu peperangan sejak dari dulu lagi, ‘post-mortem’ dilakukan dan mencari jalan untuk memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan oleh pihak mereka yang kalah. Dalam peperangan Uhud, tentera Islam telah kalah ditangan tentera musyrikin sehingga rebahnya ramai pahlawan Islam yang tersohor seperti Saidina Hamzah dan yang lain-lain di Bukit Uhud itu.

Pihak tentera Islam sendiri telah melakukan ‘post-mortem’ dan Muhammad saw telah memperbaiki keadaan dengan melakukan pembaharuan terhadap undang-undang dan syariat Islam itu. Sehingga waktu peperangan itu berlaku umat Islam masih tegar dengan minuman arak dan didapati arak itu merupakan salah satu sebab yang mengalahkan tentera Islam kerana mereka berada didalam keadaan mabuk. Semasa itu arak hanya sebagai satu minuman yang tidak digalakkan oleh Nabi saw untuk sesiapa meminumnya.

Tetapi setelah arak itu menjadi salah satu penyebab kekalahan tentera Islam semasa itu, maka arak telah diharamkan oleh Islam secara mutlak. Usahkan untuk diminum, untuk disimpan dan dipegang pun dianggap sebagai pelanggaran syariat agama kita bukan sahaja semasa peperangan malahan di setiap waktu dan zaman. Itu namanya haram mutlak.

Harta rampasan dan tamak haloba juga menjadi sebab kekalahan tentera Islam dalam peperangan Uhud itu. Tentera Islam tidak mendengar arahan Ketua Peperangan Islam iaitu Muhammad saw dengan sepenuhnya kerana pemikiran dan tumpuan ramai tentera Islam semasa itu adalah kepada harta rampasan kerana mereka tahu sesudah peperangan, selalunya pihak yang menang akan mendapat harta rampasan peperangan kerana ia merupakan harta yang halal.

Tentera Islam menjangkakan yang pihaknya akan mendapat kemenangan maka ramai diantara yang berperang semasa itu sudah menunjukkan kecenderungan untuk mendapatkan harta rampasan secara peribadi maka mereka telah hilang tumpuan terhadap peperangan dan matlamat peperangan  itu. Akhirnya Islam tewas dan ia merupakan kekalahan yang amat menjatuhkan semangat pihak Islam semasa itu.

Dalam politik ia bukanlah peperangan bersenjata atau pun peperangan terbuka. Politik adalah pertarungan ‘mental’ dan sesiapa yang berjaya memenangi hati dan pemikiran ramai, mereka lah yang akan menang. Dalam peperangan diharuskan untuk berhelah bagi kemenangan pihaknya. Berbagai-bagai cara dan kaedah berkempen dilakukan dan berbagai-bagai cara dan helah dilakukan oleh kedua-dua belah pihak untuk memenangi pilihananraya ke 13 baru-baru ini.

Keputusan telah diketahui dan pihak BN telah memenangi pertandingan perang ‘mental’ ini dan berjaya mengekalkan kedudukan sebagai kerajaan tetapi dalam kemenangan yang jauh lebih rendah dari pilihanraya atau pertandingan ‘mental’ yang sebelumnya. Pihak Pakatan Rakyat pula memenangi undi popular lebih dari apa yang diperolehi oleh pihak BN. Pendeknya kedua-dua pihak memenangi pilihanraya ini dan jika di pandang dari sudut kekalahan pula, kedua-dua pihak pun telah mengalami kekalahan.

Kedua-dua belah pihak telah melakukan ‘post-mortem’ masing-masing dan hasil ‘post-mortem’ tersebut berbeza diantara pandangan masing-masing. Pihak BN menyalahkan kaum Cina sebagai penyumbang kekalahan dengan ‘tsunami Cina’ nya, dan pihak PR pula menyalahkan pihak lawan dengan isu penipuan yang besar yang dilakukan oleh pihak BN dalam pilihanraya itu.

Apa pun, tuduhan-tuduhan diantara parti-parti yang berlawanan ini yang terpenting kita memahaminya ialah, keputusannya tetap berada ditangan Tuhan yang Maha Kuasa itu. Apa yang di berikan olehNya itu adalah yang terbaik bagi seseorang atau bagi satu-satu kumpulan dan pihak itu. Apa yang kita kehendaki dengan ghairah itu tidak semestinya baik bagi kita. Yang mengetahui yang terbaik bagi kita adalah yang Maha Esa itu jua.

Tetapi jika kita pandang dan kaji dari apa yang berlaku dalam peperangan Uhud itu, ia melambangkan satu hakikat. Walau sesuci mana pun tujuan kita berperang jika kesucian matlamat itu di selitkan dengan niat yang kotor ia tetap tidak akan mendapat kejayaan. Kadangkala kita sendiri tidak tahu niat kotor kita tetapi Tuhan lebih tahu apa yang ada di dalam benak dan naluri kita itu.

Tidak dapat dan tidak boleh kita nafikan peperangan Uhud itu adalah untuk Islam. Tetapi ia tercemar dengan niat dan kepentingan peribadi untuk mendapatkan harta rampasan untuk kepentingan peribadi mereka yang sedang berperang itu. Tuhan tetap tidak meredhakannya dan tetap memberikan kekalahan kepada pihak ini, walaupun ia adalah dari pihak Islam sendiri. Maka semua pihak wajar melakukan suluhan kepada diri yang sebenar-benar diri kita, insyallah kita akan tahu jawapannya.

Jika kita fikir-fikirkan sedalam-dalamnya, keputusan pilihanraya ke 13 baru-baru ini adalah yang terbaik untuk rakyat kita kerana ia pasti dan wajib datangnya dari Allah swt. Mungkin ada pihak yang berani menafikannya, tetapi saya mengakui saya tidak berani menolak hakikat ini.

Penyelesaiannya hanya boleh difahami oleh sesiapa yang tidak lepas dari bertawajjuh dan bertawassul kepada Rasul dan Tuhannya. Tidak pula saya tahu samada ramai yang lebih tahu dari apa yang dalam pengetahuan Tuhan itu.

Itu sebabnya kedengaran ramai juga yang memaki-maki keputusan Tuhan yang Maha Esa ini.

Wallahualam.

15 June 2013

Parang bengkok gunanya hanya untuk menebas semak samun sahaja

Salah satu perkara yang saya pernah sebut lama dahulu ialah kemungkinan dan politik ini ada berbagai-bagai. Musuh hari ini akan menjadi kawan besok hari. Berkawan hari ini akan menjadi musuh pula beberapa hari selepas itu.

Tiada sahabat dan musuh yang kekal dalam politik ini nampaknya. Itu sebabnya saya selalu mengingatkan yang muda-muda pada hari ini jangan menjadi manusia keliru dan terjebak dengan keadaan dan menjadi mangsa kepada permainan manusia pemimpin yang hanya gilakan kuasa tanpa had.

Suatu ketika dahulu saya memberikan pandangan yang pergaduhan diantara kita dibawah ini adalah di sebabkan keadaan berpuak-puak dalam negara dalam hal politik hasil dari tindakan pemimpin yang masing-masing mempunyai pengikut.

Masing-masing yang bermusuh sanggup berjabat dan bersalaman semata-mata kerana kepentingan mereka sahaja. Pengikut yang berdemonstrasi serta bagi pihak yang mereka sokong itu hanyalah menjadi umpan dan dimangsakan oleh pimpinan yang membawa mereka berdemonstrasi itu.

Saya menyebut isu yang di siarkan oleh Malaysian Insider hari ini yang Najib dan Anwar berkemungkinan besar sedang berjumpa dan membuat pakatan diantara mereka dalam hal politik pada hari ini di Jakarta. Kebarangkalian perjumpaan ini tidak boleh di nafikan boleh berlaku.

Dalam masa rakyat berbalah diantara pihak mereka ini, tidak ada siapa yang mengetahui Anwar dan Najib pernah berjumpa dan membuat pakatan dihadapan Jusuf Kala dari Indonesia. Hanya setelah Anwar dikatakan memungkiri janji-janji dengan Najib itu, maka barulah rakyat mengetahuinya setelah rahsia perjumpaan itu dibocorkan oleh Jusuf Kala sendiri.

Tidak pula salah perjumpaan itu. Tetapi persoalannya bagaimana dengan penyokong yang berdemonstrasi dan berperang sesama sendiri mempertahankan pemimpin dan puak masing-masing itu? Semasa mereka berperang ini, ramai yang telah tercedera dan ramai juga yang telah berpatah arang sesama sendiri

Tetapi Najib dan Anwar sedang cuba untuk bercumbu-cumbuan diantara satu dengan lain di Jakarta atau dimana-mana. Dibawah ini rakyat biasa yang tidak tahu apa-apa berperang dan berpatah arang untuk mempertahankan pemimpin masing-masing. Maka keluarlah isu SPR tidak adil, penipuan pilihanraya dan berbagai-bagai isu lain sebagai isu untuk kepentingan pemimpin mereka.

Orang ramai dan penyokong-penyokong dibawah ini hanya diperguna seperti parang bengkok untuk menebas semak samun sahaja. Apabila semak samun itu sudah dibersihkan maka parang-parang bengkok ini hanya disimpan didalam bilik setor sahaja.

Apabila diperlukan lagi untuk menebas dan menebang semak samun yang lain pula maka parang-parang bengkok ini akan diasah dan ditajamkan kembali untuk dihayun kesana kemari untuk menebang  menebas semak samun yang ada dihadapan pemimpin mereka sekali lagi.

Itu sahajalah nilai penyokong-penyokong yang diarah ke hulu ke hilir, ke darat dan ke baruh,  untuk berdemonstrasi dengan berbagai-bagai nama seperti 'blackout 505' dan sebagainya. Kumpulan ini garang-garang dan terpaksa berbelanja membeli baju dan seluar hitam dan berbagai-bagai lagi yang hitam untuk persediaan berdemonstrasi.

Begitulah nasib parang-parang bengkok ini. Hanya dipergunakan untuk menebas dan menebang sahaja. Apabila ‘settle’ masalah pemimpin-pemimpin mereka ini, parang-parang bengkok ini akan di simpan didalam setor atau kadangkala di biarkannya berkarat ditepi pagar di belakang rumah sahaja.

Mereka bukan berbincang tentang masalah negara, mereka berbincang bagaimana untuk berkompromi tentang isu jawatan Perdana Menteri sahaja. Kedua-duanya 'desperate'. Seorang 'desperate' hendak melindungi jawatannya, seorang lagi 'desperate' hendak mengambil alih jawatan yang seorang lagi.

Mereka yang dijadikan parang bengkok tadi akhirnya akan berdiam diri dan malu dengan apa yang telah mereka lakukan. Masa itulah baru mereka sedar yang kata-kata nasihat dari pihak yang mereka abaikan itu ternyata benar. Tetapi semuanya itu sudah terlambat, kerana kata-kata sudah banyak terlanjur dan budi sudah banyak kedapatan.

14 June 2013

Laungan 'multiracialism' hanya retorik kosong semata-mata

Retorik politik adalah biasa dan kalau kita sedar ia bertambah nyata dan mekar dalam situasi sekarang ini. Apabila situasi keseimbangan kekuatan sokongan diantara parti-parti kerajaan dan pembangkang segala retorik yang diungkapan dengan gah dahulu mungkin tidak terpakai lagi. Janji-janji untuk perpaduan kaum yang dilaungkan akhirnya tidak kemana juga. Ciri-ciri dan sentimen perkauman masih menjadi isu sebenarnya.

Omong-omong setengah parti yang memperjuangkan semua kaum tidak juga wujud. Ia merupakan omong-omong semasa pilihanraya sahaja. Selepas pilihanraya rakyat baru sedar retorik kosong itu adalah perkara yang selalu berlaku sebelum ini. Dalam pada beretorik untuk berjuang bagi semua kaum, ketua sebuah parti di sebuah negeri berkata seminggu dua sebelum PRU ke 13, bahawa di negerinya tidak akan ada calon Melayu Islam.

Pengumuman itu tidak salah, ‘content’ pengumuman tidak melambangkan parti untuk semua kaum dan agama seperti yang dilaung-laungkannya selama ini. Jelas parti itu telah berbohong. Persoalannya jika benar pun tidak ada calon Melayu dan Islam mewakili partinya, apa perlu menyebut Melayu dan Islam dalam kenyataannya itu? Bukankah parti itu parti memperjuangkan Malaysian Malaysia?

Bukankah selama ini berucap dengan gah mengatakan parti itu bukan parti Cina dan sebagainya? Kalau benar parti itu parti semua bangsa tidak perlu menyebut tiada orang Melayu dan Islam sebagai calon dan sebagainya. Hanya sebut di NS calonnya adalah seperti berikut….dan sebutkan nama mereka sudahlah tanpa memberikan kategori yang mereka itu Cina atau Melayu dan Islam.

Justeru perkauman tetap menjadi isu. Jika isu perkauman ini tidak juga dapat di selesaikan dan menjadi praktis kepada mana-mana pihak maka tidak salah jika bangsa-bangsa di negara ini memberikan sokongan kepada parti yang dikerumuni oleh bangsa masing-masing.

Hasil dari permainan isu perkauman ini, maka jangan disalahkan jika berlaku syak wasangka diantara kaum dan politik boleh mengubah banyak perkara dalam negara ini. Jika ada parti yang menang besar dalam mana-mana negeri mengikut saluran perkauman, maka ia akan menjadi kecil jika parti-parti dari bangsa lain berkumpul dan bersatu untuk kepentingan bangsanya pada masa yang akan datang.

Contohnya di Selangor, jika ada penyatuan diantara UMNO dan PAS dan beberapa orang wakil Melayu dalam PKR maka kerajaan Selangor akan berubah wajah. Mungkin seorang MB bernama Khalid itu akan menjadi Ketua Pembangkang memimpin DAP yang bakal menjadi pembangkang jika perkara ini berlaku. Kerajaan Selangor mungkin dipimpin oleh Dr Rani atau Azmin Ali jika Azmin bersama-sama mengumpulkan Melayu untuk mempertahankan bangsanya di masa depan.

PAS dan Azmin boleh memberikan sebab yang sebenarnya retorik untuk semua kaum dan agama yang di sebut dalam pilihanraya lalu hanya lah permainan lidah yang tidak bertulang itu. DAP masih dilihat sebagai parti Cina kerana tidak ada seorang pun wakilnya dikalangan orang Melayu dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

Saya menulis ini kerana ramai sangat yang menghubungi saya samada apa yang dikatakan oleh DAP selama ini itu betul-betul jujur atau pun hanya permainan lidah politik sahaja? Mereka beranggapan jika DAP sesungguhnya parti untuk orang Cina dan menempelkan beberapa Melayu sebagai ‘window dressers’ sahaja.

Maka sudah sampai masanya orang Melayu membuat persediaan untuk mempertahankan maruah mereka dalam semua Dewan Undangan Negeri dalam negara ini. Kumpulan ini berpendapat jika DAP masih dengan bau Cinanya maka lebih baik pertahankan MCA sahaja. Setidak-tidaknya MCA telah lama bekerjasama diantara berbagai bangsa sejak mereka dahulu dan jasanya dirasai oleh semua bangsa apabila MCA adalah parti yang bersama-sama menyempurnakan kemerdekaan negara dahulu.

Saya menghormati pandangan semua pihak dan kumpulan seperti inilah yang bertanggungjawab memusnahkan harapan Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri bersama Pakatan Rakyat yang sebelum pilihanraya lalu begitu ‘confident’ untuk mengambil alih Putrajaya.

Mereka ini adalah dari kumpulan yang besar yang kita kenal sebagai kumpulan diatas pagar. Kita mesti ingat kumpulan diatas pagar ini merupakan kumpulan yang lebih berfikir dari bercakap kerana mereka bukannya ada kepentingan untuk menjadi Perdana Menteri atau Menteri Besar dan sebagainya. Kumpulan ini kebanyakannya adalah dari kaum Melayu dan mempunyai pengaruh besar sebagai penentu dalam mana-mana pilihanraya.

Jika pandangan ini diterima baik oleh wakil-wakil Dewan Undangan Negeri di Selangor, maka kemungkinan kerjasama Melayu Islam dalam negeri itu akan mampu merubah segala-galanya dalam kerajaan Selangor. Bagi pendapat kumpulan ini jika DAP telah tidak menunaikan komitmen mereka untuk perjuangan semua bangsa maka tidak salah sebagai langkah mempertahankan kewibawaan melayu dan bangsa lain itu diambil.

Ramai dikalangan rakyat sudah jemu dikelirukan dengan strategi yang halus untuk mendapatkan sokongan orang Melayu ini tanpa perlu memberikan 'reciprocal' terhadap sokongan Melayu itu.

Bagi saya jika tidak ada pihak yang benar-benar serius untuk memperjuangkan isu semua bangsa ini maka elok kita bermain politik dengan isu bangsa terus-terusan. Senang begitu. Tidak payah memaparkan ‘hypocrisy’ buruk itu kerana akhirnya rakyat akan dapat menangkap sifat kita itu.

Tidak salah rasanya jika saya nyatakan dalam posting saya semalam yang orang Melayu merupakan bangsa penentu politik negara ini. Baik buruknya orang Melayu yang akan menungkah arus jika ada arus yang cuba untuk mengeliru dan mempermainkan bangsa mereka.

Kita cadangkan diforumkan dan diseminarkan isu ini selalu, dan saya akan dengan rela hati beserta dengan sesiapa yang mahu melakukannya. Kita bincang hal ini secara terbuka. Jangan berselindung lagi.

Kita perlu mengambil sikap jelas. Hendak meneruskan perjuangan berbilang kaum, atau hanya perjuangkan isu kaum-kaum yang tertentu sahaja. Keputusan perlu ‘decisive’ kali ini. Jangan buat silap lagi.