28 February 2014

Seperti UMNO, PKR juga wujud 'rent seekers' yang ganas

Tan Sri Khalid Ibrahim memeterikan MOU dengan kerajaan pusat tanpa memberitahu pimpinan PKR untuk mengelakkan ‘rent seekers’ dari mempengaruhi perjanjian dan urusan untuk menyelesaikan isu air terawat diantara kerajaan Persekutuan dan Negeri. Kata Khalid beberapa orang pimpinan PR telah menemukan beliau dengan beberapa orang untuk menentukan nilai dan harga aset air di Selangor.

Khalid berkata beliau merupakan ‘investment banker’ yang berpengalaman dan beliau tidak mahu ‘principal’ yang penting tidak di ikuti iaitu untuk menilai aset dahulu baru ditetapkan harganya. Tetapi di sebaliknya mereka (pimpinan PKR) mahukan ditentukan harganya dengan tinggi dahulu baru di buat penilaian mengikut harga yang telah ditetapkan itu.

Menentukan harga dan tentukan nilainya mengikut harga yang dipersetujui itu, merupakan perkara yang sangat selalu kita dengar dan itu merupakan perkara yang selalu dilakukan oleh projek-projek besar dalam kerajaan UMNO. Itu yang menyumbang kepada korupsi yang begitu menular dalam BN. Itu pun yang rakyat marah dan memilih untuk memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada PKR dalam pilihanraya dahulu di Selangor.

Tetapi apabila PKR mentadbir, perkara yang sama nampaknya berlaku juga dan itu yang membuatkan Khalid tidak berpuas hati dan melaksanakan apa yang telah terurus dengan kerajaan Persekutuan dengan cepat tanpa memberi tahu parti terlebih dahulu. Zaid Ibrahim, bakal calon bebas, dalam PRK Kajang telah menyebut isu Anwar mahu menjadi MB Selangor untuk mempengaruhi ‘deal air’ yang merupakan satu ‘exercise’ yang begitu besar itu.

Dalam isu ini saya lebih cenderung untuk merasa yakin terhadap kenyataan beliau (Zaid) yang Anwar juga tidak terlepas dari budaya dalam UMNO itu. Maka tidak salah jika saya katakan beberapa kali dalam blog ini yang Anwar merupakan seorang yang mempunyai DNA yang menebal dalam dirinya. Dalam sejarah Anwar, beliau tidak pernah tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh UMNO semasa beliau berada di dalamnya, malahan beliau merupakan ‘proponent’ terbesar dalam pembentukan budaya ‘rent seeking’ ini.

Tetapi malangnya beliau dipecat dan baru lah beliau bercakap dengan nada yang nyaring yang UMNO di saratkan dengan budaya ‘rent seeking’ yang susah untuk dikawal. Tetapi kecenderungan budaya yang sama berlaku dalam PKR, juga nampaknya sangat besar dan ia diakui oleh Menteri Besar dari parti itu sendiri. Saya yakin dengan kata-kata TS Khalid ini kerana beliau merupakan ‘boss’ saya agak banyak tahun  juga, semasa saya berkhidmat dengan sebuah agensi pelaburan kerajaan yang besar dalam mana TS Khalid adalah ketuanya. Budaya kerja dan sikapnya mengenai tindakan yang ‘professional’ tidak pernah diabaikan beliau.

Dalam perjanjian yang ditanda tangani tiga hari yang lepas, Kerajaan Selangor akan mengambil alih semua aset air di Selangor yang dipegang oleh Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Syarikat pengeluar air Selangor (Splash) dan Konsortium ABASS (ABASS) dengan harga RM 9.6 billion.

Bagi kepentingan pihak kerajaan Persekutuan pula, Kerajaan negeri Selangor akan mengeluarkan ‘development order’ dalam tempoh 30 hari untuk pembinaan ‘Langat 2 water treatment plant (Langat 2) (package 2A) serta distribution system (LRAL2)’. Dengan termetrinya MOU ini maka selesailah perbezaan diantara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri yang sudah berlarutan selama enam tahun sehingga hari ini.

PKR akan memanggil Khalid Ibrahim untuk memberikan penerangan terperinci tentang perjanjian yang tidak di maklumkan oleh Khalid kepada PKR itu. Keadaan ini sudah pasti menjejaskan imej PKR yang tidak henti-henti melaungkan isu transperansi dan isu-isu keterbukaan tetapi kenyataan Khalid itu menampakkan dengan jelas yang PKR juga mempunyai dan mengalami budaya yang sama seperti yang ada di dalam UMNO itu.

Kedudukan PKR sebagai parti reformis tercalar kerana jika ada budaya-budaya yag sama di dalam PKR seperti yag ada dalam UMNO itu. Maka imej sebagai parti reformis itu tidak membawa apa-apa keuntungan kepada rakyat yang selama ini mengharapkan PKR untuk membetulkan keadaan buruk itu.

Imej reformis itu adalah kosong semata-mata. Samada DAP dan PKR boleh memulihkan kembali imej terbalik PKR itu, terpulang kepada keadaan. Pandangan sepintas lalu imej ini akan menusuk kedalam pemikiran dan jiwa rakyat yang sentiasa dikelirukan oleh pemimpin-pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab itu.

Laungan PKR selama ini sudah menunjukkan bukti yang ia hanyalah indah khabar dari rupa. Tiada sisik perjuangan seperti yang dilaungkan mereka.

Kita memerhatikan keadaan dengan dekat, lebih-lebih lagi sejak tindakan Anwar memaksa PRK Kajang itu dilakukan dengan tergesa-gesa itu. Mungkin benar kata-kata setengah pihak, Anwar dalam perjalanannya ke Putrajaya tidak henti-henti menyusahkan rakyat yang sedang hidup dalam keadaan tenang sekarang ini.

Tetapi pengikutnya yang fanatik tetap percaya yang beliau merupakan satu-satunya pemimpin yang layak menjadi Perdana Menteri…tidak dua , tidak tiga dan tidak ada yang lain pilihan Tuhan untuk memimpin kita. Kata mereka Anwar diturunkan kedunia ini untuk menyelesaikan semua masalah. Mungkin masalah dalaman yang sedang dihadapi oleh PKR ini, akan membawa penyelesaian kepada semua masalah yang lain pula.

Tuhan tidak menurunkan Anwar untuk menyelesaikan masalah beliau sendiri. Malah beliau, biar rakyat yang menyelesaikannya. Itu pun dengan izinNya jua. Masanya akan sampai. Itu pun dengan kehendak dan izinNya juga.

Tetapi hukum akal berkata Pakatan Rakyat akan berpecah, buka kerana DAP atau PAS tetapi oleh kerana parti tunjangnya, iaitu PKR. Telahan saya mungkin salah, tetapi itu adalah telahan yang telah difikirkan dengan panjang dan teliti. Dalil-dalil perpecahan itu semakin hari semakin terang dan jelas.

27 February 2014

Daim kritik Najib selepas kritik Anwar....sebenarnya mereka tu sama sahaja

Daim sudah terlalu jauh mengkritik Najib dan cuba menunjukkan bukti-bukti mengikut interpretasi beliau sendiri diatas segala kegagalan Najib sebagai Perdana Menteri. Sebenarnya baik Daim mahu pun Dr Mahathir, mereka tidak boleh dari segi moralnya mengkritik Najib sedemikian rupa. Yang boleh mengkritik Najib itu adalah orang lain…orang-orang seperti saya dan ramai yang lain kerana kami yang mengkritik ini tidak pernah bertanggungjawab menaikkan Najib sehingga menjadi Perdana Menteri.

Seperti Dr Mahathir, Daim juga merupakan pemimpin yang bersama Dr Mahathir menaikkan semua pemimpin yang mewarisi kepimpinan Dr  Mahathir yang mereka (Daim, Mahathir) menjadi Perana Menteri itu. Abdullah Badawi dan Najib merupakan pemimpin yang sudah diatur-atur oleh Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri semasa mereka ini semuanya sebalok dengan Mahathir dan Daim ini.

Tanpa kemahuan Dr Mahathir dan sokongan Daim semasa itu Abdullah dan Najib tidak mungkin dengan mudah menjadi Perdana Menteri. Sesungguhnya Daim dengan Dr Mahathir itu adalah sama. Mahathir yang 'terkentut-kentut', Daim pula yang 'ke tandas'. Daim itu sendiri tidak akan kemana-mana jika beliau tidak di bawa oleh Dr Mahathir untuk menggantikan Tengku Razaleigh sebagai Menteri Kewangan selepas perhimpunan agung UMNO pada tahun 1984 dahulu.

Kami masih ingat Daim telah menjadi kaya raya selepas hanya beberapa bulan sahaja menjadi Menteri Kewangan. Sebelum itu seperti ramai yang lain menghadapi terlalu banyak masalah perniagaannya. Pendeknya kekayaan beliau sekarang bermula setelah beliau menjadi Menteri Kewangan dan Bendahari Agung UMNO pada tahun 1984 dahulu. Ramai yang tidak tergulung kedalam kumpulan ‘Melayu mudah lupa’ yang di sebut oleh Dr Mahathir suatu ketika dahulu.

Untuk mengingatkan Dr Mahathir dan Daim ini, masih ramai orang melayu atau ahli-ahli UMNO (asal) dahulu tidak lupa-lupa kepada apa-apa yang Daim lakukan untuk dirinya terutamanya selepas sahaja beliau diangkat menjadi Menteri kewangan dahulu. Kita boleh singkap segala kerja yang tidak senonoh yang bertentangan dengan etika kepimpinan sebuah negara demokrsi berparlimen negara kita.

Perlantikan beliau ke dalam kabinet pada Jun 1984 dahulu adalah untuk memudahkan segala niat dan kemahuan peribadi pucuk pimpinan semasa itu mudah diperlakukan. Selagi ada pemimpin seperti Tengku Razaleigh dalam kabinet beliau (Mahathir) selagi itulah beliau susah untuk melakukan sesuka hati beliau dalam kabinet itu.

Maka menggantikan TR dengan Daim itu merupakan tindakan yang menambah ‘expediency’ untuk beliau melakukan apa yang beliau mahukan dan melanggar etika kepimpinan sebuah kerajaan demokrasi itu. Malahan perlantikan beliau sebagai Menteri Kewangan melalui jalan Dewan Negara (senator ship) itu sendiri sudah melanggar etika jika dipandang dari sudut amalan sebuah negara berdemokrasi yang maju. Dalam banyak negara maju perlantikan Menteri Kewangan itu selalunya adalah dari ‘elected representative’.

Contohnya (the exchequer) atau Menteri yang bertanggungjawab tentang kewangan di Britain selalunya dilantik dari kalangan ‘elected representatives’ dan tidak dilantik mengikut kemahuan Perdana Menteri sahaja. Hanya di negara-negara dunia ketiga sahaja mungkin terdapat seorang Menteri Kewangan itu masuk kabinet melalui ‘pintu belakang’. Tetapi Daim yang belum pernah dipilih oleh rakyat semasa itu dilantik oleh Perdana Menteri Mahathir diatas kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Negara yang di lantik.

Daim telah menyelesaikan masalah beliau sebaik sahaja menjadi Menteri Kewangan dan dalam jangka masa yang pendek sahaja Daim terkenal sebagai  'the economic czar' oleh mereka yang menjadi kroni kepada beliau sedangkan beliau menjadi seorang yang begitu tinggi kehartawanannya hanya sesudah menjadi Menteri Kewangan. Beliau sendiri tahu hal ini.

Hanya beliau menggunakan ‘ignorance’ pihak ramai itu sahaja yang membuatkan beliau sebagai seorang yang kononnya sangat ber ‘consequence’ dalam politik dan kerajaan negara ini. Hanya semasa itu mereka yang sedang mengelilingi Daim itu masih ‘kencing bercabang’ dan kurang arif untuk membuat penelitian terhadap pemimpin yang dianggap ‘czar’ oleh setengah pihak ini.

Hanya sekarang kumpulan Daim dan Mahathir ini sedang mencari pilihan yang baru untuk memerintah negara dan jika boleh yang terpilih nanti biarlah dikalangan mereka yang kumpulan ini boleh genggam dan mempengaruhi kepimpinan baru itu nanti. Ini lah yang Dr Mahathir dan Daim belum mendapatnya….iaitu seorang Perdana Menteri yang boleh mengikut kata-kata dan kehendak mereka sekarang ini.

Semasa Anwar berkuasa, dan masih bersama Dr Mahathir, Daim sering ke rumah Anwar dan pernah menulis betapa hebatnya Anwar dan Anwar sahajalah yang boleh menjadi pemimpin negara walaupun pada kami yang memahami keadaan sebenarnya kami tahu yang Anwar itu dipilih atau dilantik oleh Dr Mahathir untuk kepentingan mereka sendiri.

Sekarang Anwar sudah menunjukkan siapa beliau sebenarnya maka Anwar menjadi sasaran mereka dan mengalih pula sokongan untuk Najib dengan membuang Pak Lah yang terbukti seorang yang ‘degil’ dan tidak mahu mempedulikan kehendak kumpulan ini. Sekarang Najib pula seorang yang ‘degil’ dan tibalah masa dan giliran Najib pula untuk menerima padah dari bersandar kepada kumpulan ini untuk menaiki takhta kepimpinan negara.

Justeru sekarang ini apa yang sedang berlaku dan kekalutan politik sekarang ini semata-mata kerana kepentingan mereka yang besar-besar ini sahaja. Mereka adalah dari acuan yang sama seperti yang disebut oleh blog ini acapkali. Mahathir, Daim, Anwar, Najib dan Muhyiddin serta pucuk pimpinan beberapa orang pemimpin dalam kerajaan yang tinggi itu sama sahaja.

Hanya kita yang dibawah-bawah ini cuba hendak bermain politik dan sanggup bergaduh sesama sendiri dengan ‘name calling’ yang buruk seperti mem'babi'kan sesama sendiri dan banyak lagi istilah-istilah yang terhambur dari mulut penggiat-penggiat yang baru hendak masuk politik sekarang ini.

Akhirnya mereka sesama mereka juga yang untung, baik dari pihak Anwar misalnya mahu pun dari pihak yang bertentangan. Pergaduhan diantara mereka tidak kena mengena dengan perjuangan untuk rakyat. Kata-kata memperjuangkan untuk rakyat itu hanyalah lagu yang dinyanyikan oleh 'lidah yang tidak bertulang' mereka sahaja.

Masing-masing pemimpin besar-besar sekarang yang sedang sibuk itu, hanya menggunakan rakyat sebagai kubu pertahanan masing-masing, kerana rakyat rela diperlakukan begitu.

Buat sekarang ini rakyat Kajang sedang dibawa kekancah perebutan harta rampasan yang ada di Putrajaya itu. Tidak kurang dan tidak lebih dari itu. Dalam perebutan itu adalah dikalangan pengikut masing-masing mendapat habuan atau berharap untuk habuan, jika kumpulan masing-masing berjaya mendapatkan harta rampasan itu.

26 February 2014

Apabila ketagih dengan kuasa semua janji di lupakan

(sambungan)

Pada sekitar 1985/86 kedengaran rakyat dan ahli-ahli UMNO sendiri tidak begitu selesa dengan perkembangan baru dalam kerajaan dan negara kerana budaya meninggalkan perjuangan asal UMNO itu semakin jelas. Ciri-ciri pemimpin menumpukan untuk mengumpulkan harta kekayaan sudah menjadi semakin nyata. DEB yang sebelum itu mendapat sokongan berbilang kaum sudah mula diabaikan oleh pimpinan semasa itu dan kerajaan mula menumpukan hanya kepada pembangunan fisikal untuk menjadi bahan tayangan dan ‘testimonial’ kepimpinan Mahathir yang baru berusia 6 tahun semasa itu.

Pimpinan mengambil pembangunan fisikal sebagai satu-satunya ciri pembangunan negara tanpa menghiraukan pembangunan nilai moral dan kemasyarakatan yang maju. Secara cepat masyarakat telah dibentuk sebagai masyarakat ‘materialistic’ dan menganggap kemajuan ekonomi seseorang itu sebagai petanda arah kemajuan negara. Pimpinan berbangga dengan lapangan terbang yang cantik dan besar, jambatan yang terpanjang dan bangunan yang tinggi-tinggi serta tiang bendera yang tertinggi dalam dunia sebagai tanda kemajuan. Suatu ketika dahulu dalam kawasan angkasapuri ada sebuah gong yang dibanggakan sebagai tanda kemajuan negara kerana gong itu merupakan gong yang terbesar di dunia.

Segala-galanya mesti di lakukan dengan tergesa-gesa untuk melihat negara berkembang kemajuan tanpa diperlakukan ‘planning’ yang difikirkan dengan cermat sebelum melaksanakan projek pembangunan. Dalam pembangunan fisikal negara yang tergesa-gesa itu banyak elemen penting untuk rakyat diabaikan dan dengan deras sikap ‘materialistic’ rakyat wujud dengan jelas sehinggakan ada yang bertanya, ‘berapa harga yang terpaksa ditanggung semata-mata kerana pembangunan yang begitu cepat’ tanpa sebarang perancangan yang teliti untuk membawa pembangunan negara yang seimbang diantara pembangunan fisikal, material dan sosial rakyat.

Maka perasaan dan keresahan rakyat terzahir dengan tindakan banyak bahagian UMNO mencadangkan supaya Mahathir diketepikan untuk menjaga masa depan negara dan rakyat. Sebanyak 38 bahagian UMNO telah mencadangkan T Razaleigh Hamzah untuk menyumbang kepada kepimpinan negara dengan meminta beliau bertanding dan menyaingi Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri negara ini. Hasilnya Mahathir berjaya mempertahankan kerusi Presiden itu dengan majoriti 43 undi sahaja…. satu keputusan yang sangat ‘controversial’ semasa itu.

Jika kita teringat janjinya (Mahathir) semasa mengambil alih kepimpinan UMNO pada tahun 1981 sebelumnya kita beranggapan yang Mahathir akan berundur dari kepimpinan negara. Beliau telah berjanji jika ada tanda-tanda yang sebahagian dari rakyat sudah tidak menyokongnya beliau akan berundur secara terhormat. Tetapi apa yang beliau lakukan adalah sebaliknya. Semasa berkempen dalam pemilihan itu beliau berkata menang satu undi pun itu adalah kemenangan.

Beberapa hari selepas itu beliau membuat kenyataan, jika beliau kalah sekali pun beliau masih boleh menjadi PM dengan bersandar kepada sokongan di Parlimen dan berbagai-bagai alasan yang lain yang bertentangan dengan janji beliau semasa mengambil alih kepimpinan dari Hussein Onn enam tahun sebelum itu.

Jika Mahathir mengambil sikap Tun Hussein Onn dan berundur dengan kekurangan keyakinan rakyat itu, ramai berpendapat keadaan sekarang tidak akan menjadi begitu nyata. Lagi pun itu bukan janji sesiapa, tetapi janji itu adalah janji beliau sendiri untuk berundur jika ada sebahagian rakyat yang sudah tidak menggemari beliau lagi.

Tetapi beliau mengambil tindakan yang terbalik dari apa yang beliau telah janjikan. Oleh kerana beliau mahu lagi meneruskan duduk dikerusi PM itu lebih lama lagi, beliau telah menghancurkan semua pihak termasuk membakar semua institusi demokrasi dan juga membunuh partinya sendiri yang kemudiannya diarahkan kesalahan kepada pihak lain.

Ini merupakan kejadian yang tidak dapat dilupakan oleh setengah pihak yang insaf dan kebanyakan dari mereka kini berada jauh dari politik ‘gutter’ seperti ini. Politik diambil alih oleh mereka yang tidak mempunyai roh perjuangan asal lagi. Dengan keadaan begitu, ramai yang menyertai pasukan Mahathir tidak lain dari hanya untuk mendapat laba kepimpinan dan kuasa, semata-mata untuk kuasa.

Lebih baik kita berterus terang kerana itu sahaja yang boleh membikin sesiapa yang ingin membetulkan keadaan poltik itu boleh menyelesaikan masalah. Masalah akan hanya selesai jika masing-masing memahami bagaimana masalah itu timbul dan dengan itu boleh membuka kembali kekusutan yang telah tersimpul sekian lama.

Pihak-pihak yang bergaduh sekarang tidak boleh menyelesaikan kekusutan ini, bukan parti-parti politik, dan bukannya mereka yang berjaya mengumpulkan orang untuk menolak kumpulan yang lain untuk mendapatkan kuasa.

Yang mampu membina kembali politik dan negara yang aman seperti yang pernah kita alami dahulu, hanya boleh dilakukan dengan jiwa yang sabar dan luhur dan tidak mungkin oleh mereka yang berjuang diatas landasan parti-parti politik semata-mata.

Tetapi saya ulangi, keadaan buruk yang wujud hari ini adalah keadaan yang boleh membawa keadaan untuk menunjukkan perbezaan jika kita telah bersedia untuk memulakan agenda baru politik negara, dalam negara yang baru dan dalam keadaaan dan situasi yang baru.

Kita telah terlalu jauh tersasar dan marilah kita memulakan langkah untuk berbaik-baik diantara satu dengan lain sampai ketahap kita rela untuk tidak mendapat apa yang kita hajati semata-mata kerana kepentingan negara yang kita dahulukan itu.

Tidak perlu kita merancang pilihanraya kecil misalnya, semata-mata kerana kepentingan politik peribadi dan menggunakan isu yang dirancang untuk menghalalkan tindakan politik ‘gutter’ yang mengelirukan ini.

Cukup-cukuplah, berikan pemimpin yang mampu membawa kesejukan kepada negara dari memilih diantara pemimpin yang sentiasa berperang diantara satu dengan lain, memilih salah satu diantara dua pihak yang berperang seperti sekarang ini, ia tidak akan membawa apa-apa kesejukan kepada negara.

Jangan di ikutkan hati, nanti mati.

UMNO yang sudah tidak ku kenali lagi

Najib sedang menghadapi tekanan lebih hebat dari apa yang dialami oleh Abdullah Badawi semasa Abdullah masih Perdana Menteri dahulu. Semasa Dr Mahathir mundar mandir ke darat dan ke baruh membidas Abdullah, masih ramai pemimpin dan ahli UMNO yang mempertahankan Abdullah Badawi. Kumpulan Abdullah telah memberikan reaksi yang agak kuat terhadap tindakan Dr Mahathir, sehinggakan Dr Mahathir sendiri telah dimalukan oleh Abdullah. Dr Mahathir telah di gagalkan oleh perwakilan Kubang Pasu untuk beliau menjadi perwakilan ke perhimpunan agung UMNO pada tahun 2006 dahulu.

Di sebaliknya sekarang ini tidak kedengaran suara mempertahankan Najib dikalangan pimpinan UMNO selain dari sekali sekala kedengaran Ketua Pemuda Khairy membela beliau dalam beberapa isu. Sesungguhnya Najib merupakan seorang ‘orphanage leader’ yang hanya dapat pembelaan mungkin dari isterinya sahaja. Satu dua insiden kedengaran Ahli Parlimen Kota Belut, seorang Menteri baru yang bernama Rahman Dahalan yang membela Najib dengan sambil lewa sahaja.

Kalaulah keadaan ini berlaku semasa tahun tujuh puluhan dahulu, seorang Perdana Menteri yang berada dalam situasi seperti Najib ini pasti akan meletakkan jawatan jika sudah ada tanda-tanda pemimpin mereka itu tidak mendapat sokongan padu dari ahli partinya. Pemimpin itu tidak akan bertahan kerana takut partinya akan perpecah belah dan mereka rela melepaskan jawatan tertinggi mereka demi kelangsungan perpaduan diantara ahli parti dan rakyat.

Saya ingin mengingatkan insiden-insiden yang masih segar dalam ingatan saya tentang isu isu ini yang anak-anak muda sekarang mungkin menganggapnya sebagai ganjil. Walaupun ia berlaku lebih tiga puluh tahun dahulu saya tetap ingat dan menjadikan sikap yang diambil oleh pucuk pimpinan semasa itu sebagai tauladan baik yang sepatutnya di ikuti oleh pimpinan hari ini.

Tetapi ia tidak ditauladani lagi kerana nilai kepimpinan sekarang sudah jauh berbeza kerana nilai yang baik dahulu itu tidak di gilapkan oleh pucuk pimpinan yang bernafsu kuat untuk berkuasa berseorangan. Nilai kepimpinan seperti itu sudah dianggap ‘out-of- date’ kata setengah yang baru main politik, hari ini.

Tun Hussein Onn merupakan contoh yang terbaik untuk kita buat contoh dalam isu ini. Selepas sahaja beliau ditentang oleh Hj Sulaiman Palestin sebagai Presiden UMNO pada tahun 1978 dahulu, beliau terus mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan 1981 nanti. Beliau tahu walaupun beliau memenangi undi dengan majoriti yang sangat besar, beliau tahu ada sedikit dikalangan pimpinan dan ahli-ahli UMNO tidak menyokong beliau.

Beliau juga tahu yang beliau telah di sabotaj oleh Timbalannya sendiri yang tidak sabar mahu mengambil alih kepimpinan negara dari beliau. Hakikatnya penyertaan Hj Sulaiman Palestin untuk menandingi beliau adalah dari galakan ‘invisible hands’ yang mahu beliau berundur secepatnya kerana mahu mangambil alih kepimpinan negara itu. Beliau mengundurkan diri bukan kerana penolakan rakyat yang ramai tetapi oleh kerana ‘insubordinations’ yang dilakukan oleh pimpinan yang hampir dengan beliau.

Menyedari keadaan ini beliau mengambil keputusan untuk memberikan sahaja jawatannya kepada orang yang tidak sabar mahukan jawatan itu. Maka pada tahun 1981, Hussein tidak mempertahankan jawatannya dan memberikan laluan kepada Dr Mahathir secara percuma.

Pada perhimpunan itu dalam ucapan penangguhan Dr Mahathir telah mengucapkan kepada semua pihak kerana memberikan sokonagn terhadap beliau menerajui negara dan dengan nada yang jelas beliau telah meminta semua pihak memberi tahu beliau yang jika ada tanda-tanda yang menunjukkan ada yang tidak menyokong beliau lagi, supaya memberitahu beliau. Kata beliau yang beliau akan mengundurkan diri secara terhormat.

Beliau berkata demikian kerana beliau tahu yang Hussein bersara kerana kerenah beliau sendiri dan kata-kata itu tidak lebih dari mulut manis dengan janji-janji yang tidak akan terkota. Pada perhimpunan itu jugalah Dr Mahathir memulakan permainan politik 'pecah perintah' dengan berlaganya dua tokoh Tengku Razaleigh dan Musa Hitam dalam pertandingan yang amat sengit buat pertama kalinya dalam sejarah kewujudan parti UMNO itu. 

Dr Mahathir merasakan semua yang berada disekeliling beliau itu meresahkan beliau. ‘Inferiority complex’ yang menebal dalam diri beliau membuatkan beliau tidak boleh selesa dan siapa sahaja yang mempunyai kepimpinan tidak disenangi oleh Dr Mahathir. Secara sistematik mereka yang berkepimpinan hilang dari barisan kepimpinannya dan akhirnya beliau dikelilingi oleh mereka yang ada sekarang ini yang tidak pernah diperlukan pemikiran mereka oleh Mahathir.

Semasa pemerintahan Dr Mahathir semuanya tidak perlu berfikir kerana hanya beliau sahaja yang boleh berfikir. Ahli-ahli kabinetnya tidak perlu berfikir dan tugasan mereka amat mudah dan senang...hanya jadi burung balam dan bertepuk tangan jika beliau perlukan tepukan itu. Segala institusi demokrasi dikuasai oleh eksekutif dan sampai ke hari ini institusi itu belum lagi 'kebah dari sakit' hasil kerja tangan Dr Mahathir itu.

UMNO mula berpecah belah dan buat kali pertamanya rasa resah gelisah dikalangan ramai pemimpin kerajaan dari UMNO mula timbul. Dalam masa lima atau enam tahun pentadbiran beliau, sudah mula terserlah budaya pemimpin yang ingin menjadi kaya raya.

Budaya rasuah mula berputik dengan cepat melalui projek 'express' dengan penganugeraham kontrak secara runding terus yang kini sudah menjadi budaya dalam kerajaan semata-mata untuk memberikan ‘duit luar’ yang begitu besar jumlahnya tanpa memikirkan isu-isu yang berkepentingan rakyat. Inilah warisan Dr Mahathir yang paling besar kepada negara.

Budaya songsang pentadbiran kerajaan hari ini bermula dari Dr Mahathir dan ianya diwariskan kepada pentadbiran Pak Lah dan sekarang kepada Najib. Acuan ini sudah begitu 'terpahat' ke dalam sistem pentadbiran negara kita dan siapa pun dikalangan yang ada dalam MKT parti itu semuanya dari acuan itu.

(bersambung)

25 February 2014

MCA kembali kedalam kerajaan, harap ada perbezaan kali ini

MCA akan kembali ke Kabinet, itu keputusan hampir semua perwakilan di perhimpunan khas mereka tiga hari yang lepas. Janji MCA untuk tidak menyertai kabinet jika keputusan PRU yang lalu buruk, telah ditunaikan dan janji BN untuk menunggu MCA menukar keputusan MCA pimpinan Chua Soi Lek telah terkabul. Apa pun alasan banyak pengkritik terhadap keputusan MCA yang terkini itu tidak payah dipersoalkan kerana parti itu adalah komponen BN.

MCA mendapat mandat perwakilan EGMnya untuk menukar keputusan dan itu lebih ‘legitimate’ dari janji beberapa orang pemimpin akan bersara jika partinya atau matlamat mereka memenangi pilihanraya lalu di tukar tanpa meminta keputusan perwakilan partinya. Anwar Ibrahim berjanji akan bersara jika Pakatan tidak mendapat mandat menubuhkan kerajaan tetapi beliau menukar keputusan tanpa bertanya partinya.

Seburuk-buruk MCA parti itu bertanya kepada perwakilan samada untuk berada di dalam kerajaan atau mengekalkan keputusan untuk berada di luar kerajaan. Sememang MCA sepatutnya berada di dalam kerajaan untuk meneruskan khidmat mereka untuk kaumnya. Selama ini pun sebusuk-busuk kata-kata terhadap MCA, kaum Cina telah begitu maju dalam negara ini seiring dengan perjuangan MCA.

Siapa boleh kata apa pun terhadap MCA, kita mesti ingat perjuangan untuk memajukan orang Cina ketahap hari ini adalah bersama MCA dan tidak ada parti yang bermajoritikan kaum Cina setakat ini telah memajukan bangsa dan kaum Cina itu. Bolehlah kita kata MCA itu tidak relevan untuk kaum Cina dan rakyat Malaysia, tetapi belum ada rekod dalam sejarah negara parti yang telah memajukan bangsanya setakat ini.

Kolej dan Universiti Tuanku Abdul Rahman adalah perjuangan MCA. Ini isu pelajaran yang merupakan perjuangan utama bagi kaum Cina. Saya mungkin terlupa dalam sejarah negara ada parti untuk kaum Cina yang lain yang telah berperanan untuk memajukan bangsa Cina. Mungkin saya terlupa atau tersilap pandang. Tetapi sampai ke saat ini belum lagi saya terjumpa catatan sejarah yang ada sebuah parti kaum Cina yang berjuang untuk kaumnya maju terutamanya dalam bidang pelajaran dan pendidikan selain dari MCA.

Kaum Cina yang terpelajar sekarang ini adalah peranan MCA sehinggakan ramai kaum Cina pandai mengkritik parti itu sendiri. Itu pun tidak mengapa kerana negara ini adalah negara demokrasi. ‘This is a free country’.

Justeru keputusan MCA untuk kembali ke kabinet negara ini tidak perlu di persoalkan kerana itu adalah perkara yang sudah sewajarnya dilakukan. DAP pun kalau boleh disingkap hati pimpinan mereka pun bercita-cita untuk berada di dalam kerajaan. Tetapi malangnya DAP dan parti-prti komponennya belum dibenarkan oleh rakyat untuk berada dalam kerajaan sekarang ini.

Yang DAP mundar mandir berkempen sekarang ini tidak lain dari mahu merasakan nikmat berada dalam kerajaan. Mereka telah merasakan sedikit nikmat kuasa di Pulau Pinang dan kenikmatan di P Pinang itu menyebabkan mereka merasa bercita-cita untuk berada di Putrajaya pula. Niat mereka itu tidak salah kerana itu hak mereka, tetapi tidak perlulah mengkritik MCA jika parti itu mahu menyertai kembali kabinet. Kata setengah ahli DAP sendiri yang parti itu sudah merasakan kenikmatan berkuasa dan adalah ‘natural’ bagi parti itu hendak ke Putrajaya pula. Selera pemimpin MCA pun sama dengan selera pemimpin DAP. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin parti lain.

Sekarang terpulang kepada Najib yang sedang mengelabah di Putrajaya itu untuk memilih tarikh dan waktu untuk mengumumkan kemasukan MCA ke dalam kabinet. Mungkin ia memerlukan ‘cabinet reshuffle’ dan jika itu perlu ia wajar dilakukan apabila sampai waktunya yang dijangka tidak beberapa lama lagi.

Jangan dibiarkan lama sangat untuk mengambil keputusan membawa MCA kembali ke kabinet. Kita takut nanti UMNO akan merasa seronok berada dalam kabinet tanpa MCA dan menganggap MCA sudah tidak perlu lagi berada dalam kabinet kerajaan persekutuan pula. Kata orang, 'alah bisa tegal biasa'.

Sesungguhnya buat masa ini MCA sepatutnya berada dalam kabinet untuk kepentingan bangsanya. Bangsa Cina sememangnya perlu representasi dalam kabinet itu kerana mereka masih memerlukan kepimpinan dalam kerajaan itu. MCA seharusnya meneruskan tugas dan tanggungjawab mereka kepada kaum yang diperjuangkannya.

Tidak perlu melayan sentimen Chua Soi Lek itu lagi. Kali ini buktikanlah yang MCA mampu untuk membaiki kelemahan mereka semasa dalam kepimpinan Soi Lek dahulu. Tanpa Soi Lek parti itu boleh berfungsi juga. 'Kalau ayam tidak berkokok hari akan siang juga'.

Tetapi jangan lupa untuk menasihatkan ‘abang sulung’ dalam BN, UMNO yang parti itu (UMNO) sangat perlu berubah kepimpinannya. Selama ini MCA telah menjadi korban kerana mempertahankan UMNO begitu kuat sehingga MCA menjadi mangsa keadaan kepada UMNO itu. MCA telah di cop sebagai kaldai UMNO sahaja.

Bertegas sedikit terhadap rakan kongsi utama BN itu yang ia perlu melakukan perubahan secepat yang mungkin dan jika UMNO tidak mahu berubah, tolong parti itu untuk berubah.

Untuk UMNO melakukan perubahan itu adalah ‘mandatory’ jika parti itu tidak mahu menjadi bahan sejarah. Bagi MCA ‘environment’ baru dalam UMNO itu penting supaya MCA tidak dimangsakan oleh kelemahan parti itu seperi yang terjadi kepada mereka dalam beberapa pilihanraya baru-baru ini semata-mata untuk menjaga semangat setiakawan dalam BN itu.

24 February 2014

Politik hari ini, masing-masing takut kepada kebenaran

Anwar berkata, Mahathir sudah berusia 88 tahun tetapi bila mendengar namanya Mahathir merasa takut. Anwar menambah dengan bertanya kenapa Mahathir takut pada beliau? Beliau menjawab sendiri kepada pertanyaannya itu. “sebab anaknya adalah diantara 10 orang terkaya dinegara ini” Jawab Anwar sendiri.

Anwar menambah yang Daim Zainudin yang selama ini sudah lena tidur apabila terdengar berita beliau akan bertanding di Kajang, Daim bingkas bangun dan bekerja keras untuk mengalahkan beliau (Anwar) di Kajang.

Itulah diantara apa yang diperkatakan oleh Anwar dalam siri pertemuan beliau dengan pengundi Kajang. Persoalannya sekarang, benarkah Mahathir takut dengan Anwar, atau Anwar yang takut, maka terpaksa bertanding untuk menambah benteng pertahanan beliau untuk menghadapi masa depan yang tidak berkesudahan, pergaduhan diantara mereka yang sudah berusia ini. ATAU kedua-duanya sama-sama takut dengan musuh masing-masing?

Betul kah Mahathir takut? Jika benar takut, kenapa begitu? Mahathir berkata beliau adalah pemimpin terbaik negara pernah ada. Kalau sudah menjadi yang terbaik kenapa takut? Tetapi sekali fikir mungkin apa yang diperkatakan oleh Anwar itu ada kebenarannya.

Mungkin Anwar maksudkan yang Mahathir telah menggunakan kedudukan beliau untuk memperkayakan anak-anak beliau sehinggakan salah seorangnya sudah menjadi salah seorang diantara 10 orang yang terkaya dinegara ini. Saya pun berpendapat begitu.

Mahathir telah menggunakan kedudukannya untuk memperkayakan keluarganya dan menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan Mirzan Mahathir yang gagal pada 1996 dahulu.

Tetapi seperti yang diperkatakan oleh Mahathir juga betul, kerana Anwar terlibat memberikan wang rakyat kepada Mirzan kerana kedudukan beliau dalam kabinet dahulu adalah kedudukan yang boleh menahan atau mengelakkan dari tindakan Mahathir memberikan wang rakyat kepada anaknya itu..

Sebagai ahli kepada Jemaah Kabinet semasa itu, adalah bersama-sama bertanggungjawab dengan isu itu. Malahan bukan sahaja Anwar yang bersalah kerana bersekongkol dengan tindakan buruk itu, tetapi seluruh ahli Kabinet semasa itu. Itulah apa yang dikatakan ‘responsibility dan accountability’ seseorang ahli Kabinet itu.

Dalam isu ini saya berpendapat Zaid Ibrahim lebih ber ‘accountability’ dari Anwar, kerana apabila kerajaan menahan seorang ahli media di bawah ISA dahulu beliau meletakkan jawatan dan meninggalkan kabinet kerana tidak bersetuju dengan keputusan kabinet itu. Zaid tidak mahu bersama bertanggungjawab terhadap keputusan yang beliau (Zaid) anggap sebagai tidak baik itu.

Di situ Zaid Ibrahim telah menunjukkan kredibiliti sebagai  saorang  pemimpin yang tidak sanggup dilakukan oleh Anwar semasa berada dalam kabinet Dr Mahathir. Anwar merelakan wang rakyat digunakan oleh salah seorang ahli kabinet yang beliau berada bersamanya.

Saya menyebut ini kerana Anwar berkata yang Dr Mahathir amat takut kepada beliau. Begitu juga Daim.

Hakikatnya bukan sahaja Dr Mahathir dan Daim yang takut kepada Anwar malahan ramai yang lain sangat takut dengan tindakan Anwar ini kerana ia boleh menghancurkan ‘fabric’ politik negara dengan melakukan apa sahaja yang beliau suka asalkan sahaja beliau berada dalam ‘parameter’ kuasa walaupun sedikit.

Ramai juga yang takut jika Anwar mendapat kuasa, keadaan tidak akan berubah juga malahan lebih teruk lagi keadaannya. Jika keadaan bertambah buruk, jika Anwar mendapat kuasa ia merupakan ‘misadventure’ politik rakyat yang amat mahal harganya. Rakyat takut jika Anwar berkuasa, ia akan menghasilkan apa yang dirasakan oleh rakyat semasa berdoa untuk kedatangan Jepun ke negara kita untuk menjajah dahulu dengan harapan harga barangan akan lebih murah berbanding dengan pentadbiran British.

Akhirnya barangan betul-betul murah kerana rakyat Malaya semasa itu hanya makan ubi kayu sampai banyak yang bengkak kaki kerana makan rebus ubi yang terlalu banyak.

Kita tidak boleh memberikan keyakinan kepada pelakon politik kerana risikonya amat tinggi. P Ramlee, dalam filem-filemnya banyak kali berlakon sebagai seorang yang kaya raya dan ramai yang termakan dengan lakonan beliau yang beliau itu sebetulnya seorang yang kaya. Tetapi sebenarnya P Ramlee hanyalah seorang hamba seni dan beliau adalah seorang biasa yang boleh dianggap miskin.

Lakonan Anwar sebagai seorang pemimpin besar dunia telah banyak mempengaruhi orang ramai dan ada yang beranggapan beliau adalah seorang yang sangat hebat, tetapi semua akan tahu yang semua lakonannya itu akan berakhir dan orang ramai akan tahu setakat mana kehebatannya suatu ketika nanti.

Jika beliau menganggap Dr Mahathir takut kepada beliau, kita baru sahaja mendengar yang Zaid Ibrahim pun beranggapan yang Anwar takut kepada beliau kerana menolak jemputan beliau (Zaid) untuk berbahas. Sesungguhnya masing-masing ada takut dengan sesaorang atau kumpulan dalam politik yang tidak menentu ini.

Politik hari ini kita boleh merumuskan yang semua pihak ‘takut kebenaran tetapi berani kepada kesalahan’. Sekarang tidak ada dikalangan yang menjadi perhiasan media setiap hari itu ‘berani kerana benar dan takut kerana salah’. Masing-masing takut kepada kebenaran tentang kesalahan masing-masing

Yang ramai adalah mereka yang takut kepada yang benar dan berani kepada yang salah…’you scratch my back, I scratch yours’.

Cari pemimpin yang boleh menukar acuan kepimpinan dahulu, baru boleh berubah

Saya ingin menyambung apa yang telah saya tulis dalam posting yang lepas (semalam). Saya telah menyebut tentang masalah yag akan kita hadapi jika keadaan sekarang masih berterusan, dalam mana jika BN kekal ia akan kekal sebagai kerajaan yang sangat lemah dengan barisan pimpinan yang terlemah dalam sejarah kerajaan kita. Jika Pakatan Rakyat  mendapat mandat (yang saya jangkakan susah untuk diperolehi), ia juga akan menjadi kerajaan yang lemah dan akan merudum dalam jangka masa yang singkat sahaja.

Pendeknya pihak mana sekali pun yang akan menang jika pilihanraya umum diadakan sekarang ini ia akan merupakan kemenangan yang tipis dan tidak akan mampu untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dan kuat.

Bagi BN, mereka tidak akan terjumpa formula dan penyelesaian yang boleh memberikan kekuatan kepada ‘coalition’ itu kerana pimpinan yang sedang menghadapi krisis keyakinan yang paling rendah dalam sejarah kewujudannya.

Saya selalu menyebut tentang acuan kepimpinan BN khususnya UMNO sekarang ini. Bagi UMNO sekarang ini bukan lagi masalah menukar pemimpin dan barisan kepimpinannya. Sekarang ini ia adalah masalah menukar acuannya. Selepas Dr Mahathir membentuk acuan kepimpinan selepas kepimpinan beliau, siapa sahaja dikalangan kepimpinan dalam Majlis Tertinggi dan kabinet negara mereka adalah dari acuan yang sama.

Acuan ini membina budaya, sikap, nilai serta mentaliti kepimpinan yang sama. Saya dari dulu lagi telah menyatakan dalam tulisan saya dengan jelas yang jika sesiapa yang menggantikan Pak Lah mengikut kaedah yang lazim dikalangan kepimpinan UMNO yang tertinggi itu, keadaannya akan sama malah berkemungkinan lebih teruk lagi. Najib yang diharapkan boleh memperbaiki kelemahan Pak Lah telah mengecewakan ramai kerana beliau lebih lemah kepimpinan dari Pak Lah.

Malahan sekarang ini semakin nyata yang Pak Lah adalah lebih baik dari Najib yang sedang diusahakan oleh setengah pihak dalam UMNO untuk menyingkirkan beliau sekarang. Tetapi jika Najib digantikan oleh Muhyiddin untuk mengekalkan tradisi peralihan kuasa seperti yang lazim dilakukan itu, kita akan mendapat kepimpinan yang lebih lemah dari Najib pula.

Kita perlu ingat siapa sahaja dikalangan kepimpinan tertinggi UMNO itu adalah dari acuan yang sama yang dibentuk oleh Dr Mahathir dahulu dan hasilnya akan sama sahaja seperti yang kita nampak terhasil dari kepimpinan Najib hari ini. Menggantikan Najib dengan kepimpinan yang dari satu acuan itu samalah seperti tidak mengubah kepimpinan.

Sekarang ini isunya ialah untuk menukar acuan kepimpinan UMNO itu. Kita memerlukan acuan baru supaya bentuk kepimpinan itu akan berupa bentuk acuan yang baru. Acuan yang baru itu akan membentuk nilai dan cara berkepimpinan yang baru dan akan membawa ‘ambience’ politik yang baru. Sekarang ini masalah rakyat termasuk yang berada di dalam UMNO itu sedang mengalami keadaan murung yang sama sejak lama dahulu.

Kita memerlukan acuan atau ‘mould’ kepimpinan yang baru dan semestinya pemimpin itu wajar dari orang yang tidak termasuk dalam acuan binaan Dr Mahathir itu supaya pemimpin itu boleh membina acuan untuk politik yang baru untuk negara khususnya untuk UMNO itu.

Membawa acuan baru akan membawa ‘environment’ yang baru dan dengan cara itu UMNO boleh menghilangkan persepsi yang sudah keterlaluan buruknya yang kita rasakan sekarang. Berada dalam ‘environment’ dan situasi baru sahaja boleh mengalihkan persepsi buruk rakyat terhadap UMNO itu. Atas tujuan itu jangan lah masih ada mereka-mereka yang berada dalam acuan lama dahulu kerana ia akan membantutkan usaha membawa UMNO kedalam ‘environment’ yang baru itu.

Apa yang terpenting bagi UMNO sekarang ialah untuk menghilangkan persepsi buruk rakyat terhadapnya itu. Hilangkan persepsi buruk itu dahulu barulah UMNO boleh menaruh harapan untuk menjadi parti yang relevan kepada rakyat dihari muka. Persepsi buruk itu tidak mungkin dapat dihilangkan oleh barisan pimpinan yang membina persepsi buruk itu sendiri.

Jika pimpinan itu diserahkan kepada seorang ahli Legislatif yang berpengalaman dari UMNO yang tidak terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa itu maka bolehlah kita berada di dalam 'ambience’ yang baru itu dan dengan sendirinya rakyat akan merasakan berada di dalam situasi dan keadaan yang lebih meyakinkan dan sekali gus boleh melupakan politik yang kita rasakan pada hari ini.

Rakyat akan dapat merasakan seperti mereka berada dalam negara dan siasah baru dan bersama-sama membina negara tanpa perasaan prejudis terhadap kepimpinan negara lagi. Kepimpinan yang membawa aura yang baru itu akan sekali gus boleh menyelesaikan dan memperbaiki perhubungan diantara negeri-negeri dalam Persekutuan terutamanya dengan Sabah dan Sarawak yang merupakan ‘equal partner’ dengan Persekutuan Tanah Melayu itu.

Semua  isu-isu lain yang berkait dengan agama dan bangsa yang kini sangat banyak dipersoalkan oleh rakyat boleh di selesaikan secara ‘parallel’ dengan isu-isu mendesak yang lain.

Sesungguhnya menggantikan dengan pihak lain yang tidak mempunyai kekuatan yang sebenarnya tidak akan membawa apa-apa perubahan. Malahan yang kekal adalah perbalahan yang tidak sihat yang akhirnya akan meletihkan rakyat dan mereka akan menjadi mangsa politik peribadi pemimpin yang tidak berkesudahan. Sekarang sudah sampai waktu dan masa bagi pemimpin-pemimpin dari kedua-dua belah pihak ditarbiahkan dengan politik yang baru dan mengakui perbalahan diantara mereka kini tidak membawa rakyat kemana-mana.

Tinggalkan politik dan penggiat politik yang ada pada hari ini. Selepas mengalihkan politik kita ke ‘environment’ yang baru maka barulah rakyat dan negara memulakan langkah untuk maju kehadapan bagi pembangunan siasah yang baru yang lebih meyakinkan, insyaallah.

23 February 2014

Boleh kah BN atau PR mendapat sokongan 'legitimacy' 2/3 di hari mendatang?

Kalau kita fikir-fikirkan, susah hendak kita jangka apa yang akan terjadi atau kesudahan politik negara kita yang masih berkocak ini. Adakah tindakan pembangkang berusaha dengan berbagai-bagai inovasi tindakan politik mereka boleh membawa mereka ke Putrajaya satu-satunya perjuangan yang ada kepada mereka ? Atau UMNO dan BN akan masih kekal menerima mandat rakyat walaupun dengan sokongan yang mengecil?

Inovasi tindakan politik pembangkang khususnya PKR begitu 'sophisticated' dan memaksa pilihanraya kecil Kajang dikatakan salah satu dari percubaan untuk memperkuatkan kabilah mereka ke Putrajaya.

Apa sahaja yang terfikir oleh kepimpinan mereka, akan mereka lakukan walaupun tindakan mereka itu menyusahkan rakyat dan berbagai pihak yang lain. dalam mencuba dan mencuba untuk ke Putrajaya itu, mereka melemahkan parti mereka kerana hasilnya wujud ketidak puasan hati diantara kepimpinan mereka dan timbul bibit-bibit perpecahan didalam parti mereka.

Apabila terlihat bibit perpecahan itu ia mengurangkan keyakinan rakyat terhadap mereka, sedangkan BN sememangnya sudah dipersepsikan sebagai parti yang lemah tetapi menyandang kuasa dalam kerajaan. Justeru apakah kesudahannya? Itulah yang saya sentuh di dalam posting yang lepas.

Jika BN masih kekal dalam beberapa tahun ini ia bermakna Pakatan Rakyat masih akan menjadi pembangkang. Sebaliknya jika Pakatan Rakyat menang ia pasti akan merupakan kemenangan kecil, itu pun jika di campurkan jumlah perolehan kerusi dari ketiga-tiga parti komponen itu.

Maksud saya UMNO akan tetap kekal sebagai parti ‘singularly’ sebagai parti yang paling banyak representasinya dalam Dewan Legislatif Parlimen. Walaupun jumlah keseluruhan kerusi mungkin berkurangan dari kerusi yang diperolehi oleh PR keseluruhannya. Jika ini berlaku kerajaan Pakatan Rakyat akan menjadi kerajaan yang lemah kerana tiada satu pun parti-parti dalam PR itu yang boleh menandingi UMNO dengan jumlah kerusi secara individu parti dalam PR itu.

Pendeknya, Jika PR mendapat mandat ia merupakan mandat yang kecil dan tidak mungkin berjaya menjadi kerajaan yang kuat. Ia akan menjadi seperti UMNO dan BN yang amat payah untuk mentadbir kerajaan dengan berkesan. Dalam sistem politik kita di sini, ‘the winner takes all, and the loser looses all’ Oleh kerana itu, menukar kerajaan dengan kerajaan minoriti seperti kerajaan BN hari ini tidak akan membawa apa-apa faedah kepada semua pihak.

Oleh itu ‘consequence’ yang akan kita boleh rumuskan ialah perubahan yang tidak membawa perubahan (the change is no change). Maka kita terpaksa akui yang pihak yang memerintah dengan kekuatan sokongan 2/3 dalam Dewan Legislatif Persekutuan dan Negeri itu amat di perlukan kalau benar-benar hendak melakukan perubahan.

Bolehkah PR dan Anwar Ibrahim mendapat penguasaan 2/3 itu, atau mampukah UMNO boleh bertahan dengan menambah kemenangannya dengan majoriti 2/3 itu? Tidak tahulah kalau ada yang berani mengatakan akan wujud representasi 2/3 jika mana-mana pihak, PR atau BN memenangi pilihanraya nanti.

Tetapi hakikat yang perlu kita akui, tidak akan ada mana-mana pihak akan mendapat kemenangan 2/3 kepada pihak yang menang nanti. Tidak akan ada ‘clear victor’ jika keadaan sekarang masih wujud dalam politik negara kita. Itu kah yang kita semua mahukan? Kalau itu yang kita mahukan biarkan sahaja keadaan sekarang berterusan.

Di sebaliknya jika kita impikan perubahan yang benar-benar perubahan, apa kah formula terbaik untuk mendapatkan perubahan itu dengan mewujudkan pemerintah yang mempunyai kekuatan 2/3 dalam Dewan Tertinggi Legisltif Negara kita di Parlimen itu?

Kita perlu ingat dinegara ini pemerintahan yang kuat ialah sokongan sekurang-kurangnya sokongan 2/3 dari Dewan Parlimen. UMNO/BN telah lama mengalami kekuatan seperti ini, tetapi kekuatan sokongan dari rakyat itu telah dianggap sebagai kelemahan mereka (rakyat) oleh UMNO dan BN itu. Itulah penyebab kenapa keadaan politik negara ini begitu berkecamuk hari ini.

(bersambung)

22 February 2014

UMNO dan PKR perlu tukar pemimpin mereka, baru aman negara

Perdebatan politik hangat diantara semua pihak yang mempunyai pandangan yang berbeza diantara satu pihak dengan pihak yang lain. Keadaan zaman kini lebih mencabar kerana dengan keterbukaan dunia siber sekarang, tidak satu perkara yang tidak diketahui oleh semua manusia dalam dunia ini. Apa yang berlaku terhadap seseorang itu tidak dapat dirahsiakan kerana berita itu akan diketahui umum dalam masa sesingkat beberapa minit sahaja walaupun ia berlaku nun jauh disudut dunia ini.

Dalam politik dinegara kita ada sahaja berita baru yang menyebabkan ia menjadi bahan politik yang hangat. Malahan ia telah mencetuskan keadaan yang sangat menakutkan kerana perbalahan diantara yang berbalah dalam politik sekarang ini amat meruncing. Perbalahan diantara parti-parti politik dan individu dalam politik tanah air sedang berada diperingkat yang sangat merbahaya yang boleh mencetuskan pergaduhan diatara kaum dan agama.

Sekarang ini jelas tidak nampak mana-mana pihak yang mahu surut, sebaliknya ia semakin serius dari hari ke hari. Negara seolah-olah tidak mempunyai kerajaan yang mempunyai kredibiliti untuk menyelesaikan isu-isu merbahaya yang berbangkit.Tiada penguat kuasaan yang betul dan tiada siapa yang nampaknya berkemampuan untuk penyelesaiannya.

Kepada yang sudah hidup lama akan merasakan sekarang ini merupakan keadaan yang paling buruk sekali sejak negara merdeka. Perbalahan secara terbuka dan didalam hati diantara agama dan kaum adalah yang paling kritikal dan ramai percaya jika keadaan ini tidak dikawal selia dengan baik oleh pihak pemerintah ia akan membawa kepada ‘anarchy’ yang akan memusnahkan negara yang sudah terbina dengan baik selama ini.

Apa pun keadaannya yang bertanggungjawab adalah kerajaan. Tetapi suhu perbalahan ini tidak nampak turunnya kerana pimpinan yang sudah hilang segala ‘plot’ untuk memimpin. Kelemahan ini sedang diambil kesempatan oleh pihak pembangkang dan hasilnya baru-baru ini UMNO dan BN yang memerintah itu hampir jatuh tersungkur dalam pilihanraya lalu.

Tetapi keadaan yang bertambah buruk ini akhirnya akan terus buruk dan tidak mustahil negara akan bertukar kerajaan dengan kerajaan yang dipimpin oleh pemimpin yang bukan kurang buruk moralnya. Itu sebab kita melihat yang kecenderungan rakyat bertukar haluan kepada parti pembangkang bukannya kerana pembangkang itu lebih bersih dari BN tetapi kerana memberikan protes terhadap kepimpinan yang menyandang yang sudah hilang arah tuju mentadbir negara ini.

Rakyat sudah berasa mual dengan UMNO/BN yang tidak tahu dan mempunyai kudrat untuk berubah. Sebahagian besar dari undi yang diperolehi oleh pembangkang itu merupakan undi-undi protes dari ahli-ahli parti dalam komponan BN itu sendiri.

Kadangkala terasa juga sedikit sebanyak perasaan yang sokongan terhadap parti-parti dalam PR itu adalah sokongan yang kurang ‘legitimacy’ nya kecuali yang mendapat sokongan dari kawasan-kawasan luar bandar seperti di pantai timur sana.

Mereka tahu dan sekarang sudah banyak bukti yang parti PKR misalnya, semakin mendapat kuasa semakin menjadi-jadi perbalahan, yang setengahnya adalah perbalahan yang terancang untuk kepentingan pimpinan tertinggi parti itu sahaja. Tindakan Anwar yang pada asalnya mengambil tindakan untuk memaksa pilihanraya kecil Kajang yang bakal diadakan nanti, adalah untuk memelihara perpaduan dalam PKR tetapi sebaliknya PKR sedang berada di dalam gelombang perpecahan yang besar. Itu belum lagi mendapat kuasa di Putrajaya.

Jika UMNO bertaburan setelah berkuasa lebih dari lima dekad, PKR akan terjerumus setelah berkuasa kurang dari satu penggal mentadbir Putrajaya. Bukti dan petanda awalnya sudah kita lihat di Selangor. Dulu rakyat berubah kerana negara dan negeri pemerintahan BN sudah kekosongan perbendaharaannya dan memilih untuk memberikan mandat kepada PKR untuk memulihkan kedaan itu.

Tetapi akhirnya kejayaan negeri tadbirannya dibawah Khalid Ibrahim berjaya meningkatkan ‘reserve’ kewangan negeri itu, ia sudah dianggap salah pula oleh partinya sendiri dan hendak membuang Khalid dari jawatan itu. Sesungguhnya PKR terutamanya di Selangor sudah mempunyai kombinasi yang baik. Khalid menjaga negeri dengan baik, dan pimpinan yang lain memberikan fokus kepada politik.

Malahan mereka sudah mendapat formula yang terbaik sekali tetapi PKR khususnya Anwar bertindak memecahkan formula yang telah wujud dengan sendirinya itu dan mengambil kesempatan diatas perbalahan Azmin dengan Khalid itu secara ‘expedient’ untuk mengambil kesempatan menonjolkan dirinya sendiri untuk mengambil alih tempat Khalid itu. Khalid yang 'menebang dan menebas dan seterusnya menanam dusun dengan baik', Anwar datang untuk 'mengutip dan memunggah hasil dari kerja kuat' Khalid itu.

Sudah ramai yang tampil memberikan pandangan seperti ini dan mereka menganggap contoh yang berlaku di Selangor ini membuatkan PKR sudah kurang diyakini oleh rakyat dan parti itu saling tak tumpah akan menyerupai UMNO akhirnya. Apabila sudah berjaya mereka gagal mengawal dan mengurus kejayaannya.

Maka sekarang sudah sampai ke situasi dalam mana UMNO dan PKR boleh memperbaiki keadaan mereka dengan mudah dan menjatuhkan parti mereka juga dengan mudah. Parti mana yang memperbaiki diri mereka dengan cepat parti itulah yang akan menguasai Putrajaya selepas ini. 'Survival' mana-mana pihak bergantung kepada pihak mana yang lebih awal memperbaiki diri.

UMNO boleh memperbaiki diri dengan membuang imej buruknya sekarang dengan menukar kepimpinan baru untuk mendapatkan aura yang baru. Aura yang baru itu hanya boleh diperolehi jika seluruh pimpinan yang ada pada hari ini mengundurkan diri dan memilih seorang pemimpin baru selain dari yang ada di Majlis Tertinggi itu. PKR pula akan hanya boleh menjadi parti yang ber ‘consequence’ jika parti itu tidak di pimpin oleh pemimpin yang ada pada hari ini.

PKR hanya perlu menukar kepada kepimpinan yang serius yang tidak banyak persoalan terhadap dirinya sendiri. PKR benar-benar memerlukan seorang pemimpin yang bersih dari sebarang tanggapan yang buruk kerana rakyat memerlukan kepimpinan yang begitu. Mereka mahukan pemimpin yang tidak mempunyai ‘controversy’ yang besar baik dalam Pakatan mahu pun dalam BN/UMNO itu.

Rakyat mahukan ‘ambience’ politik yang baru. Untuk itu mereka mahukan pemimpin yang lain dari yang ada pada hari ini dan terkeluar dari ‘ambience’ politik yang kita sudah lalui sekian lama.

Sekarang kita mahukan kepimpinan yang menyelesaikan masalah rakyat dan negara, bukannya politik dalam mana rakyat terbeban dengan tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah diantara pemimpin-pemimpin mereka yang tidak keruan itu.

Sekarang ini apa yang UMNO tuduh terhadap PKR itu benar dan apa yang dituduh oleh PKR terhadap UMNO itu pun benar. Sampai bila keadaan ini akan berlarutan?

20 February 2014

Kassim Ahmad mempersoalkan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

Isu Kassim Ahmad dan persepsi yang ada kepada beliau sebagai seorang anti-hadith ini sedang menjadi ketakutan ramai khususnya kepada kita orang Islam. Saya beranggapan yang Kassim Ahmad ini seolah-olah sebagai pembawa agama baru, yang tidak perlu mentauhidkan Tuhan melalui kezuhudan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Kassim dengan begitu was-was dengan kerasulan Nabi Muhammad dan seolah-olahnya beliau lebih mengetahui dari Pencipta Maha Esa dan Besar itu.

Bagaimana beliau mendapat sokongan dari seorang bekas Perdana Menteri tidak dapat saya bayangkan. Ini merupakan satu keadaan yang amat mengecewakan kerana sejahil-jahil orang yang beragama Islam seperti saya ini, tidak mahu saya menafikan keagungan Muhammad bin Abdullah sebagai Nabi dan Rasul akhir zamanNya..

Jika kita terlalu percaya kepada kecerdikan kita sahaja, maka ini lah jadinya seolah-olah Tuhan yang mengangkat Muhammad sebagai Nabi dan Rasul Akhir zaman itu adalah satu tindakan yang salah. Kalau ada yang berani menzahirkan Tuhan sudah melakukan kesilapan memilih Nabi Muhammad sebagai Rasul pilihanNya tidak dapat saya bayangkan betapa rosaknya agama hasil kerja manusia yang menganggap dirinya lebih berkuasa, berilmu dan berbudaya dari junjungan besar kita itu.

Anggapan Kassim yang Nabi Muhammad s.a.w. itu manusia biasa adalah keterlaluan dan sebagai yang mengakui dirinya sebagai Islam tidak sepatutnya terkeluar dari mulutnya kata-kata seperti itu. Kenapa Kassim tidak memahami perkara yang asas tentang sifat dan zat Tuhan itu? Kassim hanya menggunakan akal dan lojik semata-mata dan tidak mahu menerima bahawa zat Tuhan itu adalah mencetus kepada segala afa’al Tuhan yang maha esa itu.

Tuhan itu sifatNya adalah mukhalafah dan segala yang hendak disampai dan dilakukanNya adalah melalui manusia pilihanNya. Manusia sememangnya telah diberikan tanggungjawab untuk menanggung kerahsiaanNya dan jika kita kata Nabi Muhammad s.a.w. itu sebagai manusia biasa ia adalah amat bertentangan dari asas agama serta syariat dan hukum hakam yang diturunkan melalui Nabi Muhammad s.a.w. itu.

Menafikan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai manusia agong itu amat tidak sempurna akal seseorang seperti Kassim ini. Jika Nabi Muhammad s.a.w. seorang manusia biasa siapa kah manusia yang agong yang Kassim Ahmad terima sebagai penyampai makallah agama itu? Kita tahu yang boleh menyampaikan makallah Tuhan itu hanyalah manusia yang luar biasa dan ke luarbiasaan itu juga adalah pilihan Tuhan juga?

Sifat kemukhalafahan Tuhan itu lah yang menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w. itu sebagai tempat kita berzuhud dan wajib mengagungkan baginda. Qiasnya, kita memerlukan matahari, tetapi kita tidak perlu terbang keangkasa lepas untuk mengejar matahari itu. Yang perlu hanya lah cahaya kepada matahari itu.

Begitu jugalah dengan Zat (Tuhan) itu. Oleh kerana Tuhan itu sifatNya mukhalafah, maka Nabi Muhammad s.a.w. adalah perantaraanNya. Roh yang dikandung oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah Roh yang paling suci dan itu sebabnya Muhammad Rasullullah itu merupakan seorang insan mukamil. Kalau Nabi Muhammad s.a.w. itu seorang insan yang Kamil bagaimana orang seperti Kassim Ahmad menganggap Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah manusia biasa.

Itu sebabnya kita perlu berselawat sebanyak yang mungkin kerana Allah sendiri bersalawat terhadap junjungan agong kita itu. Telah pun kita akui Muhammad yang sebenar-nya Muhammad yang dikandung oleh Muhammad bin Abdullah itu merupakan roh yang bersifat Allah itu.

Jika Kassim Ahmad menafikan Nabi Muhammad s.a.w. itu sebagai manusia luar biasa melalui siapakah yang kita hendak tunjukkan dan zahirkan ketauhidan kita melalui amalan-amalan harian kita sepanjang hayat kita ada?

Setakat ini sahaja, hanya saya hendak mempertahankan yang Nabi Muhammad s.a.w. itu bukan manusia biasa. Tubuhnya manusia biasa tetapi apa yang dikandung oleh tubuhnya yang biasa itu adalah luar biasa.

Saya tidak berani menyebut lebih dari itu kerana saya juga merupakan seorang yang jahil dalam bab ketuhanan ini. tetapi dalam kejahilan seseorang itu memahami apa yang saya sebutkan itu sepatutnya ada kepada semua yang mengaku sebagai seorang Islam sebenar dan bukan setakat menjadi seorang Muslim sahaja.

Saya mengingatkan diri saya dan semua supaya jangan terpesong dari asas untuk kita menuju kemukminan itu. Jika Dr Mahathir lebih menghormati dan menjunjung  Kassim Ahmad, tidak dapat sesiapa yang berkata apa-apa.  Walau bagaimana pun saya berdoa agar beliau dibuka hijab untuk mengenal siapa Nabi Muhammad s.a.w itu sebenarnya.

Akhirnya saya bermohon doa terhadap Allah s.w.t agar saya mendapat shufa’at junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan tidak pula saya terkeluar dari parameter akidah Islam yang sebenarnya.

19 February 2014

Gunalah silat apa sekali pun, hanya Tuhan penentu siapa ke Putrajaya

Dalam pada kita menunggu hari penamaan calon PRK Kajang pada 11hb nanti politik negara sudah begitu tercemar dengan kempen kata-mengata yang tidak berkesudahan diantara pihak yang berlawanan. Keadaan bertambah heboh apabila dua orang pemimpin, seorang bekas perdana menteri dan seorang lagi bekas timbalannya bertukar-tukar serangan sambil menegakkan benang basah masing-masing.

Bagi saya apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir tentang Anwar itu semuanya betul dan apa yang dikatakan oleh Anwar tentang Dr Mahathir pun betul. Itu sebabnya mereka berperang mulut sambil terlupa masing-masing pernah bersama-sama bercengkarama politik dan menaikkan diantara satu dengan lain. Sekarang mereka berdua sudah berkelahi dan elok kita tidak payah masuk campur dalam perkelahian dua orang bekas pemimpin kerajaan itu.

Jika Dr Mahathir dengan Anwar itu tidak sama nilainya masakan mereka berkelahi dan masing-masing mempunyai sebab untuk membidas diantara satu dengan lain. Jika seorang yang dianggap sebagai pemimpin dunia ketiga dan seorang lagi pemimpin yang mengaku dinamik sudah berkelahi dengan isu peribadi masing-masing itu adalah petanda politik nergara sekarang sudah sampai ketahap yang paling rendah dan tidak ada lagi dalam sejarah negara merdeka kita ini keadaan yang paling rendah seperti yang kita sedang alami sekarang ini.

Persoalannya sampai bila keadaan ini akan berterusan? Situasi sekarang sangat membosankan ramai kerana perkelahian diantara mereka dibuka dikhalayak ramai. Apakah hikmah yang akan kita dapati kerana kita diyakinkan oleh Tuhan yang segala yang buruk itu ada hikmahnya. Malahan ada ulamak yang berpesan, jika ternampak 'yang cantik itu jangan diterkam kerana mungkin ada celaka disebaliknya dan jika terjumpa yang buruk itu jangan dibuang terus' kerana mungkin ada yang baik di sebaliknya.

Dalam perbidalan kita pula ada berkata, ‘the darkest time of the night is just before dawn’, yang memberikan kita keyakinan kita adalah diambang kebaikan kerana sekarang ini keadaan adalah yang terburuk dan gelap sekali untuk kita. Maksud kata-kata itu, waktu yang paling gelap ialah sebelum subuh dan waktu subuh itu adalah permulaan kita menikmati cahaya yang terang benderang.

Apakah kita sudah menghampiri keadaan yang terang dalam politik negara kita kini kerana kita sedang berada dalam waktu yang paling gelap sekarang ini.

Persoalannya jika benar terang itu akan datang, siapakah yang akan membawa sinar cahaya yang terang itu. Pada hukum akalnya tidak mungkin mereka yang sedang berperang sekarang ini yang akan membawa sinar cahaya yang diharapkan rakyat itu. Tidak mungkin Anwar yang berperang tanpa henti ini akan membawa sinar cahaya itu kerana jika Anwar berjaya sekali pun masuk ke Putrajaya beliau akan hanya mendapat sokongan dari yang berpihak kepada beliau dan yang lain akan terus berkonfrantasi dengan beliau.

Dalam sistem politik negara kita, yang menang ambil semua dan yang kalah hilang semua. Jadi jika Anwar berjaya atau Najib yang berjaya disebaliknya masakan keadaan akan aman kerana masing-masing akan menjadi pemimpin yang mendapat majoriti tipis.

Dengan budaya politik kini tidak akan sampai keamanan yang dicitakan kerana mereka berpolitik adalah untuk kepentingan peribadi masing-masing. Najib sememangnya wajar diturunkan tetapi bagaimana Anwar hendak mendapatkan sokongan sepenuhnya kerana beliau juga tidak akan mendapat sokongan bulat jika beliau menang.

Tidak siapa yang boleh memberikan jawapan yang tepat kerana kepimpinan kedua-dua pihak yang bemusuhan itu lebih kurang sama kelemahan dan sikap mereka. Anwar tidak akan mampu merapatkan perbezaan pihak-pihak yang bertelagah kerana pertelagahan mereka bukan diatas premis perjuangan. Jika Najib bertahan pun tidak akan mampu merapatkan pertelagahan diantara yang berpihak itu kerana Najib merupakan sumber perpecahan yang diwarisi dari zaman pimpinan Dr Mahathir dahulu.

Ada yang bertanya kepada saya siapa yang layak menggantikan kepimpinan negara jika kedua-dua pihak yang bertelagah ini tidak layak memimpin negara? Saya belum lagi menjawabnya kerana saya adalah seorang yang kerdil dan tidak mungkin diterima pandangan oleh banyak pihak, tetapi dalam keadaan kita berpecah sebegini teruk maka sebagai seorang yang bertuhan saya percaya hanya  ‘divine intervention’ akan menyelesaikan masalah besar yang kita semua alami sekarang ini.

Tetapi saya telah sebut awal-awal tadi, waktu yang paling gelap ialah sebelum subuh dan subuh itu pula menghampiri sinar cahaya pagi yang menyamankan. Oleh kerana manusia yang mempunyai kelemahan ini tidak mungkn dapat memberikan jawapannya kerana kita sudah sampai ketahap yang kita sendiri tidak boleh mengendalikannya…bukan Anwar, bukannya Najib, jauh sekali Dr Mahathir atau Azeez Rahim dan Shahidan Kasim.

Bagi saya yang boleh menentukan hikmah itu hanya lah Tuhan sahaja. Seperti tepatnya kedatangan sinar pagi setiap hari itu, begitu jugalah tepatnya anugerah Tuhan dalam pemberian dan anugerah hikmahNya nanti. Jika kedatangan sinar pagi itu pasti, begitu jugalah pastinya kedatangan orang yang akan ditunjuk olehAllah swt itu nanti. Kita tidak tahu siapa tetapi yakinlah Melayu ini ada keramatnya.

Pencerahan itu akan datang dengan sendirinya dan kadangkala hikmah itu datang tanpa disedari oleh kita. Apabila kita membuat penyerahan kepada Tuhan biar kita betul-betul melakukan penyerahan itu, kerana setakat usaha manusia politik kini, nampaknya kita tidak akan terjumpa jawapannya.

Apabila disebut penyerahan itu tidak pula kita perlu berpeluk tubuh. Masing-masing boleh  berusaha dengan menggunakan setakat mana kudrat yang ada kepada kita, kerana usaha itu adalah wajib. Tuhan yang menentukannya.

Misalnya Anwar boleh teus berusaha tetapi jika beliau tidak mendapatnya bukanlah kerana tidak cukup penyokong tetapi disebabkan ‘nature works mysteriously and mystically’. Hanya apabila sampai jawapannya baru Anwar tahu akan berjaya mendapat rahmat itu atau sebaliknya. Begitu juga Dr Mahathir yang berusaha untuk menyekat kemaraan Anwar itu. Apabila sampai waktunya barulah Dr Mahathir akan tahu usahanya itu mendapat keredhaan Tuhan atau tidak.

Buat sementara waktu ini masing-masing berusahalah mengikut kemampuan dan kepandaian masing-masing dalam silat politik masing-masing. Apa yang kita kehendaki itu tidak semestinya baik untuk kita. Apa yang diberikan oleh Tuhan itu adalah yang terbaik bagi kita.

Tetapi apabila sampai waktu penentunya kita terima sahaja apa yang diberikan Tuhan kepada kita, kerana seperti yang saya sebutkan tadi, apa yang diberikan Tuhan kepada kita, itulah yang terbaik bagi kita. Tuhan lebih mengetahui apa yang terbaik bagi kita, bukannya kita.

Kadangkala kita mendapat apa yang kita inginkan, tetapi tidak semestinya baik bagi kita jika ia tidak berada dalam keredhaan Tuhan. Akhirnya ia akan membinasakan kita. Semasa itu nanti barulah kita ketahui yang apa yang kita dapati itulah yang akan membawa masalah dan kemusnahan kepada kita jika tidak mendapat keredhaan Tuhan yang Maha Penentu itu.

18 February 2014

PRK Kajang tiada kena mengena dengan perjuangan mana-mana pihak

Initiatif Anwar Ibrahim memaksa pilihanraya kecil di Kajang diadakan, jelas menjejaskan PKR dan Pakatan Rakyat keseluruhannya. Jika Anwar menang sekali pun Pakatan Rakyat tidak lagi seperti Pakatan yang dahulu. Dari hendak menyelamatkan PKR seperti yang dikatakan oleh beberapa orang pemimpin PKR, pilihanraya ini menjadi penyumbang kepada perpecahan di kalangan pimpinan PKR dan memberikan masalah kepada parti-parti komponen di dalamnya. 'Lain yang di jolok lain pula yang jatuh. Lain yang koyak lain yang ditampal'.

Masalah yang terbeban kepada PKR sekarang ini, kalau dikaji dengan halus dan teliti, adalah disebabkan ketidak mampuan PKR menguruskan kejayaannya. PKR telah berjaya untuk membentuk kerajaan negeri dan kejayaan ini merupakan kejayaan besar dan hasilnya PKR menjadi parti yang boleh dianggap parti yang ber ‘consequence’.

Apabila PKR mencapai kejayaan ini maka minat dan kecenderungan sebahagian dari pemimpinnya untuk mencengkam kuasa keatas parti itu mula menjadi melebar dan bermulalah saingan sesama sendiri untuk kuasa itu. Keadaan ini juga berlaku dalam DAP dalam mana pemimpin-pemimpinnya bersaing sesama sendiri dan keadaan ini tidak pernah berlaku semasa DAP belum menjadi sebuah parti yang besar seperti sekarang.

Seperti PKR, DAP sedang melalui zaman berebut-rebut diantara mereka dan kita sedang melihat perkembangan ini sebagai perkembangan biasa bagi sesebuah parti yang sedang membesar. Di negara kita elemen penguasaan ahli-ahli keluarga sememangnya sudah lumrah, baik dalam UMNO, PKR dan DAP. Politiking sesama sendiri itu lebih kehadapan dari menumpukan serta memfokuskan kepada perjuangan parti mereka.

Dalam isu PRK Kajang ini, pada mulanya Anwar berkata tidak berniat untuk menjadi Menteri Besar Selangor tetapi hanya untuk mengendurkan ketegangan diantara Azmin dengan Khalid sahaja. Tetapi sekarang secara beransur-ansur percakapan politik Anwar berubah dan sekarang sudah mengakui yang beliau akan menjadi Menteri Besar dengan berbagai-bagai sebab.

Bagi saya yang begitu biasa dengan tindakan politik sebegini kerana lamanya saya bergiat dalam UMNO itu, tidak memeranjatkan saya dan alasan awal Anwar yang beliau bertanding Dewan Undangan Negeri di Selangor itu adalah untuk menyejukkan keadaan dalam PKR Selangor itu bukanlah sebab sebenarnya.

Dengan perkembangan politik masa kini Anwar sebenarnya terpaksa mengambil tempat di sebuah negeri yang beliau rasakan boleh bertapak untuk ke Putrajaya. DAN tindakan itu juga tidak salah dalam demokrasi ini. Kita memahami Anwar mahukan kuasa di Putrajaya dan beliau akan melakukan apa sahaja untuk kesana. Tidak salah dari segi demokrasinya, tetapi kadang-kadang ramai orang yang tidak mahu membezakan demokrasi dengan semangat demokrasinya.

Memberikan sebab lain tetapi berlainan niat itu menjadikan kewibawaan seseorang pemimpin itu tercalar dan ia manambahkan masalah dan stigma negatif yang tersedia ada kepada beliau. Jika benar Anwar mahukan kekuatan untuk ke Putrajaya beliau sepatutnya jadikan Pulau Pinang sebagai 'base' beliau, bukannya Selangor kerana beliau adalah orang Pulau Pinang.

Kita faham yang beliau tidak dapat menjadi Ketua Menteri di Pulau Pinang kerana negeri itu adalah dibawah tadbiran DAP. Apabila beliau memilih Selangor ia membawa masalah sampingan yang lain pula kerana Selangor itu sedang berada di dalam keadaan dalam mana kerajaannya di tadbir dengan begitu baik oleh Khalid Ibrahim.

Walaupun ada yang berkokok yang mengatakan Anwar akan mentadbir Selangor dengan lebih baik lagi, tetapi hakikatnya ramai yang pasti Anwar bukanlah orangnya yang boleh mentadbir negeri Selangor dengan baik. Anwar adalah 'material' Persekutuan jika beliau mendapat mandat.

Tetapi hendak membuktikan sebelum beliau menjadi MB itu susah dan untuk membuktikannya, rakyat Selangor terpaksa berhadapan dengan risiko kelemahan mentadbir kerajaan dibawah Anwar nanti. Pandangan ini tentu ditentang oleh banyak pihak, tetapi seperti yang saya katakan tadi keadaan itu terpaksa dilalui dahulu sebelum kenyataan ini nampak dan terbukti benar.

Jika hendak bersandar kepada alasan untuk menyejukkan keadaan diantara Azmin dengan Khalid, ia sudah tidak boleh terpakai lagi kerana sekarang pun sudah berlaku perbalahan walaupun dalam keadaaan senyap-senyap di Selangor. Kebulatan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat tidak boleh dianggap seperti dahulu lagi. Orang yang memahami keadaan dibawah ini boleh memahaminya.

Sebodoh-bodoh politik Khalid seperti yang dikatakan oleh pemimpin PKR yang mahukan Khalid diketepikan, orang ramai telah merasakan kebaikan pentadbiran Khalid. Jika tidak masakan Pakatan Rakyat Selangor mendapat mandat yang begitu kuat di Selangor, keadaan yang berlainan yang dialami Pakatan Rakyat di negeri lain.

Selangor merupakan satu-satunya negeri selain dari Pulau Pinang yang mendapat mandat tambahan dalam PRU yang lalu. Di Kelantan sendiri kerusi Pakatan berkurangan jika dibandingkan dengan PRU dahulu. Pakatan Rakyat telah tertewas di negeri Kedah. Kemenangan tambahan kerusi di Selangor itu, bukankah kerana kerja baik pentadbiran negeri dibawah Khalid Ibrahim?

Kecelaruan rakyat Selangor dengan tindakan Anwar ini amat merbahaya. Di takuti 'yang dikejar tidak dapat, yang dikendung pula berciciran'. Jika keadaan sekarang tidak terkawal ia akan memburukkan lagi keadaan. Jika keadaan itu berlaku, maka mungkin memanggil pilihanraya negeri adalah alternatif terbaik.

Demi kebaikan Pakatan Rakyat mungkin PAS boleh menjadi pilihan rakyat Selangor untuk mentadbir Selangor itu. Jika kecemerlangan Khalid menjadi masalah, maka elok PKR duduk ditepi dan beri laluan kepada PAS untuk mentadbir. Memberikan laluan kepada PAS bukannya tindakan memberi sedekah kepada PAS, tetapi adalah tindakan yang sangat tinggi moralnya kerana PAS merupakan komponen terbesar di dalam Dewan Undangan Negeri, Selangor sekarang ini.

PKR perlu menunjukkan ‘conduct’ yang baik kepada rakyat, kerana sedikit kesilapan, akan mudah orang menuduh dan percaya yang PKR itu adalah DNA UMNO yang paling jelas sekali.

Kepada Anwar beliau perlu ingat yang langkah silatnya masih tidak banyak berbeza dengan langkah dan silatnya semasa dalam UMNO dahulu. Orang lama lebih mudah membaca semua langkah dan silat pemimpin ini.

Seperti yang saya sebutkan beberapa kali, orang ramai boleh ‘menyelam air dalam tunggak’. Selaman itu menunjukkan dengan jelas yang kita berpecah sesama sendiri semata-mata kerana kepentingan peribadi dan sangat jauh dari kepentingan perjuangan untuk negara.