30 May 2014

Yang tidak bermodal, jumpa Hasan Malek, dapat pinjaman tanpa faedah

Hasan Malek pula menjadi isu sekarang ini. Hasan Malek pula yang berhadapan dengan isu Deepak kali ini. Sasaran Deepak kali ini lebih tepat kerana Hasan merupakan orang yang mudah untuk berunding walaupun perundingan untuk melakukan kerja yang tidak patut dan tidak betul dan bertanggungjawab. Bagaimana Hasan menggunakan pengaruh dengan kementeriannya untuk membantu seseorang peniaga dengan menggunakan wang Bank Rakyat sebegitu banyak tanpa mengenakan faedah?

Untuk melakukan kerja yang tidak beretika dan menyalahi moral dan tanggungjawab bank tersebut, Hasan dengan mudah mengugut Lembaga Pengarah Bank tersebut yang beliau boleh membuang mereka dari tugasan mereka jika tidak bersetuju memberikan pinjaman sebanyak RM32 juta tanpa faedah. Sikap Hasan yang agak sombong itu nampak sangat kekampungannya. Akhirnya Sabaruddin Cik menjadi mangsa Hasan semata-mata kerana Bank itu tidak mahu melayan permintaan yang amat tidak bermoral itu.

Hasan semalam memberikan reaksi terhadap isu yang beliau hadapi. Beliau berkata yang semua yang beliau lakukan itu semuanya ‘above board’ dan tidak menyalahi apa-apa. Sekarang kita mahu Hasan menjawab satu persoalan dari ramai peniaga-peniaga yang masih terkial-kial berniaga kerana kekurangan modal. Boleh atau tidak peniaga yang ramai-ramai yang susah mendapatkan modal itu berjumpa dengan Hasan dan meminta pinjaman tanpa faedah dari Bank Rakyat?

Kalau Hasan boleh membantu Deepak mendapatkan pinjaman tanpa faedah selama puluhan tahun, Hasan patut pula memberikan pinjaman Bank Rakyat kepada begitu ramai peniaga yang dalam kesusahan kerana tiada modal yang cukup. Kalau Lembaga Pengarah Bank itu tidak mahu melayan kemahuan Hasan, beliau boleh buang semua ahli jemaah pengarah bank tersebut. Kalau Deepak diberikan kemudahan tanpa faedah dengan jumlah RM32 juta selama tiga puluh tahun, pemimpijam kecil pun sepatutnya tidak payah membayar faedah. Kalau Lembaga Pengarah tidak mahu menurut arahannya, Hasan boleh buang semua Ahli Lembaga Pengarah bank itu sehingga beliau seorang sahaja mengendalikan Bank tersebut sesuka hatinya.

Sesungguhnya Hasan sememangnya tidak sepatutnya berada ditempatnya sekarang. Beliau sepatutnya tidak boleh tunggu lama-lama ditempatnya sekarang ini. Beliau sepatutnya berundur setidak-tidaknya untuk menyelamatkan institusi-institusi penting dari dilacuri oleh seorang penggubal dasar yang tidak bermoral seperti beliau ini.

Beliau sebenarnya bukan seorang penggubal dasar, beliau adalah seorang penggubah dasar.

Apa pasal senyap aje isu hudud sekarang ini

Isu hudud nampaknya sudah mula reda dan PAS pun sudah kurang bercakap tentang hudud kebelakangan ini. Mungkin kerana pilihanraya Teluk Intan yang menyebabkan PAS sudah kurang bercakap tentang hudud ini kerana kepentingan pilihanraya di kawasan majoriti Cina itu yang sudah pasti tidak mahu hudud dilaksanakan.

Ramai yang bersetuju dengan hudud ini menganggapkan yang PAS sudah sepatutnya memulakan penerangan tentang hudud yang selama ini menjadi perjuangan mereka. Tetapi apa yang jelas akhir-akhir ini nampaknya PAS sendiri tidak bercakap lagi tentang hudud itu. Malahan TGNA sendiri meminta supaya isu hudud  tidak disebut dalam PRK Teluk Intan sekarang ini.

Kita mesti ingat yang memulakan isu hudud ini adalah PAS dan tidak kurang yang menyokongnya, tetapi mereka yang menyokong sekarang sudah ada yang merasakan mereka telah terdorong untuk menyokong dan sudah terasa mereka akan kecewa kerana PAS sudah berehat untuk bercakap dan menyusun tata-cara bagi perlaksanaannya.

Rupa-rupanya perjuangan ada rehatnya. Ada masa perlu diperjuangkan dan ada pula masanya untuk tidak memperkatakannya. Isu ini begitu hangat dan telah berjalan jauh, malahan sepatutnya sekarang ini sudah ada rangka penerangan yang patut diketahui umum tetapi kita masih tertunggu-tunggu bila isu ini akan digiatkan semula.

Kalau isu GST mudah untuk diterangkan kenapa isu hudud ini susah sangat untuk diterangkan jika pihak yang ingin melaksanakan undang-undang Islam ini sudah memahami segala-galanya tentang hudud ini terutamanya dalam hal perlaksananaannya.

Apakah PAS sendiri sudah merasakan was-was tentang kejayaan usaha melaksanakan undang-undang Islam ini? Kita tidak mengatakan yang undang-undang ini perlu dilaksanakan secara tergesa-gesa tetapi eloklah diberitahu kami yang menyokongnya bagaimana cara dan bila dalam jangkaan PAS yang hukum ini akan terlaksana.

Setidak-tidak perancangannya wajar diberitahu rakyat sekarang ini agar dapat orang ramai memberikan pandangan tentang perlaksanaannya asalkan sahaja ia tidak keluar dari parameter hukum syariat agama ini.

Justeru  sekarang ini apa yang sangat perlu bagi PAS menjawabnya ialah samada parti itu benar-benar serius untuk perlaksanaannya atau hanya untuk meriuhkan keadaan rakyat yang masih ramai berbelah bagi tentang perlaksanaan hukum ini.

Isu ini jika terus senyap seperti hari ini maka kita tidak hairan jika PAS akan berhadapan dengan desakan rakyat untuk perlaksanaannya dan akhirnya ia akan menghilangkan banyak keyakinan orang ramai terhadap PAS.

Apa rakyat takuti PAS bercakap tentang isu ini sebelum mereka benar-benar bersedia untuk perlaksanaannya. Yang akan menghadapi masalah nanti bukannya pihak-pihak mana, tetapi yang akan menerima beban politiknya nanti ialah parti PAS itu sendiri.

Kita takut jika orang ramai akan menganggap PAS seperti 'menceduk masakan yang belum sempat masak' sahaja. Jika PAS gagal melakukan apa yang dijanji dan diperjuangkannya, maka ia akan dianggap kemenangan bagi mereka yang tidak selesa dengan hukum Islam ini.

Lain-lain perkataan PAS telah memulakan isu untuk menggagalkan parti mereka sendiri. Itu yang kita takutkan, bukannya semata-mata untuk mencari salah terhadap parti itu.

Elok PAS membuat penegasan, jika hendak laksanakan hudud ini, buat lah dengan serius, jika tidak batalkan sahaja rancangan perlaksanaannya. 

Janganlah ada masa tidak boleh bercakap tentangnya dan ada masa boleh disebut pula. Kalau benar-benar serius, apa yang hendak ditakutkan ada pihak yang tidak bersetuju dengannya. 

Ini bukannya isu politik, tetapi isu agama, kerana kita mempunyai agama yang sarat dengan perlembagaan agamanya dan undang-undang Tuhan. Jika ia menjejaskan perlembagaan negara, PAS patut memberikan penyelesaian untuk mencari 'point of reconciliation' diantara perlembagaan sekarang dengan undang-undang hudud yang mereka berjanji untuk melaksanakannya.

27 May 2014

Kalau kebolehan hanya membangkang, teruskan jadi pembangkang, jangan jadi kerajaan

Pilihanraya Kecil Teluk Intan kian panas dengan kempen kedua-dua belah pihak yang ‘aggressive’ bagi mendapatkan undi dan sokongan. Masing-masing dengan hujah masing-masing. Dalam pilihanraya di negara ini ia adalah medan untuk berkelahi dan ejek mengejek diantara satu dengan lain. Tiada apa yang elok dipihak lawan dan tidak ada yang tidak elok dipihak sendiri.

Apa pun ia bergantung kepada pengundi untuk menentukan dipihak mana mereka hendak berikan undi pada 31hb mei nanti. Pengundi mempunyai banyak pertimbangan untuk melakukan pemilihan. Di Teluk Intan ini saya mempunyai banyak hubungan sejak dulu lagi kerana puluhan tahun saya bergiat dahulu. Saya hanya mendapatkan pandangan dari mereka yang saya kenal dan telah memahami sikap rakan-rakan disana.

Ramai juga diantara pengundi tidak mahu mengambil berat dalam PRK ini kerana mereka merasakan siapa pun yang menang ia tidak membawa perubahan kepada politik negara. Jika DAP memenanginya ia hanya meletakkan keadaan status quo dalam parlimen Malaysia. Ia tidak meempengaruhi 'equation' kekuatan mana-mana pihak dalam parlimen negara kita. Mereka beranggapan jika DAP terus memenangi kerusi itu ia tidak dapat menolak BN dari kuasa pemerintahan.

Tetapi jika BN yang menang ia boleh menambah satu lagi kerusi dan akan mengurangkan kerusi DAP dalam Dewan Legislatif itu dengan satu kerusi. Kumpulan yang berfikiran sedemikian mereka menyatakan kepada saya yang memberikan undi kepada BN mungkin boleh memberikan faedah kepada kawasan itu kerana BN akan tetap memberikan kalau tidak sepenuhnya apa yang dijanjikan calon BN, setidak tidaknya sedikit pun mereka akan dapat menuntut keperluan bagi rakyat kawasan itu.

Bagi setengah yang lain pula jika DAP memenangi dan mengekalkan kerusi Teluk Intan ini, kemenangan itu akan membuktikan yang gerakan untuk menghapuskan UMNO dan BN itu masih kuat. Tetapi kemenangan DAP itu mestilah melebihi dari kemenangannya dalam PRU yang lepas. Jika ia berkurangan maka ia membayangkan yang DAP pun sudah susut sokongan bukan sahaja di Teluk Intan, malahan ia juga adalah 'indicator' yang parti pembangkang itu sudah mula menghadapi hakisan sokongan dari rakyat.

Tetapi satu lagi pihak yang tidak mengambil tahu tentang pilihanraya ini kerana berbagai-bagai isu yang terkumpul dikalangan pihak pembangkang sekarang ini. Isu kekeruhan dalam pemilihan parti PKR telah membawa masalah kepada pihak pembangkang juga. PKR sedang bertarung sesama sendiri dengan berbagai-bagai tuduhan diantara penyokong pihak dan pemimpin yang mereka sokong dalam pemilihan itu. Sebanyak 35 cabang dan bahagian pemuda telah digantung dan penggantungan sebegini banyak cabang dalam PKR itu amat jelas memberikan kesan negatif terhadap DAP yang mewakili Pakatan Rakyat di Teluk Intan ini

Mereka memberitahu saya yang mereka tidak ambil 'pot' terhadap PRK ini kerana PR sedang menghadapi berbagai-bagai masalah melalui masalah yang dihadapi oleh rakan kongsi DAP, iaitu PKR. Bagi mereka jika kita hanya mahukan PR duduk dalam parlimen sebagai pembangkang ia tidak menjadi masalah, tetapi jika hendak mereka harapkan PR untuk dijadikan parti ‘alternative’, kebarangkalian keadaan itu akan berlaku sudah semakin jauh. Mereka mengakui yang DAP adalah pembangkang yang baik dan adalah baik jika tugaskan DAP itu sebagai pembangkang ‘in perpetuity’. “Kalau baik parti itu sebagai pembangkang tidak mungkin ia baik sebagai kerajaan” kata seorang pengundi yang agak terpelajar disana.

Saya mendapati yang kaum Cina tidak begitu bersatu seperti dalam pilihanraya umum yang lalu. Masih ramai kaum Cina yang tidak bersetuju dengan calon Melayu dan itu sememangnya sudah diduga dari awal lagi.

Bagi setengah kaum Cina pilihanraya kecil ini bukannya medan untuk mereka bergerak untuk menolak BN kerana kemenangan kepada DAP tidak akan mengubah keadaan negara. Maka mereka lebih mesra dengan pihak BN dan mengambil sikap untuk tidak mahu bermusuhan dengan parti kerajaan yang sedang memerintah buat masa ini. Mereka akan menunjukkan sikap mereka semasa pilihanraya umum yang ke 14 nanti.

Faktor positif terhadap BN pun ada, kerana begitu ramai pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang menjawat jawatan menteri sedang mundar mandir di Teluk Intan dengan berbagai-bagai janji dan mereka mempunyai kekuatan jentera kerajaan. UMNO mungkin lemah tetapi kelemahan mereka itu ditutupi oleh kekuatan pengaruh kerajaan yang ada kepada mereka.

Seperti yang kita tahu setiap rakyat terutamanya diluar bandar akan ditadbir oleh jabatan-jabatan kerajaan. Tidak ada siapa yang tidak ditadbir oleh kerajaan. Setidak-tidaknya mereka ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Bukannya mudah, walaupun bukan mustahil untuk memecahkan benteng UMNO yang begitu kuat dipedalaman yang mempunyai pengaruh dalam kehidupan rakyat ramai diluar bandar termasuk mereka yang mengundi di Teluk Intan.

Setakat ini DAP belum lagi dapat membersihkan imejnya sebagai parti untuk kaum Cinanya. Parti itu tidak mengambil kesempatan situasi sebelum PRU yang lalu untuk menunjukkan yang parti itu adalah parti berbilang kaum dan bukannya setakat satu baris ayat yang mengaku partinya sebagai parti berbilang kaum dalam perlembagaannya semata-mata. Mungkin mereka semasa sebelum PRU yang lalu sudah begitu yakin yang mereka akan dapat duduk di Putrajaya dan tidak perlu mengambil berat tentang isu keperbilangan kaum itu.

DAP terpaksa bermula dari awal kembali dan tindakan meletakkan Dyana sebagai calon itu merupakan satu usaha kearah membersihakn imej parti perkaumannya. Jika saya pengundi dan pemilih di Teluk Intan ramai yang tahu undi saya akan pergi ke Dyana, tetapi bukan saya yakin parti itu telah bersih dari imej parti kaum Cina, tetapi untuk mencuba sekali lagi samada parti itu serius dalam penampilannya sebagai parti berbilang kaum.

Elok Dyana itu menang, kerana kita juga ingin melihat sejauh mana seriusnya DAP dalam usaha menjadikan parti itu parti berbilang kaum dan bukannya parti yang dikuasai oleh kaum Cina semata. Walau bagaimana pun ia tidak akan dapat diketahui niatnya dan ia akan hanya diketahui apabila kita melihat senarai calon-calonnya dalam PRU yang akan datang. Melayu tidak kurang yang berupaya, terutamanya dikalangan yang muda-muda sekarang ini yang tidak mendapat tempat dihati UMNO.

UMNO tidak sehayun dan selenggang dengan keperluan sekarang ini yang mahukan penglibatan orang muda dalam politik negara kini. Dalam keadaan sekarang UMNO sudah ketinggalan zaman, tetapi jika DAP berkuasa pun ia juga akan menjadi seperti UMNO yang tidak dapat lari dari penyakit kronisma yang jauh lebih jelas dari UMNO.

19 May 2014

Petikan kenyataan saya oleh FMT tidak betul

Saya ingin membetulkan kata-kata saya yang di petik oleh FMT hari ini yang saya berkata yang DAP terbukti sebuah parti berbilang kaum. Saya ingin memperjelaskan yang saya tidak berkata begitu dan saya tidak berbohong dalam isu ini.

Petikan itu mungkin akan di salah takrifkan oleh pembaca FMT kerana saya tidak pernah berkata yang DAP itu terbukti sebagai parti berbilang kaum. Yang saya sebut hanyalah PRK Teluk Intan ini memberikan peluang kepada DAP untuk membersihkan imejnya sebagai parti yang hanya melaungkan multiracialism yang tidak pernah dilaksanakannya.

Saya menyebut lagi yang PRK Teluk Intan ini merupakan peluang bagi DAP untuk cuba membuktikan kepada rakyat yang parti itu adalah parti berbilang kaum dengan tercalonnya Dyana Sofia sebagai calon DAP. Saya telah menyebut lagi yang rakyat akan tahu samada DAP serius dan jujur untuk melaksanakan keperbilangan bangsa dalamnya dalam pilihanraya umum yang akan datang. Jika jumlah nya masih kecil nanti maka DAP akan dianggap meneruskan sikap chauvinisnya seperti apa yang telah dipersepsikan oleh rakyat, terutamanya dikalangan orang Melayu.

Saya mengingatkan DAP supaya jujur terhadap pencalonan Dyana, bukan setakat untuk dijadikan ‘window dressing’ semata-mata.

Pendeknya walaupun saya memberikan sokongan kepada pencalonan Dyana sebagai calon, tetapi saya tidak pernah berkata yang DAP telah membuktikan yang parti itu adalah parti berbilang kaum kerana tidak ada apa-apa ‘attribute’ sebagai parti berbilang kaum.

Sila baca tulisan sepenuh saya dalam blog saya (aspanaliasnet.blogspot.com), untuk mendapatkan pandangan saya yang sebenarnya tentang isu parti berbilang kaum ini. Saya tidak mahu petikan oleh FMT itu memesongkan apa yang saya ingin sampaikan.


Terima kasih.

18 May 2014

Dyana, calon dan anak yang baik, tidak rugi mengundi beliau

Penyertaan Dyana Daud, sebagai calon DAP dalam pilihanraya Teluk Intan memberikan banyak kesimpulan yang jelas. Saya adalah orangnya yang membawa Dyana hampir dan akhirnya menjadi calon DAP dan saya begitu bangga dengan kehadiran beliau dalam arena politik negara. Saya begitu rapat dengan ibu dan bapanya dan saya hampir secara peribadi mengenali dengan Dyana sejak Dyana masih dalam buaian lagi. Daud bapanya, serta ibunya Yammi Samat, adalah sahabat keluarga dan tidak pernah berpecah kerana keikhlasan keluarga ini bersahabat dengan keluarga saya.

Saya begitu bersukacita dengan pencalonan beliau itu kerana beliau mungkin dapat membersihkan nama DAP sebagai parti hanya untuk kaum Cina, malahan salah satu dari sebab kenapa DAP dan Pakatan tidak berjaya dalam pilihanraya yang lepas ialah kerana isu bangsa yang menjadi isu yang hangat semasa itu. PAS telah berhadapan dengan isu nama Allah yang disebut-sebut oleh rakan kongsinya DAP dan DAP pula telah menunjukkan sikap chauvinistik nya kerana apa yang digambarkan parti itu sebagai parti untuk semua bangsa tidak dilaksanakan oleh DAP semasa itu.

DAP hanya mempunyai seorang Ahli Parlimen Melayu iaitu Ariff Sabri di Dewan Legislatif Parlimen. Jika kita semua iktiraf Zairil sebagai Melayu maka DAP hanya mempunyai dua orang wakil Melayu walaupun telah mengakui parti itu sebagai parti semua kaum. Nyata itu merupakan kudis bagi DAP dalam PRU yang akan datang kerana DAP telah berbohong dan tidak dapat membuktikan yang ia adalah sebenarnya parti berbilang kaum.

Dengan terpilihnya Dyana sebagai calon DAP di Teluk Intan ini mungkin DAP secara beransur-ansur dapat membuktikan dan meyakinkan orang ramai yang kali ini DAP tidak berbohong lagi. Tetapi DAP hanya akan dapat membuktikan yang mereka serius untuk menjadikan parti itu sebagai parti berbilang kaum dalam PRU yang akan datang.

Saya merasakan yang Dyana akan memenangi PRK Teluk Intan ini dan ramai yang menghubungi saya untuk memberikan undi menyokong Dyana secara moral untuk Dyana menjejak kaki ke Dewan Parlimen dan memainkan peranan untuk memperjuangkan 'multiracialism' sebenarnya dalam DAP itu.

Dengan kemenangan Dyana, maka ada dua muka Melayu di dalamnya termasuk Ariff Sabri dari Raub. Seperti yang saya nyatakan tadi jika kita semua iktiraf Zairil sebagai Melayu maka ada tiga orang Melayu dalam Parlimen yang mewakili DAP. Dengan tercalonnya Dyana ini, saya berpendapat DAP bernasib baik dengan adanya PRK ini. DAP masih ada kesempatan untuk memperbaiki keyakinan orang Melayu yang DAP sedang berusaha untuk menjadikan parti itu 'multiracial' sebagai 'attribute'nya walaupun sasarannya masih jauh jika parti itu mahu diyakini sebagai parti berbilang kaum.

Tetapi kita akan hanya tahu samada DAP serius atau hanya bermain ‘intrigue’ politik semata-mata apabila kita melihat senarai calon parti itu dalam pilihanraya 14 nanti. Orang Melayu sekarang amat memberikan fokus terhadap DAP dalam PRU yang akan datang. DAP tidak ada masalah untuk mencari Melayu yang berwibawa yang masih muda dan berkemampuan untuk memberikan nafas dan imej baru kepada parti itu.

Melayu yang muda-muda (40 tahun ke bawah) masih ramai yang belum tercemar budayanya yang boleh diraih oleh DAP untuk bergiat dalam parti itu.

Bagi saya pengundi di Teluk Intan sepatutnya memberikan sokongan dengan memberikan undian yang padu kepada Dyana, anak muda yang mempunyai sisik politik yang tinggi. Darah politiknya datang dari darah ibunya yang tidak pernah bersara dari politik walaupun sekarang ini tidak memegang apa-apa jawatan. Walaupun ibu dan keluarga Dyana adalah ahli seumur hidup UMNO tetapi mereka tidak mencegah Dyana membuat pendiriannya sendiri.

Sesungguhnya keluarga ini adalah keluarga yang hidup dengan perjuangan dan kecenderungan politik yang berbeza tidak memecahkan keluarga ini. Itu sahaja adalah bukti yang politik masih hidup jika dalam keluarga itu mempunyai pendirian yang berbeza diantara satu dengan lain.

Kepada pengundi Teluk Intan, saya tahu dan mengakui secara testimonialnya yang Dyana ini adalah anak yang baik dan boleh digilap dan diberikan galakan untuk maju jauh kehadapan. Buat kali ini cara menggilapnya ialah dengan memberikan sokongan kepada beliau tanpa was-was.

Saya yakin, pengundi Teluk Intan tidak akan ada kekesalan jika mengundi Dyana ini. Berpakat-pakatlah sesama sendiri serta rakan dan keluarga dan memberikan undian yang jelas kepada wanita muda yang bertenaga dalam hidup ini.

Jangan kita biarkan orang Melayu hanya dijadikan pembawa poster dan memikul banting-banting sambil memanjat tiang untuk menampal poster dalam pilihanraya sahaja.

15 May 2014

UMNO bergaduh sesama sendiri kerana 'harta rampasan' sahaja, bukan kerana isu negara

Krisis UMNO Terengganu akhirnya selesai. Yang keluar parti telah kembali dan membatalkan tindakan keluar parti. Tindakan ini berlaku agak biasa dalam UMNO. Dalam tempoh dua hari sahaja Ahmad Said, dan dua orang ADUN Terengganu telah kembali kepada UMNO dan kembali ‘bersatu’ setelah Najib memohon maaf kepada Ahmad Said diatas kesilapannya (kata Ahmad Said) yang cuba-cuba hendak menjadi orang tegas dalam keputusannya. Najib telah bertegas tidak mahu menangguhkan tarikh untuk Ahmad Said bersara hanya seminggu.

Dalam rekod ahli parti keluar UMNO ialah dalam kes Datuk Yahya Lampong dari Sabah yang keluar parti tidak sampai sehari dan kembali kepangkuan UMNO semasa pilihanraya negeri Sabah suatu ketika dahulu. Yang agak lama sedikit keluar parti sebelum kembali kepada UMNO ialah Dr Mahathir semasa beliau marah-marah dengan Abdullah Badawi dahulu. Kalau tidak silap saya tidak sampai setahun beliau kembali kepangkuan UMNO setelah Abdullah meletakkan jawatan dan terus memegang nombor keahlian nombor satu.

Keluar masuk dalam UMNO ini sudah menjadi kebiasaan dan mereka yang keluar parti itu akan kembali setelah apa yang mereka tidak berpuas hati itu telah dipenuhi. Dalam kes-kes ini ia mudah diselesaikan kerana mereka bergaduh dan keluar bukan kerana perjuangan dan kepercayaan, tetapi hanya melibatkan isu persendirian. Oleh kerana isu-isunya adalah isu persendirian maka ia mudah diselesaikan kerana berikan sahaja kehendaknya atau gantian kepada sesuatu yang hilang, maka selesailah perbalahan dan kembali bersalaman dan berpelukan.

Yahya Lampong kembali kepada UMNO setelah keluar dari parti beberapa jam sahaja setelah dipujuk oleh pimpinan UMNO. Apa yang menyebabkan pujukan itu berjaya dilakukan, berbagai-bagai spekulasi boleh dibuat. Yahya Lampong lebih kuat sokongan kepada UMNO setelah kembali kepada parti itu dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Ahmad Said juga begitu. Beliau kembali kepada UMNO setelah pucuk pimpinan Najib melalui beberapa orang pimpinan UMNO memujuk beliau untuk kembali. Apakah dia ‘benda’ yang dijadikan alat pujukan itu, tentunya kita akan ketahui tidak lama lagi. Kita boleh lihat, jika ‘benda pemujuk’ itu besar tentulah Ahmad Said akan lebih kuat sokongan beliau kepada UMNO.

Dr Mahathir kembali kepada UMNO setelah kemahuannya tercapai, iaitu bersaranya Abdullah Badawi dari jawatan PM pada tahun 2009 dahulu. Tindakan Dr Mahathir itu juga menjadi senjata serampang dua mata kerana ia memberikan kelebihan kepada Mukhriz dan pucuk pimpinan kita memberikan anak bekas Perdana Menteri itu tempat dalam pilihanraya dan akhirnya menjadi Menteri Besar Kedah sekarang ini.

Semua yang berlaku ini berkisar disekeliling kepentingan peribadi diatas nama perjuangan. Gertak menggertak dalam UMNO ini sekarang sangat efektif kerana kelemahan pimpinan. Kelemahan Najib membuatkan seorang pemimpin seperti Ahmad Said yang tidak ber ‘consequence’ itu penting kepada beliau (Najib) dan memohon maaf kepada beliau (Ahmad Said).

Begitulah budaya dalam UMNO. Budaya ini sudah wujud selama 30 tahun dan ia masih wujud. Mereka tidak bergaduh kerana perbezaan cara dalam perjuangan, tetapi semuanya kerana kepentingan dan ego peribadi sahaja. Itu sebab mudah mendapat penyelesaiannya.

Kalau pergaduhan diantara suami isteri itu selesai kerana memikirkan anak yang sudah besar, pergaduhan dalam UMNO pula selesai kerana ada ‘benda’ yang mahal-mahal diantara mereka yang bergaduh itu. Bahagi-bahagi sahaja ‘benda’ itu selesailah pergaduhan.

Yang letih bertekak dan bergaduh ialah penonton diluar padang sahaja. Yang bermain itu dapat banyak wang ringgit dan menjadi kaya raya, yang diluar padang bergaduh, bakar-membakar kenderaan dan membaling botol dan mendapat kecederaan.

Isu-isu besar negara masih tidak terlerai dan masih terbiar tanpa ada usaha konkrit untuk penyelesaiannya. Pimpinan setiap peringkat masih bergaduh sesama sendiri dalam hal-hal ‘harta rampasan’ perang yang tidak berkesudahan.

13 May 2014

Di Terengganu bermasalah tetapi tidak sebesar masalah di Persekutuan

Krisis melanda UMNO dan kerajaan negeri Terengganu, berikutan dengan perletakkan jawatan Ahmad Said sebagai Menteri Besar semalam dan terus keluar dari UMNO dan menjadi ADUN bebas dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Tindakan Ahmad Said keluar dari UMNO itu telah membuatkan dua orang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri mengikut jejak langkah Ahmad Said keluar parti dan meletakkan kerajaan BN/UMNO Terengganu kini adalah kerajaan minoriti yang hanya mempunyai 14 kerusi sahaja dalam DUN Terengganu. Nampaknya tidak mustahil jika PAS akan mengambil alih kerajaan Terengganu kerana jumlah bilangan kerusi bagi UMNO dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu sudah tidak melayakkan UMNO menerajui negeri itu lagi.

Tetapi saya tidak ingin menyebut apakah yang terbaik bagi PAS lakukan dalam krisis yang amat besar menghadapi UMNO Terengganu ini. Saya lebih cenderung untuk memberikan ulasan tentang UMNO secara keseluruhannya.

Tindakan Ahmad Said keluar UMNO sejurus meletakkan jawatan Menteri Besar itu membawa makna dan 'significance' yang besar terhadap UMNO itu sendiri. Ia bermakna pucuk pimpinan UMNO sudah tidak mendapat penghormatan yang sepatutnya dari pimpinan bawahannya. Tidak ada sebab Ahmad Said keluar dari parti hanya kerana beliau diminta meletakkan jawatan. Walaupun beliau memberikan alasan kerana Najib tidak mahu memberikan peluang untuk beliau meletakkan jawatan selepas 17 Mei nanti, sejurus beliau melangsungkan perkahwinan anaknya.

Tindakan Ahmad Said dan dua orang lagi ADUN Terengganu meninggalkan parti itu membayangkan yang pimpinan Najib sudah tidak dihormati lagi oleh pimpinan peringkat bawahan. Tindakan tidak akur Ahmad Said dan dua lagi ADUN itu bukan sahaja tidak menghormati Najib, tetapi ia juga melambangkan sikap tidak percaya terhadap barisan kepimpinan parti kerana keputusan UMNO meminta seorang Menteri Besar itu adalah tindakan bersama semua Majlis Tertinggi (collective responsibility) parti.

Kegagalan menguasai UMNO Terengganu itu menunjukkan kelemahan Majlis Tertinggi UMNO dan ia merupakan undi tidak percaya terhadap Majlis Tertinggi UMNO bukan setakat tentangan terhadap Najib seorang. Ahmad Said sememangnya seorang yang bermasalah tetapi pucuk pimpinan masih memilihnya untuk menerajui kerajaan Terengganu kerana kepentingan jangka pendek semata-mata. Akibatnya kita sedang sama-sama menyaksikannya.

Itu sebabnya blog ini telah banyak tahun menyatakan yang UMNO yang kini sangat lemah tidak lagi mampu membuat keputusan dengan tepat. Keputusan yang hendak dilakukan itu adalah keputusan yang melibatkan pemimpin yang semuanya adalah dikalangan mereka yang mengambil budaya politik ‘kuning’ yang akan membunuh UMNO itu sendiri akhirnya.

Kalau tidak masakan Ahmad Said merupakan seorang yang sangat ‘controversial’ yang mendapat tempat dan kedudukan melalui perpecahan dalam UMNO khususnya di Terengganu itu sendiri. Ahmad menjadi Menteri Besar dalam kontroversi besar dan perletakkan jawatan beliau sendiri pun menghasilkan kontroversi yang besar sehingga menjerumuskan UMNO negeri ketahap yang sangat merbahaya kedudukannya. Apa yang berlaku di Terengganu sekarang ini merupakan kejadian yang ‘predictable’ dari dahulu lagi dan hanya menunggu masa untuk terjadi.

UMNO pusat tidak lagi mempunyai kekuatan untuk menguruskan negara. Itulah sebabnya selalu di peringatkan yang jika UMNO masih ingin menjadi relevan seluruh kepimpinan di Pusat itu wajar berhenti dan bersara dan serahkan kepada orang yang lebih berpengalaman dan mempunyai ciri-ciri ‘magnanimity’ yang tinggi untuk melakukan pembaharuan.

Saya yakin yang keadaan ini bukan sahaja berlaku di negeri Terengganu, tetapi ia juga berlaku di negeri-negeri lain dan akan hanya menunggu masa sahaja untuk terjadi perkara seperti ini. Keretakan berlaku di setiap negeri dan kawasan dan UMNO sudah kehilangan segala-galanya ciri parti yang memerintah.

‘Intra problems’ dalam UMNO begitu serius dan bagaimana pula UMNO hendak menyelesaikan masalah-masalah besar yang lain seperti rungutan dan tidak puas hati ahli ‘equal partners’ dalam Persekutuan ini. Isu dan rungutan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak ini bukannya isu yang kecil kerana ia melibatkan negara di masa hadapan. Ia memerlukan kepimpinan Persekutuan yang benar-benar mempunyai ciri kepimpinan negara yang berjiwa besar bukan setakat pemimpin yang hanya menyelesaikan isu-isu secara ‘ad hoc’ tanpa bertindak untuk memperkuatkan negara dan rakyat dalam jangka masa yang panjang.

Masalah ‘inter-party’ dalam BN semakin serius dan tanpa penyelesaian yang segera ia tidak akan mengembalikan negara kepada keadaan yang pernah kita alami dahulu. Yang menyelamatkan UMNO sedikit pada hari ini, ialah perpecahan yang juga sedang berlaku dalam pihak pembangkang dan keadaan ini juga tidak memberikan keyakinan kepada rakyat yang ramai untuk mendapatkan sebuah negara yang kuat dalam mana rakyatnya hidup dalam aman dan damai.

Sesungguhnya masalah yang dihadapi oleh pimpinan di Terengganu walaupun masalah besar tetapi ia tidak sebesar masalah yang mereka hadapi dengan dua buah negeri, Sabah dan Sarawak. Ia melibatkan kestabilan sebuah negara yang besar dan isu yang mereka di Malaysia Timur hadapi bukanlah isu yang kecil.

Bagi mereka perjanjian Persekutuan Malaysia yang mereka tanda tangani dahulu adalah perjanjian diantara empat buah negara, Singapura, Sabah dan Sarawak bersama dengan Persekutuan Tanah Melayu. Mereka berhak untuk menuntut apa yang telah dipersetujui dan ditanda tangani kerana jika tidak diselesaikan isu ini maka mereka juga berhak untuk bertindak mengikut kehendak dan kemahuan mereka seperti yang dijanjikan dan di tanda tangani itu.

Penyelesaiannya hanya akan tercapai jika ada dikalangan pemimpin yang berwibawa membawa kembali ke meja perundingan untuk menyelesaikan apa-apa ketidak puasan hati rakyat di sana. Tanpa ada pemimpin yang mampu untuk menyelesaikan dan mencari formula terbaik bagi isu ini, keadaan ini tidak mustahil akan memecahkan negara bukan setakat perpecahan parti-parti politik tanahair semata-mata.

Jika kita hendak mengharapkan pimpinan di Persekutuan yang ada pada hari ini dari kedua-dua belah pihak BN dan Pakatan Rakyat ia tidak akan sampai kemana-mana dan akhirnya akan berlaku apa yang kita tidak ingini pada suatu ketika nanti.

Selalu blog ini menzahirkan pendapat yang kita memerlukan sebuah negara baru yang terlandas kepada kerjasama diantara negeri-negeri yang berdaulat dan rakyat berbilang kaum dan agama yang mantap agar kita dapat dengan segera meninggalkan situasi sekarang yang amat merumitkan kerajaan dan rakyat semua.

12 May 2014

Penjelasan tentang hudud akan memakan masa bertahun-tahun

Keputusan PAS untuk menangguhkan pembentangan dua bill persendirian di Parlimen adalah langkah yang baik asalkan sahaja tidak melupakan hasrat untuk perlaksanaan hudud di negara kita khususnya di Negeri Kelantan Darul Naim. Blog ini telah memberikan pandangan agar perlaksanaannya jika akhirnya di luluskan untuk perlaksanaan itu mestilah satu perlaksanaan yang tepat bukan sahaja dari pertentangan dengan perlembagaan negara, tetapi lebih penting lagi ia tepat dengan kehendak agama yang suci kita.

Lebih dari itu perlaksanaannya nanti akan membuktikan yang hukum hudud itu adalah hukum yang akan difahami dan diterima oleh semua rakyat Malaysia sebagai undang-undang yang akan diterima oleh semua rakyat untuk dijadikan asas terhadap perlaksanaan kehidupan Islam di negara ini.

Kita perlu memberikan kefahaman yang hudud bukan semata-mata isu potong tangan dan rejaman batu kepada penzina dan sebagainya seperti yang ditakuti oleh rakyat bukan Islam. Ia sepatutnya melibatkan semua bidang kehidupan agar apa yang diperjuangan oleh agama untuk menerima Islam itu sebagai 'addin' atau 'cara hidup' itu benar-benar terlaksana dan akan diterima baik oleh semua pihak.

Buat masa ini yang perlu ialah memahami apa itu hudud dahulu. Sekarang ini apabila isu ini menjadi besar ia bukan sahaja menjadi tanda tanya kepada orang bukan Islam malahan ia juga menjadi isu kepada setengah dikalangan mereka yang beragama Islam. Kenapa itu berlaku? Tidak lain dan tidak bukan ialah kerana ia masih belum difahami oleh serata rakyat dinegara ini termasuk orang Islam sendiri.

PAS tidak boleh terus melaksanakan hukum itu walaupun saya berpendapat ia merupakan satu undang-undang yang sangat baik. Kita tidak boleh melaksanakannya sebelum ramai rakyat memahaminya. Jika kita laksanakan sekarang ia seolah-olah seperti kata perpatah, ‘masa nak berak baru menggali lubang’. Penerangan ini sepatutnya telah dibuat puluhan tahun dahulu dan jika ia dilakukan lama dahulu tentunya sekarang ini sebahagian besar dari rakyat sudah pun memahami sedikit sebanyak apa kebaikan hudud itu. 

Jika jawatankuasa teknikal diantara PAS dengan UMNO itu bersetuju untuk memberikan penerangan yang berterusan ia mungkin akan memakan masa sepuluh tahun. Itu tidak mengapa asalkan sahaja niat itu terus berpanjangan sehingga sampai waktunya ia layak dilaksanakan.

Jika PAS tidak bertangguh untuk menjayakan tugas jawatankuasa teknikal hudud yang dicadangkan oleh pihak UMNO itu ia akan segera nampak betapa seriusnya pihak PAS untuk perlaksanaan hukum ini. Dalam pada itu ia akan memberikan fahaman bukan sahaja kepada orang Melayu malahan ia akan juga memberikan kefahaman kepada bukan Melayu dan bukan Islam. Buat sementara ini perlaksanaan itu belum penting lagi kerana ramai yang masih belum memahaminya.

Tetapi ia akan menjadi penting apabila serata rakyat sudah menerima keluhuran undang-undang ini dan mengakui yang manusia yang berakhlak tidak wajar berdiam diri dan tidak memperbaiki diri dan masyarakatnya yang luas.

Tuduhan setengah pihak yang PAS sedang ditundukkan oleh UMNO itu jangan diambil pusing. Ia adalah kerana sesuatu yang baik yang kita mahu lakukan sentiasa mendapat tentangan dan jika kita mendengar bisikan 'khatir' tentunya kita akan gagal dalam perjuangan ini. Jika usaha PAS dan UMNO ini terbatal tentulah ia akan menggembirakan pihak yang bermusuh dengan usaha baik ini dan itu pun perjuangan mereka sampai hari kiamat, iaitu untuk menundukkan Adam  akhirnya. Itu sememangnya janjinya sejak Adam dahulu. Mereka akan sedaya upaya berusaha untuk menggagalkan semua tindakan dan usaha untuk mencari kebaikan.

Masing-masing ada perjuangan sendiri. Yang 'bathil' ada perjuangan untuk merosakan umat sedangkan yang 'hak' itu memperjuangkan hal-hal tuntutan agama dan Tuhannya. Yang 'bathi'l itu tetap akan berang dengan yang 'hak' sampai ke hari kiamat kerana mereka sememangnya telah bersumpah untuk menyesatkan bani Adam sampai bila-bila.

Mereka tidak akan melanggar persumpahan mereka untuk tidak tunduk kepada Adam itu.

10 May 2014

Yang bermasalah tidak boleh menggantikan kerajaan bermasalah

Isu hudud telah melarikan isu yang sebenar dan penting yang kita hadapi sekarang. Isu hudud ini sudah sampai ketahap yang membahayakan Pakatan Rakyat kerana sudah terdengar dengan terbuka dan lantang pemimpin DAP mahu PAS meninggalkan ‘coalition’ pembangkang sekarang ini. Jika ketiga-tiga parti ini tidak dapat membendung kemarahan dan perbezaannya, perpecahan sudah nampak datang dengan deras terhadap Pakatan Rakyat.

Pemimpin DAP dan segelintiran pemimpin dari parti-parti PAS dan parti-parti dalam BN menyatakan ini adalah tektik BN untuk memecahkan Pakatan Rakyat bagi kepentingan kuasa yang ada ditangan mereka. Bagi saya niat ini adalah ‘mutual’ kerana Pakatan Rakyat pun berniat dan mahu melihat BN itu pecah dan lemah dan kerana kelemahan pimpinan BN itulah yang menyebabkan DAP khususnya, telah mendapat 38 kerusi, sepuluh lebihan kerusi dalam PRU yang lepas.

Hakikatnya pertambahan kerusi Pakatan Rakyat melalui DAP dalam pilihanraya yang lepas itu hanya kerana kelemahan MCA khususnya dan bukannya kerana kekuatan Pakatan Rakyat itu. Buktinya jelas kerana PKR mendapat kekurangan sebanyak dua kerusi berbanding dengan PRU 2008 dan PAS telah kekurangan satu kerusi jika dibandingkan dengan PRU 2008 itu. PKR hanya mendapat 30 kerusi dari 32 sebelumnya manakala PAS, mendapat 20 kerusi dari 21 dalam PRU sebelumnya.

Dalam PRU yang lalu gerakan yang dilakukan oleh PR sangat hebat seolah-olah UMNO dan BN akan menjadi sejarah, kerana perkongsian gerakan kerja oleh PR semasa itu, tidak ada cacat atau celanya. Mereka bersatu dengan satu suara yang kuat dan menentang BN dengan persatuan yang hangat itu sehinggakan ada diantara pemimpin BN sendiri mengakui yang BN khususnya UMNO semasa itu merupakan penggal yang terakhir menduduki Putrajaya.

Tetapi dalam keadaan yang begitu kuat kesatuan diantara Pakatan Rakyat mereka akhirnya gagal dalam percubaan mengambil alih Putrajaya itu. Persoalannya adakah pertambahan kelemahan dalam UMNO yang jelas kelihatan sekarang membolehkan Pakatan Rakyat bertambah kuat dalam pilihanraya yang akan datang ini? Benar, UMNO itu bertambah lemah sekarang ini tetapi kali ini jika diadakan pilihanraya sekali lagi, Pakatan Rakyat tidak lagi bertindak selenggang dan sehayun untuk mengambil kesempatan dengan kelemahan BN pada masa kini.

Kedua-dua belah pihak mempunyai masalah dan masalah-masalah yang mereka hadapi bukannya masalah-masalah kecil. Masalah-masalah yang dihadapi oleh BN dan Pakatan Rakyat sekarang ini adalah masalah-masalah yang boleh membawa perpecahan kepada kedua-dua belah pihak yang sedang merebutkan Putrajaya itu.

Masalah intra-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya dalam PKR bukannya kecil, begitu juga dalam DAP. PKR bermasalah dalam perebutan jawatan dalam pemilihan yang sedang berlaku pada hari ini. Belum lagi kita sebut masalah ‘inter-party’ dalam Pakatan Rakyat itu. DAP dengan PAS sedang bersalah-salahan dalam isu hudud dan berbagai-bagai isu sampingan yang lain.

BN juga menghadapi permasalahan besar kerana UMNO sedang bergolak dengan begitu kuat. Tetapi ia tidak nampak begitu secara terbuka kerana ‘coalition’ BN ini adalah satu ‘coalition’ yang begitu berpengalaman dan jika ada pergolakan walaupun amat merbahaya, mereka selalunya dapat menyelesaikan masalah mereka akhirnya.

Tetapi setakat ini BN belum lagi dapat bertemu dengan penyelesaiannya kerana kelemahan pimpinan UMNO yang mengetuai BN itu. Pimpinan UMNO sudah hilang kredibilitinya dimata rakyat sama seperti PR kehilangan kekuatan dan kredibiliti selepas PRU yang lalu derngan berbagai-bagai masalah kepimpinan dalam PKR dan DAP itu sendiri. DAP dan PKR menghadapi masalah yang sama dengan UMNO.

Mereka akan menghadapi cabaran besar apabila parti itu menjadi besar. Bezanya UMNO menjadi kucar kacir selepas empat lima dekad berkuasa, sedangkan DAP dan PKR sudah mula menghadapi perpecahan setelah hanya mendapat sedikit kuasa di beberapa negeri dalam tempoh masa kurang dari sepuluh tahun. Parti-parti ini hanya akan bersatu jika mereka dalam saiz yang kecil.

Itu sebabnya saya selalu katakan jika tidak ada perubahan sikap dalam Pakatan Rakyat, dan dalam keadaan BN yang lemah sekarang ini, PR khususnya DAP dan PKR akan tetap menjadi pembangkang yang baik. Mereka mempunyai kelebihan sebagai pembangkang. Mereka adalah ‘experts’ dalam membuat kritikan melalui tunjuk perasaan dan ucapan yang berderai-derai yang memukau penonton dan mereka yang hadir dalam demonstrasi anjuran pemimpin-pemimpin pembangkang itu.

Mereka pandai berpidato dengan diselitkan lawak jenaka yang sangat menghiburkan bagi ramai-ramai yang hadir itu. Tidak dapat pula dipastikan samada mereka tertawa oleh kerana lawak mereka yang berucap itu atau pun mereka dibawah pentas itu ketawa kerana mentertawakan mereka yang berucap itu.

Kedua-dua belah pihak sedang bermasalah dengan kepimpinan, baik dari sudut moral mahu pun dari sudut kemampuan untuk melakukan perancangan untuk kemajuan politik dan negara ini. Ingat jika dihapuskan PTPTN atau tol lebuhraya sekali pun ia bukan bermakna akan membawa perubahan kepada nilai moral politik negara kita ini.

Kita perlukan pimpinan yang merupakan seorang ‘planner’ yang cekap untuk memajukan negara dalam semua bidang. Selain dari pemimpin yang boleh mengurangkan kos kehidupan, kita memerlukan perancang yang mahir dan berjiwa negara untuk membuat perubahan kepada situasi politik yang lebih meyakinkan keseluruhan rakyat yang dahagakan perubahan ini.

Seluruh kepimpinan dalam UMNO (MT UMNO) sarat dengan mereka yang tidak berkepimpinan dan menggantikan pimpinan kerajaan dengan salah seorang dari MT UMNO itu bukanlah perubahan. Ia akan hanya menambah masalah yang berpanjangan.

Pakatan sudah tersedia dengan masalahnya sendiri dan sekali gus tidak berkelayakan untuk menjadi penyelesai kepada masalah kerumitan negara pimpinan UMNO ini. Kalau PR menjadi penggantinya, ia akan menjadi ibarat 'tikus memperbaiki labu'.

Adalah lebih pilihan yang salah jika penggantinya adalah dikalangan mereka yang akan berpecah belah dan tidak bersatu.

09 May 2014

Seperti seekor beruang yang terlalu sayangkan tuannya

Pilihanraya kecil Bukit Gelugor merupakan satu PRK yang sangat mendapat perhatian ramai. Perhatian tertumpu kepada siapa yang akan menjadi calon menggantikan mendiang Karpal Singh. Ia lebih menjadi tumpuan sejak dua hari yang lepas kerana berita hangat didengar ialah Ramkarpal, anak kepada mendiang Karpal adalah calonnya. Kalau ia benar-benar terjadi maka DAP tidaklah seperti apa yang mereka perjuangkan. Ia sama juga seperti parti PKR yang merupakan parti keluarga dan ipar duai semata-mata.

Ramai dikalangan mereka dalam DAP telah menunjukan sikap tidak puas hati jika anak Karpal menjadi pengganti kepada Karpal. DAP tidak lagi boleh mengkritik pihak lain seperti mereka dalam parti kerajaan yang dikatakannya mengamalkan nepotisma yang menebal dalam UMNO terutamanya.

Di pihak UMNO pula berita kencang bertiup yang Najib akan berhenti dan bersara dan mahukan sepupunya Hishamudin sebagai pengganti Perdana Menteri. Yang lebih lawak lagi kedengaran berita yang Shafie Apdal akan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Semakin hari semakin menirus keyakinan rakyat terhadap politik negara kerana kedua-dua belah pihak yang bersaing menampakkan pencabahan elemen kronisma yang begitu jelas dan tidak dapat lari dari kepentingan keluarga.

Seorang pemimpin pergi akan digantikan dengan seorang atau dua ahli keluarga mereka. Hisham dan Najib merupakan keturunan kepada bekas Perdana Menteri-Perdana Menteri negara dan Lim Guan Eng adalah mengambil pusaka Lim Kit Siang walaupun LKS masing berada secara aktif di dalam partinya. Sekarang jika RamKarpal menjadi pengganti ayahnya maka sudah jelas lagi situasi ‘pot calling the kettle black’ sesungguhnya wujud dalam mana-mana parti samada dalam kerajaan atau pembangkang.

Baru-baru ini berlaku ‘intrigue’ politik yang dari awal di duga yang Wan Azizah dan suaminya dicalonkan untuk bertanding jawatan Presiden PKR yang akhirnya suaminya mengundurkan diri untuk memberikan laluan kepada isterinya untuk mengetuai parti itu tanpa cabaran. Itulah sebabnya sesebuah parti yang mempunyai budaya menurun pusaka ini selalunya tidak akan dapat membuat keputusan dengan baik yang akhirnya membawa masalah kepada parti pimpinan mereka.

Akhirnya rakyat dibawa berarak ke hulu ke hilir membuang masa semata-mata untuk menaikan ego sesuatu keluarga dan jika ada kesalahan yang berlaku oleh pimpinan yang menerima pusaka ini, rakyat juga yang akan dipersalahkan kerana kononnya rakyat membuatkan parti dan negara berpecah. Mereka tidak pernah mahu menerima yang mereka yang mengambil alih pusaka dari bapa atau datuk mereka inilah yang menyebabkan perpecahan. Mereka tidak mahu menerima yang ‘there must be a cause for a cause’. Akhirnya rakyat yang buruk-buruk dibawah ini juga yang dimangsakan apabila mereka gagal melaksanakan tugas dan amanah negara kepada mereka.

Kebanyakan pucuk pimpinan parti-parti yang sedang memimpin sekarang berpendapat yang hanya ahli keluarga mereka sahaja yang mampu memimpin dan semua yang lain tidak punyai kemampuan apa-apa. Yang lain-lain itu hanya diperguna untuk menampal poster dan banting semasa pilihanraya dan menjadi ‘kuda pelejang’ untuk memaki hamun pihak mana yang mereka tumpaskan..

Baik dalam UMNO, DAP dan PKR pimpinan utama mereka hanya membuatkan ahli-ahli biasa yang lain sebagai anjing buruan dan apabila anjing-anjing buruan dapat membunuh haiwan buruannya mereka akan membahagi-bahagikan daging buruan sesama kroni mereka. Jika yang ramai-ramai membuat bising maka mereka ini akan hanya dilemparkan tulang-tulang yang tidak berguna kepada anjing buruan mereka itu. Maka senyaplah anjing-anjing buruan ini kerana kepada mereka, tulang-tulang yang mereka dapat dari lemparan tuannya tadi dianggapnya sebagai makanan yang paling nikmat mereka dapati.

Maka negara akan terus diterajui oleh pemimpin yang mahukan perpecahan semata-mata kerana pimpinan yang lemah akan hanya kekal dalam situasi yang pecah belah. Mereka akan hanya ‘survive’ dalam perpecahan dan tidak mungkin kekal dalam keadaan aman dan damai. Masing-masing mempunyai penyokong belaan yang akan mendindingi mereka walaupun mereka melakukan kerja hina dan tidak elok.

Malahan penyokong-penyokong inilah yang membinasakan pimpinan sokongan mereka. Mereka ini ibarat 'seekor beruang belaan yang terlalu sayangkan tuannya' walaupun dalam keadaan apa sekali pun. Apabila seekor nyamuk menghinggapi pipi tuannya beruang ini sangat marahkan nyamuk ini dan terus sahaja menampar sekuat hati nyamuk yang hinggap dimuka tuannya itu.

Akhirnya muka tuannya itu ‘sempong’ bak kata ‘oghang Pilah’ dan tuannya sudah tidak tentu rupanya lagi. Akhirnya tuannya mati dalam keadaan mukanya ‘sempong mempong’.

Itulah yang berlaku dalam politik negara kita sekarang ini. Najib sudah tidak tentu arah perjuangannya. Begitu juga dari pihak PKR dan DAP. Semua mereka ini akan gagal sehingga bila-bila dan tidak akan mempunyai masa untuk melakukan perkara yang baik selain dari berusaha mengekalkan kuasa idaman mereka sahaja.

Najib dan UMNO tidak akan dapat keluar dari permasalahannya. Jika parti-parti pembangkang seperti DAP dan PKR terusan bersikap mengelirukan itu juga tidak akan mendapat kuasa idaman mereka. Takut-takut meraka akan bermimpi disiang hari sahaja.

04 May 2014

Perlembagaan (dan undang-undang) Tuhan lebih tinggi dari perlembagaan negara

Isu hudud semakin panas dan DAP merupakan parti yang paling rasa kepanasannya. Yang terakhir Lim Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan keras kepada PAS dan mengingatkan PAS samada parti itu patut yakin dengan janji-janji UMNO dalam hal hudud ini. LGE bertegas untuk menentang hukum hudud ini dilaksanakan di Kelantan dan beliau mengingatkan PAS yang parti itu telah mengecewakan penyokong bukan Islamnya dan tidak berterima kasih diatas sokongan bukan Islam dalam PRU yang lalu yang membolehkan PAS mendapat kerusi yang banyak dalam pilihanraya yang lalu.

Hanya yang belum di sebut oleh LGE ialah supaya PAS meninggalkan Pakatan Rakyat sahaja. Jika saya anggap saya sebagai ahli PAS, saya tidak menerima kenyataan LGE yang PAS telah mendapat kelebihan kerusi dalam pilihanraya yang lalu kerana sokongan DAP dan kaum bukan Islam, ia merupakan satu kenyataan yang tidak berhati-hati. Sesungguhnya dalam pilihanraya yang lalu PAS telah menjadi korban DAP dan Parti itu mendapat satu kerusi kurang dari pilihanraya 2008 yang lalu.

Yang mendapat kelebihan kerusi yang banyak ialah DAP, dari 28 kepada 38 hasil dari PAS yang membawa orang Melayu dan Islam berpusu-pusu menyokong parti itu sehinggakan DAP mengambil kesempatan dengan menggunakan orang Melayu dan Islam sebagai pembawa poster dan banting sahaja dalam pilihanraya yang lepas.

Jika DAP berterusan mengkritik PAS sebegini ia terlupa yang parti itu telah memungkiri janji untuk menghormati perjuangan politik dan agama lain seperti yang disebutnya semasa berbahas dengan Dr Chua Soi Lek suatu ketika sebelum PRU yang lalu.

PAS sekarang sedang menerima gamitan dari mereka yang tidak suka dengan hukum Islam dan gamitan dari pihak yang berkehendakkan Islam itu di masyurkan dan di tingkatan penerimaannya terhadap umat manusia yang beragama Islam terutamanya. PAS boleh memilih untuk meninggalkan perjuangan Islamnya dan bersekutu dengan pihak yang semuanya tidak betul dengan Islam ini.

Tindakan DAP cuba untuk mengelirukan PAS supaya tidak percaya kepada UMNO itu adalah satu lagi tindakan yang tidak difikirkan sebelum membuat kenyataan. Adalah tidak munasabah bagi PAS untuk mempercayai DAP dalam hal meningkatkan Islam ketahap yang tertinggi. Dalam membuat kritikan terhadap PAS agar tidak percaya kepada UMNO, LGE sendiri secara terbuka tidak menyokong pengamalan hukum hudud di Kelantan.  Saya bukannya meminta PAS percaya dengan UMNO, tetapi saya hanya mengatakan yang DAP langsung tidak boleh berbincang tentang hudud ini.

Apa pun sebabnya UMNO bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal tentang hudud ini, ia dipersetujui oleh mereka yang beragama Islam. Seburuk-buruk UMNO itu ada juga bau Islamnya walaupun ia tidak setahap mana.

Bagi saya yang penting sekarang kita wajar bersetuju untuk perlaksanaan hukum hudud itu dan Dewan Legislatif perlu menyokong usul persendirian itu. Samada ia akan terlaksana tahun hadapan atau tahun-tahun yang akan datang itu bergantung kepada beberapa perkara pokok yang perlu diselesaikan dan dipersediakan.

Pertamanya ia perlu difahami oleh semua bangsa dan berbagai agama dalam negara ini. Ia perlu diterangkan dengan secara 'detail' dan pastikan semua pemimpin memahami apa hudud itu sebenarnya.

Malahan jika kita tidak melaksanakan hudud itu, kita perlu memahami apa hudud itu, setidak-tidaknya dijadikan sebagai sumber ilmu bagi mereka yang jahil-jahil seperti saya ini.

Jika kita mahu menjadi orang Islam sebenarnya saya meminta diri saya dan semua orang untuk mengambil agama itu seratus peratus. Kita tidak boleh menyesuaikan agama itu dengan kehendak nafsu-nafsi kita semata-mata kerana Islam itu di turunkan sebagai agama yang lengkap. Kalau kita tidak mahu mengikut kehendak sebahagian dari agama itu, kita akui yang kita engkar dengan kehendak agama dan Tuhan kita, tetapi jangan menyatakan agama kita itu tidak sempurna. Kita akui kita tidak mampu menerima agama kita yang lengkap itu.

Jika kita malas bersolat, terima sahaja yang kita engkar untuk bersolat misalnya, tetapi jangan katakan yang kita tidak payah bersolat. Saya selalu tinggal solat lima waktu itu, tetapi saya tidak akan berkata yang kita tidak perlu bersolat.

Begitu juga dengan hukum hudud ini. Jika tidak berkemampuan untuk menerimanya, akui sahaja yang kita engkar, jangan katakan yang hudud itu zalim dan sebagainya. Biarkan Lim Guan Eng kata hukum Islam itu zalim. Jangan pula kita terikut berkata perkara yang sama kerana Lim Guan Eng itu bukan bandingan dengan  Tuhan kita.

Jika perlu ditinggalkan sahaja Pakatan Rakyat, lakukanlah dengan penuh komitmen dan keyakinan. Tetapi jika masih hendak mengikuti LGE itu adalah hak masing-masing, tetapi kita mesti akui yang kita engkar terhadap agama kita. Itu demokrasi, boleh ikut LGE jika percaya kepadanya dan kita boleh ikut kehendak agama kita jika kita yakin agama kita itu agama yang sempurna dan lengkap.

Tetapi jangan biarkan mana-mana individu yang bukan beragama Islam menghina agama kita. Sejahil-jahil kita yang beragama, kita tidak mampu membiarkan agama kita dilangkah dan diperkecilkan oleh mana-mana pihak.

Pada siapa yang merasa berat berjuang untuk kehendak Allah s.w.t. duduk diam ditepian bersama saya, tetapi jangan terdorong untuk mengiyakan pandangan mereka yang tidak suka dengan hukum agama kita.

Kita perlu ingat se garang dan se hebat mana kita sekali pun didunia ini, akhirnya nanti kita akan pergi menghadap Allah s.w.t. juga. Walaupun jasad kita dimakan ulat tetapi ingat roh kita lah yang akan menerima bahagia atau celaka akhirnya nanti.

Oleh kerana kita ada roh itulah maka ada elemen dosa dan pahala. Roh kita akan mengadap Tuhan Azawajalla dan dialah yang akan menanggung segala dosa dan noda kita didunia ini.

Perlembagaan Tuhan lebih tinggi dari perlembagaan negara. Perlembagaan negara itu adalah buatan manusia, boleh diubah dan disesuaikan dan diubah. Yang tidak boleh diubah ialah Perlembagaan Tuhan yang Maha Pencipta itu.

Pencipta-pencipta perlembagaan negara itu sendiri adalah ciptaan Allah s.w.t. Guan Eng itu sendiri adalah ciptaan Tuhan. Ingat itu.

03 May 2014

Bersatunya UMNO dengan PAS tidak semestinya kita berjaya

Berbagai cara dilakukan oleh pembangkang bagi menggulingkan parti pemerintah sekarang ini dan begitu juga berbagai-bagai ‘intrigue’ politik dilakukan oleh kerajaan untuk mengelak mereka digulingkan. Masing-masing pihak bermain politik seratus peratus, satu untuk menggulingkan yang ada dan satu pihak yang lain untuk mempertahankan kuasa yang telah dipegangnya sejak negara mencapai kemerdekaan.

UMNO mencengkam kuasa dengan menggunakan kuasa eksekutifnya yang ada dan pihak pembangkang menggunakan tunjuk perasaan bagi mengekalkan sokongan yang kadangkala menurun dan mencemaskan mereka. Pilihanraya ke13 yang lepas merupakan waktu yang terbaik bagi pembangkang untuk mendapat mandat kerana semasa itu mereka dalam ketiga-tiga parti bersatu dan tidak nampak kesalahan masing-masing.

Semuanya nampak hebat malahan pimpinan tertinggi pihak pembangkang sudah merasakan yang kuasa sudah pasti berada dalam tangan mereka dan berlagak seperti pihak yang sudah berkuasa. Begitulah lagak mereka dan ada pemimpin yang sudah bersedia dengan memberikana amaran keras kepada badan-badan kerajaan yang mereka akan diambil tindakan selepas sahaja mereka dapat mengambil alih BN sebagai kerajaan di Putrajaya. Anwar Ibrahim sudah bercakap seperti Perdana Menteri dan lagak ‘glamour’ seperti beliau menjadi Timbalan PM dahulu sudah mula menyerlah kembali.

Tetapi rakyat juga yang akhirnya memberikan penentuan yang mereka belum sampai masanya untuk berkuasa. Tentunya di sebalik kegagalan itu ada hikmahnya, jika tidak untuk Anwar dan penyokongnya, hikmah itu mungkin untuk rakyat yang ramai. Pada pembangkang mungkin ada juga hikmahnya kerana jika mereka mendapat kuasa dalam PRU ke13 yang lalu, kita tidak dapat bayangkan betapa kelam-kabutnya parti-parti dalam Pakatan Rakyat, kerana sekarang jelas-jelasnya mereka bukanlah ‘coalition’ yang bersatu terutamanya dalam hal agama dan perkauman.

Jika Pakatan Rakyat menjuarai Putrajaya tidak mungkin PAS dapat bersuara dalam hal hukum hudud kerana parti-parti dalam komponennya tidak bersetuju dengan tindakan melaksanakann hukum hudud walaupun ianya hanya untuk negeri Kelantan. Tetapi hikmah bagi PAS, kekalahan Pakatan Rakyat itu mempunyai hikmah dalam hal hudud ini kerana seburuk-buruk UMNO, PAS lebih mudah untuk bercakap tentang hudud ini kerana ahli-ahli UMNO itu beragama Islam walaupun pemimpin-pemimpinnya lazim melanggar hukum asas agama seperti larangan rasuah dan sebagainya dilanggar tanpa halangan.

Oleh kerana orang Melayu merupakan kaum majoriti dinegara ini jika berkurangan perbezaan diantara PAS dan UMNO maka adalah tidak salah jika dikatakan yang UMNO akan terus menjadi pemerintah negara dalam jangka masa yang agak lama lagi. Hanya jika UMNO masih dipimpin oleh mereka dalam kumpulan sekarang ini, yang kita khuatiri negara kita akan jahanam dan merudum dalam semua bidang.  Oleh itu sekarang ini rakyat ada pilihan, samada mahu negara ini jahanam dibawah BN atau jahanam dibawah pimpinan Pakatan Rakyat..

Tetapi bagi orang Melayu mereka rela jahanam dibawah BN dari jahanam dibawah Pakatan Rakyat kerana Melayu akan tergugat dan akan hilang segala identitinya di bawah tadbiran Pakatan Rakyat kerana pengaruh bukan Melayu yang lebih kuat dan jelas dibawah Pakatan Rakyat.

Kelemahan UMNO itu juga membawa hikmah kerana dengan kelemahannya, ia membolehkan ramai dikalangan pimpinan parti itu terpaksa mengakui yang ia memerlukan sokongan PAS, maka bolehlah bercerita dan berbincang tentang hukum-hukum agama diantara mereka yang mempunyai agama yang sama. Bagi PAS adalah lebih mudah baginya berbincang dengan UMNO dalam matlamat hendak melaksanakan hukum dan kerajaan Islamnya dari parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Rakan-rakan dalam Pakatan jelas memberikan tentangan hebat terhadap usul persendirian di parlimen untuk melaksanakan hukum hudud itu.

Masalah yang ada dihadapan UMNO dan PAS sendiri ialah untuk memberikan kefahaman tentang hukum hudud ini secara terperinci agar ia tidak dianggap oleh mana-mana kaum yang beragama bukan Islam hanya menganggap hudud itu sinonim dengan potong tangan dan hukum rejam sahaja. Setakat ini PAS sendiri belum melakukan apa yang sepatutnya dilakukan untuk melaksanakan hukum hudud yang menjadi ketakutan bagi banyak pihak termasuk dalam PAS dan UMNO itu sendiri.

Selagi penerangan tidak menyeluruh dan kefahamannya belum merata, maka hukum hudud ini tidak perlu dilaksanakan secara tergesa-gesa. Tetapi yang penting sekarang UMNO dan PAS perlu mengemukakan komitmen yang sahih bagi perlaksanaannya di Kelantan dahulu. Jika ia terlaksana dengan baik di Kelantan dan terbukti boleh membawa keadilan yang lebih berbanding dengan hukum’ civil’ yang ada pada hari ini maka proses penerangan dan penerimaan rakyat dinegeri lain akan lebih mudah untuk dilakukan.

Tetapi hasil dari kepanasan isu ini secara politiknya akan memberikan kekuatan kepada UMNO dan PAS dan idaman DAP dan PKR untuk duduk di Putrajaya itu elok dilupakan sahaja dan saya tahu pandangan ini membuatkan yang berada dalam DAP dan PKR tidak selesa mendengar pandangan seperti ini.

Jika DAP atau PKR menggunakan isu hudud ini sebagai isu politik ia akhirnya akan membunuh mereka sendiri. Isu yang paling mampan bagi DAP dan PKR tetap isu rasuah dan salah guna kuasa yang merupakan isu yang real dan hakiki bagi mendapatkan sokongan rakyat berpindah kepada mereka menggunakan isu hudud ini. Situasi ini memperkuatkan UMNO dan membawa sekali gus kekuatan untuk PAS membuat tuntutan untuk perlaksanaan sebahagian besar perjuangan asal parti itu.

Pokoknya sekarang, mampu kah UMNO menunjukan kekuatan pemikirannya untuk menyatukan orang Melayu dengan kelemahan yang nyata yang terdapat dibarisan pimpinan parti itu? Mampukah UMNO mencari kepimpinan yang berkebolehan sebagai ‘planner’ berkesan dalam meneruskan tanggungjawab sebagai parti yang memerintah sekarang ini?

Kita perlukan bukan setakat mampu menyatukan kaum Melayu, kaum terbesar dalam negara ini. Jika sudah bersatu adakah ianya satu kejayaan tanpa menunjukan perbezaan untuk mencapai matlamat pembangunan negara dalam semua bidang termasuk menyatukan Melayu dengan kaum lain di negara ini.

Dulunya UMNO berfungsi sebagai parti penyatu bangsa Melayu di samping menyatukan mereka bersama dengan semua kaum untuk membawa negara kearah yang ‘ultimate’, iaitu ‘national unity’ seperti yang kita pernah alami dahulu.

Tentunya ia memerlukan seorang pemimpin Melayu yang matang yang jiwanya hanya untuk bangsa dan negaranya, bukan setakat menunjukkan otot besar untuk membantutkan pertumbuhan pemikiran bangsanya sendiri.