29 June 2013

Membenteras rasuah itu kerja susah, kerana terpaksa melawan diri sendiri

Rasuah itu satu jenayah yang sangat besar dalam kehidupan seseorang tidak kira disisi masyarakat, kerajaan dan lebih-lebih lagi disisi agama suci kita. Rasuah merupakan jenayah yang paling awal dilakukan oleh manusia dan jika boleh dianggapkan sebagai budaya ia adalah budaya yang tertua didunia ini

Rasuah amat dibenci oleh agama kita kerana rasuah itu boleh menjatuhkan tamadun manusia dan sesebuah negara. Itu sebabnya agama kita menganggap rasuah itu adalah satu dosa besar yang disamakan sebagai seorang yang memakan daging saudaranya sendiri. Tetapi dalam sistem masyarakat negara yang rasuah, kegiatan buruk ini kadangkala dibanggakan oleh sipelakunya.

Apabila rasuah sudah menjadi budaya seluruh manusia yang ada di dalam sistem itu akan terlibat dengan rasuah itu samada secara ‘direct’ atau ‘indirect’ dan tidak ada sesiapa yang boleh membetulkan persepsi rasuah itu dengan mudah tanpa mendapat tentangan dari masyarakat yang menerimanya sebagai budaya tadi. Memerangi rasuah ini lebih hebat dari menghadapi peperangan dua wilayah yang mempunyai kekuatan ketenteraan yang besar.

Perjuangan menentang rasuah ini adalah seperti anggota-anggota tentera yang menghadapi serangan musuh dari luar. Sebelum memenangi peperangan itu ramai yang terkorban dan mati begitu sahaja ditengah medan perjuangan itu. Rasuah lebih hebat lagi dari peperangan Khandak kerana ia melibatkan peperangan melawan nafsu sendiri. Melawan nafsu sendiri itu adalah peperangan yang terhebat besarnya kerana ia terpaksa dilakukan sepanjang hayat kita. Dalam perjuangan rasuah ini ia akan menjatuhkan ramai pemimpin yang baik yang tidak terlibat bersama dengan budaya ini.

Di dalam peperangan Khandak dahulu, Saidina Ali karammallah huwajhah telah bertanya kepada rasulullah apakah peperangan yang lebih besar dari peperangan Khandak yang baru sahaja selesai dengan kemenangan tentera Islam dalam bulan ramadhan itu. Islam yang hampir tewas akhirnya memenangi peperangan itu. Rasulullah menjawab peperangan yang paling besar ialah memerangi diri sendiri, yang membawa maksud memerangi nafsu syahwat sendiri.

Justeru melawan dan berperang dengan rasuah ini adalah peperangan yang sangat besar dan hebat kerana ia merupakan peperangan melawan nafsu yang cenderung untuk melakukan kejahatan termasuk rasuah. Jika kita tidak mempunyai kekuatan batin, mental serta keteguhan agama yang tinggi dan kuat nescaya perjuangan itu akan terhenti ditengah jalan sahaja.

Apabila satu-satu negara yang rasuah sudah menjadi budaya rakyatnya, ia amat sukar untuk diperbaiki. Sebagai contoh yang senang, jika seseorang yang dianiaya oleh pihak sesiapa, pihak Polis adalah tempatnya kita mengadu untuk mempertahankan diri kita.

Tetapi dalam sebuah negara yang rasuah pihak Polis ini belum tentu lagi berkemampuan untuk memberikan perlindungan kepada pihak yang teraniaya tadi jika elemen rasuah sudah menjalar kedalam Jabatan Polis itu. Pihak Polis mungkin menutup kes-kes seperti ini kerana ada elemen yang mampu untuk menukar sikap Polis terhadap pengadu itu, iaitu rasuah.

Kita boleh membawa sesuatu kes penganiayaan itu kepada mahkamah. Mahkamah juga belum tentu boleh menjadi tempat perlindungan bagi rakyat yang teraniaya tadi jika budaya rasuah juga telah meresap kedalam Badan Kehakiman itu. Selalunya sistem yng telah tercemar dengan rasuah itu tidak mudah dapat diperbetulkan kerana dalam kesemua institusi demokrasi yang wujud itu dilacurkan oleh pimpinan  politik yang berkuasa dan rasuah itu tadi.

Jika negara yang mengakui sebagai sebuah negara demokrasi sekali pun, jika rasuah menjadi budayanya maka demokrasi itu sendiri tidak akan terlaksana dengan betul. Pimpinan yang rasuah dan gila kuasa akan menjahanamkan sistem pengasingan kuasa yang selalunya wujud dalam sesebuah negara demokrasi itu tadi. Mereka yang berkuasa yang rasuah tidak mungkin mampu untuk membuat keputusan dengan baik dan betul.

Di negara kita pengasingan kuasa diantara ‘judiciary’, legislatif dan eksekutif itu sudah mula dilacurkan pada pertengahan tahun lapan puluhan dahulu. Politik dan eksekutif telah melacurkan sistem pengasingan kuasa itu. Tidak payah kita ulas apa kah yang saya maksudkan itu kerana blog ini sarat dengan ulasan itu sejak wujudnya blog ini. Sampai kehari ini keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi yang dilaksanakan dinegara ini dipersoalkan oleh mereka.

Apabila sistem itu sudah penuh dengan rasuah, semua pihak terlibat dengan rasuah dan yang bercakap menentang rasuah itu juga dilaungkan oleh mereka yang rasuah maka tidak mungkin penyakit dan budaya hina ini  akan dapat diperbaiki. Masing-masing mempertahankan tindakan pihak yang lain yang rasuah kerana semuanya terlibat secara terus atau secara ‘indirect’.

Maka dalam sistem yang sarat dengan rasuah itu, ia juga akan melibatkan perkara-perkara lain. Ia secara ‘head-on’ dengan memfitnah agamanya sendiri, memfitnah adat dan adabnya sendiri dan akhirnya ia kehilangan identiti mereka sendiri. Agamanya akan terfitnah dengan sendirinya kerana Islam tidak pernah membenarkan rasuah dilakukan oleh umatnya lebih-lebih lagi pemimpinnya.

Islam difitnah oleh umatnya sendiri kerana orang Islam sepatutnya teguh kerohaniannya dan tidak mudah terliur dengan wang ringgit secara haram itu. Apabila seseorang dan kumpulan atau kerajaan itu dipersepsikan sebagai rasuah, dengan sendirinya ia membayangkan yang mereka tidak menghormati agamanya sendiri, maka tidak hairan jika Islam dipandang sebagai agama yang tidak baik pada mereka yang bukan Islam.

Selagi Islam itu tidak di’addin’kan sebagaimana yang dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin kita selama ini selagi itulah negara tidak akan mendapat rahmat dan akan tetap berada ditahap dan situasi sekarang ini.

Maka jangan kita mengelak dari melakukan perubahan itu, tetapi perubahan itu wajar dilakukan oleh pimpinan yang mempunyai moral kepimpinan yang baik. Jika yang hendak melakukan perubahan itu tidak selesai masalah moral dan peribadi mereka ia tidak akan membawa makna kepada perubahan yang dilakukan itu.

Elakkan dari menggantikan pimpinan yang ada dengan orang yang belum selesai masalah moral yang mereka hadapi. Mereka yang sedang menghadapi isu moral serta kekurangan peribadinya, ia tidak boleh dibenarkan memimpin dan mereka yang seperti ini elok duduk bersama dibawah ini dengan orang seperti saya sahaja.

Mari kita hanya jadi penyokong setia kepada pimpinan yang jujur untuk melakukan perubahan itu.  Tidak payah hendak menjadi pemimpin, kerana ia akan hanya membantutkan usaha untuk melakukan perubahan bagi negara yang ketandusan kepimpinan ini.

29 comments:

  1. Betul Pak, pemimpin tidak bermoral tidak boleh jadi pengganti.

    ReplyDelete
  2. Salam Tu
    seingat saya, dinasti-dinasti serta kerajaan yang besar dalam sejarah runtuh kerana perbalahan dan rasuah, contohnya pada ketika akhir zaman Dinasti Manchu China, kerajaan nya tak berupaya melawan penjajahan bangsa eropah bila para menterinya menggelapkan peruntukkan pembelian senjata untuk kepentingan diri, akhirnya China menyerah kepada bangsa eropah dengan mudah.

    Rasuah umpama kanser yang tidak mampu dirawat melainkan dengan hanya membunuh penghidap rasuah tersebut, begitulah yang di amalkan oleh kerajaan China pada hari ini iaitu menghukum mati pemberi dan penerima rasuah.

    fikir-fikirkanlah..

    ReplyDelete
  3. Rasuah tidak akan selesai pak, selagi nama-nama yang ada masih menjadi pemimpin. Baik BN dan PR sama saja. BN sudah terbukti dan PR pula sudah kita nampak penyakit itu juga akan melarat jika diberikan kuasa. Entahlah, kita serah sajalah kepada yang maha kuasa. Tak dapek kito nak nolong eh laie doh.

    ReplyDelete
  4. Buang yg keruh ambil yg jernih...
    Tapi pak yg ada semuanya keruh, kaau dibuang tidak ada apa lagi pak....

    Sebab semuanya keruh.....

    ReplyDelete
  5. Sdra AA,
    Agama mengajar kita nilai nilai hidup yang tinggi. Budaya Melayu pula mengajar kita adab sopan bermasyarakat. Syukurlah kita di lahirkan dalam sebuah masyarakat yang beragama dan berbudaya yang sempurna.Benih agama dan benih budaya ditanam dalam diri kita sehinggalah kita meningkat remaja.

    Boleh disimpulkan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai nilai nilai terpuji, jika tidak semua pun ,majoriti nya ada nilai terpuji.

    Cuma satu yang mungkin kita kalah.Hawa dan nafsu syaitan di bumi bernama Malaysia adalah terlalu panas dan kuat..Setinggi mana budi pekerti kita dan sekuat mana agama dan pendirian kita, kita masih tidak berkuasa dan mampu melawan hawa nafsu syaitan...Begitulah kuat dan panasnya hawa nafsu syaitan di bumi benama Malaysia ini.
    Dari serendah rendah rakyat marhaen serta penjawat awam hinggalah ke setinggi tinggi ahli teknokrat, ahli legislatif serta kaum bangsawan kita mudah tergoda dan tewas dengan hawa nafsu syaitan ini.

    Lalu lahirlah budaya dan sistem yang korap seperti korapsi,kronisma,duit kopi,duit bwah meja, duit tersepak dan berbagai jenis "puting susu" yang semuanya menyeronokkan dan melalaikan...Sedarkah kita semua, akhirnya semua nafsu syaitan itu akan merosakkan anak bangsa dan negara kita sendiri.

    Benarlah kata Sdra Aspan Umat Melayu yang wajibnya beragama Islam diMalaysia ini akan terus dipandang hina oleh masyarakat lain. Agama Islam
    yang lita wawarkan sebagai Addin itu sebenarnya tidak begitu addin dalam hati kita sendiri. Jadi bagaimana masyarakat lain akan menerima Islam sebagai Addin.

    Begitulah realitinya kuatnya hawa panas dan angin kencang syaitan diMalaysia ini sehinggakan ramai diantara kita tewas. Akar budi dan benih agama terlayu dalam proses meningkat dewasa dalam kehidupan suasana hebat,maju,canggih dibumi Malaysia ini. Kita tewas kepada syaitan atas nama kemewahan dan pembangunan Ummah MelayuIslam.

    Dimanakah silapnya kita, pemimpin agamakah yang silap ajarannya,orang legislatif ke yang tamak kuasa,pemimpin politikkah yang terpesong arah,usahawan bisnes kah yang mata duitan atau rakyat kita sendiri kah yang butahati dan buta maklumat. Atau adakah semua ini terlaku dek kerana terlalu ingin mengejar angka...Mahu bumiputra dan MelayuIslam terus meguasai 30 peratus ekonomi negara. Atau Adakah mottonya "matlamat adalah segala galanya,halal haram jangan di ambil kira". Sama samalah kita semua renungkan.

    Sdra Aspan,saya berdiri dibelakang saudara."Anonymous opinion".

    ReplyDelete
  6. Tuan,
    Kali ini tuan ketengahkan bicara besar untuk tatapan pembaca. Pembaca semestinya mengambil iktibar dari luahan pandangan ini terutama mereka yang bergelar pemimpin. Andai diri telah tercalar dengan budaya rasuah ini maka insaflah dan berundurlah untuk memberi jalan kepada muka-muka baru yang bersih.
    Rakyat sudah muak, benci dan benar-benar marah membara dengan pemimpin sebegini. Kebangkitan rakyat beragama Islam untuk medalami agama ini dan mereka telah masuk kedalam Islam sepenuhnya saperti dikehendaki Allah SWT. Ini bukan bererti mereka menolah kemewahan rezeki didunia tetapi mereka mengambilnya dari sumber yang sehalal mungkin. Tujuannya untuk mendapat kerezaan Allah SWT agar dipermudahkan perhitungan di Padang Mahsyar kelak.
    Sesebuah Negara yang ditadbir olih pemimpin korup pasti membebankan rakyat. Rakyat terbeban ini akan bangun menentang.Olih itu pemimpin-pemimpin rasuah ini eloklah berundur sementara rakyat masih bertahan dan bertaubatlah dengan taubat nasuha sementara pintu taubat masih terbuka.


    Orang padang besar

    ReplyDelete
  7. Salam bapak ..

    Dalam mindset kita orang melayu telah berjaya dipositionkan bahawa "Babi itu haram" sebab itu , jika disebut babi , datangnya rasa jijik , kotor dalam fikiran kita.. Bahkan terlihat babi rasa mahu muntah ..

    Tapi sayang perkara yg sama tidak berlaku pada perkataan 'rasuah' .. Tidak ramai org melayu yang jijik dengan perkataan rasuah , bahkan ramai yang terlibat dgn amalan haram ini .

    Bahkan mereka boleh mengangkat si perasuah sebagai pemimpin mereka , wakil mereka .. Sedangkan si perasuah akan beri mudarat bukan pada dirinya sendiri,bahkan seluruh rakyat akan terima tempiasnya .. Si pemakan babi paling kurang, mudaratnya hanya pada yg memakannya ..

    Jadi 'setkan' dalam minda kita.. rasuah itu haram dan jijik .. Lebih haram dan lebih jijik dari babi ..

    ReplyDelete
  8. Assalamu'alaikum dan salam sejahtera,

    Bangsa Arab yang sering berbunuhan sebelum kedatangan Rasulullah boleh menjadi manusia yang paling berkasih sayang setelah jiwa mereka ditanam Iman.

    Takut dan cintakan Tuhan adalah pil yang pertama dan paling utama. Cintakan syurga dan takutkan neraka menjadikan para sahabat hilang selera dengan dunia. Akhirnya mereka tidak berebut lagi dengan dunia. Jadilah mereka tuan kepada dunia bila mana dunia dapat dikontrol oleh mereka. Inilah resepi supaya manusia membenci kemungkaran dan maksiat.

    Politik yang celaru dan keliru adalah manifestasi daripada cinta dunia yang begitu mendalam pada jiwa manusia. Semua pihak yang sedang bertarung dalam poitik semasa hanya bertelagah soal dunia semata-mata. Cuma ada yang menggunakan hujah agama sebagai penyedap atau halwa telinga. Hakikatnya mereka semua masih berkisar dan berlegar dengan persoalan dunia.

    Para Nabi dan Rasul memperkenalkan manusia kepada Tuhan. Tuhan diperjuangkan sehingga menjadi Idola setiap insan. Buah daripada takut dan cintakan Tuhan menjadikan mereka yang beriman sangat patuh, tunduk dan taat kepada setiap perintah atau larangan Allah. Maka hiduplah para sahabat dengan penuh kasih sayang dan harmoni.

    Kerana kecintaan pejuang kebenaran setiap zaman kepada Tuhannya, mereka sanggup berkorban apa saja hatta nyawa sekali pun. Namun begitu sifat pejuang kebenaran setiap zaman sangat berakhlak, bersopan, lemah lembut dan berkasih sayang.

    Berbeza dengan pejuang politik termasuk yang menggunakan nama agama mereka selalunya bersifat kasar, bengis, mencaci, mengherdik, menghina, mengadu domba dan memfitnah menjadi budaya. Inilah kejijikan yang sedang kita saksikan setiap hari di tanah air tercinta, Malaysia.

    Bilakah lagi akan datang penyelamat yang mampu mengubah keadaan ini?

    ReplyDelete
  9. Fokus Pak Aspan kali cukup menarik, RASUAH. Semua sedia maklum rakyat muak dengan rasuah dan SPRM kerana sampai kiamat pun tidak akan lenyap gejala ini di Malaysia.

    Siapa pengawal golongan rasuah? Siapa pengawal SPRM? Siapa pengawal BN? Untuk renungan sejenak. Mana mungkin beraninya ketua pentadbir Serawak menghina SPRM tempohari.

    Buatlah apa pun, ceritalah apa pun, kita agak sulit untuk menghapuskan RASUAH.

    ReplyDelete
  10. Sdra AA,
    Pemimpin yang mencipta rukun negara, lalu mengajarkan kita tentang bait bait rukun negara. Kita kemudiannya membaca rukun negara di sekolah sekolah bersama sama guru guru kita. Kita menjadi bersemangat waja dan besatu hati,air mata mengalir menjadi saksi peristiwa.

    Kemudian pemimpin yang sama memijak bait bait puisi anak bangsa itu, menodai akujanji puisi indah ini, membakulsampahkan puisi rukun negara, membakar sajak anakbangsa itu dengan kuasa yang ada....terlupakah mereka,siapa yang menulis liriknya.

    Atas nama apa, kezaliman pada anakbangsa diperlakukan sedemikian rupa?

    Apalagi kalau bukan ketamakkan kuasa. Kuasa di tangan mereka menghalalkan segala galanya. Budi pekerti budaya bangsa ,agama tiang pengimbangtara sudah terlerai bersama kerakusan angka ringgit yang sebenarnya tiada penghujungnya.

    Wahai pencipta rukun negara, aku merayu pada mu, kembalikan rukun negara ku. Jangan lah kau berlaku zalim pada aku.. Aku juga anakbangsa mu, darahku tumpah di bumi ini. Selama aku medakap rukun negara, jiwa ku tenang tak terkata.

    Wahai pemimpin, mengapakah kau sanggup berkata dusta pada anak bangsa, mencipta rukun negara,,,tapi menodainya dan membakarnya di belakang kami semua. Sedarkah kamu semua, kamu yang mencipta, kenapa pulak kamu ingin mencacatkan puisi anakbangsa ini. Masih utuhkan perjuangan yang kamu laung laungkan pada kami semua. Kalau rukun negara hanya menjadi alat untuk kamu terus berkuasa, kalau rukun negara hanya menjadi tukul untuk kamu merompak negara,,,kami rakyat tidak akan redha.

    Kami akan terus berdoa pada Yang Maha Kuasa,lebutkanlah dan sedarkan hati pemimpin untuk kembalilkanlah rukun negara kami. Kami tidak rela anakbangsa Malaysia semua, termasuk anak cucu aku, cucu kita dan cucu kamu semua terjerurumus kedalam api neraka.Bahangnya kini sudah terasa.

    Cukuplah dengan kerakusan yang sedia ada. Kembalilah kita semua pada Rukun Negara. Bacakanlah semula jika sudah lupa baitnya dan letakkanlah puisi indah ini disudut yang tinggi dalam hati kita semua.

    ReplyDelete
  11. Rasuah berlaku di malaysia kerana di pelopori oleh org cina...skrg ini org cin/syarikat cina mendapat tanah atau kontrak kerajaan kerana sanggup memberi rasuah...

    untuk menghilangkan rasuah di malaysia harus dilakukan oleh org cina..mereka di kenali pemberi rasuah...kerana itu polis,jpj dan agensi menguatkuasa target cina..pasal org cina kaki rasuah...

    ReplyDelete
  12. Tuan,

    Kalau bercakap tentang rasuah, tentu banyak tempat yang jari ini boleh ditudingkan. Sama ada kepada kerajaan, yang akan dikatakan lemah dalam menangani gejala ini, mahupun BPR yang dikatakan gagal dalam menjalankan tugas. Tudinglah jari ini ke mana sahaja dan kepada siapa juapun. Tanpa melakukan apa², hakikatnya tetap sama. Sama ada suka atau tidak, rasuah telah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita.

    Gara² mahukan hasil yang cepat, ada yang sanggup mengggadaikan maruah diri dan iman dengan mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

    Mereka yang melakukannya memanglah bersalah. Tetapi kita yang terlibat dalam membentuk konsep masyarakat yang sebegini, tidak merasa bersalah jugakah?

    ReplyDelete
  13. Salam sejahtera semua,

    Kerja-kerja rasuah ni telah bermula sejak zaman Mahathir. Kini apa yang kita lihat ialah hasil daripada budaya rasuah yang telah lebih daripada 20 tahun disemai. Kini, semua rakyat Malaysia menganggap rasuah sebagai budaya biasa di dalam negara. Kalau kita tak bagi, orang lain yang akan bagi.

    Tengok sajalah berita di negara kita, pegawai polis rasuh, hakim mahkamah syariah rasuah, pegarah JPJ rasuah. Itu baru yang pegawai-pegawai.Menteri tak payah kita nak sebut. Amalan rasuah dah menjadi perkara wajib untuk dapat tender, lulus projek, masuk ‘U’. Nak masuk asrama penuh pun rasuah.

    Kenapa rakyat tak takut untuk memberi dan merasuah? Kerana mereka tau jika mereka ditahan BPR, mereka boleh merasuah BPR. Kalau polis yang tahan, mereka boleh rasuah polis. Kalau hakim nak jatuhkan hukuman, hakim pun boleh di rasuah. Pendek kata, rasuah, rasuah, rasuah. Ada wang semua boleh selesai.

    Berapa ramai tokey-tokey dadah yang telah ditahan boleh bebas kerana polis boleh terima rasuah. Berapa banyak keputusan ujian dadah melalui air kencing artis, VIP, VVIP boleh jadi ok walaupun kita tahu mereka memang hisap dadah. Sebab pekerja makmal hospital pun rasuah. Macam mana kita nak hapus rasuah, kalau menteri sendiri rasuahkan polis, hakim, BPR supaya jangan dakwa mereka.

    Jadi, sebagai rakyat Malaysia anda hanya perlu lihat, dengar sahaja rasuah ini berlaku? Anda berani buat report rasuah di kalangan menteri-menteri dan ahli-ahli Parlimen? Silap-silap anda yang akan masuk ke dalama lokap. Macam mana rakyat nak tolong benteras rasuah, kalau orang yang tolong dedahkan pasal rasuah boleh kena tangkap dan didakwa. Sekarang undang-undang dah jadi terbalik.

    Apa yang rakyat Malaysia perlu buat? Nak biarkan saja rasuah berterus sampai ke anak cucu kita ataupun mula hapuskan budaya ini?

    ReplyDelete
  14. As Salam Tuan,

    Saya sudah hilang kepercayaan terhadap UMNO/BN yang terus mempertahankan budaya rasuah, angkuh, penindasan, zalim yang ada pada pimpinan mereka.

    Sepanjang pemerintahan BN, kita semua juga sebenarnya telah bersama-sama menyumbang –akibat sikap kita yang ‘biarkanlah’, dalam menyemai kuasa kuku besi pemerintah yang kejam hinggalah kini kuasa itu menjadi parah dan terlalu mencengkam.

    Rakyat mesti berani menyatakan keberanian untuk membongkar penyelewengan dan rasuah yang UMNO/BN amalkan.

    Kesan yang kini dirasai rakyat ialah kenaikan harga barang yang melampau, 80 peratus rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung beban kos sara hidup yang semakin tinggi, sedangkan pemimpin-pemimpin UMNO/BN dan kroni mereka hidup mewah.

    Tuan, kewujudan undang-undang kejam seperti yang menekan dan menzalimi rakyat sehingga teguran dan nasihat rakyat tidak dipedulikan, malahan bantahan rakyat kini dengan angkuh diperangi secara kejam menggunakan undang-undang tersebut.

    Politik perkauman sering digunakan untuk menakutkan rakyat. Taktik ‘pecah’ dan ‘perintah’ dilaksanakan untuk menutup berita penyelewengan dan rasuah serta boros dan tamaknya pemimpin-peminpin UMNO/BN ini. Sepanjang pemerintahan BN, rakyat Malaysia telah ditipu dengan slogan perkauman sempit.

    ReplyDelete
  15. Kalau Umno masih dipimpin oleh Najib, muhyidin and geng, kita ucapkan bye-bye buat selam-lamanya.
    Tak kuasa aku menjdi kerbau bala tak henti henti. It's insulting and nauseating.

    Borhn

    ReplyDelete
  16. Salam semua,

    Gegala rasuah telah menjadi satu budaya yang membentuk satu sistem yang semakin dapat diterima dan telah berfungsi dalam masyarakat negara kita.

    Ada sesetengah pihak berpendapat, rasuah yang berlaku di kalangan golongan berpendapatan rendah disebabkan keadaan yang memaksa demi untuk kelangsungan hidup, sebaliknya bagi golongan bertaraf tinggi yang telibat dengan rasuah pula untuk meneruskan kehidupan mewah mereka.

    Walaupun mungkin kenyataan tersebut boleh dianggap sebagai satu kenyataan yang cuba menghalalkan perbuatan rasuah dalam masyarakat, tetapi setelah direnung-renungkan memang ada kebenarannya di mana golongan bawahanlah yang akhirnya semakin tertekan dan tertindas.

    Ini belum lagi diambil kira rasuah-rasuah di kalangan mereka yang berjawatan tinggi hingga ke taraf pemimpin negara yang melibatkan jumlah wang yang bukan sedikit dan mampu menjejaskan kepentingan negara.

    Permainan berskala besar di kalangan penjawat jawatan tinggi bukan sahaja melibatkan rasuah secara sembunyi malahan turut melibatkan rasuah secara terangan-terangan lagi ‘halal’ yang melibatkan pembayaran berpuluh-puluh atau ratusan juta ringgit kononnya atas nama ‘komisyen’.

    Penerimaan budaya rasuah sebagai satu sistem kehidupan apabila mula wujudnya pendapat bahawa bukan sesuatu yang pelik apabila seseorang pemimpin yang mengambil keuntungan sejuta, dua dari puluhan atau ratusan juta ringgit projek prasarana yang diusahakan untuk kemudahan rakyat jelata.

    Bagi mereka ini, apalah salahnya mengambil ‘sedikit’ keuntungan berbanding penat lelah setelah pemimpin terbabit bekerja dan berusaha keras menghadapi pelbagai kesukaran yang terpaksa ditempohi untuk menyiapkan projek yang memberi kemudahan untuk rakyat akhirnya.

    Pendapat lain yang rasuah semakin diterima ialah apabila ada yang boleh menerima perbuatan rasuah seseorang pemimpin sekiranya nilainya berpada-pada asalkan tidaklah berlebihan atau tamak sehingga menjejaskan piawaian struktur binaan projek yang dibina.

    Kini individu yang berhadapan dengan dakwaan isu rasuah mungkin tidaklah perlu rasa malu selagi tidak dikaitkan dengan skandal seks walaupun kedua-dua tuduhan itu sama-sama memalukan.

    Maka, sebab itulah terdapat pihak yang lebih gemar menyerang musuh politik mereka dengan menggunakan isu skandal seks berbanding skandal rasuah yang sudah dianggap sebagai satu perkara biasa sahaja.

    Mungkin sebab itulah ada pihak tidak teragak-agak melafazkan sumpah laknat bagi menjerumuskan pihak tertentu dalam skandal seks berbanding isu yang membabitkan skandal rasuah kerana rasuah di negara ini tidak lagi dianggap sesuatu yang begitu memalukan.

    Rasuah sudah pun menjadi budaya kerja dan diterima sebagai satu sistem di dalam carta organisasi-organisasi di negara ini.

    Walau pun hakikat ini dinafikan oleh para datuk-datuk menteri dalam kerajaan mahupun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri dengan saban tahun mengeluarkan indeks yang sedap didengar, tetapi inilah realiti yang berlaku di dalam masyarakat kita hari ini.

    ReplyDelete
  17. Pak Aspan,

    Hari ini jati diri Melayu - siapa Melayu, apa kepercayaan manusia Melayu, apa agama manusia Melayu – semuanya telah didifinasikan oleh United Malay National Organisation. Semua pengtakrifan baik dan buruk sedang dimonopoli oleh United Malays National Organisation.

    Naratif yang berbeza dari apa yang diajar oleh United Malays National Organisation akan dianggap salah atau akan termasuk ke dalam bab ajaran sesat. Ajaran agama Islam juga telah didifinasi oleh United Malays National Organistation. Halal haram, baik dan buruk bukan lagi dirujuk melalui kitab kitab suci, tetapi melalui 'juruheboh' dan jurucakap agama yang dilantik oleh United Malays National Organistion.

    Tidak dibenarkan, malah dilarang dan diharamkan apa sahaja naratif yang berlainan dari cerita yang dimulutkan oleh penyokong United Malays National Organistion. Kebenaran kini, telah dan sedang dimonopoli oleh United Malays National Organistion.

    Rasuah yang pada satu ketika dahulu tidak ditemui atau berani menyerang masyarakat pertanian kini telah menjadi satu jalur budaya Melayu. Rasuah kini dilihat sebagai ciri budaya untuk menjalankan apa sahaja bentuk perniagaan. Malah kaum pemodal dan orang berniaga kini telah menerima pakai budaya rasuah. Dalam perhitungan jual beli, mereka telah menyediakan belanjawan khusus untuk merasuah sesiapa yang patut dirasuah – dari budak pejabat hingga ke ketua pegawai eksekutif (CEO).

    Nilai Melayu baru ini tidak berhenti di tahap rasuah sahaja. Satu contoh klasik: Lebih dari satu dekad dahulu ada satu kes di mana seorang ketua menteri dikaitkan dengan anak sekolah bawah umur yang hamil. Kes ini menjadi heboh. Tetapi dengan nilai Melayu baru, kes ‘rogol bawah umur’ ini tidak mendatangkan mudarat kepada si perogol.

    Manusia Melayu yang menganuti nilai baru ini telah tidak menyatakan rasa mual, benci atau merasa bersalah kerana kes rogol anak bawah umur telah dikaitkan dengan seorang ketua menteri. Nilai baru yang dihayati oleh manusia Melayu ini lebih mementingkan kontrak dan tender yang akan diperolehi daripada mementingkan salah atau benar seorang budak bawah umur yang dirogol.

    Persoalan yang timbul di sini ialah bagaimana tiga juta manusia Melayu yang menjadi ahli United Malays National Organisation telah menjadi lali dan tuli bila berhadapan dengan nilai manusia Melayu yang kini telah mengheret dan memaksa manusia Melayu untuk menerima satu nilai dan budaya yang baru?

    Rasuah, rogol dan tipu ini telah menjadi satu yang lumrah. Ini kerana, ia sering berlaku atau dilakukan oleh mereka duduk di puncak kuasa, maka orang awam kini telah mula menerima perkara ini sebagai jalur nilai dan budaya Melayu.

    Inilah krisis yang sedang dihadapi oleh manusia Melayu – krisis nilai. Maka terpulang kepada manusia Melayu lain – yang bukan termasuk dalam kategori tiga juta ini - jika mereka masih memiliki nilai salah benar untuk bangun dan bersuara.

    Krisis nilai orang Melayu ini akan berpanjangan dan membawa mudarat yang amat sangat ke atas negara bangsa. Mudarat akan sampai jika ramai orang Melayu yang bersopan santun dan jujur tidak melakukan sesuatu.

    @Hishamuddin@

    ReplyDelete
  18. Assalamualaikum.

    Rasuah adalah "kebijaksanaan" pemerintah kerajaan memberikan pelbagai faedah istimewa kepada penyogok, jauh sekali demi kesejahteraan rakyat terbanyak.

    Dari satu sudut yang lain, para politikus memainkan peranan melindungi syarikat tertentu (lazimnya entiti yang besar), yang sebenarnya cuba menguburkan perusahaan yang lebih kecil yang baru bertatih. Mereka memang pintar melindungi syarikat yang telah menaja kempen-kempen politiknya sahaja.

    Rasuah yang wujud dalam bidang politik dan pentadbiran mungkin berbentuk sama ada ringan atau berat, terancang atau tidak.

    Rasuah bukan sekadar memudahkan atau menggalakkan jenayah seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak, dan penyeludupan. Kesannya lebih meluas lagi.

    Untuk memahami masalah ini adalah sangat penting untuk pembaca membezakan antara rasuah dengan perilaku jenayah (dalam erti kata yang lebih luas).

    Rasuah menjejaskan perjalanan demokrasi dan pentadbiran yang cekap apabila formaliti diabaikan. Rasuah dalam pilihan raya dan dalam badan perundangan merosakkan akaun libiliti dan kecekapan.

    Rasuah dalam sistem pengadilan pula mencabul integriti undang-undang. Rasuah dalam pentadbiran awam menjejaskan keseimbangan dan kesaksamaan sosial.

    Rasuah boleh mengikis kemampuan sesuatu sistem kerana prosedur akan jadi tidak tepat, sumber daya usaha merosot dan prestasi sesebuah jabatan terabai.

    Rasuah menghancurkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem-sistem yang wujud dalam negara.

    ReplyDelete
  19. DInegara China gantung sampai mati jika didapati melakukan rasuah .Kita cukup banyak undang2 bolih guna untuk hentikan rasuah tetapi sedihlah kerajaan tidak gunakan semua undang2 yang ada kerana orang kerajaan semuanya terlibat rasuah.Gunakan segala2 undang sepenuhnya untuk sekat rasuah atau tukar pemimpin yang tak mahu laksana undang2 yang ada untuk kaitkan rasuah.

    ReplyDelete
  20. Tuan Aspan,

    Realitinya rasuah di dalam sistem kapitalisme-sekular di mana hubungan erat antara rasuah dan pemimpin kapitalis adalah suatu yang sudah sebati dan tidak dapat dipisahkan lagi. Di dalam sistem kapitalisme, para pemimpin yang memegang kendali pemerintahan tidak akan dapat memerintah dan berada pada kedudukannya jika tidak ada rasuah disampingnya.

    ReplyDelete
  21. Salam Pak,

    Isu rasuah sudah menjadi isu ‘evergreen’ di dalam negara.

    Kes-kes rasuah tidak pernah kering dari dilaporkan sama ada di media cetak mahupun media elektronik. Bukan sahaja pihak media, malah masyarakat sendiri tidak pernah berhenti membicarakannya, yang menunjukkan betapa banyaknya kes-kes rasuah yang berlaku dari masa ke semasa.

    Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa amalan jijik ini sebenarnya berlaku setiap hari dan kadang-kadang boleh dilihat di depan mata. Sudah menjadi lumrah bahawa jika orang itu besar, maka besarlah rasuahnya dan jika orang itu kecil, kecillah rasuahnya.

    Sudah menjadi lumrah juga untuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri kabinet dan ramai lagi ahli politik, sering menyebut-nyebut tentang keburukan rasuah dan usaha kerajaan untuk menanganinya, seolah-olah mereka adalah orang-orang yang berusaha untuk menghapuskannya!

    Sejak era Dr. Mahathir, usaha untuk menghapuskan rasuah sering diperkatakan oleh bekas Perdana Menteri ini. Namun ternyata indeks rasuah di zamannya terus meningkat.

    Begitu juga di era pemerintahan Pak Lah yang terkenal sebagai Mr.Clean, yang cuba membersihkan para menteri dan kakitangan kerajaan dari rasuah, namun ternyata Malaysia tidak pernah ‘clean’ dari gejala rasuah di zamannya.

    Itulah mimpi para pemimpin, jika pun tidak lakonan, dalam usaha mereka menghapuskan rasuah.

    Walaupun kes rasuah yang melibatkan pemimpin tertinggi negara tidak pernah dapat dibuktikan, namun dengan menggunungnya kes rasuah di kalangan orang bawahannya, maka tidak hairanlah jika usaha mereka untuk menghapuskan rasuah hanyalah ibarat guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

    Kita semua tahu apa kesudahannya dengan si ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan betul. Inilah hakikat para pemimpin dan anak buah mereka pada hari ini.

    Jika benar sekalipun ada usaha di kalangan mana-mana pihak yang benar-benar ikhlas ingin menghapuskan rasuah, hal ini sungguh sulit, jika pun tidak mustahil, dalam keadaan sekarang.

    ReplyDelete
  22. Antara masalah terbesar dan punca suburnya rasuah sehingga hampir mustahil untuk dihapuskan adalah kerana kerajaan pimpinan UMNO-BN ini telah membezakan di antara rasuah biasa dan ‘rasuah politik’.

    Rasuah biasa memang dianggap sebagai kesalahan dan boleh dihukum di bawah undang-undang negara, namun rasuah politik atau lebih dikenali sebagai ‘politik wang’ tidak termasuk dalam kesalahan undang-undang!

    Politik wang yang nyata-nyata adalah satu rasuah tidak boleh dan tidak pernah diambil tindakan oleh pihak berkuasa tetapi hanya diambil tindakan oleh badan disiplin sesebuah parti. Besar mana sekalipun rasuah yang diberikan oleh seseorang calon yang ingin bertanding merebut jawatan dalam parti, ia tetap tidak menjadi kesalahan rasuah tetapi hanya dianggap sebagai kesalahan dalaman parti.

    UMNO sebagai contoh, orang buta sekalipun mengetahui bahawa wujudnya rasuah seumpama ini yang mengalir laju tanpa henti ibarat air terjun, dan jumlah RM yang terlibat bukan alang-kepalang.

    Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, Tan Sri Isa Samad telah terbukti terlibat dengan politik wang dengan ‘merasuah’ ramai perwakilan sehingga menang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 2004, hanya digantung tiga tahun dari parti, tetapi langsung tidak didakwa atas kesalahan rasuah. Isa Samad dan beberapa yang lain hanyalah kambing hitam sahaja pada waktu itu, semua orang tahu. Namun hingga kini, kesemua kambing hitam masih dijaga dengan baik oleh UMNO, malah sesetengahnya tetap diberi maqam yang tinggi hingga sekarang.

    Inikah parti/kerajaan yang nak menghapuskan rasuah?

    Begitu juga dengan segala pemberian, baik wang mahupun hartabenda, semasa pilihan raya, tidak pernah dianggap sebagai rasuah oleh kerajaan. Ia hanya dianggap sebagai ‘pemberian’ malah istilah yang lebih baik digunakan iaitu ‘sumbangan ikhlas’ kononnya demi menolong penduduk sesuatu kawasan.

    Hakikatnya, wang atau harta benda tersebut diberikan semata-mata untuk mendapat ‘imbalan’ undi dari orang yang menerimanya.

    Kesemua hal ini, baik politik wang mahupun politik pilihan raya, yang melibatkan pemberian jutaan wang, tidak pernah dikategorikan sebagai rasuah. Justeru, bagaimana mungkin dalam sistem demokrasi di mana amalan seumpama ini yang sudah menjadi darah daging kepada ahli politik, boleh menghapuskan rasuah?

    Memberi dan memakan rasuah sudah menjadi amalan biasa kepada golongan ini, sehingga mereka tidak lagi merasa berdosa atau bersalah dengan apa yang mereka lakukan. Makan rasuah bagi mereka tidak ubah seperti makan nasi sahaja!

    ReplyDelete
  23. Pakcik Aspan,

    Jika ada dari para pemimpin kerajaan yang ingin mengurangkan atau menghapuskan rasuah, dia hanyalah berlakon semata-mata, kerana realitinya menunjukkan bahawa rasuah sudah menjadi way of life sebahagian daripada mereka.

    Jika ada di kalangan para pemimpin yang masih mempunyai keimanan dan keikhlasan untuk memerangi rasuah, hal ini sebenarnya hanyalah satu mimpi sahaja.

    Selagi mana tidak ada ketakwaan dan amanah di dalam diri seseorang, baik dia adalah pemimpin atau penjawat awam, maka selagi itulah kes rasuah akan terus berlaku.

    Selagi pemimpin dan yang dipimpin tidak melihat rasuah dari perspektif dosa dan pahala serta syurga dan neraka, maka selagi itulah rasuah akan terus membarah dalam tubuh umat dan negara.

    Kita memerlukan pemimpin yang baik dan sistem yang baik, barulah gejala rasuah dan lain-lain kemaksiatan akan dapat dibanteras.

    ReplyDelete


  24. 'Jadi 'setkan' dalam minda kita.. rasuah itu haram dan jijik .. Lebih haram dan lebih jijik dari babi ..' - Muammar Qaddafi

    Allah/God's creatures include BABI.

    Thousands years ago, in a few incidents, people died eating BABI because the meat was not cooked properly or it has a dangerous bacteria or both.....for safety and health reasons at that time, people were discouraged from consuming BABI.

    Now, racists and religious extremists used the dirty word ' BABI ' to grossly insult and offend the ordinary Chinese in particular....the sad part is these people are tolerated and encouraged by their political ' leaders '.

    Mat Selleh/Europeans eat BABI for thousands of years but they are NOT veiwed the same way by the Racist and Religious Extremist with narrow and personal political and self interest.




    ReplyDelete

  25. ' untuk menghilangkan rasuah di malaysia harus dilakukan oleh org cina ' - Anon 17:36.

    One is in business to make money. The businessmen are OPENLY setting up their registered and valid business under the LAW to make money or go bankrupt.

    The same cannot be said of people working for the government in position of power, trust and influence who treat the government department/agencies like their business enterprises to make money through corruption......abuse of power or position of trust is corruption and it is a serious criminal matter under the LAW - criminal breach of trust.

    Our politicians and leaders had tolerated and accepted corruption for decades......no wonder many people lack basic morals and are mentally sick, do not know from right and wrong, leave religion alone.

    ReplyDelete
  26. Pak Aspan,

    Rasuah adalah satu pengkhianatan keatas amanah yang telah diberi kepada sesuatu jawatan. Sekiranya pemberi2 amanah tidak menentang perbuatan terkutuk ini mereka dianggap bersubahat & redha dengan perbuatan jijik ini.

    Melayu yang meredha & menyokong budaya rasuah demi "ketuanan"nya, adalah lebih teruk penghinaan mereka terhadap Islam & Rasul mereka.

    Sebab utama Melayu masih ketinggalan jauh oleh masyarakat senegara maupun dunia adalah kerana hukum Allah itu adalah tunai.

    "Kamu sokong rasuah; kaum jadi baruah"

    ~ Khalas.

    ReplyDelete
  27. Ada penerima rasuah dan ada perasuah.Gejala ini telah mejadi fonomena biasa.Apa buktinya ? Siapa kata rasuah tidak boleh dihidu dan dirasakan kehadirannya. Omar Abdul Aziz mengisytiharkan hartanya menjadi milik baitul mal.Ia berstatus kosong ketika menjadi khalifah.Bagaimana para pemimpin kita beranikah mereka berbuat demikian. Beranikah SPRM menyiasat harta mereka semasa mula menjadi menteri dan selepasnya. Jawapanya tentu tidak. Nyata mereka sangat mewah selepas memegsng kuasa. Mengapa kerana kuasa menjadi kunci pembuka pelbagai kekayaan. Sebagaimana kata Tun Musa Hitam: Rasuah rampants at Mahathir time dan berleluasa hingga kini.Dana sedikit saja turun ke bawah tetapi lebih banyak yang melambung ke atas. Fikir-fikir kan !

    ReplyDelete