24 July 2013

Pengundi Kuala Besut, corakkanlah politik Terengganu hari ini

Hari ini adalah hari mengundi pilihanraya kecil (PRK) Kuala Besut. Oleh kerana pilihanraya kecil ini diadakan pada bulan Ramadan, tidaklah banyak cerita isu memaki hamun diantara kedua-dua belah pihak. Ramailah yang merasa selesa kerana orang ramai tidak mahu lagi mendengar maki hamun yang tidak henti sejak beberapa tahun dahulu.

Tetapi rupa-rupanya pilihanraya ini merupakan pilihanraya yang sangat genting bagi UMNO kerana jika kemenangan berpihak kepada PAS ia akan meletakkan kedudukan kerusi di DUN Terengganu menjadi seri, 16/16. Kemenangan PAS memberikan isyarat yang UMNO diTerengganu itu berada di dalam keadaan yang amat merbahaya.

Itulah sebabnya kita terdengar pimpinan besar UMNO berulang alik ke Kuala Besut dan ada diantara mereka datang untuk mengimamkan solat berjemaah untuk mendekati rakyat yang sedang dipujuk dan diurut kaki dan tangan mereka untuk memberikan sokongan kepada BN.

Seandainya kedudukan kerusi sama banyaknya maka kalau tidak salah saya mengamati undang-undang, pilihanraya negeri terpaksa diadakan semula. Pilihanraya boleh dielakkan. Jika ada dikalangan ADUN UMNO melompat menyertai PAS maka PAS akan menerajui kerajaan Terengganu tanpa memanggiil pilihanraya kecil negeri. Ini adalah diantara kemungkinan yang mungkin berlaku pasca pilihanraya kecil ini.

Jika hendak mengharapkan ADUN PAS melompat menyertai UMNO ia tidak mungkin berlaku kerana sesiapa yang mempunyai daya pemikiran yang mampu menilai apa yang akan berlaku, tentu sekali ia merupakan tanda yang amat jelas yang UMNO sudah hampir sampai ke penghujung usianya.

UMNO begitu tertekan dengan keadaan di Kuala Besut ini.  Maklum sahaja lah UMNO amat takut kehilangan kuasa. Bagi UMNO untuk berpisah dengan kuasa ibarat hendak memisahkan daging dengan kulit atau memisahkan kuku dengan isi. Bagi UMNO kehilangan kerusi adalah seperti nyawa bercerai dari badan. Tetapi UMNO tetap cuba untuk mempertahankan sokongan rakyat, maka mereka terpaksa membeli undi secara sistematik tetapi mudah difahami oleh rakyat yang berfikir.

Oleh kerana pilihanraya mendahului Hari Raya Aidilfitri maka pengundi di Kuala Besut sedang menerima berbagai-bagai punca duit raya bagi tahun ini. Seronok sungguh pengundi di Kuala Besut menghadapi Hari Raya Puasa kali ini. Ramai yang berjenaka dengan berkata, “kenapalah kawasan aku tidak ada pilihanraya kecil dibulan puasa ini”

Seorang sahabat saya yang berasal dari Kuala Besut yang saya panggil sebagai Joe, berkata, “ Kalaulah aku kekalkan diri aku sekeluarga sebagai pengundi Kuala Besut, raya ini dapat banyak duit raya. Malangnya aku pindahkan nama pengundi aku ke Shah Alam semata-mata aku tinggal di Shah Alam. Mengundi di Shah Alam pun bukannya ada faedahnya, Takkan aku nak mengundi Zulkifli Noordin” katanya sambil berjenaka. “Nak tunggu pilihanraya kecil di Shah Alam pula, Ahli Parlimennya masih segar bugar” Joe meneruskan jenaka beliau.

Walau apa pun PRK Kuala Besut ini akan membawa banyak makna yang tersirat. Kemenangan PAS akan membayangkan yang UMNO hanya menunggu masa untuk terkubur. Jika UMNO memang persepsinya tidak lain adalah di sebabkan kuasa wang ringgit dan itu juga tidak akan kekal lama sokongannya.

UMNO tidak lagi mampu bersandar kepada kekuatan kepimpinannya. UMNO hanya bersandar kepada kuasa yang ada ditangan. Pimpinan UMNO dan beberapa pimpinan yang di sebelah pembangkang sekali pun mempunyai jiwa yang kecil. Pimpinan yang berjiwa besar tidak akan berdendam dan menekan.

Pimpinan yang berjiwa besar  akan memaparkan dengan jelas apa yang hendak mereka lakukan tanpa takut dan segan, takut-takut tidak diterima oleh pengundi. Pimpinan yang berjiwa besar tidak akan terkeluar kata-kata seperti yang terkeluar dari mulut Ahmad Said yang mengakui yang UMNO perlu hanya membela siapa yang menyokong UMNO sahaja.

Tetapi jika dipandang dari sudut yang lain, tidak boleh juga dipersalahkan orang seperti Ahmad Said ini, kerana rakyat merelakan mereka berbuat demikian. Tidak ada siapa yang akan menjadi pemimpin tanpa sokongan dan kerelaan rakyat itu sendiri.

Jika pemimpin itu berjiwa besar ia tidak akan melanggar janji-janjinya sebelum pilihanraya. Hanya jiwa yang kecil dan kenit sahaja yang hanya menumpukan politiknya kepada kaumnya sendiri walaupun telah melaungkan perjuangan untuk berbilang bangsa dengan gah dan berterusan.

Pimpinan yang berjiwa kecil sahaja yang berlindung kepada kumpulan dan bangsanya sendiri dan tidak berani dan berkeyakinan berlindung dari rakyat yang berlatar belakangkan berbilang kaum. Perasaan kurang keyakinan kepada diri sahaja yang bertumpu kepada bangsanya sendiri sahaja dan menggunakan isu ‘multiracialism’ itu hanya sebagai retorik semata-mata untuk kegunaan semasa pilihanraya sahaja.

Perlu diingat pemimpin negara ini wajar mempunyai kualiti yang selari dengan keperluan kepimpinan berbilang kaum dan agama sahaja.

Itu sebab kita mula terlihat orang ramai sudah mula tidak bertumpu kepada bangsa dan cara hidup. Mereka memilih untuk berpolitik berdasarkan kepada agama dan Islamlah yang menjadi landasan perjuangan mereka.

Ramai yang sudah berkeyakinan yang Islam itu adalah agama yang universal kerana jika Islam yang memimpin, maka orang Hindu yang mengikutinya akan menjadi Hindu yang baik, dan jika orang Budhist yang mengikut kepimpinan Islam itu mereka akan menjadi Budhist yang baik.

Islam itu sesungguhnya merupakan agama perpaduan dan itulah sebabnya parti-parti yang berlandaskan perjuangan Islam itu sentiasa mendapat dugaan yang besar. Bagi mereka yang serius dengan keperluan kehidupan yang lengkap elok kita bermula dengan kawasan Kuala Besut.

Segala-galanya boleh bermula di sini. Seperti yang saya selalu sebutkan akhir-akhir ini PAS perlu melatih parti itu yang mampu untuk mengendalikan kejayaan mengikut kehendak waktu dan zamannya. Itu pun adalah tuntutan Islam.

6 comments:

  1. Dap jangan sekali-kali bercakap pasal perjuangan berbilang kaum pak AA.

    ReplyDelete
  2. Mr Aspan, it's marvelous writeup. You are saying just the actual.

    ReplyDelete
  3. Aspan, sememangnya sdr adalah seorang yang realist. Apabila Dap bermain-main dengan kata-kata sdr sendiri bercakap dan membantahnya. Sdr saya akui sebagi seorang yang berani mengkritik yang mana yang bermain-main degn laungan perjuangan masing-masing.

    kalau sdr sendiri menganggapkan Dap sebagai parti yang tidak melakukan apa merka cakap tentulah Dap itu sebuah parti yang tidak boleh doperayai...

    ReplyDelete
  4. Antara DAp dan UMNO tentulah UMNO terbaik. Di antara PAS dan UMNO berani saya katakan PAS lebih baik dengan syarat PAS mesti jauhkan diri daripada DAP.

    NZ

    ReplyDelete
  5. Mr Aspan, You are an adventurous man. Being deceived by Dap is huge experienced and that would make him more mature as he has to go through all parts of the mills.

    He now knows and feel the real Dap....still can't get out of being a Chinese party huh? That is very real and worthwhile lessons for any non Chinese to be in Dap.

    At the moment there is no one in any party without the racial 'flavors' in them. We are far from achieving anything with regards to racial politics. get back to everyone race for politics. No one is serious about doing away racial sentiments in Malaysian divisive politics.

    That is real.

    ReplyDelete
  6. Parti mana yang memperjuangkan orang Melayu dan Islam.Tepuk dada dan tanyalah selera.Nak katakan PAS perjuangkan Islam..mursyidul PAS kata sebiji masjid pun tak dibina, dahlah tu mengutuk orang yang membina masjid dan katakan orang UMNO tak sembahyang..Nak katakan PAS dan PKR..pro Melayu..hak orang Melayu nak disamaratakan.

    Selagi PAS dan PKR tak beri alternatif yang baik..selagi tu saya akan terus undi BN.

    ReplyDelete