Baiknya mengadakan pilihanraya
dalam bulan puasa, adalah nyata. Pilihanraya kecil Kuala Besut memberikan
buktinya. Tidak ada kata-mengata yang keras diantara kedua-dua belah yang
bertanding kecuali beberapa insiden yang tidak menyenangkan telinga mendengarnya.
Walau bagaimanapun keseluruhannya,
tetap tidak kedengaran tuduh menuduh yang kuat terutamanya dari pihak BN.
Selalunya BN akan membuat berbagai cara untuk menang termasuk melakukan perkara
yang tidak beretika terhadap PAS. Tiga puluh empat tahun yang lalu kawasan ini
jugalah yang telah mengadakan pilihanraya kecil dalam bulan puasa jika tidak
silap ingatan saya.
Kali ini BN menumpukan usaha
dengan berkempen secara biasa sahaja, iaitu menumpukan kepada janji-janji
pilihanraya. BN telah mengumumkan berbagai-bagai projek kepada penduduk Kuala
Besut bagi memancing sokongan pengundi kerana Kuala Besut adalah tempat dalam
mana PAS juga mempunyai pengaruh yang besar.
Hanya satu yang amat menarik
dalam janji-janji BN apabila sampai pilihanraya. Muhyiddin Yassin, merupakan
Pengarah PRK ini dan beliau mempunyai ‘tendency’ menjadikan sungai sebagai
bahan kempen beliau. Dalam pilihanraya umum yang lalu Muhyiddin berjanji untuk
mendalamkan Sungai Golok. Kali ini beliau berjanji pula untuk mendalamkan Kuala
Sungai Besut bernilai RM250 juta.
Tidak tahulah bagaimana rakyat
Kuala Besut menerima janji mendalamkan sungai itu. Di Kelantan janji
mendalamkan sungai Golok tidak mendapat perhatian rakyat di negeri itu. Selepas
ini tidak tahulah sungai mana pula yang hendak didalamkan oleh Muhyiddin.
Mungkin kita tunggu mana-mana PRK yang akan datang dimana kawasan-kawasan itu
mempunyai sungai dan parit-parit yang besar.
Janji-janji BN untuk membangunkan
kawasan negara dan negeri serta kawasan ini sememangnya isu biasa dan dalam
sesuatu pilihanraya ia tidak lagi menjadi isu relevan bagi rakyat untuk
menentukan sikap mereka untuk menyokong mana-mana pihak.
Pimpinan kita terlupa, rakyat
bukannya mudah menerima umpan-umpan seperti ini untuk menyokong. Itu sebabnya
dikawasan perbandaran dan separa bandar janji-janji dan sogokkan kerajaan tidak
mendapat perhatian. Tindakan Najib memberikan bantuan besar kepada sekolah India
dan Cina serta wang BRIM tidak memberikan banyak munafaat kepada BN itu
sendiri.
Masalahnya Najib telah membentuk ‘equation’
pemikiran rakyat sama dengan pemikiran beliau sendiri. Beliau berfikir yang
rakyat sama lahapnya dengan pimpinan UMNO dalam hal wang ringgit ini. Ternyata
Najib tidak sensitif dengan naluri rakyat yang dahagakan kelainan dari yang
biasa mereka alami.
Rakyat ramai masih menumpukan
kepada isu nasional dan di antaranya ialah imej rasuah yang melekat rapat
dengan BN itu menjadi penyebab kenapa BN tidak mampu mendapat tambahan kerusi
dalam PRU yang lalu malahan mendapat jumlah kerusi yang lebih rendah lagi.
Hilangnya keyakinan terhadap
institusi demokrasi itu menjadi tumpuan rakyat. Mereka masih mempersoalkan isu
kebebasan institusi Kehakiman dan Polis misalnya. Sebanyak lebih dari RM4
billion telah dibelanjakan untuk BRIM tetapi rakyat tetap menunjukkan protes
dalam PRU yang lalu.
Itu sebabnya pembangkang mendapat
tambahan sedikit kerusi kerana rakyat sudah mengambil keputusan untuk
memberikan sokongan kepada pembangkang walaupun ada parti-parti pembangkang
yang tidak sebaik mana pun mendapat sokongan. Rakyat telah menerima janji pembangkang
tanpa berfikir panjang. Bagi mereka UMNO dan BN mesti dikuburkan walaupun belum
tentu parti yang mereka sokong sekarang ini mampu memenuhi janji-janji mereka.
Ramai yang percaya termasuk orang
Melayu sendiri yang ada parti yang menjanjikan ‘multiracialism’ nya tetapi
tidak ada bukti yang mereka telah dilakukannya. Rakyat masih menerima janji
mereka kerana perasaan geram mereka kepada UMNO.
Bagi saya PAS merupakan parti
yang sangat relevan bagi orang Melayu jika tidak berkehendakkan kepada UMNO lagi.
Hanya yang perlu bagi PAS dari sekarang ini ialah untuk menentukan yang
pimpinan parti itu mempunyai kemampuan untuk mentadbir kerajaan sahaja. Rakyat
mahu melihat PAS menjadi parti yang proactive tentang memajukan parti itu
kepada parti yang mampu mentadbir sebuah kerajaan.
Dalam tulisan saya beberapa
minggu lepas saya menarik perhatian ramai dengan mengkritik parti yang sangat
penting untuk orang Melayu dan Islam ini. Dari menumpukan kepada berhimpun PAS
semestinya menghantar pimpinan mereka secara bergilir-gilir berkursus
pentadbiran di universiti-universiti atau pusat latihan terkenal di dunia ini
bagaimana untuk mentadbir sebuah kerajaan.
Itu sahaja yang kurangnya dalam
PAS. Rakyat gusar kerana setelah PAS diberikan peluang mentadbir Kedah parti itu
tidak sensitif untuk memberikan tanggungjawab mentadbir kepada mereka yang
lebih mahir dari pimpinan yang sedang memimpin.
Bagi saya di Kuala Besut ini
kemenangan PAS boleh memberikan anjakan pemikiran baru kepada PAS kerana tidak
ada kekurangannya kepada PAS kecuali kekurangan imej mampu mentadbir itu sahaja.
PAS perlu ingat satu perkara
penting. Rakyat bukan sahaja memerlukan orang yang baik, tetapi yang lebih
penting ialah pemimpin yang baik. Orang yang baik dengan pemimpin yang baik itu
adalah dua perkara yang berbeza. Ustaz Azizan misalnya, adalah orang yang
sangat baik bagi saya, tetapi beliau bukanlah pentadbir yang baik. Jika PAS mampu menghilangkan imej tidak tahu menguruskan kejayaan, PAS akan menjadi parti yang paling relevan dihari muka.
Pemutusnya untuk PAS melakukan
kerja penambah baikan keadaan ia memerlukan semangat untuk melakukannya dari
rakyat. Pengundi Kuala Besut mungkin boleh memulakan untuk membina semangat itu
dengan memberikan kemenangan kepada calon PAS walaupun dengan majoriti yang
kecil sekali pun.
Lagi pun seperti yang saya
sebutkan beberapa hari yang lepas, kemenangan kepada UMNO bukannya menguntungkan
pun. Lagi pun janji Muhyiddin untuk mendalamkan sungai di Kuala Besut itu pun
entahkan bila akan didapati oleh orang Kuala Besut.
Jangan terleka dengan janji-janji
dari mana-mana pihak.
8 comments:
Pak Aspan,
Saya amat setuju dgn pendapat Pak Aspan bahawa DAP sebenarnya masih lagi tegar dgn semangat "chinese chauvanist"nya walauoun tidak dinafikan ada beberapa org yg sudah mula mengorak langkah kearah multiracialism.
Peendapat kedua pula ialah rakyat perlukan pemimpin yg baik pentadbirannya dan bukan setakat baik shj.Mantan MB Kedah adalah contoh terbaik.Dia seorang baik,humble dan bersih dari rasuah.Kekurangan dia adalah dia tak pandai mentadbir dgn baik .Akibatnya Kedah jatuh ketangan BN didlm keadaan pengaruh PR sdg memuncak.Satu pengajaran baik pd PAS agar tidak mengambil mudah semua perkara..
Kebaikan yang tidak bersistem akan dikalahkan oleh kejahatan yang bersistem. Kata-kata ini patutnya diambil perhatian serius oleh Pas. Sistem ini ialah pentadbiran. Pas patut belajar mentadbir negeri walaupun belum dapat negeri.
Jelas sekali sekiranya dibuat andaian bahawa dasar perjuangan parti parti politik Negara ini tidak lari dari sifat perkauman. Laungan dan ajakan menjadi ahli 'multiracial' adalah hanya tercatit dalam perlembagaan parti sahaja sedangkan amalannya tetap berbau perkauman disertai fahaman keugamaan. Amalan ini bukan sahaja di Semenanjung tetapi corak yang sama berlaku di Sabah dan Sarawak.
Dimasa ini parti yang erat gabungannya di Negara ini hanyalah BN. Sedangkan gabungan PR ternyata rapuh di Sabah dan Sarawak kecuali DAP ada sedikit kelebihan.
Dalam hal ini nyata memberi kelebihan kepada BN yang diterajui olih UMNO. Sebab itulah orang Melayu semenanjung masih terpaut hati kepada UMNO untuk dapat kekal menguasai Putrajaya.
Walau ramai orang Melayu berpendapat PAS ada kelebihan berbanding UMNO tetapi perjuangan PAS kurang pengaruhnya di Sabah/Sarawak. Etnik bumiputra bukan Islam pasti tidak senang dengan dasar perjuangan PAS. PAS tidak bertapak dihati penduduk Sabah/Sarawak kecuali sebahagian kecil sahaja.
Kempen pedas PRU 13 yang lepas di semenanjung umpama badai melanda UMNO.UMNO dianggap sudah sakit tenat dengan virus korup dan krooni merebak seluruh urat saraf. Bau busuk UMNO terhidu seluruh Semenanjung. Melayu semenanjung sudah hilang harapan kepada UMNO dan mula menjenguh keluar dari rimbunan UMNO tempat orang Melayu berteduh. UMNO sudah tidak selamat bagi orang Melayu.
Kelebihan UMNO menguasai media kerajaan dan media swasta popular dapat menangkis serangan PR untuk kembali menyakinkan orang Melayu kepada perjuangan UMNO. Laungan refomasi, perubahan akan dilakukan dan penapisan barisan kepimpinan nyata mengembalikan semula keyakinan orang Melayu kepada UMNO.
Namun refomasi dan perubahan yang dilaungkan PM telah hilang di tiup angin bagitu sahaja. Tidak nampak tindakan positif di pihak kepimpinan atasan maupun bawahan UMNO. Tradisi biasa kerja jamu menjamu jin dan jembalang kepada ADUN dan MP tetap diteruskan untuk meraikan kemenangan PRU 13.
Kenaikan harga barangan mendadak sejak kebelakangan ini menggambarkan bertapa lemahnya kerajaan sekarang walaupun hanya untuk mengawal harga siling barang kawalan dipasaran.
Sekali lagi orang melayu terkilan dan berpatah hati dengan UMNO. Sungguh malang UMNO ibarat kudis lama belum berparut, sopak pula mula merebak.
Orang padang besar
Pada pemimpin itu katanya ada teladan yang baik, tidak banyak sikit. Pemimpin juga membawa kehancuran, kecuali mereka berpegang teguh kepada tali Allah.
Ulasan di atas fokusnya PRK 13 Kuala Besut. Amat menarik pertembungan ini diantara musuh klasik. BN yakin boleh menang dengan mudah. Lima puloh tahun lebih memerintah orang Melayu mereka sudah masak dengan kekuatan dan kelemahannya. Bahasa yang mudah mereka boleh di beli dgn janji dan wang ringgit. Acuan yang di buatnya (memperbodohkan) masih boleh di pakai.
Hujah saya itu memperlihatkan pemimpin sekarang lebih cerdik dari rakyat. Tetapi rakyat sekarang tidak semua lebih cerdik dari pemimpin pemerintah kerana mereka mempunyai maklumat media alam maya. Kedua mereka cerdik kerana menggunakan kepala akal, bukan kepala lutut. Itu semuanya dari aspek cerdik yang belum tentu baik.
Kita di utara oleh Pak Aspan dari sudut nilai baik pemimpin atau rakyat. Mudah konklusinya, kalau sudah ada unsor unsor penipuan, rasuah dan janji tidak di tepati maka siapakah layak untuk dikatakan baik? Ya rakyat dan tidak pada pemimpin.
Sebenarnya hasil keputusan pilihanraya kecil 13 Kuala Besut memperlihatkan siapa cerdik yang tidak semestinya baik berlandaskan kita sebagai orang Melayu Islam.
If it takes 50 yrs for Mca to get to this level, it will take just 10 yrs for Dap to fall apart.
Trust me AA
I adore yr truthfulness AA. You are very courageous in disposing your real view openly that opens yourself to nasty comments against you.
Cheers AA
You don't mix politics with religion....it's like oil and water.
It will provide opportunity for politicians to divide and do a lot of damage.
Look at the thousands years of religious conflict and hatred in the Middle East countries.
salam ramadhan tuan aspan,
saya sangat bersetuju dengan pandangan tuan tentang ketidakmampuan PAS mengurustadbir kemenangan dengan baik.
apa yang berlaku di terengganu (1999-2004) dan kedah (2008-2013) mempunyai banyak persamaan. Kedua duanya didominasi oleh kumpulan yang sama yang bergelar "Ulama Serba Tahu Serba Pandai". Lebih membimbangkan lagi wabak ini mula merebak ke Kelantan selepas persaraan TG Nik Aziz dan penyisihan Husam Musa.
wawasan kepimpinan ulama dalam PAS perlu kajian yang lebih mantap agar dapat menangani persoalan politik dan sosioekonomi yang lebih mencabar dimasa akan datang. Tidak cukup hanya baca dua tiga kitab lalu mendabik dada agar dipanggil ulama dan menuntut berbagai jawatan dalam organisasi PAS.
wallahualam.
Post a Comment