01 February 2014

Rekonsiliasi Nasional hanya mainan bibir sahaja

Rekonsiliasi Nasional sudah mula menjadi isu yang hangat diperbincangkan sekarang ini. Istilah ini mula kedengaran hanya beberapa minit selepas BN mengumumkan pembentukan kerajaan selepas memenangi kerusi yang ke 112 malam selepas pilihanraya yang lalu oleh PM Najib.  Najib dalam pengumuman ringkas pembentukan kerajaan itu sempat berkata yang kekurangan kerusi yang dimenangi oleh BN itu adalah oleh kerana tsunami Cina, dan kita memerlukan rekonsiliasi nasional secepat yang mungkin.

Tetapi baru tiga empat hari ini sahaja Najib bercakap tentang isu itu setelah hampir setahun  pilihanraya itu berlalu. Sebelum Najib bercakap untuk melakukan sesuatu untuk menuju kearah rekonsiliasi nasional itu beberapa hari yang lepas, ada pihak-pihak yang telah memberikan cadangan itu termasuk lah parti-parti pembangkang, PKR dan DAP.

Kata DAP dan PKR rekonsiliasi nasional itu amat perlu memandangkan isu perkauman dan agama yang semakin hari semakin merasuk politik negara dan akan membawa negara ke arah anarki dan berbagai-bagai bahaya yang mungkin timbul jika isu-isu ini tidak dapat diselesaikan. Mungkin DAP dan PKR mengambil kesempatan diatas kelemahan Najib dan barisan kepimpinan beliau sekarang ini yang mungkin lebih mudah untuk memaksa Najib ke meja rundingan dan mengambil kesempatan diatas kelemahan yang dihadapi Najib kini.

Di sebelah pihak Najib pula mungkin juga inilah waktu yang sesuai untuk bercakap tentang isu ini bagi mendapatkan aura yang baru bagi dirinya yang begitu lemah dan menggunakan isu perpaduan nasional itu menjadi isu untuk memulihkan sokongan ramai.

Sokongan terhadap beliau yang kini hanya tinggal sedikit sahaja, itu pun dikalangan pemimpin yang mendapat keuntungan peribadi mereka sahaja yang masih bersama beliau dalam kepimpinannya sekarang ini.

Keinginan kedua-dua belah pihak untuk bersemuka untuk tujuan rekonsiliasi ini tentulah didorongkan oleh sesuatu, dan saya tetap beranggapan ia adalah oleh kerana keinginan pemimpin kedua-dua belah pihak yang sudah mahu mendapatkan apa yang masing-masing mahukan. Dipihak BN ia tentulah didorong oleh kemahuan untuk menyambung kuasa dan dipihak pembangkang pula ialah untuk mendapatkan kuasa yang sudah lama di idamkan mereka dan mereka sudah begitu lama menjadi 'kembiri politik' yang tidak berkesudahan.

Selama ini apa yang menyebabkan rakyat begitu ‘detached’ dari parti atau kerajaan yang memerintah ialah kerana rakyat tidak dibawa bersama dalam perlaksanaan atau penggubalan sesuatu dasar kerajaan itu. Setiap keputusan yang diambil oleh kerajaan itu hanya dirundingkan sesama sendiri dan mengumumkan sesuatu tindakan dan dasar itu yang tidak diambil kira perhatian dan pandangan rakyat yang biasa.

Dalam menentukan sokongan dari rakyat ramai semua perkara yang hendak kita lakukan wajar mendapat ‘feedback’ dari rakyat dahulu. Apabila terlaksana dasar yang telah ditetapkan itu, tidak akan ada lagi atau sekurang-kurangnya penolakan rakyat akan berkurangan.

Sebelum pentadbiran Mahathir dahulu setiap perkara yang hendak dilakukan terutamanya yang melibatkan rakyat ramai, Jabatan Penerangan Daerah memainkan peranan yang penting melalui kursus sivik setiap hari mengikut giliran kampung dan JKKK di setiap daerah itu. Semasa kurus sivik itulah Jabatan Penerangan akan mendapat ‘feedback’ rakyat dan setiap isu yang ditimbulkan oleh rakyat melalui Jabatan Penerangan itu akan membolehkan kerajaan memahami apa pendapat dan perasaan rakyat terhadap perkara yang hendak dilaksanakan kerajaan itu.

Itu sebabnya banyak yang dilaksanakan oleh kerajaan itu tidak mendapat bantahan yang banyak dari rakyat biasa kerana ahli-ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung merupakan pentadbiran kerajaan yang terendah dimana rakyat ramai ditadbir. Rakyat merasakan yang mereka tidak dipinggirkan dalam melaksanakan sesuatu dasar itu dan merasakan yang mereka ada sebahagian dari penentu perlaksanaan sesuatu dasar itu.

Tetapi sejak tiga puluh tahun dahulu Jabatan Penerangan Daerah ini tidak lagi berfungsi seperti itu, malahan mereka adalah pegawai yang paling ‘under employed’ dan tidak diberikan fungsi dan peranan yang sepatutnya dalam perlaksanaan sesuatu dasar kerajaan itu. Dengan itu rakyat merasakan terpinggir dan tidak mempunyai tanggungjawab untuk memberikan sokongan kepada kerajaan kerana mereka samada tidak faham dengan apa yang kerajaan lakukan atau merasa terpinggir dari arus pembangunan negara.

Dalam isu rekonsiliasi ini adalah amat penting bagi kerajaan membawa rakyat bersama dalam melaksanakannya kerana 'feedback' rakyat itu amat penting untuk difahami. Saya masih teringat dipenghujung tahun tujuh puluhan dahulu, Jabatan Penerangan telah memberikan penerangan tentang apa yang dikatakan dan difahami tentang slogan 'Muhibbah’ yang kita ramai masih percaya yang slogan iitu sahajalah yang boleh menjadi slogan yang relevan bagi matlamat rekonsiliasi yang heboh diperkatakan ini.

Sebenarnya semuanya telah disediakan oleh pimpinan terdahulu dengan dasar-dasar yang boleh diguna pakai untuk jangka masa yang panjang yang mampu melepasi sempadan masa setidak-tidaknya lebih dari lima dekad. Tetapi oleh kerana permainan politik masing-masing mahukan masing-masing mempunyai identiti pentadbiran yang berbeza dengan tujuan untuk menunjukkan kelainan dari pentadbiran sebelumnya.

Maka terlupalah kepada satu slogan yang boleh dipakai sepanjang masa bagi negara yang mempunyai berbagai-bagai kaum dan cara hidup ini, iaitu slogan Muhibbah yang didasarkan oleh kerajaan pimpinan Tun Razak dahulu. Sekarang ini nyata kita berperang untuk melangsungkan hidup bermuhibbah dalam negara kerana kepincangan kehidupan dalam masyarakat berbilang kaum sekarang ini amat menakutkan ramai.

Itu sebabnya yang lama sahaja yang benar dan lebih hampir kepada matlamat asas kepimpinan negara iaitu  perpaduan diantara kaum seperti yang termaktub didalam dasar ekonomi baru dahulu.

Kepada saya yang tidak mahu melibatkan mana-mana pihak, saya tetap merasakan yang usaha-usaha yang disebut sebagai rekonsiliasi nasional yang disebut-sebut dan diperhangatkan oleh kedua-dua belah pihak sekarang ini tidak akan kemana. Bagi saya ia hanyalah permainan politik berpartisan yang hanya bermatlamat kepentingan parti dan kepimpinan masing masing sahaja.

Masing-masing hendak mempergunakan isu ini untuk kepentingan sesuatu kumpulan pemimpin sahaja. Pendeknya ia tidak akan kemana-mana. Ramai yang mungkin membidas saya tetapi saya tidaklah hendak mengambil 'pot' dengan bidasan mereka nanti kerana saya yakin kebenaran akan timbul juga akhirnya.

Bidaslah, katalah apa yang hendak dikatakan. ‘National Reconciliation’ yang disebutkan oleh pemimpin-pemimpin BN dan pembangkang sekarang ini hanyalah retorik yang begitu kosong dan hampa semata-mata. Bak saya kata selalu, kita boleh 'menyelam air di dalam tunggak' dengan mudah.

Ia setakat untuk mendapatkan tajuk nyanyian yang baru yang akan dinyanyikan semasa pilihanraya kecil Kajang itu sahaja. Ia hanya akan menjadi nyanyian seniman dan seniwati atau biduan dan biduanita dari DAP, PKR dan UMNO sahaja semasa diatas pentas pilihanraya kecil itu nanti….tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Dalam PRK itu nanti tidak tahulah siapa yang makan siapa.

Yang pasti rakyat akan diperhambakan kerana masalah parti masing-masing yang disaluti dengan nafsu yang besar untuk berkuasa sahaja.

13 comments:

Anonymous said...

Jika seseorang pemimpin itu belum lagi berkuasa tetapi dapat melepaskan tengkuknya dari segala fitnah dan masaalah itulah pemimpin sebenar yang harus dipilih oleh rakyat.Pemimpin jenis ini pemimpin yang tiada berhutang apa2 dengan rakyat.

Anonymous said...

Anon diatas,,,

Saya sangat bersetuju dengan pandangan anda. Itu sebabnya Anwar tidak boleh menjadi pilihan kepada pimpinan sekarang, kerana Anwar berhutang moral yang baik dari dirinya.

Hutang moral itu lebih besar buruk nya dari hutang milik kerajaan sekarang.

Walu bagaimana pun Najib dan rakan-rakannya wajar dibuang ketepi kerana tidak memahami kehendak rakyat yang bergitu sofiskated dalam inginan sebuah negara yang berih dan tidak ada pemimpij yang bermoral rendah.

Jabbar

mo said...

Salam,

Moral dan fitnah sangat jauh beda. Mngapa dgn hujjah sedemikian akan mnentukan kedudukan seseorg ? Kaki fitnah dan kaki rasuah pun jelas dpt mnjadi PM dan ketua negara msia ini. Mngapa sebeb negara kita sebenar telah rosak, dlm mmbuat penilaian yg bijak dan pintar. Ini semua salah pmimpin yg kita ada di msia. Sebab mereka inilah yg mmbuat rakyat yg tdk terdedah dgn media lain, selain dari media perdana yg terkwal oleh bn umno . Hingga rakyat yg ada di desa dan kpg tdk boleh mmbuat perkiraan yg bijak dan tdk lagi mmpu mmbedakan yg baik dan yg buruk.

Rekonsiliasi national, hanya kan berjaya kira nya betul2 di laku demi negara dan rakyat msia. Tdk mnjadi salah mmbuat rekonsiliasi nation. Kita tdk boleh mnduduh ia nay tk akan mmbawa faedah dan tdk berjaya. Namun adalah baik kira, di mula dari kini, bukan sekadar mnjadi isu yg tdk ada penghujung.

Klau PM najib dan PR anwar boleh melakukan Rekonsiliasi national, mngapa tdk ? Mungkin itu sebagai detik yg permulaan . Tdk lah mudah utk mncampai satu kesepakatan, namaun tdk mnjadi satu perkara yg mustahil. Jelas sejarah mmbuktikan betapa tdk seirng dan tdk senada, mereka berjumpa, dan terbukti bahawa kekusutan jelas boleh di lakukan atas kepentingan negara dan bangsa.

Salam .


Anonymous said...

Pak Aspan,

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meramalkan BN akan kalah sekiranya pilihanraya diadakan ketika ini kerana rakyat marah kepada BN berikutan isu kos sara hidup.

bat8 said...

Hutang moral yang sdra maksudkan perlu dis3but secara jelas kerana kenyataan umum ini akan ditafsir mengikut persepsi masing-masing. Kita ni manusia yang hanya bol3h faham jika ia mampu digapai oleh 5 pancaidera kita. Kita tak boleh membaca fikiran dan hati manusia lain untuk mengetahui apa yang sebenarnya maksud ses3orang disebalik statement umumnya.

Jadi saya simpan dahulu hasrat untuk komen s3hingga saya memahami dengan tepat apa yang sdra maksudkan dengan hutang moral anwar.

bat8 said...

Buat masa ini kita tunggu penjelasan lanjut yang lebih jelas dari Najib sendiri apa yang dia maksudkan dengan rekonsiliasi nasional.

Najib ni kita sudah masak benar dengan stailnya: cakap lain buat lain. Kedua: dia sanggup buat apa sahaja,janji apa sahaja untuk lepaskan t3ngkoknya yang sedang tersepit. Bila dah lepas dia tak fikir 2 kali ( jangan l3 harap dia fikir sampai 10 kali sebab tu takde dalam kamus dia) untuk mungkiri janji dia. Contohnya banyak seperti janji menifesto BN PRU 13, penyelesaian 10 perkara dalam isu kalimah Allah.

Sesiapa yang menaruh harapan kepada Najib untuk bersetuju melakukan rekonsiliasi nasional sebelum mendengar dan melihat dengan bukti kukuh dia ikhlas, bersedialah untuk dipandirkan.

Bukti nak kena jelas sebab tengok macamana di tunjuk simpati kepada rakyat yang menghadapi kenaikan kos hidup hadiah Najib selepas dia menang PRU 13 - hanya potong elaun dia,menteri dan pegawai kanan seciput je. Pembaziran lain masih seperti biasa.

james said...


This is politics Aspan. Those who talk much about reconciliation are the once who are going to fail it.

For reconciliation the person to do it must be from some where else, I mean Najib and his group should stay away. LKS should not get involved and so do LGE.

The person who must be out of the meeting and discussions from the start should be Anwar Ibrahim and Dr Mahathir.

All the busy leaders of the day should stay outside and smoke cigars.

Enough of these peoples' shenanigans. We are just fed up with these names in Malaysian politics la.....

Anonymous said...

Dalam prk kajang umno bn sudah kering modal dan hanya bertindak menyerang peribadi Dsai.Puak umno bn pura-pura tidak tahu bahawa setiap satu isu yang mereka bangkitkan tetap akan berkesudahan dengan sendirinya mendedahkan dua atau lebih pekung didada mereka.

Anonymous said...

Dulu-dulu saya ingat semua sampah akhirnya boleh dijadikan baja. Tapi rupa-rupanya silap...rupa-rupanya ada sampah yang tak berguna sampai bila-bila; contohnya Anwar Ibrahim, yang kerjanya tak lain...tak habis-habis menyusahkan orang kerana nafsu politiknya.

Anonymous said...

pak aspan pun satu, zaman ni mana ada pemimpin yg tak jaga anak beranak, kroni n adik beradik, pak as pun kalau jd pemimpin confirm cmtu juga.tapi yg melampau sangat mcm BN & the gang tu kita x mahu la.kita sama2 berdoa semoga Allah kurniakan pemimpin yg terbaik antara yang terjahat. pak as bekas umno, dari tulisan2 pak as, nampak masih ada lagi kasih syg kat umno

Anonymous said...

Assalam.Hakikatnya slogan Muhibbah lebih sinonim dengan selera rakyat malaysia yang berbilang kaum dari dulu hingga ke saat ini.Slogan retorik seperti 1 Malaysia hanya berjaya mencipta topeng-topeng kepura-puraan yang akhir telah memakan diri kerajaan BN.

Apa perlunya rekonsiliasi pada waktu perpaduan perkauman sudah ditahap yang kronik.Pelajar-pelajar sekolah mnengah kebangsaan kini melalui satu trauma perkauman yang serius. Ejekan yang terang-terangan isu kangkung dihamburkan kepada pelajar-pelajar melayu yang hanya mampu berdiam diri.

Perlunya kita membuat risikan dan analisa jujur khususnya di peringkat sekolah-sekolah menengan kebangsaan sebelum kita duduk berbincang tentang perpaduan parti-parti politik yang sememangnya satu sandiwara yang sungguh menjijikkan.

Anak-anak kita yang akan membentuk malaysia maju pada masa hadapan.Mereka-mereka yang harus kita dekati dan menyatakan apa iatu semangat MUHIBAH yang diamalkan dahulunya dan perlunya semangat itu dikembalikan dan diremajakan.

Anonymous said...

As salam Pak Aspan,
Seperti biasa amat tertarik semua perkara yg di tulis oleh Pak Aspan.
Buah fikiran yg boleh diambil oleh pimpinan negara baik yg besar ataupun yg masih kecil.
Sudah tentu kita inginkan negara ini akan terus maju,makmur dan rakyatnya sentiasa dapat hidup bersama aman dan damai.
Betul jugalah kata Pak Aspan tentang slogan Muhibbah itu.
Sepatutnya konsep/gaya hidup muhibbah ini di jadikan amalan semua peringkat rakyat.
Munkin mereka yg berumur 20 ke 35 tahun sekarang telah terlewat kerana sistem pendidikan yg berasingan.
Kita boleh pupuk semula muhibbah ini kpd generasi baru melalui sistem persekolahan/pendidikan satu bumbung.
Ini memang perlukan perbincangan rekonsilasi di peringkat pimpinan semua kaum di Malaysia tidak kira mereka berada di dalam parti politik baik pemerentah atau pembangkang.
Akhirnya dlm PRK Kajang kelak rakyat setempat juga akan merasa nikmat durian runtuh dari projek projek mengambil hati baik dari Federal atau Negeri!
Wassalam

Nas


Anonymous said...

Saya setuju dgn slogan muhibah..lagi bagus slogan muhibah+harmoni..