13 December 2006

8. Mentadbir negara atau Persatuan sepak takraw ??

Hari ini saya terbaca wawancara PM kita dengan akhbar terkemuka di Thailand, The Bangkok Post. PM kata telah genap tiga tahun yang menyeronokkan dan merasa puas hati dengan pencapaiannya selama tiga tahun ini. Pada keseluruhannya beliau menzahirkan rasa seronok selama beliau ditunjuk oleh Dr Mahathir menjadi penggantinya. Agaknya beliau terlalu lama untuk mendengar pujian-pujian yang tidak kunjung tiba maka beliau memilih untuk menggunakan wawancara ini untuk memuji dirinya sendiri.

Kepada mana-mana manusia yang ingin menjadi insan mukmin, tentu tahu yang Allah SWT pun tejalikan Muhammad untuk berzikir dan bertahmid serta memujinya dan Allah sendiri berselawat ke atas Muhammad. Allah yang bersifat maknawi itu tidak memuji dirinya sendiri sedangkan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi serta segala kandungannya adalah miliknya.

Yang menjadi perhatian ramai, ialah tuduhan beliau yang Tun Mahathir telah memasukkan pasir ke dalam periuk nasi menantunya. Apa yang dibuat TDM hinggakan pasir masuk ke dalam periuk Khairy? Yang kita tahu periuk yang beliau dapat itu pun adalah pemberian TDM. Yang dikritik oleh TDM dan orang ramai ialah peranan Khairy yang boleh membawa negara ke arah kehancuran jika Pak Lah membuat keputusan dengan pengaruh menantunya itu. Yang ditadbirnya adalah negara, bukannya Persatuan Sepak Takraw Kepala Batas. Rakyat ada hak untuk memberi pandangan dan kritikan dalam hal dan cara negara ditadbir. Ini negara demokrasi. Negara ini bukannya hak beliau dan keluarga beliau sahaja.

Bagaimana pula dengan ramai ahli perniagaan yang terpaksa gulung tikar yang berpunca dari peranan Khairy dan kroninya mempengaruhi proses pemberian projek- projek besar oleh kerajaan untuk kepentingan kroni-kroninya. Selagi Pak Lah tidak mengikut etika kepimpinan yang betul selari dengan negara demokrasi ini, selagi itu lah kritikan akan datang dari semua sudut.

Tunku Abdul Rahman tidak memberi anakanda beliau Tunku Nerang memainkan peranan samada dalam politik mahu pun perniagaan semasa beliau menjadi perdana menteri. Itu jugalah amalan mana-mana perdana menteri negara demokrasi yang maju, kerana itulah etika yang betul. Anak dan menantu tidak boleh langsung terlibat dalam politik dan berniaga dengan kerajaan.

Kalau benarlah PM menjadikan Islam sebagai panduan kepimpinannya, elok beliau faham bila dan di mana tempatnya untuk bercakap tentang anak dan menantunya. Selagi sikapnya memberi fokus kepada keluarga selagi itulah rakyat akan menjauhkan sokongan dari beliau. Pemimpin yang tidak jujur memang senang melatah sebab dia telalu banyak perkara yang hendak dilindunginya. Kalau yang hendak dilindungi itu terlalu besar tidak mungkin ianya mampu ditutupi dengan nyiru. Lambat-laun rakyat akan tahu juga.

Satu-satunya cara Pak Lah untuk mengembalikan nama dan imej yang baik ialah dengan mengundurkan diri secara terhormat. Untuk mendapatkan penghormatan tidak semestinya dengan menjadi Perdana Menteri. Berundur dari jawatan itu pun boleh mendapat penghormatan orang ramai.

Sekian coretan hari ini. Jumpa lagi dalam dua atau tiga hari. Wassalam.

2 comments: