30 January 2007

36. Keng Yaik & Perhimpunan Agong Barisan Nasional (BN)


Cadangan Dato Seri Lim Keng Yaik, Presiden Gerakkan supaya diadakan Perhimpunan Agong Barisan Nasional (BN) baru-baru ini sangat menarik perhatian ramai pihak.

Inilah kali yang pertama seorang Presiden sebuah parti yang menganggotai BN membuat cadangan seperti ini dan tentulah cadangannya itu diasaskan kepada ‘premis’ yang dirasakannya sangat releven untuk kepentingan BN atau pun setidak-tidaknya untuk parti dan bangsanya.

Kalau diteliti dari hujah cadangannya itu adalah disebabkan perasaan tidak puas hati di kalangan anggota partinya dan rakyat keseluruhanya terhadap pimpinan yang ada pada hari ini.

Presiden Parti Gerakkan itu berkata, perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat dalam banyak perkara terhadap kerajaan, adalah salah satu sebab kenapa perhimpunan itu perlu diadakan.

Rakyat tidak yakin dengan apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan akan membawa apa-apa manfaat, dan ianya nyata petunjuk jelas yang kita sedang menghadapi krisis keyakinan yang sangat serius dan memerlukan perhatian pimpinan.

Perhimpunan Agung Perpaduan Barisana Nasional (BN) itu tentulah dihadiri oleh perwakilan dari semua parti-parti komponan BN dan akan membahaskan isu-isu yang berbangkit, dari isu ekonomi hinggalah kepada isu-isu yang membabitkan kesejahteraan kehidupan rakyat di negara ini pada masa hadapan.

Sebagai pemimpin sebuah parti yang didominasi oleh bangsa cina, beliau tentunya akan memberi tumpuan kepada isu ekonomi yang merupakan isu yang sangat penting bagi komuniti itu.

Yang ditakuti oleh Gerakkan ialah cara menghadapi rakyat yang rata-rata tidak berpuas hati ini semasa pilihanraya nanti.

Selama ini BN tegak kerana sokongan kuat dari kaum cina, kerana empat puluh tujuh peratus orang melayu sudah tidak kekok lagi untuk mengundi parti-parti alternatif.

Dengan keresahan rakyat bawahan yang sangat jelas pada hari ini, ramai pihak berpendapat orang cina tidak akan memberikan sokongan sehebat dulu lagi kepada BN dalam pilihanraya yang akan datang.

Undi orang melayu dalam pilihanraya kali ini sudah jelas menyebelahi pihak alternatif, dan jika bangsa lain mengurangkan sokongan kepada BN, menafikan kemenangan dua pertiga kerusi di Parlimen memang sudah pasti menjadi kenyataan.

Sekarang ini hanya kebijaksanaan pimpinan sahaja yang mampu untuk mengekalkan sokongan rakyat kepada kerajaan hari ini.

Seorang sahabat pernah memberikan kata-kata yang sinis kepada saya, “You all in BN can’t be lucky all the time bro! If you people still maintain this kind of leadership style, there is no guarantee that the people would extend the lease to rule this beautiful nation. Just stop vandalizing the country please!”

Saya tidak dapat menjawabnya kerana mungkin ada kebenaran kata-katanya.

Saya hormat sahabat saya itu kerana keikhlasan memberikan pandangannya……Aspan Alias







27 January 2007

35. Rakyat Susah vs Pemimpin Mewah


Belum pun hilang isu Cobra Sultan, kita dihidangkan dengan berita pembelian Jet Eksekutif untuk Perdana Menteri yang kini dalam pembikinan ‘refurbishment’ di Basel, Switzerland.

Saya mendapat tahu melalui blogger RockyBru, Kuda-Kepang dan RPK Malaysia-today yang akan membuat tulisan lanjutan selepas sembahyang jumaat yang akan datang.

Harga jet kali ini ialah USD50 juta dan harga ubahsuai konfigerasinya ialah USD70 juta.

Di sini sahaja jet yang baru ini menelan wang rakyat melebihi RM200 juta.

Dalam isu yang terbaru ini jelas di Malaysia ada dua nilai berita yang mengandungi fenomena perbezaan yang sangat ekstrim.

Satu berita rakyat yang semakin hari semakin tertekan kehidupan mereka, dan berita pemimpin-pemimpin yang sedang gila membelanjakan wang rakyat tanpa perasaan semata-mata untuk memuaskan nafsu shahwat mereka.

Rakyat diminta mengubah cara hidup bagi menghadapi tekanan kenaikan harga barangan sedangkan pemimpin pula mengubah cara hidup mereka dengan kehidupan berseronok dan bersenang-lenang di atas keringat rakyat yang mencurah-curah.

Bukankah rakyat telah membelikan banyak jet-jet untuk pemimpin-pemimpin selama ini?

Inikah kerja yang dikatakan masih banyak yang belum selesai dan terpaksa meneruskan niatnya untuk memimpin kita buat penggal yang kedua seperti yang dikatakannya semasa bercakap kepada Al-Jazeera baru-baru ini?

Inikah nilai Islam Hadari yang diketengahkan kepada rakyat untuk jadi ikutan kita?

Inikah dia sifat sebenar AAB, yang tidak langsung memikirkan hal kepentingan rakyat selain dari mengutamakan kepentingan dan keseronokan peribadi masing-masing?

Inikah sifat seorang yang datang dari keluarga ulamak, dan inikah sebenarnya suruhan Allah swt dan Muhammad saw.

Kita begitu keliru dengan apa yang disuruhnya dan apa yang dilakukannya itu terlalu bertentangan?

Apa benarkah yang dikatakan oleh buku-buku saikoloji dan cerdik pandai yang ini memang sifat pemimpin yang datang dari latar belakang yang lemah?

Pemimpin yang lemah akan bersifat macam si kudung mendapat cincin, macam kera dapat bunga atau yang lebih kasar lagi macam sakai dapat padi?

Wang yang sebanyak RM200 juta itu boleh membantu membangunkan kembali negeri Johor yang dilanda banjir begitu teruk baru-baru ini.

RM200 juta yang dibelanjakan untuk jet eksekutif itu hanya memberi nikmat kepada empat lima orang manusia sahaja, sedangkan lebih setengah juta rakyat akan dapat faedahnya jika wang itu diberikan kepada kerajaan negeri Johor.

KENAPA RAKYAT SAHAJA YANG MESTI BERKORBAN SEDANGKAN PEMIMPIN KITA TIDAK MEMPUNYAI KUDRAT UNTUK BERBUAT PERKARA YANG SAMA?

Ya Allah! Kami memohan perlindunganMu, dari pemimpin yang mabuk ini!....Aspan Alias




23 January 2007

34. Kempen anti rasuah tiada sambutan

Salah satu dari janji-janji Perdana Menteri YAB Abdullah Ahmad Badawi semasa mula-mula mengambil-alih kepimpinan negara pada Oktober 2003 dahulu ialah untuk memerangi rasuah.

Selalunya apabila Perdana Menteri membuat satu-satu ketetapan, ianya akan disambut oleh Ahli Jemaah Kabinetnya dan mereka akan bercakap tentang isu itu di mana-mana mereka berucap.

Tetapi dalam isu rasuah yang disebut oleh PM Abdullah Ahmad Badawi ini, saya belum pernah mendengar seorang pun menteri berucap yang menyokong tindakan menghapuskan rasuah ini.

Kenapa menteri-menteri ini tidak menyahut usaha Abdullah Ahmad Badawi ini melalui ucapan-ucapan mereka?

Ramai yang hendak mendengar mereka melaungkan perkataan seperti, ‘mari kita benteras rasuah! Kita sokong PM untuk membawa sesiapa yang rasuah ke pengadilan!’ dan sebagainya.

Kenapa mereka yang bergegar-gegar bercakap, dan yang tunjuk garang, mengambil sikap membisu tentang isu rasuah ini?

Kita hendak dengar menteri seperti Dato’ Seri Nazri Aziz berucap dengan nada yang garang dan lantang dalam isu rasuah ini seperti dia berucap dalam isu-isu yang lain.

Saya juga kepingin hendak dengar Tan Sri Muhyidin Yassin berucap dalam majlis-majlis besar membidas mereka yang rasuah.

Kenapa Dato’ Seri Ali Rustam, Dato’ Seri Shahidan Kasim, dan yang lain-lain tidak menjadikan isu rasuah ini sebagai isu yang wajib disebut di dalam majlis-majlis rasmi, sedangkan penyakit rasuah ini adalah penyakit nombor satu sekarang ini?

Kenapa? Kenapa? Dan mengapa????

Saya tidak ada jawapannya. Mungkin orang lain boleh menjawabnya.



Wassalam..

22 January 2007

33. Anwar-Mahathir berdamai?

Tulisan Datuk Ruhanie Ahmad di dalam bloggernya http://www.kuda-kepang.blogspot.com/ pada 22hb Januari 07 agak menarik.

Tajuk tulisannya yang berkisar tentang perdamaian Anwar-Mahathir itu adalah satu kemungkinan yang memang biasa didalam politik.

Saya tidak mahu membuat ulasan mengapa dan kenapa kemungkinan perdamaian itu terjadi tetapi lebih memikirkan tentang kebaikan yang akan dirasai jika pemimpin-pemimpin ini berdamai.

Jika kedua orang pemimpin ini berdamai ianya akan mengurangkan perbalahan diantara kita dan kita boleh menghadapi masalah yang sangat getir yang dihadapi rakyat ketika ini dengan lebih mudah.

Anwar dan Mahathir masing-masing sudah merasakan pengalaman pahit dalam politik masing-masing.

Diatas kesilapan Dr Mahathir, beliau telah pun mengakui kesilapannya dengan membuat pilihan yang salah selama ini, dan tentunya beliau merupakan orang yang paling kecewa dengan apa yang berlaku sekarang.

Bagi Anwar pula, beliau telah pun melalui pembersihan diri setelah dipenjara selama lebih enam tahun dan sudah cukup pembalasan yang diterimanya.

Tidak payahlah kita menambah-nambah pembalasan kepadanya, kerana Anwar telah pun menerima pembalasan jika benar dia telah melakukan kesalahan.

Bagi saya penjara Sungai Buluh itu merupakan neraka di dunia ini dan Anwar telah pun berada di dalam ‘neraka’ ini selama enam tahun.

Orang islam tentunya percaya bahawa sesiapa yang telah keluar dari neraka, orang itu adalah dianggap bersih dan tiada tempat lain baginya selain dari syurga.

Yang belum dibersihkan ialah pemimpin-pemimpin yang rasuah dan rakus pada hari ini yang masih belum dipenjarakan.

Apabila Anwar yang telah bersih atau dibersihkan itu memohon menyertai UMNO adalah tidak baik jika dia disekat untuk menyertai parti kita ini.

Yang tidak mahu melihat Anwar menyertai UMNO itu hanya mereka yang takut pada bayang-bayang dan yang merasa rendah diri yang keterlaluan.

UMNO itu Melayu, dan Melayu itu adalah UMNO! Itulah kata-kata ramai pemimpin, dan jika ada orang melayu disekat menjadi ahli UMNO, ianya merupakan satu tindakan ‘ultra vias’.

UMNO itu hak orang melayu. Sesiapa yang menyekat kemasukannya itulah sebenarnya petualang bangsa.

Jika benar perdamaian ini berlaku ianya adalah dialu-alukan, dan ini adalah satu tindakan yang sangat mulia.

Khalid Alwalid merupakan seorang yang sangat memusuhi Muhammad saw, tetapi akhirnya Khalid Alwalid telah berdamai dengan Nabi Muhammad dan seterusnya menjadi pejuang islam yang tersohor hinggakan dia diberi gelaran ‘Pedang Allah’.

Peperangan Sifin merupakan peperangan islam dengan islam yang pertama dalam mana satu pihak diketuai oleh Saidina Aishah yang dibantu oleh Muawiyah telah berperang dengan kumpulan Saidina Ali karamallah huwajhah.

Tetapi kedua-duanya berperang kerana menegakkan agama Allah.

Jika Anwar dan Mahathir bersatu untuk menegakkan kembali perjuangan orang melayu yang telah luntur ini, mengapa pula kita tidak menyokongnya?…Aspan Alias

21 January 2007

32. Pemimpin berjiwa mati

Ikan kegemaran saya ialah ikan parang dan ikan ini hidup di laut masin.

Satu pelajaran yang kita dapat daripada ikan ini, dia tidak pula merasa masin apabila keluar dari laut walaupun dia hidup dalam lautan luas yang amat masin bertahun-tahun lamanya.

Kenapa ikan ini tidak masin?

Jawapannya ialah kerana ikan itu ada jiwa yang hidup, maka apa jua pengaruh negatif tidak akan dapat mempengaruhi ikan itu.

Di sebaliknya ikan mati yang sudah tidak bernyawa, jika direndam dengan air garam yang masin ikan itu akan menjadi ikan masin.

Dalam lain perkatan, hanya ikan yang mati, tidak bernyawa dan berjiwa amat mudah diresapi oleh elemen-elemen lain termasuklah elemen masin tadi.

Bagaimana pula dengan manusia yang bergelar Perdana Menteri, Menteri-menteri, Menteri-Menteri Besar, Ketua-ketua Jabatan pula?

Jika dibandingkan dengan cerita ikan tadi, adakah mereka ini tergolong dalam golongan ikan hidup atau ikan mati.

Kalau ikan hidup dan ikan mati tadi dijadikan anologinya, mana-mana pemimpin yang terpengaruh dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, ego, hipokrit dan lain-lain elemen negatif itu, maka mereka tidak ubah seperti ikan mati.

Pemimpin-pemimpin sudah mati jiwanya dan tidak lagi mampu untuk melawan unsur yang kotor, maka ianya sangat mudah untuk diresapi unsur-unsur menjijikkan seperti rasuah, salahguna kuasa, berbohong dan bersifat tamak yang semuanya ini adalah dimurkai Allah swt.

Di sebaliknya pemimpin yang berjiwa hidup serta berjiwa besar mereka tidak akan terpengaruh dengan rasuah atau sogokan dan apa jua unsur yang boleh menjejaskan jiwanya yang mentauhidkan tuhan tadi.

Pemimpin yang berjiwa besar dan hidup, tidak akan ‘meleleh’ air liurnya dengan sogokan harta benda, walau semewah mana pun barang yang disogokan itu.

Pemimpin yang ‘hidup’ tadi tahu bahawa yang akan menanggung bahagia atau celaka di alam akhirat nanti ialah roh, batin dan jiwanya.

Mereka yang mudah mengalah kepada unsur-unsur rasuah ini akan merasa senang menerima sogokan daripada mana-mana pihak yang berkepentingan perniagaan, walaupun pada zahirnya dia berlindung di sebalik nama tuhan dan agama.

Begitulah hinanya pemimpin-pemimpin yang tergolong dalam kategori ini.

WASSALAM



31. Yang mana kambing, yang mana ayam?

Satu hakikat yang berlaku dalam parti kita ialah polimik antara penyokong-penyokong pemimpin besar negara.

Masing-masing ada seni dan cara untuk menaikkan nama pemimpin sokongan mereka.

Tetapi satu cara yang lazimnya dilakukan mereka ialah dengan mengkritik kepimpinan yang tidak sebulu dengan pemimpin sokongan mereka sedangkan setiap pihak ada keburukan dan kecacatan masing-masing.

Keadaan ini tidak ubah seperti cerita ayam dengan kambing yang suka mencela antara satu sama lain.

Kambing berkata kepada ayam, “Ayam, kau ini cantik. Bulu engkau cantik, balong kau lawa, tapi kau tidak boleh dibawa ke tengah, sebab kau tidak pakai KASUT!”

Ayam lantas menjawab, “Hai kambing! Betul engkau pakai kasut, tanduk engkau cantik! Janggut engkau kemas! Tapi kau mesti sedar diri kau, yang engkau tu lagi tak malu…kau tak pakai seluar dalam! Kau tayangkan TELUR kau. Semua orang nampak!”

Begitulah hakikatnya keadaan pemimpin-pemimpin kita pada hari ini.

Masing-masing ada jentera untuk menjatuhkan pemimpin yang dicemburuinya dengan cara begini, sedangkan dia sendiri ada masalah dan kecacatan sendiri.

Bagi kita yang di bawah ini, kita melihatnya dengan perasaan yang bercampur-campur.

Kadangkala kita rasa malu, ada kalanya berasa marah dan selalunya kita pandang situasi ini sebagai lawak jenaka yang dipersembahkan oleh pelawak pelawak bodoh.

Tetapi akhirnya mereka jugalah yang akan memimpin kita. Itulah sistem yang ada dalam parti kita.

Wassalam.

19 January 2007

30. Kecil itu hadiah, besar itu rasuah

Memberi hadiah merupakan satu budaya yang agak ‘universal’ di kalangan kita. Selalunya hadiah di berikan untuk mengingati harijadi seseorang, untuk mengingati ulangtahun perkahwinan, majlis perkahwinan seseorang dan sebagainya.

Selalunya kita menghadiah sesuatu kepada isteri, suami, rakan sekerja mengikut kemampuan dan motif pemberian hadiah itu tuhan sahaja lah yang tahu.

Yang menerima hadiah pula merasa bahagia dan senang hati dan hadiah tadi boleh membawa perhubungan antara yang memberi dan penerima bertambah baik dan akrab.

Tetapi ada hadiah yang terima boleh menjahanamkan seseorang. Hadiah yang besar dan mahal yang diterima boleh mengikat dirinya dan sekali gus dia tergolong dalam kategori yang menerima rasuah.

Jika penerima itu seorang pemimpin besar maka pemimpin itu akan hilang identiti kepimpinannya. Dia akan menjadi glamour dan terus glamour dan berkhayal dalam keenakkan kehidupan baru yang tidak pernah di jangkanya.

Seseorang yang ‘multi billionaire’ mampu menghadiahkan pemimpin pemimpin negara atau pun raja-raja serta siapa juga dengan hadiah seperti jet-jet dan kapal mewah yang puluhan juta harganya.

Di sini lah waktunya seseorang pemimpin boleh di nilai peribadinya. Di sinilah dugaan yang besar bagi pemimpin-pemimpin yang mendapat sogokkan itu.

Bagi pemimpin yang berkualiti dia tidak akan menerimanya dan dia tahu ianya merupakan sogokkan rasuah yang sangat menjijikkan.

Bagi pemimpin yang harga dirinya rendah., hadiah seperti ini merupakan perkara yang di tunggu-tunggu dan bersedia menerimanya dengan senang hati tanpa rasa malu dan bersalah.

Air liurnya sentiasa meleleh seperti anjing nampak tulang apabila terjumpa perkara-perkara yang boleh mendatangkan kekayaan dan ‘glamour’.

Itulah sebabnya di negara negara maju ramai pemimpin jatuh kebumi kerana menerima sogokkan seperti ini. Rakyatnya menjatuhkan pemimpin seperti ini kerana sayagkan negara, dan tidak membenarkan pemimpin mereka berlaku sumbang di hadapan mereka.

Mereka tahu pemimpin yang seperti ini akhirnya akan ‘menjual’ negara dengan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk kepentingan peribadi mereka.

Bagi orang seperti saya, untuk memberi hadiah memang jauh dari kemampuan.

Hadiah yang saya mampu berikan kepada pemimpin hanyalah DOA agar mereka kembali ke pangkal jalan dan jadilah pemimpin yang jujur dengan perjuangan untuk rakyat khususnya kepada bangsanya sendiri.

WASSALAM










18 January 2007

29. Pemimpin UMNO sokong DAP?

Di dalam Bab 3 Perlembagaan UMNO sudah diperjelaskan perjuangan sebenar parti kita. Pemimpin besar dalam UMNO tidak tahu apa sebenarnya matlamat perjuangan parti yang mereka pimpin.

Setengah pemimpin bercakap tentang semangat kebangsaan dan ada pemimpin bercakap tentang perjuangan mewujudkan Bangsa Malaysia.

Sesungguhnya Bab 3 Perlembagaan itu telah disajikan intipati perjuangan. Siapa yang memperjuangkan perkara yang lain dari yang disebut oleh Bab 3 itu adalah orang yang patut tinggalkan parti kita ini dan sertailah DAP.

Jika benar perjuangan kita untuk membentuk Bangsa Malaysia dan bukannya memperjuangkan Kedaulatan Bangsa Melayu, maka elok kita semua memberikan sokongan kepada parti DAP.

DAP lah parti yang konsisten memperjuangkan untuk pembentukan Bangsa Malaysia. Dari dahulu hingga lah sekarang parti itu memperjuangkan Bangsa Malaysia yang bersatu.

Kadangkala pemimpin kita cukup pandai memerangkap diri sendiri kerana mereka bercakap tanpa terlebih dahulu berfikir hinggakan mereka tidak tahu apa yang diperkatakan lantaran memberi padah yang buruk kepada bangsa kita.

Tanpa disedari pemimpin kitalah sebenarnya memperjuangkan serta menyokong parti DAP.

Di dalam pilihanraya lazimnya kita membuat isu yang DAP itu adalah anak kelahiran PAP Singapura.

Kita takut jika DAP memerintah, Malaysia akan mengikut telunjuk Singapura.

Di sini kita ingin bertanya, bukankah sekarang ini UMNO yang mengikut telunjuk Singapura?

Yang memberikan Singapura kemudahan untuk bermaharajalela di negara kita ialah pemimpin UMNO.

Yang bersetuju untuk Singapura membeli asset strategik kita ialah pemimpin UMNO kita, bukan DAP.

DAP belum ada rekod menjual harta benda strategik kita kepada negara yang mungkin menjadi ‘Colonial Master’ kita yang baru itu.

Dulu Singapura kita yang punya, tetapi sekarang kalau salah langkah, kita akan menjadi kepunyaan Singapura.

Marilah kita mengadakan kembali kursus-kursus sivik untuk ahli-ahli UMNO, lebih-lebih lagi kepada pemimpin-pemimpin besar kita.

Persepsi perjuangan pemimpin- pemimpin kita sudah menjadi caca marba.

UMNO hanyalah modal perniagaan ramai pemimpin kita.

Kalau UMNO masih bernafsu untuk berkuasa lebih lama pandanglah kritikan ini dengan positif. Janganlah ambil isu perjuangan ini dengan sambil lewa sahaja.

Pemimpin yang cuba untuk mengubah perjuangan UMNO kita, mereka dialu-alukan meninggalkan parti kita ini dari menjadi petualang kepada perjuangan orang melayu.

WASSALAM





..





14 January 2007

28. Perut membawa penyakit

Saya berjumpa doktor kerana kurang sihat dua hari yang lepas. “Hi doc! saya menegurnya. Dia menjawab, “Hi man! Why are you allowing your body to grow sideways! You must be taking tons of food! Hampir semua penyakit datang dari perut tau! Kalau makan banyak dan cepat pasti penyakit akan datang kat you. Bila makan tu,do it slow dan jangan terlalu banyak!” katanya dalam bahasa rojak Melayu Inggeris.

Selesai mengambil ubat saya duduk di kedai kopi di sebelah klinik kawan saya itu. Saya mula berfikir tentang nasihat doktor tadi. Memang betul kata doktor itu.
Penyakit selalunya datang dari perut.

Kalau makan banyak dengan kadar yang cepat penyakit akan menghampiri kita. Nasihat doktor tadi tepat dan pemimpin kita patut dinasihatkan oleh doktor ini.

Di peringkat negara, penyakit rasuah, salahguna kuasa, masalah kroni dan banyak yang lain yang kita sedang kita hadapi sekarang ialah kerana PERUT. Perut-perut ini ‘makan’ terlalu banyak dan hendak cepat habis, dan perut rakyat bertambah kempis.

Apabila ‘perut-perut’ yang memimpin tidak pernah merasa kenyang maka mereka akan makan tanpa henti sehingga hinggap penyakit yang bermacam-macam. Jika ‘perut-perut’ ini masih makan dalam kadar yang ada pada hari ini, penyakit-penyakit ini amat sukar untuk diubati.

Kita kena selesaikan isu ‘perut-perut’ yang kuat makan ini. Kalau tidak diselesaikan nanti anak cucu kita akan kerugian. Rakyat khususnya ahli UMNO jangan hanya menghilangkan ‘sakit’, kita wajib hilangkan penyakit.

Kita nampak dengan jelas, mereka bukan sahaja makan banyak tapi cepat-cepat pula.

Ingat kepada nasihat yang di berikan oleh doktor kepada saya tadi, PENYAKIT SELALUNYA DATANG DARI PERUT.

WASSALAM





12 January 2007

27. Bila majoriti bersalah, minoriti lah yang benar

Saya baru sahaja pulang ke rumah dari berjumpa seorang teman lama yang menjemput saya untuk makan ‘Brunch’ di USJ 11. Teman saya itu adalah bekas Ahli Parlimen pada tahun lapan puluhan dahulu tetapi dia tidak mahu bercakap tentang politik. “Politics these days are full of shits and UMNO can’t solve the problems.” Katanya dalam bahasa inggeris.

“Bro, why do you bother to think about those leaders?! I read your writing in your blogger. You may say good stuffs but we have to come to term that saying right things in UMNO is prohibited. You may be sacked! You know, those people in Parliament and MT call themselves leaders but many of them subscribe to slave mentality” bentaknya keras.

Saya menerima pandangannya dengan hati yang terbuka, kerana saya percaya kepada demokrasi, dan sesiapa pun boleh memberikan pandangan mereka dengan bebas. Saya beritahu dia saya menulis bukan kerana hendak jadi pemimpin, dan saya bukan pun seorang pemimpin. Saya hanya membuat sesuatu walaupun orang tidak ramai yang memberikan sokongan cara terbuka, saya percaya suatu hari nanti perkara yang ditolak akan terbukti kebenarannya.

Mungkin ada orang yang marah dan mengejek-ejek kita sekarang tetapi tidak seorang pun yang tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Yang pentingnya pandangan kita mesti berdasarkan keikhlasan, dan samada diterima atau sebaliknya, biarlah waktu yang menentukannya.

Nabi Nuh alaihisalam memakan masa lapan ratus dari seribu tahun umurnya untuk berusaha membawa umatnya ke jalan yang benar. Nuh dipulaukan, diejek dan dilontarkan dengan kata-kata kesat oleh masyarakat waktu itu. Berbagai-bagai usaha dilakukan untuk menggagalkannya., namun dia terus dengan usahanya untuk menyedarkan umat pada masa itu.

Akhirnya Nuh hanya mendapat sokongan seramai lapan puluh satu orang pengikut sahaja. Yang majoriti mengikut pemimpin jahiliah yang berpangkat besar, termasuklah anak dan isterinya sendri.

Apabila Nuh membina bahtera dia dianggap gila oleh masyarakatnya, kerana membina bahtera di tengah padang pasir. Memang tidak nampak oleh masyarakat waktu itu apa perlunya Nuh membina bahtera yang besar itu. Selain dari lapan puluh satu orang pengikutnya, semua manusia tidak memandangnya dengan sebelah mata pun.

Akhirnya kebenaran tiba, malapetaka di turunkan Tuhan dengan banjir dan bah yang menenggelamkan bumi dan umat yang engkar tadi tenggelam lemas, termasuklah anak dan isterinya yang tidak mahu beriman kepada Allah swt. Kalau air bah zaman Nuh berulang, ‘yatch’ besar dan mewah pun tidak akan dapat menyelamatkan umat.

Nuh dengan pengikutnya terselamat di atas bahtera binaannya yang menjadi bahan ejekan masyarakatnya itu. Sesungguhnya kebenaran memang sukar untuk diterima oleh manusia kerana kebenaran akan hanya tercapai dengan kesabaran dan pengorbanan.

Sebaliknya kemungkaran memang mudah untuk mendapat sambutan kerana ianya menghayalkan manusia dengan kebendaan yang belum tentu berada didalam keredhaan Tuhan.

Pesan aulia dan wali Allah, ‘syurga dikelilingi oleh duri, sedangkan neraka dipagari dek roti’. Yang majoriti tidak semestinya betul dan yang minoriti tidak semestinya salah.

Sekian. WASSALAM.









11 January 2007

26. Cikgu Kahar dalam kenangan

Pada jam 2.30 pagi 9 Januari 2007, saya mendapat pesanan ringkas daripada Zawawi Zain memberitahu saya yang Cikgu Kahar Ahmad, seorang pejuang melayu terkenal telah meninggal dunia pada malam itu.

Saya menerima berita itu dengan perasaan sedih dan hati saya berkata, “hilang seorang lagi pejuang melayu” yang amat saya hormati. Seorang demi seorang pejuang yang mengenali bangsanya pergi meninggalkan kita.

Saya mengenali Cikgu Kahar semasa beliau mengambil alih kepimpinan UMNO Muar pada tahun 1985 daripada Allahyarham Tun Sulaiman Ninam Shah. Cikgu Kahar memang terkenal dengan sikap yang tegas dan lantang apabila memberi pandangan serta menentukan pendirian terhadap sesuatu isu yang berbangkit.

Semasa UMNO diharamkan Allahyarham bingkas menkeritik pucuk pimpinan semasa itu kerana cuba menghalang usaha pihak ‘Team B’ dalam UMNO untuk menghidupkan UMNO lama. “Celakalah sesiapa yang cuba menghalang penhidupan UMNO ini.” Katanya marah-marah.

“Kenapa pucuk pimpinan tidak menggunakan akta pertubuhn 1965 seksyen 70 yang memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menghidupkan mana mana pertubuhan yang di batalkan pendftarannya oleh mahkamah” bentaknya di dalam ceramah umum di Paguh dalam mana saya merupakan salah seorang dari penceramahnya.

“Ini membuktikan permainan politik pimpinan yang berkuasa tidak memikirkan tentang parti dan orang melayu! Dia mementingkan peribadinya sahaja. Dia takut kedudukkannya terjejas! Petualang petualang!” katanya.

Radzi Sheikh Ahmad (S/U agung UMNO sekarang) merupakan pakar rujuk Allahyarham tentang isu-isu yang melibatkan undang-undang. Radzi lah orangnya yang membekalkan akta pertubuhan terutamanya tentang peruntukan seksyen 70 akta pertubuhan 1965 kepada kami semua.

Sesungguhnya UMNO yang asal memang boleh dihidupkan dengan akta pertubuhan 1965 seksyen 70, jika Menteri Dalam Negeri menggunakan kuasanya untuk menghidupkannya. Tetapi politik adalah politik. Saya ingin menulis isu ini dalam tulisan tulisan yang akan datang, insyaallah.

Cikgu Kahar tetap tidak menyertai UMNO hingga ke akhir hayatnya kerana sikap pemimpin-pemimpin UMNO tidak berusaha untuk menghidupkan UMNO asal malahan menghalang usaha ramai pemimpin dan ahli yang lain untuk menghidupkannya.

Ramai yang memujuk Cikgu Kahar untuk menyertai UMNO yang ada ini, tetapi beliau tetap tidak bersetuju. “Zeila bintang filem itu tidak serupa dengan Zeila yang menjadi Mascot Tahun Melawat Malaysia (TMM) 1991 dulu. Ziela Mascot TMM 1991 itu Orang Utan, Sabarudin Cik yang bagi nama!” katanya yang bermaksud UMNO hari ini hanya pada namanya sahaja, tetapi perjuangannya sudah lari begitu jauh.

Saya begitu menghormati Cikgu Kahar kerana perjuangannya yang luhur untuk bangsanya. Perginya beliau sama seperti pemergian Tunku A Rahman dan Datuk Husein Onn, tidak ada namanya terdaftar sebagai ahli UMNO.

Semoga rohnya di bariskan bersama roh yang mukmin.

WASSALAM.





08 January 2007

25. Doa makbul hajat tak sampai

Hidup dalam keadaan aman damai dalam sebuah negara yang makmur merupa harapan yang amat tinggi dan itu lah hajat kita rakyat Malaysia selama ini. Rakyat sentiasa berdoa agar UMNO meneruskan pimpinannya untuk mencapai hajat tersebut.

Pilihanraya umum yang lalu kita di berikan mandat yang besar setelah kita berdoa dan berusaha untuk mendapatkannya dari rakyat. Doa kita semua di kabulkan Tuhan. Kita bergembira kerana hajat kita ialah untuk melihat pemimpin yang dipilih mengendalikan negara dan rakyat dengan adil dan saksama serta berkorban seperti pemimpin yang terdahulu seperti Tunku Abd Rahman Putra, Tun Abd Razak serta Datuk Husein Onn. Semasa kepimpinan mereka ini tidak pernah timbul polimik dan isu tentang anak-anak mereka dengan politik dan proje- projek kerajaan.

Tetapi malangnya apa yang kita hajatkan tidak kesampaian kerana pemimpin hari ini tidak ada kekuatan dalaman untuk menjaga etika kepimpinannya dan membenarkan ahli keluarga menggunakan pengaruh pimpinannya untuk mengisi kehendak nafsu-nafsi mereka. Pucuk pimpinan tidak ada rasa bersalah dan malu dengan isu yang sedang panas di polimikkan di mana-mana oleh rakyat.

Malah kedapatan orang yang dilantiknya untuk menjawat jawatan yang besar menggunakan kesempatan untuk menggunakan kedudukkan mereka bagi menyelesaikan hutang dan masalah peribadi, sehingga terpaksa menyaingi rakyat yang dipimpinnya untuk mendapatkan projek-projek di kementerian masing-masing. Inilah yang membosankan rakyat, kerana mereka sudah nampak permainan pemimpin mereka.

Kita sebagai ahli UMNO wajib melihat secara objetif tentang keadan ini, kerana UMNO ini kepunyaan ahli dan bukannya kepunyaan Perdana Menteri atau pun keluarganya. Yang boleh memperbaikki keadaan ini ialah ahli-ahli sendiri. Jika kita tidak ada kudrat untuk mengubahnya, maka sampai bila-bila budaya menggunakan kuasa untuk peribadi ini akan terus subur dan menjahanamkan nasib anak cucu kita.

Negara ini adalah negara demokrasi. Parti kita pun parti demokrasi. Tentu ada jalan untuk menyelesaikan masalah ini secara demokrasi. Kita BERDOA dan pilih pemimpin yang betul Insyaallah barulah HAJAT kita sampai.

Setiap ahli UMNO wajib berfikir dan gunakan pemikiran kita untuk kebaikan dengan berani. Yang penting orang melayu lebih-lebih lagi ahli UMNO patut mula berfikir dengan akal yang telah di anugerah Tuhan. Selama ini mungkin kita belum menggunakan pemikiran kita.

WASSALAM




06 January 2007

24. Qarun dan Quran

Sekarang adalah zaman perkembangan antara budaya Quran dan Qarun. Pucuk pimpinan kita memperkayakan budaya ini dengan begitu mendadak sehinggakan kita menjadi begitu keliru.

‘Facet’ pentadbiran dan kepimpinan kita disolekkan dengan slogan-slogan berunsurkan agama, seperti konsep Islam Hadhari yang kini diseminarkan dan dibincangkan dalam upacara-upacara rasmi kerajaan. Kita tidak perlu mempunyai ‘intelligence’ yang tinggi untuk mengetahui motif penerapan konsep ini dalam kerajaan kita dewasa kini.

Di sebalik penerapan Islam Hadhari ini, semua orang tahu yang ianya merupakan ‘indah khabar dari rupa’ semata-mata. Tidak ada langsung amalan 'Islamic' dalam pengurusan rakyat dan negara.

Di kalangan kebanyakan orang yang bernama pemimpin, masing-masing sedang sibuk mengumpulkan harta yang begitu banyak dan tidak ada sempadan kerakusan mereka. Ada yang menjadi ‘billionaire’ dalam tempoh sesingkat empat atau lima tahun. Rakyat bukan sebodoh yang difikirkan mereka dengan mengatakan anak masing-masing kaya disebabkan penyertaan mereka dalam tender antarabangsa dan tidak ada unsur-unsur pengaruh daripada jawatan yang mereka pegang.

Usaha pengumpulan harta atas peluang rakyat adalah satu perkara yang tidak boleh dimaafkan. Harta kekayaan negara kita ini bukan datuk nenek mereka yang punya. Inilah cara Qarun mengumpulkan harta semasa zaman jahiliah Firaun dahulu. Kalau zaman Firaun ada Qarun, zaman sekarang pun dah ada Qarun.

Adakah pemimpin-pemimpin kita ini merupakan pembawa dalil dunia akan kiamat? Kita bertanya kerana antara dalil yang jelas apabila dunia hendak kiamat ialah; yang benar nampak salah dan yang salah nampak benar. Selain daripada itu, yang benar terhimpit dan yang bersalah bermaharajalela. Yang paling jelas dalil yang dunia hampir hendak kiamat ialah rakyat dipimpin oleh orang-orang bodoh.

Tanyalah guru-guru, apakah jenis manusia yang menjadi pembawa dalil dunia hendak kiamat ini. Apabila sudah tahu jawapan nanti beritahulah saya kerana saya pun hendak belajar juga sedikit sebanyak tentang hal yang sangat penting ini.

WASSALAM.

05 January 2007

23. Pemimpin glamour

Hari ini sudah lima hari kita melalui tahun 2007. Kedatangan tahun baru kali ini tidak ada apa-apa yang memberi kita perangsang untuk menaikkan taraf kehidupan seperti empat lima tahun yang lalu. Yang hanya rakyat dapati ialah kenaikkan bayaran tol selain dari kenaikkan harga keperluan yang semuanya membebankan mereka. Rakyat tidak tahu lagi hendak mengadu pada siapa. Hendak mengadu kepada kerajaan, sudah mustahil. Belum pun sempat kita hendak mengadu, kerajaan menambah lagi beban rakyat dengan menaikkan harga petrol dengan kadar yang begitu tinggi.

Di Johor, banjir melanda begitu ganas sehinggakan ianya merupakan banjir yang terbesar dalam seratus tahun, dan setakat ini telah mengorbankan lima belas nyawa. Ia menenggelamkan hampir tujuh puluh peratus negeri tersebut, dan rakyat begitu tertekan dengan malapetaka ini. Ramai rakan-rakan telah ke Johor untuk membantu kenalan-kenalan yang terlibat dalam banjir tersebut setakat mana yang termampu, untuk membantu pihak berkuasa menangani kesempitan rakyat negeri itu. Walaupun sekecil mana pun bantuan yang diberikan ia tetap di hargai oleh mangsa banjir itu. Kecil tanda bersama besar tanda berada.

Malah ramai di antara kawan-kawan saya yang sepatutnya pergi bercuti telah membatalkan hasrat mereka kerana merasa begitu bersalah untuk bersantai ke luar negara sedang rakan-rakan mereka di Johor sedang menghadapi malapetaka besar.

Hanya pemimpin besar kita sahaja yang tidak mampu untuk membatalkan hasratnya untuk bercuti kerana sikap tidak prihatin kepada masalah rakyat di Johor. PM kita hanya balik sehari dari luar negara dan terbang semula untuk bercuti sehinggalah ke hari ini. Ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa pemimpin kita ini bukan pemimpin yang tulen. Beliau bukan pemimpin rakyat. Beliau tidak selesa bersama rakyat tatkala rakyat berada dalam kesusahan. Memang kita tidak nafikan bahawa berada di Australia ataupun di Turkey tentu lah lebih seronok daripada berada bersama-sama rakyat yang sedang dilanda banjir.

Glamour…glamour…..glamour….. seolah-olah tidak ada masa yang lain untuk bersantai. Dia tidak mampu untuk menangguhkan percutiannya seolah-olah sudah tiada lagi hari esok baginya. Sikap Abdullah Badawi sudah berubah dalam sekelip mata daripada manusia yang dikatakan baik kepada seorang pemimpin yang tidak langsung mempunyai jiwa rakyat. Beliau bersikap rakyat berjiwa raja.

Teringat pula saya kepada nasihat seorang tua di kampung saya semasa saya remaja dahulu, “kalau dapek pangkat, jangan jadi macam sakai dapek padi, botanak siang dan malam. Kalau dapek kuaso, jangan pulak toloncek ko sini dan toloncek ko sano….malu!! Kito ghaso kito hebat tapi tak soda oghang ghamai menyampah!!” kata atuk itu. Walaubagaimana pun sehingga ke hari ini saya tidak berpangkat, tidak bernama dan tidak bergelar.

Kalau dinilai nasihat ‘atuk’ tadi, memang sesuai diberikan kepada pemimpin kita ini. Agaknya memang begitu sifat seorang yang baru merasakan nikmat. Kita bercuti apabila telah penat bekerja. Tetapi pemimpin kita ini, kita tidak tahu pun apa kerja yang telah dibuatnya. Kerja tidak seberapa cutinya yang lebih. Tetapi kita kena ingat, kalau hendak glamour pun jangan sampai ketahap kufur nikmat. Ada hadith yang di riwayatkan oleh Baihaqqi yang Nabi kita amat benci kepada manusia yang kufur nikmat. Marilah kita berdoa agar kita semua dan pemimpin Hadhari ini tidak tergolong ke dalam kumpulan orang yang kufur nikmat.

Bukan sedikit kesusahan yang dihadapi oleh rakyat Johor. Memang tidak patut PM pergi bercuti waktu ini, dan ramai rakyat Johor berkecil hati kerana orang Johor lah selama ini yang memberikan sokongan yang kuat kepada beliau. Sepatutnya inilah waktunya untuk beliau menunjukkan perhatian kepada kubu kekuatannya itu. Rakyat hanya dianggapnya seperti ‘dahan bongkok’, digunakan untuk kera-kera dan monyet -monyet meniti. Itu sahaja gunanya kita semua ini kepada pemimpin kita.

Dari contoh yang ditulis ini sudah mencukupi untuk menilai siapa sebenarnya Abdullah Badawi. Rupa-rupanya Pak Lah ini memang pandai membaca hati orang melayu . Dia tahu orang melayu akan menyokong mana-mana pihak yang menipu mereka, termasuklah oleh pemimpin partinya sendiri. Itulah sebabnya kita semua sentiasa ditipu dengan bermacam-macam helah termasuklah menggunakan agama suci kita untuk kepentingan peribadi mereka. Dalam pada itu rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetap terus subur di dalam negara kita.


WASSALAM.


03 January 2007

22. Bangun sesudah mati

“Manusia itu sesungguhnya sedang tidur dan akan hanya bangun setelah mati”. Begitulah kata-kata alim ulamak serta mereka yang zuhud. Kata-kata seindah ini tentulah datangnya dari insan yang penuh dengan ilmu dan tahu fungsinya sebagai manusia kejadian Tuhan ini. Manusia yang sentiasa mencari kebenaran tidak ada jalan lain selain dari berzuhud terhadap Tuhannya, hatta ilmu itu terpancar dari a’rash Tuhan yang Maha Tinggi dan Suci.

Ilmu yang Haq ini tentulah datangnya dari hasil usaha keras untuk mencari jalan ke arahnya yang Maha Esa serta mengharapkan keredhaanNya dalam segala bidang kehidupan. Kalau kita menginginkan hidup dalam kehidupan mukmin, nescaya akan faham bahawa kita memerlukan nikmat dari hasil bekerja keras dan diiringi rahmat dan keredhaan Tuhan tatkala hidup di dunia ini dan mengecapi segala rahmat semasa hidup di alam akhirat. Itulah sebabnya ilmu itu adalah lebih tinggi nilainya dari harta dan takhta, kerana ilmu itu akan menjaga kita sedang harta itu membuatkan kita terpaksa berusaha untuk menjaganya.
Pendek kata, untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat, harta yang memberikan kita nikmat di dunia ini hendaklah ditadbir dengan ilmu yang akan membolehkan kita mendapat keredhaan dari Tuhan dan mendapat tempat terpilih dan tergolong di kalangan yang terampun di alam akhirat kelak.

Bagi pemimpin, Negara dan Rakyat adalah harta yang diamanahkan Tuhan untuk dijaga dan ditadbir di dalam keredhaanNya. Malahan pemimpinlah yang paling mudah untuk ke syurga seandainya dia menjalankan tanggungjawab dengan penuh takzim dan sentiasa menjalankan pentadbiran dengan niat yang satu, iaitu untuk memenuhi kewajipan kapada Allah swt. Di sebaliknya pemimpin jugalah yang paling mudah ke neraka jika dia nya tidak melaksanakan tanggungjawab untuk mencapai keredhaan Tuhan dan sentiasa mendahulukan diri sendiri di samping tidak ada pengorbanan dengan menyalahgunakan kuasa yang di pinjamkan Tuhan itu.

Usaha yang intensif adalah diwajibkan kepada pemimpin untuk melaksanakan tanggungjawab mengikut lunas dan jalan yang telah ditentukan Tuhan jika benar-benar seseorang pemimpin itu ingin menjadikan pimpinannya sebagai ubudiyah serta amalan untuk mentauhidkan yang Maha Esa. Sifat bijaksana itu adalah sifat Tuhan maka adalah sangat penting bagi pemimpin untuk bertawajjuh dan bertawassul kepada Tuhan semoga sifat bijaksana tadi dipinjamkan olehNya kepada pemimpin tadi untuk mentadbir harta dan rakyat tadi agar sentiasa berada di atas jalanNya dan dalam keredhaanNya.

Ilmu inilah yang menjadi pakaian pemimpin-pemimpin agung dalam Islam dahulu seperti Al Malek Ashtar yang pernah mentadbir negara Mesir dengan bijaksana di zaman Khalifah Al Rashideen Ali k.wajhah, kerana kezuhudannya kepada Allah swt.

Maka adalah tidak afdal dan amat tidak baik jika kita gunakan agama, nama Tuhan serta menggunakan slogan-slogan agama jika niatnya semata-mata untuk politik dan kepentingannya sendiri. Bagi saya seorang, konsep Islam Hadhari anjuran Abdullah Badawi itu merupakan satu usaha untuk memberitahu umat Islam bahawa agama yang selama ini kita anuti itu ada kelemahannya. Yang lemah bukanlah Islam yang dibawa oleh Muhammad itu, tetapi yang lemah ialah penganutnya sendiri, termasuklah pemimpin-pemimpin yang menggunakan Islam sebagai tempelan semata-mata sedangkan apa yang dilakukannya amat jauh menyimpang dari landasan al-Quran dan al-Hadith yang ditinggalkan oleh Muhammad saw.
Apa yang kita nampak banyak pemimpin menggunakan agama untuk mendapat sokongan rakyat untuk berkuasa tetapi apabila berkuasa dia mencontohi Qarun yang kaya-raya di zaman jahiliah Firaun dulu. Perbalahan antara pemimpin adalah kerana harta dan kuasa; amat sedikit perbalahan dan perbezaan pendapat itu kerana kesejahteraan rakyat yang dipimpinnya.

Ingatlah ayat yang pertama tadi, kita sebenarnya sedang tidur, dan akan bangun setelah kita mati. Kepada pemimpin, ingatlah, anda sedang bermimpi di dalam tidur. Mimpi enak yang anda alami itu akan hilang apabila anda bangun nanti. Apabila anda terjaga, sudah terlalu lewat untuk menghadapi realiti hidup yang anda akan hadapi.


Sekian.WASSALAM