18 March 2007

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang (bahagian 8)

Walaupun Tengku Razaleigh telah tewas dalam pemilihan pada perhimpunan agung 1981 beliau tetap berpengaruh kerana asasnya dalam UMNO sudah berurat dan berumbi.

Peranan beliau mengetuai usaha mengambil-alih kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1978 memperkuatkan lagi terasnya dalam UMNO dan Kelantan mula masuk ke era pembangunan moden selepas itu.

Setelah tewas dalam pemilihan 1981 beliau terus memimpin UMNO kelantan sebagai pengerusi perhubungan, walaupun banyak usaha yang dilakukan oleh pihak yang berkonspirasi untuk memecahkan-belahkan UMNO Kelantan.

Tengku Razaleigh yang masih berjawatan Menteri Kewangan tetap menjadi tumpuan pemimpin-pemimpin dari bahagian-bahagian serta pemimpin-pemimpin masyarakat seluruh negara seperti keadaan sebelumnya.

Dato Musa sesungguhnya tidak begitu senang dengan tindakan Dr Mahathir mengekalkan Tengku Razaleigh, tetapi tidak berupaya berbuat apa-apa kerana pengekalan itu adalah kehendak perwakilan pada perhimpunan agung yang mahu Tengku Razaleigh dikekalkan bagi menjaga perpaduan parti.

Banyak bahagian-bahagian yang masih tidak dapat menerima kekalahan Tengku Razaleigh dan bahagian-bahagian ini mengambil keputusan untuk mencalonkan Tengku Razaleigh untuk menawarkan jawatan sebagai Timbalan Presiden pada tahun 1984.

Tengku Razaleigh pula sudah mula merasakan bahawa pentadbiran Dr Mahathir tidak lagi menumpukan kepada dasar-dasar yang telah diputuskan oleh kabinet sebelumnya.
Jika dulu kerajaan berusaha untuk melihat ramai jutawan melayu tetapi kecenderungan untuk membentuk hanya segelintir ‘multibillionaire’ akan membawa bencana kepada niat dan matlamat UMNO untuk membesarkan jumlah rakyat kelas menengah.

Ini merupakan pelanggaran yang ‘head on’ kepada dasar UMNO yang telah diterima dan dihormati oleh rakyat berbilang kaum di negara ini.
Jika trend ini berterusan maka usaha untuk melebarkan parameter kelas menengah melayu yang sudah menampakkan kejayaan akan terkubur.

Kecenderungan pemimpin untuk membuat kekayaan peribadi mula berputik dan ramai berpendapat Tengku Razaleigh sudah mula merasakan kekecewaan sedikit demi sedikit.
Maka Tengku Razaleigh menerima pencalonan dan berlakulah pertandingan jawatan Timbalan Presiden buat kali kedua pada tahun 1984 dan menerima pencalonan-pencalonan itu bagi menghormati kehendak bahagian-bahagian tersebut.

Sekali lagi Tengku Razaleigh menerima kekalahan kerana Presiden memihak kepada penyandang iaitu Dato Musa.Tengku Razaleigh dikekalkan dalam kabinet tetapi kali ini menjadi menteri di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan diambil-alih oleh Dato Mohamad Yaacob, Menteri Besar negeri itu.
Pengekalan Tengku Razaleigh dalam kabinet ini dilihat oleh Dato Musa sebagai tindakan politik halus Dr Mahathir untuk mengimbangi pengaruhnya.

Tugasnya di Kementerian Kewangan di ambil alih oleh Encik Daim Zainudin, seorang peguam dan ahli perniagaan yang belum berjaya.
Perniagaan beliau hanya mula menampakkan kejayaan setelah beliau menjadi Menteri Kewangan.

Buat pertama kali seorang menteri kewangan dipegang oleh ‘non-parliamentarian’ dan peristiwa ini merupakan kejadian yang aneh kerana di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi, menteri kewangan mestilah dipilih oleh Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

Perlantikan Daim dan pengekalan Tengku Razaleigh dalam jemaah kabinet merupakan satu himpitan kepada Dato Musa dan inilah permulaan perasaan tidak puashatinya terhadap Dr Mahathir Mohammad.

Setelah memendam rasa yang begitu dalam Dato Musa mengambil satu tindakan yang drastik dengan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986 dan tindakannya itu memeranjatkan semua pihak dalam UMNO.

Dato Musa sudah hilang kesabarannya kerana beliau merasakan yang beliau tidak akan dapat memperkuatkan pengaruhnya ke dalam UMNO dengan tindakkan Mahathir yang sentiasa mengimbanginya.

Beliau merajuk dengan harapan supaya UMNO akan mengadakan perhimpunan agung khas bagi membincangkan isu ini sambil mengharapkan perhimpunan itu akan sebulat suara memohan untuk beliau menarik balik keputusannya meletakkan jawatan.
Jika ini berlaku tentulah beliau akan mendapat kekuatan untuk menunggu giliran serta memberikan tekanan kepada Dr Mahathir untuk berundur.

Tunku Abdul Rahman yang sudah lama bersara telah tampil mendesak UMNO mengadakan perhimpunan agung khas, kerana yang meletakkan jawatan ini ada lah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Tetapi Dr Mahathir mengambil sikap membisu dan menerima sahaja perletakan jawatan Musa tanpa perhimpunan agung khas dan tanpa pujuk rayu darinya.

Tengku Razaleigh sekali lagi menjadi bahan spekulasi yang beliau kali ini akan menjadi pilihan Dr Mahathir untuk menjadi timbalannya. Beliau bingkas membuat kenyataan supaya tidak membuat spekulasi tersebut kerana Encik Ghaffarlah yang paling layak menggantikan Musa kerana kedudukkan beliau sebagai Naib Presiden UMNO.

Ghaffar akhirnya menjadi pilihan Dr Mahathir kerana beliau adalah Naib Presiden dan kembalilah Ghaffar ke dalam kabinet setelah sepuluh tahun berada diluar jemaah kabinet.
Meletakkan Ghaffar sebagai timbalannya adalah pilihan yang paling selamat kepada Dr Mahathir kerana beliau yakin Ghaffar tidak akan mampu membayanginya dalam niat beliau hendak menerajui kerajaan dalam tempoh yang lama.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah Ghaffar tiada siapa yang menjangka.

Insya-Allah, kita jumpa lagi dengan sambungan tulisan ini...............Aspan Alias.

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang (bahagian 7)

Konspirasi terhadap Tengku Razaleigh bertambah rancak dalam bisikan, apabila Datuk Musa Hitam menjadi Naib Presiden pada tahun 1978 bersama Ku Li dan Encik Ghaffar Baba.

Yang menyedihkan sekali konspirasi ini dilakukan terhadap manusia yang sedang memandu perlaksanaan DEB yang telah menghasilkan faedah yang begitu baik kepada bangsa dan negara.

Malahan asas kekukuhan ekonomi negara diasaskan oleh kewibawaan Tengku Razaleigh menyempurnakan keputusan kabinet dengan sempurna tanpa isu-isu yang kita dengar sekarang ini, seperti menghimpunkan kekayaan peribadi dan peranan keluarga dalam perniagaan dengan kerajaan.

Apabila Datuk Husein Onn mengumumkan tidak akan mempertahan jawatan Presiden UMNO setahun sebelum itu maka kerancakan fitnah-memfitnah begitu menular secara senyap-senyap di merata-rata tempat di negara ini.

Segala pengorbanan Tengku Razaleigh tidak dihargai semata-mata tidak mahu melihat beliau menaikki tangga kepimpinan negara.

Pada perhimpunan agung UMNO 1981, Dr Mahathir tidak mahu melantik timbalan yang beliau suka malah menggalakkan pertandingan di peringkat Timbalan Presiden ini.

Bagi seseorang yang faham sedikit politik, Dr Mahathir tidak mahu melantik terus Datuk Musa Hitam kerana pertandingan akan mewujudkan imbangan antara Ku Li dan Musa dan meletakkan beliau selesa berada di kerusi Perdana Menteri..

Yang lebih meyakinkan orang ramai ialah Dr Mahathir tidak mahu bertimbalankan Tengku Razaleigh kerana beliau takutkan kepimpinannya akan dibayangi oleh teknokrat melayu ini.

Dr Mahathir dengan sengaja mengelirukan keadaan dengan kenyataan yang tidak pernah didengari.

Antara kenyataannya ialah Timbalan Presiden tidak semestinya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan banyak lagi kenyataan yang pelik-pelik.

Dalam sekelip mata media-media perdana telah memihak kepada Musa Hitam bukan kerana kekuatan Musa tetapi Dr Mahathir yang akan menjadi orang nombor satu negara itu memihak kepada Musa.

Dr Mahathir berulang-kali memberitahu media yang beliau lebih rela bekerja dengan syaitan yang beliau kenal dari bekerja dengan malaikat yang tidak dikenali.

Pada satu hari saya telah membuat temujanji dengan Menteri Besar Perak Dato Seri Wan Mohammad

12 March 2007

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang (bahagian 6)

Jika ada pemimpin yang mempunyai perasaan rendah diri di kalangan jemaah kepimpinan, maka kesatuan ataupun sesuatu kumpulan itu akan beransur-ansur menjadi lemah.

Keadaan ini berlaku di dalam UMNO apabila ada beberapa orang pemimpin peringkat tertinggi yang bercita-cita tetapi ada perasaan rendah diri membuatkan mereka bertindak mengadakan konspirasi bagi membantutkan peningkatan kepimpinan seseorang pemimpin yang mereka sasarkan.

Antara beberapa orang pemimpin yang menjadi mangsa konspirasi ini ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang telah memperhambakan kehidupan beliau kepada negara.

Adalah ‘natural’ bagi Tengku Razaleigh menjadi mangsa konspirasi politik ini kerana beliau adalah seorang yang dianggap ‘d factor’ Perdana Menteri pada dekad tujuh puluhan dan akan menjadi penghalang kepada cita-cita kumpulan konspirasi ini untuk menaiki hieraki kepimpinan negara.

Tun Razak dan Datuk Husein merupakan Perdana Menteri yang datang dari keluarga aristokrat dan mereka merupakan pemimpin yang mempunyai magnamiti yang tinggi dan usaha untuk mengenepikan Tengku Razaleigh sukar untuk dilakukan semasa mereka menjadi Perdana Menteri.

Mereka memberikan tugas kepada Tengku Razaleigh, dengan sepenuh kepercayaan dengan memberikan Tengku Razaleigh ‘parameter’ yang luas bagi beliau membuat sesuatu keputusan dalam perkara-perkara yang ingin diputuskan oleh kabinet.

Bagi Ku Li pula beliau tidak mensia-siakan amanah Perdana Menteri dan kerajaan serta aspirasi UMNO dan BN untuk melihat negara mempunyai perancangan yang ‘reconciliatory’ bagi mencapai matlamat DEB lantaran memberikan keistemewaan kepada bumiputra di samping tidak mengabaikan bangsa-bangsa lain.

Tengku Razaleigh berada di mana-mana: dalam parti, dalam kabinet, dalam forum antarabangsa malah Tengku Razaleigh memang dipandang oleh dunia dan media antarabangsa sebagai seorang pewaris kepada kepimpinan negara.

Walaupun beliau merupakan Naib Presiden yang lebih senior daripada Dr Mahathir, sifat gentleman beliau memudahkan Dr Mahathir untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri apabila Datuk Husein Onn mengambil alih kepimpinan negara setelah pemergian Tun Razak ke rahmatullah.

Di dalam UMNO Ku Li telah menduduki majlis tertinggi parti sejak tahun 1962 dan bekerja sepenuh masa untuk memperkuatkan UMNO di Kelantan yang takala itu tidak dipandang dengan sebelah mata oleh rakyat Kelantan setelah tewas di dalam pilihanraya umum 1959.

Apabila Datuk Husein mengosongkan kerusi naib presiden pada tahun 1973 untuk memangku jawatan Timbalan Presiden, Tengku Razaleigh dengan persetujuan Majlis Tertinggi telah dipilih untuk menjadi Naib Presiden.

Di sinilah bermulanya perasaan seorang atau beberapa orang pemimpin memendam perasaan tidak puas hati terhadap Tengku Razaleigh yang ketika itu berusia tiga puluh enam tahun.

Dalam pada itu Tengku Razaleigh tetap dengan usaha gigih beliau untuk melaksanakan dasar-dasar yang di putuskan oleh kerajaan dengan menumpukan usahanya untuk memperkukuhkan BBMB, PERNAS, serta berusaha menubuhkan PETRONAS yang kini menjadi syarikat gergasi dalam mana anak dan keluarga pucuk pimpinan kita mendapat kontrak yang nilainya berbillion ringgit itu.

Perasaan tidak puas hati ini menjadi lebih jelas pada tahun 1975 apabila pertandingan jawatan Naib Presiden menjadi begitu panas dan ‘competitive’.
.
Pada tahun itu oleh kerana ada isu yang agak besar ramai pemimpin-pemimpin besar telah menyertai senarai yang menawarkan diri untuk menjadi Naib Presiden.

Di antaranya ialah Dr Mahathir Mohammad, Jaafar Albar, Tan Sri Ghazali Shafie dan Dato’ Harun Idris dan seorang lagi nama yang saya sudah lupa bersaing di samping Tengku Razaleigh dan Abdul Ghaffar Baba sebagai penyandang untuk kerusi Naib Presiden.

Di dalam pertandingan kerusi Naib Presiden itu Dr Mahathir telah berjaya mejadi Naib Presiden di samping Tengku Razaleigh dan Abdul Ghaffar Baba yang juga berjaya mempertahankan jawatan masing-masing.

Dr Mahathir tidak berpuas hati dengan kedudukan nombor tiga dalam slot Naib Presiden dan penyokong-penyokongnya telah menuduh Perwakilan Kelantan yang diketuai oleh Tengku Razalegh tidak memberikan sokongan kepada beliau.

Dr Mahathir sendiri telah mengaku didalam ucapan beliau di kediaman Menteri Besar Johor semasa pilihanraya kecil Johor Baru pada tahun 1988 di mana Datuk Shahril telah bertanding dengan tiket bebas menentang calon BN.

Dalam ucapan itu Dr Mahathir telah menuduh Datuk Musa Hitam tidak mengenang budi kerana mengkritik beliau.

Dr Mahathir berkata, “Saya mengambil Musa kerana dia datang berjumpa saya selalu untuk nak naik. Yang layak sebenarnya ialah Tengku Razaleigh tetapi saya juga marah dengan Tengku Razaleigh sebab dia tak sokong saya semasa bertanding Naib Presiden dulu.”

Begitulah keadaan di dalam UMNO di peringkat tertinggi parti tetapi Ku Li tetap gentleman dan tidak mangambil hati dengan apa yang dilakukan oleh mereka yang menjadikan beliau seteru dalam barisan kepimpinan parti.

Insya-Allah, tulisan ini akan bersambung ...................................Aspan Alias.

06 March 2007

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang ( bahagian 5)

Allahyarham Tun Razak adalah seorang pemimpin yang tidak ada perasaan rendah diri kerana beliau telah membentuk pemimpin pelapis tanpa rasa takut dibayangi oleh pemimpin-pemimpin pelapis tersebut.

Beliau mendidik serta melatih kepimpinan kerana beliau tahu bahawa itu merupakan tanggungjawab yang amat penting bagi memenuhi pimpinan masa depan yang mampu untuk memenuhi aspirasi rakyat dan negaranya.

Tengku Razaleigh adalah diantara yang dibentuk oleh Tun Razak untuk menjadi pemimpin nombor satu negara selain dari Dr Mahathir dengan memberikan tanggungjawab yang begitu besar didalam proses menjayakan DEB yang bermotifkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Tun telah memberikan kepada Tengku Razaleigh tugas dan tanggungjawab membentuk Petroleum Nasional Bhd (PETRONAS), PERNAS, dan banyak yang lain lebih-lebih lagi setelah beliau dilantik menjadi menteri kewangan semasa Datuk Husein Onn menjadi Perdana Menteri pada Januari 1976.

Ku Li telah memperhambakan diri beliau untuk memandu perlaksanaan DEB, dan beliau berada di mana-mana dalam membangunkan bangsanya sebagaimana yang dikehendakki oleh UMNO yang menjadi teras kepada pembentukan DEB.

Nama beliau menjadi sebutan diperingkat antarabangsa sehinggakan beliau telah dipilih menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Dunia pada tahun 1977.

Dalam masa yang sama, beliau juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Islamic Development Bank (IDB) yang berpusat di Jeddah dan pengerusi Lembaga Pengarah Asian Development Bank (ADB) yang berpusat di Manila.

Pendek kata, beliau telah menjadi Pengerusi kepada tiga institusi kewangan terbesar di dunia yang mempunyai tiga fungsi yang berlainan dan ini merupakan rekod kecemerlangan individu yang belum lagi dialami oleh mana –mana pemimpin.

Kecemerlangan rekod beliau ini menjadi sebutan rakyat semasa itu dan beliau disokong oleh UMNO dengan begitu kuat dan beliau dengan mudah mengekalkan kerusi Naib Presiden UMNO dengan begitu mudah sehingga tahun 1981.

Beliau mendapat sokongan kuat dari parti-parti komponen BN dan matlamat mencapai perpaduan kaum kian berjaya.

Dalam senyap-senyap, kejayaan beliau itu menyebabkan ada beberapa pemimpin di dalam UMNO yang tidak begitu senang dengan Ku Li dan berpakat untuk menyekat kemaraan beliau di dalam hieraki kepimpinan UMNO.

Perasaan cemburu dan iri hati beberapa orang dalam kepimpinan UMNO amat kuat dan kumpulan ini hanya menunggu saat yang sesuai untuk menjatuhkan beliau.

Saat itu sampai pada tahun 1981 apabila pada tahun itulah berlakunya apa yang selalu sebutkan oleh banyak pihak sebagai tahun ‘penyembelihan’ Tengku Razaleigh oleh kumpulan ini.

Pada tahun itulah berlakunya pertandingan jawatan peringkat tertinggi yang pertama dalam sejarah UMNO yang telah mendapat liputan media antarabangsa dengan begitu meluas.

Tengku Razaleigh telah tewas dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden di tangan Dato’ Musa Hitam yang jelas disokong oleh Presiden UMNO yang baru Dr Mahathir Mohammad.

Dalam pertandingan itu, terjadilah permainan kotor politik yang tidak ada bandingannya semata-mata untuk membunuh pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah.

Episod ini merupakan permulaan UMNO itu berubah dalam banyak perkara dan hasilnya hanya dapat kita rasai selepas beberapa tahun selepas itu dan pada tahun itu jugalah bemulanya UMNO sedikit demi sedikit berpecah dan lemah semangatnya sebagaimana yang kita rasai sekarang.

Saya ada kecenderungan untuk menulis isu ini dalam beberapa hari lagi…..Aspan Alias.

.

26 February 2007

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang ( bahagian 4)

DEB telah menjadikan penggubal dasar dan pelaksana dasar bekerja begitu tekun dan bersemangat mahu melihat bumiputra khususnya orang melayu mendapat kedudukan yang setaraf dengan bangsa lain adalah tinggi.

Kerajaan telah menubuhkan Petronas, Pernas dan banyak lagi agensi bagi memegang amanah orang melayu yang dirancang untuk diberikan kepada orang melayu pada waktu dan kaedah yang sesuai.

Kerajaan-kerajaan negeri telah mewujudkan Perbadanan Kemajuan Negeri-negeri di bawah penyelarasan Kementerian Perusahaan Awam bagi memegang dan mengembangkan pegangan bumiputra melalaui agensi yang berkepentingan mereka.

Di peringkat kabinet Jawatankuasa Penyelaras Pelaburan Kabinet yang dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh telah mencadangkan penggubalan dasar-dasar yang begitu efektif dan orang ramai dapat merasakan hasilnya secara ‘direct’ serta memberikan peningkatan kepada taraf ekonmi mereka.

Banyak yang telah dilaksanakan oleh kerajaan hasil kerja Jawatankuasa ini, antaranya penubuhan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dengan anak-anak syarikatnya ASNB yang ditugaskan untuk menjadi pengurus kepada Skim Amanah yang menjadi agen pemindahan kekayaan negara kepada bumiputra.

Dengan penubuhan PNB, segala syarikat yang dipegang oleh kerajaan yang telah maju dipindahkan ke PNB bagi memulakan proses pemindahan harta tadi kepada bumiputra melalui saham amanah.

Skim ini telah memberikan pulangan yang begitu tinggi kepada pelabur bumiputra dan saya sebagai seorang pegawai kecilan dalam syarikat ini sangat berbesar hati kerana telah berjaya bersama-sama kakitangan yang lain menyempurnakan dasar kerajaan itu.

Setahun setengah sebelum pelancaran ini dilakukan pada 1hb Jun 1981, kami telah memberikan penerangan ke seluruh negara hingga ke struktur pentadbiran yang paling rendah iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menerangkan kepada rakyat tujuan dan matlamat penubuhan PNB dan ASNB itu.

Kami libatkan rakyat untuk menyempurnakan dasar ini kerana kami faham dengan cara ini rakyat akan merasakan yang mereka bersama-sama terlibat dalam proses pembangunan negara.

Itulah sebabnya kita tidak nampak dan mendengar rakyat bersungut di kedai-kedai kopi kerana mereka merasakan apa yang dilakukan kerajan itu melibatkan mereka.

Jika ada pihak-pihak yang ingin menggagalkan usaha kerajaan itu rakyat yang ramai telah mempertahankan tindakan kerajaan itu dengan penuh komitmen dan keyakinan.

Pendek kata, kerajaan semasa itu telah mendapat benteng pertahan yang kukuh dan tiada siapa yang berjaya untuk memperlekeh usaha kerajaan itu.

Tetapi keadaan ini boleh dilakukan dengan mudah kerana pemimpin-pemimpin semasa itu benar-benar nampak keikhlasan serta ketulusan untuk membina kemajuan bumiputra dan tidak ada elemen rasuah dalam kepimpinan.

Apabila tidak ada elemen rasuah maka kerajaan dengan senang menerangkan kepada rakyat tanpa meletakkan projek-projek ini ke dalam kategori ‘OSA’ dan sebagainya.

Sekarang ini pula semua projek-projek yang besar yang orang ramai terlibat di kawal oleh OSA seperti perjanjian antara kerajaan dengan pemegang-pemegang konsessi lebuhraya.

Jika tidak ada elemen rasuah masakan ianya dikawal oleh OSA.

Apabila ini berlaku maka rakyatlah yang sengsara dan apabila rakyat menentangnya maka ramailah pemimpin-pemimpin yang memberi tentangan ini dipanggil ke Bukit Aman untuk disoalsiasat.

Yang patut disoalsiasat ialah pemimpin tetapi yang disiasat akhirnya ialah rakyat pula.

Sebuah Universiti di London, iaitu Universiti Middlesex telah bercadang untuk memindahkan kampusnya dari Trent Park ke Cockfosters dan telah disyaratkan untuk dipamerkan kepada rakyat segala pelan pembangunan kampus di Cockfosters selama enam bulan untuk mendapatkan pandangan orang ramai.

Hasilnya ramai professional telah tampil memberikan komen- komen dan ada yang menentang pembangunan kampus itu kerana akan menmbahkan kesesakan lalulintas kerana Cockfosters tidak cukup kemudahan ‘public transport’ dan banyak alasan-alasan yang lain.

Akhirnya Universiti itu terpaksa menukar pelan pembangunan dan struktur bangunan dan mengadakan bas-bas untuk membantu pergerakan ribuan pelajar di kampus itu.

Inilah satu contoh yang jelas bagaimana sebuah kerajaan menghormati rakyat yang telah memberikan mandate kepada mereka.

Di negara kita rakyat diperlakukan seperti lembu: tugas kita hanya untuk menyokong mereka dan membiarkan mereka melakukan pentanbiran songsang dan membiarkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa dengan berleluasa.

Jika rakyat marah-marah mereka akan dipersalahkan: yang tidak bersalah hanyalah perdana menteri dan pemimpin-pemimpin di sekelilingnya walaupun dia membazirkan wang rakyat berjoli-joli dengan jet-jet mewah dan dibatalkan skim bantuan buku teks untuk rakyatnya hendak belajar
.

Tulisan bersiri ini akan disambung dalam dua tiga hari lagi…………..Aspan Alias.

24 February 2007

44. Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang (bahagian 3)

Sebahagian daripada apa yang dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Razak untuk DEB bermula sejak pentadbiran Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj.

Contohnya, penubuhan Bank Bumiputra Bhd (BBMB) dilakukan sebaik sahaja Kongres Melayu yang pertama pada tahun 1965 dalam mana salah satu keputusan kongres itu ialah untuk menubuhkan sebuah bank perdagangan untuk dipunyai oleh bumiputra melalui pegangan kerajaan.

Encik Raslan Abdullah dan Tengku Razaleigh ditugaskan untuk melaksanakan keputusan Kongres Melayu ini dan diminta mewujudkan BBMB dalam jangka masa yang singkat.

Encik Raslan Abdullah dapat bersama BBMB hanya seketika, kerana beliau meninggalkan kita dalam satu kemalangan jalanraya di Kuala Lumpur, maka Tengku Razaleih telah meneruskan usaha menubuhkan BBMB dan kita akhirnya berjaya mempunyai sebuah bank kebanggaan serta simbul keupayaan melayu di dalam bidang kewangan.

Dengan tertubuhnya BBMB maka bermulalah orang melayu beransur-ansur menapak ke bidang kewangan yang mana sebelum itu orang melayu tidak bermimpi untuk mendapatkan sesuatu yang tidak pernah dimimpikan sebelum itu.

Menubuhkan sebuah bank bukanlah kerja yang susah; pergi ke pendaftar syarikat dan tubuhkan sahaja bank itu dan terus pindahkan semua akaun kerajaan ke dalam bank itu.

Tetapi yang merumitkan ialah penerimaan orang melayu terhadap sistem perbankan semasa dekad enam puluhan itu.

Bagi orang melayu semasa itu bank merupakan satu institusi haram yang melibatkan aktivitinya dengan elemen ‘riba’, yang haram di sisi agama suci kita.

Bilangan orang melayu yang bekerja di dalam bidang perbankan semasa itu boleh dikira dengan jari, maka itulah sebabnya BBMB terpaksa mengambil Encik Khoo Kay Peng sebagai pengurus cawangan yang pertama BBMB di Jalan Melaka untuk membantu melatih anak-anak melayu kita dalam bidangan pengurusan bank.

Tengku Razaleigh telah berusaha untuk meyakinkan orang melayu bahawa institusi bank amat perlu diwujudkan dan dikembangkan jika bangsa kita hendak setanding dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia ini.

Jabatan penerangan telah begitu aktif memberikan penerangan di seluruh negara untuk meyakinkan rakyat dan UMNO begitu aktif memberikan keyakinan kepada rakyat betapa pentingnya sistem perbankan kepada kemajuan dan jaminan kehidupan generasi yang akan datang.

Akhirnya kewujudan BBMB menjadi kenyataan dan Tengku Razaleigh telah berjaya menjadikannya sebagai bank terulung di negara ini dan menjelang tahun 1974, BBMB telah mewujudkan cawangan di London, New York , Hong Kong, Singapura dan Tokyo.

Tengku Razaleigh bukan sahaja menjadikan BBMB sebagai institusi kewangan yang maju tetapi beliau telah menjadikannya sebagai egen perubahan minda melayu yang penting untuk membawa orang melayu ke arah kehidupan moden.

Langkah pertama yang beliau lakukan ialah memperuntukkan jumlah wang yang besar melalui BBMB untuk meningkatkan taraf orang melayu di bidang professional dengan memberikan ribuan biasiswa kepada bumiputra untuk belajar di dalam dan luar negara.

BBMB telah menterjemahkan semangat kebangsaan pemimpin-pemimpinnya kepada usaha-usaha yang ‘organic’ untuk merubah orang melayu yang hidup terkongkong dengan kehidupan ‘conventional’ kepada hidup yang moden mengikut waktu dan zamannya.

Sebagai seorang nasionalis dan teknokrat, Tengku Razaleigh memberikan fokus kepada pelajaran kerana pelajaran sahaja yang boleh membina sebuah bangsa yang maju dan setanding dengan bangsa lain.

Beliau telah memberikan tumpuan dengan memberi latihan kepada anak-anak melayu untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang kewangan ini.

Selain daripada BBMB, Tengku Razaleigh dalam masa yang sama telah memulakan penubuhan PERNAS dan membuat persediaan untuk penubuhan Petroleum Nasional Bhd (Petronas) dan banyak lagi syarikat-syarikat awam kerajaan dan kabinet Tun Razak telah memberikan kelulusan dan kerjasama yang kuat untuk mewujudkan badan-badan ini demi kepentingan negara.

Segala syarikat-syarikat kerajaan ini telah dipindahkan penyelarasannya di bawah Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Sejak dari pertengahan tujuh puluhan, semua syarikat awam kerajaan seperti Bank Bumiputra, Pernas, Petronas, dan yang lain-lain diletakkan di bawah kuasa Perdana Menteri.

‘Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang’ bahagian keempat akan menysul dalam sehari dua lagi. …………………………………………………..Aspan Alias

21 February 2007

43. Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang (bahagian 2)

Dalam dekad tujuh puluhan UMNO dan pemimpinnya sangat di hormati oleh rakyat semua kaum kerana ketelusan dan keikhlasan pemimpin sangat mudah dirasakan oleh mereka.

Penggubal dasar bekerja kuat dan tekun maka pelaksana dasar juga mengikut langkah pimpinan untuk bekerja kuat untuk menyempurnakan segala keputusan kerajaan dengan ikhlas.

Jentera jentera kerajaan begitu gigih bekerja dan saya masih teringat Jabatan Penerangan begitu aktif memberi penerangan di kampung-kampung untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang sesuatu projek yang melibatkan mereka.

Rakyat merasakan mereka terlibat bersama didalam satu-satu pelaksanaan dasar dan mereka merasa mereka di ajak bersama didalam proses membangunkan negara.

Kepimpinan YTM Tunku, Tun Razak dan Datuk Husein adalah kepimpinan yang tinggi magnamitinya dan mereka tidak ada perasaan rendah diri, seperti takut dijatuhkan oleh kepimpinan yang lain.

Jika ada pun perasaan tidak puas hati rakyat takala itu pemimpin sanggup menguindurkan diri seperti yang di lakukan oleh YTM Tunku dan Datuk Husein Onn.

Semasa itu pucuk pimpinan tidak berlumba-lumba untuk memecah rekod menjadi PM yang paling lama atau sikap bebangga-bangga dengan kejayaan masing-masing.

Penggubalan Dasar Ekonomi Baru(DEB) telah di tentang oleh media-media asing dengan begitu hebat dan menuduh Tun Razak dan barisan kabinetnya bersikap tidak adil kepada bangsa-bangsa asing dan hanya menumpukan kepada prmbangunan bangsa melayu.

Tetapi di dalam negara kita, bangsa-bangsa bukan bumiputra menerima DEB dengan senang hati kerana mereka faham yang perpaduan itu hanya boleh dikecapi dengan penghapusan kemiskinan tanpa mengira kaum serta menghilangkan pengenalan sesuatu kaum itu melalui fungsi ekonomi mereka.

Pemimpin dan rakyat seiring dan sejalan didalam usaha melebarkan rakyat kelas menegah dengan mengurangkan perbezaan pendapat diantara yang berada dan tidak berada.

UMNO pula jelas telah mengambil sikap untuk membentuk ratusan ribu bumiputra untuk menjadi ‘millionaire’ dan tidak bertindak untuk menjadikan tujuh lapan orang ‘billionaire’.

Pemuda pimpinan Datuk Harun Idris, telah menjadi pendesak dan Pemuda UMNO memainkan peranan yang begitu effektifdalam pelaksanaan DEB.

Saya yang begitu muda semasa itu dilantik didalam beberapa biro Pemuda UMNO dan saya masih ingat kami telah menjelajah keseluruh negara untuk memastikan syarikat-syarikat besar mengambil bumiputra bekerja di perengkat pengurusan syarikat mereka.

Saya berpengalaman pergi ke syarikat IBM, Nestle, Dumex dan banyak lagi untuk membuat siasatan dari jabatan ‘Human Resource’ mereka untuk mempastikan syarikat-syarikat tersebut menambah pegawai-pegawai pengurusan ke peringkat 30 peratus sebagaimana yang telah di tetapkan oleh DEB.

Setiap pengurus atau pengarah HR syarikat-syarikat tersebut memberikan layanan baik dan bersetuju untuk menambah bilangan bumiputradi dalam peringkat pengurusan mereka.

Syarikat-syarikat yang kami temui itu akan memberikan lapuran kepada biro penyertaan bumiputra Pemuda UMNO apabila mereka mengambil setiap bumiputra di dalam syarikat-syarikat mereka.

Pemimpin UMNO khususnya pemuda adalah ‘hands on’ terhadap isu isu dan terus sahaja mengambil tindakkan untuk menyelesaikan segala msalah dan tidak hanya ber RETORIK seperti pemuda hari ini.

Maka itulah sebabnya pemimpin UMNO sangat di hormati oleh rakyat semasa itu.

Sekarang keadaan berlainan: ramai rakyat yang sakit mata melihat pemimpin-pemimpin kita apabila terserempak di dalam kedai-kedai makan atau dimana-mana.

Mereka bersikap prejudis yang tinggi terhadap pemimpin kita dan tidak memberikan pandangan yang tinggi lagi.

Mereka melihat UMNO sebagai perosak dan hanya membawa negara kearah kejatuhan.

Saya sambung tulisan ini dua tiga hari lagi…………………AspanAlias

20 February 2007

42. Skim Pinjaman Buku Teks - Rakyat dibohongi lagi

Saya membaca banyak berita dari blogger-blogger dan sejak dua hari yang lepas ramai yang memilih isu pembatalan skim pinjaman buku teks kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah.

Diantara yang saya tertarik ialah apabila saya terbaca kuda-kepang dimana Datuk Ruhanie Ahmad begitu berang dengan keputusan kerajaan yang membatalkan keputusan untuk memberikan kemudahan skim pinjaman buku teks tersebut.

Saya tidak hairan kenapa Datuk Ruhanie marah-marah kerana beliau adalah bekas Ahli Parlimen Malaysia yang tahu bagaimana kecewanya rakyat khususnya ibu bapa murid-murid yang sudah lama tertunggu-tunggu skim tersebut.

Malahan saya sendiri mendapat panggilan talipon dari puluhan rakan-rakan saya yang kecewa kerana dolak dalik kerajaan yang selama ini mereka junjung dan sokong .

Alasan yang rm 100 juta adalah terlalu tinggi untuk dibiayai oleh kerajaan merupakan alasan yang tidak masuk akal.

Kenapa di umumkan persetujuan untuk mengadakan skim ini jika kerajaan tidak mempunyai kemampuan?

Kenapa pula kerajaan yang mengaku hebat dan mewawarkan angka perdagangan negara sudah mencapai rm 1 trillion tidak mampu untuk memberikan kemudahan yang begitu asas kepada rakyat ramai yang memerlukan bantuan itu?

Kalau rm 100 juta sangat susah untuk di peruntukkan kenapa pula pucuk pimpinan boleh mencari jalan untuk membeli jet-jet mewah untuk PM.

Bukankah kapal terbang mewah itu berharga melebihi rm 200 juta?

Kalau untuk pemimpin segala-galanya boleh diadakan, kenapa yang diperlukan oleh rakyat tidak dapat usahakan.

Pucuk pimpinan sudah selesa dengan jet-jet yang sedia ada tetapi kerana hendakkan kelesesaan yang ‘optimum’ kerajaan sanggup membeli kapal terbang mewah yang mahalnya tidak ada tolok bandingnya.

Semasa saya hendak menghantar anak-anak saya belajar keluar negara negara Germany adalah salah satu pilihan saya.

Saya dapati di negara tersebut semua pelajar termasuk pelajar asing dari seluruh dunia boleh belajar dengan percuma.

Berbillion euro di belanjakan untuk pelajaran percuma di belanjakan oleh negara tersebut dan saya tidak nampak kenapa pimpinan kita tidak mampu mengusahakan rm 100 juta untuk rakyatnya.

Kenapa pucuk pimpinan tidak berusaha seperti yang diusahakannya untuk membeli kapal terbang mewah yang tidak memberi faedah kepada negara selain dari menjahanamkan wang rakyat?

Pembatalan ini memang meyakinkan orang ramai yang pimpinan hari ini tidak ada moral dan tidak tahu untuk menysun ‘priorities’ dalam mentadbir negara.

Kalau sudah diumum kita desak supaya kerajaan meneruskan perlaksanaan skim pinjaman buku teks tersebut.

Kerajaan wajib hentikan pembohongan ini.

Jika pembohongan ini berterusan, rakyat akan meminta pemimpin-pemimpin kita membuka mulut besar-besar untuk melihat samada lidah yang ada didalam mulut mereka itu ‘lidah biawak atau lidah manusia’………………… Aspan Alias.

18 February 2007

41. Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang (bahagian 1)

Saya telah berjanji untuk mencuba membuat sedikit tulisan yang bersiri untuk bersama-sama kita mengikuti jejak dan tapak politik UMNO yang membawa kepada keadaan seperti hari ini.

Tulisan yang saya tidaklah begitu ‘detail’ kerana saya bukanlah seorang penulis dan saya tidak membuat apa-apa kajian secara akademik dalam isu yang saya tulis ini.

Saya hanya menulis dari sudut ingatan dan pandangan saya sejak bergiat dalam parti sejak pertengahan tujuh puluhan sekadar hendak memberikan sedikit ‘flashback’ sejarah kepada rakyat dan kita tidak hanya memberikan fokus kepada aktiviti ‘politiking’ semata-mata.

Setidak-tidaknya untuk mengingati orang yang benar-benar memberi sumbangan dan jasa kepada bangsa dan negara secara ‘organic’ dan akhirnya faham bagaimana pimpinan selepas dekad tujuh puluhan dapat menggunakan asas kukuh tadi untuk berbangga dengan pimpinan masing-masing.

Apa yang berlaku pada hari ini tentunya bermula dari landskap politik yang bermula berlaku pada petengahan tujuh puluhan.

Bak kata perpatah ‘kalau keruh air di hulu keruhlah air dihilir’.

Dekad tujuh puluhan merupakan dekad yang orang melayu termasuk diri saya tidak dapat melupakan ‘nostalgic’ politik dan pembangunan bangsa melayu yang di pelopori oleh UMNO.

Dekad itu juga lah kami melihat pucuk pimpinan yang bersungguh-sungguh untuk melihat rakyat terutamanya orang melayu membangun dengan pantas tetapi berhati-hati.

Tun Razak telah menyediakan dasar-dasar yang ‘solid’ yang boleh diguna pakai terus menerus bagi aman makmur bahagia serta membentuk taraf pemikiran yang maju.

Dalam pada itu Tun memulakan perjalan kearah masyrakat Malaysia yang maju dan hidup dalam negara Razak sedar bahawa dasar yang kukuh tetapi jika tidak di bentuk kepimpinan yang bersemangat untuk berkorban maka dasar-dasar yang di bentuk itu akan hanya tinggal dasar tanpa perlaksanaan yang sempurna.

Maka Tun Abdul Razak telah memilih dan membentuk barisan kepimpinan pelapis yang ramai yang beliau harap dapat meneruskan dasar-dasar yang telah di akui rakyat sebagai dasar yang sesuai zaman-berzaman yang di terima oleh semua kaum.

Di antara pemimpin yang begitu harum ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang telah memulakan pengorbanan diri beliau sejak tahun enam puluhan.

Nama yang lain ialah Tan Sri Ghazali Shafie.Doktor Mahathir Mohammad dan Dato’ Harun Idris serta ramai lagi yang berkalibar di dalam barisan kepimpinan UMNO.

Tun Dr Ismail selaku timbalan Perdana Menteri merupakan timbalan yang tegas dan di hormati oleh semua pihak, sampailah beliau meninggal dunia pada awal tahun 1973 dan tempat beliau di isi oleh Datuk Husein Onn.

Walau bagaimana pun dasar-dasar yang digubal tetap berjalan dengan penuh bersemangat.

Dalam pada itu Dr Mahathir telah kembali menyertai UMNO pada tahun 1974 melalui sebuah cawangan UMNO di Rawang, Selangor yang mana Ahli Parlimen Rawang semasa itu ialah YAM Tunku Abdullah ibni Almarhum Tuanku A Rahman.

‘Subsequently’ Dr Mahathir dilantik menjadi Menteri Pelajaran dalam rombakkan kabinet oleh TAR dan pada pemilihan parti 1975 Dr Mahathir telah berjaya menjadi Naib Presiden menyertai Abdul Ghaffar Baba dan Tengku Razaleigh yang sudah sedia berada dikerusi Naib Presiden.

Tengku Razaleigh telah lebih awal menjadi naib presiden mengisi kekosongan yang tinggalkan oleh Datuk Husein Onn yang telah menjadi Timbalan Presiden UMNO menggantikan Tun Dr Ismail yang telah meninggal dunia pada tahun 1973.

Apabila Tun Razak meninggalkan kita pada Januari 1976 Dr Mahathir telah memangku jawatan TimbalanPresiden menggantikan Datuk Husein Onn yang telah memangku jawatan Presiden Parti.

Dalam proses peralihan inilah, yang menyebabkan Abdul Ghaffar Baba meninggalkan kabinet dan hanya kekal sebagai Naib Presiden dan Setiausaha Agung Barisan Nasional.

Ghaffar berada di luar kabinet selama sepuluh tahun dan hanya kembali pada tahun 1986, bulan februari untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas Dato Musa Hitam meletakkan jawatan beliau.

Semasa Datuk Husein menerajui pimpinan beliau tidak banyak mengubah Dasar yang di tinggalkan oleh Tun Razak kerana Dasar-dasar yang digubal memang mantap dan telah membuktikan keunggulannya.

Tengku Razaleigh yang sebelumnya seorang Naib Presiden yang tidak duduk di dalam jemaah kabinet telah dilantik menjadi menteri kewangan dan beliau telah menguruskan pentadbiran ekonomi negara dengan cemerlang dan menyediakan asas kepada kemajuan dan pembangunan negara dengan cemerlang sekali.

Sebelum itu Ku Li tidak menyertai kabinet kerana memberikan tumpuan untuk menubuh dan memberikan asas yang kukuh kepada Petronas, Pernas, Bank Bumiputra dan banyak agensi yang lain yang telah memudahkan kepimpinan selepas Datuk Husein untuk memacu pembangunan negara.

Dalam pemilihan UMNO 1978 Datuk Musa Hitam pula yang semasa itu menjadi menteri pelajaran telah dapat meletakkan diri beliau sebaris dengan Ku Li dan Ghaffar Baba dengan menjadi Naib Presiden UMNO.

Tulisan bersiri bahagian pertama ini berhenti di sini dan kita sambung lagi dalam dua tiga hari lagi…………………………………………Aspan Alias

14 February 2007

40. "Leaders walk on their stomach?"

Saya baru sahaja balik daripada makan tengahari di kedai makan Nasi Padang di Petaling Jaya.

Saya makan begitu banyak sehinggakan saya merasa hendak tidur dan saya rasa perjalanan balik ke rumah begitu jauh.

Mata saya rasa begitu mengantuk kerana kekenyangan.

Sekarang saya sudah sedar kenapa menteri-menteri serta pemimpin-pemimpin UMNO tidak lagi berjuang.

Rupa-rupanya kalau ‘makan’ terlalu banyak memang tidak mampu lagi hendak berjuang.

Sekarang kita sudah tahu kenapa mereka tidak peduli samada negara dan rakyat terbela atau pun tidak.

Apabila sudah kenyang keterlaluan, apa sahaja yang lalu kita tidak akan peduli lagi untuk berbuat apa-apa.

Mereka tidak kisah lagi samada CIA sudah sampai ke pintu kita, rakyat susah atau pun senang, ekonomi kita hancur dan mereka juga tidak sedar yang boss mereka sendiri pun mudah terlelap di mana-mana.

Nabi Muhammad saw menyarakan apabila makan kita mesti berhenti apabila lapar kita hilang, dan jumlahnya perlu sederhana.

Sehari kenyang dua hari berlapar; itulah amalan junjungan besar Muhammad saw.

Saya pernah menulis dalam posting saya beberapa minggu dulu bahawa penyakit selalunya berpunca dari perut termasuklah penyakit yang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin kita.

Apabila kita kuat ‘makan’, maka amat mudah pemimpin dimanipulasi oleh pihak lain leb
ih-lebih lagi oleh musuh utama kita, yahudi.

Itu sahaja coretan saya kerana saya hendak tidur kerana kekenyangan makan.

Tetapi saya setakat makan nasi padang sahaja, tidak lebih dari itu.………Aspan Alias.

39. Siapa yang bersalah?

Ucapan Tun Dr Mahathir (TDM) di Johor Baru pada 10 Februari yang lalu merupakan satu lagi episode yang patut mendapat perhatian rakyat, walaupun ucapan beliau tidak tersiar di dalam akhbar perdana negara.

Diantara intipati yang terkandung di dalam ucapan beliau ialah tentang kecenderungan yahudi akan menguasai kita baik didalam pentadbiran negara ataupun penguasaan bidang ekonomi kita.

Bagi bangsa kita yang terlalu apathethic terhadap isu permainan halus pihak yahudi ini ucapan TDM itu mungkin tidak ada apa-apa ‘consequence’, tetapi hakikatnya ini lah elemen yang paling merbahaya bagi sesebuah negara seperti Malaysia, yang mana Islam menjadi agama rasmi negara.

Kaum yahudi merupakan kaum yang penuh dengan perjuangan untuk bangsanya.

Segala apa yang dilakukannya adalah untuk bangsanya.

Selalunya visi dan misi sesebuah kerajaan tunggangan mereka itu mestilah memberi faedah besar kepada mereka terutamanya bidang ekonomi.

Jejari halus yahudi ada dimana-mana, termasuklah institusi-institusi kewangan antara bangsa seperti Bank Dunia, dan juga institusi kewangan perdagangan besar dalam mana mereka mempunyai pengaruh untuk menentukan halatuju badan-badan tersebut.

Selepas sahaja ekonomi dikuasainya mereka akan berusaha secara terancang untuk membunuh identiti sesuatu bangsa itu yang akhirnya bangsa itu akan hancur dan tidak lagi mempunyai rupa dan ‘form’ yang asal.

Banyak pemimpin-pemimpin negara di dunia ini dipilih dengan pengaruh yahudi yang tidak disedari oleh pemimpin-pemimpin dan rakyat negara tersebut, dan selalunya pemimpin yang lemah memang menjadi habuan politik yahudi yang kotor itu.

Pemimpin-pemimpin negara tersebut akan bertindak mengikut agenda perjuangan mereka yang inginkan penguasaan terhadap setiap negara yang terperangkap dengan permainan
halus mereka.

Kita sangat takut jika apa yang diperkatakan TDM yang kuasa asing saolah-olah sudah sampai ke serambi kita itu akan melenyapkan identiti kita semata-mata oleh kerana pemimpin kita yang lemah dan mudah diperangkap mereka.

Bagaimana kah negara kita sekarang boleh sampai ketahap seburuk ini?

Kenapakah kita mendapat pemimpin yang lemah?

Kenapa ramai pemimpin tidak mahu bertindak walaupun mereka tahu AAB adalah orang yang lemah?

Adakah TDM sendiri yang bersalah kerana memilih AAB sebagai pengganti beliau walaupun beliau tahu kemampuan AAB?

Kalau walaupun beliau tahu AAB tidak berkemampuan, kenapa beliau masih memilihnya sebagai pengganti?

Apakah sebenarnya motif TDM bertindak sedemikian?

Adakah TDM bertindak semata-mata untuk politik peribadi beliau semasa itu dan tidak menyangka yang AAB adalah seorang yang diibaratkan seperti ‘kacang lupakan kulit?’

Masih boleh kah kita memperbaiki keadaan ini?

Jika masih boleh, bagaimana caranya yang hendak dilakukan, siapa yang perlu melakukannya dan apa kah ‘subsequent events’ yang boleh kita lalui sehingga perubahan ini dapat dilakukan?

Dalam keadaan negara yang sedemikian, mahu tidak mahu kita terpaksa mengakui yang AAB bertanggungjawab keatas kelemahan-kelemahan ini dan TDM adalah ‘accountable’ kerana beliau lah yang membuat kesilapan-kesilapan kerana tidak menyediakan pelapis yang betul.

Elok kita fahami dahulu sebab-sebab yang membawa kita kearah yang begini menakutkan ini.

Kita tidak mungkin mampu menyelesaikan masalah ini selagi kita tidak faham apa sebenarnya masalah yang menyebabkan kita berada dalam keadaan yang sedang kita hadapi sekarang ini..

TDM tidak boleh dibiarkan bertindak sendirian kerana beliau memerlukan sokongan dan buah fikiran.

Yang penting sekarang negara kita perlu di letakkan kelandasan yang pernah kita lalui seperti dahulu dimana rakyat rasa berpuas hati dengan pemimpin.

Kita berikan sokongan kepada sesiapa yang ingin membetulkan keadaan ini, samada TDM sendiri, Tengku Razaleigh, Anwar Ibrahim dan sesiapa juga.

Yang penting kita rasa selamat dan hidup dalam negara yang aman makmur dalam mana rakyat hidup dengan penuh aman dan damai.

Sebelum itu kita fahami dahulu kenapa keadaan ini berlaku. Ianya tentu berlaku kerana politik yang tidak baik.

Dalam tulisan-tulisan yang akan datang kita cuba mentelaah isu ini………Aspan Alias.



08 February 2007

38. Rakyat Merintih

Kritikan orang ramai kepada AAB boleh didengar di mana-mana, dan kritikan itu tentunya merupakan fenomena yang datang secara natural kerana keresahan rakyat adalah ‘real’.

Kelemahannya sebagai pemimpin sudah terlalu jelas hinggakan banyak tindakannya menyolok mata dan cakap-cakapnya memedihkan telinga.

Kita tidak payah lagi memberikan butiran tentang kelemahannya kerana rakyat ramai sudah penat bercerita dan berbincang tentang salahlaku AAB dalam mentadbir negara kita.

Dia bercakap seolah-olah semua orang di negara ini bodoh, buta dan tuli.

Sekarang sudah sampai ke peringkat yang boleh menjahanamkan parti dan negara kita.

Setakat ini kita belum lagi mendengar sesiapa pun yang memuji kepimpinannya kecuali kumpulan yang mendapat habuan lumayan dan kumpulan yang menjadi penasihatnya.

Pergilah ke kedai kopi, ke pejabat-pejabat kerajaan dan swasta, ke kelab-kelab golf, ke surau-surau dan di mana-mana juga manusia mengkritiknya.

Oleh kerana kelemahannya kita khuatir UMNO dan BN akan menghadapi jalan sukar untuk mendapat sokongan besar dalam pilihanraya yang akan datang.

Sekarang sampailah masanya AAB berfikir semasak-masaknya tentang masa depan negara, kalau benarlah beliau sayangkan negara yang bertuah ini.

Tulisan saya ini mungkin menyinggung perasaan beliau dan keluarga beliau tetapi kita amat sayangkan negara ini.

Kita semua tidak ada tempat nak pergi selain dari bumi dan langit di Malaysia ini, kerana kami tidak ada rumah di Perth, London dan di mana-mana jika ada apa-apa yang berlaku kepada negara kita.

Kalaulah beliau sudah menyingkap rahsia Al Ghazali dan As Shafie tentu beliau tahu yang beliau tidak boleh membawa negara kita ke mana-mana.

Kalau beliau sudah bertemu dengan rahsia Al Quran tentu beliau tidak ada masalah untuk meletakkan jawatan dan serahkan kepada rakyat untuk mencari ganti.

Kepada pemimpin-pemimpin yang berada dalam Majlis Tertinggi, dalam kabinet serta di Bahagian-bahagian, tolonglah fikirkan tentang nasib kami semua di bawah ini.

Berpakat dan terbiahkanlah masalah yang kita hadapi pada hari ini.

Yang lebih baik PM sendiri perlulah ikhlas dan buatlah introspeksi terhadap dirinya sendiri. Kalaulah beliau di pihak yang benar, masa kan di mana-mana rakyat mengkritiknya.

Jangan berkecil hati dengan apa yang orang ramai kritik, kerana mereka juga ada hak untuk hidup dalam keadaan yang selesa.

Tiada siapa yang suka mengkritik pemimpin sesuka hati.

Mereka mengkritik kerana mereka kecewa dan hampa dan sudah tertanam perasaan tidak yakin kepada kepimpinannya.

Maklumlah, rakyat telah memberikan mandat yang begitu besar dalam pilihanraya dulu untuk membawa kita ke destinasi kepimpinan yang lebih baik dan seterusnya mendapat pembelaan darinya.

Kepada Tun Mahathir, Tengku Razaleigh, Najib, dan Abdullah sendiri serta pemimpin-pemimpin yang berpengalaman, tolonglah duduk semeja untuk menjaga hati rakyat yang gundah-gulana ini.

Janganlah duduk bersimpuh dan berpeluk tubuh sahaja seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Kesiankanlah rakyat, kesiankanlah negara dan fikirkanlah nasib anak cucu kami.

Mungkin anak cucu tuan tuan semua sudah terjamin kehidupan mereka, tetapi cucu-cucu kami belum tentu lagi

Kalaulah tuan-tuan tidak mampu, berikanlah tanggungjawab itu kepada kami untuk memimpin.

Inilah rintihan rakyat yang rata-rata susah pada hari ini…………..Aspan Alias.

01 February 2007

37. Leaders or Pests ??

AAB telah tampil memberi penjelasan tentang isu jet eksekutif berspesifikasi mewah yang sedang dalam pengubahsuaian di Basel Switzerland.

AAB telah berkata yang kerajaan tidak membeli pesawat tersebut tetapi dibeli oleh Penerbangan Malaysia Berhad (PMB), dan kerajaan hanya menyewanya dari syarikat
milik Kementerian kewangan itu.

Saya ingin bertanya kepada PM kita samada beliau tahu yang PMB itu milik kerajaan melalui Khazanah Nasional.

Bukankah wang itu wang rakyat yang membayar cukai yang bermacam-macam yang beliau kenakan.

Tidak bolehkah pembesar-pembesar negara gunakan pesawat-pesawat yang sedia ada, dan kenapa waktu ini juga kerajaan hendak menyewa pesawat semewah itu?

Kita begitu hairan kenapa AAB mengatakan yang ianya tidak melibatkan wang rakyat?

Kenapakah AAB mempunyai sangkaan yang semua rakyat adalah bodoh dan boleh di perlakukan sesuka hatinya?

Adakah AAB berbohong atau beliau benar-benar tidak tahu kenyataan yang wang yang di gunakan itu wang rakyat?

Kalau beliau cuba berbohong, maka beliau telah melanggar etika kepimpinan negara yang berdaulat dan beliau wajib meletakkan jawatan.

Jika beliau benar-benar tidak tahu yang akhirnya rakyat yang terbeban dengan penyewaan itu, maka kami ingin bertanya bagaimana beliau boleh jadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan?

Menjadi Perdana Menteri bukan senang kerana seseorang yang memegang jawatan itu perlu mempenyai ‘conduct’ yang tinggi setimpal dengan tuntutan taraf kepimpinan negara yang maju, berdaulat dan bermaruah.

Apabila menjawab isu seperti ini jawablah dengan cara yang boleh dihormati dan bukannya menjawab secara selekeh yang tidak patut datang dari seorang Perdana Menteri.

Kita ingin mencadangkan kepada AAB supaya bercuti dan berehat untuk berfikir samada beliau patut terus menjadi PM atau berehat sahaja dari politik.

Sepatutnya beliau berhati-hati untuk membuat penyewaan pesawat yang sangat mahal ini, kerana rakyat sedang sengsara dengan ketidakupayaan pimpinan menyelesaikan msalah ekonomi yang kian meruncing.

Rakyat Johor yang dilanda banjir hanya diberi bantuan sebanyak dua tiga ratus ringgit sahaja.

Dengan bantuan RM200 itulah kerajaan mengharapkan mangsa banjir untuk menggantikan barangan rumah yang musnah seperti peti TV, peti sejuk, kereta yang rosak dan berbagai-bagai barang keperluan yang lain.

Tidakkah AAB menerasakan kesusahan rakyat masa kini dan tidakkah ada sedikit perasaan malu kepada rakyat jelata yang telah memberikan mandat yang sangat besar dalam pilihanraya yang lalu.

Baru pagi ini seorang kenalan memberi komen, “So disappointing! They are not leaders. They have no conscience, they behave like pests”……….Aspan Alias





30 January 2007

36. Keng Yaik & Perhimpunan Agong Barisan Nasional (BN)


Cadangan Dato Seri Lim Keng Yaik, Presiden Gerakkan supaya diadakan Perhimpunan Agong Barisan Nasional (BN) baru-baru ini sangat menarik perhatian ramai pihak.

Inilah kali yang pertama seorang Presiden sebuah parti yang menganggotai BN membuat cadangan seperti ini dan tentulah cadangannya itu diasaskan kepada ‘premis’ yang dirasakannya sangat releven untuk kepentingan BN atau pun setidak-tidaknya untuk parti dan bangsanya.

Kalau diteliti dari hujah cadangannya itu adalah disebabkan perasaan tidak puas hati di kalangan anggota partinya dan rakyat keseluruhanya terhadap pimpinan yang ada pada hari ini.

Presiden Parti Gerakkan itu berkata, perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat dalam banyak perkara terhadap kerajaan, adalah salah satu sebab kenapa perhimpunan itu perlu diadakan.

Rakyat tidak yakin dengan apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan akan membawa apa-apa manfaat, dan ianya nyata petunjuk jelas yang kita sedang menghadapi krisis keyakinan yang sangat serius dan memerlukan perhatian pimpinan.

Perhimpunan Agung Perpaduan Barisana Nasional (BN) itu tentulah dihadiri oleh perwakilan dari semua parti-parti komponan BN dan akan membahaskan isu-isu yang berbangkit, dari isu ekonomi hinggalah kepada isu-isu yang membabitkan kesejahteraan kehidupan rakyat di negara ini pada masa hadapan.

Sebagai pemimpin sebuah parti yang didominasi oleh bangsa cina, beliau tentunya akan memberi tumpuan kepada isu ekonomi yang merupakan isu yang sangat penting bagi komuniti itu.

Yang ditakuti oleh Gerakkan ialah cara menghadapi rakyat yang rata-rata tidak berpuas hati ini semasa pilihanraya nanti.

Selama ini BN tegak kerana sokongan kuat dari kaum cina, kerana empat puluh tujuh peratus orang melayu sudah tidak kekok lagi untuk mengundi parti-parti alternatif.

Dengan keresahan rakyat bawahan yang sangat jelas pada hari ini, ramai pihak berpendapat orang cina tidak akan memberikan sokongan sehebat dulu lagi kepada BN dalam pilihanraya yang akan datang.

Undi orang melayu dalam pilihanraya kali ini sudah jelas menyebelahi pihak alternatif, dan jika bangsa lain mengurangkan sokongan kepada BN, menafikan kemenangan dua pertiga kerusi di Parlimen memang sudah pasti menjadi kenyataan.

Sekarang ini hanya kebijaksanaan pimpinan sahaja yang mampu untuk mengekalkan sokongan rakyat kepada kerajaan hari ini.

Seorang sahabat pernah memberikan kata-kata yang sinis kepada saya, “You all in BN can’t be lucky all the time bro! If you people still maintain this kind of leadership style, there is no guarantee that the people would extend the lease to rule this beautiful nation. Just stop vandalizing the country please!”

Saya tidak dapat menjawabnya kerana mungkin ada kebenaran kata-katanya.

Saya hormat sahabat saya itu kerana keikhlasan memberikan pandangannya……Aspan Alias







27 January 2007

35. Rakyat Susah vs Pemimpin Mewah


Belum pun hilang isu Cobra Sultan, kita dihidangkan dengan berita pembelian Jet Eksekutif untuk Perdana Menteri yang kini dalam pembikinan ‘refurbishment’ di Basel, Switzerland.

Saya mendapat tahu melalui blogger RockyBru, Kuda-Kepang dan RPK Malaysia-today yang akan membuat tulisan lanjutan selepas sembahyang jumaat yang akan datang.

Harga jet kali ini ialah USD50 juta dan harga ubahsuai konfigerasinya ialah USD70 juta.

Di sini sahaja jet yang baru ini menelan wang rakyat melebihi RM200 juta.

Dalam isu yang terbaru ini jelas di Malaysia ada dua nilai berita yang mengandungi fenomena perbezaan yang sangat ekstrim.

Satu berita rakyat yang semakin hari semakin tertekan kehidupan mereka, dan berita pemimpin-pemimpin yang sedang gila membelanjakan wang rakyat tanpa perasaan semata-mata untuk memuaskan nafsu shahwat mereka.

Rakyat diminta mengubah cara hidup bagi menghadapi tekanan kenaikan harga barangan sedangkan pemimpin pula mengubah cara hidup mereka dengan kehidupan berseronok dan bersenang-lenang di atas keringat rakyat yang mencurah-curah.

Bukankah rakyat telah membelikan banyak jet-jet untuk pemimpin-pemimpin selama ini?

Inikah kerja yang dikatakan masih banyak yang belum selesai dan terpaksa meneruskan niatnya untuk memimpin kita buat penggal yang kedua seperti yang dikatakannya semasa bercakap kepada Al-Jazeera baru-baru ini?

Inikah nilai Islam Hadari yang diketengahkan kepada rakyat untuk jadi ikutan kita?

Inikah dia sifat sebenar AAB, yang tidak langsung memikirkan hal kepentingan rakyat selain dari mengutamakan kepentingan dan keseronokan peribadi masing-masing?

Inikah sifat seorang yang datang dari keluarga ulamak, dan inikah sebenarnya suruhan Allah swt dan Muhammad saw.

Kita begitu keliru dengan apa yang disuruhnya dan apa yang dilakukannya itu terlalu bertentangan?

Apa benarkah yang dikatakan oleh buku-buku saikoloji dan cerdik pandai yang ini memang sifat pemimpin yang datang dari latar belakang yang lemah?

Pemimpin yang lemah akan bersifat macam si kudung mendapat cincin, macam kera dapat bunga atau yang lebih kasar lagi macam sakai dapat padi?

Wang yang sebanyak RM200 juta itu boleh membantu membangunkan kembali negeri Johor yang dilanda banjir begitu teruk baru-baru ini.

RM200 juta yang dibelanjakan untuk jet eksekutif itu hanya memberi nikmat kepada empat lima orang manusia sahaja, sedangkan lebih setengah juta rakyat akan dapat faedahnya jika wang itu diberikan kepada kerajaan negeri Johor.

KENAPA RAKYAT SAHAJA YANG MESTI BERKORBAN SEDANGKAN PEMIMPIN KITA TIDAK MEMPUNYAI KUDRAT UNTUK BERBUAT PERKARA YANG SAMA?

Ya Allah! Kami memohan perlindunganMu, dari pemimpin yang mabuk ini!....Aspan Alias




23 January 2007

34. Kempen anti rasuah tiada sambutan

Salah satu dari janji-janji Perdana Menteri YAB Abdullah Ahmad Badawi semasa mula-mula mengambil-alih kepimpinan negara pada Oktober 2003 dahulu ialah untuk memerangi rasuah.

Selalunya apabila Perdana Menteri membuat satu-satu ketetapan, ianya akan disambut oleh Ahli Jemaah Kabinetnya dan mereka akan bercakap tentang isu itu di mana-mana mereka berucap.

Tetapi dalam isu rasuah yang disebut oleh PM Abdullah Ahmad Badawi ini, saya belum pernah mendengar seorang pun menteri berucap yang menyokong tindakan menghapuskan rasuah ini.

Kenapa menteri-menteri ini tidak menyahut usaha Abdullah Ahmad Badawi ini melalui ucapan-ucapan mereka?

Ramai yang hendak mendengar mereka melaungkan perkataan seperti, ‘mari kita benteras rasuah! Kita sokong PM untuk membawa sesiapa yang rasuah ke pengadilan!’ dan sebagainya.

Kenapa mereka yang bergegar-gegar bercakap, dan yang tunjuk garang, mengambil sikap membisu tentang isu rasuah ini?

Kita hendak dengar menteri seperti Dato’ Seri Nazri Aziz berucap dengan nada yang garang dan lantang dalam isu rasuah ini seperti dia berucap dalam isu-isu yang lain.

Saya juga kepingin hendak dengar Tan Sri Muhyidin Yassin berucap dalam majlis-majlis besar membidas mereka yang rasuah.

Kenapa Dato’ Seri Ali Rustam, Dato’ Seri Shahidan Kasim, dan yang lain-lain tidak menjadikan isu rasuah ini sebagai isu yang wajib disebut di dalam majlis-majlis rasmi, sedangkan penyakit rasuah ini adalah penyakit nombor satu sekarang ini?

Kenapa? Kenapa? Dan mengapa????

Saya tidak ada jawapannya. Mungkin orang lain boleh menjawabnya.



Wassalam..

22 January 2007

33. Anwar-Mahathir berdamai?

Tulisan Datuk Ruhanie Ahmad di dalam bloggernya http://www.kuda-kepang.blogspot.com/ pada 22hb Januari 07 agak menarik.

Tajuk tulisannya yang berkisar tentang perdamaian Anwar-Mahathir itu adalah satu kemungkinan yang memang biasa didalam politik.

Saya tidak mahu membuat ulasan mengapa dan kenapa kemungkinan perdamaian itu terjadi tetapi lebih memikirkan tentang kebaikan yang akan dirasai jika pemimpin-pemimpin ini berdamai.

Jika kedua orang pemimpin ini berdamai ianya akan mengurangkan perbalahan diantara kita dan kita boleh menghadapi masalah yang sangat getir yang dihadapi rakyat ketika ini dengan lebih mudah.

Anwar dan Mahathir masing-masing sudah merasakan pengalaman pahit dalam politik masing-masing.

Diatas kesilapan Dr Mahathir, beliau telah pun mengakui kesilapannya dengan membuat pilihan yang salah selama ini, dan tentunya beliau merupakan orang yang paling kecewa dengan apa yang berlaku sekarang.

Bagi Anwar pula, beliau telah pun melalui pembersihan diri setelah dipenjara selama lebih enam tahun dan sudah cukup pembalasan yang diterimanya.

Tidak payahlah kita menambah-nambah pembalasan kepadanya, kerana Anwar telah pun menerima pembalasan jika benar dia telah melakukan kesalahan.

Bagi saya penjara Sungai Buluh itu merupakan neraka di dunia ini dan Anwar telah pun berada di dalam ‘neraka’ ini selama enam tahun.

Orang islam tentunya percaya bahawa sesiapa yang telah keluar dari neraka, orang itu adalah dianggap bersih dan tiada tempat lain baginya selain dari syurga.

Yang belum dibersihkan ialah pemimpin-pemimpin yang rasuah dan rakus pada hari ini yang masih belum dipenjarakan.

Apabila Anwar yang telah bersih atau dibersihkan itu memohon menyertai UMNO adalah tidak baik jika dia disekat untuk menyertai parti kita ini.

Yang tidak mahu melihat Anwar menyertai UMNO itu hanya mereka yang takut pada bayang-bayang dan yang merasa rendah diri yang keterlaluan.

UMNO itu Melayu, dan Melayu itu adalah UMNO! Itulah kata-kata ramai pemimpin, dan jika ada orang melayu disekat menjadi ahli UMNO, ianya merupakan satu tindakan ‘ultra vias’.

UMNO itu hak orang melayu. Sesiapa yang menyekat kemasukannya itulah sebenarnya petualang bangsa.

Jika benar perdamaian ini berlaku ianya adalah dialu-alukan, dan ini adalah satu tindakan yang sangat mulia.

Khalid Alwalid merupakan seorang yang sangat memusuhi Muhammad saw, tetapi akhirnya Khalid Alwalid telah berdamai dengan Nabi Muhammad dan seterusnya menjadi pejuang islam yang tersohor hinggakan dia diberi gelaran ‘Pedang Allah’.

Peperangan Sifin merupakan peperangan islam dengan islam yang pertama dalam mana satu pihak diketuai oleh Saidina Aishah yang dibantu oleh Muawiyah telah berperang dengan kumpulan Saidina Ali karamallah huwajhah.

Tetapi kedua-duanya berperang kerana menegakkan agama Allah.

Jika Anwar dan Mahathir bersatu untuk menegakkan kembali perjuangan orang melayu yang telah luntur ini, mengapa pula kita tidak menyokongnya?…Aspan Alias

21 January 2007

32. Pemimpin berjiwa mati

Ikan kegemaran saya ialah ikan parang dan ikan ini hidup di laut masin.

Satu pelajaran yang kita dapat daripada ikan ini, dia tidak pula merasa masin apabila keluar dari laut walaupun dia hidup dalam lautan luas yang amat masin bertahun-tahun lamanya.

Kenapa ikan ini tidak masin?

Jawapannya ialah kerana ikan itu ada jiwa yang hidup, maka apa jua pengaruh negatif tidak akan dapat mempengaruhi ikan itu.

Di sebaliknya ikan mati yang sudah tidak bernyawa, jika direndam dengan air garam yang masin ikan itu akan menjadi ikan masin.

Dalam lain perkatan, hanya ikan yang mati, tidak bernyawa dan berjiwa amat mudah diresapi oleh elemen-elemen lain termasuklah elemen masin tadi.

Bagaimana pula dengan manusia yang bergelar Perdana Menteri, Menteri-menteri, Menteri-Menteri Besar, Ketua-ketua Jabatan pula?

Jika dibandingkan dengan cerita ikan tadi, adakah mereka ini tergolong dalam golongan ikan hidup atau ikan mati.

Kalau ikan hidup dan ikan mati tadi dijadikan anologinya, mana-mana pemimpin yang terpengaruh dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, ego, hipokrit dan lain-lain elemen negatif itu, maka mereka tidak ubah seperti ikan mati.

Pemimpin-pemimpin sudah mati jiwanya dan tidak lagi mampu untuk melawan unsur yang kotor, maka ianya sangat mudah untuk diresapi unsur-unsur menjijikkan seperti rasuah, salahguna kuasa, berbohong dan bersifat tamak yang semuanya ini adalah dimurkai Allah swt.

Di sebaliknya pemimpin yang berjiwa hidup serta berjiwa besar mereka tidak akan terpengaruh dengan rasuah atau sogokan dan apa jua unsur yang boleh menjejaskan jiwanya yang mentauhidkan tuhan tadi.

Pemimpin yang berjiwa besar dan hidup, tidak akan ‘meleleh’ air liurnya dengan sogokan harta benda, walau semewah mana pun barang yang disogokan itu.

Pemimpin yang ‘hidup’ tadi tahu bahawa yang akan menanggung bahagia atau celaka di alam akhirat nanti ialah roh, batin dan jiwanya.

Mereka yang mudah mengalah kepada unsur-unsur rasuah ini akan merasa senang menerima sogokan daripada mana-mana pihak yang berkepentingan perniagaan, walaupun pada zahirnya dia berlindung di sebalik nama tuhan dan agama.

Begitulah hinanya pemimpin-pemimpin yang tergolong dalam kategori ini.

WASSALAM



31. Yang mana kambing, yang mana ayam?

Satu hakikat yang berlaku dalam parti kita ialah polimik antara penyokong-penyokong pemimpin besar negara.

Masing-masing ada seni dan cara untuk menaikkan nama pemimpin sokongan mereka.

Tetapi satu cara yang lazimnya dilakukan mereka ialah dengan mengkritik kepimpinan yang tidak sebulu dengan pemimpin sokongan mereka sedangkan setiap pihak ada keburukan dan kecacatan masing-masing.

Keadaan ini tidak ubah seperti cerita ayam dengan kambing yang suka mencela antara satu sama lain.

Kambing berkata kepada ayam, “Ayam, kau ini cantik. Bulu engkau cantik, balong kau lawa, tapi kau tidak boleh dibawa ke tengah, sebab kau tidak pakai KASUT!”

Ayam lantas menjawab, “Hai kambing! Betul engkau pakai kasut, tanduk engkau cantik! Janggut engkau kemas! Tapi kau mesti sedar diri kau, yang engkau tu lagi tak malu…kau tak pakai seluar dalam! Kau tayangkan TELUR kau. Semua orang nampak!”

Begitulah hakikatnya keadaan pemimpin-pemimpin kita pada hari ini.

Masing-masing ada jentera untuk menjatuhkan pemimpin yang dicemburuinya dengan cara begini, sedangkan dia sendiri ada masalah dan kecacatan sendiri.

Bagi kita yang di bawah ini, kita melihatnya dengan perasaan yang bercampur-campur.

Kadangkala kita rasa malu, ada kalanya berasa marah dan selalunya kita pandang situasi ini sebagai lawak jenaka yang dipersembahkan oleh pelawak pelawak bodoh.

Tetapi akhirnya mereka jugalah yang akan memimpin kita. Itulah sistem yang ada dalam parti kita.

Wassalam.

19 January 2007

30. Kecil itu hadiah, besar itu rasuah

Memberi hadiah merupakan satu budaya yang agak ‘universal’ di kalangan kita. Selalunya hadiah di berikan untuk mengingati harijadi seseorang, untuk mengingati ulangtahun perkahwinan, majlis perkahwinan seseorang dan sebagainya.

Selalunya kita menghadiah sesuatu kepada isteri, suami, rakan sekerja mengikut kemampuan dan motif pemberian hadiah itu tuhan sahaja lah yang tahu.

Yang menerima hadiah pula merasa bahagia dan senang hati dan hadiah tadi boleh membawa perhubungan antara yang memberi dan penerima bertambah baik dan akrab.

Tetapi ada hadiah yang terima boleh menjahanamkan seseorang. Hadiah yang besar dan mahal yang diterima boleh mengikat dirinya dan sekali gus dia tergolong dalam kategori yang menerima rasuah.

Jika penerima itu seorang pemimpin besar maka pemimpin itu akan hilang identiti kepimpinannya. Dia akan menjadi glamour dan terus glamour dan berkhayal dalam keenakkan kehidupan baru yang tidak pernah di jangkanya.

Seseorang yang ‘multi billionaire’ mampu menghadiahkan pemimpin pemimpin negara atau pun raja-raja serta siapa juga dengan hadiah seperti jet-jet dan kapal mewah yang puluhan juta harganya.

Di sini lah waktunya seseorang pemimpin boleh di nilai peribadinya. Di sinilah dugaan yang besar bagi pemimpin-pemimpin yang mendapat sogokkan itu.

Bagi pemimpin yang berkualiti dia tidak akan menerimanya dan dia tahu ianya merupakan sogokkan rasuah yang sangat menjijikkan.

Bagi pemimpin yang harga dirinya rendah., hadiah seperti ini merupakan perkara yang di tunggu-tunggu dan bersedia menerimanya dengan senang hati tanpa rasa malu dan bersalah.

Air liurnya sentiasa meleleh seperti anjing nampak tulang apabila terjumpa perkara-perkara yang boleh mendatangkan kekayaan dan ‘glamour’.

Itulah sebabnya di negara negara maju ramai pemimpin jatuh kebumi kerana menerima sogokkan seperti ini. Rakyatnya menjatuhkan pemimpin seperti ini kerana sayagkan negara, dan tidak membenarkan pemimpin mereka berlaku sumbang di hadapan mereka.

Mereka tahu pemimpin yang seperti ini akhirnya akan ‘menjual’ negara dengan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk kepentingan peribadi mereka.

Bagi orang seperti saya, untuk memberi hadiah memang jauh dari kemampuan.

Hadiah yang saya mampu berikan kepada pemimpin hanyalah DOA agar mereka kembali ke pangkal jalan dan jadilah pemimpin yang jujur dengan perjuangan untuk rakyat khususnya kepada bangsanya sendiri.

WASSALAM










18 January 2007

29. Pemimpin UMNO sokong DAP?

Di dalam Bab 3 Perlembagaan UMNO sudah diperjelaskan perjuangan sebenar parti kita. Pemimpin besar dalam UMNO tidak tahu apa sebenarnya matlamat perjuangan parti yang mereka pimpin.

Setengah pemimpin bercakap tentang semangat kebangsaan dan ada pemimpin bercakap tentang perjuangan mewujudkan Bangsa Malaysia.

Sesungguhnya Bab 3 Perlembagaan itu telah disajikan intipati perjuangan. Siapa yang memperjuangkan perkara yang lain dari yang disebut oleh Bab 3 itu adalah orang yang patut tinggalkan parti kita ini dan sertailah DAP.

Jika benar perjuangan kita untuk membentuk Bangsa Malaysia dan bukannya memperjuangkan Kedaulatan Bangsa Melayu, maka elok kita semua memberikan sokongan kepada parti DAP.

DAP lah parti yang konsisten memperjuangkan untuk pembentukan Bangsa Malaysia. Dari dahulu hingga lah sekarang parti itu memperjuangkan Bangsa Malaysia yang bersatu.

Kadangkala pemimpin kita cukup pandai memerangkap diri sendiri kerana mereka bercakap tanpa terlebih dahulu berfikir hinggakan mereka tidak tahu apa yang diperkatakan lantaran memberi padah yang buruk kepada bangsa kita.

Tanpa disedari pemimpin kitalah sebenarnya memperjuangkan serta menyokong parti DAP.

Di dalam pilihanraya lazimnya kita membuat isu yang DAP itu adalah anak kelahiran PAP Singapura.

Kita takut jika DAP memerintah, Malaysia akan mengikut telunjuk Singapura.

Di sini kita ingin bertanya, bukankah sekarang ini UMNO yang mengikut telunjuk Singapura?

Yang memberikan Singapura kemudahan untuk bermaharajalela di negara kita ialah pemimpin UMNO.

Yang bersetuju untuk Singapura membeli asset strategik kita ialah pemimpin UMNO kita, bukan DAP.

DAP belum ada rekod menjual harta benda strategik kita kepada negara yang mungkin menjadi ‘Colonial Master’ kita yang baru itu.

Dulu Singapura kita yang punya, tetapi sekarang kalau salah langkah, kita akan menjadi kepunyaan Singapura.

Marilah kita mengadakan kembali kursus-kursus sivik untuk ahli-ahli UMNO, lebih-lebih lagi kepada pemimpin-pemimpin besar kita.

Persepsi perjuangan pemimpin- pemimpin kita sudah menjadi caca marba.

UMNO hanyalah modal perniagaan ramai pemimpin kita.

Kalau UMNO masih bernafsu untuk berkuasa lebih lama pandanglah kritikan ini dengan positif. Janganlah ambil isu perjuangan ini dengan sambil lewa sahaja.

Pemimpin yang cuba untuk mengubah perjuangan UMNO kita, mereka dialu-alukan meninggalkan parti kita ini dari menjadi petualang kepada perjuangan orang melayu.

WASSALAM





..





14 January 2007

28. Perut membawa penyakit

Saya berjumpa doktor kerana kurang sihat dua hari yang lepas. “Hi doc! saya menegurnya. Dia menjawab, “Hi man! Why are you allowing your body to grow sideways! You must be taking tons of food! Hampir semua penyakit datang dari perut tau! Kalau makan banyak dan cepat pasti penyakit akan datang kat you. Bila makan tu,do it slow dan jangan terlalu banyak!” katanya dalam bahasa rojak Melayu Inggeris.

Selesai mengambil ubat saya duduk di kedai kopi di sebelah klinik kawan saya itu. Saya mula berfikir tentang nasihat doktor tadi. Memang betul kata doktor itu.
Penyakit selalunya datang dari perut.

Kalau makan banyak dengan kadar yang cepat penyakit akan menghampiri kita. Nasihat doktor tadi tepat dan pemimpin kita patut dinasihatkan oleh doktor ini.

Di peringkat negara, penyakit rasuah, salahguna kuasa, masalah kroni dan banyak yang lain yang kita sedang kita hadapi sekarang ialah kerana PERUT. Perut-perut ini ‘makan’ terlalu banyak dan hendak cepat habis, dan perut rakyat bertambah kempis.

Apabila ‘perut-perut’ yang memimpin tidak pernah merasa kenyang maka mereka akan makan tanpa henti sehingga hinggap penyakit yang bermacam-macam. Jika ‘perut-perut’ ini masih makan dalam kadar yang ada pada hari ini, penyakit-penyakit ini amat sukar untuk diubati.

Kita kena selesaikan isu ‘perut-perut’ yang kuat makan ini. Kalau tidak diselesaikan nanti anak cucu kita akan kerugian. Rakyat khususnya ahli UMNO jangan hanya menghilangkan ‘sakit’, kita wajib hilangkan penyakit.

Kita nampak dengan jelas, mereka bukan sahaja makan banyak tapi cepat-cepat pula.

Ingat kepada nasihat yang di berikan oleh doktor kepada saya tadi, PENYAKIT SELALUNYA DATANG DARI PERUT.

WASSALAM





12 January 2007

27. Bila majoriti bersalah, minoriti lah yang benar

Saya baru sahaja pulang ke rumah dari berjumpa seorang teman lama yang menjemput saya untuk makan ‘Brunch’ di USJ 11. Teman saya itu adalah bekas Ahli Parlimen pada tahun lapan puluhan dahulu tetapi dia tidak mahu bercakap tentang politik. “Politics these days are full of shits and UMNO can’t solve the problems.” Katanya dalam bahasa inggeris.

“Bro, why do you bother to think about those leaders?! I read your writing in your blogger. You may say good stuffs but we have to come to term that saying right things in UMNO is prohibited. You may be sacked! You know, those people in Parliament and MT call themselves leaders but many of them subscribe to slave mentality” bentaknya keras.

Saya menerima pandangannya dengan hati yang terbuka, kerana saya percaya kepada demokrasi, dan sesiapa pun boleh memberikan pandangan mereka dengan bebas. Saya beritahu dia saya menulis bukan kerana hendak jadi pemimpin, dan saya bukan pun seorang pemimpin. Saya hanya membuat sesuatu walaupun orang tidak ramai yang memberikan sokongan cara terbuka, saya percaya suatu hari nanti perkara yang ditolak akan terbukti kebenarannya.

Mungkin ada orang yang marah dan mengejek-ejek kita sekarang tetapi tidak seorang pun yang tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Yang pentingnya pandangan kita mesti berdasarkan keikhlasan, dan samada diterima atau sebaliknya, biarlah waktu yang menentukannya.

Nabi Nuh alaihisalam memakan masa lapan ratus dari seribu tahun umurnya untuk berusaha membawa umatnya ke jalan yang benar. Nuh dipulaukan, diejek dan dilontarkan dengan kata-kata kesat oleh masyarakat waktu itu. Berbagai-bagai usaha dilakukan untuk menggagalkannya., namun dia terus dengan usahanya untuk menyedarkan umat pada masa itu.

Akhirnya Nuh hanya mendapat sokongan seramai lapan puluh satu orang pengikut sahaja. Yang majoriti mengikut pemimpin jahiliah yang berpangkat besar, termasuklah anak dan isterinya sendri.

Apabila Nuh membina bahtera dia dianggap gila oleh masyarakatnya, kerana membina bahtera di tengah padang pasir. Memang tidak nampak oleh masyarakat waktu itu apa perlunya Nuh membina bahtera yang besar itu. Selain dari lapan puluh satu orang pengikutnya, semua manusia tidak memandangnya dengan sebelah mata pun.

Akhirnya kebenaran tiba, malapetaka di turunkan Tuhan dengan banjir dan bah yang menenggelamkan bumi dan umat yang engkar tadi tenggelam lemas, termasuklah anak dan isterinya yang tidak mahu beriman kepada Allah swt. Kalau air bah zaman Nuh berulang, ‘yatch’ besar dan mewah pun tidak akan dapat menyelamatkan umat.

Nuh dengan pengikutnya terselamat di atas bahtera binaannya yang menjadi bahan ejekan masyarakatnya itu. Sesungguhnya kebenaran memang sukar untuk diterima oleh manusia kerana kebenaran akan hanya tercapai dengan kesabaran dan pengorbanan.

Sebaliknya kemungkaran memang mudah untuk mendapat sambutan kerana ianya menghayalkan manusia dengan kebendaan yang belum tentu berada didalam keredhaan Tuhan.

Pesan aulia dan wali Allah, ‘syurga dikelilingi oleh duri, sedangkan neraka dipagari dek roti’. Yang majoriti tidak semestinya betul dan yang minoriti tidak semestinya salah.

Sekian. WASSALAM.









11 January 2007

26. Cikgu Kahar dalam kenangan

Pada jam 2.30 pagi 9 Januari 2007, saya mendapat pesanan ringkas daripada Zawawi Zain memberitahu saya yang Cikgu Kahar Ahmad, seorang pejuang melayu terkenal telah meninggal dunia pada malam itu.

Saya menerima berita itu dengan perasaan sedih dan hati saya berkata, “hilang seorang lagi pejuang melayu” yang amat saya hormati. Seorang demi seorang pejuang yang mengenali bangsanya pergi meninggalkan kita.

Saya mengenali Cikgu Kahar semasa beliau mengambil alih kepimpinan UMNO Muar pada tahun 1985 daripada Allahyarham Tun Sulaiman Ninam Shah. Cikgu Kahar memang terkenal dengan sikap yang tegas dan lantang apabila memberi pandangan serta menentukan pendirian terhadap sesuatu isu yang berbangkit.

Semasa UMNO diharamkan Allahyarham bingkas menkeritik pucuk pimpinan semasa itu kerana cuba menghalang usaha pihak ‘Team B’ dalam UMNO untuk menghidupkan UMNO lama. “Celakalah sesiapa yang cuba menghalang penhidupan UMNO ini.” Katanya marah-marah.

“Kenapa pucuk pimpinan tidak menggunakan akta pertubuhn 1965 seksyen 70 yang memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menghidupkan mana mana pertubuhan yang di batalkan pendftarannya oleh mahkamah” bentaknya di dalam ceramah umum di Paguh dalam mana saya merupakan salah seorang dari penceramahnya.

“Ini membuktikan permainan politik pimpinan yang berkuasa tidak memikirkan tentang parti dan orang melayu! Dia mementingkan peribadinya sahaja. Dia takut kedudukkannya terjejas! Petualang petualang!” katanya.

Radzi Sheikh Ahmad (S/U agung UMNO sekarang) merupakan pakar rujuk Allahyarham tentang isu-isu yang melibatkan undang-undang. Radzi lah orangnya yang membekalkan akta pertubuhan terutamanya tentang peruntukan seksyen 70 akta pertubuhan 1965 kepada kami semua.

Sesungguhnya UMNO yang asal memang boleh dihidupkan dengan akta pertubuhan 1965 seksyen 70, jika Menteri Dalam Negeri menggunakan kuasanya untuk menghidupkannya. Tetapi politik adalah politik. Saya ingin menulis isu ini dalam tulisan tulisan yang akan datang, insyaallah.

Cikgu Kahar tetap tidak menyertai UMNO hingga ke akhir hayatnya kerana sikap pemimpin-pemimpin UMNO tidak berusaha untuk menghidupkan UMNO asal malahan menghalang usaha ramai pemimpin dan ahli yang lain untuk menghidupkannya.

Ramai yang memujuk Cikgu Kahar untuk menyertai UMNO yang ada ini, tetapi beliau tetap tidak bersetuju. “Zeila bintang filem itu tidak serupa dengan Zeila yang menjadi Mascot Tahun Melawat Malaysia (TMM) 1991 dulu. Ziela Mascot TMM 1991 itu Orang Utan, Sabarudin Cik yang bagi nama!” katanya yang bermaksud UMNO hari ini hanya pada namanya sahaja, tetapi perjuangannya sudah lari begitu jauh.

Saya begitu menghormati Cikgu Kahar kerana perjuangannya yang luhur untuk bangsanya. Perginya beliau sama seperti pemergian Tunku A Rahman dan Datuk Husein Onn, tidak ada namanya terdaftar sebagai ahli UMNO.

Semoga rohnya di bariskan bersama roh yang mukmin.

WASSALAM.





08 January 2007

25. Doa makbul hajat tak sampai

Hidup dalam keadaan aman damai dalam sebuah negara yang makmur merupa harapan yang amat tinggi dan itu lah hajat kita rakyat Malaysia selama ini. Rakyat sentiasa berdoa agar UMNO meneruskan pimpinannya untuk mencapai hajat tersebut.

Pilihanraya umum yang lalu kita di berikan mandat yang besar setelah kita berdoa dan berusaha untuk mendapatkannya dari rakyat. Doa kita semua di kabulkan Tuhan. Kita bergembira kerana hajat kita ialah untuk melihat pemimpin yang dipilih mengendalikan negara dan rakyat dengan adil dan saksama serta berkorban seperti pemimpin yang terdahulu seperti Tunku Abd Rahman Putra, Tun Abd Razak serta Datuk Husein Onn. Semasa kepimpinan mereka ini tidak pernah timbul polimik dan isu tentang anak-anak mereka dengan politik dan proje- projek kerajaan.

Tetapi malangnya apa yang kita hajatkan tidak kesampaian kerana pemimpin hari ini tidak ada kekuatan dalaman untuk menjaga etika kepimpinannya dan membenarkan ahli keluarga menggunakan pengaruh pimpinannya untuk mengisi kehendak nafsu-nafsi mereka. Pucuk pimpinan tidak ada rasa bersalah dan malu dengan isu yang sedang panas di polimikkan di mana-mana oleh rakyat.

Malah kedapatan orang yang dilantiknya untuk menjawat jawatan yang besar menggunakan kesempatan untuk menggunakan kedudukkan mereka bagi menyelesaikan hutang dan masalah peribadi, sehingga terpaksa menyaingi rakyat yang dipimpinnya untuk mendapatkan projek-projek di kementerian masing-masing. Inilah yang membosankan rakyat, kerana mereka sudah nampak permainan pemimpin mereka.

Kita sebagai ahli UMNO wajib melihat secara objetif tentang keadan ini, kerana UMNO ini kepunyaan ahli dan bukannya kepunyaan Perdana Menteri atau pun keluarganya. Yang boleh memperbaikki keadaan ini ialah ahli-ahli sendiri. Jika kita tidak ada kudrat untuk mengubahnya, maka sampai bila-bila budaya menggunakan kuasa untuk peribadi ini akan terus subur dan menjahanamkan nasib anak cucu kita.

Negara ini adalah negara demokrasi. Parti kita pun parti demokrasi. Tentu ada jalan untuk menyelesaikan masalah ini secara demokrasi. Kita BERDOA dan pilih pemimpin yang betul Insyaallah barulah HAJAT kita sampai.

Setiap ahli UMNO wajib berfikir dan gunakan pemikiran kita untuk kebaikan dengan berani. Yang penting orang melayu lebih-lebih lagi ahli UMNO patut mula berfikir dengan akal yang telah di anugerah Tuhan. Selama ini mungkin kita belum menggunakan pemikiran kita.

WASSALAM




06 January 2007

24. Qarun dan Quran

Sekarang adalah zaman perkembangan antara budaya Quran dan Qarun. Pucuk pimpinan kita memperkayakan budaya ini dengan begitu mendadak sehinggakan kita menjadi begitu keliru.

‘Facet’ pentadbiran dan kepimpinan kita disolekkan dengan slogan-slogan berunsurkan agama, seperti konsep Islam Hadhari yang kini diseminarkan dan dibincangkan dalam upacara-upacara rasmi kerajaan. Kita tidak perlu mempunyai ‘intelligence’ yang tinggi untuk mengetahui motif penerapan konsep ini dalam kerajaan kita dewasa kini.

Di sebalik penerapan Islam Hadhari ini, semua orang tahu yang ianya merupakan ‘indah khabar dari rupa’ semata-mata. Tidak ada langsung amalan 'Islamic' dalam pengurusan rakyat dan negara.

Di kalangan kebanyakan orang yang bernama pemimpin, masing-masing sedang sibuk mengumpulkan harta yang begitu banyak dan tidak ada sempadan kerakusan mereka. Ada yang menjadi ‘billionaire’ dalam tempoh sesingkat empat atau lima tahun. Rakyat bukan sebodoh yang difikirkan mereka dengan mengatakan anak masing-masing kaya disebabkan penyertaan mereka dalam tender antarabangsa dan tidak ada unsur-unsur pengaruh daripada jawatan yang mereka pegang.

Usaha pengumpulan harta atas peluang rakyat adalah satu perkara yang tidak boleh dimaafkan. Harta kekayaan negara kita ini bukan datuk nenek mereka yang punya. Inilah cara Qarun mengumpulkan harta semasa zaman jahiliah Firaun dahulu. Kalau zaman Firaun ada Qarun, zaman sekarang pun dah ada Qarun.

Adakah pemimpin-pemimpin kita ini merupakan pembawa dalil dunia akan kiamat? Kita bertanya kerana antara dalil yang jelas apabila dunia hendak kiamat ialah; yang benar nampak salah dan yang salah nampak benar. Selain daripada itu, yang benar terhimpit dan yang bersalah bermaharajalela. Yang paling jelas dalil yang dunia hampir hendak kiamat ialah rakyat dipimpin oleh orang-orang bodoh.

Tanyalah guru-guru, apakah jenis manusia yang menjadi pembawa dalil dunia hendak kiamat ini. Apabila sudah tahu jawapan nanti beritahulah saya kerana saya pun hendak belajar juga sedikit sebanyak tentang hal yang sangat penting ini.

WASSALAM.

05 January 2007

23. Pemimpin glamour

Hari ini sudah lima hari kita melalui tahun 2007. Kedatangan tahun baru kali ini tidak ada apa-apa yang memberi kita perangsang untuk menaikkan taraf kehidupan seperti empat lima tahun yang lalu. Yang hanya rakyat dapati ialah kenaikkan bayaran tol selain dari kenaikkan harga keperluan yang semuanya membebankan mereka. Rakyat tidak tahu lagi hendak mengadu pada siapa. Hendak mengadu kepada kerajaan, sudah mustahil. Belum pun sempat kita hendak mengadu, kerajaan menambah lagi beban rakyat dengan menaikkan harga petrol dengan kadar yang begitu tinggi.

Di Johor, banjir melanda begitu ganas sehinggakan ianya merupakan banjir yang terbesar dalam seratus tahun, dan setakat ini telah mengorbankan lima belas nyawa. Ia menenggelamkan hampir tujuh puluh peratus negeri tersebut, dan rakyat begitu tertekan dengan malapetaka ini. Ramai rakan-rakan telah ke Johor untuk membantu kenalan-kenalan yang terlibat dalam banjir tersebut setakat mana yang termampu, untuk membantu pihak berkuasa menangani kesempitan rakyat negeri itu. Walaupun sekecil mana pun bantuan yang diberikan ia tetap di hargai oleh mangsa banjir itu. Kecil tanda bersama besar tanda berada.

Malah ramai di antara kawan-kawan saya yang sepatutnya pergi bercuti telah membatalkan hasrat mereka kerana merasa begitu bersalah untuk bersantai ke luar negara sedang rakan-rakan mereka di Johor sedang menghadapi malapetaka besar.

Hanya pemimpin besar kita sahaja yang tidak mampu untuk membatalkan hasratnya untuk bercuti kerana sikap tidak prihatin kepada masalah rakyat di Johor. PM kita hanya balik sehari dari luar negara dan terbang semula untuk bercuti sehinggalah ke hari ini. Ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa pemimpin kita ini bukan pemimpin yang tulen. Beliau bukan pemimpin rakyat. Beliau tidak selesa bersama rakyat tatkala rakyat berada dalam kesusahan. Memang kita tidak nafikan bahawa berada di Australia ataupun di Turkey tentu lah lebih seronok daripada berada bersama-sama rakyat yang sedang dilanda banjir.

Glamour…glamour…..glamour….. seolah-olah tidak ada masa yang lain untuk bersantai. Dia tidak mampu untuk menangguhkan percutiannya seolah-olah sudah tiada lagi hari esok baginya. Sikap Abdullah Badawi sudah berubah dalam sekelip mata daripada manusia yang dikatakan baik kepada seorang pemimpin yang tidak langsung mempunyai jiwa rakyat. Beliau bersikap rakyat berjiwa raja.

Teringat pula saya kepada nasihat seorang tua di kampung saya semasa saya remaja dahulu, “kalau dapek pangkat, jangan jadi macam sakai dapek padi, botanak siang dan malam. Kalau dapek kuaso, jangan pulak toloncek ko sini dan toloncek ko sano….malu!! Kito ghaso kito hebat tapi tak soda oghang ghamai menyampah!!” kata atuk itu. Walaubagaimana pun sehingga ke hari ini saya tidak berpangkat, tidak bernama dan tidak bergelar.

Kalau dinilai nasihat ‘atuk’ tadi, memang sesuai diberikan kepada pemimpin kita ini. Agaknya memang begitu sifat seorang yang baru merasakan nikmat. Kita bercuti apabila telah penat bekerja. Tetapi pemimpin kita ini, kita tidak tahu pun apa kerja yang telah dibuatnya. Kerja tidak seberapa cutinya yang lebih. Tetapi kita kena ingat, kalau hendak glamour pun jangan sampai ketahap kufur nikmat. Ada hadith yang di riwayatkan oleh Baihaqqi yang Nabi kita amat benci kepada manusia yang kufur nikmat. Marilah kita berdoa agar kita semua dan pemimpin Hadhari ini tidak tergolong ke dalam kumpulan orang yang kufur nikmat.

Bukan sedikit kesusahan yang dihadapi oleh rakyat Johor. Memang tidak patut PM pergi bercuti waktu ini, dan ramai rakyat Johor berkecil hati kerana orang Johor lah selama ini yang memberikan sokongan yang kuat kepada beliau. Sepatutnya inilah waktunya untuk beliau menunjukkan perhatian kepada kubu kekuatannya itu. Rakyat hanya dianggapnya seperti ‘dahan bongkok’, digunakan untuk kera-kera dan monyet -monyet meniti. Itu sahaja gunanya kita semua ini kepada pemimpin kita.

Dari contoh yang ditulis ini sudah mencukupi untuk menilai siapa sebenarnya Abdullah Badawi. Rupa-rupanya Pak Lah ini memang pandai membaca hati orang melayu . Dia tahu orang melayu akan menyokong mana-mana pihak yang menipu mereka, termasuklah oleh pemimpin partinya sendiri. Itulah sebabnya kita semua sentiasa ditipu dengan bermacam-macam helah termasuklah menggunakan agama suci kita untuk kepentingan peribadi mereka. Dalam pada itu rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetap terus subur di dalam negara kita.


WASSALAM.


03 January 2007

22. Bangun sesudah mati

“Manusia itu sesungguhnya sedang tidur dan akan hanya bangun setelah mati”. Begitulah kata-kata alim ulamak serta mereka yang zuhud. Kata-kata seindah ini tentulah datangnya dari insan yang penuh dengan ilmu dan tahu fungsinya sebagai manusia kejadian Tuhan ini. Manusia yang sentiasa mencari kebenaran tidak ada jalan lain selain dari berzuhud terhadap Tuhannya, hatta ilmu itu terpancar dari a’rash Tuhan yang Maha Tinggi dan Suci.

Ilmu yang Haq ini tentulah datangnya dari hasil usaha keras untuk mencari jalan ke arahnya yang Maha Esa serta mengharapkan keredhaanNya dalam segala bidang kehidupan. Kalau kita menginginkan hidup dalam kehidupan mukmin, nescaya akan faham bahawa kita memerlukan nikmat dari hasil bekerja keras dan diiringi rahmat dan keredhaan Tuhan tatkala hidup di dunia ini dan mengecapi segala rahmat semasa hidup di alam akhirat. Itulah sebabnya ilmu itu adalah lebih tinggi nilainya dari harta dan takhta, kerana ilmu itu akan menjaga kita sedang harta itu membuatkan kita terpaksa berusaha untuk menjaganya.
Pendek kata, untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat, harta yang memberikan kita nikmat di dunia ini hendaklah ditadbir dengan ilmu yang akan membolehkan kita mendapat keredhaan dari Tuhan dan mendapat tempat terpilih dan tergolong di kalangan yang terampun di alam akhirat kelak.

Bagi pemimpin, Negara dan Rakyat adalah harta yang diamanahkan Tuhan untuk dijaga dan ditadbir di dalam keredhaanNya. Malahan pemimpinlah yang paling mudah untuk ke syurga seandainya dia menjalankan tanggungjawab dengan penuh takzim dan sentiasa menjalankan pentadbiran dengan niat yang satu, iaitu untuk memenuhi kewajipan kapada Allah swt. Di sebaliknya pemimpin jugalah yang paling mudah ke neraka jika dia nya tidak melaksanakan tanggungjawab untuk mencapai keredhaan Tuhan dan sentiasa mendahulukan diri sendiri di samping tidak ada pengorbanan dengan menyalahgunakan kuasa yang di pinjamkan Tuhan itu.

Usaha yang intensif adalah diwajibkan kepada pemimpin untuk melaksanakan tanggungjawab mengikut lunas dan jalan yang telah ditentukan Tuhan jika benar-benar seseorang pemimpin itu ingin menjadikan pimpinannya sebagai ubudiyah serta amalan untuk mentauhidkan yang Maha Esa. Sifat bijaksana itu adalah sifat Tuhan maka adalah sangat penting bagi pemimpin untuk bertawajjuh dan bertawassul kepada Tuhan semoga sifat bijaksana tadi dipinjamkan olehNya kepada pemimpin tadi untuk mentadbir harta dan rakyat tadi agar sentiasa berada di atas jalanNya dan dalam keredhaanNya.

Ilmu inilah yang menjadi pakaian pemimpin-pemimpin agung dalam Islam dahulu seperti Al Malek Ashtar yang pernah mentadbir negara Mesir dengan bijaksana di zaman Khalifah Al Rashideen Ali k.wajhah, kerana kezuhudannya kepada Allah swt.

Maka adalah tidak afdal dan amat tidak baik jika kita gunakan agama, nama Tuhan serta menggunakan slogan-slogan agama jika niatnya semata-mata untuk politik dan kepentingannya sendiri. Bagi saya seorang, konsep Islam Hadhari anjuran Abdullah Badawi itu merupakan satu usaha untuk memberitahu umat Islam bahawa agama yang selama ini kita anuti itu ada kelemahannya. Yang lemah bukanlah Islam yang dibawa oleh Muhammad itu, tetapi yang lemah ialah penganutnya sendiri, termasuklah pemimpin-pemimpin yang menggunakan Islam sebagai tempelan semata-mata sedangkan apa yang dilakukannya amat jauh menyimpang dari landasan al-Quran dan al-Hadith yang ditinggalkan oleh Muhammad saw.
Apa yang kita nampak banyak pemimpin menggunakan agama untuk mendapat sokongan rakyat untuk berkuasa tetapi apabila berkuasa dia mencontohi Qarun yang kaya-raya di zaman jahiliah Firaun dulu. Perbalahan antara pemimpin adalah kerana harta dan kuasa; amat sedikit perbalahan dan perbezaan pendapat itu kerana kesejahteraan rakyat yang dipimpinnya.

Ingatlah ayat yang pertama tadi, kita sebenarnya sedang tidur, dan akan bangun setelah kita mati. Kepada pemimpin, ingatlah, anda sedang bermimpi di dalam tidur. Mimpi enak yang anda alami itu akan hilang apabila anda bangun nanti. Apabila anda terjaga, sudah terlalu lewat untuk menghadapi realiti hidup yang anda akan hadapi.


Sekian.WASSALAM