02 April 2008

Hikmah kekalahan

Kekalahan banyak kerusi parlimen dan kehilangan kuasa BN di 5 buah negeri merupakan hikmah bagi masa depan UMNO jika dipandang daripada sudut-sudut lain.

Walaupun kita merasa begitu keliru dengan keputusan itu ia tetap menjadi pengajaran yang begitu baik bagi kita jika kita mengakui bahawasanya penentu kepada segala-segalanya adalah tuhan semesta alam.

Kita mesti bersyukur dengan apa-apa dugaan daripada tuhan dan kita patut membuat introspeksi diri yang serius kenapa perkara yang tidak kita ingini berlaku.

Sebagai manusia, doa kita sentiasa untuk kebaikan diri kita, tetapi jika doa dan harapan kita itu mendapat kemakbulan tuhan maka kehidupan kita akan tetap berubah bagi mencapai cita-cita kita dengan izin Tuhan.

Sesungguhnya ramai rakyat dan ahli-ahli UMNO telah berdoa agar UMNO dan kerajaan kita menjadi kerajaan yang bersih dari semasa ke semasa.

Rakyat berdoa sedemikian kerana melihat dengan mata kepala mereka bagaimana manusia yang diberikan amanah tidak melaksanakan amanah dengan betul untuk mendapatkan keredhaan tuhan.

Rakyat memerhati bagaimana pemimpin-pemimpin mereka tidak menyandarkan perlakuan kepada agama dan adat kita.

Bagi ramai pemimpin sejak satu dua dekad dahulu mengutamakan hidup ‘glamorous’ keluarga dan melanggar segala hukum tuhan.

Hasil daripada pendekatan kehidupan yang sebegini, maka bercambahlah kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dari peringkat tertinggi hinggalah ke struktur pentadbiran terendah kerajaan.

Apabila doa kita dimakbulkan tuhan maka berlakulah apa yang kita alami sekarang, dan ianya merupakan suatu proses ke arah mencapai doa yang makbul dari tuhan itu.

Apa-apa pun yang digerakkan tuhan baru-baru ini kita syukuri.

Dengan kekalahan yang kita alami, barulah kita mendengar pemimpin-pemimpin bercakap tentang keperluan untuk mendengar rintihan rakyat.

Baru dua tiga minggu ini kita mendengar pimpinan bercakap untuk mendengar suara akar umbi.

Baru sekarang kita dengar agar UMNO memilih pemimpin yang diterima ramai dan bukannya diterima oleh pemimpin dan keluarga mereka.

Sudah mula kita mendengar pemimpin yang bercakap besar bertukar nada kepada bercakap dengan rendah diri.

Malahan sekarang sudah begitu ramai ahli-ahli cawangan mula bersedia untuk memainkan peranan untuk mencari pemimpin yang ‘viable’ untuk mereka.

Rakyat dan ahli UMNO khususnya sedang dalam pencarian untuk bertemu dengan pemimpin yang boleh diharapkan untuk membaikpulih imej parti dan kerajaan.

Dengan tidak semena-mena timbul nama yang tidak asing lagi, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab berat itu.

Penerimaan rakyat begitu memberangsangkan kerana mereka begitu dahagakan kelainan daripada segi imej UMNO dan kerajaan.

Saya sendiri tidak dapat lari daripada menerima panggilan dan perjumpaan untuk mengetahui perkembangan mengikut sudut pandangan saya.

Malah di mana-mana kita mendengar orang ramai mengharapkan TR diberi peluang seluas-luasnya untuk mentadbir parti dan negara kali ini.

Perbincangan dan polimik boleh kita dengari di kedai-kedai kopi, warung-warung, hotel-hotel, surau dan masjid.

Hampir keseluruhan yang berbincang mahu melihat TR berjaya mengeluarkan UMNO daripada kekalutan yang melanda parti tertua negara kita ini.

Mereka mempunyai keyakinan bahawa TR merupakan satu-satunya pemimpin yang boleh dijadikan sandaran orang melayu serta rakyat jelata untuk menempuh masa depan yang lebih meyakinkan.

Ramai yang muda-muda pun sudah mulai sedar bahawa TR telah memperhambakan dirinya ke arah membangun dan meletakkan asas kukuh bagi orang melayu dalam bidang ekonomi negara kita.

Pendek kata, TR boleh diharapkan untuk membuat ‘rebranding’ untuk UMNO serta melakukan perubahan sikap terhadap pemimpin-pemimpin kita sekiranya beliau diberi mandat oleh ahli-ahli UMNO dan rakyat secara amnya.

Tanggungjawab kita hanyalah untuk memberikan sokongan kepada TR agar kita dapat menyelesaikan kemelut yang kita hadapi sekarang.

Bagi mereka yang tidak dapat membantu secara fizikal, doa restu rakyat sudah memadai bagi mengiringi perjuangan mulia TR.


Sekian untuk malam ini…………………………………………………… Aspan Alias

1 comment:

  1. pan,kau ni x do lain nyokong kuli yo pulak.naik poning lak den maco eh namo kuli ni.kau cam noh x nak balik pilah betanding koh.kito luru lak hj mail ni.

    ReplyDelete