29 June 2008

Pemimpin MCA lebih bermaruah

Presiden MCA baru sahaja mengumumkan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu pada penghujung tahun ini.

Hasrat Ong Ka Ting dituruti oleh timbalannya, Chan Kong Choy yang juga mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya.

Tentunya keputusan kedua-dua pemimpin parti kedua terbesar ini adalah disebabkan rasa tanggungjawab atas kekalahan teruk MCA dalam pilihanraya umum baru-baru ini.

Sebenarnya itulah tindakan seorang pemimpin demokratik tulen yang menampakkan sifat ‘gentleman’ dan mempunyai ‘finesse’ yang tinggi.

Mereka memikul tanggungjawab atas kekalahan MCA dan BN di banyak kerusi dalam pilihanraya umum baru-baru ini.

Bagaimana pula dengan Abdullah Badawi dan Najib Razak?

Abdullah adalah Perdana Menteri dan Najib pula adalah pengarah pilihanraya BN dalam PU12 baru-baru ini.

Kalau kita mengikuti rentetan peristiwa selepas PU12 yang lalu, begitu ramai pihak meminta pemimpin-pemimpin UMNO untuk meletakkan jawatan, sedangkan kita tidak pernah pun mendengar ahli-ahli MCA berbuat demikian terhadap pemimpin-pemimpin mereka.

Hasilnya, pemimpin-pemimpin MCA berhenti secara sukarela tetapi pemimpin-pemimpin UMNO masih hendak berada pada jawatan masing-masing walaupun banyak pihak meminta kepimpinan meletakkan jawatan serta berundur secara terhormat.

Mereka masih enggan meletakkan jawatan sehingga hari ini.

Sifat bebal pemimpin-pemimpin UMNO ini sangat memalukan kita kerana mereka jugalah yang kononnya merupakan pemimpin-pemimpin bermoral yang sentiasa memikirkan hal rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah.

Bagi menghindari timbulnya tentangan, UMNO telah memperkenalkan kod etika pemilihan baru yang begitu ketat dan ini adalah refleksi mentaliti pemimpin-pemimpin kita yang gila kuasa.

Sepatutnya, Abdullah dan Najib meletakkan jawatan sejurus selepas pilihanraya yang lalu kerana rakyat telah menolak mereka secara jelas tetapi sebaliknya mereka membuat keputusan sesama mereka dengan merancang peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib, yang kedua-duanya merupakan pemimpin-pemimpin ‘reject’.

Pada masa yang sama, kedua-dua pemimpin ini sedang berhadapan dengan isu peribadi yang begitu besar, dan jika mereka adalah pemimpin di negara lain pasti sudah lama mereka diketepikan oleh rakyat melalui berbagai-bagai cara.

Sekarang ini, yang membezakan Abdullah/Najib dengan Robert Mugabe dari Zimbabwe hanyalah warna kulit mereka.

Yang lainnya semuanya sama dan akhirnya nanti keadaan negara kita pun akan menghadapi keadaan yang sama seperti di Zimbabwe.

Jangan kita menyangka apa yang berlaku di Zimbabwe tidak akan berlaku pada kita.

Kita selalunya lalai, dan tidak pernah berfikir secara serius dan tidak bersedia untuk melakukan perubahan, sedangkan yang akan menjadi mangsanya ialah kita sendiri.

Mereka yang menjahanamkan negara dan kita semua hidup bersama anak isteri serta menantu dan kroni-kroni mereka dalam keadaan mewah di luar negara.

Kita hanya dipergunakan seperti beruk dan monyet untuk memanjat kelapa untuk mereka: sesudah mendapat kelapa yang banyak kita hanya diberi makan dalam tempurung sambil ditambat pada pokok atau tiang rumah.

Jika kita masih ingin berbangga menjadi beruk dan monyet kepada pemimpin yang rakus ini teruskanlah sokongan kepada mereka, tetapi jika kita mahu dipandang dan dihormati kita tiada pilihan lain selain daripada menukar kepimpinan parti.

Hamba abdi secara rasminya telah dihapuskan lebih 200 tahun dahulu. Kenapa pula kita mahu menghidupkan kembali peramalan itu?

Kita mesti keluar daripada terus diperhambakan sebegini hina oleh pemimpin-pemimpin kita yang tidak langsung teringat untuk berbudi secara tulus kepada rakyat dan tidak dapat mengorbankan diri untuk kepentingan negara.

Hanya kita sahaja yang berkorban untuk mereka.

Sekarang sampai sudah masanya kita harus berdiri untuk kebenaran serta menjamin keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk ini tanpa dibelenggu oleh budaya burung balam yang sentiasa mengangguk semasa setuju atau sebaliknya.

Akar umbi perlu bertindak untuk kebenaran hakiki.

Pemimpin-pemimpin UMNO sekarang tidak mungkin berkemampuan untuk bersifat ‘gentleman’ seperti Ong Ka Ting atau pun Chan Kong Choy.


Sekian………………………………………Aspan Alias

No comments:

Post a Comment