05 September 2008

UMNO keseorangan?

Angin bertiup kencang tentang kemungkinan ada parti komponen akan bertindak meninggalkan BN yang sudah berusia 24 tahun ini.

Kalau benar ini berlaku adakah ianya mengejutkan kita semua? Jawapannya tentulah TIDAK.

Jika ahli-ahli UMNO sendiri tidak ada segan silu untuk mengundi dan menyokong parti-parti pembangkang terang-terangan masakan manusia yang tidak menganggotai UMNO berasa serba-salah untuk meninggalkan gagasan kita.

Jika orang-orang Melayu sendiri tidak mahu lagi menyokong kita bagaimana kita hendak mendapat sokongan daripada orang Cina dan India?

Mereka nampak yang pemimpin-pemimpin UMNO sendiri sanggup melihat partinya tergolek masakan bisa kita harapkan bangsa lain untuk menyelamatkan kita.

Ramai berpendapat yang UMNO akan hancur lebur dalam pilihanraya yang akan datang dan ini adalah juga pendapat rakan-rakan kita daripada bangsa asing dalam komponen BN.

Jika itu keadaannya masakan mereka ingin melihat parti mereka turut hancur oleh kerana kelemahan UMNO, dan malahan mereka telah pun membuat kenyataan bahawa UMNOlah yang bertanggungjawab atas kekalahan BN dalam banyak kawasan.

Mereka telah lama melihat sikap dan perangai kita yang tidak dihormati oleh banyak pihak, tentulah mereka mahu menyelamatkan parti mereka daripada terhumban jauh bersama kita.

Abdullah dan Najib telah puluhan kali membuat kenyataan untuk memperkasakan parti kita, tetapi bagaimana ianya boleh dilakukan kerana yang berjanji itu adalah mereka yang telah hilang kredibiliti mereka secara total.

Hanya mereka yang kekurangan kemampuan untuk berfikir sahaja boleh menerima dan percaya pada janji-janji yang mereka sendiri tidak faham tentang perjuangan mereka.

Mahu tidak mahu kita wajib menolak Abdullah dan Najib kerana mereka inilah yang membawa masalah kepada negara.

Parti-parti komponen melihat kepimpinan UMNO tidak mempunyai kredibiliti dan menganggap pemimpin-pemimpin UMNO sebagai liability sedangkan mereka menyertai BN dahulu adalah kerana kekuatan UMNO dan perjuangan Melayu yang begitu kuat semasa itu.

Percayalah, selagi UMNO dipimpin oleh mereka berdua ini, selagi itulah usaha untuk memperkuatkan UMNO dan mengekalkan kerjasama antara parti-parti komponen tidak akan dapat dilakukan.

Kalau Abdullah dan Najib terus kekal dalam pimpinan kita, ada dua badai yang akan melanda kita: Pertamanya kita akan kalah dalam PU13 nanti dan kita akan menjadi parti pembangkang yang lemah.

Keduanya, bangsa Melayu akan hilang identitinya. Apabila kita hilang identiti maka kita akan hilang segalanya.

Kita akan hilang Raja-raja Melayu, kita akan hilang negara kita dan kita tidak akan dipandang lagi oleh mana-mana bangsa di dunia ini.

Walaupun Melayu tidak akan hilang di dunia ini, tetapi saya khuatir MELAYU AKAN HILANG DUNIANYA.


Sekian……………………………Aspan Alias

2 comments:

  1. Sama-sama kita doakan semoga isteri kepada saudara Aspan kembali sembuh.

    ReplyDelete
  2. http://www.kulitpisang.com

    BN Sarawak Yakin Tiada Anggota Akan Sertai Pakatan Rakyat

    KUCHING, 4 Sept (Bernama) — Empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak berkeyakinan bahawa tidak ada daripada kalangan Anggota Parlimen mereka yang berkemungkinan menyertai Pakatan Rakyat pada 16 Sept ini kerana mereka tidak akan “menukar prinsip demi keuntungan jangka pendek”.

    Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing hari ini berkata pembangkang, terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR), tersilap jika mereka menyangkakan Anggota Parlimen BN boleh dibeli supaya meninggalkan gagasan itu bagi membentuk kerajaan baru yang diketuai oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Ia (pembelotan) tidak mungkin belaku. Saya telah bercakap dengan kesemua enam Anggota Parlimen daripada PRS, iaitu wakil rakyat yang mempunyai prinsip dan tidak akan menukar prinsip demi keuntungan jangka pendek,” kata Dr Masing, yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, kepada Bernama di sini.

    “Bagi PRS, kami tidak akan bergerak ke mana-mana. Kami bergerak bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Pengerusi BN pusat,” katanya sambil menambah pembangkang perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh pengundi pada pilihan raya umum 8 Mac.

    Beliau berkata Anwar, yang sebelum ini mendakwa akan menjadi Perdana Menteri menjelang 16 Sept, perlu menghormati mandat itu sama seperti kemenangannya dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos yang dihormati oleh BN.

    Sementara itu Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Peter Nyarok berkata parti itu, termasuk empat Anggota Parlimennya, telah mengikrarkan sokongan mereka kepada BN yang dipimpin Abdullah di peringkat persekutuan dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, selaku Pengerusi BN negeri.

    “Tidak timbul persoalan mengenainya (melompat parti). Kami tidak menyokong Anwar dan kami tidak akan melompat parti walau dengan apa cara sekalipun,” katanya kepada Bernama, sambil menambah SPDP menyokong teguh BN, yang memenangi 30 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dalam pilihan raya lepas.

    Ditanya sama ada dakwaan seperti itu mungkin berlaku, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan berkata semua orang ada impian.

    “Semua orang ada impian. Saya ada impian. Beliau (Anwar) ada impian. Perkara itu tidak mungkin,” kata Dr Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri.

    SUPP, rakan kedua terbesar BN Sarawak, memenangi enam kerusi Parlimen tetapi kalah kerusi Bandar Kuching dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

    Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB) iaitu tunjang BN Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata beliau yakin kesemua 14 Anggota Parlimen PBB dan 35 Anggota Dewan Undangan Negeri akan kekal setia kepada BN.

    “Saya pasti anggota PBB sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri masih kekal setia kepada BN dan kalau ada khabar angin yang mengatakan 40 Anggota Parlimen BN akan sertai Pakatan Rakyat, itu tidak betul,” kata Daud, yang juga Menteri Muda Sarawak yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Islam.

    Sementara itu, Ketua Pemuda PBB Fadillah Yusof, yang juga Anggota Parlimen Petra Jaya, berkata langkah Pakatan Rakyat untuk memujuk Anggota Parlimen BN supaya menyertai pembangkang adalah bukti bahawa mereka tidak berpegang kepada prinsip mereka sendiri berhubung hak rakyat.

    “Walaupun BN tidak mendapat majoriti dua pertiga namun keputusan rakyat tetap kepada BN dan kemenangan daripada rakyat ini seharusnya dihormati dan bukannya berjuang untuk kepentingan individu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    – BERNAMA

    ReplyDelete