Selamat Hari Raya Aidilfitri saya tujukan kepada semua umat Islam khususnya kepada semua yang berjaya melakukan ibadah secara intensif di bulan Ramadhan dengan jayanya.
Ucapan ini lebih khusus kepada mereka yang mengikuti blog saya ini dan saya tidak dapat menghulurkan tangan kemaafan kepada setiap seorang yang melayari blog saya ini.
Dalam bulan yang mubarak ini saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon sebanyak-banyak kemaafan jika terdapat kesilapan yang saya lakukan kerana saya seperti juga manusia lain ada banyak kelemahan dan kekurangan yang membawa kesilapan.
Saya banyak mendapat undangan daripada rakan-rakan yang menjemput saya ke rumah terbuka mereka dan saya akan cuba dan berusaha untuk hadir di mana yang saya sempat menghadirinya.
Walaupun saya bersama-sama menyambut hari yang mulia ini, kali ini merupakan Hari Raya yang pertama saya dan adik-adik serta keluarga menyambutnya tanpa ibu kesayangan kami yang telah kembali ke Arash menghadap Tuhan semesta alam yang Maha Esa.
Hari ini genap 2 bulan ibu meninggalkan kami, dan kadangkala tidak upaya untuk menahan air mata mengingatinya.
Saya dan adik-adik amat merasakan kesunyian tanpa ibu yang telah membesarkan kami dalam keadaan yang sangat sederhana kerana kami telah kehilangan ayah yang telah kembal keRahmattullah dan meninggalkan kami lebih dari 42 tahun yng lalu.
Saya memahami perasaan insan yang hidup piatu tanpa ibu bapa. Buat tahun ini saya tidak bercadang untuk merayakan lebaran ini seperti tahun-tahun yang lalu kerana kesedihan yang masih menyelubungi kami sekeluarga.
Jika ibu kami masih berada bersama pada Hari Raya seperti ini,ibulah yang paling sibuk menguruskan kami walaupun kami sudah dewasa dan sudah pun masuk ke dalam umur bersara.
Bagi ibu kami, anak-anaknya tetap kecil di kaca matanya walaupun kami sudah berusia.
Di Hari Raya seperti ini selalunya kami tidak payah melakukan apa-apa kerana ibulah yang mengatur segala jenis makanan dan juadah raya untuk anak-anak dan cucu-cucunya.
Kasihnya ibu tiada bandingan, luhur dan sentiasa berdoa untuk kami anak-anak agar hidup sempurna sebagai insan yang dirahmati Tuhan.
Saya rindukan leterannya yang sentiasa memberikan perhatian terhadap tingkah laku kami lebih-lebih lagi dalam isu perpaduan adik-beradik.
Baginya jika adik-beradik tidak bersatu maka hilanglah pandangan masyarakat terhadap keluarga dan kita tidak lagi berguna menjadi ahli sesuatu masyarakat.
Jika masyarakat membenci kita didunia ini maka itulah dalil jelas yang kita dibenci tuhan dan sia-sialah segala ibadah dan ubudiah semasa hayat kita.
Sayalah orang yang selalu mendapat leterannya kerana baginya saya mempunyai tanggungjawab besar sebagai anaknya yang sulung.
“Sakit pening adik-beradik mesti kau ambil berat, susah-payah bapa dan ibu saudara kau jangan kau biarkan begitu sahaja,” ibu mengingati saya acap kali.
Ibu sentiasa mengingatkan saya agar benar-benar menjadi abang sulung yang sebenar-benarnya sulung agar dihormati adik-adik serta sentiasa menyayangi adik-adik dengan sepenuh hati sebagaimana saya menyayangi anak-anak dan isteri saya.
“Hidup jangan melepaskan pucuk masing-masing sahaja,” katanya selalu kepada anak-anak. “Jika berpangkat dan banyak rezeki jauhi diri daripada sifat kufur kepada nikmat tuhan” dan berbagai-bagai lagi nasihat sehinggalah ke akhir hayatnya.
Dengan semua nasihat ini saya sangat merasai kehilangannya di hari lebaran ini. Saya tahu saya tidak akan dapat lagi merasakan keindahan berhari raya dengan ibu yang sangat saya sayangi.
Sekarang insan yang telah membina keluarga yang besar dengan kekuatan sendiri yang dianugerah tuhan ini sudah tiada bersama kami, walaupun mata hati ini sentiasa melihatnya, dan telinga ini masih terdengar segala-gala yang diperkatannya.
Hanya saya berdoa agar rohnya sentiasa berada di barisan roh-roh yang diampuni dan dirahmati Allah swt.
Yang pergi tetap pergi dan ini adalah hukum Tuhan yang Qadim yang tidak boleh dianjak dan dialih oleh kita yang bersifat Baharu ini.
Kepada semua saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri mohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan dan keterlajuran kata-kata dan perbuatan saya selama ini.
Sekian……………………………Aspan Alias
salam ,
ReplyDeletesaya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri mohon ampun dan maaf atas keterlajuran kata-kata yang munkin menyinggung perasaan....
carcoon
selamat hari raya ..maaf zahir batin. Dah tukar gambar baru ke?
ReplyDeleteTico was here
ReplyDelete