(Coretan ini adalah untuk diri saya dan keluarga saya sahaja. Dan saya tidak bermaksud untuk bacaan orang lain. Tetapi jika ada yang terbaca maka anggap sahajalah seperti membaca coretan yang ilmiah semata-mata)
Semua umat didunia sekarang hidup dalam akhir zaman. Nabi Muhammad saw adalah nabi dan rasul yang akhir dan lahirnya baginda memberikan kenyataan bahawa akhir zaman sudah tiba.
Baginda pun sudah wafat lebih dari 1400 thaun dahulu maka zaman yang dikatakan akhir zaman itu sudah pasti lebih hampir.
Baginda telah membayangkan tanda-tanda serta dalil dalil yang akan kita lihat apabila zaman akan bertambah dekat kepada keahirnya.
Sejahil-jahil seorang Islam yang tidak melaksanakan syariatnya dengan baik sekali pun, akan percaya yang hari kiamat akan tetap tiba. Semua yang beragama percaya kiamat itu benar dan hidup selepas mati itu benar.
Sesiapa pun yang bertuhan dan beragama apatah lagi Agama suci kita, percaya yang tuhan akan tunjukkan banyak dalil-dalil yang nyata sebelum tibanya hari kiamat itu.
Dalil-dalil hari kiamat akan ditunjukkan dan terpapar dihadapan kita dengan banyak elemen yang terbalik dan songsang yang bertentangan dengan kehendak agama dan rasulnya.
Jika ianya bertetangan tentulah ianya adalah elemen yang tidak digemari tuhan dan rasul, dan tentulah ianya adalah elemen-elemen dosa dan sesiapa yang terlibat dengan perbuatan dan kepercayaan yang berdosa ini adalah mereka yang menjadi pembawa dalil.
Pokoknya, mahu kah kita menjadi pembawa dalil itu? Tetapi apa kah dia dalil-dalil itu?
Salah satu yang dalil yang besar ialah yang lebih benar itu dianggap salah dan yang salah itu dianggap benar.
Masyarakat akan menganggap yang dahulunya dianggap salah dan tidak baik , sekarang sudah tidak ada apa masalah lagi untuk diterima oleh masyarakat ramai.
Diantaranya perasuah sudah tidak lagi ada masalah untuk bermaharaja lela dan sentiasa selamat malah disanjung oleh pihak yang ramai.
Pemimpin-pemimpin yang tidak baik akan rakus memerintah disanjung sedangkan yang baik akan diketepikan malahan yang baik itu tidak akan dibenar menjadi pemimpin..
Kebenaran akan terhindar dari pandangan ramai dan kepada siapa yang cuba membawa kebenaran akan menjadi mangsa ganas kepada mereka yang seronok dengan kebathilan.
Perempuan pula ramai yang akan menyerupai lelaki, malahan perempuan akan lebih berkuasa dan berpengaruh dari lelaki. Ramai diantara lelaki tunduk serta mempunyai rasa takut akan kekuasaan seseorang wanita ataupun kumpulan wanita.
Negara akan ditadbir oleh ulil amri yang zalim dan tidak adil dan akan hanya mampu untuk membela serta menyayangi sekumpulan kecil sahaja.
Bak kata perpatah, ‘sayangnya bertompok-tompok bencinya merata-rata.’
Dalil-dalil yang lain ialah pokok buah-buah akan berbuah diluar musim, anak durhaka kepada ibu bapa dan pembunuhan anak-anak yang kecil yang sekarang begitu lazim didengar melalui media-media massa.
Tetapi saya berjumpa dengan firman Tuhan, ‘jika masih ada walaupun seorang yang berzikir kepada ku dunia tidak akan kiamat’.
Lain-lain perkataan jika masih ada umat yang masih mengingatinya dengan bertwassul serta bertawajjuh kepadanya dan Rasulnya dunia tidak akan kiamat.
Kalau kita hendak jadikan agama itu sebagai addin maka mudah bagi seseorang menjawab kenapa masih ada manusia yang berani bertahan untuk menegakkan kebenaran walaupun mendapat penghinaan dari pihak yang memusuhi mereka.
Bagi umat diakhir zaman ini, menjaga dan memegang tali Allah itu adalah wajib disisi tuntutan Tuhan. Jika seseorang muslim dan Islam itu berpaut kepada tali Allah maka kita tidak akan tersasar jika kita terpaksa berijtihad dalam keadaan yang memaksa.
Akhirnya saya ingin mencatitkan dua rangkap nasihat kepada anak-anak saya serta keluarga yang saya amat cintai sebagai pegangan hidup; bak kata orang tua-tua, ‘kok tidur dibuat bantal, kok berjalan dijadikan tongkat’;
Aku tetap aku,
Dia tetap dia,
Tapi aku bukan lain dari dia,
Kami berpadu dan bersatu,
Dua wajah dalam wujud yang satu.
Bunga paku dalam paku
Pakunya dibawa dari seberang
Carilah aku dalam aku,
Aku berselindung di sebalik yang terang.
Saya tidak ada apa-apa yang bakal saya berikan kepada anak-anak; hanya pesanan kepada mereka dalam dua rangkap nasihat itu sahaja.
Kepada anak-anak saya berpesan, jika dapat menembusi apa yang terkandung didalam rangkap diatas, ianya akan lebih lazat hidup dan kehidupan selepas mati.
Jika tercapai dan tertembus dua rangkap tadi kelazatannya yang akan dirasakan tidak dapat dibayangkan oleh pemikiran kita sendiri.
Ianya adalah lebih lunak dari harta yang bertimbun yang menjadi buruan pembawa dalil yang dimaksudkan tadi.
Ingat anak-anak dan keluargaku, jalan ke syurga itu penuh dengan onak dan duri, dan jalan ke neraka itu dipenuhi dengan roti dan keju yang enak-enak.
Akhir sekali kepada anak-anak ku, janganlah jadi salah seorang dari pembawa dalil hari kiamat itu.
Kita mesti ingat bahawa kematian itu adalah permulaaan kepada kehidupan yang sebenarnya dan abadi.
(Akan bersambung)
Sekian……………………………………………Aspan Alias (babah)
Sedaro Aspan,
ReplyDeleteAssalamualaikaum.Izinkan saya berkongsi membaca pesanan tuan kepada anak2 dan keluarga tuan.
Memmbaca tulisan terbaru tuan tentang dalil hari kiamat membuat diri menjadi insaf dan jiwa menjadi syahdu. Terlalu kerdil rasanya untuk menghadap Yang Maha Agung dipermulaan hidup selepas mati yang pasti akan berlaku dan kian hampir berdasarkan dalil yang telah hadir didepan mata kita dan peristiwa2 yang tuan sebutkan diatas. Kepada mereka2 yang merasakan diri handal dan kaya memiliki segalanya, insaf2 lah kerana Tuhan memberikan kita masa untuk bertaubat atau membetulkan kesilapan kita sebelum nyawa belum sampai di tenggorok menuju pengadilan sebenar.
Tiada nilai sedikit pun harta, pangkat, kuasa, kemegahan, nama besar disisi Tuhan . Penilaian Tuhan kepada manusia adalah atas ketakwaannya semasa hayatnya dan keiklasan hati dalam apa jua bidang kehidupan termasuk ibadat serta sedekah dalam mencari keredaan Allah.
Seperkara lagi ayat2 falsafah tuan itu sangat bernilai dan menunjukan tuan mungkin pernah belajar ilmu Tasauf dari guru2 dahulu yang sangat tinggi nilai falsafahnya. Tulis lah lagi untuk tatapan dan dikongsi oleh generasi muda sekarang
Sekian terima kasih