22 May 2010

Main 'kong kalikong' dengan rakyat

Kita sedar atau tidak yang kita menjadi ahli UMNO yang hanya disokong oleh sebahagian orang Melayu dan Bumiputra di Sabah sahaja?

Sedarkah kita bahawa UMNO yang kita anggotai ini tidak akan lagi mendapat sokongan orang Cina dan bukan Melayu yang lain sedangkan UMNO menjadi teras kepada konglomerasi parti-parti lain yang dianggotai oleh bangsa lain yang sekarang ini tidak mampu membawa apa-apa bentuk sokongan kepada BN melalui parti-parti tersebut?

Mampukah pemimpin hari ini memikirkan jalan keluar kepada masalah dan kemelut yang sedang kita hadapi, dan jika tidak dapat kita melakukan penyelasaiannya UMNO akan tidak dapat memenangi banyak kerusi dalam pilihanraya umum yang akan datang?

Pedih untuk kita menerimanya; tetapi hakikatnya orang Cina tidak akan memberikan apa-apa sokongan yang diperlukan kerana sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Melayu yang ada sekarang ini.

Sekarang ini apa yang saya sebut 1 atau 2 tahun yang lepas sudah menjadi kenyataan. Memberikan sogokan wang ringgit tidak boleh menjamin kemenangan dalam jangka masa panjang.

Kalau pun wang ringgit boleh memberikan kemenangan, sampai bila pula amalan buruk ini mampu kita lakukan?

Jika pun kita mampu membayar undi buat masa yang panjang, dari mana pula puncanya kewangan yang banyak itu?

Bolehkah atau tidak jika orang ramai membuat andaian yang wang ringgit itu datangnya daripada kegiatan rasuah dan wang itu datangnya dari sumber kepunyaan rakyat?

Sesungguhnya wang ringgit tidak boleh menyelesaikan kerumitan kerana akhirnya persepsi orang ramai akan bertambah buruk kepada kita. Jika kepimpinan tidak mampu meyakinkan rakyat selain daripada pembelian sokongan maka UMNO tidak akan lagi dihormati dan disanjung oleh mereka.

Selalunya pemimpinlah yang mendatangkan masalah. Seperti di Sarawak umum mengetahui yang salah satu penyebab BN semakin lemah ialah kerana keengganan TS Taib Mahmud mengakui bahawa beliau sudah terlalu lama duduk seperti Raja seolah-olah beliau tidak boleh dialih dan dianjak.

Negeri Sarawak seolah-olah adalah kepunyaan beliau dan keluarganya sahaja sedangkan kesihatan beliau tidak membolehkan beliau berfungsi dengan efektif lagi.

Jika beliau masih tidak mampu untuk memujuk hatinya sendiri untuk berhenti dan memberikan peluang kepada pemimpin lain mengambil alih kepimpinan negeri, maka anggapan Najib yang Sarawak merupakan fixed deposit untuk BN sudah pasti akan berakhir.

Blog ini selalu menyebut tentang moral dan etika kepimpinan tetapi pandangan saya selalunya disanggah kerana melakukan introspeksi terhadap kelemahan kita sendiri.

Blog ini juga acapkali meminta orang Melayu untuk membuat introspeksi dan memandang ke dalam untuk memcari kelemahan kita dan kurangkan memandang keluar sambil menyalahkan setiap yang lain terutamanya parti-parti pembangkang.

Sesungguhnya orang Cina faham dan mengakui yang negara ini tidak boleh dipimpin oleh bangsa mereka tetapi mereka mahu melihat seorang pemimpin Melayu yang mereka anggap telus dan boleh diyakini.

Tetapi sekarang ini mereka masih tertunggu-tunggu siapa di kalangan orang Melayu yang boleh membawa kepimpinan yang lain daripada apa yang ada pada hari ini.

Di Sarawak, SUPP dan PBRS menghadapi masalah untuk mempertahankan PBB dan Taib Mahmud dan jika PBB masih lagi tidak ada keinginan untuk berubah maka tidak hairan jika kekuatan BN di Sarawak tidak lebih dan tidak kurang seperti Kerajaan BN di Negeri Sembilan dan beberapa buah negeri yang lain.

Pastinya ramai yang tidak gemar dengan pandangan terbuka seperti ini, tetapi apakan daya, apa yang saya sebutkan ini sifatnya hakiki jika kita berani memperkatakannya.

Banyak cara untuk memahami apa yang ada di dalam benak dan pemikiran seseorang lebih-lebih lagi daripada pemimpin besar negara.

Salah satunya ialah dari perkatan dan percakapan yang didengari ramai. Contoh yang ada di hadapan kita sangat banyak kalau kita nilai dari ungakapan dan kata-kata pemimpin.

Najib selalu berkata kepada pengundi di dalam PRK yang akhir-akhir ini; “Tuan-tuan tolong saya saya tolong tuan-tuan. Saya umumkan sekian banyak peruntukan untuk sekolah jenis kebangsaan Cina, tuan-tuan mesti memberikan undi dan sokongan kepada BN.”

Ini merupakan satu cara kempan yang salah. Pertamanya salah dari segi tatacara pilihanraya yang saya tidak mahu ulas dalam tulisan ini.

Jika kita berjanji secara ini semasa pilihanraya 1964 ke pilihanraya 1978 dahulu mungkin ianya membawa faedah kepada BN.

Tetapi janji seperti itu sudah tidak lagi laku sekarang ini kerana rakyat yang kita hantar ke sekolah dan ke luar negara untuk mendapatkan pelajaran tinggi sudah pandai berfikir.

Pengundi tahu duit dan wang yang dijanjikan itu adalah wang mereka bukannya wang BN atau UMNO.

Wang itu datangnya dari cukai-cukai yang mereka bayar kepada jabatan hasil dalam negeri dan cukan jualan seperti dari pembelian rokok dan tembakau serta cukai-cukai yang lain yang mereka dan rakyat yang lain bayar.

Mereka tahu yang mereka menyumbang kepada gaji dan elaun PM dan Menteri-Menteri serta semua yang berkhidmat dengan kerajaan dan Lagilatif serta jabatan-jabatan yang lain melalui cukai yang mereka bayar.

Wang itu bukannya wang parti, malahan wang korupsi yang diambil oleh pemimpin rasuah itu adalah wang mereka juga.

Sebenarnya hanya pemimpin kita yang tidak mampu untuk berfikir setangkas pemikiran rakyat, maka itulah sebabnya UMNO dan BN menghadapi masalah untuk terus mendapatkan sokongan seperti dulu.

Pemimpin tidak boleh lagi mengawal rakyat seperti kita mengawal adik sepupu yang masih kecil.

Memberikan gula-gula dan manisan bukan lagi caranya untuk mendapat sokongan.

Rakyat sekarang mahukan kepimpinan yang bersih imejnya, tidak dipandang sebagai pemimpin yang rasuah dan pemimpin yang bersekongkol dengan jenayah yang besar dan kecil.

Rakyat sudah tidak mahu kepimpinan yang cincai dan mengambil mudah tentang moral dan imej kerana kita sudah sepatutnya sampai ke tahap kepimpinan yang setanding dengan kepimpinan negara maju.

Rakyat mahukan ketelusan yang hakiki. Rakyat masih menunggu tindakan yang diakui oleh kabinet ke atas 18 kes rasuah berprofil tinggi yang diumumkan oleh Rais Yatim semasa beliau memegang Jabatan Undang-Undang negara bebrapa tahun dahulu.

Sehingga sekarang isu itu didiamkan begitu sahaja sedangkan semuanya itu melibatkan wang rakyat. Kenapakah pimpinan menganggap rakyat sebagai kumpulan manusia yang boleh dibohongi dan tidak payah dihormati walaupun yang menanggung kerugian itu adalah mereka yang membayar cukai.

Ini semua membuatkan rakyat yang sudah mula berfikir berkeyakinan bahawa pimpinan sedang main kong kalikong dengan mereka.


Sekian………………………………Aspan Alias

38 comments:

  1. Aspan Alias,

    Konsistensi sdr tentang isu rasuah sangat terpuji.
    Saya pun menunggu bila kes profile tinggi yang jumlahnya 18 seperti yang dinyatakan oleh Rais itu akan dibawa kepengadilan.
    Saya juga mengharapkan kes-kes ini akan ditimbulkan serta merta.

    ReplyDelete
  2. Aspan berkata;

    "Pedih untuk kita menerimanya: tetapi hakikatnya orang Cina tidak akan memberikan apa-apa sokongan yang diperlukan kerana sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Melayu yang ada sekarang ini"

    Saya rasa silap pandangan Aspan ni. Orang Cina telah merasai kuasa politik dan dengan kuasa inilah mereka menunutut kesamarataan dalam hal-hal lain seperti politik, agama dan lain-lain lagi. Mereka bijak dalam hal ini sedangkan orang Melayu akan bertelagah dalam hal hal yang amat remeh temeh.Malukan!.

    Saya pasti mereka bukan nya percaya sangat pada Anwar Ibrahim ataupun PAS, kerana sewaktu Anwar Ibrahim diambang-kuasa, banyak yang dilakukan oleh Anwar menyakiti hati mereka.

    "Sesungguhnya orang Cina faham dan mengakui yang negara ini tidak boleh dipimpin oleh bangsa mereka tetapi mereka mahu melihat seorang pemimpin Melayu yang mereka anggap telus dan boleh diyakini"

    Mereka sebenarnya inginkan seorang pemimpin Melayu yang boleh dicucuk hidung seperti bekas MB Perak, itu saja. Kalau seorang pemimpin Melayu kuat, itulah yang amat ditakuti oleh mereka.

    "Sesungguhnya wang ringgit tidak boleh menyelesaikan kerumitan kerana akhirnya persepsi orang ramai akan bertambah buruk kepada kita. Jika kepimpinan tidak mampu meyakinkan rakyat selain dari pembelian sokongan maka UMNO tidak akan lagi dihormati dan disanjung oleh mereka"

    Setuju dengan Aspan dalam hal ini. Tak perlulah pemimpin UMNO 'terover' sangat dalam hal ini kerana orang Cina tanpa kuasa politik telahpun kaya-raya.Di Sibu, telah ada beberapa billionaire Cina Sarawak yang akan mampu untuk membeli sebahagian dari Sarawak.

    "Selalunya pemimpinlah yang mendatangkan masalah. Seperti diSarawak umum mengetahui yang salah satu penyebab BN semakin lemah ialah kerana keenganan TS Taib Mahmud mengakui yang beliau sudah terlalu lama duduk seperti Raja seolah-olah beliau tidak boleh dialih dan dianjak"

    TS Taib bukan dari UMNO. Pemimpin UMNO lazimnya akan sedar masanya telah tiba dan akan undur secara hormat. Pemimpin pembangkang macam mana pula?, baik dari DAP, PKR dan PAS.

    Lim Kit Siang masih lagi berkuasa sekian lama .. amat malang sekali DAP telah menjadi parti Lim dan anak-beranak. TGNA telah lebih 20 tahun memerintah Kelantan tanpa membawa apa-apa kemajuan selain beribu hektar tanah di Lojing dan di Gua Musang terlepas kepada saudagar Cina Singapura. Walupun gagal memerintah Kelantan dengan berjaya samada pembangunan fizikal ataupun rohani, TGNA tiada rancangan untuk melepaskan kuasa beliau. PKR pun sama saja telah menjadi parti Anwar anak-beranak dan kroni kroni.

    Di Sarawak, orang Melayu/Islam perlu sedar bahawa mereka nilah adalah minoriti selepas Iban dan Cina.Kalau kuasa politik ini terlepas tak mungkin mereka akan dapat kembali untuk sekian lama.Saya rasa tak perlulah PAS/PKR menyesakkan lagi masalah dengan membawa politik pecah-belah mereka di Semenanjung kesana. Fikirkanlah!

    Orang Kampung

    ReplyDelete
  3. awak buka kes saya, saya buka kes awak.. macam tu la bunyinya lebih kurang. Hari ni kata 18 nanti esok naik lagi entah berapa ratus kes dari tahun 1980-an dulu. Tengok saja la barisan yang diwar-warkan untuk "membaikpulih" sime darby. Hehehe UMNO 64 tahun, penasihat mestilah lebih tua lagi... Cara kong kalikong lebih advance lagi, jadi senang je penyelesaian dia, barisan pemimpin dalam BN tu sendiri kena tukar 100%. Jadi tuan penasihat/guru saja dah la pemimpin sekarang ni, diorang cuma reti membelit sahaja, kalau membetulkan keadaan sama la macam gantung diri sendiri, siapa nak buat macam tu bro...

    ...adioss....

    ReplyDelete
  4. UMNO masih ingat ahlinya 3 juta orang. Sebenarnya yang benar-benar menjadi ahli tak sampai pun. 3 juta tersebut adalah termasuk ahli macam saya yang resminya menjadi ahli kerana keahlian saya dibayar oleh cawangan saya untuk mengekalkan bilangan ahli sedangkan saya tidak menyokong UMNO lagi. Saya percaya ramai lagi ahli macam saya yang dah meluat dengan perangai pemimpin UMNO yang lebih merupakan perompak negara ini. Baca tulisan Sakmongkol AK47 untuk penjelasan.
    Ahli Yang Bukan Ahli

    ReplyDelete
  5. The comments of Orang Kampong is a 'loya buruk' kind.

    But can't blame him. He is UMNO typical.

    conrad

    ReplyDelete
  6. bro Aspan,

    1 Komen sdra "kita sedar atau tidak yang kita menjadi ahli UMNO yang hanya disokong oleh sebahagian orang Melayu dan Bumiputra di Sabah sahaja?" megingatkan saya satu fakta penting yang mungkin sengaja disorok mengenai kemasukan UMNO(Baru) ke sabah dalam tahun 1992.

    2. Kita tahu bahawa tujuan TDM membawa UMNO(Baru) ke sabah adalah memastikan UMNO(Baru) mendapat fixed deposit baru untuk menjamin UMNO(baru) terus berkuasa.

    Keputusan PRU 1990 menyakinkan TDM bahawa sokongan melayu di semenanjong kepada UMNO(baru) mula mengalami shift yang ketara. Dalam hal ini, TDM amat terkehadapan.

    3. Sebelum UMNO(Baru) memasuki sabah dalam tahun 1992, keahlian UMNO(Baru) terbuka kepada orang melayu sebagaimana ditakrif oleh perlembagaan persekutuan.

    4. Sebelum UMNO(Baru) memasuki sabah, UMNO(Baru) telah mengadakan satu perhimpunan khas bagi meminda syarat keahlian UMNO(Baru)!

    5. Pindaan yang dibuat adalah - keahlian UMNO(Baru) terbuka kepada semua orang melayu dan bumiputra!

    Ini bermakna orang kadazan, orang iban, orang asli, orang siam, orang portugis melaka boleh memohon menjadi ahli UMNO(Baru)!

    6. Atas sebab ini, ahli-ahli UMNO(Baru) di sabah terdapat dari kalangan bumiputra sabah bukan melayu. Pernah satu masa, ada ADUN UMNO(Baru) disabah terdiri dari bumiputra bukan melayu.

    Now, selepas UMNO(Baru) memasuki sabah, setelah keahliannya dibuka kepada semua kaum bumiputra - masih bolehkah kita kata UMNO(Baru) ITU PARTI ORANG MELAYU???? Shouldnt UMNO(Baru) digolongkan dibawah kelompok parti bumiputra, seperti parti taib mahmud?

    Sedih saya bila pemimpin-pemimpin UMNO(baru) bercakap pasalperjuangan orang melayu hanya kerana hendak mengekalkan kuasa.

    7. Saya percaya ramai orang UMNO(baru) terutamanya yang lahir selepas 1983 tidak mengetahui perkara ini.

    8. Ini satu lagi sebab mengapa saya mengatakan UMNO( Baru) bukan kesinanbungan UMNO lama yang dimatikan oleh TDM dulu.

    bat8

    ReplyDelete
  7. Ha ha saudara Aspan

    Komen Orang Kampung betul betul menggambarkan sebahagian besar ahli UMNO yg ada sekarang (tak termasuk Aspan & beberapa yg lain lagi), jumud dan beku pemikirannya seolah katak di bawah tempurung.

    Mereka memikirkan dunia ini seperti tahun 70an.

    Nasib la kau labu...

    hArDY

    ReplyDelete
  8. Akui sajalah UMNO sudah hilang sokongan.
    Pemimpin cawangan cawangan sudah tidak berfungsi lagi.
    Kalau ada pun Juara Rakyat sahaja.
    Kepada Orang Kampong, cuba-cubalah berfikir.
    'Berfikir sejenak lebih bauk dari beramal sepanjang malam'.

    ReplyDelete
  9. UMNO akn diletakkan diruang pameran Muzium Negara untuk tontonan generasi kita yg akan datang.

    ReplyDelete
  10. 'UMNO itu Melayu, Melayu itu UMNO', itu kata datok saya dulu.

    Kalau Melayu yg bertanding undilah dia. Jangan kira parti bang!

    ReplyDelete
  11. Orang Kampung,
    logik awak tak boleh pakai.
    Adakah Tun Dr Mahathir seorang pemimpin yang boleh "dicucuk hidung" ?
    Tentu tidak, tetapi masa itu ramai orang Cina mengundi BN.

    Menjadi seorang pemimpin pembangkang bukan senang dan tidak membawa sebarang kekayaan atau sebarang "influence" di Malaysia, lebih, lebih lagi sebelum "tsunami"
    Anaknya, LGE pun pernah masuk penjara.
    Sanggupkah, " orang kampung " mengambil alih pimpinan yang tidak membawa sebarang manfaat melainkan penghinaan and mudarat kepada keluarga sendiri ?
    Bolehkanh saudara beri nama pemimpin2 lain yang anaknya masuk penjara untuk menegak keadilan ?

    Menjadi seorang ahli pembangkang bukan senang atau "glamour". Mesti mengharungi berbagai cabaran dan ugutan. Saya rasa tidur pun tak lena.

    Kalau anaknya berkaliber mengapa tidak diberikan jawatan ?

    ReplyDelete
  12. UMNO masih ok.
    Yang hilang arah, bercelaru, pembelot Melayu adalah najib dan gerombolannya.

    Berbisiklah dengan Muhyiddin, dia lebih Melayu dari Najib.

    ReplyDelete
  13. bye... bye....melayu..melayu sudah layu...ekononi, pelajaran,politik,
    sudah hancus,,bersedia utk ketepi bagi can dap memerintah..bye..bye

    ReplyDelete
  14. Amur Hamzah,

    1 Yang datok hang cakap tu tentang UMNO lama yang dimatikan oleh TDM dalam tahun 1988 dulu. Dia matikan yang asal kemudian buat parti dia sendiri menggunakan nama UMNO(Baru).

    2. UMNO(Baru) sejak masuk ke sabah tahun 1992, dah bukak keahlian kepada semua bumiputra!.( tengok point no 5 kat atas).

    UMNO(Baru) bukan lagi parti orang melayu tetapi parti bumiputra!( Melayu termasuk kelompok bumiputra).

    bat8

    ReplyDelete
  15. Damn it. Our leaders can't do things the proper way.

    To UMNO members, pls accept that our leaders are just unable to think well.

    Aku ingat UMNO terpaksa buat replanting macam replanting pokok-pokok getah....potong semua.

    ReplyDelete
  16. adios Aspan....you are brave and say things aloud. i enjoy following you. My feeling is secured with you.
    Just say out what you should.

    ReplyDelete
  17. Sdr Aspan,

    Saya ingin menambah kepada apa yg saudara tulis itu.


    UMNO sudah hilang segala hidayah sebagai parti kebangsaan.

    Memangnya kedhaifan UMNO bermula apabila pimpinan Mahathir tidak mengambil berat tentang isu moral dalam politik.

    Mahathir was or is a pragmatic politician. Apa pun boleh tanpa ada nilai moral.

    Ramai yg puji Dr Mahathir brjasa membina negara dlm segi fisikalnya, tetapi 'at what cost?'

    Hilang segala identiti UMNO dan Melayu.

    Sejak zamannya projek...projek! Duit,,,duit...duit! tidak ada lain.

    Sekarang belum pun beliau meninggalkan dunia dan kita semua...apa sudah jadi.

    Jawapannya nasi sudah jadi bubur.

    ReplyDelete
  18. Pengomen yang saya hormati;

    Marah nampak bila saya tidak sependapat dengan Aspan dalam hal ini..

    Tak perlulah nak melabelkan saya ini loyar buruk,jumud, katak dibawah tempurung, tipikal ahli UMNO yang tak sedar diri dan sebagainya.

    Hakikatnya saya tak pernah jadi ahli UMNO samada yang lama ataupun yang baru. Di PRU yang lepas, saya telah mengundi pembangkang dalam kawasan saya kerana saya telah meluat dengan kerenah Pak Lah dan keluarganya.

    Ibrahim Koyan suruh saya berfikir dan Anonymous 12;03 pun mengeluar pendapat untuk membuatkan saya "berfikir".

    Saya pun meminta Ibrahim Koyan dan pengomen lain pun berfikir sejenak, apa yang sebenarnye telah berlaku di Malaysia.Kenapa kuasa politik orang Melayu telah menjadi lemah dan apabila kuasa politik melayu adalah lemah, akibatnya masa hadapan orang Melayu di bumi sendiri akan menjadi layu. .Apakah perubahan yang telah berlaku dalam dekad ini ?.

    Di tahun 1999,orang Cina telah memilih BN sedangkan orang Melayu kerana emosi penangan kes Anwar telah menentang BN.Kenapa orang Cina tidak memilih Pakatan Rakyat ketika itu.

    Tiga sebab pada pandangan saya, i)Rusuhan kaum yang berlaku di Indonesia menakuti bangsa Cina untuk menukar kerajaan yang masih tidak menentu,ii)Orang Cina masih tidak mempercayai PAS kerana PAS orde lama menakutkan mereka dengan hudud dan sebagainya iii)TDM- orang Cina masih lagi percaya dengan kebolehan TDM untuk terus memimpin negara dalam suasana krisis.

    Dalam sedekad ni telah banyak perubahan berlaku.Dalam tak sampai lima tahun pemerintahan Pak Lah, rating BN telah jatuh dengan mendadak.Tiga sebab juga pada pandangan saya; i)Pimpinan Pak Lah yang lemah ii) PAS orde baru yang kurang menyebut hudud dan sebagainya iii) Faktor Anwar dengan kelicikan politik menawarkan alternatif baru.

    Sedarlah, adakah agenda DAP berubah semenjak 1969 dulu. Tidakkan, yang berubah adalah orang Melayu sendiri.Orang PAS dah kurang menyebut hudud, orang PAS dah boleh berpeluk cium dengan dengan orang kafir, dulu kata haram.. sekarang ni dah jadi halal pula.

    Melihatkan perubahan ini,orang-orang Cina telah nampak satu peluang untuk mereka menjadi penentu pola politik tanah-air dan perubahan ini diambil mereka untuk mendapat hak samarata dengan orang Melayu lainnya. Saya tak salahkan mereka kerana tiap-tiap bangsa menghendakkan yang terbaik untuk bangsa mereka.

    Perlu ingat penguasaan ekonomi orang Cina adalah lebih 70%, dengan hak samarata adakah penguasaan ekonomi mereka turun kepada 30% sejajar dengan jumlah penduduk Cina dinegara ini.

    Tak usahlah bermimpi.. yang akan terjadi pengusaan mereka dalam ekonomi, politik dan jawatan-jawatatan kerajaan dan GLC akan bertambah dan yang rugi adalah orang Melayu.

    Tepuklah dada dan tanya diri sendiri. kemanakah anak-anak kita yang tengah belajar di IPTA/IPTS akan pergi untuk mencari rezeki nanti apabila peluang pekerjaan di tempat tradisi orang Melayu telah mengecil kerana kerajaan dan juga pembangkang tengah ghairah nak beri hak samarata pada orang Cina.?

    Terus terang saya tak nampak yang PKR ataupun PAS berjuang untuk orang Melayu dan saya tak manaruh harapan untuk mereka untuk berbuat demikian.

    Orang Kampung

    ReplyDelete
  19. Orang Kampong,

    Saya bukan tidak bersetuju dgn sdr, tetapi sdr sendiri mengakui yang UMNO lemah. Kenapa nak salahkan semua orang kerana kelemahan kita?

    UMNO yg menjadi harapan org Melayu sendiri yg menjadikan org Melayu hilang keyakinan kepada kepimpinan Melayu UMNO sdr.

    Kalau sdr tidak nampak PAS dan PKR memperjuangkan org Melayu, saya hendak bertanya kpd sdr sekarang; bagaimana UMNO nak memperjuangkan untuk org Melayu sedangkan semua yg orang Melayu punya diberikan kpd org Cina?

    Kalau isteri PM sendiri buat business masakan Najib boleh memperjuangkan org Melayu.

    Sekarang apa yg dilakukan oleh Rosmah itu sudah menjadi tidak salah lagi...ini masalahnya kerana itu salah.

    Saya nak bertanya kpd Orang Kampong hanya satu soalan; Kalau Najib tidak boleh control bibi dia, macam mana dia nak control negara...tolong jawab.

    Jadi salahkah kalau orang ramai menyamoah melihat keadaan seperti ini? Salah kah sdr..salahkah?

    Banyak temaddun jatuh berkecai kerana bini sdr. Sejarah dunia bukannya sejarah yg pendek.

    Sekian

    ibrahimkoyan

    ReplyDelete
  20. Saudara Ibrahum Koyan;

    Saya tak pernah mengatakan UMNO lemah, yang saya katakan kuasa politik orang Melayu telah menjadi lemah kerana undi orang Melayu telah berpecah kepada tiga;UMNO, PAS & PKR.

    Bangsa lain akan bertepuk bersorak apabila orang-orang PAS sanggup berparang dengan orang UMNO kerana nak memenangi rakan cina mereka dalam Pakatan Rakyat.Ituke kan yang orang Melayu hendak.

    Pernahke kita lihat orang Gerakan dan orang DAP berparang kerana sebab politik.Yang saya lihat apabila Koh Tsu Koon menyerahkan tampuk kuasa kepada Lim Guan Eng, mereka bersalaman dan Koh Tsu Khoon nampaknya bergumbira.

    Yang saya mintak orang Melayu supaya sedar dan bersatu. Tak usahlah perkara yang remeh temeh dibangkitkan, soal bini Perdana Menteri , soal UMNO lama dan soal UMNO baru..grow up man.

    Saya telah bertanya dulu, Kalau UMNO buruk sekali adakah PAS dan PKR parti alternatif untuk orang Melayu menggantungkan harapan mereka. Kalau jawapannya tidak,eloklah kita memperkukuhkan UMNO. Tak perlulah kita membuang masa manyalahkan TDM lagi.. tak perlulah kita mengungkit UMNO baru dan sebagainya.

    Saya percaya UMNO perlukan sokongan jitu tuan-tuan dan tanpa sokongan tuan-tuan UMNO terpaksa bergantung kepada undi bangsa lain untuk kekal berkuasa. Dan jangan salahkan mereka apabila polisi dibuat untuk memenangi hati bangsa lain, salahkan kita sendiri.

    Orang Kampung

    ReplyDelete
  21. Anon23:27, Tidak ada siapa yg tidak mau UMNO kuat. Tetapi keadaan sekrg tidak membolehkan UMNO kuat.

    UMNO perlu membetulkan diri terutamanya pemimpin.

    Jika pemimpin tidak mahu memperbaikki diri dan masih rasuah dan menggunakan kuasa secara salah buat macam mana pun UMNO tidak akan diterima.

    UMNO is beyond repairlah bro. Tak boleh diubat lagi.

    ReplyDelete
  22. orang kampung,

    really, is there anything worse than malay leaders who betray their own race?

    do you really have so little faith in the other races?

    ReplyDelete
  23. Sdr Ibrahim Koyan.

    Saya yakin sdr adalah berbangsa Melayu ...

    Adakah dengan menghina bangsa sdr sendiri menjadikan sdr mulia?

    Adakah dengan menyalahkan Melayu lain menjadikan sdr lebih mulia?

    Kalau Melayu dipandang hina ,Sdr juga dipandang hina kerana sdr Melayu, kaum lain juga akan memandang hina kepada sdr kerana sdr juga adalah sebahagian daripada kelompok Melayu tanpa mengira anutan politik.

    Dimata kaum lain, terutama Cina, Melayu itu sama sahaja brandnya, sama sahaja labelnya, tidak kira sdr UMNO, PAS, PKR. Jadi tidak perlulah menghina bangsa sendiri sehina hinanya.

    Dalam banyak hal, saya lebih bersetuju dengan pandangan orang kampung yang jauh lebih matang daripada sdr.

    Suka atau tidak UMNO telah banyak memayungi orang Melayu tanpa mengira fahaman politik. Jangan salahkan saya kalau saya menuduh sdr dan keturunan sdr buncit perut pun hasil perjuangan UMNO, jangan salahkan saya kalau saya tuduh sebahagian kejayaan sdr juga adalah atas ekhsan kerajaan yang ditunjangi UMNO kerana sdr berbangsa MELAYU.

    Ya benar! UMNO hampir bobrok. Tapi adakah kebobrokan itu akibat perbuatan pemimpin ahli UMNO semata2? Apakah orang2 Melayu seperti sdr , Anwar Ibrahim, Nik Aziz dll yang anti UMNO tidak menyumbang kepada kebobrokan itu? Apakah orang2 seperti sdr, Anuar, Nik Aziz boleh dipercayai dapat membela kaumnya? Apakah sumbangan sdr kepada kaum Melayu, Apakah sdr sudah cukup bertanggung jawab waima kepada keluarga sdr sendiri?

    Ya ! Saya tak suka dengan dasar Pak Lah, Saya tak suka dengan cara Najib, tapi saya berusaha menasihati mereka walaupun saya orang kecil, saya berusaha menyingkirkan mereka kerana saya anggap mereka gagal .. tapi saya tak berusaha membunuh UMNO kerana aku tahu UMNO tidak salah, yang salah adalah ahli dan pemimpin yang tidak bertanggungjawab!

    Dimanakah sdr dan lain2 Melayu (yang hanya berminat cari salah orang)ketika ahli2 UMNO mengajak orang2 Melayu bersatu membersihkan UMNO dari golongan pemimpin yang lemah, orang2 seperti Najib yang sangat sdr benci. Alangkah baiknya jika sdr dan orang2 yang sama spesis dengan sdr sepakat membersihkan UMNO daripada ahli dan pemimpin2 yang bermasalah? atau memang ada niat busuk sdr mahu melihat UMNO hancur kerana Phd?

    Aku pun benci dengan apa yang berlaku dalam organisasi UMNO, tapi aku berusaha mengumpul kudrat untuk menentang segala kebatilan dalam UMNO, walaupun aku kurang berjaya, kerana aku tahu UMNO telah banyak membantu generasi seperti aku kerana aku MELAYU walaupun berdarah JAWA. Walaupun usaha aku selalu gagal, tetapi aku tidak putus asa mahu membaiki kelemahan UMNO, kerana itu yang dinamakan perjuangan, tidak seperti sdr yang terus terusan menghina Melayu dan UMNO, yang terus menuding jari ke arah orang lain tanpa mahu menginsafi kelemahan yang ada pada diri sdr.

    Apakah sdr fikir kalau UMNO mati BANGSA MELAYU MENJADI MULIA. Apakah PAS , PKR yang rata ratanya adalah melayu, di sanjung dan dimuliakan?

    Kalau Anuar dan Nik Azizlah mahu dijadikan ukuran bangsa Melayu,, amat malanglah kita BANGSA MELAYU ...

    ReplyDelete
  24. whiteorange,

    Pernahkah saya kata Nik Aziz atau Anwar itu patut dijadikan ukuran kejayaan? Pernahkah aku kata kalau UMNO mati Melayu jadi mulia. Tolonglah baca betul-betul. Aku mahukan UMNO ini jadi baik tapi pemimpinnya tidak tahu cara nak jadi baik.
    Kalau aku benci UMNO perlukah aku bersusah payah masuk blog ini untuk menegur.
    Kalau aku benci UMNO lebih baik aku diam sahaja.
    Aku ingat semua jasa UMNO menghantar aku ke luar negara untuk belajar sampai tahap yang tinggi.
    Persoalannya jika nak berterima kasih kepada UMNO ialah dengan berdiam diri sahaja, apa jadi kepada anak-anak kita dan generasi kita yang sekarang sudah tidak lagi dapat apa yang aku dan kamu dapat? Macam tu?...memikirkan apa yg kita dapat dulu sahaja? Tak payah pikir untuk generasi?

    Aku mahu UMNO disokong, jadi UMNO mesti baik supaya dihormati.

    Aku rasa heran kenapa UMNO mengeluarkan lesen judi bola sedang Kita Siang bermatian menolak usaha menambah kegiatan judi.

    Itu yang aku malu. Cina pulak yg marah kerana lesen judi tetapi saudara whiteorange diam sahaja. Dimana usaha dan kudrat yg kau keluarkan untuk membetulkan UMNO ini? Dimana?
    Blog ini bertanya banyak kali kenapa kes jenayah rasuah yg berprofil tinggi didiamkan sahaja sehingga sekarang?
    Aku dan ramai lagi nak tahu siapa perasuah-perasuah itu. Tetapi sampai sekarang kes-kes itu dipendeapkan sahaja.
    Wang kita sudah dibelasah kamu diam?
    Kalau kau ada cara membaikki UMNO ini, beritahu aku dan orang ramai.
    Caranya berdiam diri?

    Bukan mereka yg memimpin tidak tahu yg rakyat marah!....hanya mereka berfikir yang rakyat semua seperti kamu...pandai bersungut tetapi akan tetap memberi undi kepada mereka supaya mereka dapat belasah lagi.

    Mereka berpendapat, Mealyu akan sokong mereka kerana Melayu seperti sdr berfikir Melayu tidak ada pilihan...tetap akan menyokong mereka.

    Letih aku memikirkan kisah Pemimpin UMNO dan org yg berfikir seperti sdr whireorange ini.

    Cukuplah, saya tidak mahu nak berinteraksi dengan org seperti sdr...membiarkan pemimpin membunuh anak bangsanya sendiri.
    Sebenarnya aku lebih sayang kepada UMNO dari kamu!.

    ReplyDelete
  25. Sdr whiteorange,

    saya tambah apa yg diktakan oleh ibrahimkoyan.

    sdr seolah-olah menganggap umno lebih tinggi dari agama...tidak boleh disoal.

    buktinya apabila kerajaan umno mengeluarkan lesen judi bola kepada vincent tan dan vincent mendapat keuntungan sekelip mata lebih dari setengah billion, saudara diam sahaja.
    Itu bukankah salah dan yang memberi lesen itu ialah DS Najib.


    itulah sebabnya jangan makan duit vincent tan, nanti kena ganti berlipat kali ganda.


    jangan main duit keterlaluan dlm politik....ha...inilah jadinya.

    whieorange...apa kata kau???

    ReplyDelete
  26. Tidak ada sesiapa menghina UMNO. Hanya UMNO yg meminta-minta dihina.

    ReplyDelete
  27. Aspan,

    I appreciate your struggle to correct UMNO bad sad to say that the trend for the day is that most intellectuals who are politically inclined are joining PAS.

    I reckon they choose PAS as the best sanctuary, because UMNO has ceased fighting for the Malays.

    Now I regret that s46 was disbanded.

    yakob

    ReplyDelete
  28. UMNO is a good brand, but it is too old and we have to spend a lot to maintain it.

    Let us cannibalize it...overhaul, change all useless parts and reconstruct it.

    After that we go on running in and it should last for another few decades.

    ReplyDelete
  29. saudara yakob,
    saya tak nampak perlunya menangisi S46. Masalah dalaman UMNO/BN bukan masalah parti tapi masalah orang didalam parti @ pemimpin.
    Perlunya memilih dan memiliki pemimpin yang mengutamakan rakyat dari urusan peribadi.
    Pemimpin dibayar oleh rakyat untuk menguruskan harta rakyat yang diambil dalam bentuk cukai.
    Perlu di fahami, semua rakyat membayar cukai. Cukai bukan sekadar isi borang cukai pendapatan, cukai dari berbagai bentuk. Isi minyak moto pun kena cukai. Nilai RM1.80 atau RM2.05 itu sebenarnya termasuk cukai. Jangan anggap orang miskin tak bayar cukai. Jadi kita kena bantu orang2 yng tidak tahu, agar mereka faham, apa sebenarnya maksud disebalik kertas undi itu. Jangan undi pemimpin korup. Itu sahaja.

    ...SMDB'ian....

    ReplyDelete
  30. Satu temaddun Melayu yg hampir terbina telah hangus dan hancur kerana kealpaan pemimpin-pemimpinnya.

    ReplyDelete
  31. Asalkan Melayu berpadu saya menerima sahaja apa-apa cara pun.

    Jika susah sangat nak berpadu dibawah UMNO dengan pemimpin korupnya kita boleh bersatu diluar UMNO. Yang penting org Melayu bersatu.

    Sekarang ini UMNO saolah-olah taidak mahu Melayu bersatu dibawahnya kerana masih melakukan perkara-perkara tidak senonoh.

    Anal isteri pemimpin berebut bisnes dengan rakyat an sebagainya.

    Bersatu kita teguh, kita mesti membuang pemimpin yang rakus.
    Kali ini kita pilih calun jangan pilih parti.
    Menyampah!

    din teko

    ReplyDelete
  32. It seems that the culture in UMNO is impossible get back to the old culture of struggling for the Malays.

    All signals have been sent to the party to improve but they going for the worst.

    Just forget them. Don't try to change them.

    ReplyDelete
  33. Saudara aspan

    Ramai kawan-kawan melayu saya kata nak resign jadi melayu. Nak apply jadi bangsa lain pulak. Dah meluat jadi melayu.

    ReplyDelete
  34. Saudara Winson,

    Ini tandanya kawan awak yang "meluat" jadi Melayu ialah orang yang jenis tak sedar diri.

    Saya boleh terima jika orang ramai atau sesiapa mengkritik pemimpin samada Melayu atau tidak. Tapi saya sedih bila ( kalau betul) yang "meluat" jadi Melayu.

    Ini tunjukkan yang mereka tiada jati diri. Hinakah jadi Melayu. Teruk sangatkah orang Melayu? Zalim sangatkah UMNO dalam memerintah selama 52 tahun?

    Perkauman kah UMNO bila calon MCA dan MIC boleh menang dikawasan majoriti Melayu. Apakah tiada keadilan untuk Cina dan India bila Malaysia merupakan satu-satunya negara( bukan majoriti Cina atau India) yang benarkan dan lebih lebih lagi beri bantuan kewangan pada Sekolah Cina dan India.

    Saudara Anonymous( ramai yang takut letak nama),

    Anda cakap "..Pas is the best sanctuary...". Saya tak pasti itu. Yang saya dok dengar dari dulu ialah PAS cakap haram untuk UMNO berkerjasama dengan MCA dan MIC.

    Apa cerita sekarang? Dah tak haram pula bekerjasama dengan DAP? Lebih teruk lagi jadi kuli DAP. Sekarang PAS dah tak sebut perkataan "Membangun bersama Islam". Demi kerjasama dengan DAP ( yang terang terangan memusuhi UMNO, Melayu dan Islam), dah boleh pula "gugurkan" perkataan Islam.

    Hebat penangan DAP ini. Sayang PAS pada DAP begitu tinggi sekali.

    Bila saya tegur, orang PAS sebut kalau UMNO baik dengan MCA tak apa. Kenapa pula PAS tak boleh baik dengan DAP?

    Jawabn saya jika sekadar PAS hancur lebur bila jadi kuli DAP( macam sekarang), saya peduli apa. Tetapi jika "kerjasama" atau lebih tepat "menurut perintah "DAP menyebabkan orang Melayu kehilangan kuasa politik dan sekaligus membahayakan mereka dan Islam, maka semua orang Melayu patut rasa sangat bimbang.

    Satu lagi sikap orang PAs ialah mereka suka cakap "UMNO pun bukan baik sangat". Jawab saya hanya kerana ada yang tak baik dengan UMNO bukan beerti lesen untuk bekerjasama dengan DAP yang begitu perkauman dan begitu benci Melayu.

    ORANG MELAYU TOLONGLAH JANGAN MIMPI yang PAS akan berkuasa jika ditakdirkan( minta dijauhkan) UMNO tumbang. Yang mengisi tempat UMNO ialah DAP.

    Tolonglah..tolonglah sedar yang Perlembagaan hanyalah sekeping kertas. Jika orang Melayu( yakni Islam) sudah hilang kuasa maka segala-galanya akan berakhir untuk Melayu.

    Allah Maha Kaya. Kita sedang ditunjukkan "preview" Malaysia akan datang tanpa UMNO.

    Kedai Melayu dirobohkan . Kedai Cina dibiarkan. Kakitangan kerajaan yang rampas arak akan dimarahi. Tanah untuh bangunkan UITM dirampas hanya sebab teknikal.

    Dan orang yang "begitu rapat" dengan tokoh tokoh Yahudi akan jadi PM walaupun yang berkuasa sebenarnya ialah Uncle LIm Kit Siang.

    Jangan lupa satu ketika dulu DAP tunjukkan penyapu pada orang Melayu.

    ReplyDelete
  35. Shamsul

    Saya dah lama berfikiran macam Shamsul.
    Memang selamanya atau sokmo cakap orang kampung saya.
    Sebusuk-busuk UMNO, boleh juga dimakan.
    Sedihnya orang Melayu sekarang menggangap liberal dan maju meyokong PKR.
    Mereka tak sedar yang mereka memberi kuasa kepada DAP.
    Lepas itu hilang kuasa politik kita, hilang bangsa kita, hilang agama kita.
    Jangan kemudian menangis tak berlagu.
    Dalam isu ini, janganlah kita main-main nak cuba try.
    Jadilah macam orang Cina direbuspun sokng DAP.
    Tentulah mereka cakap sokong IMalaysia sebab mereka nak sama-rata seperti Melayu.
    Jika mrereka Melayu. mereka tidak akan begitu mudah bertolak-ansur dengan segala hak istimewa yang kita ada.

    ReplyDelete
  36. Orang Kampung,

    Majority Malaysians are malays, should they be afraid that the "yang lain lain" will take up their jobs ? I think they should be more concern whether there would be enough jobs for everyone. See ...never about Malaysians but race first concept
    This is what I mean by the concept1 Malaysia .
    Not race first than Malaysian second.
    When there aren't enough jobs, logically, the race with the highest percentage in the country will be jobless. Don't you get it??
    In addition, the most skilled, the most resourceful and the toughest will survive.
    What then ?

    Also, why DAP should trust PAS ? Pas can also turn around and back stab DAP.

    The fact that DAP can take the risk and trust PAS says a lot.

    Make Malaysia a better place for all Malaysians to live in.

    Don't worry about the "bogeyman" that doesn't even exist.

    ReplyDelete
  37. Saudara anonymous,

    sebenarnya tanpa Najib lancarkan konsep 1Malaysia pun orang Melayu( dan UMNO) telah laksankan konsep 1 Malaysia.

    Pada 1957, Raja-Raja melayu telah setuju kurniakan lebih 1 juta kerakyatan sebaik Malaya merdeka. Satu rekod dunia yang tiada bangsa lain sanggup buat. Sekelip mata, Persekutuan Tanah Melayu yang dulunya EKSLUSIF hak orang melayu telah kini jadi negara berbilang bangsa.

    Atas kemurahan hati orang Melayu juga Tunku tidak biarkan UMNO kuasai segalanya. Tiada siapa boleh halang jika dia mahu cakap ini Negeri Melayu kerana ketika itu UMNO kuasai hampir 70% kerusi Parliament.

    Berpuluh kawasan Melayu dimenangi oleh calon MCA dan MIC. UMNO dikecam hebat oleh PAS kerana ia sanggup jalinkan kerjasama dengan bukan Melayu.

    Ketika hubungan Melayu-Cina pada peringkat paling rendah ketika May 13 1969, UMNO menolak gesaan PAS untuk miliknegarakan harta dan perniagaan orang Cina.

    Dan tiada negara lain yang benarkan dan biayai 3 jenis sekolah berasimgan.

    UMNO dituduh "dominan" dalam BN. Ia. Itu satu fakta. apa salahnya . Bukankah UMNO memenangi lebih separuh kerusi BN.

    Apa yang kini Lim Kit siang giat lakukan ialah musnahkan UMNo kerana hanya dengan tumbangnya UMNO, segala halangan yang kini DAP hasdapi akan hapus.

    Orang Melayu masih degil dan tidak mahu faham yang menyokong DAP bermakna meruntuhkan satu-satunya yang kita ada iaitu kuasa politik.

    Dengan tumbangnya BN, yang akan ganytikan UMNO ialah DAP. Dan orang ini memang "zalim".

    Tepuk dada tanya selera

    ReplyDelete