31 January 2013

Pembawa masuk pendatang asing adalah pengkhianat kedaulatan (sovereignty) negara

Bertimbun-timbun dan berbeban-beban isu terhadap BN khususnya pemimpin UMNO sejak dua tiga puluh tahun lalu. Kini terbongkar dan menjadi isu yang memakan diri BN sendiri. Itu sebabnya parti atau pemimpin yang baik mereka tidak akan melakukan perkara yang buruk walaupun mereka ada kuasa untuk melindunginya dari pengetahuan umum. Akhirnya apa yang disorok dan dilindungi bertahun-tahun dahulu terkeluar juga dan yang menghadapinya ialah UMNO dan BN itu sendiri.

Tidak ada ruang yang cukup untuk menyenaraikan kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan oleh UMNO dan BN terutamanya di zaman pimpinan Mahathir dahulu. Budaya yang dicipta Mahathir itu menjadi ikutan kepada semua pemimpin yang mewarisi kepimpinan beliau itu. Kesalahan dan kesilapan Mahathir itu ditokok dan ditambah oleh pimpinan selepas beliau.

Dari masalah rasuah sehingga isu menyalahgunakan kuasa dilakukan oleh pimpinan UMNO tanpa had. Mereka merasakan yang rakyat tidak akan tahu apa yang mereka lakukan sampai hari kiamat. Mereka menyangka kuasa yang ada di tangan mereka itu boleh menutupi segala-gala kesalahan mereka. Mereka seolah-olah tidak percaya yang adanya dosa dan pahala. Mereka seolah-olah tidak mahu menerima yang manusia itu tidak mati kerana yang mati hanyalah jasadnya sahaja. Itu sebab dalam sudut ketuhanan ada unsur pahala dan dosa.

Ada di kalangan isu yang tidak baik dilakukan oleh pimpinan negara selama ini boleh di kategorikan sebagai pengkhianat kepada bangsa dan negara (Traitor) dan hukumannya mengikut undang-undang adalah berat. Tetapi kerja sehina ini selalu hanyalah dianggap sebagai kesalahan biasa dan tidak masuk ke dalam kategori pengkhianat negara itu.

Isu yang jelas yang boleh disebut sebagai isu pengkhianatan negara ialah membawa masuk pendatang haram dalam jumlah ratusan ribu yang diberi taraf kerakyatan yang menjadi isu besar sejak dahulu terutamanya di Sabah. Ia dilakukan oleh pimpinan besar negara. Tetapi oleh kerana ia dilakukan oleh pemimpin besar negara yang bergelar dan bernama ia tidak diambil tindakan dan sememangnya susah untuk menghadapkan mereka ke muka pengadilan.

Bagi mereka yang menyokongnya pula memberikan alasan yang Singapura yang maju itu pun membawa masuk orang asing dan diberikan kerakyatan. Tetapi kita tidak pula memberi tahu yang Singapura mengambil rakyat asing yang mempunyai pengalaman dan ‘professional’ untuk membangunkan negara termaju di dunia itu. Di sebaliknya kita membawa masuk sampah sarap dan diberikan kad pengenalan untuk kepentingan politik dan undi bagi kerajaan yang memerintah.

Akhirnya mereka yang tidak berpelajaran dan samseng-samseng ini melakukan berbagai-bagai jenayah termasuk membunuh di negara ini dan mereka tidak menyumbang kepada kemajuan negara. Pendatang dari luar ini telah membawa padah dan kesusahan kepada rakyat tempatan. Setiap hari kedengaran jenayah-jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing ini yang tidak pernah berlaku dan kita dengari semasa mereka belum dibenar untuk dibawa masuk ke negara ini.

Tidak salah jika kita andaikan yang penjenayahan yang begitu banyak berlaku dalam negara ini adalah di sebabkan pimpinan yang tidak bertanggungjawab dan pengkhianat negara. Pengkhianat negara bukan sahaja gerobolan komunis tetapi juga pemimpin yang bertanggungjawab membawa masuk ramai pendatang haram yang dijadikan rakyat negara ini.

Kalau kita kira kerosakan kepada harta benda dan nyawa rakyat lebih ramai lagi dilakukan oleh pendatang asing yang diberi kerakyatan dan yang dibenar bermastautin di sini dari kerosakan yang dilakukan oleh komunis dahulu. Membenarkan orang asing datang dan melakukan jenayah sama besarnya dengan kesalahan yang dilakukan oleh pengganas komunis dahulu. Tindakan membawa masuk pendatang haram dan memberikan kerakyatan dengan niat politik ini amat menjejaskan kedaulatan (sovereignty) negara merdeka dan ia merupakan pengkhianatan yang tidak ada tolok bandingnya kepada negara.

Saya berharap hasil dari RCI mengenai pendatang yang di berikan taraf kerakyatan ini akan dapat menyelesaikan masalah ini dan jika ianya dilakukan dengan sengaja oleh mereka yang bertanggungjawab maka mereka ini wajar kita takrifkan sebagai pengkhianatan kepada negara dan perlu di bawa kemuka pangadilan tanpa memilih bulu.

Ramai berharap RCI ini tidak akan menghasilkan seperti hasil dari RCI tentang perlantikan hakim-hakim dahulu yang tidak ada siapa yang diambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Kita mesti ingat pengkhianat kepada negara juga ada dua jenis seperti perompak dan penyamun juga, iaitu pengkhianat kolar biru dan kolar putih. Membawa pendatang asing kedalam negara ini dan memberikan kerakyatan merupakan pengkhianatan kolar putih yang dilakukan oleh mereka yang berkuasa, bergelar dan bernama ini.

Kita mesti lakukan apa yang termampu untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi. Cara yang pertama ialah dengan menolak mereka yang melakukan jenayah ini dan jangan di berikan mereka peluang untuk mendekati kuasa. Jika mereka masih berkuasa banyak lagi musibah yang mereka akan lakukan terhadap negara kita.

30 January 2013

PM Najib dalam kesunyian

Jika benar kumpulan Muhyiddin yang disokong oleh pihak yang berpengaruh dalam UMNO untuk mengenepikan Najib sebelum pilihanraya ia sudah terlambat dan tidak mempunyai masa lagi. Najib pula sepatutnya menumpukan masa dan perhatian beliau terhadap lawan beliau di dalam partinya sendiri. Saya selalu berkata musuh Najib sebenarnya bukannya parti pembangkang tetapi musuh beliau yang lebih besar ialah dari dalam UMNO itu sendiri.

Bagi Najib menyalahkan pembangkang yang menjadikan isu lawatannya ke Gaza sebagai lawatan yang membuang masa dan ‘counter productive’ jika dipandang dari sudut hendak menaikkan imej BN dalam pilihanraya nanti itu adalah tidak tepat. Ianya di perbesarkan oleh mereka dalam UMNO sendiri. Anwar Ibrahim bukan orangnya yang membesarkan isu itu.

Yang menjadikan isu tentang lawatan itu adalah Presiden Palestin sendiri yang menegur Najib yang tidak betul cara melakukan lawatan ke Gaza itu kerana ia dilihat seperti masuk campur di dalam hal ehwal Palestin itu. Mahmud Abbas telah menempelak Najib kerana Najib menampakkan dirinya sebagai memihak kepada satu dari dua pihak Palestin yang berbeza itu.

Mahmud Abbas adalah Presiden yang diletakkan oleh masyarakat antarabangsa sedangkan Hamas merupakan pihak yang memenangi pilihanraya tetapi tidak di iktiraf oleh banyak pihak di dunia ini dan menguasai Gaza dengan Ismail Hanieh sebagai Perdana Menteri nya. Anwar hanya memberikan pandangan yang Najib tidak membuat ‘homework’ sebelum melakukan lawatan itu. Oleh yang demikian lawatan yang sepatutnya memberikan lonjakkan untuk Najib nyata telah menjadi isu besar yag negatif bagi kerajaan dan dirinya sendiri.

Najib terpaksa membela dirinya sendiri dan tidak ada dikalangan mereka dalam kabinet serta partinya yang mempertahankan beliau. Malahan ramai di antara pemimpin UMNO dan kerajaan sendiri memberikan komen yang tidak baik untuk Najib dibelakang dan tidak langsung memberikan kenyataan untuk membela Perdana Menteri yang kian hari kian lemah itu. Selalunya UMNO akan mempertahankan pemimpin utamanya dengan kuat walau sebesar mana pun kesalahan pemimpin mereka. Mahathir dahulu telah melakukan banyak kesilapan besar tetapi setiap peringkat UMNO memberikan kenyataan tegas berdiri di belakang beliau dalam apa pun keadaannya.

Puluhan kali saya sebut dalam blog ini bahawa UMNO akan menghadapi perpecahan yang amat serius dan parti itu akan tersungkur dengan sendirinya. Jika parti yang tidak bersatu menghadapi musuh yang sedang kuat ia tidak akan mendapat kejayaan. Itulah sebabnya saya selalu memberikan pandangan banyak tahun dahulu yang UMNO akhirnya akan menjatuhkan diri mereka sendiri tanpa payah ditolak oleh pihak pembangkang. UMNO itu sekarang nampak gah dan besar serta garang, tetapi pada hakikatnya UMNO itu hanyalah sebagai satu ‘paper tiger’ sahaja yang tidak akan membawa apa-apa ‘consequence’ yang positif untuknya.

Tindakan ramai rakyat memilih untuk memberikan dukungan terhadap parti-parti ‘alternative’ adalah satu tindakan yang ‘natural’ dan kemahuan rakyat untuk berubah itu pun memangnya sudah sampai masa dan waktunya untuk dilakukan. Kita mesti ingat UMNO tidak boleh mengharapkan tuah datang selalu. Kadangkala ia terpaksa menghadapi kenyataan yang masa untuk ia di ketepikan itu sememangnya sudah sepatutnya sampai, malahan ia sepatutnya berlaku sepuluh tahun dahulu lagi.

Cerita kemahuan sebahagian dari pemimpin UMNO untuk Muhyiddin mengambilalih kepimpinan UMNO sebelum pilihanraya itu sudah nyata benar. Tetapi jika pun Muhyiddin berjaya dengan sokongan Mahathir dan yang lain-lain untuk mengambilalih kepimpinan dari Najib, persoalannya adakah ia memberikan apa-apa perbezaan kepada UMNO.

Bagi pendapat ramai UMNO akan lebih buruk lagi keadaannya kerana bukan semua yang mahukan Najib berhenti, apatah lagi Najib baru sahaja mengambilalih kepimpinan dari Abdullah Badawi yang di benci Mahathir itu. Jika pun Muhyiddin mengambil alih apa baiknya kerana beliau itu adalah dari acuan yang sama sahaja dan beliau tidak sunyi dari kesalahan yang besar yang belum di sebut oeh rakyat lagi. Pendeknya yang diturunkan dan yang dinaikan sama sahaja.

Bagi rakyat untuk memihak kepada satu dari dua pihak dalam UMNO ini, merupakan risiko yang bukan kecil. Risiko nya ialah ketidakstabilan kerajaan itu. Yang menang tidak mendapat semua dan yang kalah tidak akan hilang kesemuanya. Oleh itu adalah tidak bijak bagi rakyat untuk memberikan sokongan kepada UMNO kerana kedua-dua pihak itu akan membawa musibah kepada negara dan kerajaan.

Adalah molek bagi rakyat meninggalkan sahaja UMNO itu dengan masalah yang mereka wujudkan sendiri dan kita berikan tumpuan kepada pihak alternatif yang lebih serius untuk mencari dan melakukan perbezaan terhadap rakyat dan negara.

Rakyat mahukan ‘ambience’ politik yang berbeza kerana rakyat rindukan suasana dalam mana mereka tidak payah berdiskusi tentang politik di mana-mana lagi. Rakyat mahukan ketenteraman suasana untuk terus hidup tanpa gangguan fikiran dan permasalahan yang berlaku terlalu banyak di hadapan mata mereka sendiri.

Dalam keadaan sekarang semakin hari semakin menyakinkan yang UMNO sudah mula tidak relevan untuk menjadi parti pemerintah yang baik lagi. UMNO seolah-olah sudah begitu usang untuk mendapatkan keyakinan  rakyat ramai.

29 January 2013

UMNO akan merasakan nikmat menjadi pembangkang

Usaha mengenepikan Najib dan menggantikan pimpinan UMNO dengan Muhyiddin nampakya semakin diketahui umum. Kepulangan Najib dari luar negara dengan sambutan yang agak besar itu adalah usaha pihak penyokong Najib bagi menunjukkan yang beliau (Najib) mempunyai sokongan kuat. Kehadiran ramai itu juga  adalah untuk menunjukkan kepada pihak yang mahu mengalih dan menganjak kepimpinan dalam UMNO itu supaya jangan cuba-cuba untuk melakukan apa-apa terhadap beliau.

Dalam ramai-ramai ahli UMNO yang menunggu itu ada juga beberapa orang yang datang dari kalangan yang melakukan usaha mengenepikan Najib kerana tidak mahu tindakan mereka dihidu oleh pihak yang mempertahankan Najib. Yang jelasnya kumpulan yang datang beramai-ramai menunggu kepulangan Najib itu termasuklah mereka yang telah membaling batu terhadap Najib dan menyorokkan tangan mereka dengan hadir bersama dalam perhimpunan itu.

Itulah yang berlaku di dalam UMNO menjelangnya pilihanraya ini dan persediaan sudah nampak berlaku untuk melakukan apa yang telah dilakukan terhadap Abdullah Badawi dahulu. Jika BN memenangi pilihanraya kali ini dengan majoriti yang lebih kecil dari apa yang di perolehi oleh Abdullah Badawi dalam pilihanraya yang lalu maka Najib akan diminta mengundurkan diri dan memberikan pimpinan itu kepada TS Muhyiddin Yassin. Itulah caranya di dalam UMNO selagi ada seorang yang masih dibiarkan aktif dan menyibuk dalam politik UMNO itu sekarang.

Tetapi kali ini strategi itu akan memudharatkan UMNO itu sendiri. Pilihanraya kali ini akan mengakibatkan bukan sahaja kumpulan Najib terpaksa berundur tetapi yang berkehendakkan Najib berundur itu pun akan di undurkan oleh rakyat. Jika usaha setengah pihak dalam UMNO hendak mengenepikan Najib itu hanyalah untuk mengambilalih peranan sebagai Ketua Pembangkang sahaja kerana keseluruhan UMNO itu nampaknya akan menjadi pihak pembangkang tidak berapa lama lagi.

Sebenarnya jika Pakatan Rakyat mendapat mandat rakyat ia merupakan satu hikmah bagi UMNO kerana semasa menjadi pembangkang itu lah UMNO berkesempatan untuk malakukan introspeksi diri dan melihat kedalam kenapa mereka di ketepikan oleh rakyat negara ini. Semasa itu nanti UMNO bolehlah mengambilalih kepimpinan Najib itu dan membetulkan UMNO seperti yang sepatutnya.

Itu sebabnya ulamak yang muktabar sentiasa mengingati kita supaya jangan menerkam yang cantik itu kerana di sebalik kecantikan itu mungkin ada kecelakaannya. Di sebaliknya jika datang musibah dan yang buruk jangan terus ditolak kerana mungkin ada kebaikan di sebaliknya.

Dalam kes UMNO ini mereka (UMNO) mesti jangan gusar menerima kekalahan kerana di sebalik keburukan itu sudah pasti ada hikmah di sebaliknya.Hikmah bukannya dalam bentuk kuasa yang ada ditangan, tetapi hikmah yang sebenarnya ialah berkesempatan bagi memperbaiki diri untuk menjadi parti yang lebih baik dan mempunyai perjuangan yang betul.

Ramai manusia yang takut kepada mati, tetapi apabila mereka mati dalam keimanan mereka akan tahu bahawa hidup di alam yang selepas mati itu adalah kehidupan yang enak dan dan menyejukkan. Itu kata-kata ramai alim ulamak yang mempunyai makam yang tinggi, bukannya kata-kata dari saya.

Jangan berasa terlalu kecewa jika kali ini UMNO mengambil giliran untuk membangkang, kerana membangkang itu boleh membina pemikiran dan menajamkan perjuangan mereka. Semasa duduk sebagai pembangkang itu UMNO akan lebih mudah untuk menolak pimpinan yang selama ini dianggap tidak baik untuk perjuangan parti itu. Semasa itu nanti Dr Mahathir bolehlah menaikkan Muhyiddin dan menurunkan Najib kerana menaikkan dan menurunkan pimpinan itu adalah ‘forte’ dan kekuatan Dr Mahathir.

Semasa itu nanti Dr Mahathir bolehlah menaikkan Muhkriz untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO untuk membantu Muhyiddin mengambil kembali mandat rakyat dalam pilihanraya yang berikutnya. Itu pun jika rakyat mahu UMNO kembali menjadi parti kerajaan.

Tetapi mungkin semasa itu nanti UMNO akan dapat merasakan nikmatnya sebagai parti pembangkang.

28 January 2013

Keputusan pilihanraya 'predictable'. UMNO menjadi pembangkang yang baik

Majlis Bekas Wakil Rakyat, MUBARAK, telah meminta pucuk pimpinan menamakan bakal menjadi Menteri Besar Selangor lebih awal.. Dalam temuramahnya dengan Presiden Mubarak, Tan Sri Aziz Abdul Rahman, Sinaran Harian on-line melapurkan yang Mubarak mencadangkan nama bakal menjadi Menteri Besar Selangor dinamakan lebih awal untuk mengelakkan ada beberapa orang yang berminat untuk jawatan itu tidak berasa hati dan kecewa jika nama calon MB itu diumumkan di saat akhir.

Tan Sri Aziz mengingatkan ini sangat penting diambil perhatian kerana ramai yang berminat untuik menjadi Menteri Besar negeri Selangor itu. Jika diumumkan nama bakal Menteri Besar untuk menyaingi Khalid Ibrahim dari Pakatan Rakyat maka ada banyak masa untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit dari pengumuman bakal MB itu. Pihak pimpinan Persekutuan akan mempunyai masa untuk memberikan jawatan gantian kepada sesiapa yang tidak dapat menjawat jawatan MB itu sebelum pilihanraya diadakan.

Sememangnya isu siapa yang bakal dinamakan sebagai Menteri Besar merupakan isu besar bagi Selangor jika BN berjaya kembali menguasai kerajaan negeri Selangor itu. Isu inilah yang menjadi masalah besar dan itu jugalah isunya kenapa kemungkinan BN gagal untuk merampas kembali kuasa dari PR di negeri terkaya dalam negara ini. Selain dari itu BN menghadapi masalah kerana pentadbiran Selangor yang lebih ‘efficient’ dari pentadbiran BN dahulu amat jelas sejak Selangor diperintah oleh Pakatan Rakyat dengan Menteri Besar nya Tan Sri Khalid Ibrahim sejak lima tahun yang lalu. Tidak payah disentuh kejayaan-kejayaan yang di capai sejak lima tahun dahulu kerana rakyat Selangor sedang merasainya sekarang.

Menteri Besar Selangor ini merupakan satu jawatan yang banyak memberi masalah kepada BN selama ini dan masa akan datang. Ramai yang berebut hendak menjadi MB Selangor dan banyak pemimpin yang kecundang politiknya kerana berebut jawatan itu dan gagal untuk mendapatkannya. Dr Hasan Ali yang mendapat nama ejekan sebagai Hasan Akidah itu menjadi mangsa kerana kegagalannya untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Sesungguhnya yang menjadi penyebab beliau menjadi celaru hari ini ialah kerana kegagalan beliau menjadi Menteri Besar dan tidak pula berjaya menahan perasaan kecewa beliau apabila tindakan dan usaha beliau untuk mendapatkan jawatan itu gagal.

Bagi BN jika kita lihat senarai pemimpin BN yang sibuk bekerja untuk memenangi Selangor itu, tidak nampak pun seorang yang mampu untuk menyaingi Khalid Ibrahim. Itu kenyataan dan sangat tidak adil untuk dinafikan oleh mana-mana pihak dan oleh sesiapa pun. Jika Khalid diperlukan untuk dipusat PK tetap ada pengganti yang sukar di saingi oleh mana-mana calon BN untuk mengetuai kerajaan Selangor itu.

Kalau ada pun nama yang jelas berkemungkinan yang terbaik bagi BN untuk di calonkan sebagai MB, ialah Noh Omar yang menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan Selangor  Tetapi Noh Omar tidak mampu untuk menaikkan imej beliau sebagai pemimpin bersih kerana terlalu banyak isu yang sedang menyelaputi diri beliau sekarang ini. Isu-isu yang berkaitan dengan salahguna kuasa di Kementerian Pertanian menjadi sebutan orang ramai dimana-mana, bukan sahaja di Selangor malahan di seluruh negara.

Mohamad Zain Mohamad, orang Melaka dan beliau merupakan calon MB yang akan ‘jatuh sebelum berlepas’ jika beliau dinamakan sebagai MB untuk menyaing Khalid Ibrahim. Untuk menamakan Mohd Zain merupakan tindakan yang akan membuatkan rakyat Selangor tertawa dan memudahkan rakyat untuk mengekalkan Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor tanpa berfikir lagi setidak-tidaknya sepenggal lagi.

Selain dari nama-nama tadi siapa yang bakal di berikan tanggungjawab yang teramat besar untuk menyaingi Khalid Ibrahim atau sesiapa yang menggantikan beliau (Khalid) jika Pakatan Rakyat berjaya mengambilalih Putrajaya selepas pilihanraya nanti. UMNO ketandusan kepimpinan dimana-mana. Bagi UMNO, parti menghadapi masalah untuk meletak dan menamakan calon MB nya. Keadaan rumit ini bukan sahaja dialami oleh Selangor malahan ia juga di alami di Negeri Sembilan, Perak dan Kedah. UMNO tidak mempunyai pimpinan untuk menjadi peneraju dalam kerajaan di negeri-negeri tersebut.

Oleh itu cadangan yang dikemukakan oleh MUBARAK itu ada sedikit kebenarannya. Tetapi jika dinamakan calon itu lebih awal pun ia tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah kerana UMNO sudah kepupusan kepimpinan yang mampu mendapatkan penghormatan rakyat kerana pimpinan UMNO sejak 3 dekad yang lalu tidak pernah memberikan tumpuan untuk membina barisan kepimpinan yang bakal mewarisi kepimpinan yang sudah tidak lagi di terima rakyat keseluruhannya.

Bagi saya dan ramai yang lain Selangor akan tetap berada ditangan Pakatan Rakyat malahan beberapa negeri lain juga bakal dipimpin oleh Pakatan selepas pilihanraya nanti.

UMNO sudah terlalu lewat untuk memperbetulkan keadaan dan jika ada pun cara lain, caranya ialah untuk kesemua pimpinan UMNO diperingkat tertinggi berhenti dan digantikan dengan seorang yang lain yang tidak pernah terlibat dengan apa yang berlaku di dalam parti itu. DAN jika ia hendak dilakukan ia terpaksa dilakukan dalam tempoh sebulan ini.

Jika tidak dilakukan keputusan pilihanraya adalah ‘predictable’….UMNO akan kecundang….. Seperti yang saya nyatakan dalam tajuk posting saya semalam, ciri-ciri sebagai pembangkang itu sudah mula terbina di dalam BN. Maka lebih elok dilangsungkan sahaja ciri-ciri itu dan jadilah pembangkang yang baik selepas ini.

Selama ini pun UMNO menuduh PAS dan DAP serta PKR itu sebagai pembangkang yang tidak baik, maka elok BN dan UMNO mengambilalih tugas sebagai pembangkang kali ini dan berikan tugas untuk menjadi kerajaan kepada Pakatan Rakyat.

Sememangnya keadaan begitu. Pakatan Rakyat layaknya menjadi kerajaan dan BN pula layaknya menjadi pembangkang yang baik pula. Kerja bergilir ini adalah amalan yang baik. Apabila kerja dan tugas di gilirkan maka akhirnya kita akan dapat mempastikan yang mana satu yang lebih baik diantara dua atau lebih pihak yang ditugaskan menjaga kepentingan rakyat dan negara.

27 January 2013

Ciri-ciri sebagai pembangkang sudah terbentuk dalam UMNO

Strategi terakhir UMNO dan BN untuk memenangi pilihanraya kali ini ialah dengan memisahkan PAS dengan DAP dan telah saya sebut dalam posting saya yang lepas. BN menggunakan isu agama, siapa yang mengudakan dan dikudakan di antara PAS dengan DAP dan juga isu kononnya kaum Cina akan menguasai kerajaan jika PAS dan DAP mendapat mandat bersama Parti Keadilan Rakyat dalam pilihanraya yang akan datang.

Tetapi cara ini tidak berkesan lagi kerana kali ini. Buat pertama kalinya hampir keseluruhan rakyat bercakap dan mentelaah tentang politik. Rakyat tahu yang tuduhan orang Cina dan DAP akan menguasai politik dan kerajaan itu ialah untuk menakutkan orang Melayu untuk bersama DAP dalam memperjuangkan kerajaan yang bersih dan matlamat PAS yang mahukan sebuah kerajaan yang mampu untuk mengaddinkan Islam dalam erti kata yang sebenarnya.

Matlamat BN untuk memecahkan DAP dangan PAS itu adalah satu tektik yang berkesan dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu tetapi isu itu tidak lagi diterima oleh rakyat sekarang kini. PAS pula telah membuktikan bahawa parti itu mampu untuk menjadi pilihan yang menggantikan UMNO sebagai parti Islam yang dikuasai oleh orang Melayu.

DAP pula merupakan parti yang diminati oleh orang Cina dan  kaum-kaum lain kerana sifatnya sebagai parti berbilang kaum dan bangsa. Lagi pun jika DAP memenangi semua kerusi pun ia tidak akan mampu untuk membentuk kerajaan sendirian seperti yang dimomokkan oleh BN dalam siri kempennya keseluruh negara. DAP tetap mengakui bahawa orang Melayu merupakan kaum yang terbesar dan perlu mendapatkan sokongan kaum Melayu untuk menjadi parti yang berkesan di dalam kerajaan setelah Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya nanti.

Itulah sebabnya urusan untuk mendapatkan pembaharuan politik hanya boleh dilakukan oleh kedua parti ini dengan sokongan Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat ini merupakan premis terbaik bagi rakyat bersatu dengan kuat kerana kegagalan UMNO membina budaya hidup bersama dalam sebuah negara yang majmuk seperti negara ini. BN telah gagal kerana sifat parti-parti di dalamnya yang merupakan parti-parti yang berdasarkan kepada keahlian mereka mengikut kaum dan bangsa.

Masa berubah dan pemikiran rakyat turut berubah mengikut masa dan zamannya. Pemikiran yang betul tidak datang dengan cepat tetapi apa yang berlaku dalam BN hari ini membuatkan rakyat berfikir dan melakukan tehakik yang jelas diantara rakyat untuk memberikan persepsi buruk yang sedang di alami oleh BN sekarang ini. BN sebenarnya bermusuhan dengan rakyat yang berfikir. BN lebih suka kepada rakyat yang tumpul pemikiran mereka kerana ketumpulan pemikiran itu memudahkan UMNO untuk mengelirukan pemikiran rakyat dan itulah sebenarnya cara BN selamat selama ini.

Dalam usaha lain, BN khususnya Perdana Menteri berkata yang BN akan memperbetulkan apa yang telah salah dilakukan oleh BN serta semua kelemahan BN semasa mentadbir negara kita. Tetapi mereka lupa yang BN telah diberikan mandat itu setiap pilihanraya sebalum ini. Kenapa tidak juga berlaku apa yang mereka janjikan sekarang ini. Sedar kah atau tidak janji BN sekarang ini merupakan janji-janji yang telah di buat sejak puluhan tahun dahulu. Jika selama ini BN tidak berjaya melakukannya malahan menjadi penyebab pula kepada masalah yang kita hadapi hari ini, apa yang boleh meyakinkan kita yang BN tidak akan gagal seperti dahulu lagi?

Sesungguhnya UMNO dan pimpinannya tidak akan dapat lagi menghilangkan persepsi rasuah sebagai isu yang terbesar dalam pilihanraya kali ini. Isu ini sememangnya isu dan stigma yang melekat kuat terhadap UMNO dan rasuah itu merupakan isu sinonim dengan UMNO. Rakyat tahu rasuah itu adalah faktor terbesar yang menyebabkan rakyat terutamanya yang masih berada diatas pagar dalam pilihanraya kali ini.

Itulah sebabnya segala usaha BN untuk mendapatkan dukungan rakyat itu sentiasa gagal. Selagi persepsi rakyat yang UMNO itu rasuah tidak dapat di buang dari pemikiran rakyat kegagalan itu tetap berterusan sehingga BN benar-benar berada dipetak pembangkang di dalam dewan-dewan legislatif persekutuan dan negeri-negeri dalam persekutuan ini.

Pendeknya UMNO dan BN perlu menerima hakikat yang setiap parti politik dalam sebuah demokrasi itu tetap akan melalui proses turun naik itu. Bagi BN, ia telah mendapat mandat yang berterusan sejak merdeka dan kali ini ia tetap akan melalui proses yang biasa dalam sesuatu demokrasi itu, iaitu giliran untuk menjadi pembangkang pula.

Lagi pun sikap dan sifat UMNO akhir-akhir ini sudah menunjukkan ‘attribute’ sebagai parti pembangkang dengan jelas. Oleh kerana sudah terbentuk ‘attribute’ sebagai pembangkang maka tidaklah susah lagi UMNO untuk menjadi pembangkang yang diharapkan sebagai pembangkang yang baik selepas pilihanraya nanti.

UMNO akan lebih baik sebagai pembangkang kerana parti itu akan membentuk pemimpin yang berfikir setelah menjadi pembangkang. Selama ini pimpinan parti itu melakukan kerja tanpa berfikir dan hanya bertindak mengikut nafsu dan kemahuan individu pemimpin mereka sahaja, bukannya mengikut kemahuan rakyat yang ramai.

26 January 2013

Pembunuhan, penculikan dan rompakan di mana-mana. Benarkah negara kita selamat?

Setidak-tidaknya dua kes yang amat menyedihkan berlaku di negara ini yang melibatkan kematian. Kes yang pertama ialah kes kematian William Yau seorang kanak-kanak yang berumur enam tahun yang dilarikan oleh orang yang tidak dikenali di Putra Heights minggu lepas. Mayatnya dijumpai di Pelabuhan Kelang dan dikenal pasti oleh ibunya sendiri Goh Ying Ying semalam sebagai anaknya yang telah hilang diculik sejak seminggu yang lalu.

Kes yang kedua ialah kematian C Sugumar yang dikatakan dipukul oleh beberapa orang anggota Polis semasa C Sugumar  tangannya masih digari. Yang lebih menyedihkan ialah C Sugumar telah ditaburkan dengan serbok kunyit di muka yang ini menyebabkan C Sugumar menghadapi masalah jantung dan akhirnya meninggal dunia. Kejadian ini berlaku di Serdang dan dengan kejadian ini ramai yang bertanya samada negara kita ini benar-benar sebuah negara yang aman dan damai.

Setiap hari ada sahaja berita manusia dibunuh dan mayatnya dijumpai merata-rata samada di dalam semak atau di dalam longkang serta di kebun-kebun kelapa sawit dan dimana-mana. Bangkai kucing pun susah untuk ditemui tetapi mayat manusia bergelimpangan di mana-mana seolah manusia ini lebih rendah dari haiwan seperti kucing dan anjing. Jumlah kematian manusia dibunuh dalam tempoh dua tiga tahun ini sahaja mungkin melebihi jumlah kematian di dalam peperangan Iran Iraq dahulu walaupun peperangan itu melibatkan penggunaan senjata berat dan berbagai-bagai alat peperangan yang canggih-canggih. .

Saya berserta dengan semua pihak yang lain meminta kerajaan menubuhkan IPCMC untuk melakukan penyiasatan terhadap perlakuan anggota-anggota Polis yang terlibat dalam kes C Sugumar ini kerana jika Polis menjadi penyebab kepada jenayah yang berlaku kita tidak tahu dimana kah rakyat hendak mendapatkan perlindungan jika mereka berada dalam keadaan bahaya. Kita tidak boleh berdiam diri kerana musibah yang berlaku keatas orang lain itu tidak semestinya tidak akan berlaku kepada diri dan keluarga kita sendiri.

Sesebuah negara hanya boleh dianggap aman damai jika rakyat mudah berjalan dan bergerak tanpa rasa takut dan risau tentang keselamatanm diri kita dan keluarga kita. Hishamuddin Hussein berusaha untuk meningkatkan persepsi keselamatan negara dan persepsi pihak penguatkuasa seperti Polis dan lain-lain tetapi bagaimana persepsi buruk ini dapat diperbaiki jika kematian rakyat berlaku dimana-mana di seluruh negara akibat jenayah yang berlaku dikalangan rakyat itu sendiri.

Kematian ini tidak termasuk kematian yang berlaku dijalanraya akibat kemalangan di lebuhraya dan jalan-jalan persekutuan. Kadar kematian dijalanraya adalah 18 orang sehari dan ini merupakan satu fenomena yang tidak dapat di terima oleh sesiapa yang tinggal dalam sebuah negara dalam mana pimpinannya beriya-iya mengatakan negara kita adalah sebuah negara aman dan selamat didiami.

Kematian dalam peperangan di antara rakyat Iraq dan tentera Amerika pun tidak sampai sepuluh ribu sejak tahun 2003 dahulu. Tetapi kematian di jalanraya kita jauh mengatasi jumlah kematian yang berlaku di dalam peperangan di Iraq itu. Di negara kita ini ada sahaja keluarga yang menghadapi musibah kematian dan kemalangan di kalangan ahli-ahli keluarga mereka.

Kita tidak dapat ‘comprehend’ bagaimana kehidupan kita sentiasa dalam ketakutan dan kebimbangan setiap hari dan waktu? Sampai bila kita hendak merasa takut untuk meminta anak kita pergi ke kedai membeli barang dapur dalam keadaan tertekan dan bimbang tentang keselamatan anak-anak kita itu? Bagaimana kah rasa seorang ibu atau bapa yang menunggu kepulangan anak gadisnya yang balik kerja dan tidak tahu samada anak kita itu akan kembali ke rumah dalam keadaan selamat.

Sampai bila kita sentiasa dalam kekhuatiran samada isteri dan ahli keluarga kita selamat tinggal di rumah semasa kita keluar mencari rezki dan bekerja setiap hari. Ramai yang mengalami tekanan ini. Ramai yang mengalami keadaan gembira bersama anak-anak sebelah pagi itu bertukar menjadi malang selepas petang hari.

Rakyat sentiasa dalam kesusahan kerana takut rumah mereka akan dipecah dan dirompak oleh perompak dan penyamun yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja sekarang ini. Rompakan kolar biru ini kita dengar berlaku di mana-mana di seluruh negara. Itu belum lagi di campurkan dengan kesusahan hati kita kerana rompakan terhadap harta rakyat yang tidak henti-henti dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab terhadap negara dan rakyat yang dipimpin mereka.

Di mana-mana ada rompakan. Di mana mana ada samunan terhadap harta orang lain. Manusia yang berpakaian kemas dengan pejabat besar serta mempunyai pengawal peribadi , pemandu dan berpengaruh dalam masyarakat itu juga terlibat dalam rompakan. Bagi perompak berkolar biru mereka merompak rumah-rumah kediaman dan melakukan ragut tas tangan wanita di pasar raya tetapi penyamun dan perompak kolar putih menyamun secara sistematik terhadap harta rakyat yang berada di dalam tanggungjawab mereka melalui pembahagian kontrak dan sebagainya. Jumlahnya bukan seribu dua, tetapi dalam beratus juta malahan ada yang sampai ketahap billion ringgit.

Pendeknya kita sekarang sedang hidup dalam masyarakat perompak dan penyamun. Mereka yang tidak berwang dan berharta pun dirompak nyawa mereka. Bukan sedikit jumlah mereka yang dibunuh oleh perompak apabila mereka dapati rumah yang mereka pecah dan rompak itu tidak mempunyai apa-apa. Hasilnya mereka membunuh tuan rumah itu kerana kecewa tidak mendapat habuan rompakan itu.

Lain-lain perkataan yang berduit dan berharta mereka dirompak harta mereka tetapi bagi mereka yang tidak mempunyai apa-apa akan dirompak nyawa mereka pula. Keadaan ini sama-samalah kita telah dan hayati setiap waktu agar kita boleh melakukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan yang terlalu buruk ini.

Alangkah enaknya hidup jika kita boleh berada dalam negara-negara yang tidak mempunyai isu keselamatan peribadi ini? Kalau kita berjalan di Switzerland misalnya kita akan lihat tiada polis negara itu berkeliaran di mana-mana. Begitu juga dinegara-negara Timur Tengah dan Asia Barat. Di Dubai misalnya amat susah kita hendak ketemu dengan polis di tepi jalan dan di pusat membeli belah dan pusat peranginan.

Negara-negara yang saya sebutkan itu adalah negara yang selamat untuk kehidupan yang sebenarnya. Tetapi kalau kita kaji dengan teliti semua jenayah yang berlaku ini bermula dengan jenayah yang dilakukan oleh kepimpinan negara. Jika negara kita dipimpin oleh mereka yang rasuah dan menjadikan merompak dan menyamun itu sebagai budaya, ia akan menjadi cara hidup rakyat biasa di bawah ini.

Itulah sebabnya rakyat sekarang memilih untuk menyebelahi sesiapa yang mempunyai usaha untuk melaksanakan cara hidup yang sederhana dan di harap Pakatan Rakyat dapat melakukannya tidak lama lagi.

Kepada pimpinan Pakatan Rakyat hanya kita perlukan mereka untuk mengelak dari menyamun dan merompak seperti yang dilakukan oleh pimpinan sesat yang sedang berkuasa pada hari ini. Jadilah pemimpin yang sebenarnya dan jangan sekali menjadi seperti yang dilakukan oleh mereka yang berkuasa sekarang ini.

Tunjukkanlah perbezaan selepas pilihanraya nanti. Semoga dengan kepimpinan yang bersih akan seterusnya membersihkan budaya kehidupan rakyat biasa di negara ini.

25 January 2013

Isu ganas Perkasa membunuh harapan BN

Saya mempunyai pendapat yang akhirnya Dr Mahathir dan Perkasa lah menjadi penyebab lunturnya sokongan rakyat terhadap BN khususnya UMNO. Saya ingin mengambil kesempatan untuk menjawab persoalan yang dikemukakan kepada saya kenapa saya tidak pernah memberikan komen terhadap Perkasa sedangkan Perkasa itu bukannya NGO yang sejati tetapi ia merupakan cabang UMNO pada hakikatnya. Ia sesungguhnya badan politik yang aktif.

Sekarang ini ternyata yang Perkasa itu sedang memainkan isu keagamaan pula dengan seruan untuk membakar kitab Bible yang berbahasa Melayu yang menggunakan nama Allah. Perkasa membuat tuduhan yang pihak kristian telah mengedarkan kitab bible kepada murid-murid sekolah dan ini merupakan tuduhan yang bersifat jauh dari kebenarannya. Tetapi permainan politik pertubuhan itu menyebabkan Perkasa telah begitu di benci oleh orang ramai dan ia sekali gus meruntuhkan saki-baki kuasa dan sokongan rakyat terhadap UMNO itu.

Penaung Perkasa, Dr Mahathir juga akhir-akhir ini tidak lagi bersifat sebagai seorang negarawan dan masih bermain api dalam politik negara. Tindakan beliau memalitkan nama baik Tunku Abdul Rahman yang sudah lama meninggalkan kita merupakan satu tindakan Mahathir yang agak keterlaluan dan tidak dapat di terima oleh rakyat yang berterima kasih diatas pengorbanan beliau menyudahkan usaha tuntutan kemerdekaan negara kita dahulu.

Mahathir telah menyamakan beliau seperti Tunku yang juga telah memberikan kerakyatan kepada sejuta orang bukan Melayu semasa mencapai kemerdekaan dahulu. Tidak payah diulangi isu ini kerana saya telah menulis tentangnya dalam posting saya yang lalu. Hanya kalau saya hendak sebut hanyalah perbezaan diantara Mahathir dan Tunku itu ibarat langit dengan bumi jauhnya.

Tunku semasa akhir hayatnya telah terbukti tidak mengambil kesempatan terhadap kekayaan negara dan beliau tidak meninggalkan apa-apa. Begitu jugalah ahli-ahli keluarga beliau yang tidak mempunyai harta bergunung-gunung tingginya. Sebaliknya Mahathir telah menggunakan kuasa dan pengaruh membina ‘empire’ perniagaan anak-anak beliau dan mengambil kesempatan dengan tiada batasnya terhadap peluang perniagaan.

Sebagai seorang yang hidup dalam keluarga istana dan keluarga 'aristocrat' Tunku merupakan seorang yang paling ‘magnanimous’ dan tidak mengambil kesempatan diatas kuasa yang ada ditangan beliau selama 15 tahun beiau menerajui kepimpinan negara. Saya selalu menyebut perbezaan diantara dua manusia itu adalah dari cara seseorang itu dibesar dan dididik oleh keluarga masing-masing. Orang tua-tua dahulu selalu mengingatkan kita untuk memilih latar belakang keluarga dan darah yang mengalir di dalam naluri orang pilihan kita itu.

Walaupun UMNO telah berusaha untuk mengembalikan sokongan ramai terhadapnya tetapi sikap ‘panjang muncung’ Dr Mahathir dan Presiden Perkasa itu sendiri telah menjatuhkan imej UMNO dan BN dengan begitu teruk sekali. Akhirnya Perkasa telah menjadi penyebab UMNO sehari dua ini begitu buruk persepsi rakyat terhadapnya. Kata-kata Dr Mahathir menambahkan lagi kesakitan yang dihadapi oleh UMNO yang sedang terkial-kial untuk mendapatkan sokongan rakyat sekarang ini.

Sepatutnya UMNO menganggap Dr Mahathir ini sebagai garam sahaja. Garam ini penting, tetapi tidak boleh digunakan dengan banyak. Jika dibubuh garam terlalu banyak ia akan merosakan masakan kita. Garam ini hanya perlu di gunakan setakat secukup rasa sahaja tidak boleh banyak-banyak. Tetapi Dr Mahathir bercakap terlalu banyak sehinggakan segala usaha yang di buat oleh UMNO untuk memulihkan imejnya telah jatuh dengan teruknya di mata rakyat.

Tetapi apakan daya. UMNO tidak boleh menguasai Dr Mahathir kerana Dr Mahathir yang sedang berusaha untuk menguasai UMNO. Dr Mahathir tidak akan sihat tubuhnya kalau tidak bercakap. Semua kata-katanya menyebabkan UMNO jatuh kredibilitinya dan membawa musibah kepada parti yang telah uzur itu.

Sesungguhnya sifat celupar yang berlebihan oleh Dr Mahathir dan Ibrahim ini memberikan faedah yang besar kepada Pakatan Rakyat. Dalam keadaan pilihanraya sudah begitu hampir ia terlalu suntuk untuk BN memperbetulkan segala kesalahan Dr Mahathir dan Ibrahim Ali terhadap UMNO.

Masalah yang ditimbulkan oleh Perkasa dan kata-kata Mahathir akhir-akhir ini mendapat tentangan dari komponen Barisan Nasional sendiri. MIC begitu lantang membidas Ibrahim Ali dan Dr Mahathir.

Pemuda MIC telah mendesak agar Ibrahim Ali di tahan untuk dibicarakan diatas berbagai-bagai isu yang merbahayakan keselamatan negara yang disebabkan oleh Ibrahim Ali. Gerakkan dan berbagai-bagai lagi pertubuhan NGO yang mengeluarkan kenyataan meminta tindakan undang-undang terhadap Presiden Perkasa ini.

Hakikatnya BN akan diselubungi oleh masalah dalamannya sendiri serta masalah-masalah yang di timbulkan oleh pertubuhan-pertubuhan dan individu-individu yang berpihak kepada BN itu sendiri. Selama ini BN telah memasang terlalu banyak jerat untuk memerangkap Pakatan Rakyat tetapi oleh kerana terlalu banyak jerat-jerat itu dipasang maka mereka (BN) terjerumus ke dalam jerat-jerat itu sendiri.

Pendeknya apa yang parti-parti dalam Pakatan Rakyat perlu lakukan hanyalah membuat persediaan rapi bagaimana hendak mentadbir negara dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh UMNO dan BN sekian lama itu. Berikanlah persekitaran politik yang baik dan nyaman untuk rakyat yang sudah terlalu lama menghadapi kecelaruan yang dilakukan oleh BN selama ini.

Pakatan rakyat khususnya kepada kepimpinan tertingginya mesti sedar yang BN sedang melakukan apa sahaja untuk memecahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya di antara PAS dan DAP.

Bagi BN apabila pecah sahaja perhubungan di antara PAS dan DAP maka BN akan mendapat kemenangan walaupun kemenangan yang tipis. Jagalah perhubungan di antara PAS dan DAP dengan baik kerana perpecahan diantara dua parti ini merupakan resepi yang paling baik untuk BN dalam menghadapi pilihanraya ini.

Jauhi diri dari membuat kenyataan yang mudah di mainkan oleh UMNO terutamanya. Insyaallah UMNO tidak akan berjaya untuk menyempurnakan niat buruknya terhadap Pakatan Rakyat itu dan Pakatan akan menjadi kerajaan buat kali pertamanya dalam sejarah kemerdekaan negara kita.

24 January 2013

Jangan disamakan TUNKU dengan Mahathir



Saya cuba untuk mengelak hendak menulis dan memberi komen tentang isu Dr Mahathir memalitkan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan isu pemberian kerakyatan kepada bangsa Cina seramai sejuta orang semasa dalam mengusahakan kemerdekaan negara dahulu. Saya gagal untuk mengelak dari membuat komen dalam isu yang disebut oleh Dr Mahathir terhadap beliau dan saya terus menulisnya mengikut pengamatan saya terhadap isu yang disebut oleh Dr Mahathir ini.

Tunku telah lama meninggalkan kita dengan nama yang baik sebagai Bapa Kemerdekaan Negara Malaysia ini. Setelah mengaku bertangungjawab terhadap pemberian kerakyatan kepada pendatang asing Filipina dan lain-lain di Sabah Dr Mahathir cuba untuk membawa Tunku nampak sama bersalah dengan beliau dan ini merupakan satu penganiayaan moral yang paling buruk dilakukan terhadap Bapa Kemerdekaan yang bertanggungjawab menyempurnakan pencapaian kemerdekaan kita dahulu.

Rakyat tahu pemberian kerakyatan kapada kaum Cina dan India adalah merupakan pra-syarat untuk mendapatkan kemerdekaan itu dan dirundingkan secara terbuka.. Mereka yang diberikan kerakyatan itu termasuklah dari India samada India yang beragama Hindu mau pun yang beragama Islam. Suruhanjaya apa yang Mahathir cadangkan dalam isu pemberian kerakyatan semasa Tunku dahulu. Ia di buat secara terbuka dengan persetujuan semua pihak, bukannya dilakukan di dalam gelap seperti kerja mencuri seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir.

Ada di antara keturunan mereka telah mendapat kerakyatan itu telah menempa kejayaan seperti menjadi pemimpin besar negara ini. Tidak payah kita mengulangi kenapa Tunku dan pimpinan semasa itu memberikan kerakyatan kerana ia dibaca oleh murid-murid sekolah menengah dan di universiti di seluruh dunia. Ia dilakukan untuk membina negara dan menolak kerajaan penjajah di bumi kita.

Mahathir membabitkan Tunku untuk menemani beliau sebagai seorang yang menjenayahi negara. Mahathir melakukannya kerana kepentingan politik beliau dan parti beliau dan ini merupakan satu pembelotan terhadap negara merdeka kita. Sesiapa yang menjenayahi negaranya adalah pembelot dan rakyat wajar menhukumnya. Saya pernah memberikan label terhadap Mahathir sebagai seorang yang mempunyai ‘migrant mentality’ beberapa ketika dahulu dalam blog ini dan beliau sendiri membuktikan tuduhan saya itu benar.

Mahathir tidak habis-habis dendamnya terhadap Tunku tetapi bagi sesiapa yang benar-benar bersikap sayang kepada negara akan tahu yang Tunku merupakan manusia yang tidak dapat dicari ganti dengan mudah bersabit dengan sikap pengorbanan terhadap negara ini. Mahathir cuba untuk menjatuhkan imej Tunku semasa beliau sudah tiada dan tidak dapat mempertahankan diri dengan tuduhan jahat Mahathir itu.

Tunku adalah seorang pemimpin yang disayangi oleh rakyat semua kaum dan beliau merupakan pemimpin yang mempunyai ‘magnanimity’ yang amat tinggi dan tiada siapa yang mampu menandingi beliau jika dipandang dari susut kemanusiaannya. Mahathir tidak boleh menyamakan dirinya dengan Tunku kerana menyamakan dirinya dengan Tunku serupalah menyamakan buah epal dengan buah bacang. Itu sahaja.

Kenyataan Mahathir ini amat melukakan hati banyak rakyat terutamanya kepada rakyat yang berhati dan berjiwa bersih dan ia meliputi semua kaum. Tidak siapa yang menyangka Mahathir akan sampai ke tahap ini memainkan politik beliau, kerana hendak menutup kelemahan serta jenayah moral beliau sendiri.

Siapa pun boleh mempertahankan Dr Mahathir ini tetapi hakikatnya beliau telah membuka segala kelemahan beliau untuk ditontoni oleh semua orang. Rakyat sekarang boleh membuat pandangan yang ‘conclusive’ terhadap bekas Perdana Menteri ini dan kita tahu rakyat sekarang memandang beliau sebagai seorang pemimpin yang tidak mempunyai pemikiran dan keterampilan sebagai seorang negarawan..

Dr Mahathir gagal segagal-gagalnya untuk duduk dan berdiri sebagai seorang negarawan dan beliau tidak akan mencapai taraf itu buat selama-lamanya. “Mahathir is a disgusting leader,” kata saorang rakan yang bercakap dengan saya tentang isu ini.

Tunku, marilah kita panjatkan doa kepada Allah swt agar roh beliau dibariskan bersama roh-roh orang yang beriman dan syuhada….Al-Fatihah

23 January 2013

Usaha mengenepikan Najib dari kepimpinan UMNO macam 'real' nampaknya

Terperanjat juga saya mendengar ‘rumors’ yang berkisar hebat dikalangan UMNO yang Najib sudah sampai masa untuk di ketepikan untuk menyelamatkan UMNO dari di humbankan oleh rakyat dalam pilihanraya ini. Malahan isu ini telah pun ditulis oleh beberapa pihak dalam 'cyber space' yang usaha untuk memaksa Najib meninggalkan jawatan atau membuangnya mengikut saluran parti sedang berjalan rancak.

Ada penafian di buat di kalangan UMNO tetapi penafian di kalangan UMNO itu selalunya adalah cara untuk mengiyakan apa yang di khabarkan itu adalah perkara benar. Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim menafikan ada pertelingkahan di antara mereka dahulu, tetapi akhirnya terjawab yang berita yang dikatakan sebagai khabar angin itu adalah perkara yang benar, malahan lebih benar dari apa yang di beritakan itu. Sekarang kedua-duanya telah berputus arang dan tidak boleh memandang di antara satu dengan lain.

Saya sendiri acapkali berkata yang musuh Najib yang sebenarnya bukannya parti pembangkang tetapi musuh beliau sebenarnya adalah dari kalangan UMNO sendiri. UMNO tidak terbuka dan apa yang berlaku pun selalunya akan terjadi di dalam gelap buat seketika. Berlainan dari parti-parti dalam Pakatan. Mereka (parti-parti Pakatan) terbuka dan menunjukkan perbezaan mereka secara terbuka dan ini merupakan satu perkara yang sihat.

Ada yang tidak sama pendirian tentang isu dalam Pakatan, tetapi perbezaan itulah yang membuatkan mereka berusaha untuk bermuafakat dan ini tidak dapat dilakukan oleh BN. Masakan ada permuafakatan jika tidak ada perbezaannya? Sebaliknya kebaikan ini diambil sebagai perpecahan oleh BN dan media massa memainkan isu ini sebesar yang mungkin bagi memecahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Perbezaan yang sedikit di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat itulah yang menyebabkan mereka bersatu dan mereka mempunyai hubungan ‘inter-party’ yang baik dan bersama-sama menjaganya. Di sebaliknya kita melihat hubungan ‘inter-party’ dalam BN itu lebih baik dan mereka tidak menampakkan perbezaan mereka dalam semua isu yang berbangkit di kalangan mereka.

Tetapi yang paling merbahaya di dalam BN khususnya UMNO, ‘politicking’ secara senyap-senyap di antara mereka dalam parti pemerintah itu. Permainan politik di antara mereka di dalam UMNO itu sudah menjadi budaya yang tidak dapat dihapuskan lagi dan jika ada usaha-usaha dalam UMNO untuk menjatuhkan Najib itu, ia tidaklah menjadi isu yang memeranjatkan. Dalam keadaan sekarang, usaha untuk menjatuhkan Najib dengan menggunakan banyak isu peribadi Najib itu, adalah isu-isu yang ‘expedient’ untuk mereka memaksa Najib keluar dari pimpinan parti dan negara.

Ada di kalangan mereka di dalam UMNO sedang berusaha untuk memujuk seorang bekas Menteri Besar untuk mengeluarkan bukti penglibatan Najib dalam satu skandal di sebuah pusat peranginan banyak tahun dahulu. Permainan ini sudah menjadi lumrah dalam UMNO. Itu sebabnya jika pemimpin yang bercita-cita tinggi seperti hendak menjadi pemimpin utama negara penglibatan dengan artis wanita misalnya akan menjadi isu yang paling ‘mangkuih’ bagi musuh-musuh dalaman parti.

Tetapi apa yang tidak di sedari dan di fahami oleh UMNO ialah, mereka ini ditolak secara total oleh sebahagian besar rakyat dan mereka yang melakukan ‘politicking’ dalaman untuk menjatuhkan Najib itu pun tidak kurang masalah peribadi mereka. Pendeknya jika berjaya usaha sebahagian mereka dalam UMNO untuk menjatuhkan Najib, mereka atau individu yang menanti untuk mengambilalih Najib itu pun merupakan seorang yang jauh lebih lemah dari Najib dan Abdullah Badawi dahulu.

Saya selalu berkata yang siapa sahaja di kalangan yang sedang berada di pesada politik dan kerajaan negara sekarang ini datangnya dari acuan yang sama yang terbentuk sejak Dr Mahathir memerintah kita dahulu. Ia meletakkan kita dalam keadaan ‘yang dibuang itu tidak berguna dan yang mengambilalih pun lebih tidak berguna lagi’. Muhyiddin yang dikatakan akan mengambilalih itu pun akan menjadi tidak berguna oleh Dr Mahathir sebaik sahaja beliau (Muhyiddin) mengambilalih Najib nanti dan isu terhadap Muhyiddin juga merupakan isu yang ‘real’ yang hanya akan dikeluarkan setelah beliau menjadi Perdana Menteri nanti (jika dapat).

Jika umur Dr Mahathir masih panjang lagi isu peribadi terhadap Perdana Menteri itu akan hanya berhenti setelah Muhkriz menjadi setidak-tidaknya Timbalan Perdana Menteri. Maksud saya dalam urutan posting ini ialah UMNO ini berkecai kerana permainan Dr Mahathir yang mendapat sokongan dari mereka yang berkepentingan jika Najib jatuh dari pesada kepimpinan.  

UMNO sesungguhnya tiada berkepimpinan lagi…tiada seorang pun di kalangan ahli-ahli Majlis Tertinngi parti dan dalam jemaah Menteri sekarang ini. UMNO telah mencampakkan semua pemimpin yang berkemampuan untuk menjaga keselamatan Dr Mahathir yang tidak mahu sesiapa yang lebih cerah berada di sisi beliau dalam kepimpinan parti dan negara semasa itu. Inilah dia hasilnya yang ahli-ahli UMNO yang menerima warisan Dr Mahathir itu.

Dalam keadaan yang sebegitu teruk pun UMNO masih bercita-cita untuk terus memerintah negara. Sudah 55 tahun berada di pesada kuasa, maka UMNO belajarlah untuk menjadi pembangkang yang baik pula jika masih ada yang baik di dalam UMNO itu.

Cukuplah UMNO berada di tampuk kuasa. Biarlah rakyat mendapatkan ‘ambience’ siasah yang baru dan diharap Pakatan Rakyat akan dapat melakukannya. Rakyat tidak mahu diperkotak-katikkan lagi. Mereka (Rakyat) mahukan keadaan yang baru dan hidup tanpa tertekan dengan tekanan dan desakan UMNO selama ini.

Keadaan negara begitu kritikal dan perubahan sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk melakukannya.

21 January 2013

Lagi sekali Utusan kecundang di Mahkamah

Datuk VT Singham, Hakim Mahkamah Tinggi hari ini memberikan kemenangan kepada saman DS Anwar terhadap Utusan Malaysia dan ini adalah kekalahan yang terbaru terhadap saman-saman yang dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin parti pembangkang. Kes terbaru ini merupakan satu kes yang saya berminat untuk menulisnya sedikit sebanyak walaupun saya bukannya mahir dan faham tentang undang-undang secara mendalam.

Saya juga tidak mahu menyentuh tentang isu yang dihakimkan oleh Mahkamah itu kerana semua orang tahu apa kah isu yang berbangkit yang menyebabkan Anwar membawa nya ke Mahkamah untuk diadili. Tentulah jika ia membabitkan Utusan ia tidak lain selain dari tindakan Utusan yang membuat laporan dan tulisan yang tidak benar kerana membantu UMNO yang sedang dalam kegeringan sekarang ini.

Isu yang dibawa ke Mahkamah oleh Anwar ialah isu penulisan Utusan Malaysia yang cuba mengelirukan rakyat untuk mempercayai Anwar adalah pejuang kepada LBGT. Perkara yang dibangkitkan oleh Utusan itu sememangnya di ketahui umum sebagai satu fitnah yang berniat jahat terhadap Ketua Pembangkang itu.

Apa yang menarik bagi saya ialah tentang komen Hakim VT Singham itu semasa pembacaan penghakiman beliau tentang isu Anwar VS Utusan ini. Yang Ariff VT Singham telah berkata semasa memulakan penghakiman beliau, “Judges aren’t party to the state…Judges are beholden to no man…” dan seterusnya beliau memberikan penghakimannya sampai selesai.

Dalam penghakimannya VT Singham telah mengarahkan Utusan untuk membayar kos sebanyak RM45 ribu kepada DS Anwar. Nilai ganti rugi akan ditaksirkan kemudian. Ini merupakan kemenangan moral kepada pejuang-pejuang yang mahukan media massa memainkan serta melaksanakan profesyen mereka secara adil dan saksama serta beretika yang tinggi.

Kata-kata Hakim itu yang saya sebut diatas itulah yang saya hendak saya olah sedikit dalam posting ini. Apa yang dimaksudkan oleh VT Singham ialah Badan Kehakiman perlu bebas untuk keadilan yang sebenarnya. Badan Kehakiman merupakan badan yang sepatutnya bebas dari campur tangan Badan Legislatif mahu pun Badan Eksekutif negara. 
 
Pengasingan kuasa ini sudah lama terkubur. Ia tercemar dan terkubur oleh Dr Mahathir Mohammad semasa beliau mengetuai Badan Eksekutif sehinggakan beliau bertindak ganas terhadap hakim-hakim Mahkamah Agong pada tahun 1988 dahulu.

Mahathir telah meruntuhkan sistem kehakiman kerana kepentingan beliau sendiri dan kata-kata VT Singham yang mengatakan secara terang yang ‘Judges are beholden to no man’ itu merupakan kata-kata yang sangat sedap hati orang seperti saya mendengarnya. Bagi Dr Mahathir tidak ada sistem yang baik kecuali sistem yang boleh diperkudakannya dan mempertahankan kepentingan peribadi beliau semata-mata. “Mahathir cares for no one. He is self serving, and appreciates no one but his own selfish self”. Itulah kata-kata yang selalu saya dengar semasa orang ramai berjuang untuk membetulkan isu kehakiman ini dahulu.

Hakim VT Singham juga mengingatkan suapaya media massa tidak diperguna oleh pihak yang berkepentingan politik dan melaksanakan profesyen mereka secara benar dan jujur dan beretika.

Jika benih ini boleh disuburkan maka Badan Kehakiman akan dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya dan ia akan lebih mudah untuk dicapai selepas perubahan yang bakal berlaku dalam pilihanraya yang akan datang.

20 January 2013

Mendapatkan royalti minyak melalui pilihanraya lagi cepat hasilnya

Siang tadi PM Najib berada di Kota Baru untuk menabur janji lagi. Ada tujuh yang dijanjikan beliau kepada orang Kelantan. Di antaranya ialah membina lebuhraya Kota Baru Ke Kuala Kerai dan membina 3000 unit rumah mampu milik untuk rakyat Kelantan jika BN berjaya merampas negeri itu dari PAS (PR) dalam pilihanraya kali ini. Selain dari itu ialah untuk membekalkan air bersih, membina UiTM dengan kapasiti pelajar seramai 5000 dan memperbaiki keadaan sistem pengangkutan awam dan berbagai-bagai lagi janji yang telah kita dengar setiap kali pilihanraya tiba.

Janji yang paling seronok kita mendengarnya ialah masalah royalti minyak dan Najib telah berjanji penubuhan jawatankuasa tentang isu ini. Isu tuntutan royalti minyak sememangnya menjadi isu yang terhangat kerana kegagalan serta keengganan Petronas membayar royalti minyak seperti yang termaktub dalam perjanjian pada bulan Mei 1975 yang lalu. Berbillion ringgit wang royalti yang sepatutnya di terima oleh rakyat Kelantan melalui kerajaan pilihan mereka masih belum di bayar dan wang royalti ini di jadikan sebagai alat menekan rakyat Kelantan untuk memilih BN dalam pilihanraya ini.

Bagi saya rakyat Kelantan mesti jangan percaya dengan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan itu kerana ia belum boleh memastikan rakyat Kelantan akan berjaya mendapatkannya dan ia akan memakan masa yang lama untuk mengetahui kejayaannya. Jawatankuasa itu mungkin untuk menarik perhatian rakyat Kelantan untuk menyokong BN dan juga menggunakan jawatankuasa itu untuk tidak membayarnya setelah mereka (BN) mendapat kuasa nanti.

Rakyat Kelantan ada jalan untuk mendapatkan wang royalti itu dengan mudah dan lebih pasti. Jalannya ialah untuk memperkuatkan usaha menaikkan Pakatan Rakyat dan mempastikan Pakatan Rakyat dapat menguasai Putrajaya. Jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya untuk mendapatkan wang royalti itu akan bertambah mudah dengan melaksanakan perjanjian tahun 1975 itu dengan serta merta dan tidak payah bermula dengan perbincangan awal seolah-olah rakyat Kelantan belum pernah membuat perjanjian dengan Petronas.

Rakyat Kelantan wajar bersama-sama dengan rakyat di negeri-negeri lain untuk memenangi pilihanraya ini kerana kejayaan untuk mendapatkan kuasa itu sudah terlalu hampir jika di izinkan Tuhan. Tidak payah membuang masa untuk bermesyuarat bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan wang royalti itu yang belum pun tentu berjaya di perolehi melalui jawatankuasa itu.

Rakyat Kelantan perlu mendapatkannya secepat mungkin melalui kuasa yang di perolehi dalam pilihanraya nanti. Kalau sudah ada jalan yang singkat, kenapa perlu kita melalui jalan yang berliku-liku. Lagi pun sememangnya rakyat Kelantan sudah pun selesai menanda tangani perjanjian tiga puluh lapan tahun yang lalu dengan Petronas.

Setelah mendapat kuasa nanti laksanakan sahaja perjanjian itu. Habis cerita. Bagi mendapatkan jalan mudah dan pendek ialah dengan mengenepikan BN dalam pilihanraya nanti, kerana BN lah yang menjadi penghalang kepada wang royalti itu untuk di bayar kepada rakyat dan kerajaan negeri Kelantan.

Masanya hanya tinggal kurang dari tiga bulan sahaja lagi. Tidak perlu menunggu jawatankuasa yang di bentuk oleh Putrajaya itu untuk memutuskannya.Melalui usaha jawatankuasa tuntutan royalti itu lambat hasilnya.Jika kita dapatkan melalui pilihanraya ia akan memakan masa hanya lebih kurang tiga atau empat bulan sahaja lagi.

Tetapi saya seperti menyuluh di tempat yang terang. Rakyat Kelantan lebih faham dari saya.

Menggantung khidmat pakar ekonomi Bank Islam tindakan memalukan

Penggantungan perkhidmatan Ketua Ekonomi Bank Islam, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, minggu lepas kerana memberikan pandangan peribadi secara ‘professional’ berhubung dengan pilihanraya ke13 adalah satu isu panas. Isu ini menjadi sebutan dan perbincangan di kalangan para professional dan rakyat kelas menengah dan ia dibincang di mana-mana.

Penggantungan perkhidmatan beliau itu merupakan satu tragedi dan ia tidak di sangka-sangka boleh berlaku di dalam sebuah negara demokrasi. Saya tidak terfikir perkara seperti ini boleh dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab dan sikap ini harus di perangi habis-habisan untuk mengelak ia berlaku dan berulang lagi.  Saya pernah berkata di dalam UMNO bercakap benar adalah ditegah dan memberikan pandangan yang tidak disukai oleh yang berkuasa adalah jenayah.

Pandangan Azrul merupakan pandangan dari sudut ‘professional’ dan tidak kena mengena dengan kecenderungan politik beliau. Beliau bercakap dalam satu majlis forum di Singapura sebagai pandangan seorang professional kerana keputusan pilihanraya sememangnya mempunyai ‘consequence’ besar terhadap ekonomi negara. Pandangan beliau yang berkemungkinan keputusan pilihanraya ada tiga: 1) kemenangan Pakatan Rakyat dengan kemenangan tipis 2) kemenangan BN dengan tipis dan 3) kemenangan besar Pakatan Rakyat.

Mengikut analisa beliau (Azrul) secara professional, beliau mengandaikan yang BN hanya akan memenangi di antara 97 sehingga 107 kerusi dalam pilihanraya nanti dan ia tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan. Keadaan ini mengikut Azrul tidak akan menjadikan kerajaan PR menjadi satu kerajaan yang kuat kerana memenangi pilihanraya dengan majoriti yang kecil.

Pandangan Azrul itu merupakan pandangan banyak pihak dan Azrul juga mengakui yang kemungkinan BN memenangi pilihanraya dengan majoriti kecil juga merupakan satu kemungkinan juga. Persoalannya sekarang di mana letaknya kesalahan Azrul di sini? Sebagai seorang yang percaya kepada analisa beliau, Azrul berhak untuk menyuarakannya secara professional kerana keputusan pilihanraya mempunyai impak yang besar terhadap ekonomi negara. Sebagai seorang yang berfikir secara professional kenyataan Azrul itu tidak patut di terima sebagai satu kenyataan politik.

Pengampu kepada pihak berkuasa sememangnya akan mengambil kenyataan Azrul dari sudut politik tetapi itu merupakan budaya yang terbentuk dalam negara ini sekian lama. Kita mesti belajar untuk mendengar perkara yang tidak sedap di dengar jika ia nyatakan secara professional. Apa yang berlaku sekarang ialah pertembungan di antara pihak yang bercakap dan berpolitik dengan pihak yang bercakap secara jujur dan terbuka.

Tuduhan setengah pihak yang Azrul adalah seorang ahli PKR itu tidak relevan di sebut dalam isu ini. Jika pun beliau seorang ahli kepada mana-mana parti, beliau berhak bercakap dari sudut profession beliau dan tidak ada siapa pun yang patut merasa takut dan gentar terhadap kenyataan yang di sebut secara professional itu.

Jika kenyataan Azrul itu bersalahan dengan undang-undang, tidak ada siapa boleh memprotes terhadap penggantungan beliau itu. Tetapi tidak ada apa-apa unsur kesalahan undang-undang dan etika yang membolehkan beliau digantung. Kita elok bertanya kepada pihak yang menggantung ahli ekonomi ini, apa sebenarnya yang perlu Azrul sebut dalam forum itu?  Kewajipan kita ialah untuk bercakap perkara yang kita yakini benar bukannya bercakap apa yang hendak di dengar oleh setengah pihak yang lain. Kenapa Azrul perlu membohongi perasaan dan analisa beliau sendiri?

Kenyataan Azrul yang beliau akan terus mempertahankan kenyataan dan hasil analisa beliau itu patut dipuji kerana jika analisa beliau itu menunjukkan yang Pakatan Rakyat akan menang, takkan lah Azrul terpaksa bercakap dengan membohongi keputusan analisa beliau sendiri. Adalah bodoh bagi Azrul untuk membohongi perasaan dan hasil analisa beliau sendiri. Beliau bukannya bercakap sebagai aktivis UMNO seperti setengah pihak yang sedang mengambil kesempatan untuk mengampu dan membodek pihak yang sedang berkuasa sekarang ini.

Azrul juga seorang rakyat sebuah negara demokrasi. Mengambil tindakan terhadap beliau kerana menzahirkan pandangan beliau yang tidak menyedapkan hati pihak UMNO itu merupakan satu insiden yang sangat menyedihkan. Sesiapa yang bertanggungjawab melakukannya mempunyai peribadi yang terlalu rendah nilai keperibadiannya dan ia melambangkan sikap pihak yang ‘desperate’. Sikap orang yang bertanggungjawab melakukan tindakan itu juga membayangkan betapa rendahnya budaya yang di bentuk oleh UMNO selama ini.

Itulah sebabnya memerangi budaya gila ini perlu dilakukan segera dan masa akan sampai tidak lama lagi.

19 January 2013

Mahathir terpaksa mengaku salah

Semakin hari semakin panas suhu politik di negara yang dikatakan pimpinan utama kita akan menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi. Entah apa kemajuan yang kita akan capai tidak pula kita ketahui. Tetapi apa yang kita lihat, kita semakin hari semakin ke belakang dan tidak maju ke hadapan. Isu bertambah rumit dan besar, dan semua isu ini berkait dengan tingkah laku dan salah gunakuasa oleh pucuk pimpinan negara dan UMNO.

Deepak pula memberikan reaksi marah-marah apabila Najib memperlekehkan tuduhannya (Deepak) terhadap terhadap Perdana Menteri yang ‘controversial’ itu. Deepak berjanji akan mengeluarkan lagi banyak isu yang belum diketahui umum yang  berkaitan dengan Najib suami isteri itu. Walau sebesar mana pun pawang dan dukun digunakan oleh Rosmah, isu terhadap mereka yang tinggal di Sri Perdana itu tetap datang bertalu-talu.

Nampaknya satu demi satu perkara yang disorokkan oleh pucuk pimpinan sejak tiga puluh tahun dahulu mula keluar dan ia memeranjatkan kepada setengah pihak. Tetapi tidak pula memeranjatkan kepada setengah pihak yang telah melihat dengan dekat perubahan nilai dalam UMNO dan kepimpinannya sejak dari masa itu.

Isu yang terakhir ialah berhubung dengan Suruhanjaya Pendatang Asing (RCI) Sabah yang telah di tubuhkan oleh kerajaan. Akhirnya Dr Mahathir mengakui yang beliau lah yang terlibat dan membenarkan pemberian kad pengenalan dan kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah dahulu.

Dalam pada beliau mengakui kerja yang tidak baik itu, Mahathir cuba mencari tempat sandaran untuk meringankan perasaan bersalah beliau dengan membabitkan Tunku Abdul Rahman Putra yang pada kononnya telah memberikan sejuta orang Cina taraf kerakyatan semasa sebelum kita mencapai kemerdekaan dahulu.

Ternyata Mahathir ini semakin hari semakin kusut pemikirannya kerana tidak lagi dapat melihat isu ini dari perspektif yang betul. Sekarang baru kita sedar kenapa beliau (Mahathir) tidak menyokong penubuhan RCI ini kerana beliau merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap isu pendatang asing di Sabah dahulu.

Membabitkan nama Bapa Kemerdekaan negara oleh Dr Mahathir ini amat memalukan bagi kita yang mendengarnya. Jawapan beliau tidak melambangkan yang beliau seorang yang jujur. Memang benar lah pandangan setengah pihak, Mahathir ini tidak boleh berjalan dengan betul diatas jalan yang lurus.

Tunku Abdul Rahman telah memberikan kerakyatan kepada orang Cina dahulu kerana ia merupakan pra-syarat bagi negara mencari jalan untuk pencapaian kemerdekaan. Pemberian kerakyatan itu juga di berikan kepada kaum India yang datang dari India yang bekerja di ladang-ladang getah semasa kita dalam tadbiran penjajahan dahulu.

Bagaimana Dr Mahathir boleh tergamak membabitkan Tunku dalam hal ini dan menyamakan keadaan semasa itu dengan semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Menyamakan beliau dengan Tunku Abdul Rahman serupa lah menyamakan buah epal dengan buah sukun atau buah bacang. Pemberian kerakyatan kepada pendatang semasa itu adalah syarat yang telah di tetapkan oleh British bagi mencapai kemerdekaan untuk negara semasa itu. Setelah semua kaum bersatu maka Tunku dan rombongan untuk mencapai kemerdekaan itu terdiri dari rakyat Malaya yang berbilang kaum itu..

Pemberian kerakyatan itu adalah untuk membina sebuah negara baru yang merdeka. Di sebaliknya Dr Mahathir memberikan kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah itu adalah untuk meruntuhkan negara. Kad pengenalan yang di berikan kepada pendatang asing di Sabah itu ialah untuk memenangkan parti kerajaan yang sudah lemah dan ia meruntuhkan sistem demokrasi negara ini.

Dr Mahathir tidak dapat membezakan diantara belacan dengan cencaluk. Apa pun, kenyataan Dr Mahathir itu membuktikan tuduhan banyak pihak yang Mahathir akan melakukan apa sahaja untuk memenangi pilihanraya semata-mata. Ada di antara mereka yang berpengaruh dalam negara ini memberikan pendapat apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir ini merupakan satu tindakan ‘treason’ yang amat serius. Mereka berpendapat Mahathir perlu di siasat tentang kesetiaannya terhadap negara ini.

Jelas sekarang Mahathir tidak boleh lari dari segala kesalahan beliau terhadap orang Sabah yang asal. Dengan pemberian kad-kad pengenalan kepada rakyat asing semata-mata kerana hendak menjaga kepentingan politik kepartian itu, sememangnya satu tindakan yang ‘treason’ yang sangat besar. Kita berharap RCI yang masih dalam peringkat penyiasatan itu, akan melaksanakan tugas dengan jujur dan baik untuk kepentingan Sabah khususnya dan negara amnya. Kita berharap Suruhanjaya itu akan membuat cadangan tindakan terhadap pelaku kesalahan ini tanpa memilih bulu.

Bagi saya , apa yang saya idamkan bersama dengan ramai yang lain ialah, sebuah negara demokrasi yang benar-benar jujur dan tidak menyelewengkan asas demokrasi itu secara sengaja semata-mata kerana kuasa. Rakyat mengharapkan perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi dan cara untuk membina keyakinan rakyat kita.

Saya berharap Pakatan Rakyat akan mampu melakukan perubahan itu.