Sebagai seorang blogger, tidak
semua blog yang saya baca. Tetapi saya tidak ketinggalan membaca tiga empat
blog setiap posting mereka. Antara blog yang saya mesti baca ialah blog
sahabat kadim saya Sakmongkol AK47 yang kini menjadi calon PR di Raub yang dijangkakan
akan mendapat kemenangan yang selesa di sana.
Satu lagi ialah blog seorang lagi sahabat yang sehayun dan selenggang dengan
saya, Mohamad Sayuti Omar.
Bangun sahaja dari tidur setiap
hari saya akan melayari kedua-dua blog ini. Jika ada masa lain yang terluang
barulah saya hinggap ke blog-blog yang lain. Pagi tadi saya membaca tulisan MSO
yang saya anggap amat menarik, kerana tulisan beliau itu menunjukkan keluhuran
pandangan beliau dan beliau telah memberikan dalil yang sama dengan saya. UMNO
yang tidak mahu menonjolkan pemimpin yang berwibawa sejak dari dulu sehingga
sekarang.
Sayuti telah menyentuh tentang
nasib Khairy Jamaludin yang tidak diberikan penonjolan oleh UMNO sedangkan
beliau adalah Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Saya dan Sayuti ini adalah penyokong
kepada pihak Pakatan Rakyat tetapi kami ini mempunyai pemikiran yang terbuka,
bukan kerana apa, tetapi kita sedang ketandusan kepimpinan dalam negara kita.
Saya sependapat dengan MSO yang
Khairy Jamaluddin, mahu tidak mahu adalah seorang yang mempunyai masa depan
kepimpinan yang cerah. Tetapi oleh kerana beliau berada dalam UMNO maka
kepimpinan yang berkualiti tidak mungkin ditonjolkan kerana budaya UMNO itu
tidak mahu memberikan ruang kepada pemimpin yang baik dalam parti itu.
Di dalam UMNO itu bukan senang
hendak mencari kepimpinan yang baik terutamanya yang muda-muda. Adalah satu
pembohongan jika kita tidak mahu mengakui yang Khairy Jamaluddin itu adalah
seorang yang sangat berpotensi. Dalam pilihanraya kali ini tidak nampak UMNO
memberikan ruang untuk beliau mengemudikan pilihanraya bersama mereka yang lain
di dalam parti itu.
Walau bagaimana pun Khairy tetap
menjadi calon Parlimen Rembau dan saya secara peribadi menganggap yang beliau
akan menang dengan agak selesa kerana calon PKR di Rembau itu walaupun baik
tetapi tidak mempunyai sisik politik yang sebenarnya. Bagi saya secara peribadi,
saya memberikan markah yang tinggi kepada Khairy yang saya pernah bercakap dan
berbincang tentang politik suatu ketika dahulu.
Walaupun saya kadangkala bercanggah
pendapat dengan pemimpin muda ini saya tetap mengakui Khairy adalah pimpinan
anak muda sekarang dan masa depan. Jika beliau memenangi kerusi Rembau itu saya
tidak merasakan apa-apa kerana di dalam UMNO itu ada juga beberapa orang yang
berwibawa dan salah seorangnya tentulah Khairy Jamaluddin.
Walaupun saya mahukan calon-calon
Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya kali ini, jika ada calon-calon BN yang
menang salah seorangnya biarlah Khairy Jamaludin. Kepada penyokong PR mungkin
mereka tidak gemar dengan apa yang saya katakan ini, tetapi, ‘let us come to
term that Khairy is among the very few better leaders in UMNO’.
Tugas kita ialah untuk memilih
mana-mana pemimpin yang baik, tidak kira dari Pakatan ataupun dari BN. Negara sedang dalam ketandusan kepimpinan.
Jangan kita lakukan seperti Dr Mahathir dahulu dalam mana beliau telah mencantas
semua pemimpin berwibawa sehinggakan UMNO sudah ketandusan kepimpinan dan tidak
lagi dihormati rakyat.
Tetapi yang menghairankan semua
kenapa pula Dr Mahathir yang mendapat liputan yang meluas dalam media massa perdana sedangkan
Khairylah yang lebih berdaya untuk membawa anak-anak muda yang ramai-ramai
sedang dalam pencarian ini. Tetapi, apa nak buat UMNO sememangnya begitu.
Dari sudut ini nampak jelas Najib
tidak berapa pandai untuk menilai prestasi di kalangan pimpinan UMNO itu sendiri
kerana beliau sendiri berprestasi yang meragukan.