30 April 2013

Kalau ada calon BN yang menang salah seorangnya biarlah Khairy

Sebagai seorang blogger, tidak semua blog yang saya baca. Tetapi saya tidak ketinggalan membaca tiga empat blog setiap posting mereka. Antara blog yang saya mesti baca ialah blog sahabat kadim saya Sakmongkol AK47 yang kini menjadi calon PR di Raub yang dijangkakan akan mendapat kemenangan yang selesa di sana. Satu lagi ialah blog seorang lagi sahabat yang sehayun dan selenggang dengan saya, Mohamad Sayuti Omar.

Bangun sahaja dari tidur setiap hari saya akan melayari kedua-dua blog ini. Jika ada masa lain yang terluang barulah saya hinggap ke blog-blog yang lain. Pagi tadi saya membaca tulisan MSO yang saya anggap amat menarik, kerana tulisan beliau itu menunjukkan keluhuran pandangan beliau dan beliau telah memberikan dalil yang sama dengan saya. UMNO yang tidak mahu menonjolkan pemimpin yang berwibawa sejak dari dulu sehingga sekarang.

Sayuti telah menyentuh tentang nasib Khairy Jamaludin yang tidak diberikan penonjolan oleh UMNO sedangkan beliau adalah Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Saya dan Sayuti ini adalah penyokong kepada pihak Pakatan Rakyat tetapi kami ini mempunyai pemikiran yang terbuka, bukan kerana apa, tetapi kita sedang ketandusan kepimpinan dalam negara kita.

Saya sependapat dengan MSO yang Khairy Jamaluddin, mahu tidak mahu adalah seorang yang mempunyai masa depan kepimpinan yang cerah. Tetapi oleh kerana beliau berada dalam UMNO maka kepimpinan yang berkualiti tidak mungkin ditonjolkan kerana budaya UMNO itu tidak mahu memberikan ruang kepada pemimpin yang baik dalam parti itu.

Di dalam UMNO itu bukan senang hendak mencari kepimpinan yang baik terutamanya yang muda-muda. Adalah satu pembohongan jika kita tidak mahu mengakui yang Khairy Jamaluddin itu adalah seorang yang sangat berpotensi. Dalam pilihanraya kali ini tidak nampak UMNO memberikan ruang untuk beliau mengemudikan pilihanraya bersama mereka yang lain di dalam parti itu.

Walau bagaimana pun Khairy tetap menjadi calon Parlimen Rembau dan saya secara peribadi menganggap yang beliau akan menang dengan agak selesa kerana calon PKR di Rembau itu walaupun baik tetapi tidak mempunyai sisik politik yang sebenarnya. Bagi saya secara peribadi, saya memberikan markah yang tinggi kepada Khairy yang saya pernah bercakap dan berbincang tentang politik suatu ketika dahulu.

Walaupun saya kadangkala bercanggah pendapat dengan pemimpin muda ini saya tetap mengakui Khairy adalah pimpinan anak muda sekarang dan masa depan. Jika beliau memenangi kerusi Rembau itu saya tidak merasakan apa-apa kerana di dalam UMNO itu ada juga beberapa orang yang berwibawa dan salah seorangnya tentulah Khairy Jamaluddin.

Walaupun saya mahukan calon-calon Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya kali ini, jika ada calon-calon BN yang menang salah seorangnya biarlah Khairy Jamaludin. Kepada penyokong PR mungkin mereka tidak gemar dengan apa yang saya katakan ini, tetapi, ‘let us come to term that Khairy is among the very few better leaders in UMNO’.

Tugas kita ialah untuk memilih mana-mana pemimpin yang baik, tidak kira dari Pakatan ataupun dari BN. Negara sedang dalam ketandusan kepimpinan. Jangan kita lakukan seperti Dr Mahathir dahulu dalam mana beliau telah mencantas semua pemimpin berwibawa sehinggakan UMNO sudah ketandusan kepimpinan dan tidak lagi dihormati rakyat.

Tetapi yang menghairankan semua kenapa pula Dr Mahathir yang mendapat liputan yang meluas dalam media massa perdana sedangkan Khairylah yang lebih berdaya untuk membawa anak-anak muda yang ramai-ramai sedang dalam pencarian ini. Tetapi, apa nak buat UMNO sememangnya begitu.

Dari sudut ini nampak jelas Najib tidak berapa pandai untuk menilai prestasi di kalangan pimpinan UMNO itu sendiri kerana beliau sendiri berprestasi yang meragukan.

Husam buktikan Dr Mahathir dalam keresahan

Mahathir terlalu ‘emotional’ dan ‘personal’ terhadap Husam Musa serta memandang rendah terhadap calon PAS di Putrajaya itu. Mahathir sememangnya seorang yang angkuh tetapi saya tidak pernah terfikir keangkuhan bekas Perdana Menteri itu tiada batasannya. Saya ingatkan hanya Firaun sahaja yang berkata tiada siapa yang boleh menyainginya di dalam dunia ini.

Mahathir cuba merendah-rendahkan Husam Musa dengan meminta Husam duduk diam-diam di Kelantan dan jika dah berjaya di Kelantan barulah minta izin untuk bekerja di Putrajaya. Siapa Dr Mahathir ini untuk menyekat Husam ke Putrajaya? Meminta Husam meminta izin sebelum ke Putrajaya itu menampakkan sikap ego besar bagi melindungi perasaan ‘desperate’ beliau sehingga sanggup bercakap begitu peribadi terhadap seorang warga negara sebuah Persekutuan yang lain.

Mahathir telah menunjukan ‘desperation’ beliau dengan begitu ketara. Husam tidak perlu menjawabnya, kerana pengundi Putrajaya akan menjawabnya tidak lama lagi. Husam hanya perlu berdiam diri. Anggap sahaja Mahathir itu sebagai seorang yang sedang sakit. Putrajaya itu bukannya kepunyaan Dr Mahathir dan beliau terlupa yang Putrajaya itu dibina atas hasil Petronas dan bukannya hasil dari keluarga beliau.

Mahathir bercakap seolah-olah Kelantan itu terlalu miskin dan Husam wajar duduk di Kelantan diam-diam. Siapa Dr Mahathir untuk meminta Husam berdiam diri? Negara ini negara demokrasi dan sesiapa sahaja boleh bertanding di mana-mana. Kita boleh mengkritik lawan kita dalam politik tetapi kena adalah sedikit etika lebih-lebih lagi beliau pernah menjadi pemimpin utama negara suatu ketika dahulu.

Sebenarnya Dr Mahathir ini tidak ada siapa yang boleh menolongnya untuk memulihkan status beliau sebagai seorang bekas pemimpin yang ulung. Kesilapan ini bukan kesilapan sesiapa tetapi kesilapan beliau sendiri. Beliau sendiri memilih untuk merasa resah gelisah dalam kehidupannya. Tiada siapa yang menyuruh beliau untuk melakukan kesalahan demi kesalahan semasa menjadi pemimpin utama negara dahulu.

Beliau sendiri yang suka untuk melakukan keganasan terhadap partinya dan dirinya sendiri. Beliau jugalah yang telah memecat hakim-hakim yang tidak bersalah. Kesalahan hakim-hakim Mahkamah Agong dahulu semata-mata kerana hakim-hakim semasa itu bersikap adil dan terhormat. Mahathir tidak suka kepada hakim yang mengutamakan keadilan. Bagi Mahathir keadilan hanyalah jika keuntungan berpihak kepada beliau. Apabila beliau merasakan hakim akan memberikan ‘verdict’ yang tidak memihak kepada beliau, maka hakim itu akan mendapat penghakiman dari beliau pula.

Entah apa yang menyebabkan Dr Mahathir terlalu ghairah untuk mempertahankan UMNO itu sedangkan beliau sendiri pernah keluar dari UMNO yang beliau tubuhkan di Sri Perdana dahulu. Kita juga tidak faham kenapa beliau tidak pula mahu UMNO bertanding di Pasir Mas dan meminta pula calon UMNO yang tidak menyerahkan kertas pencalonannya supaya jangan diambil tindakan. Kita sedang menunggu tindakan UMNO terhadap Dr Mahathir kerana menyokong calon bebas. Mahathir sepatutnya dipecat bersama 61 ahli UMNO yang lain kerana bertanding bebas dan menjadi penyokong kepada calon-calon bebas itu.

Kenapa Dr Mahathir tidak dipecat? Kenapa UMNO biarkan Mahathir bermaharajalela tanpa sebarang sekatan daripada jawatankuasa disiplinnya? Jika Dr Mahathir sendiri membunuh peluang UMNO untuk menang di Pasir Mas kenapa beliau beriya-iya sangat mempertahankan UMNO di Putrajaya? Kenapa Dr Mahathir mahu beriya-iya sangat untuk meruncingkan keadaan negara ini? Apakah niat sebenar Dr Mahathir ini?

Apa salahnya jika UMNO kalah di Putrajaya? Adat pertandingan mestilah ada kalah menangnya. Dr Mahathir mahukan UMNO bersifat seperti beliau mengendalikan UMNO dahulu. Beliau tidak berani bertanding sekali lagi dalam pemilihan UMNO maka beliau terus mengharamkan UMNO itu. Apabila dirasakan akan kalah dalam pertandingan tinju beliau akan musnahkan pentas tinju itu dan akan membina pentas tinju yang lain. Jika dirasakan kalah dalam pertandingan bola sepak, beliau akan alihkan tiang gol ke mana beliau suka.

Mahathir mahukan semua manusia mengikut kehendak beliau dan jangan ada yang menentangnya. Mahathir telah mengalahkan semua musuh-musuhnya sehingga tiada siapa yang beliau hendak kalahkan lagi. Sekarang Mahathir sedang berhadapan dengan ‘nature’ dan saya merasakan jika semua orang membantu beliau sekali pun, beliau tidak akan dapat diselamatkan lagi. Beliau akan terus dengan keresahannya sampai bila-bila.

Sekarang kita doakan Mahathir ini agar beliau kembali berada dalam ketenangan hidup. Beliau ini sebenar-benarnya memerlukan pertolongan dari kita. Seperti yang saya sebut tadi tiada siapa yang boleh membantu beliau lagi selain dari kita berdoa untuk beliau mendapat ketenangan yang amat-amat beliau perlukan sekarang ini.

Ini menjadi pengajaran kepada pihak Pakatan Rakyat jika diberikan mandat untuk berkuasa. Perdana Menteri gantian nanti janganlah melakukan kerja seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir semasa beliau berkuasa dahulu. Jika melakukan perkara keterlaluan yang sama maka zaman persaraan kehidupannya akan dihimpit dengan perasaan seperti yang dialami oleh Mahathir sekarang ini.

Beringat-ingatlah. Jika keresahan ini boleh dialami oleh Dr Mahathir, ia akan juga dialami oleh sesiapa yang lain jika melakukan perlakuan yang sama seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir itu.

29 April 2013

Jangan jadi sombong kerana dihampiri kuasa

Pilihanraya kali ini merupakan pilihanraya yang terbesar dan terhangat dalam sejarah negara. Gerakan untuk melakukan perubahan jelas dan tidak dapat dinafikan begitu sahaja. Dalam masa inilah kita boleh mengkaji sikap dan perangai kepimpinan mana-mana parti yang bertanding dan menawarkan khidmat dan seterusnya mendapatkan mandat rakyat.

UMNO dan BN tidak lagi boleh mendabik dada seperti dahulu. Dulu UMNO begitu angkuh dan di mana-mana mereka berkata calon UMNO tidak payah datang berkempen, cukup kalau dihantarkan songkoknya sahaja untuk mewakili calon UMNO itu. UMNO akan tetap menang. Semuanya itu sudah menjadi sejarah. UMNO terpaksa akur terhadap kehendak rakyat dan sekarang sedang menadah meminta belas ehsan rakyat untuk mendapatkan sokongan.

UMNO sudah hilang segala-galanya. Semalam Dr Mahathir meminta UMNO supaya jangan mengambil tindakan terhadap Johan Che Pa kerana kononnya Johan telah berkorban untuk Perkasa dan niat Johan itu adalah baik untuk BN. Mahathir tidak peduli dengan undang-undang untuk kepentingan beliau dan kroninya.

Mahathir tidak peduli dengan pandangan ramai. Kalau tidak masakan beliau sanggup membunuh partinya sendiri dan memecat 5 orang Hakim Mahkamah Agong kerana kepentingan peribadi beliau. Itu semua orang tahu, tidak payah dipanjangkan isu itu.

Dalam masa keghairahan gerakan pembaharuan ini, terdapat banyak juga manusia yang cuba-cuba menjadi pemimpin dengan tidak sengaja mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan sikap sebenar seseorang atau kumpulan itu. Saya berharap apa yang ditulis oleh Norman Fernandez, Timbalan Pengerusi DAP Johor, yang meminta rakyat tidak mengundi PAS itu melambangkan keadaan dan pemikiran yang sebenar yang ada di dalam benak Norman itu.

Ia melambangkan sikap angkuh dan semuanya ini berlaku kerana sudah begitu yakin akan memenangi pilihanraya ini dan terus berkuasa di Putrajaya. Manusia yang berfikir akan memilih isu ini untuk menilai perlakuan seseorang pemimpin itu. Perlakuan seseorang pemimpin itu akan menjejaskan kewibawaan parti yang beliau wakili.

Kenyataan Norman Fernandez itu menusuk tulang orang Melayu Islam dan tidak memberi apa-apa faedah kepada beliau dan partinya. Ingat, kadang-kadang apa yang sudah sampai ke mulut pun boleh terkeluar dan menghampakan niat untuk merasai apa yang kita hajati. Kerana keghairahan yang keterlaluan ia akan membantutkan niat kita untuk mendapatkan kejayaan itu.

Saya selalu berkata, kalau hendak menembak pelanduk atau burung, jangan bersorak dahulu. Nanti lari pelanduk atau burung itu sebelum kita sempat menembak. Kalau hendak makan dengan tangan, basuh tangan dahulu dan bersihkan kuman-kuman di tangan itu. Jangan pula oleh kerana terlalu ghairah hendak makan, kita lupa untuk membasuh tangan pula.

Nanti kuman akan mengikuti kita dan kuman itu akan masuk ke dalam tubuh badan kita yang boleh merosakkan kesihatan. Itulah yang terjadi kepada UMNO dahulu dan sekarang. Pimpinan terlalu banyak kuman yang berada di dalam pemikiran dan sikap mereka.

Rakyat memerhatikan sikap kita. Mereka akan berkata yang kita mahukan perubahan yang sebenarnya. Jika kuasa itu berpindah dari pihak yang korup kepada yang gila kuasa ia bukan perubahan. Maka rakyat yang mengharapkan perubahan itu akan merasa hampa kerana mereka tahu keadaan yang sama akan berlaku. Hanya orangnya sahaja yang berubah dan bertukar. Rakyat akan tetap dalam kebingungan buat lima tahun lagi.

Kenyataan Norman itu mampu menjadi lambang kepada sikap keseluruhan partinya yang sebenar. Bagaimana DAP akan bertindak terhadap Norman ini sedang dinanti-nantikan oleh rakyat terutamanya di Johor.

Saya berulang kali mengingatkan semua pihak, siapa yang melakukan kesilapan walau sekecil mana sekali pun, merupakan tindakan yang akan menghampakan diri sendiri. Jangan berfantasi sebelum kejayaan benar-benar tercapai.

Keadaan politik kini terlalu ‘fluid’ dan keadaan akan berubah kerana kesilapan sedikit yang terhasil dari sifat ghairah yang keterlaluan. Saya merasa takut jika tertanam persepsi di kalangan orang ramai yang peralihan dan anjakan kuasa itu tidak membawa makna yang positif kepada rakyat semua.

Jangan jadi sombong dan besar kepala semata-mata kerana merasakan yang ‘power is just a door knock away’.

28 April 2013

Betulkah puluhan cawangan UMNO di Selangor akan dibubarkan?

Berita yang mengatakan UMNO akan menghadapi masalah besar dalam sehari dua ini telah saya dengar seminggu dulu. Semalam saya mendengar pula banyak cawangan UMNO akan dibubarkan di Selangor terutamanya akan berlaku dalam tempoh yang terdekat ini. Jika benar berita ini ia tidak mengejutkan kerana saya telah menyebutnya setahun dahulu tetapi tidak pula menyangka yang keadaannya sampai ke tahap membubarkan cawangan-cawangannya.

Saya selalu memberikan komen tentang hasrat Najib dan Muhyiddin yang kali ini UMNO akan menurunkan calon-calon yang ‘winnable’. Blog ini selalunya menyatakan yang mana mungkin UMNO boleh menurunkan calon yang ‘winnable’ sedangkan UMNO itu sendiri sudah tidak ‘winnable’ lagi. UMNO tidak ‘winnable’ lagi kerana pimpinannya tidak ‘winnable’.

Jika kita lihat di Selangor, pemimpin yang sibuk untuk mengambil alih kerajaan PKR ini adalah pemimpin yang sama yang telah ditolak oleh rakyat Selangor dalam pilihanraya lalu. Tidak nampak ada pimpinan baru yang boleh meyakinkan rakyat Selangor. Malahan pimpinan UMNO Selangor telah kehilangan hidayah sama sekali dengan meminta Zulkifli Nordin sebagai calon bagi kawasan elit Shah Alam dan ini sekaligus menjadikan orang ramai tidak lagi yakin terhadap kewibawaan UMNO Selangor itu.

Penyertaan Zulkifli Nordin itu bukan sahaja menjatuhkan imej UMNO itu di Selangor tetapi menjatuhkan keyakinan ramai terhadap UMNO di seluruh negara. Itu belum ditambah lagi dengan isu yang berlaku di Pasir Mas dalam mana UMNO sendiri telah berperanan untuk meletakkan Ibrahim Ali sebagai calon UMNO malalui pencalonan bebas di sana. Semakin hampir kepada plihanraya semakin banyak perkara yang buruk dihadapi oleh UMNO itu.

Di sebaliknya pihak PAS telah mendapat lonjakan yang besar di Selangor dengan penyertaan TS Muhammad Taib dalam PAS yang sekaligus meninggalkan UMNO buat selama-lamanya. UMNO telah mengabaikan ramai pimpinan kerana ramai pimpinan yang tidak bersetuju dengan pucuk pimpinan tidak diendahkan oleh UMNO. Semangat PAS dan rakan Pakatan telah naik mendadak dengan penyertaan Muhammad Taib. Jika berita banyak cawangan UMNO akan dibubarkan di Selangor itu terjadi dalam masa yang terdekat ini, ia tentunya sedikit sebanyak kerana pengaruh Muhammad Taib itu tadi.

Itulah keadaan sebenarnya walaupun cuba diselindungi oleh UMNO sendiri. Keadaan ini telah menyebabkan UMNO itu tidak mungkin berjaya meletakkan calon ‘winnable’ dalam pilihanraya kali ini kerana UMNO itu sendiri bukan parti yang ‘winnable’.

Apa yang dihadapi UMNO sekarang ini bermula tiga puluh tahun dahulu. Penyakitnya sudah berada dalam parti itu sejak itu dan penyakit itu beransur-ansur merebak keseluruh tubuh UMNO itu sendiri sehinggakan ia sudah melumpuhkan seluruh tubuh parti itu.

Sejak hampir tiga dekad dahulu saya mengkritik dari dalam kerana di setiap peringkat pemimpin-pemimpin yang ‘winnable’ telah dihapuskan oleh sistem berparti yang dimulakan oleh Dr Mahathir. Ramai pimpinan UMNO di peringkat Bahagian telah diketepikan dan hasilnya UMNO terpaksa memilih calon-calon ‘winnable’ dari kumpulan pemimpin yang tidak ‘winnable’ dalam sebuah parti yang sudah lama tidak ‘winnable’ lagi.

Rupa-rupanya kami terpaksa mengambil masa hampir 30 tahun untuk membuktikan kebenaran ini. Bagi ahli-ahli UMNO yang sedar, dan sebagai orang Melayu saudara-saudari sekalian wajar memberikan dukungan kepada PAS kerana PAS sahajalah yang ada sebagai pilihan kepada orang Melayu sekarang ini.

Kewajaran orang Melayu untuk beramai-ramai memberikan sokongan kepada PAS itu tidak boleh dinafikan oleh sesiapa kecuali mereka yang sudah hilang segala hidayah politik mereka. PAS sahajalah nampaknya sampai ke saat ini membuktikan segala janji-janjinya ditepati.

Yang lain itu mungkin masih bergelumang dengan masalah-masalah masing-masing, dari masalah berebut-rebut jawatan kerana masih mempunyai DNA UMNO itu, dan masalah parti yang masih rasis yang masih tidak dapat dipecahkan dalam ‘mindset’ mereka.

Oleh kerana yang lain itu masih dengan cara mereka yang lama maka rakyat harus memilih parti yang sudah benar-benar terbuka untuk perubahan yang dimahukan oleh rakyat sekarang ini.

UMNO patut melakukan introspeksi diri sendiri

Dr Mahathir telah pergi ke Putrajaya untuk membantu calon BN Tengku Adnan dengan membidas Husam Musa dan PAS. Bekas Perdana Menteri ini tidak duduk senang dan beliau hari ini kabarnya akan ke Kelantan untuk membantu Ibrahim Ali, calon bebas Pasir Mas di sana.

Dr Mahathir telah pergi ke Putrajaya membantu calon BN sehari selepas Putrajaya didatangi oleh puluhan ribu manusia untuk bersama Tok Guru Nik Aziz dalam lawatan Mursyidul Am PAS itu ke Putrajaya dua hari lepas. Berbeza dengan kehadiran Dr Mahathir, TGNA tidak bercakap banyak dengan liputan media massa perdana. Tetapi kehadiran beliau sahaja sudah cukup untuk menjadikan UMNO lebih-lebih lagi Dr Mahathir ‘makan tak kenyang, mandi pun tak basah’.

Mahathir membidas Husam Musa, calon PAS di Putrajaya dan menganggap Husam bukan lawannya untuk berdebat kerana beliau lebih tua daripada Husam yang beliau anggap seperti kanak-kanak sahaja. Tetapi jika benar Husam itu masih budak jika dibandingkan dengan beliau, tidak ada sebab Dr Mahathir merasa takut dengan kehadiran Husam sebagai calon di Putrajaya itu. Mahathir tidak perlu membidas beliau (Husam) dan seterusnya datang ke Putrajaya untuk berkempen melawan Husam itu.

Mahathir perlu bertanya kenapa TGNA mendapat sambutan sebegitu rupa sedangkan pemimpin UMNO yang telah memerintah yang sepatutnya lebih mampu mempengaruhi orang ramai tidak mendapat sambutan seperti TGNA itu? Adakah UMNO menganggap orang ramai itu bodoh dan tidak siuman dengan menyambut TGNA dengan begitu meriah sekali?

Keadaan sebegini mesti bersebab dan sebabnya itulah yang pimpinan BN tidak dapat kefahaman kenapa TGNA telah menjadi ikutan ramai. Sikap orang ramai membelakangkan pihak yang memerintah itu bukannya berlaku tanpa sebab. Ingat, kedatangan pimpinan PAS itu disambut oleh orang ramai tanpa diangkut oleh bas-bas yang diuruskan oleh jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan seperti yang dilakukan oleh UMNO dan BN itu.

PAS tidak perlu membawa palajar-palajar UiTM dengan membayar seratus ringgit seorang seperti yang dilakukan oleh UMNO untuk menampakkan kemeriahan lawatan pimpinan BN dalam lawatan-lawatannya ke mana-mana. Kehadiran TGNA di Putrajaya Jumaat lepas tidak disediakan dengan nasi bungkus atau karipap-karipap tebal. Mereka datang dengan sukarela dan berbelanja sendiri.

Kalau begitulah keadaannya, UMNO dan pemimpin-pemimpin mereka sepatutnya menumpukan tenaga mereka untuk bertanya kepada diri sendiri, kenapa BN dan UMNO tidak mendapat sambutan secara sukarela seperti yang dialami oleh PAS? Sebabnya mesti ada kepada UMNO dan pimpinan mereka sendiri.

Jawapannya sememangnya ada kepada UMNO sendiri, tetapi hanya UMNO tidak mahu atau tidak tahu yang kelemahan mereka di mata rakyat ramai itu terlalu jelas tanpa disedari oleh pimpinan UMNO itu sendiri. Mereka (UMNO) hanya menumpukan masa untuk membidas pimpinan seperti TGNA terus menerus tetapi bidasan mereka itu tidak juga mampu juga melemahkan sokongan terhadap kepimpinan seperti TGNA ini.

UMNO khususnya Dr Mahathir, tidak usah bersusah-payah membidas orang itu dan orang ini untuk mendapatkan sambutan ramai. UMNO sudah terlalu kesempitan masa untuk membetulkan keadaan serta kelemahan mereka. Lagipun sampai ke saat ini pun UMNO belum lagi mendapatkan sebab kenapa pimpinan PAS seperti TGNA kian hari kian kuat.

Dr Mahathir yang telah mengaku berjasa kepada negara masih terkial-kial untuk mendapat perhatian rakyat. Sesungguhnya Dr Mahathir dan pimpinan UMNO yang lain melakukan introspeksi terhadap mereka sendiri.

Kajilah kenapa lawatan Mahathir tidak mendapat sambutan sedang kedatangan TGNA ke Putrajaya disambut oleh puluhan ribu manusia berbilang kaum itu tanpa dipunggah dengan ratusan bas-bas atau nasi bungkus dan karipap-karipap tebal itu.

27 April 2013

Kemenangan hakiki datangnya dari Allah swt

Dua perkara berlaku di Putrajaya semalam dan kedua-dua insiden ini menarik perhatian ramai. Kematian Dato' Shaharudin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kastam Di Raja Malaysia semalam amat mengejutkan seluruh rakyat negara. Kita telah kehilangan seorang penjawat awam yang berdedikasi di tangan dan perbuatan penjenayah yang tidak berperi kemanusiaan.

Persimpangan jalan juga merupakan tempat yang amat merbahaya sekarang ini kerana penjenayah boleh meragut nyawa seseorang dengan begitu mudah dan sampai ke saat ini kedua penjenayah yang melakukan kerja hina itu masih bebas. Hanya kita berharap pihak berkuasa akan secepatnya dapat mengesan kedua penjenayah ini dan dihadapkan kemuka pengadilan dalam masa yang sesingkatnya.

Kita berdoa agar roh beliau dibariskan sebaris dengan mereka yang syuhada dan roh beliau dilimpahi rahmat yang sepenuhnya dari Allah SWT. Kita berharap ahli-ahli keluarga beliau bersabar dan menerima kejadian ini sebagai ketentuan Tuhan yang Maha Esa semata-mata. Tentunya keluarga Jabatan Kastam Di Raja yang besar itu merasakan kehilangan seorang pegawai tertingginya dan mereka juga wajar menerimanya sebagai satu ketentuan Tuhan yang tidak ada siapa dapat mengelakkannya.

Kejadian kedua ialah sambutan terhadap Mursyidul Am Pas Tok Guru Nik Abdul Aziz yang luar biasa semasa beliau bersembahyang Jumaat di Masjid Putrajaya semalam. Puluhan ribu datang bersolat di Masjid itu dan bersalaman dengan TGNA dan ini juga merupakan satu lonjakan kepada sokongan terhadap calon PAS, Husam Musa yang akan menentang calon BN Tengku Dato Adnan Mansor pada 5hb Mei nanti.

Sambutan terhadap kedatangan TGNA ini amat mempersonakan banyak pihak kerana TGNA sesungguhnya seorang yang sangat dihormati oleh semua masyarakat yang berbilang kaum ini. Seorang pemimpin yang tidak berubah budaya dan cara hidupnya kepada gaya hidup ‘glamour’ walaupun beliau seorang yang disanjung dan dihormati ramai.

Kedatangan TGNA itu tentu sekali memberikan banyak sokongan tambahan kepada Husam Musa dan tidak terkejut jika Husam akan memenangi kerusi Putrajaya dalam pilihanraya nanti. Itu bermakna Tengku Adnan akan menghadapi kekalahan dan niat beliau untuk menghilangkan ‘deposit’ Husam itu hanyalah mimpi di siang hari sahaja.

Sesungguhnya pertarungan di antara Husam dengan Tengku Adnan itu adalah pertarungan yang besar kerana ia akan menentukan nasib dan masa depan UMNO itu sendiri. Kedatangan Husam adalah satu lonjakan besar untuk PAS dan jika ia benar-benar berlaku PAS akan memenangi kerusi yang tidak pernah dijangka akan berlaku sebelum ini.

Tekanan terhadap pengundi dilakukan dengan agak terbuka oleh pihak kerajaan yang telah mengeluarkan surat pekeliling melarang penjawat awam memilih pembangkang. Tetapi penjawat awan di Putrajaya itu juga sedar yang mereka akan ditadbir oleh PAS dan rakan-rakannya selepas 5hb Mei yang akan datang ini.

Penjawat awam tahu mereka tidak akan menghadapi apa-apa masalah untuk memilih PAS kerana memilih apa-apa parti pun dalam pilihanraya itu adalah dibenarkan oleh undang-undang dan perlembagaan negara. Memilih PAS bukannya kerja jenayah seperti kerja rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh UMNO dan BN itu.

TGNA sesungguhnya seorang pemimpin semua kaum walaupun beliau selalu dicerca oleh pihak UMNO dan BN dengan berbagai cercaan. Tetapi dalam cercaan yang datang bertalu-talu itu TGNA tetap tenang dan menghadapi kesusahan tanpa merasa kepayahan apa-apa bagi dirinya. Sememangnya seorang yang berjiwa tenang tidak mudah dikalahkan oleh pihak musuh lebih-lebih lagi dalam keadaan musuh itu berada di dalam situasi panik yang teramat sangat itu.

Orang yang tenang dan berjiwa luhur akhirnya mendapat kemenangan kerana segala kemenangan itu datangnya dari Allah swt semata-mata.

26 April 2013

Nafsu masih kuat, tenaga dah tak ada

Ketentuan Tuhan kita tidak tahu. Tetapi ketentuan akal sudah menunjukkan kerajaan BN Negeri Sembilan akan berakhir 5hb Mei ini. Tidak tahulah jika ada ‘teknologi politik’ terbaru BN yang mampu mengalihkan kembali kecenderungan rakyat NS untuk kembali menyokong BN. Tetapi pada saat ini Pakatan Rakyatlah yang akan menang.

Saya selalu berkata pihak mana yang melakukan kesilapan sedikit, pihak itulah yang akan tewas dalam pilihanraya ini. Sekarang jelas yang telah melakukan kesilapan ialah pihak BN. Mohamad Hasan tidak mahu melakukan perubahan. Beliau telah menurunkan ramai calon-calon ‘incumbent’ yang mengikut seorang yang memberitahu saya merupakan calon-calon ‘jering basau’ terutamanya bagi kawasan Kuala Pilah.

DUN Johol, Pilah dan Juasseh hampir pasti jatuh ketangan PR selain dari Lenggeng, Klawang dan Chennah. Jika mengikut ketentuan akal, Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan baru di Negeri Sembilan. Jika Mohamad Hasan menang di Rantau beliau akan merupakan seorang yang penuh dengan pengalaman. Beliau berpengalaman menjadi Menteri Besar dan kali ini beliau akan berpengalaman menjadi Ketua Pembangkang pula.

Tetapi bak kata saya tadi itu hanyalah ketentuan akal. Ketentuan Tuhan tidak ada siapa yang tahu. Segala perancangan kita hanya Tuhan yang menjadi penentunya. Itu sebab saya selalu mengingatkan pihak Pakatan Rakyat, jangan buangkan air di dalam tempayan dahulu. Tunggu hujan itu betul-betul turun dahulu. Jangan terus belunjur sebelum duduk.

Tetapi apa pun masanya sememangnya sudah sampai untuk yang kuat menjadi lemah. UMNO yang kuat hanya pada soraknya sahaja sekarang ini. Tenaganya sudah luntur. Bak kata orang tua-tua Negeri Sembilan ‘ghoso eh kuek, tapi kojo tak solosai’. Maknanya, nafsu masih kuat, tetapi tenaga sudah tidak ada lagi.

25 April 2013

Keputusan PRU di Kedah 'predictable'

Hari ini hari kedua saya di Kedah dan saya nampak dengan jelas, kerajaan teraju PAS di Kedah akan kekal dan hampir kesemua kawasan Parlimen di negeri ini akan dimenangi oleh PAS dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Malahan kerusi yang disandang oleh UMNO di kawasan-kawasan DUN pun hanya menunggu masa untuk diambil alih oleh PAS.

Saya tidak mempunyai perkiraan secara saintifik, tetapi apa yang jelas UMNO sudah terlalu jelas diketepikan oleh rakyat negeri jelapang padi ini. Kehadiran dua orang setiausaha politik Perdana Menteri yang tersenarai sebagai calon BN tidak memberikan kesan positif untuk BN malahan menjadi semangat bagi rakyat Kedah untuk melakukan perubahan yang dinanti-nantikan mereka.

Tidak ada sesiapa dapat mengagak apa yang akan dicapai oleh Mukhriz Mahathir dan ramai rakyat Kedah bertanya kenapa dalam banyak-banyak kawasan DUN, UMNO memilih untuk meletakkan beliau di kawasan Air Hitam. Orang-orang UMNO yang saya terjumpa semuanya bertanya, kenapa Mukhriz tidak diletakkan sebagai calon di Kuah misalnya. Saya nampak persoalan sebegini menunjukkan dengan jelas yang pekerja parti UMNO sendiri mempunyai perasaan kurang yakin Mukhriz akan berjaya memenangi kerusi ini.

BN meletakkan Othman Abdul sebagai calon BN di Pendang berdasarkan beliau adalah orang yang mempunyai 'grassroot' di sana. Tetapi mengikut orang orang tempatan Pendang, mereka beranggapan yang Othman Abdul sudah lama meninggalkan kawasan ini dan kehadiran beliau tidak disenangi oleh pimpinan UMNO Bahagian Pendang sekarang ini. PAS pula meletakkan Mohamad Sabu sebagai calon untuk berhadapan dengan Othman Abdul. Maka keputusannya nanti adalah ‘predictable’ dan Mohamad Sabu akan mendapat kemenangan yang lebih besar daripada kemenangan yang dicapai oleh Dr Hayati, bekas ahli Parlimen PAS yang tidak bertanding untuk memberi laluan kepada Timbalan Presiden PAS itu.

Penglibatan ramai muslimat PAS dalam PRU kali ini sudah menunjukkan yang PAS adalah jauh lebih diyakini untuk menang kerana mana-mana pihak yang disokong oleh kaum wanita, pihak itulah yang akan meraih lebih undi dari pihak yang lain itu.

Walaubagaimana pun kita masih mempunyai sembilan hari untuk melihat keputusan yang sebenarnya. Tetapi mengikut 'mood' yang ada di akar umbi, UMNO akan tetap menghadapi kekalahan dan beberapa kerusi yang disandang oleh UMNO sekarang ini pun akan banyak yang terjatuh ke tangan PAS.

Begitulah keadaan di sini dan sebagaimana yang saya katakan tadi keputusan pilihanraya kali ini adalah ‘predictable’.  

24 April 2013

Pengundi Shah Alam akan memilih di antara epal dengan bacang

Shah Alam dan Pasir Mas adalah dua kawasan yang pada hakikatnya pertandingan di antara Perkasa dan PAS. Perkasa diwakili oleh Ibrahim Ali di Pasir Mas dan Zulkifli Nordin di Shah Alam. Kedua-dua calon Perkasa ini merupakan orang yang paling ‘controversial’ dan ramai yang tertanya-tanya apa sudah jadi kepada UMNO sekarang ini.

Sekali fikir pula tidak boleh disalahkan juga UMNO kenapa mereka meletakkan dua orang yang begitu ‘famous’ dengan sifat lancang mulut yang tidak tahu batasan bangsa dan agama dalam mengendalikan politik mereka. Kedua-dua calon ini mengambil kesempatan di atas kelemahan UMNO untuk menyelitkan nama mereka sebagai calon yang tersenarai di dalam calon BN. Tetapi yang anehnya UMNO Kelantan tidak tahu yang Ibrahim Ali akan menjadi calon bagi mewakili UMNO melalui Perkasa.

Pengerusi Perhubungan Kelantan Mustapha Mohamad sendiri keliru dan tidak tahu partinya sendiri main 'kong-kalikong' dengan Perkasa. Hasil permainan 'kong-kalikong' itu semasa penamaan calon Sabtu lepas, UMNO sudah kehilangan satu kerusi kerana calonnya tidak menyerahkan kertas pencalonan beliau, walaupun telah diberikan watikah. Patut pun Ibrahim di mana-mana berkata sebulan yang lepas berkata, “tepek jaghi, ambo calun BN.”

Sesungguhnya Ibrahim bukanlah calon BN yang ‘legitimate’ dan kekalahan beliau adalah di dalam tangan. Tetapi bagi Ibrahim bertanding itu sudah menjadi hobi beliau dan bertanding itu bukan perkara yang serius bagi beliau. Bagi Ibrahim, ‘oghe betanding ambo betanding, mene kaloh belake kigho’. Itu sebabnya bagi beliau mendapatkan sokongan dalam keadaan serius rakyat hendakkan perubahan, Ibrahim dijangka akan diabaikan oleh pengundi Pasir Mas.

Saya tidak tahu keadaan sebenarnya, hanya saya mendasarkan komen saya sebagai seorang yang saya sudah kenali secara rapat sejak 42 tahun dahulu. Hanya saya tidak lagi bertemu dengan beliau sejak saya menyertai DAP sampailah sekarang. Ibrahim ini jika kalah pun tidak mengapa kerana beliau bukan orang yang serius untuk menjadi agen kepada perubahan.

Beliau hanya hendak ke Parlimen untuk bercakap selalu kerana Ibrahim kalau tidak bercakap akan lemah jantungnya. Bercakap dan berucap itu merupakan ‘supplement’ penting untuk tubuhnya untuk menyihatkan tubuhnya. Dalam hal yang serius Ibrahim tidak payah dibawa berunding. Tidak aka nada perundingan yang selesai jika Ibrahim dibawa bersama. Setakat ini perundingan untuk membuatkan Che Johan Mustapha tdak datang ke pusat penamaan calon Sabtu lepas itu sahaja yang berjaya dilakukan oleh Ibrahim.

Ibrahim akan menghadapi masalah kerana lawannya di Pasir Mas kali ini juga dijangka mengalahkan beliau. Kalaulah beliau tidak ada di Parlimen di manakah beliau akan berucap kerana berucap itu sangat penting bagi beliau. Kalau tidak berucap maka kesihatannya akan tergendala.

Jika Ibrahim Ali tewas di Pasir Mas maka saya merasakan beliau akan bertemu dengan Zulkifli Nordin setiap hari kerana Zulkifli pun dijangka akan menerima kekalahan yang akan teruk di Shah Alam. Jika Zulkifli menang, ia bermakna pengundi Shah Alam itu pula yang teruk.

Tak mungkin pengundi Shah Alam tidak tahu memilih di antara buah epal dengan buah bacang.

23 April 2013

All the best to you Jenice Lee

Saya tertarik dengan isu Jenice Lee, bekas ADUN Teratai, Ampang yang telah bertindak dengan berani dengan meletakkan dirinya sebagai calon bebas di kawasan DUN tersebut. Saya pernah bersama dalam satu dua majlis ceramah umum DAP dan saya agak terkejut apabila nama beliau tidak tersenarai dalam calon DAP. Seorang wanita yang masih muda, bertenaga ini merupakan seorang yang begitu popular di kawasannya. Saya tahu hal ini kerana Jenice adalah salah seorang pimpinan yang saya hormati walaupun masih berusia 30 tahun.

Tujuan saya memberikan komen ini bukan untuk menyebelahi beliau tetapi saya menulis isu ini secara khusus kerana apa yang berlaku dan dilakukan terhadap beliau oleh ahli dan pimpinan parti itu banyak yang tidak betul. Walaupun saya hanya berjumpa sekali dua dalam majlis ceramah Pakatan Rakyat tetapi sebagai seorang yang sudah berumur, saya tahu dan yakin penyingkiran beliau dari senarai calon parti kali ini adalah tidak kena, membuktikan ‘gutter politics’ juga berlaku sesama sendiri dalam DAP.

Kenapa saya menyebut isu ini? Kepada yang tidak senang dengan Lee, musuh politik dalam partinya telah menggunakan isu peribadi terhadap beliau. Isu yang kononnya beliau terlibat dengan masalah duit serta beliau mempunyai ‘affair’ dengan ramai lelaki dan sebagainya itu adalah permainan politik yang sangat kotor. Jika isu ini berlaku di dalam DAP itu sendiri apakah elemen yang boleh menyangkutkan perasaan orang ramai terhadap parti itu?

Kepada Jenice, beliau tidak perlu peduli dengan isu peribadi yang dilemparkan terhadapnya. Saya sendiri sedikit sebanyak diisukan dengan sedikit isu peribadi. Diperbesarkan sebiji busut kecil menjadi sebuah gunung dan ini adalah biasa dalam politik yang dilakukan oleh pihak dan individu yang lemah pemikiran. Itu sebab saya tidak terlibat melobi dan mendesak untuk menjadi calon dan sejak lebih dari setahun yang lalu saya tidak pernah berjumpa dengan pimpinan DAP.

Ada sekali saya terjumpa pemimpin besar DAP di lapangan terbang tetapi beliau hanya bersalam dengan saya sambil berjalan tanpa berhenti walaupun sesaat sedangkan saya baru sahaja turun daripada pesawat dari berceramah untuk meyakinkan orang Melayu yang DAP itu tidak parti perkauman. Saya tidak mengambil hati dengan sikap pemimpin besar itu kerana saya menjaga jiwa saya supaya jujur tanpa mengharapkan penghargaan dari parti itu.

Sikap kurang etika itu tidak dapat dibetulkan serta-merta kerana itu telah ‘entrenched’ di dalam diri beliau, mungkin kerana cara didikan keluarga yang beliau terima kurang sempurna. Tidak ada siapa yang boleh memperbaikinya kerana ia sudah menjadi darah dagingnya. Walau bagaimana pun saya tetap memberikan hormat kepada beliau kerana saya sentiasa terdidik untuk menghormati orang yang lebih tua daripada saya. Saya pun sudah berumur juga, maka saya tidak ada ketakutan untuk bercakap yang benar. I speak with my heart.

Bagi saya yang terpenting ialah tanggungjawab saya untuk meyakinkan orang Melayu yang DAP itu bukan parti perkauman. Tetapi apabila terjadi apa yang kita lihat pada hari ini, tentulah saya malu sedikit kerana saya seolah-olah telah membohongi orang Melayu secara terbuka. Jika ada seorang dua di setiap negeri muka-muka Melayu dalam senarai calon itu tentulah orang ramai tidak akan mempersoalkannya. Secara peribadi saya amat membenci sikap rasis samada di kalangan orang Melayu, Cina atau India atau mana-mana kaum sekali pun. Tidak ada siapa yang boleh secara moralnya mengenepikan sesiapa di dalam negara kita ini. Negara ini adalah kepunyaan semua kaum.

Isu peribadi yang ada dimainkan oleh sesetengah pimpinan itu tidak menjadi kudis pada saya kerana saya berada di atas sikap berebut-rebut ini. I must say that I am above that. Berebutlah kamu sekuat mana...Saya tidak mahu berlumba dan berebut kerana saya bukan berada dalam’ league’ yang itu.

Hanya yang saya berasa sedikit ialah saya tidak dapat membuktikan yang DAP itu bukan parti Cina oleh kerana DAP sendiri yang menunjukkannya. Bagaimana saya hendak menutupinya? Saya tidak dapat melindungi sikap sesetengah pimpinan DAP yang terlalu ghairah kerana mereka sudah begitu yakin yang ‘power is just a door knock away’. Saya khuatir jika DAP sudah ‘mencurahkan air dalam tempayan hanya kerana mendengar guruh di langit atau sedang gila mengira buah kerayong’.

Kepada Jenice Lee, saya tahu anda sangat kasih kepada DAP, tetapi parti itu tidak menghargai anda kerana politik ‘gutter’ yang dilakukan terhadap anda. Tetapi yang penting bagi Jenice lakukan sekarang ialah untuk berusaha untuk memastikan ‘purity of your  mind’ anda terjaga. Biar apa pun yang orang lain dan musuh anda kata, anda perlu berdiam diri sahaja. Bezakan diri anda dengan mereka itu.

Ingat Jenice, pemikiran dan jiwa yang bersih tidak akan dapat ditewaskan oleh mereka yang berjiwa kotor dan pemikiran yang ternoda. Ingat itu. Niat anda untuk menjadi ahli legislatif yang ‘Pakatan Friendly’ jika dipilih rakyat itu, menunjukkan anda secara relatifnya berjiwa besar dan mengkagumkan saya secara peribadi. Saya mendengar ramai yang mengagumi anda juga.

Jenice, all my prayer for you Jen..

Nasib lu lah UMNO Selangor!

Tindakan BN meletakkan Zulkifli Nordin sebagai calonnya di Shah Alam di mana keseluruhan pengundinya terdiri daripada golongan kelas menengah adalah satu tindakan memandang rendah serta memperbodohkan masyarakat Shah Alam. Jangan disangkal lagi pandangan saya ini.

Kita tahu UMNO sudah hilang daya pertimbangan dalam banyak hal, tetapi tidak pula kita tahu yang parti itu sudah hilang segala hidayahnya. Meletakkan Zulkifli Nordin, seorang buangan PAS suatu ketika dahulu adalah satu lawak jenaka dan ini meletakkan Khalid Samad dalam keadaan selesa. Sekarang Khalid Samad mungkin boleh keluar kawasan untuk membantu rakan-rakan calon PAS yang lain yang memerlukan pertolongan tenaga kempen mereka.

Kita tidak perlu menzahirkan apa keburukan yang ada kepada Zulkifli Nordin ini kerana beliau sendiri telah menunjukkan kepada masyarakat siapa beliau yang sebenarnya. Hanya yang hendak disebut sedikit ialah siapa yang mencadangkan nama Zulkifli ini menjadi calon BN di Shah Alam ini?

Semalam Najib seolah-olah berkata Zul ini adalah seorang pejuang untuk kaum India tetapi Vell Pari (MIC) telah menjerit ke sana dan ke mari mengatakan kepada pimpinan UMNO tindakan meletakkan Zulkifli ini sebagai calon BN kali ini adalah tindakan membunuh diri bagi BN terutamanya MIC yang sedang berhadapan dengan persoalan yang banyak dari kaum India.

Tetapi apakan daya, jika pimpinan tertinggi UMNO sendiri sudah hilang hidayah tiada siapa yang boleh menolongnya. Beberapa orang rakan saya dalam UMNO memberitahu saya yang pencalonan Zulkifli Nordin ini adalah tindakan gila, kerana UMNO sepatutnya mencari calon yang benar-benar tidak mempunyai ‘baggage’ seperti Zulkifli ini, kerana yang hendak dilawan ini adalah Khalid Samad, seorang pemimpin yang secara rata-rata dihormati masyarakat.

Khalid Samad adalah seorang yang mempunyai keperibadian yang tinggi jika dibandingkan dengan mana-mana pimpinan UMNO sendiri. Justeru meletakkan Zulkifli yang begitu ‘controversial’ itu adalah tindakan seolah-olah UMNO sudah mengangkat bendera putih dalam peperangan. Tindakan BN meletakkan Zulkifli Nordin di Shah Alam itu seolah-olah UMNO tidak mempunyai calon yang berkelayakan untuk menentang Khalid Samad dari PAS itu.

Mungkin tindakan meletakkan Zulkifli ini di Shah Alam ini adalah seperti kata pepatah, ‘tak ada rotan akar pun berguna juga’. UMNO sudah tidak ada yang berani melawan Khalid Samad, maka mereka meletakkan sesiapa sahaja yang mahu dan berminat untuk bertanding. Asalkan Khalid tidak menang tanpa bertanding, meletakkan Zulkifli Nordin pun jadilah... Zul pun Zul lah, asalkan ada calon UMNO dan BN.

Setakat ini hanya sudah ada satu kawasan di mana UMNO sudah kalah, iaitu di Pasir Mas. Di Pasir Mas ini pun UMNO ditipu oleh orang kuat Perkasa juga, sama seperti UMNO ditipu di Shah Alam.

Kalau Perkasa pun boleh menipu UMNO maka UMNO sememangnya layak ditipu oleh sesiapa juga. Dalam peti undi nanti ahli-ahli biasa mereka juga mempunyai kecenderungan untuk menipu UMNO dengan memangkah parti-parti pembangkang.

Bak kata anak-anak muda sekarang, ‘nasib lu lah UMNO’... 'Beban yang tersedia ada sudah berat, batu pula digalasnya'. Kalau sudah hilang hidayah tiada siapa yang boleh membantunya.

22 April 2013

Belum menyangkung sudah berak

Kadang-kadang terfikir dan teringat juga tentang sejarah lama UMNO terutamanya sejarah sebelum negara mencapai kemerdekaan dahulu. Dalam keadaan UMNO tidak tersusun lagi ini, ada yang teringat kepada kisah bagaimana Presiden UMNO yang pertama Dato Onn Jaafar meninggalkan parti yang beliau tubuhkan itu.

Beliau meninggalkan UMNO kerana ‘idea’ beliau untuk menjadikan UMNO sebagai parti ‘multiracial’ ditolak oleh perwakilan UMNO di Perhimpunan Agongnya pada tahun 1952 dahulu. Mungkin Dato Onn telah menjangkakan dari awal yang perpaduan di antara kaum itu adalah perjuangan utama, mendahului perjuangan yang lain-lain.

Waktu dan zaman telah berubah. Keperluan dan kehendak manusia itu berubah. Pemikiran Dato Onn itu sekarang sudah mula timbul kembali kerana keadaan politik perkauman yang terlalu menebal. Kita mesti mengakui yang selagi kita bermain dengan politik ‘communal’ yang sempit, selagi itulah matlamat kita yang ‘ultimate’ iaitu mencapai perpaduan kaum itu akan sentiasa gagal sampai bila-bila.

UMNO begitu kuat laungannya dan mengaku sebagai sebuah parti kebangsaan tetapi semangat kebangsaan itu pun sudah tiada lagi dalam parti itu. Laungan semangat kebangsaan itu hanyalah satu retorik kosong kerana tidak ada lagi sesiapa yang bersemangat kebangsaan di dalam parti itu, kecuali beberapa kerat sahaja di kalangan mereka yang kekal dengan semangat kebangsaan itu. Mereka ini tidak pun diberikan kesempatan untuk berada di persada kuasa dalam parti itu.

Hendak dianggap parti itu sebagai parti ‘multiracial’ tidak boleh juga. Permainan isu perkauman yang terlalu menebal di dalamnya tidak memungkinkan UMNO itu boleh diyakini sebagai sebuah parti yang berkemampuan untuk membawa pencapaian kepada ‘national unity’ itu tadi. Jadi UMNO itu ‘is neither a nationalist nor a multiracial party’. UMNO itu hanyalah kekal dikuasai oleh ‘warlords’ yang besar-besar yang menggunakan parti itu untuk kepentingan peribadi masing-masing yang berada dalam kuasa UMNO itu.

Oleh kerana keadaan yang membimbangkan ini, maka banyak laungan dari rakyat yang kita tidak lagi boleh memilih untuk menjaga kepentingan kelompok dan kumpulan masing-masing sahaja. Di dalam ‘alternative’ media suatu masa yang tidak beberapa lama dahulu, kita mendengar jeritan seperti, ‘we are Malaysian, no Malay, no Chinese, no Indian’ dan berbagai-bagai lagi rintihan dan manifestasi rakyat.

Mereka tidak mahu melihat negara ini berimejkan sebagai negara yang hanya mementingkan sesuatu kaum dan ini merupakan rintihan yang betul dan benar. Tidak ada satu bangsa pun boleh mengabaikan rakan-rakan bangsa lain kerana kita mempunyai hak yang sama seperti yang diperuntukkan oleh perlembagaan negara.

Hasilnya berlaku landskap politik yang baru di mana rakyat mula melakukan ‘soul searching’ yang serius dan mereka inginkan perubahan yang nyata dalam sistem politik serta bidang kehidupan yang lain dengan penampilan siasah yang baru. Dalam masa kita berhadapan dengan kegelisahan yang wujud dalam jiwa rakyat yang inginkan sebuah negara yang berpadu itu, maka kesempatan ini digunakan oleh setengah pihak untuk politik dan kepentingan kelompok dan puak semata-mata.

DAP memaparkan ‘disposition’ dan ‘outlook’ yang membawa konsep Malaysian Malaysia dan memperagakan diri sebagai parti berbilang kaum untuk menjaga kehidupan dan siasah semua kaum. Penampilan DAP ini mendapat perhatian yang kuat dan jelas dari rakyat termasuk diri saya sendiri yang telah memohon untuk menyertai parti itu. Saya merasakan yang saat untuk memulakan politik baru itu sudah sampai dan saya perlu bersama membawa perubahan itu.

Tetapi saya tahu, dan ramai yang tahu bahawa parti itu tetap dengan ‘communal politics’ biasa. Malahan di antara ahli-ahlinya sendiri berlaku apa yang berlaku dalam parti-parti lain seperti PKR dan UMNO.

Kedatangan pilihanraya ini membawa banyak hikmahnya. Kita semakin hari semakin faham kenyataan yang sebenarnya. Saya tahu perjuangan untuk ‘national unity’ tidak akan ke mana-mana. Malahan jika rakyat berbilang kaum terus menerus berpecah, mereka akan terus menagih keuntungan untuk puak dan kaum masing-masing. Pilihanraya ini tidak akan membawa apa-apa perubahan. Hanya melalui PAS sahaja memungkin perjuangan sebenar rakyat dapat dilangsungkan.

Masing-masing 'belum pun menyangkung sudah berak', bak kata setengah orang tua-tua. 'Belum duduk sudah berlunjur. Nasi belum pun masak sudah bersela'. Banyak lagi kata-kata perbidalan yang indah-indah untuk pencerahan pemikiran kita ini.

Jika ada masa dan umur yang panjang, saya sambung rungutan saya ini.

21 April 2013

Perubahan macam mana yang nak kita lakukan?

Dalam kempen pilihanraya kali ini setiap parti bercakap tentang perubahan dan masing-masing parti memberikan interpretasi perubahan itu berbeza-beza. Najib hari ini memberikan interpretasi perubahan itu sebagai perubahan dari dalam. Beliau memberikan contoh Felda telah melalui perubahan dari dalam dan tidak perlu perubahan kerajaan.

Di pihak pembangkang, perubahan itu ialah dengan mengubah kerajaan kerana kerajaan sekarang bertanggungjawab menjadikan keadaan negara kita tidak menentu politiknya, tiada arah tujuan yang betul dalam mentadbir kerajaan dan untuk membersihkan kerajaan daripada kegiatan rasuah yang tidak terkawal.

Yang lebih penting lagi perubahan kepada kerajaan terpaksa dilakukan kerana sememangnya sudah sampai masa BN itu berada di pihak pembangkang pula setelah BN membina budaya politik perkauman yang terlalu menebal dalam negara hari ini. Tujuan ‘ultimate’ kita ialah untuk mencapai tahap perpaduan nasional dan itu adalah idaman semua rakyat yang mempunyai tahap pemikiran yang bersih dan jernih.

Isu inilah yang saya ingin melakukan sedikit kupasan kerana ini adalah matlamat terakhir kita sebagai rakyat di dalam negara majmuk seperti Malaysia ini.

Bagi saya definasi perubahan itu ialah perubahan sikap dan mentaliti dan persepsi kepada sesuatu perkara yang berlaku dan akan kita lakukan serta cara kita mengambilnya. Pertamanya rakyat ramai berfikir yang perubahan perlu dilakukan kerana kelemahan yang ditunjukkan oleh UMNO keterlaluan.

Kelemahan UMNO itu di antaranya ialah penggunaan kuasa dengan sewenang-wenangnya sehinggakan tidak lagi dapat membezakan yang mana penggunaan kuasa yang betul dan yang tidak betul. Tidak tahu tindakan apa yang bertentangan dengan etika demokrasi dan yang mana satu yang tidak patut dilakukan.

Semuanya ini berlaku kerana UMNO sudah terlalu tersasar dari yang sepatutnya dilakukan sebagai parti siasah dan politik dan parti itu tidak membawa bersama roh perjuangannya sejak hampir tiga puluh tahun lalu. Ramai di antara pemimpin-pemimpin UMNO tidak tahu kenapa dan mengapa mereka berada di barisan kepimpinan parti di setiap peringkat.

Ramai terkeliru apa sebenarnya yang menjadikan mereka itu pemimpin. Adakah wang ringgit dengan permainan politik wang dan sebagainya? Adakah mereka menjadi pemimpin secara ‘tut’ dengan hanya menjadi pengampu dan ‘court jester’ kepada pimpinan tertinggi atau oleh kerana hubungan perniagaan dengan pucuk pimpinan yang berniaga bersama dengan rakyat yang mereka pimpin?

Kekeliruan ini telah berlaku sejak tiga puluh tahun dahulu dan tidak dapat diselesaikan dan diperbaiki sehingga hari ini. Hasilnya dari seorang pimpinan ke pimpinan seterusnya kelemahan ini diwarisi sampailah kepada pimpinan Najib sekarang. Hatta rakyat mula bangkit dan mengambil segala kesempatan serta berpakat-pakat untuk menyertai program perubahan yang dirancang oleh rakyat sendiri.

Rakyat biasa yang tidak berpuas hati bersatu dengan mereka yang tidak mempunyai matlamat yang betul untuk melakukan perubahan itu. Dalam hal ini semua yang jujur dan setia untuk melakukan perubahan ini bersatu dengan pihak yang mahu mengambil kuasa kerana semata-mata untuk mendapatkan kuasa. Beraraklah semua yang telah bersatu ini ke utara dan ke selatan, ke timur dan ke barat bagi memberikan semangat kepada rakyat yang ramai untuk bersama.

UMNO begitu panik dan tidak tentu arah sehinggakan pemimpin yang sudah pencen seperti Dr Mahathir kembali bercakap dan mundar-mandir berusaha mempertahankan UMNO dan BN itu, parti yang beliau sabotaj sendiri dalam PRU yang lepas. Kalau pihak BN menuduh pihak Pakatan tergila-gila mendapatkan kuasa, pihak BN juga tergila-gila mempertahankan kuasa dengan cara yang tidak beretika dan bersalahan dengan semangat demokrasi sebenarnya.

Isu perkauman menjadi isu hangat dan topik yang lancar di mulut kedua-dua belah pihak. Mahathir telah membelasah DAP dan PKR yang dikatakannya kedua-dua parti ini adalah parti rasis tetapi pihak DAP juga menuduh BN itu ‘coalition’ yang rasis juga yang diketuai oleh MCA dan lain-lain. Pihak Pakatan juga memainkan isu yang UMNO memainkan isu rasis dan chauvinis Melayu. DAP telah memaparkan imej yang parti itu adalah parti 'multiracial' tanpa mengira kaum dan agama. Laungan DAP ini mendapat tempat di hati orang Melayu dan parti ini telah mendapat sokongan Melayu yang agak menular.

Sekarang tarikh pilihanraya telah pun ditetapkan oleh SPR dan pengundian akan dilakukan oleh 13.5 juta rakyat yang layak mengundi pada 5hb Mei yang akan datang ini. Rakyat terutamanya yang masih di atas pagar akan menentukan siapa yang menang dan kalah. Akhir-akhir ini saya selalu mengingatkan, siapa yang melakukan kesilapan akan menerima padah yang besar, kerana kekuatan kedua-dua belah pihak adalah seimbang.

Saya mendapat reaksi yang besar melalui email yang saya terima setiap hari. Kebanyakan mereka menanyakan soalan yang saya amat sulit untuk menjawabnya. Soalan-soalan itu datang dari serata tempat dalam negara ini yang terdiri dari mereka yang berbilang kaum.

Persoalan yang popular ada dua. Pertamanya adakah wajar kita memberikan UMNO dan BN sekali lagi untuk mentadbir negara? Soalan itu mudah saya jawab kerana saya selalu menulis tentang perlunya BN ditundukkan kali ini.

Persoalan yang kedua yang selalu saya terima ialah betulkah Pakatan Rakyat melaksanakan janji-janji politiknya? Tidak ada siapa yang mempersoalkan PAS kerana rata-rata nampaknya menerima PAS sebagai parti ‘alternative’ yang terbaik bagi rakyat kecuali penyokong tegar UMNO yang menyokong parti tanpa soal itu.

Yang terbanyak soalan yang saya terima ialah kenapa DAP masih memaparkan imej sebagai parti Cina kerana penampilan calon Melayu yang ‘negligible’ dalam senarai calon-calon mereka dalam pilihanraya ini. Adakah DAP sudah merasakan ia sudah kuat dan tidak memerlukan sokongan Melayu lagi? Satu lagi persoalan besar ialah soalan yang berkait dengan PKR.

PKR dipersoalkan kredibilitinya sebagai sebuah parti yang baik kerana terlalu banyak percakaran di antara pimpinan mereka di setiap peringkat itu.

Soalan-soalan inilah yang perlu mendapat jawapan dari DAP dan PKR dalam menghadapi pilihanraya ini. Jika DAP dan PKR merasakan soalan ini tidak perlu dijawab tidak mengapa. Biarkan sahaja soalan itu tidak berjawab.

Kadangkala jika satu-satu soalan itu payah untuk dijawab, elok diabaikan sahaja soalan-soalan itu dan biarkan mereka yang di atas pagar itu membuat penilaian mereka sendiri. Kalau hendak dijawab nanti, terpaksa pula menambah janji-janji baru pula.

Mungkin ada yang tidak berkenan dengan tulisan saya ini kerana tidak menulis apa yang mereka hendak dengar tetapi saya memohon maaf, kerana kebenaran dari sudut pandangan saya itu lebih penting untuk saya muatkan dalam posting ini.

Tindakan Kamilia adalah manifestasi ramai ahli-ahli UMNO

Isu Kamilia Ibrahim, Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, bertanding dengan tiket bebas amat menarik. Menarik bukannya kerana ia mengejutkan, ia kejadian yang pertama kalinya berlaku dalam sejarah UMNO atau lebih khusus lagi sejarah Wanita UMNO, tetapi bagaimana reaksi UMNO terhadap tindakan Kamilia itu.

Walaupun Kamilia telah meletakkan jawatan selepas sahaja beliau mengemukakan kertas pencalonannya, Tan Sri Muhyiddin telah membuat kenyataan yang UMNO akan mengeluarkan surat pemecatan keatas Kamilia Isnin ini. Sebagai seorang Pemimpin Tertinggi Wanita dan Ahli Majlis Tertinggi pula, sememangnya Kamilia sepatutnya dibawa bersama dalam rundingan dalam banyak isu parti termasuklah isu perletakan calon dalam pilihanraya kali ini.

UMNO telah mengguris Kamilia sebegitu rupa dan tindakan beliau bertanding di atas tiket bebas itu merupakan tindakan manifestasi Wanita UMNO terhadap pandangan pimpinan UMNO terhadap Wanita. Perlakuan terhadap Kamilia itu merupakan lambang UMNO sudah kehilangan wibawa yang tidak tahu berbuat apa yang sangat penting untuk menjaga hati ahli-ahli Wanitanya.

Ketua Wanita, Shahrizat sudah tidak ada kredibiliti lagi dan sepatutnya Sharizat tidak lagi berada dalam jawatan yang beliau sandang itu kerana isu skandal NFC. Beliau tidak lagi bertanding dalam pilihanraya kali ini. Shahrizat adalah seorang yang 'politically menopause'. Selepas Shahrizat orang yang terkanan adalah Kamilia dan sepatutnya beliau mempunyai suara bagi mewakili wanita dalam isu pilihanraya kini.

Tetapi sebaliknya Pimpinan Tertinggi UMNO membuat kenyataan yang amat menjelekan kononnya Kamilia telah menolak cadangan UMNO untuk bertanding kerusi DUN Chandan, Kuala Kangsar. Sebenarnya Kamilia tidak dihubungi langsung sehingga malam sebelum penamaan calon. Saya selalu berkata dalam UMNO bercakap benar itu adalah salah dan dicegah. Ia dianggap sebagai dosa yang besar dan boleh membawa maut kepada karier politik mereka yang bersuara lantang.

Dalam UMNO yang boleh berfikir hanyalah pemimpin tertinggi sahaja. Ahli-ahli lain tidak boleh membawa pemikiran baru. Tindakan Kamilia memberi kenyataan yang penglibatan Shahrzat dan keluarganya dalam isu NFC telah menjejaskan imej Wanita menjadi dosa besar dan Kamilia dimangsakan dalam pilihanraya kali ini.

Ada pihak dalam UMNO yang telah membidas Kamilia kerana tindakan beliau bertanding di atas tiket bebas itu, tetapi tidak ada siapa dalam UMNO jauh sekali di kalangan pimpinan Wanita bertanya kenapa ini boleh berlaku. Tetapi bagi ahli-ahli Wanita yang biasa, ramai yang merasa terhina sehinggakan saya sendiri yang tidak kena-mengena lagi dengan UMNO pun dihubungi oleh kakak-kakak dalam UMNO meminta saya memberikan komen dalam blog saya ini.

Saya hendak memberitahu kepada kakak-kakak dalam UMNO itu yang saya sudah lama berfikir tentang kerosakan dalam UMNO itu dan sudah lama juga saya berkeyakinan yang UMNO itu sudah tidak boleh diperbaiki lagi kerana tidak ada seorang pun dalam kepimpinan tertinggi UMNO itu boleh menyelamatkan parti itu. Kalau ada pun di kalangan ahli UMNO yang berkemampuan, mereka telah diterajang keluar oleh UMNO yang tidak mahu mengalih dan menganjak sikap buruk pimpinan itu.

Bagi saya Kamilia mempunyai hak untuk bertindak demi menjaga maruah Wanita yang tidak dihormati oleh UMNO lagi. Kamilia telah dikorbankan oleh UMNO dan sekarang beliau sendiri mengorbankan dirinya sendiri untuk Wanita UMNO. Yang sangat menyayat hati ramai Wanita UMNO telah mengambil keputusan untuk tidak mengiktiraf sumbangan Kamilia kepada UMNO selama ini. Ini kenyataan yang sangat memilukan dari UMNO yang sepatutnya menjadi parti contoh kepada rakyat yang ramai-ramai ini.

Selalunya orang seperti Kamilia ini akan dinilai dengan baik setelah UMNO itu terkubur. Semasa itu nanti akan ramailah yang akan teringat kepada Kamilia dan barulah mereka hendak menghargai beliau tetapi semasa itu nanti Kamilia sendiri sudah terlalu lanjut usianya untuk berbuat sesuatu. Pendeknya UMNO sepatutnya tamatkan kontraknya untuk menjaga negara.

Sepatutnya UMNO diketepikan sepuluh tahun dahulu lagi. Seandainya UMNO ditolak sepuluh tahun dahulu, ada kemungkinan parti itu boleh diperbaiki tetapi apabila UMNO sudah menjadi parti beku saya tidak nampak bagaimana UMNO boleh diperbaiki lagi kerana semua organ-organ dalam UMNO itu sudah rosak ke tahap ‘terminal’.

Tetapi rakyat Melayu masih bernasib baik kerana parti yang ditindas selama ini sudah begitu matang dan serius untuk mengambilalih kepimpinan dari UMNO, iaitu PAS. Himpitan yang dialami oleh PAS selama lebih dari lima dekad telah membuatkan parti itu menjadi segar dan matang yang mampu memberikan ‘alternative’ kepimpinan kepada negara.

PAS semasa dihimpit dan ditekan selama ini dengan penuh kesabaran telah membina parti itu menjadi parti yang begitu mantap dan memahami segala degup jantung rakyat berbilang kaum di negara ini.

Manifestasi yang ditunjukkan oleh Kamilia itu sudah cukup untuk membuktikan yang UMNO sudah sampai waktu berehatnya. Kita mahu merasakan ‘ambience’ baru dalam politik tanah air dan itu adalah hak setiap rakyat untuk merasakannya.

Perlu diingat Putrajaya itu hanyalah tanah TOL (Temperory Occupancy Licence) kepunyaan rakyat. Rakyat boleh pilih PAS pula menduduki tanah TOL itu.

20 April 2013

Putrajaya kawasan berprestij, Husam lah yang secucuk sebagai wakilnya



Pertembungan diantara Husam Musa dan Tengku Adnan di kawasan Parlimen Putrajaya dalam PRU ini amat menarik bagi diri saya untuk membuahkan sedikit komen. Awal-awal bicara saya ini, saya terus terang berkata kalaulah benar-benar pengundi di Putrajaya mahukan seorang wakil yang betul-betul mempunyai ‘attribute’ sebagai seorang wakil yang betul, maka Husam lah orangnya. Jika kita mahukan seorang yang ‘colorful’ dengan berbagai-bagai isu, maka Tengku Adnan lah yang betul.

Husam seorang Naib Presiden PAS dan tidak mempunyai apa-apa warna yang menjadikan beliau seorang yang boleh dipersoalkan. Berbeza dengan T Adnan, Husam tidak mempunyai isu yang membabitkan perjudian atau isu salah laku korporat yang menjejaskan imej sebagai seorang ahli Dewan Legislatif bagi kawasan yang berprestij seperti Putrajaya itu.

Jika kita benar-benar memilih mengikut markah keperibadian, Husam sememangnya jauh lebih bersesuaian untuk mewakili rakyat Putrajaya. Segala-gala yang ada  pada Husam itu semuanya ‘natural’ dan tidak ditempelkan dengan imej-imej palsu seperti yang ada kepada Tengku Adnan.

Hanya satu yang lebihnya T Adnan dari Husam, iaitu T Adnan banyak wang ringgitnya. Tengku Adnan mempunyai banyak bisness yang besar-besar dan semua bisness beliau itu adalah dari kedudukan beliau dalam UMNO selama ini sehinggalah jawatan beliau sebagai Setiausaha Agong UMNO.

Tengku Adnan berbuat bisness dengan taikonya Vincent Tan. Tengku Adnan lebih takut kepada Vincent Tan dari pimpinan tertinggi UMNO itu sendiri. Kita boleh campurkan satu dengan satu atau dua dengan dua, kita tahu kenapa Vincent Tan begitu berpengaruh dalam kerajaan dan UMNO itu sendiri.

Justeru jika rakyat Putrajaya mahukan wakilnya seorang yang seperti T Adnan ini maka Tengku Adnan lah patut dipilih. Tetapi di sebaliknya jika kita mahukan seorang wakil Legislatif yang berwibawa dengan keperibadian yang segar secucuk dengan imej Putrajaya sebagai kawasan induk negara ini, maka Husam Musa lah orang yang paling tepat dan sesuai untuk mewakili pengundi di Putrajaya. Dari segi kemanusiaannya Husam adalah seorang yang secara relatifnya jauh lebih lengkap dari lawannya itu.

Saya yang merupakan pengundi di Kuala Pilah tidak dapat memberikan undi kepada Husam. Jika undi boleh dikirim seperti kita mengirim undi dalam rancangan Akademi Fantasia, saya akan menghantar undi kepada Husam Musa sebanyak yang mungkin kerana sokongan terhadap Husam tidak boleh di abaikan jika kita mahukan perubahan.

Husam perlu diberikan sokongan samada dengan kerja tubuh seperti berkempen dan merayu undi atau usaha yang lebih mulia iaitu untuk bermohon terus kehadrat Allah SWT. Pengundi-pengundi Putrajaya wajar menjolok rahmat dari Allah SWT agar Putrajaya mendapat seorang wakil yang berprestij imejnya dan jernih wajahnya.

Saya berdoa agar Husam sentiasa berada di dalam keredhaan Tuhan Maha Esa.

PAS NS terpaksa menang banyak kerusi untuk menutupi kelemahan PKR

Saya berasal dari Negeri Sembilan maka tidak hairan jika ramai yang bertanya tentang keadaan dan ‘status’ peluang kedua-dua pihak dalam pilihanraya kali ini. Saya tidak dapat memberikan secara terperinci kerana saya kurang bergiat di NS dalam siri kempen selama ini. Sebab kenapa saya kurang berhadapan dengan orang ramai di NS itu tentu mudah difahami oleh ramai. Saya tidak mahu menyebutnya dalam posting ini.

Peluang Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan NS sememangnya besar, tetapi peluang untuk BN untuk mengekalkan kerajaan juga besar. Pada asasnya sememangnya tidak ada sebab kenapa BN masih mampu berkuasa lagi tetapi oleh kerana pihak yang ingin mengambil alih sendiri mempunyai masalah yang mungkin menjadikan usaha untuk mengambil alih itu akan gagal.

Secara jujur ‘the weaker link’ dalam PR di NS itu adalah PKR. Keutuhan sokongan terhadap DAP dan PAS nampaknya begitu kuat dan jika BN mampu mempertahankan kuasa kali ini adalah disebabkan PKR dan tidak ada sebab yang lain. Beberapa kali saya berada di NS dalam siri kempen sejak setahun yang lalu saya nampak isu ini diperkatakan oleh ramai. Jika saya tidak bercakap pun orang ramai akan bercakap juga.

Ramai yang beranggapan bahawa PKR adalah sebuah parti yang mempunyai DNA UMNO yang kuat. ‘Attribute’ PKR tidak banyak bezanya daripada UMNO. Pengongkongan kuasa oleh pimpinan PKR NS memberikan masalah kepada rakan kongsi dalam PR sendiri. Suka tidak suka ini adalah pandangan yang paling realistik dan ‘real’ yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat di NS.

PAS dijangka mendapat kemenangan tambahan di beberapa kawasan di NS itu. Ramai yang berpendapat Johol, Lenggeng, Labu dan Chembong adalah kawasan-kawasan yang hampir pasti jatuh ke tangan parti itu. PAS mungkin juga mendapat kemenangan dalam beberapa kawasan dalam Parlimen Jempol. Pendeknya PAS merupakan parti yang mempunyai penambahan sokongan yang besar kerana orang Melayu mengambil PAS sebagai parti ‘alternative’ kepada UMNO yang kian hari kian hilang sokongan.

PKR tidak mahu memahami yang mereka perlu bersatu sesama sendiri dalam parti itu sendiri untuk membantu jemaah PR menuju kemenangan. DAP merupakan parti ‘dominan’ dan parti itu telah memenangi semua kerusi yang sepatutnya dimenangi dalam pilihanraya yang lalu, kecuali untuk merampas kawasan Chennah di Parlimen Jelebu.

Berlakunya perbalahan di antara pimpinan PKR itu berkisar dalam isu merebutkan kerusi Menteri Besar jika PR memerintah. Selalu saya nyatakan dalam posting saya yang kita tidak boleh berebut sebelum memenangi majoriti dalam DUN NS itu. Kamarul Baharin mesti ingat jika kita menjadi tukang jolok, buah yang jatuh itu akan disambut oleh orang lain. ‘Tidak mungkin orang yang menjolok itu dapat menyambut buah yang jatuh itu’.

Jika betul pun niat Kamarul Baharin bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar, beliau sepatutnya lebih menumpukan kepada membariskan calon-calon yang tidak berbalah dalam menghadapi BN ini. Tidak ada siapa yang boleh menahan beliau jadi Menteri Besar jika Pakatan menang, tetapi jika belum pun melangkah ke depan parti itu bergaduh sesama sendiri, itu akan pasti menghadapi kekalahan dan seterusnya akan membawa rakan-rakan dalam Pakatan itu sendiri kecundang untuk mendapatkan mandat rakyat itu.

Sekarang ini, jika PKR tidak dapat mempertahankan kerusi DUN yang mereka menangi dalam PRU yang lalu maka untuk mendapatkan kejayaan menempah kuasa dalam kerajaan NS itu adalah satu ‘uphill battle’ dan kemungkinan BN akan masih berkuasa bertambah besar. Tindakan mencabut dan menganjak calon-calon yang telah membuat kerja selama ini adalah satu tindakan yang membunuh PKR itu sendiri.

Sekarang yang saya nampak PKR mempunyai peluang untuk menang satu atau dua kerusi DUN hanyalah di Kuala Pilah, itu pun kerana UMNO di Kuala Pilah begitu bercelaru hasil tindakan Mohamad Hasan memecah-belahkan UMNO bahagian itu untuk kepentingan selera dan kemahuan beliau sendiri. Saya sudah tidak nampak bagaimana PKR boleh mempertahankan kerusi Sikamat dan Ampangan yang dimenangi oleh PKR pada pilihanraya yang lalu.

Kamarul yang bertanding di kawasan Ampangan itu belum tentu dapat menguasai sokongan ramai kerana penyokong-penyokong Rafie yang sepatutnya bertanding di kawasan itu telah melakukan ‘protest’ secara senyap dan terbuka terhadap Kamarul Baharin.

Pendeknya yang memberi masalah kepada Pakatan Rakyat di NS adalah PKR. Masalah PKR ini memungkinkan prestasi rakan-rakan kongsi dalam Pakatan itu akan terjejas.

Dalam masa dua minggu inilah PKR terpaksa meningkatkan prestasinya di hadapan rakyat yang semuanya sedang membuat pemerhatian yang teliti. Jika PKR tidak mampu melakukannya maka kerusi idaman PKR dan pemimpinnya di NS itu akan terlepas.

Ada pepatah adat berbunyi, ‘togah dek lonjak posok kotayap di kopalo’. Terlampau banyak menjolok, buah yang jatuh itu disambut oleh orang yang lain. Walau bagaimana pun kelemahan PKR itu akan dapat ditutupi oleh beberapa kemenangan tambahan pihak PAS di beberapa kawasan yang lain di NS.

Setiap insan yang mahukan perubahan di NS berwajib untuk memenangkan semua 12 calon PAS dalam pilihanraya ini untuk menambah kemenangan sebelas kerusi yang bakal dimenangi oleh DAP. Setiap rakyat yang prihatin wajar memainkan peranan secara sendiri dan secara berjemaah untuk memberikan kemenangan mutlak kepada semua calon PAS. 'Kok yang pokak bakarlah meriam, kok yang buto pengembus losung, kok yang capek penunggu jemuran dan kok dio alim hendakkan doanya'.

Sayang, "‘baju pengantin' yang sudah ditempah mungkin tidak dapat dipakai akhirnya". Teringat juga kepada sejarah perang Uhud dahulu. Tentera Islam kalah kerana sambil berperang tentera Islam sibuk memerhatikan harta rampasan perang itu. Tentera Islam tidak dapat melepaskan pandangan mereka terhadap harta rampasan perang yang bakal mereka perolehi selepas peperangan itu.

Akhirnya menang juga pihak musyrikin. Tentera Islam jatuh bergelimpangan walaupun mati mereka itu adalah kematian syahid.