Cadangan Anwar supaya Najib
jangan bertangguh lagi untuk duduk dengan Pakatan Rakyat untuk duduk berunding
di meja bulat mendapat reaksi yang tidak memberangsangkan. Anwar telah meminta
BN dan Pakatan Rakyat duduk bersama membincangkan masalah besar negara seperti
masalah keselamatan, dan berbagai-bagai lagi isu yang dihadapi negara sekarang
ini. Anwar berkata beliau sanggup menerima kekalahan dalam PRU13 yang lalu dan
PR dan BN elok bersatu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi negara.
Saranan Anwar ini dianggap oleh
setengah pihak di dalam dan diluar BN sebagai tindakan politik ‘desperate’
Anwar kerana telah gagal memenangi pilihanraya yang lalu. Beliau begitu
berkeyakinan sebelum pilihanraya itu yang PR akan pasti memenangi PRU ke13 itu
sehinggakan beliau telah memberikan amaran keras kepada SPR dan mana-mana pihak
yang bersama BN akan diambil tindakan setelah PR berkuasa dan beliau menjadi
Perdana Menteri..
Tidak mungkin Anwar akan
mengeluarkan kenyataan sebegitu melulu jika beliau tidak mempunyai keyakinan
tinggi untuk memenangi PRU 13 itu. Dalam politik jejak kita di dalam air pun boleh
diikuti musuh apatah lagi membaca hati pemimpin yang ghairah kuasa seperti
Anwar itu. Bukan satu perkara yang susah untuk ‘menyelami air di dalam tunggak’
apabila membaca kenyataan Anwar itu. Seperti kata ramai yang menghubungi saya,
Anwar itu hanya hendak menjadi Perdana Menteri dengan apa jalan sekali pun.
Dengan keadaan negara yang begitu
membimbangkan, Anwar menggunakan keadaan ini untuk ‘political expediency’ untuk
diri beliau sahaja. Beliau tahu yang Najib sedang berada di dalam kesepian
kerana beliau ternyata dan terbukti seorang pemimpin yang gagal dan tidak lagi
mendapat penghormatan ramai selepas sahaja pilihanraya selesai pada 5hb Mei
yang lalu.
Najib sesungguhnya dalam keadaan ‘desperate’
dan perbincangan diantara beliau dan Anwar ini merupakan tindakan masalah
politik dua pemimpin yang ‘desperate’ sahaja. Apabila pemimpin dalam keadaan
terdesak, mereka tidak akan membuat keputusan dengan betul dan tidak sempat
menarik nafas ke dalam dengan baik. “Jangan sekali-kali mewariskan kepimpinan
negara kepada Anwar” kata seorang bekas ahli akademik terkemuka negara.
Jika mereka berdua ini berunding,
mereka berdua sahaja yang bersatu tetapi tidak dipihak rakyat yang ramai. Ia
akan menyelesaikan satu masalah tetapi akan timbul masalah yang lain pula.
Masalah akan tetap wujud malahan akan bertambah besar lagi. Selesai satu
masalah akan timbul masalah lain yang lebih besar lagi.
Saya perturunkan satu sms yang
saya terima dari seorang rakan secara berseloroh petang semalam berhubung
dengan usaha Najib dan Anwar untuk bersatu dan duduk semeja yang bulat atau
bersegi itu. Katanya, Najib dan Anwar sama saja. Mereka ibarat dukun atau
pawang yang menjampi serapah rakan yang menghidap penyakit kayap.kayap. Jampi
itu berbunyi:-
Ulat batu pulang ke batu,
Ulat tanah pulang ke tanah,
Sembuh satu datang satu,
Yang dah baik pun kembali
menanah.
Maksud rakan saya itu, tidak akan
terjumpa penyelesaian jika Anwar dijadikan pemimpin yang mewarisi kepimpinan
kerajaan kita ini. Anwar akan membawa banyak masalah lain untuk rakyat jika
beliau mendapat tempat hasil dari rundingannya dengan Najib. Selesai satu
masalah timbul pula masalah besar yang lain.
Beberapa orang pemimpin PAS
berkata, Anwar sudah kembali kepada karektur lamanya. Bemuka-muka dan
berlakon-lakon itu merupakan pakaian beliau. Beliau tidak sepatutnya membawa
nama Pakatan Rakyat dalam usahanya itu kerana Pakatan Rakyat tidak pernah
diberitahu oleh sesiapa yang parti-parti dalam komponen Pakatan Rakyat itu
telah bersetuju untuk ketua mereka itu berbincang dengan BN.
Bagaimana Anwar hendak memberikan
alasan perpaduan sebagai penyebab beliau terhegeh-hegeh hendakkan penyatuan itu
setelah mahkamah menolak keputusan petisyen pilihanraya yang difailkan
diseluruh negara itu. Anwar bertukar ‘stance’ nya setelah ruang untuk beliau
menjadi PM semakin menyempit. Keterdesakan beliau itu membuatkan beliau
bertindak mengadap seorang pemimpin terdesak yang lain pula.
Jika Anwar mahukan perbincangan
itu mungkin beliau boleh membawa hanya nama PKR sahaja, dan bukannya Pakatan
Rakyat.
Itulah sebabnya, jangan memasang
terlalu banyak jerat, kerana akhirnya kita sendiri akan memijak jerat yang kita
pasang itu. Anwar perlu ingat yang di jerat itu tidak mudah melupakan jerat.
Hanya pemasang jerat sahaja selalu lupa kepada jerat yang dipasangnya
merata-rata.
Sesungguhnya Anwar dan Najib
boleh duduk dalam satu kariah kerana masing-masing mempunyai masalah
masing-masing. Selesaikan masalah mereka dahulu sebelum cuba untuk
menyelesaikan masalah yang mereka ciptakan sendiri.
Ingat kepada kata-kata jampi
serapah tadi, ‘sembuh satu datang satu, yang dah baik pun kembali menanah’.