31 August 2013

Sembuh satu datang satu, yang dah baik pun kembali menanah

Cadangan Anwar supaya Najib jangan bertangguh lagi untuk duduk dengan Pakatan Rakyat untuk duduk berunding di meja bulat mendapat reaksi yang tidak memberangsangkan. Anwar telah meminta BN dan Pakatan Rakyat duduk bersama membincangkan masalah besar negara seperti masalah keselamatan, dan berbagai-bagai lagi isu yang dihadapi negara sekarang ini. Anwar berkata beliau sanggup menerima kekalahan dalam PRU13 yang lalu dan PR dan BN elok bersatu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi negara.

Saranan Anwar ini dianggap oleh setengah pihak di dalam dan diluar BN sebagai tindakan politik ‘desperate’ Anwar kerana telah gagal memenangi pilihanraya yang lalu. Beliau begitu berkeyakinan sebelum pilihanraya itu yang PR akan pasti memenangi PRU ke13 itu sehinggakan beliau telah memberikan amaran keras kepada SPR dan mana-mana pihak yang bersama BN akan diambil tindakan setelah PR berkuasa dan beliau menjadi Perdana Menteri..

Tidak mungkin Anwar akan mengeluarkan kenyataan sebegitu melulu jika beliau tidak mempunyai keyakinan tinggi untuk memenangi PRU 13 itu. Dalam politik jejak kita di dalam air pun boleh diikuti musuh apatah lagi membaca hati pemimpin yang ghairah kuasa seperti Anwar itu. Bukan satu perkara yang susah untuk ‘menyelami air di dalam tunggak’ apabila membaca kenyataan Anwar itu. Seperti kata ramai yang menghubungi saya, Anwar itu hanya hendak menjadi Perdana Menteri dengan apa jalan sekali pun.

Dengan keadaan negara yang begitu membimbangkan, Anwar menggunakan keadaan ini untuk ‘political expediency’ untuk diri beliau sahaja. Beliau tahu yang Najib sedang berada di dalam kesepian kerana beliau ternyata dan terbukti seorang pemimpin yang gagal dan tidak lagi mendapat penghormatan ramai selepas sahaja pilihanraya selesai pada 5hb Mei yang lalu.

Najib sesungguhnya dalam keadaan ‘desperate’ dan perbincangan diantara beliau dan Anwar ini merupakan tindakan masalah politik dua pemimpin yang ‘desperate’ sahaja. Apabila pemimpin dalam keadaan terdesak, mereka tidak akan membuat keputusan dengan betul dan tidak sempat menarik nafas ke dalam dengan baik. “Jangan sekali-kali mewariskan kepimpinan negara kepada Anwar” kata seorang bekas ahli akademik terkemuka negara.

Jika mereka berdua ini berunding, mereka berdua sahaja yang bersatu tetapi tidak dipihak rakyat yang ramai. Ia akan menyelesaikan satu masalah tetapi akan timbul masalah yang lain pula. Masalah akan tetap wujud malahan akan bertambah besar lagi. Selesai satu masalah akan timbul masalah lain yang lebih besar lagi.

Saya perturunkan satu sms yang saya terima dari seorang rakan secara berseloroh petang semalam berhubung dengan usaha Najib dan Anwar untuk bersatu dan duduk semeja yang bulat atau bersegi itu. Katanya, Najib dan Anwar sama saja. Mereka ibarat dukun atau pawang yang menjampi serapah rakan yang menghidap penyakit kayap.kayap. Jampi itu berbunyi:-


Ulat batu pulang ke batu,
Ulat tanah pulang ke tanah,
Sembuh satu datang satu,
Yang dah baik pun kembali menanah.

Maksud rakan saya itu, tidak akan terjumpa penyelesaian jika Anwar dijadikan pemimpin yang mewarisi kepimpinan kerajaan kita ini. Anwar akan membawa banyak masalah lain untuk rakyat jika beliau mendapat tempat hasil dari rundingannya dengan Najib. Selesai satu masalah timbul pula masalah besar yang lain.

Beberapa orang pemimpin PAS berkata, Anwar sudah kembali kepada karektur lamanya. Bemuka-muka dan berlakon-lakon itu merupakan pakaian beliau. Beliau tidak sepatutnya membawa nama Pakatan Rakyat dalam usahanya itu kerana Pakatan Rakyat tidak pernah diberitahu oleh sesiapa yang parti-parti dalam komponen Pakatan Rakyat itu telah bersetuju untuk ketua mereka itu berbincang dengan BN.

Bagaimana Anwar hendak memberikan alasan perpaduan sebagai penyebab beliau terhegeh-hegeh hendakkan penyatuan itu setelah mahkamah menolak keputusan petisyen pilihanraya yang difailkan diseluruh negara itu. Anwar bertukar ‘stance’ nya setelah ruang untuk beliau menjadi PM semakin menyempit. Keterdesakan beliau itu membuatkan beliau bertindak mengadap seorang pemimpin terdesak yang lain pula.

Jika Anwar mahukan perbincangan itu mungkin beliau boleh membawa hanya nama PKR sahaja, dan bukannya Pakatan Rakyat.

Itulah sebabnya, jangan memasang terlalu banyak jerat, kerana akhirnya kita sendiri akan memijak jerat yang kita pasang itu. Anwar perlu ingat yang di jerat itu tidak mudah melupakan jerat. Hanya pemasang jerat sahaja selalu lupa kepada jerat yang dipasangnya merata-rata.

Sesungguhnya Anwar dan Najib boleh duduk dalam satu kariah kerana masing-masing mempunyai masalah masing-masing. Selesaikan masalah mereka dahulu sebelum cuba untuk menyelesaikan masalah yang mereka ciptakan sendiri.

Ingat kepada kata-kata jampi serapah tadi, ‘sembuh satu datang satu, yang dah baik pun kembali menanah’.

30 August 2013

Masih adakah sebuah kerajaan yang mentadbir kita?

Walaupun negara telah selesai mengadakan pilihanraya, keadaan dan perasaan tidak menentu masih di rasakan dikalangan orang ramai. Rakyat merasakan keadaan lebih buruk, seolah-olah mereka tidak lagi ditadbir oleh sebuah kerajaan. .
Harga barangan masih tinggi. Keselamatan rakyat bertambah membimbangkan kerana setiap hari ada sahaja nyawa yang hilang dan harta benda dirompak melalui pecah rumah dan ragut. Dimana-mana kedengaran jenayah dilakukan dan melibatkan nyawa rakyat dari berbagai-bagai peringkat umur.

Dua hari lepas seorang eksekutif syarikat penerbangan berumur 30 tahun telah mati ditetak di hadapan rumahnya. Nyawa begitu murah dan jumlah kematian melalui kejadian jenayah ini nampaknya hampir sama dengan kematian bagi sebuah negara yang sedang menghadapi peperangan.

Rakyat merasakan kerajaan sudah bertambah miskin dan dalam pada itu mereka (Rakyat) akan berhadapan dengan GST dan lain-lain. Berbagai-bagai isu timbul dan yang terakhir timbul isu penayangan Tanda Putera, filem yang di kontroversikan oleh parti pembangkang. Di Pulau Pinang tayangan filem itu diharamkan dipanggung-panggung kerana kerajaan DAP negeri itu mempunyai kuasa untuk melarangnya dari ditayangkan. Segala yang berlaku mendapat reaksi yang negatif dari pihak yang bertentangan.

Jika benar Tanda Putera itu merupakan filem yang busuk dan tidak baik kerana dikatakan filem itu berunsur rasis, rakyat Pulau Pinang tidak dapat buktinya kerana filem itu di haramkan dari di tayangkan dipanggung-panggung di Pulau Pinang. Rakyat Pulau Pinang hanya mendengar sahaja tuduhan DAP itu, tetapi tidak mendapat peluang mendapatkan kebenaran dari tuduhan DAP itu kerana tidak berpeluang menontonnya.

Kempen untuk menaikkan semangat menyambut Hari Kebangsaan juga gagal kerana rakyat tidak berminat untuk turut serta menyemarakkan Hari Kemerdekaan itu. Rakyat sedang menunjukan sikap tidak berpuas hati terhadap kerajaan secara pasif dan tidak memberikan kerjasama terhadap apa sahaja yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

Rakyat sudah berpecah-belah kerana mereka memihak kepada parti dan pemimpin masing-masing. BN bermusuh dengan PR dengan hebatnya dalam pilihanraya dahulu maka rakyat sudah berbelah seolah-olah tidak akan ada amannya lagi. Dalam pada itu pemimpin besar yang membawa penyokong masing-masing untuk berkelahi dan mencerca diantara satu dengan lain dalam senyap-senyap telah mengadakan rundingan dan sedang berkira-kira membahagi-bahagikan jawatan Perdana Menteri.

Rata-rata orang bercakap yang UMNO diSelangor tidak perlu bimbang kerana dalam rundingan diantara Ketua Kerajaan dengan Ketua Pembangkang melibatkan pemindahan hal milik kerajaan kepada UMNO. Benar atau tidak berita ini tidak dapat diketahui. Tetapi cerita itu tersebar dikalangan penggiat politik di Selangor.

Pengikut yang bengkak-bingkik akan ditinggalkan dan mereka akan tetap berpecah diperingkat bawahan. Mereka ini semata-mata digunakan semasa pemimpin yang bernafsu besar ini ingin menggunakan mereka untuk menunjukan kekuatan mereka.

Mereka berunding seolah-olah negara ini mereka berdua sahaja yang punya dan mengharapkan segala yang mereka berdua persetujui itu wajib disokong oleh semua pihak yang bertelagah tadi. Rundingan itu merupakan rundingan diantara dua ‘desperados’ semata-mata dan hasilnya tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada negara.

Bagi pemimpin-pemimpin seperti ini kuasa itu adalah modal ‘business’ yang besar bagi mereka. Kalau tidak masakan mereka sanggup menggunakan pemimpin negara jiran untuk menjadi orang tengah untuk merapatkan kembali hubungan mereka semata-mata kerana kuasa. Mereka menamakan ini sebagai tindakan pembentukan kerajaan perpaduan.

Sebelum pilihanraya dahulu dijanjikan yang bantuan 1Malaysia, BRIM akan diteruskan selepas  pilihanraya dan kali ini kita tengoklah samada janji-janji itu akan terlaksana dalam masa terdekat ini. Mereka cuba menyelesaikan masalah dengan menyuap dan membeli masalah itu seolah-olah masalah-masalah itu boleh selesai dengan wang ringgit.

Bagi komuniti ‘professional’ yang mahir dengan kewangan pula isu perbincangan mereka tidak boleh lari dari isu hutang negara. Jika dikira sekali hutang-hutang melalui ‘off-budget agencies’ yang berjumlah lebih dari RM126 billion itu ia sudah melangkaui 68 peratus berbanding dengan GDP negara. Rakyat mempunyai persepsi jika tiada Petronas negara ini sudah menjadi sebuah negara muflis.

Laungan kejayaan negara dan cita-cita hendak menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju menjadi ejekan rakyat dimana-mana. Bagi pemimpin yang berkuasa mereka hanya mampu dianggap sebagai berkorban untuk negara dengan terus memegang kuasa dengan alasan ‘continuity’ kepimpinan agar apa yang di rancang untuk rakyat itu tidak terganggu perlaksanaannya.

Mereka tidak mahu menerima hakikat yang berundur dari memegang kuasa itu adalah pengorbanan yang paling suci untuk rakyat dan negara. Malahan ada pemimpin yang sudah bersara setelah memegang kuasa berdekad-dekad masih lagi sibuk berpolitik dan masih tidak berhenti memecah-belahkan kepimpinan negara dan mahu legasinya terus diperkokohkan.

Krisis keyakinan terhadap kepimpinan negara berlarutan dan sekarang seolah-olah negara kita tidak berkerajaan kerana negara ditadbir tidak selari dengan kehendak kepimpinan sebuah negara yang merdeka.

Masih tiada lagi keyakinan terhadap sistem pentadbiran sebuah negara merdeka. Semua institusi demokrasi sudah tidak lagi mendapat keyakinan rakyat untuk berfungsi secara betul.  Polis di persoalkan, mahkamah tidak di yakini lagi, badan pencegah rasuah tidak di hormati lagi, malahan tiada satu pun lagi institusi kerajaan mendapat keyakinan rakyat kini.

Rakyat terus dalam pencarian. Mereka yang terpapar dalam media massa setiap hari itu semuanya rakyat sedang persoalkan, baik yang sudah tua atau pun yang muda. Budaya dan pemikiran mereka sama sahaja.

Inilah akibatnya apabila pemimpin yang tidak bertanggungjawab dahulu, melakukan ‘pembunuhan politik’ terhadap mereka yang berkepimpinan. Hasilnya mereka yang telah dibenamkan politik mereka dan diambil alih oleh pemimpin seperti Najib dan Anwar Ibrahim serta pemimpin baik seperti Abdullah tetapi tidak punya kepimpinan. Semua mereka ini terbit dari acuan Dr Mahathir dahulu.

Yang ada kepada kita hanya satu sahaja pilihan, iaitu berdoa dan terus berdoa agar Tuhan datangkan seorang yang boleh dan berkemampuan untuk mengembalikan keunggulan kerajaan yang pernah kita alami semasa tiga Perdana Menteri yang pertama dahulu.

28 August 2013

MCA menjadi mangsa keadaan, mengalami 'double jeopardy'

MCA telah menjadi korban keadaan setelah BN memenangi pilihanraya dengan kehilangan majoriti 2/3 dalam pilihanraya ke12 yang lalu. MCA hanya memenangi 15 kerusi di Parlimen dan keadaan itu terus menjadi runcing dalam pilihanraya ke13 lalu.

MCA bukanlah melakukan kesalahan yang begitu buruk tetapi oleh kerana MCA itu rakan kongsi kepada UMNO, MCA telah menerima bahangnya dan menjadi korban keadaan apabila kawasan Cina DAP telah mendapat tempat dihati pengundi kaum Cina dalam pilihanraya yang lalu.

Jika di imbas kembali kenyataan pemimpin-pemimpin MCA selepas pilihanraya ke12 dahulu, kita akan teringat bagaimana pemimpin-pemimpin MCA membidas kelemahan UMNO sehinggakan parti itu sendiri menghadapi malang kerana bersekongkol dengan kelemahan UMNO semasa itu.

Kita bukan tidak ingat MCA memperjuangkan kaumnya dan meminta serta mendesak agar perkara-perkara penting wajar diperbaiki dan mengelakkan negara kita terperangkap dengan ‘middle income trap’ dan sebagainya. Keadaan itu adalah di sebabkan dasar keistimewaan orang Melayu yang berpanjangan. MCA telah mendesak BN supaya memperbaiki dasarnya agar pembangunan negara tidak terbantut semata-mata kerana dasar yang mementingkan kepentingan Melayu yang keterlaluan.

Tetapi apabila pilihanraya ke13 menghampiri masanya, MCA terpaksa berjuang mengikut cara lain iaitu dengan berbincang dan berbahas didalam BN tanpa diketahui ramai untuk menjaga imej BN yang kian lemah menghadapi tekanan pihak pembangkang dari Pakatan Rakyat.

Apabila MCA memperjuangkan bangsanya dari dalam dan secara kekeluargaan dengan UMNO dan lain-lain, DAP mengambil kesempatan untuk mengambil alih laungan perjuangan untuk bangsanya seolah-olah pada pandangan ramai MCA dianggap sebagai parti yang menjadi ‘kaldai’ kepada UMNO rakan kongsi terbesar dalam BN itu.

Sebenarnya apa yang di desak oleh MCA terhadap UMNO lebih dahsyat lagi dari desakan DAP, tetapi tindakan MCA itu tidak menampakkan ‘aggressiveness’ nya, maka DAP mengambil tempat kononnya memperjuangkan untuk bangsanya, kaum Cina. MCA terperangkap dengan situasi menjaga keharmonian BN dan perjuangan terbuka untuk bangsanya.

Malahan banyak dari umpan dan pertolongan kepada kaum Cina oleh PM Najib sebelum pilihanraya itu adalah hasil perjuangan MCA bagi mengambil hati kaum Cina dan menyokong MCA dalam pilihanraya yang lalu. Tetapi oleh kerana ‘mood’ yang berlainan telah wujud hasil dari kebijaksanaan DAP mengambil alih kasih dan sayang kaum Cina itu, maka MCA menjadi korban keadaan politik semasa itu.

Beberapa pemimpin MCA yang saya kenali secara peribadi bercakap hal ini apabila mereka terjumpa saya dimana-mana. Katanya MCA menjadi mangsa keadaan dan kaum Cina telah melupakan segala jasa-jasa parti itu dalam membentuk kaum Cina yang ‘dynamic’ dalam semua bidang sehingga keadaan kaum Cina begitu stabil dan maju jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain dinegara ini.

Mereka merasakan kaum Cina telah melupakan usaha gigih partinya membina kekuatan pendidikan dan pelajaran untuk kaum Cina. Tiada mana-mana parti pun kata mereka dikalangan kaum Cina yang telah berjaya menubuhkan beberapa buah institusi pendidikan tinggi yang dipelopori MCA seperti Universiti Tunku Abdul Rahman, dan TAR College yang telah menambah daya saingan kaum Cina dalam bidang pelajaran.

Pemimpin MCA itu dengan terang memberi tahu saya semasa terjumpa mereka, yang kaum Cina tidak akan mencapai keadaan dan kemajuan yang mereka ada pada hari ini jika tidak kerana MCA.

Saya yang mendengar keluhan itu hanya berdiam diri sahaja sambil berfikir alasan yang mereka ucapkan kepada saya. Saya juga mahu sahaja mengakui yang kaum Cina yang bijak-bijak memberikan sokongan kepada DAP sekarang ini mendapat pendidikan dari kolej dan Universiti anjuran MCA. Malahan tidak salah jika dikatakan yang kaum Cina begitu maju kehadapan dalam bidang pelajaran dengan usaha gigih MCA memperjuangkan bangsanya untuk maju dalam semua bidang kehidupan.

Saya tidak memberikan reaksi yang banyak tentang komen seperti ini, hanya memberikan jawapan yang boleh menyenangkan mereka mendengarnya. Saya hanya memberikan kenyataan yang setiap parti ada pasang surutnya. MCA pernah ketinggalan dalam pilihanraya 1969 tetapi kembali pulih selepas pilihanraya 1974 dahulu. DAP pernah kalah dalam hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan kecuali dikawasan-kawasan yang sememangnya menjadi kubunya.

Semasa MCA jatuh pada pilihanraya 1969 dahulu ia di nilai dari beberapa kelemahan parti itu pada masa itu. Oleh yang demikian DAP juga tidak boleh lari dari menghadapi isu yang sama, apa tah lagi sekarang DAP memenangi kerusi dalam kadar yang optima dan sudah tidak ada banyak lagi kerusi yang mereka akan menang untuk menambah bilangan kerusi mereka. Itu sebabnya DAP sedang berusaha untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak kerana DAP sedang menghadapi ‘saturation’ di Semenanjung ini.

Bagi saya MCA telah menghadapi ‘double jeopardy’ dalam pilihanraya yang lalu. Parti itu kehilangan sokongan kaum Cina dan juga hilang sokongan kaum Melayu kerana UMNO sedang menghadapi masalah dengan kaum Melayu juga. Oleh kerana MCA bertanding dikawasan-kawasan yang bilangan Melayu yang agak besar maka parti itu menghadapi situasi yang sangat sulit dan akhirnya menjadi mangsa keadaan semata-mata.

Tetapi itulah politik, ada masa pasang surutnya. DAP yang begitu dorminan di kawasan-kawasan pengundi Cina sekarang pun sudah mula menghadapi masalah sokongan dari semua kaum, tetapi tidak dapat di ukur sejauh mana seriusnya keadaan yang dihadapi DAP.

Keghairahan DAP semasa pilihanraya yang lalu juga sudah menampakkan kelemahan yang sangat nyata. DAP tidak melunaskan banyak janji-janji seperti yang mereka laungkan semasa kempen pilihanraya yang lalu dan ini sedang dalam pemerhatian rakyat ramai. DAP begitu popular dalam pilihanraya yang lalu tetapi apa yang dikhuatiri ia hanya merupakan populariti seperti populariti lagu pop sahaja, tidak kekal lama.

Laungan DAP sebagai parti berbilang kaum tidak nampak kebenarannya kerana tidak ada satu elemen pun dalam parti itu yang menunjukkan parti itu serius dalam janji-janjinya. Ia tetap sebuah parti untuk kaum Cina dan tidak ada bezanya dengan MCA yang telah banyak berkerjasama kepada bangsanya itu.

Jika ada pun seorang dua Melayu didalamnya ia hanyalah merupakan ‘window dressing’ untuk mengelirukan bangsa Melayu yang sedikit memberikan sokongan kepada parti itu dalam pilihanraya yang lalu.

Sesungguhnya sememangnya tidak ada yang bercakap benar dalam parti-parti samada dalam BN atau pun di dalam Pakatan Rakyat. Saya yakin jika tidak ada persepsi rasuah yang dikaitkan dengan UMNO dan BN, Pakatan Rakyat tidak akan kemana-mana dalam pilihanraya yang lalu.

Selagi tidak ada perubahan dalam struktur politik negara ini, keadaan ini akan terus berlarutan dan semua pihak akan berhadapan dengan masalah yang tidak akan terungkai sampai bila-bila.

27 August 2013

Pemimpin atau rakyat yang perlu bina semangat patriotisma?

‘National Anthem Act’ 1968 akan berkuat kuasa tidak berapa lama lagi didalam pawagam. Semua penonton mesti bangun dan menghormati ‘Negara Ku’ yang akan dimainkan sebelum tayangan sesebuah filem itu.. Sesiapa yang melanggarnya boleh di denda tidak lebih dari seratus ringgit atau dipenjara tidak melebihi satu bulan. Ini adalah kandungan yang ada di dalam Akta itu yang digubal pada tahun 1968 dahulu.

Tujuannya, kata Menteri yang bertanggungjawab ialah untuk membina semangat patriotik terhadap negara dikalangan penonton pawagam itu dan rakyat keseluruhannya. Ramai yang menghubungi saya untuk memberikan komen tentang undang-undang baru ini. Maka saya bersetuju untuk memberikan komen pendek tentang undang-undang baru ini.

Selepas ini akan ramailah orang yang akan masuk penjara sebaik sahaja keluar dari pawagam-pawagam di seluruh negara. Jangan dipersoalkan niat Kementerian Penerangan itu dan Menterinya sekali. Niat mereka baik dan jujur untuk melihat pembangunan semangat patriotisma dikalangan rakyat  Jika dengan Akta baru ini boleh membinanya kita terima dan kita akur dengannya. Lagi pun sememangnya kita wajib berdiri semasa lagu Negara Ku itu dimainkan.  Tetapi kenapa mainkan di dalam pawagam?

Tetapi persoalannya adakah ini cara yang baik dan betul untuk membina semangat patriotisma itu? Jika itu cara yang terbaik adakah terfikir oleh kita apakah elemen-elemen yang akan membantutkan kempen patriotisma ini? Adakah dengan berdiri menghormati Negara Ku itu secara paksa seperti ini akan terbina semangat patriotisma yang di kehendaki kerajaan itu?

Dalam posting saya semalam saya dengan jelas memberikan pandangan yang membina semangat sayangkan negara tidak boleh semata-mata ditempelkan sahaja. Ia perlu datang dari keikhlasan dan kejujuran rakyat dari lubuk hati dan nurani mereka. Cara yang paling baik untuk membinanya ialah dengan kerajaan bersama dengan pimpinan keseluruhannya menunjukkan patrotisma itu dengan jelas.

Pemimpin-pemimpin yang mempunyai patriotisma adalah pemimpin yang komited untuk membina negara dengan jujur dan tidak melakukan jenayah kepada negara. Pemimpin seperti ini tidak akan melakukan kerja rasuah serta menggunakan kedudukan mereka untuk mengaut kepentingan peribadi dan sanggup memecah belahkan rakyat yang dahagakan perpaduan.

Yang terbaik dan terunggul sekali ialah pemimpin yang tidak mahu negara berpecah kerana mereka dan sanggup berkorban dengan meletakkan jawatan yang mereka sandang setelah gagal mentadbir rakyat dan negara dengan baik. Ini lah ciri patriotisma yang tertinggi nilainya.

Nilai ini bukan sahaja sepatutnya ada pada mereka yang sedang berkuasa yang mahu meletakkan jawatan. Ia juga terbabit dengan pemimpin yang ingin mendapatkan jawatan itu. Apabila seseorang itu telah terpalit dengan isu moral peribadi mereka juga tidak sepatutnya menawarkan diri untuk menjadi pemimpin negara.

Mereka yang telah dipersepsikan oleh rakyat sebagai pemimpin yang tidak bermoral juga sepatutnya berkorban dengan membatalkan niat untuk menjadi pemimpin utama negara kerana mereka juga akan membawa negara kepada kehancuran. Justeru pemimpin-pemimpin seperti ini juga boleh menunjukkan semangat patriotisma mereka dengan membatalkan sahaja niat untuk mengambil alih kepimpinan negara.

Selama ini pemimpinlah yang lebih menunjukkan rasa tidak patriotisma mereka dari rakyat. Rakyat sedar jika pemimpin itu benar-benar seorang yang patriotik, tidak aka nada diantara yang memegang kuasa menggunakan kuasa dan mandat itu dengan mengambil wang rakyat yang berbillion ringgit untuk menyelamatkan perniagaan anaknya.

Jika seseorang itu telah menggunakan pengaruhnya dengan mengambil wang rakyat dalam jumlah yang berbillion untuk menyelamatkan perniagaan anaknya ini, bolehkah, atau layakkah pemimpin seperti ini digulungkan kedalam gulungan yang patriotik? Tetapi itulah yang berlaku di negara kita dan orang yang sama jugalah yang bercakap tentang isu moral kerajaan yang buruk serta menidakkan semua kerja baik orang lain.

Rakyat melihat dan memerhatikan tindakan serta kata-kata mereka samada selari atau pun sebaliknya. Rakyat biasa seperti kita dibawah ini tidak pun mengambil wang berbillion ringgit dari rakyat untuk kepentingan perniagaan anak-anak mereka. Mereka menanggung kerugian sendirian dan ramai yang telah bankrap kerana kerugian mereka dalam perniagaan.

Apa perasaan rakyat yang ramai dibawah ini apabila melihat pemimpin bercakap besar tentang negara sedangkan anak-anak mereka bersandar kepada rakyat untuk membayar kerugian perniagaan mereka dan dalam masa yang sama mendapat keuntungan lagi dalam proses 'bail-out' yang menggunakan wang rakyat itu.

Justeru perihal patriotisma ini tidak perlu dididik terhadap rakyat jelata. Yang sepatutnya menunjukkan sifat patriotisma itu adalah pemimpin-pemimpin sendiri, tidak kira pemimpin kerajaan atau pembangkang. Pemimpin yang patriotik tidak akan tergamak untuk menaikkan harga belian kelengkapan ketenteraan misalnya.

Pemimpin yang patriotik tidak akan tergamak meluluskan pinjaman yang beratus juta ringgit untuk kroni atau keluarga pemimpin yang tidak pun mahir dalam perniagaan seperti peniagaan lembu dan sebagainya.

Pemimpin yang benar-benar patriotik akan mengambil contoh seperti pimpinan masa lalu yang tidak mempunyai apa-apa semasa persaraannya. Tunku Abdul Rahman tidak mempunyai ‘empire’ perniagaan untuk anak-anak beliau.

Pemimpin sezaman itu tidak mempunyai mahligai-mahligai apabila menyentuh kuasa. Pemimpin yang mempunyai nilai patriotik tidak akan berbelanja ratusan juta ringgit untuk lawatan keluar negara.

Justeru tidak usahlah pemimpin hari ini berkempen untuk membina semangat patriotisma itu sedangkan mereka sendiri adalah penjenayah tegar kepada negara yang dicintai rakyat ini.

Kalau rakyat tidak memberontak didalam hati mereka tidak ada sebab kenapa rakyat tidak mengibarkan bendera yang harganya hanya setakat sepuluh dua puluh ringgit itu. Rakyat telah membayar hutang anak pemimpin yang kerugian dalam perniagaan mereka dalam jumlah yang berbillion ringgit sebelum ini.

Tetapi kenapa rakyat berkira dengan harga satu bendera itu? Jawapannya mudah. Ia di sebabkan pemimpin tidak mengira perasaan rakyat yang rata-rata marhaen di bawah ini.  Rakyat sedar dalam kemarhaenan, mereka terpaksa membayar hutang besar yang dilonggokkan oleh pemimpin kepada mereka.

Buat masa ini elok kita meminta pemimpin yang bercakap tentang patriotisma itu hentikan kempen ini. Rakyat lebih arif tentang isu patriotisma itu. Yang sepatutnya membina sifat patriotisma itu adalah barisan pemimpin yang sedang memimpin kita sekarang ini.

Pemimpin-pemimpin yang tidak dapat membezakan diantara hartasendiri dengan harta rakyat jangan sekali-kali bercakap tentang patriotisma kerana barisan pimpinan yang rakus itu sendiri adalah bertentangan dengan patriotisma itu.

26 August 2013

Sayangkan negara perlu terbit dari dalam diri, bukan setakat tempelan

Saya terbaca berita yang kempen mengibarkan Jalur Gemilang kurang medapat sambutan. Menteri yang bertanggungjawab berkata kerajaan akan melakukan cara dan kaedah yang sesuai bagaimana hendak membuatkan keseluruhan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang itu dengan penuh semangat semasa parayaan ulang tahun kemerdekaan negara kita.

Pengibaran Jalur Gemilang ini sudah tidak berapa mendapat perhatian orang ramai sejak empat tahun dahulu, tetapi keengganan rakyat memberi perhatian pengibaran Jalur Gemilang itu lebih nyata lagi pada tahun ini. Tidak tahulah samada pengibaran itu akan dilakukan dengan paksaan atau dengan cara apa. Tetapi pengibaran Jalur Gemilang itu sememangnya salah satu cara menzahirkan rasa sayang dan cintakan negara.

Kenapa kempen pengibaran Jalur Gemilang sejak beberapa tahun dahulu sudah pudar kemeriahannya? Segala-gala yang berlaku itu tentu ada sebabnya. Kerajaan, khususnya Menteri yang bertanggungjawab itu semestinya memahami apakah elemen-elemen yang membuatkan sambutan kempen itu mandapat sambutan atau sebaliknya.

Dalam sesuatu masalah perkara yang paling penting kita mesti selami ialah memahami masalah ‘up to specific’. Apabila masalah itu dikenal pasti secara ‘detailed’ barulah boleh mencari jalan untuk mencari penyelesaiannya dan menjayakan kempen itu. Apabila disebut tentang pengibaran Jalur Gemilang ini ia tidak boleh lari dari keriangan kita semua untuk menzahirkan rasa cintakan negara. Ia akan hanya boleh berlaku jika dengan sejujur-jujurnya rakyat merasakan cintakan negara itu.

Jika rakyat ramai benar-benar berpuas hati dan rasa cintakan negara itu benar-benar wujud, tidak perlu diadakan kempen besar-besaran. Rakyat akan dengan sendirinya mengambil kesempatan menyambut hari kemerdekaan negara itu sebagai peluang untuk menunjukkan semangat sayangkan negara itu. Kempen itu akan dengan mudah mendapat sambutan tanpa perlu tekanan dan desakan untuk mengibarkan bendera negara itu.

Rakyat tidak mahu melakukan perkara yang mereka tidak begitu ghairah untuk melakukannya. Rakyat tidak berpuas hati kerana rasa tidak menentu politik negara. Rakyat begitu keliru untuk mendapatkan yang mana satu yang betul dan benar. Semuanya mempunyai persoalan sendiri samada mereka yang sedang berkuasa dan mereka yang membangkangnya.

Secara psikologinya rakyat tidak berminat untuk menyertai apa-apa kempen, apatah lagi kempen yang dijalankan oleh pihak kerajaan. Mereka tidak mahu di kelirukan dengan kempen yang kerajaan lakukan kerana mereka tidak mahu dijadikan alat serta perkakas politik pihak yang tidak jujur. Mereka tahu yang kempen yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang itu telah tertempel unsur politik  selain dari menebalkan rasa kasih dan sayang kepada negara.

Sesungguhnya kejayaan kempen ini bergantung kepada pihak mana yang menganjurkannya. Jika ia masih dilakukan oleh kerajaan tunjangan UMNO, ia tetap sarat dengan unsur politik dan tidak ada kena mengena dengan sayangkan negara.

Rakyat tidak mahu menerima usaha UMNO yang sayangkan negara itu hanya akan boleh berjaya jika ia anjuran UMNO. Bagi pimpinan UMNO jika sayangkan negara rakyat perlu sayangkan UMNO. Jika ia dilakukan oleh pihak yang lain sedalam mana pun kasih dan cintakan negara itu tidak akan diterima. Ia dianggap sebagi penderhaka kepada negara. Menyokong pihak pembangkang itu adalah penderhakaan kepada negara.

Tetapi sebenarnya usaha setengah pihak untuk melakukan tentangan terhadap apa yang dibuat oleh kerajaan UMNO pada hari ini ialah kerana sayangkan negara. Mereka tidak mahu lagi melihat UMNO dan setengah pihak dalam pembangkang sekali pun, menjahannamkan negara. Mereka mahukan perubahan yang sejati bukannya memenangi satu pihak keatas satu pihak yang lain.

Kalau UMNO itu sudah busuk sebagai mana yang diakui oleh Dr Mahathir itu, ada pemimpin yang sedang bertenggek keatas parti pembangkang itu tidak boleh dijadikan pilihan untuk menjadi Perdana Menteri kerana mempunyai masalah yang tidak boleh diterima jika kita serius mahukan pimpinan yang bermoral dan akur kepada kehendak syariat agama kita. Maksud saya kita mahukan mereka yang bermoral dan kita terpaksa mencarinya kerana kita bukanlah orang yang boleh menjadi gantian kepada yang ada pada hari ini.

Mereka lebih cintakan negara dari mereka yang mengibarkan bendera kerana tuntutan politik peribadi atau kepartian mereka. Malahan mereka yang tidak mengibarkan bendera itu lebih sayangkan negara kerana mereka tidak menempelkan dan menunjuk-nunjuk sayangkan negara. Kasih dan sayang mereka sudah terpahat dilubuk hati dan sanubari mereka dan tidak berpura-pura sayangkan negara dengan mengibarkan bendera dipagar rumah atau dipejabat atau melekatkan bendera kepada kenderaan yang kita pandu.

Seperti orang yang kasih dan mengtauhidkan Tuhan, mereka bukan semata-mata menegakkan solat yang wajib (disyariatkan) itu tetapi mereka sentiasa berzikir dan bertahmid di dalam hati mereka mengesakan Tuhan dan membersihkan diri kita yang sebenar-benar diri itu. Zikir itu tidak diketahui oleh orang awam atau mereka yang semata-mata mentarbiah syariat tetapi tauhid mereka lebih suci dari apa yang kita lihat dalam kerja tubuh kita (Syariat).

Begitu juga mereka yang setia kepada negara. Mereka yang menunjuk-nunjuk sayang dan cintakan negara itu tidak sesuci mereka yang telah meletakkan negara sampai ke naluri mereka. Mereka ini sebenarnya tidak memerlukan lakonan mengibarkan bendera-bendera ini kerana apa yang ada di dalam dirinya itu lebih lagi kuat dari mereka yang hanya menempelkan rasa sayang kepada negara diluaran semata-mata.

Untuk menunjukkan setia kepada negara secara luaran itu maka keadaan luaran itu juga perlu memberi minat kepada mereka untuk memberikan sokongan dengan mengibarkan Jalur Gemilang itu.

Tetapi keadaan luaran politik tanah air itu tidak memberikan mereka semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang itu lah yang menyebabkan kegagalan pihak penganjur, iaitu kerajaan untuk menyemarakkan kempen mengibarkan bendera negara yang berdaulat ini.

Mereka yang menganjurkan kempen itu pun masih dipersoalkan kesetiaan mereka kepada negara, bagaimana rakyat ramai hendak mengikutnya? Ada dikalangan mereka yang menganjurkan itu adalah mereka yang mendustakan negara dengan perlakuan rasuah dan salah guna yang tidak sepatutnya berlaku sebagai sebuah kerajaan yang mengaku sebagai kerajaan yang berwibawa.

Bagaimana seorang atau kumpulan yang rasuah itu berkempen untuk kita menyayangi negara sedangkan perlakuan dan tindakan mereka itu selalu bertentangan dan yang di benci negara? 

25 August 2013

Tidak tahu bila dan bagaimana perubahan sebenar boleh berlaku

Pemimpin yang sebenar dan yang 'natural', tidak akan bermatlamatkan untuk mengekalkan nama atau legasi mereka. Pemimpin seperti ini akan melaksanakan tanggungjawabnya secara jujur dan tidak akan melakukan sesuatu untuk legasinya sendiri. Legasinya akan dengan sendirinya wujud secara natural. Pemimpin seperti ini mempunyai sahsiah yang tinggi dan tidak akan mempunyai kesanggupan untuk menjatuhkan keunggulan negara dan rakyatnya serta nama buruk bagi nya selepas persaraan.

Pemimpin yang unggul bagi sesebuah negara itu tidak akan membenarkan dirinya di pengaruhi oleh unsur untuk kepentingan peribadi dan keluarganya. Pemimpin yang mempunyai unsur kepentingan peribadi yang tinggi ia akan membawa negara kekancah perpecahan kerana setiap keputusannya tidak akan lagi keputusan yang betul dan tepat.

Selalunya pemimpin seperti ini adalah seorang yang ‘gentleman’ dan mempunyai etika yang tinggi. Pemimpin yang beretika itu tidak perlu bertindak atau tidak bertindak kerana takutkan kepada undang-undang kerana pemimpin yang beretika yang tinggi itu tidak akan mudah melanggar undang-undang. Etika yang tinggi itu dengan sendirinya mengelak mereka dari terlanggar undang-undang itu. Mereka seperti ini mempunyai maruah dan mempunyai sikap malu terutamanya kepada rakyat yang dipimpinnya itu.

Etika itu lebih tinggi dari undang-undang kerana ia terbit dari kemulian hati dan nuraninya dan sentiasa peka dengan apa yang baik dan yang tidak baik dalam segala tindakannya. Pimpinan yang mempunyai etika yang tinggi selalunya tidak menghadapi masalah besar kerana pemikiran mereka tidak mempunyai kepentingan peribadi yang tinggi.

Sesungguhnya itulah yang membezakan diantara sebuah negara yang maju dan yang belum maju. Ia bukan terletak kepada bangunan yang tinggi sampai kelangit, atau jambatan yang terpanjang di dunia atau mempunyai tiang bendera diantara yang tertinggi didunia ini. Pembangunan fisikal seperti ini hanyalah merupakan sekelumit dari apa yang dikatakan sebagai ‘nation building’ itu.

Pemimpin negara yang baik tidak diukur dari pembangunan fisikal yang besar dan cepat dialami oleh negara. Pemimpin yang mempunyai kepimpinan yang baik dan terpuji itu tidak akan melakukan sesuatu untuk menunjuk-nunjuk kerana perlakuan pemimpin seperti ini akan melaksanakan pembangunan yang terlalu cepat itu akan terpaksa mengorbankan perkara dan elemen penting yang lain dalam negara itu.

Pimpinan negara yang beretika tidak tergesa-gesa berusaha untuk menunjukkan apa yang mereka boleh tunjukkan kepada rakyatnya. Mereka akan melaksanakan sesuatu itu mengikut kehendak waktu dan masanya. Mereka yang seperti ini mengakui jika dilaksanakan usaha pembangunan dalam masa yang singkat ia akan membawa masalah sampingan yang besar dan akhirnya memudharatkan negara.

Pemimpin yang tahu cara memimpin yang baik tidak akan mendongak kelangit sambil memberitahu rakyat, ‘aku sudah buat itu dan ini. Aku sudah membina bangunan tertinggi didunia, jambatan yang terpanjang di dunia dan segala-galanya yang pertama dan terhebat di dunia’. Pemimpin yang ‘natural’ tahu, melakukan pembangunan besar dengan kadar yang cepat itu akan membawa rakyat untuk bertanya satu persoalan yang sangat besar, iaitu “at what costs?”

Persoalan ‘at what cost’ inilah yang menjadikan salah satu isu besar bagi keseluruhan rakyat kini menilai kembali kewibawaan pimpinan itu dan rakyat sentiasa dalam pencarian (soul searching).

Pembangunan yang tidak terancang boleh mengakibatkan kerosakkan kepada keseluruhan fabrik politik dan pentadbiran sesebuah kerajaan. Tun Dr Ismail jika dibaca kembali ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO terakhir bagi beliau sebelum meninggalkan kita, berkata, “Kita boleh membangunkan negara kita dengan ‘double digit growth’ tetapi jika pembangunan terlalu cepat dilakukan pertama, ia akan menambah jurang penguasaan ekonomi negara yang terdiri dari berbilang kaum, dan membuatkan kaum asal negara ini tidak mampu mencapai kemahuan pimpinan negara itu”.

Projek-projek pembangunan ‘express’ membawa bersamanya kegiatan rasuah yang sistematik terbentuk di dalamnya. Oleh kerana mahukan pembangunan melalui projek raksaksa berjalan dengan pantas maka ‘tender-tender rundingan terus’ kerap dilakukan, maka terbitlah bibit-bibit rasuah terancang yang melibatkan wang negara dan rakyat dalam kadar yang terlalu besar. Banyak projek-projek raksaksa wujud kerana galakan kroni-kroni dan semuanya ini melibat wang rakyat yang tidak terhingga besarnya.

Ini juga telah mewujudkan budaya ingin menjadi kaya cepat dengan menggunakan dasar tidak terancang kerajaan ini melalui cadangan-cadangan projek raksaksa dan dilakukan melalui rundingan terus dengan pihak kerajaan. Harga dalam tender runding terus itu telah menambah kos yang melibatkan ‘kick-backs’ dan sebagainya yang akhirnya membebankan negara dan rakyat.

Tiada undang-undang yang mampu menangkap pesalah-pesalah dikalangan penggubal dan perlaksana dasar kerana kedua-dua pihak ini selalunya berkonspirasi untuk mendapatkan ‘duit luar’ dari projek raksaksa secara runding terus ini. Semuanya diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan tidak ada siapa yang boleh mengetahui kandungan perjanjian dan dokumen yang berkaitan. Rasuah dilindungi oleh akta-akta ganas dan mungkin mengakibatkan pengadu sebagai pesalah.

Kalau ada pun bukti yang kita lihat hanyalah bukti yang ‘circumstantial’ dengan melihat rumah kediaman Menteri-Menteri dan pelaksana dasar yang berpangkat tinggi yang sebesar Istana Maharaja yang boleh kita lihat di Bukit Damansara dan tempat-tempat elit lain.

Politik negara dikuasa oleh ‘warlords-warlords’ ini dan ahli-ahli UMNO hanya dijadikan sebagai kaldai untuk memunggah segala kekayaan untuk mereka dan keluarga mereka sahaja.

Polilitik dikuasai oleh kumpulan feudal baru hasil dari rasuah yang dilakukan secara sistematik. Rakyat ramai hanya melihat sahaja tanpa berdaya melakukan apa-apa.

Sistem ini akan terus berlaku kerana rakyat merelakannya berlaku. Kadangkala apabila di selidik dan dikaji halus-halusan, tiada pihak yang mampu merobahnya kerana pihak yang membangkang pun sudah terbit sikap untuk berkuasa semata-mata untuk berkuasa dan mempunyai nilai moral yang sama seperti yang sudah lama berkuasa.

Hanya doa sahaja yang mungkin boleh memulihkan keadaan kerajaan yang bermoral seperti yang pernah kita alami dahulu. Usaha dan kerja tubuh manusia untuk melakukan perubahan sudah sampai ke tahap optima. Apa yang akan akhirnya berlaku hanyalah dalam pengetahuan yang Maha Mengetahui sahaja.

Hanya kita tunggu sahaja apakah hikmah Tuhan di sebalik apa yang berlaku sekarang ini.

23 August 2013

Mahathir sentiasa memilih timbalan yang salah, beliau pula pilihan salah Hussein Onn

Tun Dr Mahathir sudah memberikan reaksi terhadap anggapan Abdullah Badawi yang tindakannya membatalkan projek yang telah diambil semasa pentadbiran beliau (Mahathir) ialah untuk mengelakkan negara menjadi muflis. Abdullah menjawab kenapa beliau membatalkan keputusan yang telah diambil oleh Mahathir apabila beliau (Abdullah) mengambil alih kepimpinan negara dalam wawancara beliau didalam buku ‘The awakening’ hasil kerja Professor Chin dan Welsh.

Saya sememangnya tertunggu-tunggu jawapan Dr Mahathir kerana kata-kata beliau sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi sememangnya menjadi minda saya untuk mengikutinya. Oleh kerana saya sejak tiga puluh tahun dahulu mengikuti setiap kata-kata dan kenyataan beliau , maka saya tahu dimana beliau bercakap benar dan dimana beliau berbohong atau dimana beliau bercakap untuk mengelirukan semua orang.

Beliau boleh berbahas dengan menggunakan bahasa yang kasar dan juga boleh mengambil tindakan menyindir jika beliau sudah tidak mempunyai ruang untuk membalas perbahasan musuhnya dengan tepat dan jelas.

Kali ini beliau menjawab tanggapan Abdullah Badawi itu dengan sindiran. Beliau menjawab dengan menyindir Abdullah  jika beliau (Mahathir) bersara lama sebelum itu negara akan berada dengan wang yang menggunung, tetapi Abdullah tidak juga dapat mempertahankan kemenangan tradisi BN dengan majoriti 2/3 dalam pilihanraya ke12 yang lalu.

Mahathir berkata, jika beliau berhenti jauh sebelum tarikh yang beliau sebenarnya bersara dahulu beliau membayangkan yang negara tidak akan ada KLCC, jambatan P Pinang, Putrajaya, KLIA dan berbagai-bagai projek raksaksa yang kita lihat sekarang ini.

Bagi saya diantara Mahathir dengan Abdullah pergesiran mereka bukan kerana perjuangan. Sebenarnya Mahathir merasakan Abdullah tidak menunjukkan sikap berterima kasih kepada beliau (Mahathir) dengan secukupnya. Beliau mahukan Abdullah terus-terusan menunjukkan perasaan bersyukur yang tidak terkira kerana menjadi Perdana Menteri diatas pilihan beliau (Mahathir). Mahathir tidak mahu setakat Abdullah mengucapkan terima kasih sahaja. Mahathir mahu Abdullah sentiasa berhutang budi kepadanya dan sentiasa ‘berzikir’ dan ‘mengtauhidkan’ beliau ‘in perpetuity’.

Itu sebabnya setelah Abdullah mengambil keputusan membatalkan projek jambatan bengkok itu, beliau mengambil isu itu sebagai alasan untuk memulakan serangan terhadap Abdullah. Sebenarnya Mahathir sudah mempunyai perasaan marah dan kecewa terhadap Abdullah hanya sebulan dua selepas Abdullah mengambil pimpinan negara. Pembatalan projek jambatan bengkok itu hanya di jadikan penyebab untuk menyerang dan melepaskan perasaan marah dan kecewa beliau sahaja.

Dr Mahathir kecewa dengan Abdullah kerana Abdullah tidak menghormati keputusan kerajaan pimpinannya sebelum ini dengan membatalkan apa yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan. Tetapi ini adalah perkara yang biasa bagi seseorang yang mengambil alih pentadbiran baru. Mahathir sendiri tidak menghormati banyak perkara yang telah dipersetujui oleh Kabinet Hussein Onn sebelum beliau.

Kabinet Hussein Onn telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan mana-mana kerajaan negeri atau mana-mana agensi kerajaan supaya tidak menubuhkan syarikat yang menubuhkan Saham Amanah untuk memberikan tumpuan kepada Sekim Amanah Saham Nasional yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Bhd sahaja.

Selain dari ASNB tidak dibenarkan mana-mana pihak menubuhkan sekim amanah kerana ia akan membantutkan usaha terancang untuk memindahkan hasil kekayaan negara kepada Bumiputra. Kerajaan hanya bersetuju untuk membenarkan sekim Amanah yang diurus oleh TKMB (Tabung Kumpulan Modal Bumiputra) yang di urus oleh Amanah Saham MARA Bhd sahaja.

Tetapi Mahathir mengenepikan keputusan ini apabila mengambil alih kepimpinan negara dan membenarkan banyak negeri-negeri menubuhkan Amanah Saham mereka sendiri seperti Amanah Saham Terengganu, Selangor, Johor dan banyak lagi agensi-agensi kerajaan lain menubuhkannya.

Hasilnya berbillion wang Bumiputra telah hilang kerana masing-masing mempunyai pasaran Bumiputra yang sama. Hasilnya semua sekim amanah yang bercambah itu telah mengalami kerugian dan ditutup operasinya. Orang Melayu kerugian berbillion ringgit wang simpanan mereka yang tidak seberapa itu.

Sebenarnya ‘kesilapan’ Abdullah hanyalah mengecewakan kehendak peribadi Dr Mahathir sahaja. Abdullah tidak sedar yang beliau telah dipilih oleh Dr Mahathir kerana Mahathir merasakan beliau boleh di perlakukan apa sahaja oleh beliau (Mahathir) kerana Mahathir masih banyak agenda peribadi beliau dan memerlukan Abdullah untuk memberikan ruang bagi mendapatkannya.

Dr Mahathir tidak tahu yang Abdullah walaupun seorang yang lembut, tetapi lembutnya Abdullah tidak boleh disudu oleh Dr Mahathir. Abdullah sememangnya seorang yang bukan mudah mendengar kata-kata nasihat Mahathir kerana beliau juga tahu niat dan kehendak Mahathir itu selalunya bertentangan dengan aspirasi rakyat yang ramai.

Akhirnya siapa sahaja yang menjadi pilihan Dr Mahathir adalah pilihan salah dan akhirnya Mahathir juga yang akan berusaha menurunkan mereka yang beliau naikkan. Musa Hitam pilihan beliau, akhirnya Musa juga tidak sesuai dengan beliau. Musa digantikan dengan Ghaffar, akhirnya beliau memilih Anwar untuk menumpaskan Ghaffar. Selepas itu beliau juga sedar yang Anwar juga bukan pilihan yang betul bagi beliau maka Abdullah lah yang dijangka orang yang paling sesuai untuk menggantikan beliau.

Apabila Abdullah menjadi gantian kepada beliau, Abdullah juga tidak sesuai, maka dari persaraan beliau menyuruh arah Muhyiddin untuk bergerak menolak Abdullah kerana akhirnya beliau berhasil mendapatkan gantian kepada Abdullah, iaitu Najib.

Sekarang ini sudah dipanggil ramai perwakilan UMNO oleh Dr Mahathir dan mengkritik Najib pula. Najib juga tidak betul kepada Dr Mahathir. Mungkin kali ini Mahathir hendak menaikkan Muhyiddin pula. Ramai pasti yang Muhyiddin juga akan menjadi pilihan yang salah jika Mahathir masih hidup sehingga umur 100 tahun.

Pendeknya jika kita menerima pilihan Mahathir keadaan negara tidak akan menjadi aman politiknya. Pilihan-pilihan Mahathir semuanya pilihan yang salah.

Kenapa pilihan Mahathir itu salah?

Jawapannya mudah kerana pemilihan Dr Mahathir oleh Hussein Onn sebagai pengganti beliau itu adalah pilihan yang salah. Dr Mahathir sentiasa menuduh timbalannya yang salah kerana pemilihan beliau sendiri oleh Hussein Onn itu dianggapkan oleh ramai orang-orang lama dalam UMNO itu sebagai pilihan yang salah.

Kalaulah Dr Mahathir itu pilihan yang betul masakan beliau mewariskan politik yang kacau bilau seperti sekarang ini? Beliau (Mahathir) sentiasa memilih timbalan-timbalannya yang salah.

Fomula bagi membuat pilihan yang betul elok dipilih mereka yang dari awal Mahathir tidak suka atau cemburui. Kita mengaku yang semua pilihan beliau itu adalah pilihan yang salah. Yang mana Dr Mahathir tidak suka itu, itulah dia pilihan yang secocok dengan politik dan negara.

21 August 2013

Pilih diantara seruan Nabi Muhamad (saw) atau Mahathir Mohamad (Tun)

Ramai pemimpin, penulis, penganalisa politik dan berbagai-bagai lagi pertubuhan sehari dua ini bercakap tentang kegagalan Najib dalam 100 hari pertama sejak memenangi pilihanraya yang lalu. PAS menyebut tentang isu harga barangan yang melambung naik, tahap keselamatan yang membimbangkan dan hutang negara yang kini sudah mencapai tahap 68 peratus dari GDP negara, jika diambil kira hutang tanggungan ‘off-budget agencies’ negara.

Memang benar. Jika dipandang dari satu sudut negara kita dari segi teknikalnya adalah sebuah negara yang diambang kebankrapan. Samada ada pihak yang membenci pandangan ini, tidaklah menjadi hal kepada saya dan sesiapa yang sama seperti saya. Setelah memenangi pilihanraya sekali lagi pada 5hb Ogos yang lalu, Najib di intai segala perkembangan yang berlaku dalam 100 hari pertama pentadbiran beliau selepas mendapat mandat baru, walaupun dengan mandat yang lebih kecil.

Bagi saya adalah tidak adil untuk mengadili Najib hanya dalam 100 hari sahaja. Mana mungkin Najib boleh membuat dan menunjukkan prestasi dalam 100 hari sahaja. Najib telah diberikan beberapa tahun untuk menunjukkan kecekapannya mentadbir negara, tetapi tidak ada apa yang boleh dibanggakan selain dari berbelanja wang rakyat dengan begitu ‘lavish’ sekali.

Bagi pandangan saya jika di berikan masa 100 bulan atau 100 tahun sekali pun, keadaan negara kita akan bertambah buruk. Ianya bukan kerana negara kita miskin atau negara kita sebuah negara yang buruk. Ia di sebabkan pimpinan negara yang buruk dan kelakuan dan sikap kerajaan yang buruk serta kerana sikap ahli-ahli UMNO yang selalu memberikan sokonagn kepada manusia yang bersikap buruk untuk menjadikan negara kita sebuah negara buruk.

Apabila semua ahli-ahli UMNO selama ini memilih pimpinan yang mempunyai niat dan matlamat buruk maka buruklah hasilnya. Tetapi kebanyakan diantara ahli dan pimpinan UMNO tidak tahu yang mana satu yang baik dan yang mana yang buruk. Pimpinan UMNO hari ini bukannya tidak mahu berbuat baik. Mereka kepingin sangat untuk melakukan kebaikan untuk rakyat. Masalah yang mereka hadapi, mereka tidak tahu yang mana satu yang baik dan mana satu yang buruk.

Kenapa perkara seperti ini berlaku? Jawapannya ialah kerana kebanyakan pemimpin yang naik tangga kepimpinan itu naik melalui jalan yang buruk dan kotor. Kebanyakan pemimpin yang menaiki tangga kepimpinan UMNO adalah tergulung dari mereka yang menumpukan tenaga dan pemikiran untuk menjadi ‘social climbers’ semata-mata, bukan untuk menawarkan tenaga dan usaha mereka untuk memimpin negara dan rakyat kearah kemajuan.

Apabila parti sarat dengan ‘social climbers’ parti itu akan dipenuhi dengan mereka yang melakukan cara apa sekali pun untuk menjadi pemimpin, waimma melalui pembayaran undi dan pembelian perasaan yang  memilih. Itu sebabnya kita melihat dalam UMNO terlihat oleh kita pemimpin yang menawarkan diri kebanyakkannya dari mereka yang tidak berkeyakinan untuk menang tanpa membeli undi. Maka terbentuklah budaya perwakilan-perwakilan atau ‘warlords’ dalam UMNO yang diyakini boleh membawa undi menjadi perwakilan ‘premium’ dan mendapat jumlah wang yang banyak. Kesempatan dalam pemilihan ini dipergunakan oleh perwakilan untuk mencari punca ‘rezki’ melalui pemimpin-pemimpin yang bercita-cita tinggi tetapi tidak mempunyai kepimpinan.

Budaya ini merupakan salah satu penyebab kenapa 100 hari pertama Najib selepas pilihanraya ini tidak berlaku apa-apa yang beliau telah janjikan kepada rakyat. Najib, pertamanya sudah tidak mampu untuk berfikir dengan tenang lagi kerana kedudukan beliau dalam UMNO sebagai Presiden pun bukannya stabil sangat. Najib sedar yang dibelakang beliau sudah ada gerakan untuk menjatuhkan beliau.

Ada pemimpin besar samada yang telah bersara dan belum bersara sedang berkempen dalam perjumpaan tertutup untuk mempengaruhi kedudukan Najib. Dalam pada itu ada desas desus yang mengatakan Najib telah mengambil langkah untuk menyambung nyawa politiknya dengan berunding dengan musuh dan seteru nombor satu beliau, Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan. Anwar pun sama, tidak berbunyi pun suaranya akhir-akhir ini dan tidak seperti sebelum pilihanraya yang lalu.

Jika perkara yang di spekulasikan ini benar, belum tahu lagi siapa yang mengelentung dan siapa yang kena kelentung. Anwar dikatakan akan menjadi Timbalan Perdana Menteri satu dan yang Timbalan sekarang akan menjadi Timbalan kedua. Entahkan benar atau tidak berita ini tidak pula saya dapat pastikan. Itu sebabnya samada seseorng itu pemimpin besar BN atau Pakatan, mereka sama sahaja. Apabila mendapat peluang mereka akan lakukan dan mereka yang telah berpecah-pecah dibawah ini adalah cerita remeh bagi mereka.

UMNO sekarang ditambah pula dengan didikan baru oleh Dr Mahathir seperti yang saya sebut dalam posting yang lepas. UMNO itu benar parti yang tidak baik pada pandangan Dr Mahathir kerana rasuah dan salah laku pimpinan yang nyata. Tetapi orang Melayu mesti juga menyokong UMNO. Orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO sangat keliru sekarang ini.

Satu pihak ada agama yang dibawa oleh Nabi Mohamad supaya memerangi rasuah dan salah laku kepimpinan. Di sebelah sini pula ada pemimpin seperti Dr Mahathir menyeru ahli-ahli UMNO yang jangan kisah dengan rasuah asalkan UMNO itu kekal berkuasa untuk menjamin keselamatan rakyat dan orang Melayu. Kalau mengikut seruan Dr Mahathir orang Melayu walau di tindas oleh UMNO, mereka (orang Melayu) mesti sokong UMNO. Parti itu sahaja yang boleh menjamin masa depan mereka, kata Mahathir.

Justeru orang Melayu sengaja di kelirukan oleh pimpinan supaya tidak berdaya memilih dengan betul untuk kepentingan mereka yang berkuasa dan yang hampir dengan kuasa. Tidk ada sesiapa lagi yang mampu berbuat apa-apa untuk menghidupkan kembali maruah orang Melayu.

Nabi Muhammad saw kata buat begini, Mahathir Mohamad pula kata buat begitu. Rakyat keliru dan terus dikelirukan. Pemutusnya buatlah apa yang masing-masing suka, tepuk dada tanyalah selera.

Pilihlah satu diantara dua ajaran dan seruan yang ada dihadapan mereka. Mereka boleh memilih Nabi Muhamad (saw) atau Mahathir Mohamad (Tun). Saya seorang yang jahil segala-galanya tetapi saya memilih untuk berusaha mengikut seruan Muhamad (saw).

Seorang yang beragama dan bertuhan akan akur bahawa tiada pilihan selain dari memilih seruan dan anjuran Muhamad (saw).

20 August 2013

Kalau dengar nasihat Dr M, UMNO itu pelindung Melayu, dunia akhirat

Desakan dari setengah pihak dalam UMNO untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO supaya tidak ditandingi bertambah nyaring. Walaupun perlembagaan memperuntukan sesiapa boleh bertanding apa-apa jawatan dalam parti tetapi ada pihak yang tidak mahu diadakan pertandingan itu kerana ditakuti akan memecah belahkan parti.

Tidak ada siapa yang boleh melakukan apa-apa kerana pimpinan diatas tidak yakin dengan peruntukan perlembagaan parti mereka sendiri. Tetapi pucuk pimpinan boleh diubah tanpa pertandingan kali ini seperti yang berlaku semasa Najib mengambil alih kepimpinan dari Abdullah Badawi dahulu.

Najib boleh dialih jika cara yang sama dilakukan seperti yang dilakukan kepada Abdullah dahulu. Asas menolak Abdullah dulu adalah diatas kegagalan Abdullah mendapatkan kemenangan 2/3 majoriti di Dewan Parlimen. Najib mendapat jumlah kerusi yang lebih kecil maka elok jika dilakukan cara pengambil alihan dari Najib mengikut cara Abdullah berhenti dahulu.

Dulunya Muhyiddin begitu kuat dan mundar mandir ke hulu ke hilir. Muhyiddin merupakan orang ke hulu ke hilir untuk Abdullah memberikan laluan kepada Najib. Muhyiddin merupakan orang yang paling hebat kedepan meminta Abdullah turun dan memberikan laluan kepada Najib. Tentulah niat beliau ialah untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden itu untuk menggantikan Najib yang telah menerima banyak jasa dari tindakan beliau (Muhyiddin) itu. Maka Abdullah pun berhenti dan Muhyiddin menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Najib..

Tetapi sekarang Najib sememangnya lebih lemah dari prestasi Abdullah maka adalah baik bagi salah seorang dari Naib Presiden menolak Najib pula untuk Muhyiddin mengambil alih Najib sebagai Presiden UMNO itu. Jika tidak ada salah seorang melakukan tindakan untuk Muhyiddin, maka jelaslah yang Muhyiddin ini ibarat lilin yang membakar dirinya untuk kepentingan Najib dan kroninya. Itulah politik UMNO. Jika berjaya rundingan diantara Najib dengan Anwar maka giliran Muhyiddin akan tercicir dan tidak siapa akan menghiraukan beliau apabila graf politiknya menurun.

Tetapi sekarang walaupun keadaan lebih buruk dari masa Abdullah meletakkan jawatan dahulu, tetapi tiada siapa yang berani mahu menandingi Najib dan tidak ada pun pemimpin tinggi diperingkat Naib Presiden berani menggerakkan usaha untuk mengambil alih kepimpinan UMNO dari Najib.

Dahulu orang yang sebenarnya menggerakkan Abdullah untuk bersara ialah Dr Mahathir dan menggunakan Muhyiddin untuk bergerak melaksanakan program peralihan kuasa itu. Muhyidin mundar mandir membuat desakan agar Abdullah meletakkan jawatan untuk memberikan laluan terhadap Najib diatas alasan kekalahan teruk UMNO sehingga hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan kehilangan Kedah, Selangor dan P Pinang kepada pembangkang.

Mahathir mengambil tindakan lebih jauh dengan bertindak keluar dari UMNO yang beliau tubuhkan sendiri itu. Beliau hanya kembali ke dalam UMNO setelah berjaya menolak Abdullah dari jawatan Perdana Menteri. Mahathir lebih rela menghancurkan UMNO asalkan sahaja Abdullah tidak lagi memimpin kerajaan kita.

Ramai diantara rakan-rakan saya memberitahu saya yang mereka telah berjumpa Mahathir untuk melakukan tindakan menolak Najib tetapi kali ini Mahathir tidak pula keluar membidas Najib seperti yang beliau lakukan terhadap Abdullah. Mungkin oleh kerana Najib lebih berusaha untuk menyejukkan Dr Mahathir dengan tidak memutuskan hubungan seperti yang dilakukan oleh Abdullah.

Abdullah dahulu tidak mempedulikan Dr Mahathir samasekali kerana Dr Mahathir selalu melakukan gangguan terhadap pentadbiran beliau. Apabila Dr Mahathir berjumpa dengan beliau (Abdullah) beliau tidak bercakap dan membiarkan Dr Mahathir bercakap seorang diri dan Abdullah memenuhi masa dengan Dr Mahathir semasa perjumpaan itu menulis dan mencatatkan sahaja apa yang diperkatakan oleh Dr Mahathir.

Seperkara yang ramai tidak tahu, Abdullah adalah seorang yang nampak lembut tetapi beliau adalah seorang yang keras dan degil. Lembutnya Abdullah bukannya untuk di sudu. Beliau tidak membenarkan Dr Mahathir bermaharaja lela dan beliau terus sahaja dengan selamba melakukan apa yang patut beliau fikir perlu di lakukan.

UMNO sesungguhnya perlukan perubahan tetapi tidak nampak perubahan itu akan berlaku. Kalau pun bertukar orang yang memimpinnya UMNO tetap seperti yang ada sekarang ini malahan ia akan lebih lemah lagi selepas ini. Saya selalu berulang-ulang bercakap yang jika di tukar Najib dengan diantara mereka yang ada dalam barisan pimpinan tertinggi UMNO, parti itu akan tetap sama kerana mereka mempunyai budaya dan sikap serta kemampuan yang sama sahaja.

Kita tidak boleh mengharapkan apa-apa dari pemilihan kali ini. Apa yang kita mungkin lihat hanyalah perubahan muka-muka yang baru tetapi mereka tetap sama sahaja. Masalah tetap sama dan keresahan rakyat tetap wujud.

Dr Mahathir akhir-akhir ini mengakui kelemahan nyata tetapi menyeru orang melayu menyokong UMNO juga diatas nama perpaduan dan keselamatan orang melayu. Biarpun rakyat sengsara dalam UMNO tetapi mesti menyokong juga UMNO itu.

Orang melayu tidak dibenarkan berubah oleh Dr Mahathir. Bagi beliau orang melayu mesti hidup terus-terusan dibawah parti yang lemah. Orang melayu mesti terus-terusan bersabar melihat kepimpinan UMNO melakukan rasuah dan segala-gala dosa dan noda.

Kalau orang Melayu tidak menyokong noda dan dosa ini nanti Melayu akan berpecah pula. Biarkan kita berada dalam dosa dan noda, UMNO mesti dipertahankan. Apa nak jadi, jadilah. Kalau terpaksa bergelumang dengan UMNO yang melakukan segala noda itu, maka sokonglah UMNO.

Kalau agama kata jangan rasuah, jangan di hiraukan jika seruan itu merosakkan melemahkan UMNO. Bagi Dr Mahathir UMNO itu adalah ‘ultimate’ untuk semua dunia dan akhirat.

19 August 2013

Ketua Pemuda UMNO : moral dan politiknya sememangnya untuk Khairy

Sebagai yang dijangka dan diharapkan oleh ramai pemerhati diluar, termasuk diri saya sendiri pengumuman Khairy Jamaluddin untuk mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia adalah berita yang memberangsangkan.

Keputusan Menteri Belia dan Sukan yang masih muda ini telah banyak membawa ‘nilai tambahan’ kepada UMNO. Ramai diantara kita berpendapat Khairy sepatutnya dipertahankan untuk terus menerajui Pemuda UMNO setidak-tidaknya sepenggal lagi atau sehingga ada tokoh yang boleh ditonjolkan sebagai pengganti yang agak setanding atau melebihi beliau nanti.

Buat masa ini Khairy adalah yang selayaknya terus memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO itu. Bagi saya Ketua Pemuda itu seharusnya seorang yang lebih di pandang baik oleh orang ramai kerana akhirnya orang ramai yang akan menentukan UMNO itu diterima atau sebaliknya oleh rakyat. Selama ini ramai pemimpin UMNO itu hanya popular dikalangan ahli UMNO sahaja oleh kerana faktur luaran selain dari faktur kepimpinan.

Diantara faktur luaran itu mungkin kerana permainan wang dan berbagai lagi ‘instruments’ untuk menjadi pemimpin dalam parti itu. Itulah sebabnya ramai pemimpin UMNO samada yang muda atau yang tua hanya dianggap sebagai jaguh kampung sahaja oleh orang ramai. Akhirnya mereka ini keliru dan tidak tahu samada mereka menjadi pemimpin kerana wang ringgit mereka atau pun kerana ketokohan mereka.

Khairy mempunyai keterampilan dan perwatakan yang bersesuaian dengan orang ramai. Untuk memperlihatkan yang UMNO itu serius untuk berubah yang pertamanya yang perlu ialah keterampilan seseorang pemimpin itu dimata rakyat bukan setakat popular dikalangan ahli UMNO sahaja. Di sini lah lebihnya Khairy dengan pemimpin Pemuda yang lain.

Najib selalu mengambil tindakan yang tidak betul. Tetapi tindakannya meletakkan Khairy sebagai Ahli Jemaah Kabinet merupakan salah satu diantara beberapa keputusan yang tepat yang diambil oleh Perdana Menteri yang sedang menghadapi masalah kepimpinan itu. Khairy sepatutnya telah di berikan kedudukan dalam kabinet negara dari dahulu lagi.

Tetapi ramai yang tahu ada seorang ‘warlord’ dalam UMNO yang telah memilih untuk memusuhi Khairy dikatakan penyebab kenapa Khairy tidak dibariskan di dalam Jemaah Kabinet negara pada penggal yang lepas. Tetapi melantk Khairy sekarang pun ada hikmahnya tersendiri. Itu Khairy sendiri akan mengetahui apa hikmahnya itu.

Bagi saya jika ada pihak-pihak tertentu dalam UMNO yang tidak senang dengan keputusan Khairy untuk mempertahankan jawatan Ketua Pemuda ini pihak-pihak itu semata-mata mereka yang mengambil sikap politik semata-mata. Mungkin mereka itu adalah diantara penyokong yang mahukan pihak lain yang sebulu dan ‘sebalok’ dengan mereka sahaja untuk mengetuai Pemuda UMNO itu. ATAU pun yang tidak memberikan dukungan itu hanyalah berdasarkan kepada sikap prejudis mereka sahaja.

Itu adalah fenomena biasa. Tetapi jika dipandang dari kepentingan parti itu sendiri, masa masih diperlukan untuk mencari tokoh yang lain untuk menggantikan Khairy. Dalam UMNO bukannya kerja senang untuk mencari tokoh yang bersesuaian mengikut masa dan zamannya.

Sebagai pemerhati saya hanya mampu mendoakan agar Khairy tidak ada banyak halangan untuk terus memimpin Pemuda, kerana di dalam diri saya ini kuat mengatakan yang Khairy mampu untuk memberikan nilai tambah kepada parti yang semakin uzur itu.

Lagi pun biarlah pemimpin itu datangnya dari mereka yang terdidik dari keluarga yang baik-baik kerana ia boleh memberikan berbezaan kepada pimpinan sesebuah pertubuhan dan kerajaan itu.

18 August 2013

Demokrasi bukan untuk menang undi sahaja, kendung semangatnya sekali

Demokrasi itu mudah difahami. Pihak mana yang menang pihak itulah yang mentadbir dan menjadi kerajaan kepada negara yang mengamalkan demokrasi itu. Kepada yang kalah pihak itu akan menjadi pembangkang di dewan Legislatif dalam apa-apa perbahasan terhadap dasar dan keputusan dibuat oleh pihak yang memerintah. Itu definasi yang simple untuk kefahaman ramai.

Di dalam parti-parti politik yang mengambil demokrasi sebagai sistem parti itu, sesiapa yang menang untuk jawatan tertinggi parti itu misalnya, dia lah yang menjadi peneraju kepada parti itu. Dalam demokrasi selalunya yang menang ambil semua dan yang kalah, kalah semua dan kembali menjalankan fungsinya sebagai pembangkang dalam negara demokrasi tersebut.

Tetapi dalam apa-apa sistem sekali pun yang paling penting ialah untuk mengenakan dan memperkayakan semangat demokrasi itu sendiri. Pemilihan oleh pengundi itu adalah ‘hardware’ kepada demokrasi itu, dan semangat kepada demokrasi itu adalah ‘software’ nya.

Adalah penting bagi kita memperkayakan ‘hard ware’ serta ‘soft ware’ kepada demokrasi tersebut. Maksud saya dengan hanya memenangi dalam pemilihan itu sahaja tidak memungkin demokrasi itu terlaksana dengan sempurna. Contohnya setakat kita menyempurnakan syariat dan hukum agama itu sahaja tidak memberikan kesempurnaan kepada hidup beragama kita jika kita tidak selarikan dengan ketuhanan. Kita tahu, syariat tanpa hakikat itu hampa, hakikat tanpa syariat iu batal.

Pengendali demokrasi yang betul ialah dengan pengendalian hakikat demokrasi dan semangatnya dengan betul. Demokrasi itu ada moral dan semangatnya sendiri. Tetapi pengendali dan pengamal demokrasi kini sudah tidak lagi mengamalkan demokrasi itu selari dengan kehendak moral pemimpin lagi. Bagi mereka menang dengan satu undi pun itu menang namanya. Tetapi tidak pula ada yang menilai apa kah cara dan kaedah mendapatkan kemenangan setipis satu undi itu?

Dulu-dulunya pemimpin kita mengendalikan demokrasi itu dengan semangatnya sekali. Tunku Abdul Rahman mengambil keputusan untuk bersara setelah beliau mendapat isyarat untuk bersara apabila Perikatan yang dipimpin beliau hampir kehilangan mandat dari rakyat untuk menubuhkan kerajaan. Hussein Onn pun begitu. Apabila ada permainan politik dalam UMNO menyebabkan Sulaiman Palestin tampil menentang jawatan Presiden UMNO yang disandang beliau (Hussein). Walaupun Hussein mendapat kemenangan yang begitu besar beliau mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan berikutnya.

Hussein tidak melakukan tindakan politik dengan berunding dan bermuafakat dengan sesiapa pun, kerana beliau mahukan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya. Beliau bukan menumpukan masa politik beliau untuk bertindak semata-mata untuk memaksa keadaan menambah sokongan terhadap diri mereka. Yang penting bagi pemimpin seperti dan sejenis Hussein Onn dan pimpinan sebelum beliau. Hussein tidak mahu menjadi pemimpin dengan cara memaksa dan permainan politik yang disusun secara politiking yang kotor.

Bagi Hussein mendapatkan kedudukan dengan permainan politik kotor itu tidak bermoral pada anggapan beliau. Beliau sanggup meletakkan jawatan untuk memberikan laluan kepada Timbalannya yang tidak sabar untuk mengambil alih jawatan beliau sehinggakan melakukan beberapa kaedah politik yang tidak bermoral terhadap rakan-rakan seperjuangan.

Margaret Thatcher tidak tewas apabila ditandingi oleh Micheal Hesseltine tetapi beliau meletakan jawatan kerana beliau merasakan sudah ramai dikalangan ahli partinya sudah menunjukan tentangan terhadap beliau. maka laluan diberikan kepada John Major untuk menerajui kerajaan Consevative Britain. Margaret Thatcher tidk pula mengharamkan parti Consevative nya apabila menang dengan tipis ditangan Hesseltine.

Bagi Hussein untuk berkuasa selama-lamanya bukan ‘ultimate’ bagi beliau. Tetapi adakah nilai-nilai itu di zaman ini? Jawapannya sudah tiada kerana pimpinan selepas itu lebih mementing politiking sesama sendiri untuk mendapatkan kuasa. Ada pemimpin yang berkata menang satu undi pun menang.

Bagi pemimpin seperti Hussein dan sebelumnya bilangan undi dan sokongan itu adalah 'indicator' samada seseorang pimpinan itu mendapat sokongan padu. Jika memenangi undi dari kalangan ahli dengan majoriti kecil itu adalah isyarat untuk berundur. Tetapi pemimpin sekarang kekurangan majoriti itu adalah indicator atau tunjuk arah bagi mereka melakukan inovasi politiking untuk memperkuatkan kedudukan peribadi walaupun sehingga merosakkan parti yang dipimpinnya.

Justeru ada pemimpin yang setelah diberikan isyarat untuk bersara melakukan perundingan bagaimana untuk meneruskan kekuasaan dengan cara apa sekali pun. Dalam mencari kaedah mendapatkan formula untuk terus berkuasa berbagai-bagai cara dilakukan untuk memenuhi kehendak nafsu dan kemahuan mereka.

Ada pemimpin yang mengharamkan partinya dan ada pemimpin yang menukar perlembagaan parti seperti menukar seluar dalam. Sekarang pula ada pemimpin yang beriya-iya untuk mengambil kuasa bertemu dan berbincang dengan pihak yang diisyaratkan untuk berhenti dengan diatas nama kerajaan perpaduan dan berbagai-bagai lagi. Tetapi tidak sedar dengan hakikat kedua-dua yang sedang berunding itu sudah di isyaratkan oleh rakyat yanga menyandang itu patut bersara dan yang pihak yang kepingin untuk mengambil alih kuasa itu juga telah di isyaratkan untuk tidak menjadi gantian kepada penyandang itu.

Itu sebabnya saya sebut dalam posting yang lepas, kedua-dua yang merundingkan kerajaan itu sesungguhnya tidak selayaknya menjadi perunding kepada kerajaan perpaduan atau apa-apa nama pun kepada kerajaan itu.

Isyaratnya telah diberikan oleh rakyat yang Najib perlu meletakkan jawatan dan bersara, Anwar pula mendapat isyarat yang rakyat tidak mahu beliau menjadi gantian kepada pimpinan UMNO yang rosak itu.

Kedua-duanya patut bersara kerana telah pun di isyaratkan oleh rakyat dalam pilihanraya yang baru berlalu itu.

17 August 2013

Najib berunding dengan Anwar tentang kerajaan perpaduan? Biar betul!

Berbagai-bagai spekulasi yang berlaku dalam politik tanah air. Isu yang paling kuat berlegar sekarang ialah isu kerajaan campuran yang di usahakan oleh dua orang pemimpin ‘famous’ negara kita, iaitu Najib dan Anwar. Kedua-dua yang sangat ‘famous’ ini telah berperang sebelum dan semasa pilihanraya tetapi dalam masa mereka berperang mereka berjumpa dan berunding dan merancang beberapa hal politik masing-masing.

Mereka berunding bukan untuk mencari penyelesaian masalah negara seperti rasuah dan salah guna kuasa, tetapi bagaimana mereka boleh mempertahankan kuasa dan menikmati kuasa dalam politik tanahair. Dalam pada itu rakyat telah berbelah dan bermusuhan dengan ‘team’ masing-masing, BN dan Pakatan Rakyat. Apabila diketahui ramai yang mereka berdua pernah berjumpa dan bertemu dan berunding untuk kepentingan mereka, sudah lihat kecenderungan rakyat sudah mula yakin yang pimpinan samada dipihak BN atau pun Pakatan Rakyat adalah sama…iaitu untuk kuasa peribadi. Mereka berpakat kerana kedua-dua mereka dalam ‘desperation’ untuk kembali menjadi relevan.

Ramai yang merasa tertipu dan merasa yang mereka di permainkan oleh pimpinan masing-masing. mereka yang ramai ini sedar yang mereka hanya digunakan oleh pimpinan masing-masing sebagai ‘kuda pelejang’ sahaja. Berdemo di sana, berdemo disini, memekik disana sini menaikkan serta menegakkan pimpinan masing-masing. Akhirnya mereka sedar mereka telah dijadikan perkakas semata-mata. Ada yang berkata dibawah-bawah ini yang mereka tidak akan membiarkan diri mereka untuk jadi ‘anjing salak’ sahaja.

Pendeknya penyokong-penyokong Pakatan hanya diperguna oleh Anwar sebagai ‘parang bengkok’ untuk menebas semak dan samun yang menghalang Anwar untuk maju mendapatkan kehendak dan kemahuan beliau. Begitu juga di pihak BN, Najib hanya menjadikan penyokong-penyokong beliau untuk dijadikan ‘parang bengkok’ untuk menebas pihak yang cuba menerajang beliau dari Putrajaya.

Ramai yang berkata yang sebahagian besar meereka di dalam UMNO tidak bersetuju dengan kerajaan perpaduan itu kerana mereka bukan sesungguhnya mahu mencari formula untuk negara sebaliknya ‘kerajaan perpaduan’ itu hanyalah helah untuk mendapatkan kuasa peribadi mereka sahaja. Kedua-dua Najib dan Anwar adalah dua orang pemimpin yang tidak sampai hajat mereka walaupun sebahagian doa mereka telah terkabul.

Doa Anwar untuk melemahkan UMNO dan BN terkabul tetapi hajatnya untuk menjadi Perdana Menteri tidak terkabul. Disebaliknya doa Najib untuk terus menjadi PM itu terkabul tetapi hajat untuk mendapatkan kememangan 2/3 tidak kesampaian. Ini adalah kes doa terkabul hanya hajat tidak kesampaian.

Akhirnya kita melihat keadaan dalam mana Anwar begitu kecewa kerana yang beliau lihat sebagai sokongan yang akan membawa beliau ke Putrajaya tidak menjadi kenyataan. Ternyata Anwar bukanlah pilihan rakyat untuk dijadikan Perdana Menteri dan Najib juga bukanlah PM yang dimandatkan untuk menjadi seorang pemimpin dari BN yang mendapat sokongan kuat dari rakyat.

Bagi kedua-dua pemimpin ini, mereka perlu melakukan introspeksi yang mendalam kenapa mereka tidak kesampaian hajat mereka. Tentunya ada hikmah disebalik kegagalan mereka berdua untuk mendapatkan apa yang mereka kehendaki serta hajati.

Dua orang yang gagal tidak mungkin mendapat mandat dari pihak masing-masing untuk berunding bagi menentukan masa depan negara. Selesai masalah mereka berdua tidak semestinya boleh menyelesaikan masalah negara.

Diantara yang di sebut ramai ialah kedua-dua Najib dan Anwar telah berunding untuk Najib terus jadi PM buat sementara waktu dan Anwar sementara itu menjadi Timbalan Perdana Menteri pertama dan Muhyiddin telah diputuskan oleh mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri kedua sahaja.

Najib dan Anwar mesti memahami yang negara ini bukannya kepunyaan mereka berdua sahaja. Ia kepunyaan seluruh rakyat. Jika ada pun kerajaan perpaduan tidak ada diantara mereka boleh dijadikan PM kerana yang merosakkan negara tdak sepatutnya di lantik dan dipilih untuk menerajui pemulihan negara.

Bagi saya jika mahu merosakkan negara berikanlah negara ini kepada mereka berdua untuk memimpin negara. Jika mahu menambah buruknya kerosakan negara, berikanlah juga kepada kedua-dua pemimpin ini untuk membetulkannya kembali.

Sekian…