22 August 2015

Rakyat menunggu nikmat perjuangan

Sebesar mana pun masalah yang dihadapi oleh politik negara, kita berkeyakinan yang ia akan selesai juga akhirnya. Itu sememangnya pengakuan dan kepercayaan orang yang bertuhan dan beragama, apatah lagi dengan kita yang beragama Islam suci ini. Apa yang kita lalui sekarang ini mungkin sebagai dugaan dan pengajaran kepada kita semua betapa perlunya kita menghadapi masalah dengan bersabar tanpa menghentikan usaha untuk memperbaikinya.

Tiada apa yang baik akan timbul selagi kita masih tidak melalui dugaan dengan kepayahan. Hanya setelah kita melalui segala rintangan itu barulah kita mendapat kebaikan dan nikmat perjuangan dan usaha  gigih kita itu. Memerangi yang bathil dan yang sememangnya perjuangan yang berlarutan sehingga akhir hayat kita. Akhirnya sesiapa yang kekal dan kental serta bertahan dengan perjuangan dan keyakinannya akan mendapat kejayaan dan akan menikmati kebaikan dan berada dalam kesyukuran buat masa yang lama.

Lagi kuat dan susah perjuangan itu semakin dirasakan kenikmatannya, setelah menempa kejayaan perjuangan yang payah itu. Kita mesti menerima hakikat yang bathil akan akhirnya tumpas dan tiada apa-apa elemen lain yang boleh menahannya dari kejatuhan elemen jahat ini.

Melawan nafsu atau diri sendiri ini merupakan perjuangan yang tiada hentinya. Itu sebabnya kita memerlukan manusia yang sentiasa dikawal oleh syariat dan hakikat, sama timbangan diantara kedua-dua hakikat dan syariat itu. Kita tidak boleh mengakui yang kekuatan yang ada pada diri kita jika ada itu, adalah kekuatan itu datangnya dari kekuatan sendiri.

Tiada siapa yang kuat diantara kita. Yang membezakannya hanyalah siapa yang lebih diredhai Tuhan dan mereka yang mendapat keredhaan itu akan akhirnya berjaya walaupun terpaksa mengikuti perjalanan dan liku-liku kepayahan itu dalam jangka masa yang panjang. Kata pujangga Islam yang tersohor, ‘perjalanan ke neraka itu akan melalui jalan yang penuh keenakan dengan roti dan keju, dan perjalanan ke syurga itu akan melalui jalan yang penuh dengan duri dan onak’.

Di sinilah letaknya perjuangan dan di sini jugalah letaknya kenikmati perjuangan yang panjang dan payah itu. Kita akan hanya menerima nikmat apabila kita sudah selesai melalui perjuangan dan onak serta duri yang berbisa itu. Bagi sesiapa yang mendapat kemenangan atau kejayaan tanpa bersusah payah menghadapi dugaan itu hanyalah mendapat rahmat yang tidak semestinya kekal.

Ia bukan sahaja melibatkan kita secara individu, tetapi ia juga boleh melibatkan sesebuah negara. Jika negara dipimpin oleh pemimpin yang tidak boleh diyakini dan mentadbir negara dengan tidak jujur dan betul, pihak yang berjuang untuk pembetulan itu akan menghadapi kepayahan kerana yang berkuasa dengan rakus itu tidak akan mudah mengalah. Pemimpin yang pembawa kebathilan itu adalah pemimpin yang susah untuk di buang kerana ia diperkuatkan oleh elemen yang bathil yang kuat dan sentiasa berkuku tajam untuk mencengkam mereka yang berjuang untuk kebenaran itu. Itu sememangnya tugas dan tanggungjawab mereka sejak Adam dan Hawa lagi. Menyesatkan Bani Adam itu adalah tugasan mereka yang tidak akan berhenti.

Tetapi hakikatnya yang bathil itu akan tetap tumpas dan akan memberikan kemenangan kepada perjuangan yang hak tadi bagi giliran mereka untuk mendapatkan rahmat yang dijolok mereka sekian lama.

Bagi memberi semangat kepada yang menunggu ketibaan nikmat hasil perjuangan yang baik dan hak itu, kita terpaksa meneruskan perjuangan itu tanpa rasa jemu dan mengalah dengan cepat. Sekali kita pasang keyakinan itu teruskan dengan kepercayaan hakiki yang bathil itu akan tumpas dan yang hak akan menyinari kehidupan kita selagi kita tidak lupa untuk bersyukur dengan kenikmatan anugerah Tuhan itu.

Jika kita lalai dan lupa untuk bersyukur selepas berjaya mendapat nikmat perjuangan itu proses pensucian itu akan kembali dan akan kita lalui kembali jalan-jalan yang beronak dan berduri itu tadi.

Wassalam.

1 comment:

  1. Kita belum pun berjuang lagi apa nak diharapkan.Nak harapkan pemimpin politik kita berjuang sorrylah sebab itu semua mereka sunyi sepi kerana siapa yang bercakap tetap diperlekehkan olih rakyat atau diblack listed olih pemimpin .
    Nampaknya kepimpinan UMNO ni dah hilang "SENSOR " tanggungjawab sebab itu mereka langsung tak mahu dengar rintihan rakyat .Kalau sensor kereta "temperature " tak berfungsi tentu kita tak tahu overheating ke tidak tiba2 kereta mati tengah jalan.Jadi inilah yang yang berlaku sekarang .
    Dalan Star hari ni PM kata malays will lose everything kalau UMNO hilang kuasanya . UMNO masih ada pun semua dah hilang jadi bolihkah diberi kepercayaan lagi kerana bukti dah jelas apa lagi yang mereka nak tak cukup2 lagi ke .Ini takbur namanya .
    Di Afrika Selatan ,Cape Malays diletakkan tinggi dari BLACKS untuk jawatan kerajaan tapi sana tak ada UMNO pun .DiKelantan kita bolih megah kerana aset tanah masih atas melayu bandingkan dengan NS semuanya dipunggah olih Matrix Consept ...atas usaha gigih pemimpin UMNO . Bila nak kuasa mulalah cakap berapi2 kita berjuang untuk bangsa , berjuang untuk ugama bila dah dapat kuasa habis harta2 rakyat disapunya...Sanggup kata NS tak perlu MCA dan mahu UMNO tanding semua DUN dan Parlimen tapi bila MCA dan MIC bising tahu pula minta maaf.Ini namanya jaguh kampung...berani cakap depan tv dan akhbar saja...
    Pokoknya sekarang bukti dah jelas semua janji2 yang dibuat pemimpin politik bila dapat kuasa semua dah tak terpakai dan hal masing2lah kalau nak hidup...There in no light at end of tunnel...

    ReplyDelete