16 September 2015

Najib, ikuti contoh-contoh yang baik, cari ketenangan dan bersara

Setiap negara mempunyai sistem pemerintahan termasuk sistem memilih dan mengganti pimpinan negara mereka. Bagi sebuah negara yang mengambil demokrasi mereka mengamalkan demokrasi yang berbeza di antara satu negara dengan negara yang lain walaupun asas demokrasi itu terbitnya dari sistem Westminster Abbey. Demokrasi itu adalah sebuah kerajaan pilihan rakyat, diperintah oleh rakyat untuk rakyat. Begitulah definisinya lebih kurang. Dalam sebuah demokrasi tulin seorang yang memimpin yang telah dapat mandat untuk memimpin selalunya akan membawa dan menerima semangat demokrasi itu sendiri.

Di Malaysia kita menggunakan demokrasi hanya untuk memilih tapi tidak menerima semangatnya sekali. Pemimpin yang dipilih melalui pilihanraya akan mengambil jalan populis dan populariti itulah yang membuatkan pemilih memilih seorang itu untuk menjadi pemimpin utama negara. Selalunya seorang yang memilih jalan populis itu tidak kekal lama. 

Apabila graf popularitinya menurun pemimpin itu akan melihat kebelakang samada dia masih patut meninggalkan jawatannya atau memilih untuk terus menduduki kedudukan yang beliau pegang itu. Di sinilah letaknya ujian seseorang pemimpin itu samada menerima semangat demokrasi apabila sampai di saat itu. Jika pemimpin itu menerima semangat demokrasi itu dengan jujur selalunya pemimpin itu akan mencari jalan keluar dan membiarkan partinya memilih pemimpin yang lain atau melalui pilihanraya awal dari waktu sepatutnya. 

Pemimpin seperti ini adalah pemimpin yang tulen dan keberadaan beliau diatas sebelumnya itu adalah untuk menabur bakti kepada negara dan rakyat yang telah memilih beliau dahulu. Beliau tidak akan kekal berkuasa kerana kehadirannya dalam jangka yang lebih lama akan menjejaskan parti dan kerajaan pimpinannya. 

Di negara kita pernah kita melihat contoh yang terbaik yang ditunjukkan oleh Hussein Onn, Perdana Menteri ketiga negara kita. Kita tidak mempunyai apa-apa kemusykilan terhadap Hussein Onn jika dikaji dari semangat mahu membina dan menjaga negara dengan baik mengikut susurgalur demokrasi yang benar. Apabila beliau ditentang oleh Sulaiman Palestin sebagai Presiden UMNO pada tahun 1978 dahulu beliau tahu sudah ada unsur-unsur yang boleh menjatuhkan sokongan rakyat terhadap beliau walaupun gulungan itu hanya segelintir jumlahnya. 

Sulaiman hanya mendapat 250 undi sedangkan selainnya dari seramai 1300 orang perwakilan UMNO itu menyokong beliau. Beliau boleh berbangga dengan kemenangan besar beliau, tetapi beliau memahami isu-isu seperti isu Dato Harun Idris dan sebagainya ini akan menyebabkan beliau tidak mendapat sokongan bulat dari partinya. Di sinilah Hussein Onn lulus ujian sebagai seorang pemimpin yang menghormati semangat kepada demokrasi itu dan beliau terus mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan parti dalam perhimpunan agung pada tahun 1981 dahulu.

Hussein tidak ada apa-apa untuk beliau pertahankan. Beliau menggalas tugas hanya untuk menyempurnakan misi menjaga negara dengan baik, Beliau tidak ada apa-apa kepentingan peribadi untuk dipertahankan. Beliau tidak mempunyai gagasan perniagaan yang memerlukan jawatan Perdana Menteri itu. Beliau tidak mempunyai kesalahan criminal dan moral untuk dilindungi masa persaraan beliau dan beliau boleh hidup dengan tenang semasa persaraannya. 

Beliau tidak perlu mengupah penulis-penulis upahan untuk menulis tentang kebaikan beliau kerana beliau adalah pemimpin yang mempunyai jiwa besar dan tidak perlu mempertahankan beliau melalui akhbar-akhbar dan menguasai 'editorial' akhbar-akhbar perdana dengan begitu ketat seperti yang berlaku sekarang. 

Begitu juga bagi negara-negara maju. Oleh kerana masing-masing pemimpin tidak mempunyai 'kerak' dan rekod jenayah dan kepentingan kewangan mereka tidak perlu membuat ucapan bergegar-gegar seperti 'at all costs I shall remain to be the PM of this country' dan sebagainya.

Sesungguhnya pemimpin seperti ini adalah pemimpin yang berjiwa besar dan tidak seperti ramai pemimpin selepas beliau mempunyai jiwa fakir yang memerlukan jawatan mereka dipertahankan 'at all costs' sehinggakan UMNO dan rakyat berbilang kaum menjadi berpecah belah. Kepimpinan Melayu sudah mula tidak dihormati oleh bangsa-bangsa lain kerana pemimpin Melayu gagal untuk menjadi pemimpin untuk semua kaum.

Apabila Melayu berpecah seluruh negara akan pecah. Melayu telah diletakkan dalam perlembagaan sebagai kaum yang diberikan keutamaan disamping mempastikan kaum-kaum lain dipertahankan dan dilindungi. Maka adalah sangat penting bagi Melayu itu mempunyai ciri kepimpinan yang 'magnanimous' bagi menjaga kepentingan semua kaum secara 'equitable' dan bersikap adil terhadap semua kaum yang mendiami negara 

Jika Melayu lupa yang negara ini telah dibina diatas usaha dan kerjasama rapat di antara semua kaum adalah tidak adil bagi kaum Melayu hanya memikirkan untuk bangsanya sendiri.

Najib dan rakan-rakan wajar berundur. Jangan kerana mabuk dengan kuasa dan wang ringgit yang bertimbun beliau mengorbankan negara dan kehidupan rakyat yang sangat dahagakan ketenangan. Terimalah semangat demokrasi itu dengan jujur. Ikut contoh Hussein Onn, pemimpin yang telah menunjukkan sikap kebertanggungjawaban yang unggul terhadap negara Malaysia yang beliau pimpin suatu ketika dahulu.

Jangan ikut contoh Iddi Amin dari Uganda atau Robert Mugabe dari Zimbabwe itu sebagai contoh. Ikutlah contoh-contoh yang baik. Najib wajar berpijak pada bumi yang nyata. Carilah ketenangan dalam persaraan. Akui kesalahan dan kesilapan dan serahkan negara ini kepada rakyat untuk menentukan masa depan
 mereka.

3 comments:

  1. Bila perasaan takut tongkat ditangan hilang,mungkin mereka-mereka terpanggil bagi untuk berderama?.Fikirlah apa erti kehidupan.

    ReplyDelete
  2. Himpunan baju merah hari ini nampak ramai tetapi tahukah mereka apa matlamatnya .Ini menunjukkan malayu ni buat keputusan bukan ikut ilmu tetapi taksubkan pemimpin .Pemimpin bolih buat apa sahaja asalkan jaga penyakong2 at all cost kerana yang bolih gugat jawatan PM ialah ahli umno dipilih bahagian ke perhimpunan UMNO tak sampai 3000 orang pun untuk tentukan dan melantik PM yang akan memerentah 30 juta rakyat.
    Olih sebab perlantikkan PM melalui UMNO atas dasar persefahaman sudah sampai masanya perlantikan PM dan TPM olih orang melayu rakyat malaysia. Kita sudah muak dengar politik wang , cantas mencantas dan cah keting jadi untuk keadilan dan integriti setiap perhimpunan UMNO bukan sahaja pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden tetapi juga PM dan TPM . Belanja memang mahal tetapi apa bolih buat pemimpin tak ada disiplin dan integriti...
    Dalam keadaan sekarang mereka2 yang bolih gugat kedudukan PM adalah terlalu kecil dan jika PM ada kemampuan kewangan dia bolih beli mereka2 yang merenget atau yang merungut atau mengugut. PM Australia Abbot telah jatuh lanjutan kekalahan dalam parti dan digantikan olih Turnbull yang cukup senang dan tak ada kerenah .David Cameron PM UK sebelum pilihan raya terakhir pegang jawatan PM melalui coalition goverment dan tak kecoh pun.
    Setiap bekas PM ada integriti dan maruah yang tahu bila mereka tak diperlukan dan melepaskan secara terhormat tetapi yang sekarang ini sungguh lain kerana dia pun ada orang lain lebih berkuasa ditambah pula berbagai2 masaalah yang dihadapinya tak mungkin dia bolih lepaskan jawatan tanpa syarat.
    Kalau pun dia kalah vote of no confidence diparlimen dia akan cari jalan lain untuk terus berkuasa tambahan pula dia tahu mantan TPM yang masih timbalan presiden umno akan diberi keutamaan untuk jadi PM .....Kalau dia ada integriti dah lama dia letak jawatan bukan dah jadi PM nak lepaskan bagitu sahaja .Nampaknya tunggulah PRU 14 jadi janganlah berangan2 untuk dia kosongkan jawatan PM itu...

    ReplyDelete
  3. Sdra. Aspan. Benar pandangan sdra mengenai Husein Onn, seorang PM yang ada prinsip dan integriti. Tapi jangan lupa bahawa Tun Husein Onn meletakkan jawatan PM bukan kerana hilang sokongan. Beliau meletakkan jawatan kerana mainan kotor timbannya yang tak sempat2 mahu jadi PM. Begitu juga dengan nasib Dato' Harun Idris yang sangat popular di kalangan orang Melayu dan pngerak utama meMelayukan Kuala Lumpur yg selama itu diduduki oleh kaum Cina. Sekali lagi mainan jijik Mahathir yg licik menyebabkan Dato Harun jatuh. Andaian ini terbukti apabila Husein Onn keluar umno seperti juga YM Tengku Abdul Rahman. Pepatah Melayu ( pepatah mamak tak tahulah) ada mengatakan ' Bapa borek anak lentik' dan ' You reap what you sow '... hari ini kita mendapat PM yang bersifat bagaimana yg latih dan diajar oleh mentornya, Mahathir.

    ReplyDelete