14 August 2013

'The awakening': Mahathir tak sempat bergaduh dengan Abdullah sebelum dia jadi PM (sambungan)

Dr Mahathir menjadi Naib Presiden UMNO pada tahun 1975 selepas beliau dipulihkan oleh Tun Razak keahlian dalam UMNO, kalau tidak silap saya pada tahun 1972 atau tahun 1973 selepas dipecat dari UMNO pada tahun 1969. Ada pihak-pihak dalam UMNO itu sendiri menyokong kemasukan Dr Mahathir kembali di dalam UMNO tetapi apabila beliau mengemukakan borang untuk menyertai UMNO kembali, beliau memilih untuk menyertainya di Rawang kerana di Kedah tidak begitu ramai yang berminat untuk membawa beliau kedalam UMNO.

Semasa itu di Rawang, Tunku Abdullah ibni Tuanku Abdul Rahman adalah Ahli Parlimen bagi kawasan itu, dan merupakan sahabat Dr Mahathir yang rapat. Maka mudah bagi beliau untuk mendapatkan sokongan untuk kembali kedalam UMNO. Itu sebabnya Dr Mahathir kembali ke dalam UMNO melalui UMNO Rawang dan hanya kembali ke Kedah selepas beliau telah kembali pulih kedudukan beliau di dalam UMNO.

Dr Mahathir menjadi Naib Presiden bersama Tengku Razaleigh yang telah menduduki kerusi ketiga tertinggi di dalam parti itu dua tahun sebelumnya. Seorang lagi tentulah Ghaffar Baba yang telah menjadi Naib Presiden sejak awal tahun enam puluhan lagi. Dr Mahathir mendapat kedudukan yang ketiga dikalangan ketiga-tiga Naib Presiden itu.

Semasa itu Abdullah Badawi belum lagi berada dimana-mana di dalam UMNO kerana beliau masih menjadi Ketua Pengarah Belia dan selepas itu menjadi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan. Abdullah hanya keluar dari perkhidmatan kerajaan untuk menyertai Pilihanraya 1978 dahulu untuk menggantikan Nordin Sophie bagi kawasan Kepala Batas.

Musa Hitam hanya menjadi Naib Presiden pada tahun 1978. Anwar Ibrahim semasa itu masih tidak terfikir oleh sesiapa dalam UMNO, hanya beliau diingat sebagai bekas pemimpin pelajar dan seorang yang begitu rapat dengan PAS kerana kedudukan beliau sebagai Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM) semasa itu.

Anwar hanya menyertai UMNO pada Februari 1982 sahaja dan belum pun kering tanda-tangan keahliannya dalam UMNO beliau telah menumbangkan Haji Suhaimi Kamarudin sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, dengan sokongan Dr Mahathir Mohammed.

Seperti yang saya selalu sebutkan semasa Dr Mahathir mendekati kerusi Perdana Menteri, iaitu semasa beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak mempunyai ‘grassroot’ yang kukuh. Seperti biasa orang yang paling di khuatiri berada di sisinya ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Malahan Mahathir begitu tidak seronok melihat Tengku Razaleigh seolah-olah seorang defacto ‘Prime Minister’ kerana Perdana Menteri Tun Razak dan Hussein telah memberikan tanggungjawab yang besar kepada TR.

Saat untuk menyekat kemaraan TR tiba apabila beliau mengambil alih jawatan Presiden UMNO pada tahun 1981 diperhimpunan yang sama berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden diantara Musa dengan Tengku Razaleigh. Musa yang dalam diam-diam juga berminat untuk menaiki takhta kuasa, diambil kesempatan oleh Mahathir dan melagakan Musa dengan Tengku Razaleigh sehingga berlaku pertandingan sengit diantara kedua-dua Naib Presiden UMNO itu untuk jawatan Timbalan Presiden.

Mahathir berada dibelakang TR semata-mata untuk menyekat TR menaiki kuasa. Sesungguhnya Mahathir juga waktu yang sama yang Musa juga mempunyai minat yang kuat untuk menjadi Perdana Menteri. Maka Mahathir menjadikan TR dengan Musa mempunyai kekuatan seimbang bagi mengelakkan tentangan dari salah saorang dari kepimpinan yang dibentuk untuk negara oleh Tunku dan Tun Razak.

Apabila Musa sedar apa yang ada di dalam benak Mahathir itu dan datang pula berbagai-bagai cabaran untuk menyekat kemaraan Musa, maka Musa meninggalkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada awal tahun 1986. Perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu telah menjadikan UMNO kelam kabut dan rombong selepas rombongan terdiri dari Menteri-Menteri serta Timbalan-Timbalan Menteri serta Menteri Besar telah berduyun ke London untuk memujuk Musa menarik balik keputusannya untuk meletakkan jawatan itu.

Tunku Abdul Rahman telah bersuara dalam persaraannya dan menyatakan persaraan Musa Hitam itu sepatutnya di iringi oleh satu Perwakilan Khas UMNO untuk berbincang dan membuat ketetapan. Di sini Mahathir tahu jika Perhimpunan Agung Khas itu dipanggil maka Musa akan mendapat ‘endorsement’ yang kuat dan tidak terkejut jika Musa kembali dan membuatkan dirinya menjadi kuat selepas perhimpunan Agung Khas itu.

Mahathir tidak peduli dan terus memberi kenyataan yang perletakkan jawatan Musa itu diterima dan menutup isu Perhimpunan Agung Khas itu samasekali. Memanggil Perhimpunan Agung Khas UMNO akan membuatkan Musa kuat dan dengan senang sahaja Musa boleh mengambil alih kepimpinan negara dari Mahathir.

Saya dan beberapa orang pemimpin UMNO dibawah-bawah ini berkesempatan bertanya Musa kenapa beliau meletakkan jawatan, Musa menjawab, ‘Mahathir has a freezer in him. Hatinya kering dan tidak boleh bersamanya lagi’.

Dalam pada itu UMNO sudah ada Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pemuda dan ini semua memudahkan Musa menjawab apa yang akan berlaku kepada beliau. Anwar seorang muda yang begitu ‘ambitious’ akan berperanan untuk mengubah scenario politik negara dan akan bermula ‘politiking’ yang hebat dalam UMNO. Setiap pemimpin yang berwibawa yang pengimbangnya yang disediakan oleh Dr Mahathir dan beliau tahu dengan cara ini sahaja beliau mampu untuk berkuasa selama mana yang beliau idamkan.

Selepas Musa, Ghaffar Baba yang tiga bulan lebih tua dari Mahathir, menggantikan Musa dan di zaman Ghaffar menjadi Timbalannya, Mahathir tidak segelabah dahulu kerana beliau tahu Ghaffar mempunyai banyak kekurangan untuk mengatasi beliau (Mahathir). Entah dimana datangnya cerita pada suatu ketika selepas Ghaffar mengambil alih Musa Hitam itu, Ghaffar percaya yang Mahathir akan bersara dan memberikan jawatan Perdana Menteri buat pertama kalinya dari seorang guru biasa  sekolah.

Orang seperti saya amat susah mempercayai cerita itu dan selepas itu nyata Ghaffar juga menjadi mangsa permainan politik kotor UMNO dan kali ini Anwar pula yang menolak Ghaffar keluar dan tentunya dengan perkenan Dr Mahathir sendiri.

Ghaffar bersara dan mengambil keputusan untuk bercuti dan amat sedih melihat Ghaffar keluar negara dengan menjinjing beg plastik mengandungi buku-buku untuk dibaca dalam penerbangan jauh entah kemana itu.

Maka terjunlah seorang lagi Timbalan kepada Dr Mahathir maka Mahathir memilih pula Timbalan yang baru. Namanya ialah orang yang paling ‘famous’ pada hari ini bernama Anwar Ibrahim. Anwar ini ‘famous’ sungguh. ‘Famous’ dalam segala-galanya.

Abdullah yang selepas Anwar tidak sempat diterjunkan kerana waktu untuk Dr Mahathir bersara sampai tatkala Abdullah dan Mahathir belum sempat bergaduh. Mereka bergaduh hanya setelah Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Abdullah lebih bernasib baik dari tiga Timbalan Perdana Menteri sebelum beliau.

(Bersambung)

7 comments:

  1. Pak Aspan,

    Saya adalah ahli UMNO dan saya juga melihat faktor Mahathir ini menjadi punca kenapa Melayu kian meluat kepada parti ini. Hakikatnya ialah Mahathir telah banyak membunuh pemimpin pemimpin Melayu yang berpotensi dan kerana Mahathirlah Melayu UMNO berpecah belah.

    Tulus ikhlas saya katakan bahawa UMNO tidak mungkin kembali menjadi kukuh seperti mana UMNO asal selagi Mahathir, legasinya serta kroni kroni terdekat beliau diizinkan terus berkuasa dan campur tangan dalam parti UMNO. Cerdik pandai Melayu secara majoriti tidak lagi melihat UMNO ini mampu melindungi kepentingan kaum Melayu dan Islam sebaliknya ia hanya menjadi alat untuk mengekalkan kekuasaan Mahathir dan kroni beliau keatas kekayaan negara.

    Sampai masanya ahli ahli UMNO membuat stu perubahan besar sewaktu pemilihan nanti agar pengaruh dan campurtangan Mahathir dan kroninya ditamatkan seberapa segera. Jika tidak, jangan mimpi UMNO akan terus diterima kaum Melayu khususnya generasi muda berpendidikan.

    ReplyDelete
  2. Pak Aspan, Tun Abdullah sebenarnya mengambil tempat Hj Sophie Ibrahim. Nordin adala anak Sopie.
    Perwatakan Sophie amat menarik,pengalaman semasa saya bertugas di Sbg Perai Utara dalam tahun '76 dahulu.

    Nas

    ReplyDelete
  3. Pak Aspan,

    Allahyarham Tunku pernah berpesan bahawa Mahathir mempunyai niat dan nafsu besar yang tersembunyi untuk berkuasa.

    Agenda Mahathir memang licik dan tersusun rapi;

    1) melemahkan kepimpinan Melayu, menyingkirkan pemimpin UMNO yang kuat pegangan kepada agama dan memusuhi habis-habisan parti politik berhaluan Islam

    2) mengetatkan pelbagai Undang-undang dan Akta untuk melaksanakan secara beragenda untuk memerangkap orang Melayu dan menguasai UMNO dan BN secara TOTALITARIAN

    3) melemahkan kuasa Raja-Raja Melayu dan kuasa Perlembagaan YD Pertuan Agung, dengan merampas bidang kuasa baginda

    4) mensekularkan ugama Islam dan menyisih, membusuk dan mempersenda ulamak Islam yang peka Islam sementara mengenengahkan mereka yang termakan ugutan dan terbuka kepada sekularisma

    5) mewujud dan menyalahgunakan institusi untuk tujuan “think tank” pensekularisasi Islam disamping memperalatkan media massa bagi perlaksanaan agenda beliau


    ReplyDelete
  4. Melayu Umno, Umno Melayu (MUUM) Kini agak sukar untuk diterjemahkan kebenaran kata2 itu walaupun satu ketika dahulu ditonjolkan dengan naluri halus akan kebenaran kata2 tersebut melalui noslojik DULU KINI DAN SELAMA LAMANYA.

    Masih terdapat sesetengah Melayu yang cukup senonim dengan ungkapan diatas. Mereka ini rata rata melayu lama berfahaman Umno zaman Tun Razak dan Tun Hussin Onn, yang berada saluran satu atau dua di PRU 13 lalu. Selain dari kelompok ini terdapat juga sehingga kini ialah kelompok Melayu subsidi, kelompok makan percuma, sumbangan ongkos dll untuk mendapat sokongan keramaian satu2 majlis anjuran Umno. Ketara sekali peel buruk ini diterap selepas Umno diharamkan. Kesemua ini dihasilkan bermula antaranya zaman pemerintahan Melayu 80an dan 90an.Aduh, sakitnya bangsaku diacuankan oleh bangsanya sendiri (bukan Cina atau India) yang tamak kuasa.

    Pergolakkan perpecahan Melayu kini juga hasil kreativiti kroni kroni di sekeliling para penguasa Melayu juga adalah penolakan UMMU.

    Keputusan PRU 12 dan 13 telah menyebabkan Umno terkejut beruk dek kehilangan undi Melayu yang begitu ketara sekali kerana rata2 Melayu cerdik dan sedar menterjemahkan pada kertas undi. Siapakah mereka ini? Kelompok2 yang sedar yang telah diperdayakan oleh pemimpin2 mereka kaki perasuah, penyalahgunaan kuasa dan segala bentuk yang akan menyulitkan masa depan bangsa mereka. Mereka ini juga dari kalangan yang tidak lagi percaya MUUM.

    Konklusinya catatan tuan diatas ada sedikit hubungkait rasanya dengan ulasan ini.

    ReplyDelete
  5. Salam Tuan Aspan,

    Pada awal tahun 1980an, pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir telah mencaci dan menghina Raja-Raja Melayu semasa meminda Perlembagaan Negara dahulu di mana kuasa Raja-Raja ditarik balik.

    Semasa itu rapat-rapat umum diadakan secara besar-besaran di seluruh negara. Kakitangan kerajaan diarah turut serta manakala akhbar, khususnya Utusan dan Berita Harian termasuk stesen tv kerajaan dan swasta (TV3) diarah mengorek dan mendedahkan cara hidup mewah dan kelemahan Raja-Raja Melayu sehinggakan kos membiayai berpuluh ekor kuda Sultan Pahang pun disiarkan berulang kali.

    Apabila UMNO/BN dibawah pimpinan Tun Mahathir tidak dapat menerima kekalahan di Terengganu, maka royalti minyak telah diberhentikan dan digantikan dengan ‘wang ihsan’ sehingga ke hari ini. Ini kerana kerajaan Pas dibawah pimpinan Tuan Guru Haji Hadi Awang ketika itu telah membawa kes tersebut ke mahkamah dan seperti biasa, mahkamah atas sebab-sebab yang kita semua ketahui telah melengah-lengahkan kes perbicaraan tersebut sehingga kini.

    Rakyat juga tentunya tidak lupa debat yang pernah berlangsung antara Tun Dr Mahathir dengan Allahyarham Fadzil Noor suatu ketika dahulu.

    ReplyDelete
  6. Pak Aspan,

    Dalam sejarah politik Malaysia Dr Mahathir adalah antara politikus yang paling licik. Beliau selalu berjaya menguasai massa sama ada semasa beliau berkuasa atau tidak.

    Kelicikan politik Dr Mahathir diperakui oleh kawan dan lawan sehingga Tuan Guru Nik Aziz pernah menyebut: "Sseandainya Dr Mahathir menjadikan Islam sebagai teras perjuangan, nescaya umat Islam akan beroleh manfaat besar mempunyai tokoh seperti beliau".

    Kejatuhan Tunku Abdul Rahman dalam politik Malaysia tidak dapat dipisahkan dengan kelicikan politik Dr Mahathir. Kekalahan Perikatan di beberapa buah negeri dalam PRU 1969 telah menyediakan ruang yang besar kepada Dr Mahathir untuk mengkritik Tunku habis-habisan berlarutan sehingga selepas Peristiwa 13 Mei.

    Asakan Dr Mahathir inilah yang telah menyebabkan Tunku akhirnya tertiarap dalam politik, walaupun beliau seorang negarawan yang besar ketika itu.

    Peristiwa perletakan jawatan Tun Hussien sehingga kini masih misteri, iaitu apakah masalah kesihatan yang dihidapinya?

    Beliau dilihat masih sihat malah menyertai Tunku Abdul Rahman bersama-sama menyerang Dr Mahathir selepas peritiwa pengharaman Umno 1987. Semua pemerhati politik maklum dengan rahsia umum tersebut, Dr Mahathirlah yang menyebabkan Tun Hussien bersara awal.

    ReplyDelete
  7. Pak Pan,

    Rakyat Malaysia perlu membiasakan diri dengan peningkatan kes pembunuhan di jalanan kerana ia adalah "harga untuk kebebasan", kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Tengok la betapa busuknya hati org tua ne.
    Sepatutnyanya dia tau jenayah adalah berkaitan akhlak.

    Disini kegagalan Mahathir 22 tahun dalam membentuk akhlak.

    ReplyDelete