12 March 2014

Semua berdoa untuk penumpang, waris keluarga dan anak kapal MH370

Hari ini masuk hari ke lima pencarian pesawat MAS MH370 yang masih lagi tidak menampakkan kejayaan pencarian itu. Kita masih tidak tahu dimana pesawat itu berada dan apa yang terjadi kepada nasib 227 penumpang dan 12 anak kapal pesawat tersebut.

Saya seperti juga orang lain sentiasa memanjangkan telinga dan membuka mata dengan luas dalam debaran hati yang kuat untuk mendengar dan melihat apa kesudahan pencarian yang seolah-olah tiada hentinya ini. Dalam pada itu saya juga seperti rakyat negara yang lain berdoa dan mengharapkan sesuatu yang ‘miracle’ berlaku untuk keselamatan nyawa penumpang dan kakitangan pesawat tersebut.

Banyak negara seluruh dunia telah tampil membantu kita untuk mencari pesawat yang telah hilang dari radar penerbangan dan tidak berkomunikasi dengan ATC sejak itu. Seluruh jentera kerajaan dan banyak asset negara telah digunakan untuk pencarian ini, ditambah pula dengan bantuan berbagai negara termasuk AS yang telah menggunakan 7th fleetnya untuk mencari pesawat itu. Namun sehingga saat ini belum lagi kita ketahui apa yang telah berlaku kepada pesawat dan penumpang serta anak-anak kapalnya itu.

Setiap jabatan dan pihak yang terbabit dengan pencarian ini tidak berhenti-henti memberikan ‘up-dates’ kepada rakyat, namun pesawat itu masih tiada dijumpai. Saya mengambil keputusan untuk memberikan komen sedikit kerana sudah ada tanda-tanda pihak yang sudah marah terhadap pihak berkuasa kita kerana kegagalan setakat ini untuk mencari pesawat tersebut.

Sesungguhnya kita memahami apa yang sedang dirasakan oleh phak keluarga penumpang-penumpang baik negara kita dan negara Cina serta banyak negara lain dalam mana rakyatnya bersama berada dalam penerbangan itu. Bagi saya semua pihak sedang melakukan yang terbaik untuk pencarian ini dan tidak ada yang tidak dilakukan oleh penguasa negara kita.

Jika armarda angkatan laut Amerika yang canggih itu pun tidak dapat menjumpai dimana pesawat itu berada, apa lagi yang boleh meyakinkan kita yang pencarian ini adalah satu pencarian yang amat sulit dan payah. Dalam keadaan sekarang tidak ada yang mahu melihat kegagalan pencarian ini. Masing-masing mahukan dan mengharapkan ada ‘miracles’ berlaku kepada penumpang-penumpang dan anak kapal pesawat itu dan mereka selamat akhirnya.

Yang penting bagi kita sekarang ialah untuk memberikan sokongan moral dan doa-doa yang berterusan untuk semua pihak yang sedang bertungkus lumus bagi penyelesaian isu ini.

Apa yang perlu bagi yang mengikuti perkembangan tentang MH 370 ini lakukan ialah untuk mententeramkan jiwa dan hati keluarga penumpang ini dan tidak memberikan kritikan dari luar sahaja. Tidak pernah berlaku dalam sejarah pencarian ini dilakukan oleh banyak negara dan ini sahaja sudah menunjukkan yang semua pihak mahukan penyelesaian beberapa segera. Apa pun sebabnya berlakunya kehilangan pesawat ini, kita perlu meneruskan doa dan memohon agar kita akan di hidayahkan dengan sekuat iman seorang yang beragama untuk menerima apa sahaja ketentuan Allah s.w.t. nanti.

Dalam isu seperti ini, kita akan melalui ujian besar, iaitu untuk menahan jiwa kita dari kufur dan sentiasa mengakui yang segala-galanya itu adalah ketakdiran Tuhan yang Maha Esa.

Secara saintifiknya semua pihak sedang bertungkus lumus untuk mencari penyelesaiannya tetapi Penentu yang ‘ultimate’ nya ialah Maha Pencipta dan Pencipta Sains itu sendiri.

Kita memerlukan kesabaran yang lebih dari apa yang ada kepada setengah pihak. Mungkin mereka akan menjawab yang ‘it’s easier said than done’, tetapi apa lagi caranya untuk kita mententeramkan jiwa kita selain dari bersandar sepenuhnya kepada Illahi yang Maha Penentu itu.

Kepada keluarga yang terlibat dengan kehilangan pesawat ini, diluar sini tidak ada yang tidak berdoa untuk mendapatkan ketenangan hati dalam menghadapi peristiwa yang amat menekan jiwa ini.

4 comments:

  1. Tuan Aspan,
    Komen yg baik dan selari dgn majoriti rakyat.Moga moga banyak lagi peristiwa yg boleh menyatuka rakyat.

    NAS

    ReplyDelete
  2. Patut ada jurucakap khas yang akan memberitau wartawan tentang perkembangan terbaharu. Sekarang ini kelihatannya semua ingin bercakap. Yang membuatkan keadaan kelihatan serabut.

    ReplyDelete
  3. Tn. AA

    Lebih 3hari Tn tak muncul ! Very funny ! 3hari lepas byk berita2 hangat. Biasa nya cepat je Tn beri kata2 manis

    ReplyDelete
  4. mohon izin saya masukkan paparan Pak Aspan ke dalam blog saya: http://suaramuhajirin313.blogspot.com

    ReplyDelete