17 April 2008

Peralihan kuasa v Pertukaran kuasa

Apa yang kita alami sekarang ini adalah hasil daripada keputusan pilihanraya umum ke-12 baru-baru ini yang tidak pernah kita alami sejak merdeka.

Pada pilihanraya-pilihanraya sebelum ini, BN/UMNO telah berjaya dengan kemenangan besar yang menjadikan kepimpinan begitu selesa memimpin negara, termasuklah proses peralihan kepimpinan.

Peralihan kuasa antara penyandang dan pengganti mudah dilakukan dengan sokongan rakyat yang begitu besar.

Kesepakatan rakyat dan para pemimpin memudahkan ianya dilakukan kerana barisan kepimpinan itu diterima rakyat secara total.

Peralihan kuasa dari T.A Rahman kepada T.A Razak dan seterusnya kepada Datuk Hussein Onn berlaku dengan sempurna.

Begitu jugalah peralihan daripada Datuk Hussein kepada Dr Mahathir dan seterusnya kepada Abdullah Ahmad Badawi.

Keputusan buruk pada pilihanraya terbaru ini membuatkan peralihan secara yang kita alami dahulu tidak lagi dapat menjamin kelangsungan sokongan itu kerana logiknya keseluruhan barisan kepimpinan UMNO dan BN telah ditolak oleh sebahagian besar rakyat.

Peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir berlaku kerana rakyat rata-rata mahu TDM bersara tetapi dalam keadaan UMNO dan BN berada pada tahap yang sangat kuat.

Abdullah Badawi mengambil alih tanpa sebarang masalah, malahan Pak Lah mendapat sokongan begitu besar kerana rakyat memang sudah menunggu lama untuk TDM bersara daripada kepimpinan dalam situasi di mana BN telah hampir parti dan kerajaan.

Tetapi kini kita hampir kehilangan kuasa di peringkat pusat dan 5 buah kerajaan negeri telah jatuh ke tangan pembangkang.

Pimpinan hari ini telah menggadaikan warisan datuk nenek kita yang telah berhempas pulas memerah keringat untuk generasi kita.


Pak Lah telah hilang pengaruh dan Datuk Seri Najib telah gagal melaksanakan tugas beliau selaku Pengarah Pilihanraya Umum yang ke-12.

Begitu jugalah kegagalan ini adalah juga kegagalan keseluruhan Majlis Tertinggi UMNO dan BN kerana tidak berjaya melakukan apa yang terbaik untuk kemenangan UMNO dan BN.

Kesalahan tidak sepatutnya dipikul oleh Pak Lah seorang diri seperti apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO sekarang yang mendesak Pak Lah meletakkan jawatan.

Kesemua anggota MT UMNO dan BN mesti bersama-sama memikul tanggungjawab ini.


Mengikut etika kepimpinan organisasi dan negara yang berdemokrasi, kesemua ahli MKT wajib meletakkan jawatan kerana telah gagal melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh ahli.

Amalan ini dipraktikkan oleh mana-mana negara maju yang benar-benar demokratik seperti di Eropah dan di Amerika.

Kita mesti menjadikan etika kepimpinan yang terlaksana di negara-negara maju ini sebagai contoh kerana ia terbukti sebagai sistem yang telah membawa kestabilan kepada negara-negara tesebut.

Pendeknya, pelan peralihan kuasa yang disebut oleh Pak Lah dan beberapa orang pemimpin ini merupakan satu usaha yang tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada negara.

Najib yang menjadi Pengarah Pilihanraya Pusat BN baru-baru ini patut sedar bahawa penolakan rakyat kali ini merupakan penolakan terhadap beliau sendiri dan sekiranya beliau menjadi ‘recipient’ kepimpinan negara selepas ini nasib BN belum ada kepastian lagi.

Persoalannya, mampukah Najib untuk menjadi ketua pembangkang di Parlimen nanti?

Setiausaha Perhubungan Pahang dan Perlis telah membuat kenyataan tegas yamg mengatakan kesemua ahli Majlis Tertinggi UMNO mesti meletakkan jawatan secara ‘gentleman’ dan EGM dipanggil sebagai jalan penyelesaian yang paling baik walaupun ianya mungkin membantutkan cita-cita besar beberapa orang pemimpin.

Perkara ini tidak dilakukan sebaliknya pemimpin yang telah ditolak rakyat ini berunding sesama sendiri untuk menentukan masa depan kepimpinan negara.

Pemimpin-pemimpin tertinggi kita masih tidak dapat menerima hakikat yang EGM merupakan satu-satunya jalan untuk mencari penyelesaian untuk UMNO dan BN.


Tentunya ini berlaku disebabkan kepentingan peribadi mereka semata-mata sedangkan parti sedang menghadapi risiko ditolak lagi oleh rakyat pada pilihanraya yang akan datang.

Di manakah logiknya pimpinan bertukar tangan antara pemimpin yang menjadi buah mulut dan cemuhan rakyat di merata-rata tempat?

Saya khuatir jika peralihan kuasa yang UMNO lakukan ini tidak diterima rakyat maka kerajaan pusat akan bertukar kuasa.

Apabila sampai ke tahap ini, lambang UMNO yang menjadi kebanggaan kita hanya akan dipamerkan di muzium negara.


Sekian……………………………………………………………. Aspan Alias

No comments:

Post a Comment