17 April 2008

Perdana Menteri mesti 'legitimate'

Keputusan buruk yang dialami oleh BN dan UMNO dalam pilihanraya baru-baru ini memang menepati tekaan ramai.

Di mana-mana kita mendengar orang ramai termasuk ahli UMNO bercakap secara terbuka akan mengundi parti pembangkang kerana tidak puas hati terhadap banyak perkara tentang kerajaan dan kepimpinan.

Di sini saya tidak ingin memberikan sebab-sebab keadaan itu berlaku, kerana semua pihak sudah maklum tentang segala isu-isu yang berbangkit.

Hanya pihak pemimpin-pemimpin tertinggi kita sahaja yang masih tidak begitu faham tentang isu sebenar yang kita hadapi.

Mereka secara individu memberi sebab-sebab kekalahan di banyak tempat dan memberi cadangan untuk penyelesaian mengikut keperluan dan laba masing-masing.

Hampir kesemuanya mencadangkan Pak Lah mengundurkan diri secepat mungkin dan sesetengah lagi lebih tertib dengan meminta Pak Lah mengumumkan pelan persaraan dan memberikan ‘baton’ kepimpinan kepada Najib Razak.

Dalam pada itu, Muhyiddin sejak tiga minggu yang lalu telah membuat bermacam-macam bunyi hinggakan ramai yang beranggapan bahawa beliau sedang mencari jalan dan celah-celah mana yang akan beliau lalui untuk naik ke peringkat tertinggi.

Dalam pada itu, terdengar pula desas-desus yang mengatakan jika Najib menjadi Perdana Menteri orang yang akan dijadikan Timbalan Perdana Menteri ialah Hishamuddin Tun Husein.

Rafidah pula melenting dengan menunjukkan rasa simpati kepada Pak Lah dan meminta Pak Lah hanya patut turun apabila Najib sudah bersedia.

Rafidah mahu Pak Lah mengambil masa dan memperbetulkan UMNO terlebih dahulu sebelum meletakkan jawatan.

Tetapi saya diberitahu bahawa Rafidah juga secara senyap-senyap dan sulit bersetuju supaya Pak Lah meletakkan jawatan serta-merta dan menyerahkan kepimpinan kepada Najib.

Begitu jugalah pandangan UMNO Perhubungan Johor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan lain-lain yang memberikan bermacam-macam kenyataan tidak konsisten.

Beberapa orang pemimpin bercakap tergagap-gagap seperti orang yang disoal isteri kerana diketahui berkahwin lain.

Dalam banyak-banyak pandangan ramai, saya tertarik dengan pandangan Setiausaha Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Ahmad Tajuddin dan Setiausaha Perhubungan Perlis yang mencadangkan semua ahli Majlis Tertinggi UMNO mesti meletakkan jawatan.

Mereka berdua mahukan tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul oleh Pak Lah seorang tetapi semua yang berada dalam barisan kepimpinan tertinggi.

Malangnya, media masa tidak memberikan ‘highlights’ pada pandangan ini.

Sesungguhnya, inilah pandangan yang paling baik dan seharusnya mendapat sambutan daripada semua pihak.

Sebenarnya Najib, Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin yang bernama dan bergelar ini tidak lagi layak mendapatkan ‘baton’ kepimpinan ini secara biasa, kerana mereka telah diberikan isyarat oleh ahli UMNO dan rakyat, amnya, dalam Pilihanraya Umum yang lalu.

EGM wajib diadakan. Sistem berkuota wajib dihapuskan, dan beri peluang kepada ramai pemimpin lain yang berwibawa untuk menawarkan diri untuk memimpin.

Najib, Muhyiddin serta Hishamudin dan lain-lain terpaksa menawarkan diri mereka untuk apa-apa jawatan bagi mendapatkan ‘legitimacy’ kepimpinan masing-masing.

Najib akan dapat menghilangkan pandangan serong masyarakat terhadap beliau sekiranya beliau mendapatkan kemenangan untuk jawatan Timbalan Presiden dan mendapatkan ‘legitimacy’ tentang kedudukan beliau.

Najib perlu elakkan daripada menerima jawatan Perdana Menteri secara percuma dari Pak Lah kerana beliau masih lagi diselubungi oleh isu-isu peribadi yang hangat disebut-sebut dan menjadi bahan perbincangan orang ramai.

Beliau mesti mendapatkan sokongan yang ‘legitimate’ untuk membersihkan dirinya daripada isu-isu yang negatif terhadapnya sebelum memikirkan hendak menjadi Perdana Menteri.

Jawatan Perdana Menteri ini hanya layak diberikan kepada seseorang yang terlepas daripada isu-isu buruk peribadi kerana Perdana Menteri itu akan menentukan nasib masa depan bangsa dan negara.

Sekian……………………………………………………. Aspan Alias.

1 comment:

  1. Kalau mengikut tulisan si Aspan 'ni, orang yang dimaksudkannya tak lain dan tak bukan KL lah (bukan KJ,KT,NR,MY,AI,AR,HH atau lain-lain abjad).Sobona eh Pan, kalau AAB layak jadi PM, sapo pun bolih jadi.Kalau kito sumo sokong, jadilah.Sekarang 'ni, bagaimano mekenismanyo ? Melalui EJM ? Pemilehan dan pencalunan dari cawangan dan bahagian ? Setakat 'ni Bahagian Guo Musang yo yang 'dah buek keputusan resmi. Tompek kau macam mano ? 'Tu kono tanyo Beghaim copot tu !

    ReplyDelete