06 August 2008

Politik kurap dan kurap politik

Saya pernah menulis dalam blog saya ini beberapa lama dahulu tentang politik ‘ala pesakit kurap’ yang berleluasa dalam UMNO sekarang ini.

Politik kurap ini telah memaksa UMNO menjadi parti yang tidak diyakini rakyat lagi.

Penyakit kurap ini memang penyakit yang selalu dihidapi oleh masyarakat di kampung-kampung suatu ketika dahulu, tetapi dengan kemajuan kesihatan yang nyata penyakit ini sudah tidak lagi kelihatan sekarang ini.

Kurap selalunya terbit di belakang tubuh atau pun di punggung kita. Penyakit ini pantang terkena tiupan angin kerana angin akan membuatkan kurap kita itu menjadi sangat sakit dan pedih-pedih.

Itulah sebabnya jika angin bertiup ke timur pesakit kurap ini akan menghadap ke barat untuk mengelakkan kurap di belakang mereka terkena angin tersebut.

Saya faham sangat dengan penyakit ini kerana ramai orang-orang kampung dahulu kala menghidap penyakit ini, dan sebagai anak kampung saya selalu nampak penyakit ini.

Bagi sesiapa yang ada kurap di belakang tubuhnya, ke mana angin bertiup ke situlah dia akan menghadap.

Walaupun penyakit itu sudah tidak ada lagi tetapi virusnya masih begitu jelas kehadirannya, terutamanya di kalangan pemimpin dan ahli UMNO.

Ada pemimpin yang tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan dan mendapat sokongan untuk menawarkan diri mengambil alih jawatan itu, tetapi tidak bermaya untuk bertindak kerana penyakit ‘kurap’ tadi.

Maka terpaksalah pemimpin-pemimpin ini menghadap angin yang bertiup. Itulah sebabnya ada peribahasa Melayu yang berbunyi, ‘di mana angin bertiup di situlah tempat menghadap'.

Itulah sebabnya budaya ‘di mana angin bertiup di situ kita menghadap’ sangat kuat di dalam UMNO.

Pak Lah sekarang sudah nampak kurap-kurap yang bertepek di belakang ramai pemimpin di bawahnya, maka beliau menggunakannya sebagai senjata untuk mendapatkan sokongan daripada mereka yang berkurap itu tadi.

Ada seorang pemimpin yang tidak ada kurap untuk berhadapan dengan kemelut politik UMNO dan tanah air sekarang ini dengan menawarkan diri untuk menjadi pemimpin negara.

Pak Lah dijangka akan menggunakan ‘pesakit-pesakit kurap’ di dalam parti untuk membantunya kekal di jawatannya pada hari ini.

Akhirnya jika ahli-ahli UMNO gagal untuk menaikkan pemimpin yang tidak berkurap ini, maka kita akan ditenggelamkan oleh pemimpin-pemimpin yang berkurap sampai bila-bila.

Sekarang ini kita lihat pemimpin-pemimpin besar yang kita jangkakan akan mengambil sikap tegas dan menawarkan diri mereka untuk bertanding kerusi yang tertinggi ini, akhirnya terlentuk dan mengambil sikap menyokong sahaja.

Mereka terpaksa mengambil sikap ini untuk mengelakkan belakang mereka ditiupi angin kerana kurap tertepek lebar di belakang mereka.

Itulah sebabnya untuk menjadi pemimpin yang baik seseorang itu mesti bersih daripada virus kurap ini, supaya senang mengambil sesuatu keputusan penting untuk rakyat dan negara.

Sekarang ini hanya ada seorang sahaja pemimpin yang berani berhadapan dengan angin ini, tak kiralah angin itu datang dari depan atau belakang, beliau tetap akan bertanding jika dapat cukup pencalonan.

Nampaknya yang lain tidak boleh diharap kerana ramai antara mereka adalah ‘pesakit-pesakit kurap’.

Tidak payahlah saya sebut nama pemimpin yang tidak berkurap itu, kerana sudah selalu sangat saya sebut nama beliau dalam tulisan-tulisan saya.

Pilihlah yang tiada kurap, supaya politik kita tidak akan jadi korap.


Sekian………………………………..Aspan Alias.

3 comments:

  1. "Melayu mudah lupa" itulah ungkapan yang pernah terbit dibibir Tun Mahathir suatu masa dahulu yang ditujukan khas buat orang-orang Melayu dan teknokrat-teknokrat Melayu.

    Dan kini saya ulangi ungkapan beliau didalam konteks pemikiran saya terhadap pemimpin-pemimpin UMNO dan kroni-kroninya bahawasanya "Melayu memang mudah lupa".

    Tidak perlu kita melihat teralu jauh akan peradaban dan sejarah barat atau negara timur tengah untuk kita pelajari sesuatu iktibar namun sudah mencukupi untuk kita hanya melihat semula kebelakang akan sejarah bangsa sendiri di zaman Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang seringkali kita agungkan. Empayar Kesultanan Melayu Melaka pernah mencatatkan sejarah kemahsyuran dan kekayaan di zaman keagungannya. Mempunyai pelabuhan terpenting didunia sebagai sumber pendapatan dan struktur pemerintahan yang tersusun menjadikan Empayar ini sukar ditandingi empayar-empayar lain yang berdekatan dengannya dengan mencatatkan kekayaan yang berlipat ganda hasil dari perdagangan dan cukai pelabuhan.

    Namun, akhirnya Empayar ini rebah dijajah oleh bangsa-bangsa asing, penjajahan melebihi 400 tahun memberi kesan terhadap hilangnya kepercayaan dan penghormatan terhadap kekuatan bangsa sendiri. Kejatuhan Empayar ini bermula dari satu penyakit yang dinamakan "rasuah" atau "sogokan wang" yang melanda secara berleluasa dikalangan ketua-ketua yang dipertangungjawabkan menjaga pelabuhan sehingga menimbulkan rasa tidak puas dikalangan pedagang-pedagang yang membawa kemerosotan sumber perdagangan di pelabuhan Melaka dan kemuncak kepada kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka apabila berlakunya serangan penaklukan kuasa asing, pertahanan laut Empayar Kesultanan Melayu Melaka lumpuh berikutan gejala penyakit ini menguasai panglima dan pahlawan-pahlawan yang telah dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dan benteng pertahanan laut Empayar ini gagal bertindak seperti yang telah diamanahkan kerana menjadi hamba kepada "sogokan wang" yang membawa kepada kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka.

    Kini masa telah merubah segala-galanya namun sejarah yang tertulis tidak dapat diubah, calitan penyakit ini seharunya menjadi amaran kepada pemimpin akan kejatuhan bangsa dan negara.
    "Suara rakyat" telah pun kedengaran melalui keputusan Pilihanraya yang lalu, namun adakah pemimpin-pemimpin ini sedar? akan kebencian rakyat dan kebimbangan rakyat? Adakah pemimpin-pemimpin kini masih bermimpi berbantalkan emas bertahtakan belian atau sedar namun terus menjadi hamba kepada penyakit yang satu ini.

    ReplyDelete
  2. Kurap kalau makin digaru, semakin sedap. Itu sebab orang yang berkurap tak nak buang kurap. Dia orang ni tak tahan dek penangan ubat kurap yang pedih tu. Kalau ada kurap, aktiflah tangan dek kerana selalu menggaru.........

    ReplyDelete
  3. salam saudara aspan,

    kurap ada bermacam-macam jenis...
    kucing kurap, anjing kurap, tikus kurap.....semuanya bole nampak...tapi kurap manusia tak nampak...hanya pemilik dan tuhan aje yang tahu

    klu digaru pemiliknya...mungkin kita tahu...kalau tersalah sebut jadi corrupt...lama-lama akan menular menjadi kayap.....bila dah hilang tinggal la bekas dibadan....

    bahaya bagi orang yang memegang atau menggunakan barang pemilik kurap.....

    basuh sebelum guna

    sama2 lah kita fikir

    salam
    carcoon

    ReplyDelete