27 February 2009

UMNO yang ku junjung sudah ke penghujung

1. Ramai antara yang membaca tulisan saya membuat kritikan terhadap saya kerana saya seolah-olah dipunyai (possessed) oleh UMNO; seolah-olah UMNO ini seperti Agama yang tidak boleh ditinggalkan walaupun parti itu telah menjadikan orang Melayu dalam keadaan parah.

2. Saya dikatakan buta mata hati kerana masih ingin melihat UMNO itu kukuh sedangkan impian hanyalah ibarat mimpi di siang hari.

3. Ramai yang menghantar e-mail kepada saya supaya melupakan sahaja UMNO ini kerana UMNO sudah lari terlalu jauh daripada tujuan asal penubuhannya.

4. Dalam pada itu, ramai pula yang membuat interpretasi bahawa saya sudah tidak setia kepada UMNO kerana kritikan pedas saya terhadap parti tertua di mana saya adalah ahlinya.

5. Ramai juga yang faham bahawa kritikan saya itu merupakan introspeksi untuk UMNO sendiri bagi mengharapkan perubahan sikap ahli dan pemimpin parti ini agar UMNO terus menjadi sandaran kepada masa depan orang Melayu dan bangsa-bangsa lain yang tinggal dan bermastautin di negara bertuah ini.

6. Apa pun pandangan daripada sesiapa pun saya tetap membuat kritikan kerana saya mahu melihat UMNO seperti UMNO yang saya kenali dahulu.

7. Seorang yang saya baru kenal membuat panggilan telefon kepada saya kerana beliau nak tahu apa yang saya ingin lihat, kerana beliau mengakui yang dia kurang faham tentang apa sebenarnya yang saya maksudkan dan katakan selama ini.

8. Sebenarnya inilah masalah pemimpin UMNO yang sebenarnya; mereka tidak faham dan mahu tahu apa sebenarnya UMNO itu dan bagaimana hendak menjadi ahli yang baik kepada sebuah parti yang sedang menghadapi krisis besar seperti yang kita hadapi sekarang.

9. Oleh kerana mereka tidak faham tentang kenapa dia menjadi ahli, maka banyak tindakan dan keputusan mereka dianggap buruk dan akhirnya menjadikan parti itu dipandang rendah oleh masyarakat yang mengundi.

10. Saya pernah mengusulkan cadangan supaya ahli UMNO tidak perlu diperbesarkan, kerana lagi besar jumlah keahliannya lagi banyak masalah yang akan parti itu hadapi.

11. Jika hampir 45 peratus orang Melayu menyertai UMNO bermakna semua sampah sarap masuk ke dalam parti itu dan akan banyak ‘infighting’ di peringkat cawangan yang puluhan ribu jumlahnya.

12. Apabila sampai waktu pilihanraya maka undi akan lari kerana perpecahan di peringkat cawangan boleh dirasai dan dilihat di mana-mana.

13. Apa yang penting bagi sebuah parti seperti UMNO ialah memperkuatkan dasar dan perlaksanaan dasar yang tepat, bersih daripada salah laku pelaksana dan memberikan manfaat kepada ahli dan rakyat.

14. Jika UMNO dihormati dengan cara ini maka rakyat yang mengundi akan memberi penghormatan dan pengiktirafan dan sekaligus mudah untuk menyambung mandat yang telah diberikan oleh mereka selama ini.

15. Apakah salahnya jika UMNO hanya menerima hanya 250,000 ahli tetapi parti itu disanjung dan dihormati oleh rakyat?

16. Apakah faedahnya mempunyai 3 juta ahli yang berpecah-belah sedangkan akhirnya rakyat akan mentelaah kemajuan parti tersebut melalui dasar yang dibentuk dan perlaksanaan yang bersih daripada rasuah dan salahguna kuasa oleh pelaksana?

17. Dahulunya, kepimpinan UMNO di peringkat cawangan sangat dihormati kerana kepimpinan cawangan-cawangan kebanyakannya dikuasai oleh guru-guru.

18. Guru adalah orang yang dihormati oleh masyarakat dan itulah sebabnya di cawangan-cawangan tidak banyak bergolak kerana imej seorang guru di desa dan di kampung sangat tinggi.

19. Tetapi sekarang cawangan-cawangan dikuasai olih ahli-ahli perniagaan maka itulah factor yang menyebabkan UMNO diperniagakan dari cawangan sehingga ke peringkat tertinggi parti.

20. Baru-baru ini saya dikatakan oleh seorang ahli UMNO yang saya ini seorang yang bodoh kerana tiada dapat apa-apa berjuang dalam UMNO malahan saya telah hilang segala-galanya.

21. Dia mengatakan saya begitu bodoh kerana akhirnya anak isteri dan keluarga menjadi korban hidup dalam kesusahan dan disebaliknya orang-orang yang mengikuti saya dahulu sudah jadi Menteri dan Menteri Besar dan jawatan-jawatan pentingyang lain dalam kerajaan dan swasta.

22. Salah seorang lagi berkata kepada saya, “Bro, you are the victim of being to obsessed with certain leaders which ultimately make yourself a political destitute and no one look at you and in the end you are not even given human regard by them.. You are sinking and no one even bother to know about your livelihood.”

23. Saya hanya mampu menjawab, “someone has to act stupid bro, and I choose to be one. As long as I know myself that I am not stupid, I shall remain as what I am.”

24. Bagi orang seperti ini mereka menganggap saya bodoh alang. Pandangan seperti ini tentunya terbit daripada sikap mereka yang memandang UMNO itu tempat mencari makan dan memperkayakan diri dan keluarga.

25. Saya bukan anti orang yang hendak menjadi kaya tetapi saya tidak bersetuju dengan sesiapa yang menggunakan UMNO untuk kepentingan peribadi sehingga mengorbankan perjuangan parti itu.

26. Memang pun UMNO itu wujud untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dalam semua bidang kehidupan.

27. Kritikan kawan-kawan saya terima dengan penuh hormat walaupun saya sendiri kadangkala tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Tetapi saya hanya menerima dengan baik niatnya hendak melihat saya hidup dalam keadaan lebih baik sedikit.

28. Sebagai seorang yang sudah masuk ke dalam kumpulan warga emas saya sudah mula belajar hidup sendirian dengan keluarga dan sanak-saudara.

29. Itu sebenarnya kehidupan yang sejati dan jika saya merawat kesihatan saya, saya akan masuk wad di hospital tanpa memberi tahu sesiapa selain daripada anak isteri yang telah bersusah-payah berkorban dengan saya selama ini.

30. Saya ikhlas untuk melihat kawan-kawan berjaya dari jauh dan itu adalah santapan jiwa yang yang sangat enak bagi saya.

31. Saya akan puas jika saya lihat negara saya ditadbir dengan kepimpinan yang bersih daripada rasuah dan salahguna kuasa kerana ia akan membangunkan negara dengan baik untuk generasi yang akan datang termasuklah anak cucu saya sendiri.

32. Yang penting sekarang UMNO mesti berubah sikap secara total. Saya bersama orang ramai memang tidak ada keyakinan dengan barisan sekarang dan barisan yang akan mengambil alih ini.

33. Jangan tidak percaya kepada pandangan saya ini; jika Najib benar-benar ambil alih sama-sama kita lihat, UMNO akan terkubur.

34. Saya amat takut, kerana UMNO yang selama ini ku junjung seolah-olah sudah sampai ke penghujung usianya. Jika itu berlaku apalah yang bakal terjadi kepada orang Melayu yang rata-ratanya masih lemah ini.


Sekian…………………………………………………..Aspan Alias.

10 comments:

  1. Pandangan yang cukup ikhlas - luahan kecewa apabila melihat UMNo yang gagah di depan mata, kini tunduk dan rebah, menanti saat menyembah bumi.

    Tiga isu terkini yang nyata akan merundung dan mengundang malang berterusan untuk siapa sahaja yang menrajui UMNO dan Negara.

    1- UMNO sebok menjaga hati kaum lain untuk tujuan umpan undi.

    2- KDN meluluskan penggunaan Allah untuk herald gunakan - setakat manalah KDN mampu pantau dan ambil tindakan jika mereka melangar syarat.

    3- Karpal menghina Sultan - AG terlalu lembab bagi pihak kerajaan untuk bertindak.

    Perhatikan March ini - banyak peristiwa yang akan berlaku, semuanya akan mencepatkan UMNO ke kubur.

    ReplyDelete
  2. Nampaknya Malaysiakini tidak memaparkan lagi Blog yang dirujuk dengan perkataan 'Malaysiakini' di bawah ruangan Malaysiakini in Blog.

    Oleh itu sama-samalah kita memaparkan blog-blog bloggers tanahair di dalam blog-blog kita sendiri untuk mengetahui posting terkini dari sahabat bloggers.

    ReplyDelete
  3. Salam,

    Sebagai golongan ahli marhien zaman pertengahan, saya mohon tuan cadangkan nama lain, siapa yang paling layak menggantikan Najib, jika tuan dakwa najib tidak layak menjadi peneraju negara selepas paklah.

    ReplyDelete
  4. UMNO yang ku junjung dan ku sanjung tidak ada penghujungnya. Ia akan terus berkembang mekar seperti bunga di taman. UMNO akan senantiasa harum wangi sermerbak dulu, kini dan selamanya. Insya'allah semoga dengan pertolongan Allah diberikan taufiq dan hidayah kepada pemimpin-pemimpin UMNO untuk terus berjuang menempuh cabaran demi cabaran supaya anak cucu kita tidak terpinggir. Masa sudah suntuk untuk orang Melayu bercakaran. Kita mesti rapatkan semula barisan. Tidak ada gunanya kita bercakaran sesama sendiri. Tidak ada faedahnya.

    ReplyDelete
  5. Mengagumkan.
    Menginsafkan.
    Mengharukan.

    ReplyDelete
  6. masalahnya skrg, sebelah Pr juga tidak meyakinkan. akhirnya jd pihak x berparti.

    ReplyDelete
  7. Apa yang tengah saya fikirkan sekarang ialah kita umat Islam di Malaysia ini mesti Bersatu …Bila seorang menyeru agar kita bersatu tiada pun yang mahu menyahut seruan itu….kita lebih leka melayani perbezaan pendapat di antara kita dari memikirkan kebaikan bersatu…Bila Tuhan suruh kita bersatu hati sudah tentu banyak himahnya yang kita tak nampak….

    Perpecahan kita bukan apa sangat cuma nak naikkan gulungan kita supaya berkuasa dan bila berkuasa kita nak tenguk di jalankan apa yang dirancangkan oleh gulungan tertentu….tapi apa pun tujuan baik yang ada kalau umat tak bersatu tak akan tercapai apa apa pun…

    Persatuan itu adalah segala galanya…kalau kita tak punya tujuan pun tapi tujuan hanya untuk bersatu kita akan di rahmati Allah dengan limpahan ramatnya yang kita tak jangka…

    Ingat lah berhujah dan berhujah untuk mengatakan kita benar sebenarnya hanya akan menjadi sebaliknya..Kebenaran sebenarnya berlapis lapis seperti labu bawang…apa yang kita fakir benar sekarang tapi sebenarnya ada lagi kebenaran yang hakiki di sebaliknya (Contoh terdekat…kita kata apa yang kita minum itu air tetapi sebenarnya bukan air tetapi hydrogen dan oxygen dan di sebalik hydrogen dan oxygen pada hakikinya adalah electron semuanya…)

    Jangan bangga dengan ‘kebenaran’ yang kita temui kerana ada lagi kebenarannya di sebaliknya yang kita belum temui….

    Imam Ghazali satu masa dulu memang kuat berhujah sehingga orang memberi gelaran Hujatul Islam..tapi akhir hayatnya dia berubah sikap, setelah banyak mengamalkan ajaran tasauf mengikut abangnya, lalu dia mengelak dirinya dari berhujah…katanya, dalam berhujah tiada yang menang..masing masing bukan mencari kebenaran masing akan mendabik dada, dia lah yang lebih berilmu …ini lebih mendatangkan dosa, banyak buruknya dari baiknya kalau banyak berhujah…

    (Nak memahamkan seorang dengan fahaman kita atau nak seorang itu melihat dengan microscope yang kita tenguk , agak memakan masa yang lama juga , kadang kadang berhujah tidak mendatang kan hasil yang di kehendaki,malah kita kan bermusuhan akhirnya. )

    Walhal apa yang kita sangka “ilmu yang kita rasa perolehi lebih baik dari orang lain’ sebenarnya bukan milik kita , semua ilmu dari Tuhan belaka, in reality we are nothing…oleh kerana itu kenapa mesti berbangga diri…kita jangan lah mengambil sikap kita berbeza dengan kumpulan itu dari banyak segi walaupun mereka seugama..Ini kah pendirian kita sehingga kita menolak untuk bersatu bila ada seruan untuk bersatu?…

    Kenapa kita tidak sahut seruan bersatu itu dulu..mengapa? tak yakin ke bila bersatu nanti rahmat akan turun kepada semua dan apa yang kita idamkan itu akan akhirnya tercapai juga?

    Berpecah belah sebenarnya hanya tuntutan hawa nafsu yang di tunggangi oleh iblis…Hakikat ini kita mesti terima…iblis lah di belakang setiap perbuatan sengketa dan berpecah belah….

    Dan mana mana pemimpin berugama Islam yang tak mahu bersatu memang lah dia membiarkan dirinya di perkudakan oleh iblis…

    Kalau kita bersatu, walaupun dari mulanya timbul satu idea yang kabur tapi nampak ada kebaikan didalam, idea itu lalu sama sama dibaiki sudah tentu akan menjadi baik dan lebih mantap…tiap tiap ahli yang bersatu adalah kepingan batu bata…

    Kalau umat Islam di Malaysia ini boleh bersatu sudah tentu jadi umat Islam pertama di dunia yang bersatu mengatasi Orang Islam Arab , Pakistan dan lain lain lagi…

    Mungkin soalan timbul siapa kah patut di ikuti?

    Kalau di Negara dimana penduduk Islamnya minority, sudah tentu kalau terdapat ‘President “ Negara itu orang Islam sudah tentu mereka bergembira, contoh di America, bila Obama nak jadi President saja, harapan orang Islam di Amerika menggunung tinggi menunggu ‘rahmat’ .Itu baru seorang murtad… belum Islam

    Kita kena akur kuasa ada lah pemberian mutlah Allah SWT kepada seorang , dia yang sebenarnya melantik pemimpin, baik pemimpin itu beriman atau tidak beriman, semuanya adalah kuasa Dia dan dia yang Maha Mengatahui akan muslihat kenapa dia melantik sesorang itu jadi pemimpin.

    Di Malaysia umat Islam mesti bersyukur kerana Allah masih mengekalkan orang Islam sebagai Pemimpin ( Perdana Menteri dan Raja Rajanya).
    Di Malaysia boleh berlaku di sebaliknya dengan kehendak Allah jua.

    Memang lah kita orang Islam di tuntut untuk mematuhi pemimpin yang berugama Islam, Semasa Allah memberi kuasa padanya kita patuh lah, sekiranya ada kemunkaran yang di lakukannya dosanya pemimpin itu yang tanggung, rakyat hanya boleh memberitahu apa yang mungkar….

    Kalau rakyat rasa kemungkaran terlalu teruk sehingga Pemimpin menduakan Tuhan seperti kisah wali wali dalam surah Alkalfi , boleh berhijrah ke lain Negara.

    Yang utama nak di ceritakan di sini ialah Persatuan itu .

    Saya rasa semua orang faham.Kenapa kita tidak jadi kan ini agenda kita bersama bermula hari ini…lain tiada kita nak perkatakan hanya seruan terus menerus agar semua kita bersatu…dan kita minta kawan kawan kita bersama menganjurkan nya dan sentisa berdoa tak putus putus agar kita bersatu…Amin
    Kalau boleh TR memainkan peranan penting dalam penyatuan ini...
    Macam saya pernah syorkan dulu TR patut menjelajah dari daerah ke satu daerah di Malaysia berjumpa rakyat memberi penerangan tak berhenti henti hingga semua faham...tak rugi TR buat macam itu... fikirkan kan lah …

    ReplyDelete
  8. Pemimpin UMNO di peringkat cawangan adalah kuasa penting dalam parti Oleh itu pastikan ketua itu berwibawa. Janganlah ketua UMNO cawangan itu seorang pemandu van arak, penggangur, pemandu bagaimana ahli ingin untuk mendapatkan nasihat dan pandangan? jauh sekali untuk berketuakannya.

    ReplyDelete
  9. Agaknya Pak belalang maksudkan UMNO di bawah najib nanti tu...Asas UMNO tu dah tak betul...perlembagaan pun dah di ubah ..UMNO yg 'berlian' sudah di kuburkan oleh Mahathir..yang ada UMNO ini hanya "kaca"...
    Itu lah sebab nya Pan dari dulu hingga hari ini saya tetap "dengan Semangat yang membawa Roh UMNO lama tu...aku amat marah orang macam kau, Rais dan yang lain lain yang menghasut Tengku Razaleigh supaya bubarkan 46..aku masih ingat lagi dalam satu perbincangan dimana Rais ada, Jaafar ONN ada,Manan pun ada...mereka membawa hujah "UMNO baru tu terlalu kuat..keadaan ekonomi menyebelahi mereka ...kita tak berupaya menentang mereka..." tapi aku berhujah.." betul mereka (UMNO Baru)nampak kuat sekarang..tapi ingat satu hari mereka akan lemah.ekonomi negara akan merudum..kita hanya perlu sabar insyaalah Tuhan akan bersama kita..." dan apa aku cakap semuanya benar...tapi apa nak buat aku pun akhirnya faham kenapa mereka berjuang, lain tak bukan hanya "materialisma" masing masing ada bini..bini masing masing tak tahan susah nak juga barang yang 'glitter' walau pun hanya 'kaca'..yang laki masing masing pula ikut lah kehendak bini masing masing takut sejuk waktu malam ...
    Apa yang di perjuangkan oleh datuk nenek kita sebenarnya sudah hancur lebur pada tahun 1988 lagi bila UMNO lama di haramkan..dengan kematian UMNO itu ertinya 'mati' bersamanya pemimpin yang sebenarnya Pemimpin macam Onn Jafar,Tunku dan Tun Husein yang tak hiraukan kesenangan peribadi...sebab itu bila nak muncul saja pemimpin sebegini macam Tengku Razaleigh yang tak mementingkan untuk diri sendiri lagi (walaupun tak berjawatan 20 tahun lamanya tak pernah menagih memohon projek atau jawatan yg lain macam Big Bro Musang dan lain lain bekas menteri)orang orang macam Mahathir sekat...
    Betul tak Pan Mahathir pernah berucap di Trengganu di sekitar 1987 bahawa dia akan pastikan TR tak akan jadi PM walaupun dia dalam kubur nanti?Sebab itu umornya panjang untuk melaksanakan sumpahnya...( untuk rekod kau kena tulis cerita ini...) dari ucapan ini nampak lah sakit hati sangat mahathir pada TR... kalau tanya dia tentu dia tak mengaku macam kes Taufik Tun Ismail lah nanti...(ada bacab Fitnah dalam blog Cik Det?) kasihan Taufik kena belasah..( Mathahtir sebenarnya anti Tun Ismail pasal buku Malay Dilemmanya di haramkan oleh Tun, betul tak tanggapan aku ini?
    balik pada UMNO, tak setuju amek pasal nak kurangkan ahli jadi 250000 je .Sebenarnta ini lah cita cita mahahthir asalnya nak tubuh UMNO baru..dia nak buat macam parti komunis..kurangkan ahli yang ...lain lain hanya jadikan cadre ..dengan itu UMNO jadi exclusive macam club golf, atau Yahudi punya club ..nak masuk jadi ahli mesti dapat strong recommendation dari ahli yang sedia ada...bila berlaku macam itu maka masa itu semua orang try very hard nak jadi ahli... ada harga konon .itu ( 250000 ahli saja untuk UMNO) aku tentang pasal matalamat di tubuhkan UMNO ialah Persatuan Melayu..Melayu BERSATU..bersatu dibawah satu kepimpinan MELAYU yang punya jati diri yang sanggup membakar dirinya sebagai lilin macam Jafar Onn dan Tunku...Tuhan menyuruh UMMAT ISLAM BERSABAR...Tunku dah buat...malah dah praktis tapi UMMAT Melayu tak sabar...Tunku kata SABAR SABAR SABAR...orang interpreter sebagai kelemahan ...sebenarnya orang tak nampak dalam pada berkata sabar Tunku tidak duduk diam dia mencari solusinya...sebenarnya itulah patut ada pada pemimpin bila orang bawahnya mendesak sesuatu...bila kita sudah berada di atas bukit kita akan nampak jauh...kita kan nampak benda benda yang masa kita di bawah tak nampak...begitulah bila kita jadi pemimpin...apatah lagi kalau pemimpin itu benar benar seorang yang sabar...
    Apa solusinya kita ini...kena perbanyak kan penyokong penyokong yang mahu menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran dalam UMNO baru ini dan BERSABAR berjuang insyaalah...

    ReplyDelete
  10. Yamg pentingnya jadikan agama sebagai paksi dalam apa saja perlakuan. makan minum, kerja, riadah, solat cari duit kerana agama insyaAllah akan selamat. Tetapi kalau masing berpegang pada bangsa, minta maaflah, tak lama lambat laun akan lupus.

    Kalau nak bantu orang yang malang janga tengok bangsanya, kalau tak mampu tolong, bukan melayu sahaja yang susah ramai orang lain juga susah.

    Berbaliklah kepada jalan Allah insyaAllah sesiapa pun akan selamat

    ReplyDelete