14 June 2014

Kita ada ramai pemimpin, tetapi tiada kepimpinan (Bhg 1)

Kalau kita ikuti segala apa yang sedang terjadi kepada negara kita sekarang, bukannya satu perkara yang mudah jika kita hendak mencari penyelesaiannya. Masing-masing bercakap tentang cara penyelesaian isu-isu yang banyak berbangkit dengan memberikan fokus untuk masalah-masalah terpencil yang banyak yang sedang di hadapi rakyat.

Jika tiba hari raya rakyat yang bekerja dengan kerajaan akan mendapat duit raya melalui bonus dan berbagai-bagai lagi. Apabila mendengar rakyat susah untuk mengendalikan hidup seharian kerana pendapatan yang tidak mencukupi, diberikannya BRIM yang tidak pun boleh menyelesaikan masalah hidup orang ramai ini.

Apabila terdengar kaum India tidak berpuas hati dengan kerajaan diumumkan peruntukan khas untuk sekolah Tamil dan apa bila sampai hari Thaipusam, Najib pakai pakaian India dan pergi melawat Batu Caves dan berucap dengan nada yang tinggi. Politik mengambil hati secara lama ini masih segar dilakukan oleh pimpinan kita.

Pendeknya pimpinan kita tidak tahu mencari formula untuk penyelesaian jangka panjang untuk semua. Mereka tidak tahu masalah sebenarnya yang rakyat dan pimpinan hadapi sekarang. Oleh kerana mereka tidak tahu masalah sebenarnya yang mereka sedang hadapi, maka pimpinan kita terus sahaja menyelesaikan masalah dengan penyelesaian isu itu secara individu yang akhirnya membelanjakan wang rakyat dengan begitu banyak.

Mereka tidak tahu masalah sebenar yang dihadapi rakyat secara menyeluruh, maka mereka menyelesaikan masalah mengikut apa yang sedang mereka hadapi secara 'ad hoc' dan memberikan sogokan bagi membeli hati rakyat dengan pendekatan jangka pendek.

Dulu blog ini pernah menulis tentang isu ini beberapa kali. Cara pemimpin kita mengubati masalah negara dan rakyatnya ibarat memberikan ‘pain killer’ atau ubat penahan sakit sahaja. Contohnya jika kelihatan mata merah yang sakit diberikannya panadol untuk menghilangkan sakit. Selepas beberapa hari terasa pula sakit tengkok, dimakan lagi ubat penahan sakit dan apabila sakit kepala diberikan panadol lagi untuk menghilangkan sakit buat sementara.

Tetapi pimpinan kita tidak pernah tahu sebab kenapa seseorang itu selalu sakit tengkok dan sakit kepala. Tidak pernah diketahuinya kenapa seseorang itu merah matanya atau selalu berjalan dengan tidak stabil. Sampai bila kita hendak memakan ubat menahan sakit seperti ini?

Pendeknya cara kerajaan kita hanya memberikan penyelesaian jangka pendek sahaja dengan memberikan ubat menahan sakit sahaja dan ia tidak akan menyembuhkan penyakit yang sebenarnya. Kerajaan BN hari ini sepatutnya mencari apa penyakit yang sebenarnya bukan setakat menghilangkan sakit. Mungkin yang menyebabkan sakit mata dan tengkok serta kekerapan sakit kepala itu adalah di sebabkan penyakit darah tinggi atau kencing manis.

Selama ini kerajaan kita tidak pernah berjaya untuk mengubati penyakit. Baginya memberikan ubat penahan sakit sudah selesai masalah rakyat. Itu sebabnya kerajaan sanggup memberikan wang bantuan 1Malaysia atau BRIM dan bantuan ini hanyalah menyelesaikan masalah jangka pendek sahaja.

Jika BRIM dan bonus diberikan semasa hari raya hampir tiba ia hanya mampu menyelesaikan masalah menghadapi hari raya sahaja dan bukannya boleh membantu meningkatkan pendapatan rakyat untuk kesenangan jangka panjang.

Cara UMNO mengendalikan isu seolah-olah parti itu lebih suka untuk rakyat terus berada dalam masalah yang mereka alami sekarang untuk mereka memudahkan membeli sokongan dan undi semata-mata. UMNO nampaknya tidak berminat untuk membangunkan rakyatnya, disebaliknya hanya inginkan sokongan apabila ia diperlukan.

UMNO dan pimpinan hari ini tidak memahami isu negara secara menyeluruh. Isunya berkait dengan isu kehidupan seharian hinggalah isu-isu besar negara yang tidak kunjung nampak apa yang mereka patut lakukan. Kadangkala mahu sahaja hendak menuduh yang kita sekarang seolah tidak mempunyai kerajaan yang mentadbir negara dengan baik. Di mana-mana ada masalah.

Sesungguhnya negara kita mempunyai ramai pemimpin tetapi tiada yang berkepimpinan.

Persoalan-persoalan yang sangat perlu diberikan perhatian secara menyeluruh tidak di selesaikan dengan cara yang betul dan munasabah. Semua pihak hanya menumpukan kepada politik kepartian dan parti-parti kedua-dua belah pihak lebih menumpukan untuk melakukan ‘political intrigues’ bagi mendapatkan sokongan tetapi tidak ada parti yang benar-benar memberikan solusi terhadap permasalahan yang banyak yang negara sedang hadapi.

Jika kita susun dari atas hingga kebawah masalah-masalah yang kita hadapi, yang sedar akan merasa ngeri melihat apa yang negara akan hadapi dihari muka. Pertamanya masalah keadaan negara kita sebagai negara Persekutuan itu sendiri belum mendapat penyelesaian sehinggakan ada negeri-negeri dalam negara kita sentiasa tidak berpuas hati kerana Perjanjian Persekutuan itu sendiri menjadi persoalan dari segi perlaksanaan secara jujurnya.

Masalah kedudukan Sabah dan Sarawak yang masih menjadi duri dalam daging bagi negara masih belum selesai dan ini mempengaruhi kestabilan politik negara secara jangka panjangnya. Isu ini adalah isu besar tetapi pemimpin kita masih bercakap tentang isu seperti BRIM dan yang lain yang saya sebutkan hanya seperti memberikan ubat penahan sakit sahaja dan tidak memberikan penyelesaian terhadap isu-isu besar negara kita.

Pemimpin-pemimpin kita tahu masalah ini, tetapi mereka lebih cenderung untuk menyusupkan masalah ini di bawah permaidani. Kenapa mereka berbuat demikian? Jawapannya ialah mereka tidak tahu apa yang hendak dilakukan kerana mereka adalah pemimpin seperti yang saya sebutkan sebagai pemimpin yang berjiwa fakir dan miskin dan tidak berani melakukan perubahan dan penyelesaian secara drastik dan ‘final’ bagi memastikan negara kita terletak diatas keadilan yang kesaksamaan yang utuh dan kuat untuk kekal sebagai negara yang demokratik yang benar dan betul.

Itu sebabnya kita mempunyai masalah besar. Di negara maju jika masalah seperti ini wujud maka mereka boleh memberikan kepimpinan negara kepada pihak pembangkang yang menjadi 'alternative' kepada kerajaan yang menyandang.

Tetapi di sini pihak pembangkang sendiri tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah ini kerana mereka menumpukan masa dan tenaga untuk bermain politik kepartian yang menebal yang akhirnya akan membuahkan keadaan yang sama juga…….

(bersambung)

4 comments:

  1. saya sangat2 bersetuju dengan kenyataan di atas. apabila kita menyelami satu persatu keputusan yang kerajaan umumkan, pada pendapat saya mereka seperti menjaga sesetengah pihak yang memberi kepentingan untuk mereka walhal mereka adalah kerajaan. sbg contoh kenaikan tol. orang kaya semakin kaya, orang miskin semakin miskin di Negara sendiri..

    rakyat prihatin

    ReplyDelete
  2. Artikel yang baik dimana tidak berpihak kepda mana-mane parti politik. Namun, itulah yang berlaku di Malaysia, kita tidak boleh berharap pada kerajaan mahupun pembangkang. Jika bertukar tangan sekali pun, keadaan tetap sama, rakyat dipergunakan. Undi, undi dan undi. Pujuk, pujuk dan pujuk. Suap, suap dan suap. Apa guna pemimpin, sedang pemimpin ikut telunjuk pengikut. Ini bukan konsep kepimpinan. Kerajaan dan pembangkang sama sahaja, menunjukkan politik Malaysia, terlalu kolot.

    ReplyDelete
  3. Syabas AA..syabas...

    radzi

    ReplyDelete