26 October 2014

Di antara pemimpin PELAPIS dan PELAPIK itu besar bezanya

Cara sesebuah kerajaan untuk kekal kuat dan tidak menghadapi tekanan dari demonstrasi jalanan dan sebagainya ialah dengan memimpin negara mengikut kaedah dan cara yang telah ditetapkan seperti mana yang kita terima semasa mencapai kemerdekaan dahulu. Mempertahankan kerajaan bukan dengan menggunakan kekerasan tetapi sebaliknya dengan cara memimpin yang berbudaya dan bersih dari perbuatan jenayah dalam mentadbir kerajaan itu.

Jika kerajaan itu bersih dan beretika kepimpinannya dan rakyat merasakan dengan sesungguhnya yang mereka mempunyai hanya satu matlamat, iaitu untuk rakyat dan kemajuan negara, tidak akan senang bagi pihak-pihak lain untuk menumbangkan kerajaan itu.

Apabila kelemahan kepimpinan itu terlalu jelas maka akan mudah pihak lain untuk melakukan apa sahaja untuk menumbangkan kerajaan termasuk melalui demonstrasi jalanan dan fitnah yang keterlaluan terhadap kerajaan yang lemah itu. Semasa itu rakyat terutamanya anak-anak muda akan mudah dipengaruhi oleh pihak lain yang berkepentingan politik mereka dan anak-anak muda ini tidak akan ada masa untuk menilai apa kebaikan dari pihak yang mereka sokong bagi menumbangkan kerajaan itu.

Saya maksudkan pihak yang sepatutnya berwajib untuk mentadbir secara baik dan berhemah itu ialah kerajaan UMNO pada hari ini yang tidak mampu menjaga ketelusan dan kejujuran memimpin negara ini sejak tiga dekad dahulu. Apabila sebuah kerajaan itu mempunyai persepsi yang kerajaan itu rasuah, tidak jujur kepimpinannya ditambah pula dengan timbul dan wujudnya pemimpin-pemimpin yang tidak sepatutnya berada di sana.

Pastinya ramai di antara mereka yang berada didalam kepimpinan sekarang ini tidak sepatutnya berada di atas sana kerana mereka bukannya mendapat tempat kerana kepimpinan mereka, tetapi menaiki tangga kepimpinan melalui kronisma dan nepotisma yang telah terbentuk sejak beberapa lama dahulu.

Mereka yang sedang memimpin hari ini bukannya mereka yang telah dibentuk untuk menjadi PELAPIS kepada pimpinan yang utama, tetapi mereka hanya diambil menjadi PELAPIK kepada pimpinan yang lemah dan tamak kuasa sahaja. PELAPIK-PELAPIK inilah yang terbina dikeliling pimpinan yang tamak kuasa dan mereka ini menjadi benteng bagi pimpinan yang ingin berkuasa tanpa halangan dari pihak yang ingin mempengaruhi kepimpinannya.

Maka yang mewarisi kepimpinan itu ialah pimpinan sekarang yang dahulunya menjadi pelapik semata-mata. Maka yang memimpin sekarang adalah mereka yang terbentuk dari kumpulan pelapik itu dan bukannya dari mereka yang telah terbentuk daya kepimpinan yang baik yang digilap oleh pimpinan yang telus dan jujur.

Mereka ini tidak pernah berfikir atau dididik untuk menjadi pemimpin justeru apabila kepimpinan itu bersara dan berhenti, kumpulan pelapik ini mengambil alih pimpinan tanpa mempunyai roh kepimpinan yang betul yang memahami apa yang mereka patut lakukan setelah menjadi pemimpin. Mereka bukannya menaiki kepimpinan kerana kepimpinan mereka, tetapi hanya mengambil alih kepimpinan hasil dari tugas melapik mereka dahulu.

Sekarang mereka menghadapi masalah memimpin negara kerana mereka bukannya dididik untuk mentadbir negara. Kelemahan ini diambil kesempatan oleh parti-parti yang mengaku sebagai ‘alternative’ dan boleh memberikan pilihan kepada pimpinan yang lemah ini, dan tidak ramai yang memahami yang mereka ini juga datang dari lubang dan lubuk yang sama.

Kepimpinan hari ini menjadi ‘defensive’ dan tidak tahu untuk memberikan pencerahan apabila berhadapan dengan tekanan dan desak anak-anak muda yang sedang dipengaruhi oleh pihak lain yang sama juga nilai dan tabii politik dan kepimpinan mereka. Masing-masing pihak tidak menumpukan matlamat utama bagi mereka untuk memimpin negara yang berbilang kaum ini.

Masing-masing menuduh pihak lain memainkan isu perkauman tetapi hakikatnya kedua-dua belah pihak mempunyai kelebihan masing-masing dalam memainkan peranan dan bertindak mengikut alur perkauman. Jika ada pun perbezaannya, satu pihak bercakap bergegar-gegar tentang perkauman manakala satu pihak yang lain dengan secara sistematik dan tersusun memainkan politik untuk kaum mereka semata-mata. Tanpa bercakap tentang perkauman tetapi membuat keputusan mengikut alur dan sisip perkauman mereka sahaja.

Isu perkauman dan agama merupakan isu yang paling mudah untuk diketengahkan sebagai isu politik kerana isu-isu ini amat senang untuk memecahbelahkan rakyat. Dalam keadaan kelemahan kepimpinan kedua-dua belah pihak mereka secara ‘natural’ akan menggunakan isu perkauman dan agama ini. Mereka tidak mempunyai kudrat yang teguh untuk menjadi pemimpin yang 'real' dan mentadbir negara mengikut lunas realiti politik dan kepimpinan yang sebenarnya bagi negara berbilang kaum ini.

Itulah sebabnya saya tidak dan belum lagi jemu meminta difikirkan untuk memulakan negara dengan politik yang baru supaya kita terkeluar dari situasi yang tidak kunjung selesai ini.

Negara kita bukannya kekurangan mereka yang berkepimpinan, tetapi mereka ini tidak lagi di dalam barisan kepimpinan arus perdana kerana kepimpinan negara telah disaratkan oleh pemimpin yang lahir dari kumpulan pelapik yang saya sebutkan tadi. Mereka bukannya datang dari kumpulan pelapis tetapi hanya dari kumpulan pelapik sahaja.

Tun Razak dahulu semasa berkuasa dan berpengaruh telah membina barisan pelapis yang baik untuk negara mengikut fikiran beliau. Tun Razak telah mendidik dan menggilap Tengku Razaleigh, Dr Mahathir dan Musa Hitam untuk diwarisi kepada negara untuk mengambil alih kepimpinan beliau sesudah beliau tiada dan bersara.

Tetapi pembinaan kepimpinan yang baik dan jujur ini telah dipesongkan oleh orang yang tidak disangka mahu memerintah negara sebegitu lama sehinggakan mereka yang sama-sama digilap untuk memimpin negara diketepikan begitu sahaja dan memilih untuk membina kepimpinan pelapik beliau sahaja.

Inilah hasilnya dan jangan disalahkan sesiapa kerana kesuburan budaya mencari peminpin yang hanya bertaraf pelapik kepada pemimpin utama yang juga datangnya dari kumpulan pelapik tadi.

3 comments:

  1. Satu pandangan dan idea yg luar biasa dari tuan aspan.

    ReplyDelete
  2. Pelapik kita kategorikan orang-orang kanan pilihan berpengaruh yang menyangga kedudukan individu berkuasa.

    Pelapis pula ialah golongan yang di latih sebagai pengganti pelapik dan menjaga golongan pelapik kanan yang di tolak ke atas memegang kuasa sebagai pengganti utama paling layak.

    Dalam hal ini kita nampak Dap itu Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Di bawah mereka terdiri pelapik yang di percayai. Pelapis nya pula penggerak sentimen dan perspektif yang di mulakan dari atas, menyebar dan melebarkan ke bawah mengukuhkan kedudukan pemimpin dan pelapik di atas mereka.

    Juga PKR dan PAS yang tiada beza. Sebagaimana Umno, gabungan atau di kenali PR seperti juga Umno, semakin longlai kerana 'one man show' dan pelapik-pelapik tradisi sudah hilang pegangan berjamaah. Kini pelapik ekonomi bukan dari golongan bumiputra (melawan fitrah) yang menjadi adikuasa kedua selepas 'one man show' yang kalis tujahan. Para pelapis hampir tiada suara atau bersuara sumbang dalam nada berbeza.

    Saudar AA nampak, begitu juga majoriti kita, Melayu. Belum ada tokoh yang betul-betul menepati selera dan pilihan kita yang menggembeling secara ikhlas selain ingin berkepentingan untuk kuasa politik semata-mata.

    Mungkin ujian getir untuk Malaysia ketika ini kerana 'yang berkepentingan' sering membelakangkan adab, tradisi dan warisan (sulalatin) yang pada hakikat terjadi dari setetes air mani yang kotor! Tidak lagi di sucikan dengan amalan pensucian dan berpaksi kesucian rohaniah. Ini lah sahsiah Islam sebenar yang Allah SWT maksudkan.

    Innalillahwaiinahilairojiiunnn. Itu yang terbaik. Kita ini hamba dan selemah- lemah makhluk kejadian. Kini berterusan ingkar dan mendabik dada !

    ReplyDelete
  3. Kalau pemimpin gagal memimpin, maka pemimpin pelapik yang akan bayar hutang.rujuklah mana2 sejarah tamadun manusia didunia itulah yang berlaku.

    ReplyDelete