09 December 2014

Ingat, semasa kita tiada lagi, segala dosa dan noda kita ditanggung oleh generasi kita

Di antara isu yang menarik bagi saya minggu ini ialah ucapan Najib kepada pegawai-pegawai di Jabatan Perdana Menteri pagi semalam di Putrajaya. Beliau telah menyebut yang undang-undang yang berhubung dengan rasuah diperketatkan dan kali ini pemberi rasuah juga patut diambil tindakan tegas kerana rasuah adalah punca kepada segala masalah kepada negara.

Beliau berkata syarikat-syarikat swasta yang menghulurkan rasuah perlu dihentikan dan tindakan tegas wajar diambil sebagai satu cara yang difikirkan perlu untuk dilakukan bagi memberhentikan kegiatan rasuah yang telah menjadi perhatian umum yang tidak dapat di tanggalkan dari batang tubuh poemimpin dan kerajaan hari ini.

Apa yang dikatakan Najib itu benar, tetapi masalahnya pimpinannya sendiri merupakan pimpinan yang terlibat dengan kegiatan memberi dan menerima rasuah itu. Rasuah sememangnya satu penyakit yang akan sentiasa berterusan, kerana melakukan rasuah itu tidak dapat menyelesaikan masalah pemberinya dengan sekali gus.

Syarikat-syarikat yang memberi rasuah kepada kerajaan samada kepada pemimpin parti pemerintah mahupun kepada pelaksana, akan berterusan setiap kali mahu mendapatkan projek dari kerajaan. Ini terpaksa meneruskan perlakuan ini disebabkan ia sudah menjadi budaya dan kepada pemimpin Kementerian dan Jabatan akan mengharapkan imbuhan setiap jabatan dan kementeriannya memberikan projek kepada penerima syarikat-syarikat itu.

Tujuan syarikat-syarikat swasta memberikan rasuah itu ialah untuk mendapatkan projek dan tujuan penerimanya mengambil wang rasuah itu ialah untuk menyempurnakan budaya rasuah yang telah tertanam sejak dua tiga dekad dahulu.

Najib telah meminta kerjasama setiap parti politik untuk bersama memerangi rasuah ini kerana ia adalah masalah bersama kita, katanya kepada pegawai di JPM semalam. Kalau begitulah niat Najib maka kita wajar bertanya kepada nya samada pemberian rasuah BRIM itu patut dihentikan? Bukankah pemberian BRIM itu merupakan sogokan terhadap rakyat untuk memberikan sokongan terhadap kerajaan pimpinannya?

Seperti juga syarikat-syarikat swasta yang memberikan rasuah kepada pegawai kerajaan dan pemimpin kerajaan, pemberian BRIM itu boleh dikategorikan sebagai rasuah juga. Syarikat swasta memberikan rasuah untuk mendapatkan projek, pemberian BRIM itu pula adalah untuk mendapatkan sokongan ramai terhadap kerajaan. Kedua-duanya ini tidak boleh menyelesaikan masalah dan terpaksa dilakukan setiap kali hendak mendapatkan sokongan dan projek tadi.

BRIM tidak boleh menyelesaikan masalah kehidupan rakyat dan syarikat-syarikat swasta itu tidak akan terus mendapat projek dengan pemberian rasuah sekali dua sahaja. Ia terpaksa dilakukan selagi syarikat itu mahu membuat bisnes.

Oleh itu Najib sepatutnya suluh dirinya ke dalam samada beliau layak untuk bercakap dan menambah janji-janjinya yang masih banyak belum terlaksana. Bagi saya keadaan ini sukar dilaksanakan oleh pimpinannya kerana yang melakukan tindakan rasuah ini terjadi semasa pentadbirannya maka ia tidak layak untuk diyakini ia akan tercapai. Ia akan hanya tercapai jika ia dilakukan oleh ‘set’ kepimpinan yang baru.

Kita perlu ingat selama ini, ‘set’ kepimpinan inilah yang membuatkan negara retak segala-galanya, dan jika berhajat untuk melihat keadaan semakin buruk, maka ‘set’ sekarang inilah yang selayaknya untuk melakukan pembaharuan itu, dan barulah kita terima cadangan Najib itu.

Blog ini pernah memberikan pandangan yang ‘conclusive’ tentang ‘set’ kepimpinan sekarang. Jika kita ingin terus memecah-belahkan negara, kita teruskan sokongan kepada ‘set’ kepimpinan sekarang. Jika kita mahu memecah-belahkan negara ini dengan lebih teruk dan cepat, maka berikan tanggungjawab memperbaikinya kepada ‘set’ ini juga.

Oleh yang demikian janji Najib semalam untuk bertindak terhadap pemberi rasuah itu elok kita abaikan sahaja kerana kita tahu ia merupakan satu lagi janji yang tidak akan tertunai. Mungkin Najib bercakap seperti itu kepada kakitangan beliau itu kerana beliau sudah kekurangan isu yang hendak beliau perkatakan sahaja.

Rakyat sudah terlalu kenyang dengan janji-janji beliau dan sudah tidak lagi berselera untuk menerima lagi janji-janji tambahan darinya. Jika serius untuk menghapuskan rasuah dalam negara kita, ‘set’ kepimpinan hari ini wajar berhenti dan bersara kerana jika mereka bersara peluang untuk menghapuskan rasuah itu lebih mudah untuk dilakukan.

Itu sebabnya saya katakan dalam posting yang lepas, jika Najib benar-benar hendak meninggalkan nama dan jasanya kepada negara dan rakyat, beliau hanya perlu bersara bersama ‘set’ kepimpinan beliau yang ada pada hari ini. Jasa beliau itu akan tetap dikenang sehingga bila-bila.

Hendak berjasa bukan semestinya bergayut terus kepada kuasa, melepaskan kuasa juga merupakan jasa yang sangat ‘noble’ bagi beliau lakukan. Najib perlu ingat meringankan keresahan rakyat itu merupakan ubudiyah terbaik sekali dan mendapat ganjaran yang baik dari Maha Pencipta kita.

Lain-lain perkataan Najib akan mendapat pahala yang besar jika niatnya untuk berhenti itu ialah untuk kebaikan rakyat dan negara. Kita perlu tahu dalam sisa-sisa hidup, kita perlu berusaha untuk disenangi oleh jiran tetangga dan ahli-ahli dalam kariah kita. Dalam larian seratus meter, cara permulaan itu kurang pentingnya tetapi yang terpenting ialah semasa tiba kegarisan penamatnya, kita menang.

Begitu juga dalam semua amalan dan ubudiyah dan sedekah kita sepanjang hayat kita, semuanya itu adalah untuk satu saat, iaitu semasa akhir kalam kita, kita mati dalam kalimah!.

Jangan kita bebankan generasi kita yang akan datang dengan segala ‘evil causes’ yang kita lakukan sekarang ini. Segala kesalahan dan noda kita akan ditanggung oleh generasi kita bahangnya semasa kita sudah tiada di dunia ini nanti.

No comments:

Post a Comment