Di antara isu yang menarik bagi
saya minggu ini ialah ucapan Najib kepada pegawai-pegawai di Jabatan Perdana
Menteri pagi semalam di Putrajaya. Beliau telah menyebut yang undang-undang
yang berhubung dengan rasuah diperketatkan dan kali ini pemberi rasuah juga
patut diambil tindakan tegas kerana rasuah adalah punca kepada segala masalah
kepada negara.
Beliau berkata syarikat-syarikat
swasta yang menghulurkan rasuah perlu dihentikan dan tindakan tegas wajar
diambil sebagai satu cara yang difikirkan perlu untuk dilakukan bagi
memberhentikan kegiatan rasuah yang telah menjadi perhatian umum yang tidak
dapat di tanggalkan dari batang tubuh poemimpin dan kerajaan hari ini.
Apa yang dikatakan Najib itu
benar, tetapi masalahnya pimpinannya sendiri merupakan pimpinan yang terlibat
dengan kegiatan memberi dan menerima rasuah itu. Rasuah sememangnya satu
penyakit yang akan sentiasa berterusan, kerana melakukan rasuah itu tidak dapat
menyelesaikan masalah pemberinya dengan sekali gus.
Syarikat-syarikat yang memberi rasuah
kepada kerajaan samada kepada pemimpin parti pemerintah mahupun kepada
pelaksana, akan berterusan setiap kali mahu mendapatkan projek dari kerajaan. Ini
terpaksa meneruskan perlakuan ini disebabkan ia sudah menjadi budaya dan kepada
pemimpin Kementerian dan Jabatan akan mengharapkan imbuhan setiap jabatan dan
kementeriannya memberikan projek kepada penerima syarikat-syarikat itu.
Tujuan syarikat-syarikat swasta
memberikan rasuah itu ialah untuk mendapatkan projek dan tujuan penerimanya
mengambil wang rasuah itu ialah untuk menyempurnakan budaya rasuah yang telah
tertanam sejak dua tiga dekad dahulu.
Najib telah meminta kerjasama
setiap parti politik untuk bersama memerangi rasuah ini kerana ia adalah
masalah bersama kita, katanya kepada pegawai di JPM semalam. Kalau begitulah
niat Najib maka kita wajar bertanya kepada nya samada pemberian rasuah BRIM itu
patut dihentikan? Bukankah pemberian BRIM itu merupakan sogokan terhadap rakyat
untuk memberikan sokongan terhadap kerajaan pimpinannya?
Seperti juga syarikat-syarikat
swasta yang memberikan rasuah kepada pegawai kerajaan dan pemimpin kerajaan,
pemberian BRIM itu boleh dikategorikan sebagai rasuah juga. Syarikat swasta
memberikan rasuah untuk mendapatkan projek, pemberian BRIM itu pula adalah
untuk mendapatkan sokongan ramai terhadap kerajaan. Kedua-duanya ini tidak
boleh menyelesaikan masalah dan terpaksa dilakukan setiap kali hendak
mendapatkan sokongan dan projek tadi.
BRIM tidak boleh menyelesaikan
masalah kehidupan rakyat dan syarikat-syarikat swasta itu tidak akan terus
mendapat projek dengan pemberian rasuah sekali dua sahaja. Ia terpaksa
dilakukan selagi syarikat itu mahu membuat bisnes.
Oleh itu Najib sepatutnya suluh
dirinya ke dalam samada beliau layak untuk bercakap dan menambah janji-janjinya
yang masih banyak belum terlaksana. Bagi saya keadaan ini sukar dilaksanakan
oleh pimpinannya kerana yang melakukan tindakan rasuah ini terjadi semasa
pentadbirannya maka ia tidak layak untuk diyakini ia akan tercapai. Ia akan
hanya tercapai jika ia dilakukan oleh ‘set’ kepimpinan yang baru.
Kita perlu ingat selama ini,
‘set’ kepimpinan inilah yang membuatkan negara retak segala-galanya, dan jika
berhajat untuk melihat keadaan semakin buruk, maka ‘set’ sekarang inilah yang selayaknya
untuk melakukan pembaharuan itu, dan barulah kita terima cadangan Najib itu.
Blog ini pernah memberikan
pandangan yang ‘conclusive’ tentang ‘set’ kepimpinan sekarang. Jika kita ingin
terus memecah-belahkan negara, kita teruskan sokongan kepada ‘set’ kepimpinan
sekarang. Jika kita mahu memecah-belahkan negara ini dengan lebih teruk dan
cepat, maka berikan tanggungjawab memperbaikinya kepada ‘set’ ini juga.
Oleh yang demikian janji Najib
semalam untuk bertindak terhadap pemberi rasuah itu elok kita abaikan sahaja
kerana kita tahu ia merupakan satu lagi janji yang tidak akan tertunai. Mungkin
Najib bercakap seperti itu kepada kakitangan beliau itu kerana beliau sudah
kekurangan isu yang hendak beliau perkatakan sahaja.
Rakyat sudah terlalu kenyang
dengan janji-janji beliau dan sudah tidak lagi berselera untuk menerima lagi
janji-janji tambahan darinya. Jika serius untuk menghapuskan rasuah dalam
negara kita, ‘set’ kepimpinan hari ini wajar berhenti dan bersara kerana jika
mereka bersara peluang untuk menghapuskan rasuah itu lebih mudah untuk
dilakukan.
Itu sebabnya saya katakan dalam
posting yang lepas, jika Najib benar-benar hendak meninggalkan nama dan jasanya
kepada negara dan rakyat, beliau hanya perlu bersara bersama ‘set’ kepimpinan
beliau yang ada pada hari ini. Jasa beliau itu akan tetap dikenang sehingga
bila-bila.
Hendak berjasa bukan semestinya
bergayut terus kepada kuasa, melepaskan kuasa juga merupakan jasa yang sangat
‘noble’ bagi beliau lakukan. Najib perlu ingat meringankan keresahan rakyat itu
merupakan ubudiyah terbaik sekali dan mendapat ganjaran yang baik dari Maha
Pencipta kita.
Lain-lain perkataan Najib akan
mendapat pahala yang besar jika niatnya untuk berhenti itu ialah untuk kebaikan
rakyat dan negara. Kita perlu tahu dalam sisa-sisa hidup, kita perlu berusaha
untuk disenangi oleh jiran tetangga dan ahli-ahli dalam kariah kita. Dalam
larian seratus meter, cara permulaan itu kurang pentingnya tetapi yang
terpenting ialah semasa tiba kegarisan penamatnya, kita menang.
Begitu juga dalam semua amalan dan
ubudiyah dan sedekah kita sepanjang hayat kita, semuanya itu adalah untuk satu
saat, iaitu semasa akhir kalam kita, kita mati dalam kalimah!.
No comments:
Post a Comment