04 February 2015

Tidak pernah disangka yang kita menjadi pembawa dalil hari hendak kiamat

Kata-kata orang-orang tua dahulu, yang muda membuat ragam, yang tua menahan ragam. Maksud kata-kata ini ialah mereka yang masih muda dan belum matang selalu melakukan kesalahan dan kesilapan yang dianggapkan sebagai tindakan membuat ragam. Yang tua-tua dan yang telah matang menahan ragam-ragam yang dilakukan oleh yang muda-muda ini sambil memberikan bimbingan untuk bersedia untuk menempuh zaman tua dan matang kita dan tidak melakukan ragam lagi, malahan meengambil giliran untuk menahan ragam yang muda-muda pula.

Dalam politik dan kepimpinan juga kata-kata ini terpakai. Pemimpin yang sepatutnya matang mestilah sabar menahan ragam rakyat pimpinan mereka. Tetapi ia tidak lagi berlaku dalam politik tanahair kita ini. Jika kita amati segala yang berlaku selama tiga dekat yang lalu keadaan sudah terbalik. Pemimpin-pemimpin pula yang membuat ragam, sedangkan rakyat menahan ragam pemimpin sekian lama.

Berbagai-bagai macam ragam yang dilakukan oleh pimpinan parti-parti politik dari kedua-dua belah pihak dan bermacam-macam lagi perkara yang tidak baik dan senonoh dilakukan oleh pemimpin utama negara dengan keluarga mereka dan semuanya membina situasi tidak menyenangkan yang membawa implikasi buruk kepada kehidupan rakyat dan keutuhan negara kita.

Jika kita berfikir dan bertafakur mengenang kembali nasib yang menimpa  rakyat negara ini, kita kadangkala merasakan yang kita tidak berubah, sama sahaja seperti kita dalam penjajahan Inggeris atau mana-mana kuasa besar dahulu. Inggeris telah menjajah kita begitu lama dan mereka tidak mempunyai niat yang lain selain dari bertujuan untuk memunggah segala kekayaan negara kita untuk dibawa dan dimunafaatkan oleh rakyat negara penjajah itu.

Bermula dari kegiatan perdagangan oleh East India Company dahulu, kekayaan negara kita dipunggah ke London untuk memperkayakan negara British itu dan tindakan itu masih berlaku tetapi dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kita sendiri yang tidak bertanggungjawab sekarang ini. British telah memunggah segala hasil perladangan sehinggakan syarikat perladangan yang besar di sini mempunyai pusat dan Headquarters nya di London.

Hasil perladangan kita dipunggah melalui syarikat-syarikat perladangan seperti Harrison and Crossfield, Guthries, dan juga Sime Darby yang dahulunya berpengkalan di London. Selain dari itu kita mendengar nama seperti Tradewinds yang juga berpusat di London dengan memunggah hasil kekayaan dari negara kita.

London Tin merupakan syarikat British yang terbesar dalam bidang pengeluaran bijih timah yang kini bernama Malaysian Mining Corporation setelah syarikat itu dibeli oleh rakyat negara ini dan membawa  ibu pejabat syarikat itu ke Kuala Lumpur. Hampir kesemua syarikat-syarikat besar British yang mempunyai perniagaan di sini telah dibawa kembali. Baik Tradewinds, mahu pun Harrison Crossfield serta Sime Darby dan Guthries serta yang lain-lainnya telah dibawa kembali setelah kita mempunyai kepakaran dalam bidang pengambil alihan syarikat-syarikat ini.

Syarikat gergasi yang terakhir yang dibawa kembali ke Kuala Lumpur ialah Guthries yang berlaku pada 7hb September 1981 dahulu melalui Dawn Raid yang mana kita telah mengambil alih Guthries itu secara ‘hostile’ di pasaran saham London pada pagi (waktu Malaysia) 7hb September 1981 itu.

Dengan pembelian saham-saham Guthries melalui pemegang-pemegang saham kecil (minority share holders) di merata tempat termasuk dari Singapura, kita telah berjaya mendapatkan 33 peratus dari saham syarikat itu dan melakukan ‘general offer’ dan berakhirlah penaklukan British terhadap kita melalui syarikat perladangan itu. Guthries kembali berpengkalan di Kuala Lumpur.sejak dari hari itu.

Semasa itu kita semuanya lebih-lebih lagi pemimpin begitu ‘engrossed’ dengan usaha memindahkan pengkalan syrikat-syarikat besar hasil perladangan dan timah dari negara ini untuk kembali ke Kuala Lumpur. Maka hasil dari perladangan dan bijih timah ini tidak lagi mengalir ke London tetapi sebaliknya kekal di negara kita. Perlaksanaan semangat nasionalisma kita begitu kuat dan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk membuat kekayaan untuk diri mereka masing-masing. Semuanya dilakukan untuk kebaikan negara kita bagi mengisi kemerdekaan yang telah kita capai pada tahun 1957 itu.

Perdana Menteri pada masa itu Tun Razak dan seterusnya Hussein Onn begitu komited untuk melaksanakan usaha ini dan Tun Razak begitu teliti untuk memberikan tugas kepada sesiapa yang beliau jangka dan berkeyakinan untuk melaksanakan usaha ini sampai berjaya. Perdana Menteri Razak dan Hussein telah memberikan tugas kepada Tengku Razaleigh Hamzah untuk memenuhi cita-cita ini dan TR sebagai pengerusi kepada Jawatankuasa Penyelaras Pelaburan Kabinet telah diberikan kepercayaan untuk melaksanakan usaha ini dengan memberikan beliau ‘parameter’ yang luas untuk mengambil apa-apa keputusan dan tindakan yang perlu untuk melaksanakan usaha pengisian kemerdekaan ini.

TR mengambil tugasan dan tanggungjawab ini dengan komitmen yang besar dan beliau terus memperhambakan diri beliau untuk memberikan khidmat kepada negara dengan pengetahuan yang lengkap tentang apa yang beliau hendak lakukan kerana beliau merupakan seorang teknokrat dan planner yang ‘impeccable’ untuk negara.

TR telah menggunakan kepakaran beliau sendiri bersama dengan rakan-rakan yang sama komitmennya untuk melihat asas ekonomi negara kita mantap dan tidak dicemari oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda sendiri. TR bersama-sama dengan nama Tun Ismail Ali, Tan Sri Aziz Taha yang kedua-duanya merupakan bekas Gabenor Bank Negara dan nama-nama seperti Raja Badrul, Junus Sudin, Abdul Manan Othman dan beberapa orang lain yang saya sudah lupa nama mereka, telah berkhidmat tanpa had masa dan waktu bagi mempastikan apa yang dikehendaki oleh negara tercapai sepenuhnya.

Kini semua mereka ini tidak diketahui di mana mereka tinggal dan apa yang mereka sedang lakukan. Hanya TR yang masih berada dalam Parlimen dan masih berkhidmat sebagai seorang ahli parlimen. Politik telah memaksa beliau duduk di tepian dan pastinya beliau sedang memerhati tingkah laku pimpinan yang kini sedang membawa masalah kepada negara.

Bekas tangan TR masih boleh kita lihat walaupun banyak di antara yang beliau tubuh dan bina secara beransur-ansur dipecahkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang mengaku sebagai pengisi kepada kemerdekaan negara tetapi tidak nampak keselariannya dengan kehendak rakyat dan negara.

Kalau tidak masakan negara sekarang berada dalam keadaan yang sangat diragukan ketahannya sebagai sebuah negara yang benar-benar merdeka dan berdaulat. Sesungguhnya pemimpin hari ini lebih banyak membuat ragam dan rakyat biasa seperti kita pula yang menahan ragam-ragam pimpinan ini pula.

Semuanya sudah terbalik. Yang benar terhimpit dan diketepikan yang taghut dan berjinak dengan yang bathil pula di sanjung dan di besarkan. Sesungguhnya ini adalah salah satu dari dalil hari hampir kepada kiamat, dan kita tidak disangka-sangak menjadi pembawa dalil hari hendak kiamat itu.


(bersambung besok)

No comments:

Post a Comment