14 October 2013

Najib perlu bertindak cepat jika beliau seorang yang bertanggungjawab

Tidak dapat saya berhenti untuk menulis tentang isu perubahan yang sering di janjikan oleh UMNO dan Najib serta Muhyiddinnya. Pemimpin-pemimpin utama UMNO khususnya Najib, begitu fasih dan lancar menyebut istilah perubahan dan menyanyikan lagu transformasi dan sebagainya.

Fasih dan lancarnya menyebut tentang perjuangan, perubahan dan transformasi itu sefasih seorang tok lebai membaca ayat Yassin dan Al-fatihah. Lunaknya nyanyian mereka sama seperti Datuk SM Salim menyanyikan lagu Pasir Roboh dan Sharifah Aini menyanyikan lagu Bunga Tanjung.

Tetapi, mana dia perubahannya? Sampai ke hari ini tidak ada perubahan dan tidak nampak kesan dari janji-janji dan nyanyian lunak Najib dan barisan pimpinannya. Rupa-rupanya selama ini Najib dan barisan kepimpinan UMNO hanya menyanyikan lagu-lagu sahaja tanpa menghayati apa yang terkandung di dalam barisan lirik-lirik lagu yang penuh dengan makna dan nilai kata-kata dalam lagu-lagu tersebut.

Mereka hanya tahu menyanyikan lagu UMNO sahaja, dan mereka terus bersatu seperti kehendak lirik lagu itu. Mereka bersatu dan berganding bahu seperti yang terkandung dalam lagu itu. Mereka terus bersatu tetapi hanya semasa menyanyikan lagu itu sahaja. Selepas itu mereka berpecah dan galakan untuk perpecahan itu dilakukan oleh pemimpin besar dan ‘Warlords-Warlords’ dalam UMNO itu sendiri.

Sesungguhnya perubahan yang perlu dilakukan itu melibatkan pucuk pimpinan sendiri. Ini ialah kerana kesalahan-kesalahan yang berlaku dalam UMNO itu adalah kesalahan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan itu sendiri dan jika tidak dilakukan perubahan diperingkat kepimpinan itu, maka tiadalah perubahan akan berlaku dan terlaksana. Kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan itu dilakukan terhadap UMNO sendiri dan yang lebih besar ialah kesalahan terhadap rakyat dan negara.

Ramai yang tidak menyedari yang pimpinan UMNO sejak dua dekad dahulu telah melakukan berbagai kesalahan terhadap parti pimpinan mereka sendiri dan yang lebih menyedihkan lagi telah melakukan kesalahan terhadap rakyat keseluruhannya. Kekurangan semangat kenegaraan dan mungkin kekuatan dalaman mereka sebagai manusia yang bertuhan, mereka telah melakukan jenayah moral terhadap negara keseluruhannya. Serendah-rendah orang yang beragama seperti diri saya ini, mereka tidak sepatutnya melakukan apa yang telah mereka lakukan.

Mereka tidak sepatutnya merelakan rasuah bermaharajalela kerana hakikatnya jika berlaku tindakan rasuah maka segala keputusan penting untuk rakyat dan negara tidak akan dapat dilakukan dengan baik dan adil. Ini adalah kerana kepentingan peribadi mereka yang berkuasa akan di selitkan sekali dalam apa-apa keputusan yang dibuat mereka.

Kita tidak tahu kenapa pemimpin tidak menerima hakikat bahawa rasuah itu merupakan kerja yang paling kotor kerana ia tidak kurang kotornya dari penjenayah rompakan dan sodomi, serta salah laku yang lain yang sangat besar bahananya terhadap sesebuah negara, apatah lagi negara yang mempunyai kepentingan Islam yang besar ini.

Sebenarnya apabila seseorang pemimpin lemah di berikan tempat utama maka pemimpin-pemimpin seperti ini akan menumpukan usaha untuk memperkuatkan diri mereka sendiri, maka segala tindakannya akan berkait dengan keuntungan untuk dirinya sendiri.

Apabila ini berlaku maka unsur-unsur negatif seperti rasuah dan salah guna kuasa akan bertambah nyata kerana keputusan yang dibuat mereka itu tidak tepat kerana kepentingan diri mereka itu.

Itu sebabnya orang yang paling sesuai untuk menjadi pemimpin utama negara ialah orang yang cukup serba serbi kehidupan dan di tambah pula dengan manusia yang mempunyai nilai kepimpinan yang baik tanpa rasuah dan tanpa niat untuk menjadi kaya raya di samping menjadi pemimpin utama negara.

Hasil keadaan ini sedang kita lihat sekarang dan unsur-unsur yang di sebutkan tadi menjadi budaya dan di anggap halal oleh pimpinan UMNO. Sekarang rakyat tidak lagi mempercayai apa pemimpin katakan dan rakyat juga tahu yang negara kita sedang tenat dalam segi kewangan. Negara yang dianugerah Tuhan dengan segala kekayaan sudah hampir muflis malahan dari segi teknikalnya bagi setengah pihak sudah pun bankrap.

Najib mungkin boleh bertahan semata-mata kerana beliau memimpin UMNO, tetapi apa faedahnya kuat dalam UMNO sedangkan beliau tidak dipandang tinggi oleh masyarakat, bukan sahaja masyarakat tempatan malahan oleh masyarakat antarabangsa. Malah dalam banyak hal negara kita dan pemimpinnya sekali menjadi bahan lawak dan jenaka yang tertinggi.

Begitu hebat publisiti yang di perbesarkan oleh media massa milik kerajaan yang memuji perubahan dan transformasi dalam UMNO, tetapi tidak pula ada transformasinya. Wanita UMNO misalnya masih diketuai oleh mak cik Shahrizat dan ini menjelaskan hakikat, lagi kontroversi seorang pemimpin itu lagi kuat kedudukannya.

Lagi tidak bermoral seseorang pemimpin itu, lagi tinggi pangkat dan kedudukan yang mereka perolehi, seolah-olah UMNO berlumba-lumba mencari pemimpin yang tidak semenggah menjadi pemimpin mereka. Lagi ramai yang tidak mempunyai apa-apa moralnya lagi ramai yang mendapat gelaran dari Datuk kepada Tun dan sebagainya.

Lagi rendah martabat, nilai dan moral mereka, lagi hebat kedudukan sosial mereka. Bagi mereka yang bermoral dan baik, tidak ada apa-apa ‘incentive’ untuk terus menjadi manusia baik kerana masyarakat dan pimpinan menghormati mereka yang kurang dan rendah moralnya kerana negara disarati oleh mereka yang kian hari kian merudum moralnya.

Akhirnya inilah yang kita warisi dari pemimpin-pemimpin seperti ini dan saya berani mengulangai jika pimpinan hari ini masih tidak mahu mengakui hakikat yang mereka tidak berkelayakan untuk memimpin, selagi itulah kehancuran kepada negara dan segala sistem demokrasi yang masih ada sedikit sebanyak lagi akan terhapus dan negara akan kucar kacir.

Najib bertanggungjawab untuk melakukan perubahan ini agar beliau tidak di umpat keji oleh rakyat dan generasi yang akan datang terutamnya semasa beliau sudah tidak berada di dunia ini lagi. Kerja merubah ini adalah tanggungjawab beliau. Ia susah untuk di ubah oleh pihak yang membangkang kerana entahkan bila pembangkang mampu untuk menjerat hati rakyat untuk memberikan mereka mandat memerintah negara. 

Mereka masih lagi terkial-kial untuk mendapatkan kepercayaan rakyat, bukan oleh kerana siapa, tetapi oleh kerana sikap dan niat mereka sendiri yang dipersoalkan ramai. Suara-suara dalam PAS untuk mengkaji kembali kedudukan partinya dalam gabungan pembangkang itu merupakan pandangan dan suara yang sangat luhur dan jujur. tetapi jika parti itu masih mahu memikul beban yang tidak sepatutnya mereka pikul maka PAS bolehlah terus mengikat perhubungan dengan parti-parti lain dalam gugusan pembangkang itu. This is a free country.

Saya menulis ini bukan untuk apa, hanya sekadar untuk meletakkan rekod secara bertulis kerana suatu hari yang tidak berapa lama lagi apa yang saya catatkan ini akan diakui benar oleh semua pihak. Jika saya sudah tiada lagi di dunia ini, dan apa yang saya catatkan hari ini terbukti benar, jika ikhlas dihati hadiahkan saya dengan bacaan surah Al-fatihah sahaja.

Itu sudah mencukupi untuk menenangkan roh saya dialam baqa’ nanti. Insyaallah.

10 comments:

  1. Truly sir, you have spoken the truth. If thro words and persuasion change cannot come about and the country will be in decline and ruins, then maybe the time has come for actions other than words...

    ReplyDelete
  2. UMNO takkan berubah selagi pemimpin tertinggi tak di tukar.takkan mereka2 ini buta keadaan sekeliling.tidak ada pemilihan UMNO yang bersih.takkan nak tunggu repot br nak bertindak.apa yg Najib canangkan hanya retorik semata2.Keputusan pemilihan pemuda dan wanita membuktikannya.
    Mereka yang byk skandal dan naik atas dasar rasuah sebelum ini tetap dipilih.malah dengan majoriti lebih besar.samada ahli UMNO bawahan terlalu bodoh untuk menilai atau ......

    ReplyDelete
  3. Begitulah ahli-ahli Umno. Mereka buta dlm celek. Mereka celek dlm buta. Tahulah tn-tn mereka tidak tahu dan pandai untuk berubah. Yang hancurnya kita dlm negara di taklukki mereka yang tetap tidak amanah.

    Tunggu pula sabtu nanti, pemilihan umno lagi. Perristiwa sama akan berlaku. Pemimpin lama tetap dipertahankan. Hancur nya negara kerana tiada perubahan.

    ReplyDelete
  4. umno tidak akan berubah, puak umno ini telah mewujudkan satu sistem politik feudal.Hanya rakyat punya kesedaran dan menolak segala bentuk amalan rasis,sentimen agama dan amalan rasuah yang akan mampu mengubah keadaan ini.

    ReplyDelete
  5. hebatnya mamak sudah menjadi bangsa melayu...di sabah apa kurangnya rumpun filipina,pakistan dan indon sudah mengaku sebagai bangsa melayu.peribumi asal sabah sudah jadi monoriti sebab mereka tetap bangsa KDM walaupun beragama islam.

    ReplyDelete
  6. pemilihan yang dibuat oleh delegasi yang lebih besar

    ReplyDelete
  7. Ini lah yg dinamakan istidraj...yakni, puak2 rasuah dan tiada moral serta maruah ini terus menerus memenangi pemilihan dan menjadi menteri dan hidup dng penuh kemewahan...Allah terus memberi rezeki kpd mereka dan pangkat dan kekayaan...supaya mereka terus lupa pada Allah....puak2 ni terus hanyut dan lupa kpd kuasa Allah...maka ketika itu Allah akan cabut nyawa mereka dalam keadaan mata mereka terbeliak terkejut!
    Bangsa melayu juga yg menyebabkan species2 ini menang...kerana apa...kononya asalkan orang melayu memerintah dan bukannya bangsa asing...begitu cetek sekali pemikiran macai2 yg menyokong!!

    ReplyDelete
  8. Shahrizat jalil kekal dgn undi kukuh sbg ktua wanita. Cukup utk mntafsirkan sgala2nya...

    ReplyDelete
  9. Andai umno jatuh dan tinggal nisan.jgn kita tangisi dgn kehilangan itu kerana itu yg kita harapkan selama ini.
    Mngharapkan mreka untuk mmbina identiti mlyu sangat jauh dan tersasar..
    Mreka berebut untuk jadi pemimpin bukan untuk mmperjuangkan bngsa mlyu tapi untuk mengkayakan diri sendiri...

    ReplyDelete
  10. Najib telah mengarahkan jenteranya mengekalkan Naib Presiden yg lama.

    ReplyDelete