Sebagai seorang Perdana Menteri bagi sebuah
negara berdaulat seperti negara kita ini, dia mesti menjaga kebersihan imej
serta kredibiliti peribadi dengan setinggi dan sebaik mungkin. Jika imej dan
kredibiliti seorang Perdana Menteri boleh di cemar oleh seorang penjual karpet
atau penjual barangan rumah maka PM itu wajar mengambil tindakan undang-undang
terhadap yang membuat tuduhan secara terbuka itu.
Deepak wajar di ambil tindakan
undang-undang oleh Najib kerana tuduhan itu amat kotor dan amat hina terhadap
seorang Perdana Menteri negara kita ini. Satu-satunya jalan untuk Najib
membersihkan nama beliau ialah dengan menyaman dan mengambil tindakan
undang-undang dengan secepat mungkin. Jika Najib tidak mengambil tindakan itu
maka ia sekali gus membenarkan isu yang di tuduh terhadap beliau oleh penjual
karpet itu.
Kita perlu ingat tuduhan Deepak
terhadap Najib itu melibatkan isu kehilangan nyawa seorang wanita dan juga isu
mengubah akuan bersumpah yang dilakukan oleh Balasubramaniam seperti yang di
bocorkan oleh Deepak yang suatu ketika dahulu mempunyai hubungan abang-adik
dengan isteri Perdana Menteri yang tersohor di dunia itu. Kematian seorang
wanita Mongolia yang begitu trajik telah di lakukan oleh dua orang pegawai
keselamatan Najib dan telah pun dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi
negara kita.
Kita perlu ingat penglibatan dua
pegawai keselamatan negara yang hampir dengan Najib dan keluarga ini amat mudah
dikaitkan oleh sesiapa dengan Najib dan isteri beliau dan tidak siapa tahu
secara undang-undang nya tentang motif pembunuhan itu kerana isu itu tidak di
sebut dalam perbicaraan kes ini.. Jika tuduhan itu tidak dinafikan dengan
mengambil tindakan undang-undng terhadap Deepak maka ia menghampirkan Najib
kepada kebenaran tuduhan Deepak terhadap Perdana Menteri itu.
Penafian Najib semalam tidak
mempunyai kredibiliti. Jika Najib menganggap tuduhan Deepak itu tidak mempunyai
kredibiliti tindakan Najib untuk tidak mengambil tindakan undang-undang
terhadap Deepak itu adalah lebih tidak berkredibiliti lagi.. Najib mesti
bertanya kepada diri beliau sendiri, apakah isu akuan bersumpah
Balasubramaniuam ini merupakan isu yang kecil dan tidak payah di ambil tindakan
terhadap penjual karpet ini?
Kalau lah Najib ini seorang
penjual kobis dan bayam di pasar tani, mungkinlah beliau tidak perlu mengambil
berat terhadap isu peribadi yang sangat buruk dan hina ini, tetapi beliau
adalah seorang Perdana Menteri negara merdeka. Persepsi buruk terhadap Najib
itu adalah persepsi buruk terhadap negara dan memalukan rakyat.
Ahli-ahli parti UMNO pimpinan
Najib tidak boleh melarikan isu ini dengan membuat tuduhan yang isu ini adalah
permainan politik kotor dalaman parti itu kerana ada pihak yang hendak
menjatuhkan beliau dari pimpinan negara. Jika benar pun isu ini diperbesarkan
oleh Deepak kerana permainan politik cah keting dalam UMNO itu, Najib jugalah
yang salah kerana memberikan sebab untuk beberapa pihak dalam UMNO itu untuk
melakukannya.
Isu permainan kumpulan Timbalan Perdana
Menteri hendak mengambilalih kepimpinan itu merupakan isu yang biasa dalam
UMNO. Hussein Onn dahulu bertindak mengambil keputusan untuk tidak
mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri dahulu pun adalah
kerana permainan Timbalan beliau semasa itu. Kepada orang-orang lama ini adalah
isu yang diketahui umum.
Apabila Hussein Onn mengambil
tindakan untuk bersara maka pengganti beliau itu juga sudah merasakan yang
beliau akan menghadapi masalah dengan Timbalan beliau. Justeru sebelum Timbalan
beliau itu memberikan masalah, beliau telah dengan bijak membuatkan Timbalannya
Musa Hitam merajuk dan meletakkan jawatan.
Selepas itu Dr Mahathir ini telah
mengganti Timbalan beliau dari seorang dengan seorang yang lain. Selepas Musa
digantikan dengan Ghaffar Baba. Selepas Ghaffar Baba Timbalan beliau ialah
Anwar Ibrahim yang digalakkan untuk mencabar Ghaffar, juga kerana kemahuan Dr
Mahathir.
Selepas itu Anwar sendiri telah bercanggah
dengan Dr Mahathir yang menyebabkan Anwar disingkirkan dengan menggunakan isu-isu
skandal seks luar tabii dan banyak lagi yang di mainkan oleh Dr Mahathir.
Hasilnya Abdullah Badawi menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dalam pada beliau
(Mahathir) sibuk mengganti ramai Timbalannya beliau (Mahathir) telah berjaya
menjadi Perdana Menteri lebih dari dua puluh tahun.
Rakyat mula ada kecenderungan
untuk menolak Dr Mahathir maka Mahathir memberikan jawatan itu kepada Abdullah
Badawi yang beliau sangkakan akan tunduk dan berterima kasih kepada beliau
dengan memenuhi segala kehendak beliau. Beliau kemudiannya sedar yang Abdullah
yang beliau anggap sebagai seorang yang lemah dan lembut itu adalah seorang
yang sangat degil dan keras kepala. Maka Mahathir mengambil tindakan untuk
menaikkan Timbalan kepada Abdullah pula dengan menggunakan Muhyiddin untuk
menolak Abdullah dan memberikan Timbalan Abdullah menjadi Perdana Menteri.
Muhyiddin mendapat upah dengan
menjawat jawatan Timbalan kepada Najib yang bakal memberikan masalah kepada
beliau (Najib). Isu yang melibatkan masalah yang di lakukan oleh Timbalan ini
memang perkara biasa dan Najib wajar menerimanya sebagai satu hakikat yang
tidak boleh di nafikan oleh sesiapa pun.
Oleh itu Najib tidak boleh
menyalahkan Muhyiddin atau Dr Mahathir malakukan cah keting ini kerana bagi Dr
Mahathir beliau memang berpengalaman melakukan cah keting sesama sendiri ini
sejak dahulu lagi.
Najib patut fokus untuk mengambil
tindakan undang-undang terhadap Deepak untuk membersihkan nama beliau. Jika
tidak diambil tindakan sebegitu maka akan berjayalah Mahathir untuk
mempraktikkan kemahiran beliau dalam menaik dan menjatuhkan kepimpinan UMNO dan
negara itu. Najib menggantikan Abdullah dahulu pun dengan cara yang sama
seperti yang akan dilakukan keatas beliau selepas pilihanraya nanti.
Hanya kali ini Dr Mahathir akan
gagal untuk melakukannya kerana jika UMNO itu kalah dalam pilihanraya kali ini,
beliau yang ingin menggunakan Muhyiddin untuk menyungkurkan Najib itu akan
tidak berjaya. Sebab apa?...kerana UMNO akan kalah dan tidak menjadi parti yang
berkuasa lagi.
Apabila sampai ke episod ini maka
akan tamatlah drama kotor bersiri UMNO yang telah bermula sejak tiga dekad yang
lalu. Selepas itu akan bermula drama bersiri yang akan dilakonkan oleh
pelakon-pelakon baru dari Pakatan Rakyat dan di harap drama bersiri selepas ini
merupakan drama yang lebih baik dan sedap ditonton oleh hampir 30 juta rakyat
negara ini.