30 January 2015

Mengekalkan Najib dan kabinetnya; mahal rantai dari beruk

Ringgit jatuh lagi dan ringgit merupakan matawang yang paling lemah di Asia. Dalam pertengahan hari semalam ringgit pernah jatuh ketahap 3.6378 berbanding dengan USD. Ini merupakan kejatuhan yang paling teruk dalam enam tahun kebelakangan ini. Banyak penganalisa pasaran wang antarabangsa memberikan pendapat yang ringgit akan jatuh lagi sehingga tahap 3.6380 berbanding dengan dollar Amerika dan ini membawa makna negara kita sedang menyaksikan amaran jelas yang ekonomi negara kita akan berkecai dan yang terburuk dikalangan negara-negara di Asia ini.

Ringgit juga jatuh dengan teruknya berbanding dengan banyak matawang lain seperti dollar Singapura yang sekarang ini berlegar dalam lengkongan 2.71 bagi setiap dollar Singapura. Ringgit Malaysia jatuh dengan teruknya berbanding dengan Yuan China dan ini merupakan ‘signal’ jelas yang negara kita telah gagal dalam membendung kejatuhan ekonomi negara kita.

Masalah yang kita hadapi begitu ‘compounding’ dengan kejatuhan harga minyak mentah WTI jatuh sehingga bawah dari paras USD 44 semasa pasaran AS dibuka semalam. Kita belum mendengar apa yang PM Najib hendak katakan kerana beliau terlalu sibuk dengan kegiatan yang beliau sukakan iaitu berada di luar negara untuk melakukan kerja yang lain dari menyelesaikan masalah negara yang beliau ketuai.

Yang selalu mengeluarkan kenyataan tentang ekonomi negara ialah seorang ‘court jester’ bernama Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan yang baru sahaja mengeluarkan kenyataan yang harga minyak tidak akan turun dari USD 40. Lagi kerap ‘budak’ ini bercakap tentang ekonomi negara lagi cepat kita hancur dan mengalami kemelut ekonomi yang belum pernah kita lalui dan alami selama ini.

Pemimpin-pemimpin besar negara tidak ada yang mampu bersuara secara yang meyakinkan. Muhyiddin senyap sunyi tentang masalah negara. Ahli-ahli kabinet yang lain tidak mempunyai keupayaan untuk menjadi pelindung kepada kegawatan yang kita sedang hadapi.

Kita hendak juga mendengar kenyataan pemimpin-pemimpin besar negara. Hishamudin yang sedang menunggu giliran untuk menjadi Perdana Menteri tidak bercakap tentang masalah negara. Ahmad Zahid Hamidi sememangnya tidak mempunyai apa-apa kemampuan untuk bercakap tentang isu yang kita sedang hadapi. Beliau selama ini sibuk dengan perkara lain dan perkara lain itu diketahui ramai. Tidak usah kita bercakap tentang seorang lagi Naib Presiden UMNO dari Sabah itu, tidak lain dan tidak bukan Shafie Apdal.

Najib sudah lah lemah, yang berada dihiraki kepimpinan seperti nama yang saya sebutkan tadi serupa juga. Boleh kah mereka ini kita harapkan untuk menjaga rakyat dan generasi yang akan datang?

1MDB satu lagi ‘biawak hidup’ bagi rakyat. Ini semua ciptaan Najib dan kabinet beliau sekarang. 1MDB menangguhkan lagi pembayaran hutang kepada tiga bank utama negara sebanyak RM2 billion. 1MDB telah pergi kemerata tempat dan institusi kewangan antarabangsa di seluruh dunia dan semua yang berada dalam industri kewangan tahu yang tidak ada satu pun institusi kewangan dan ‘investment banker’ di dunia ini mahu memberikan pinjaman RM2 billion untuk membayar Maybank. CIMB dan RHB Malaysia.

Kita tahu juga kenyataan yang jika 1MDB tidak membayar hutang RM2 billion ini kepada tiga institusi kewangan ini sistem kewangan negara akan lebur. Bank Negara Malaysia jelas tidak dapat bertindak secara ‘professional’ kerana badan eksekutif negara mengambil semua kuasa termasuk badan legislatif dan judiciary negara.

Sekarang ini, 1MDB menunggu wang Anandakrishnan sebanyak RM2 billion bagi menyelesaikan jumlah yang dipinjam dari tiga bank-bank tempatan itu. Kita belum pasti apakah keuntungan Ananda yang melukah di tempat yang sempit ini. Itu juga akan menjadi perkara yang sangat ditunggu-tunggu rakyat.

Apakah 1MDB akan menyerahkan kepada Ananda penguasaan kepada asset tenaga yang akan disenarai kan dalam beberapa tahun ini dan mengambil keuntungan yang berlipat kali ganda dengan pinjaman yang diberikan kepada 1MDB yang ‘desperado’ itu. Itu juga perlu diberitahu kepada rakyat.

Tidak payah lagi kita bercakap dan memberikan komen tentang semua isu dinegara ini, kerana ia sudah ‘conclusive’ negara kita sudah menjadi ‘a failed nation’. Dalam keadaan sekarang ini pun pemimpin utama negara masih berkeliaran diseantero dunia menikmati hidup sebagai pemimpin negara kita seolah-olah dinegara nya tidak ada apa-apa masalah.

Najib sentiasa berada diluar sedangkan rumahnya sedang terbakar. Dalam keadaan kewangan negara kita sedang dalam krisis besar sekarang ini, jet mewah kerajaan masih berada diangkasa membawa Najib dan isterinya terbang keseluruh dunia sehinggakan tidak ada lagi tempat yang tidak dilawatinya. Najib masih cuba yang negara kita belum sampai ketahap krisis ekonomi yang membimbangkan.

Bukan sedikit belanja membawa ‘couple’ ini keseluruh dunia. Najib telah dipersepsikan sebagai seorang Perdana Menteri yang paling mahal untuk diselenggarakan oleh kerajaan dan rakyat. Mengekalkan Najib sebagai PM ibarat kata perbidalan, ‘mahal rantai dari beruknya’.

Perlakuan PM ini hanya disaksikan oleh jemaah menterinya tanpa melakukan apa-apa. Menteri-Menterinya diharapkan akan memahami hakikat tindakan Najib ini adalah tindakan secara ‘collective’ dengan ahli-ahli jemaah kabinetnya. Maka Menteri-Menteri kabinet sekarang mesti mengambil ‘accountability’ terhadap segala yang dilakukan oleh Najib itu.


Maka seluruh kabinet negara ini, tidak patut mengambil masa yang terlalu panjang untuk berundur. “The whole set of current hopeless cabinet should go as they are huge liability to the nation” kata seorang rakan, bekas Ahli Parlimen Malaysia yang sama juga seperti yang lain, tidak mahu namanya disebut dalam tulisan saya.

'Sayangnya bertompok-tompok, bencinya merata-rata', bagaimana hendak mencari kedamaian

Saya sudah lama hendak memberikan komen tentang keyakinan pihak pembangkang yang merasakan kemenangan undi popular sebanyak 52 peratus dalam pilihanraya yang lalu akan kekal dan masih membanggakan dan berharap mereka akan dapat mendiami Putrajaya sebaga pihak yang bakal memerintah negara. ‘Optimism’ itu baik sebenarnya tetapi adakah ia kekal jika kita dengar dan lihat apa yang sedang berlaku di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat misalnya.

Keadaan sebelum pilihanraya yang lepas kita merasakan seolah-olah UMNO dan BN itu tidak akan mencapai kemenangan lagi kecuali di beberapa tempat dan kawasan yang menjadi kubu kuat UMNO itu. Tetapi akhirnya Pakatan Rakyat tidak juga mendapat kepercayaan untuk mentadbir walaupun ada pemimpin dalam Pakatan Rakyat berkeyakinan untuk memenangi sebanyak 125 kerusi dari 222 keruasi kesemuanya dalam Dewan Parlimen Malaysia. 

Mereka berkeyakinan penuh untuk mara ke Putrajaya dan mentadbir negara ini dengan baik seperti yang mereka mengakui berkemampuan untuk menunjukan perbezaan berbanding dengan BN. Ada pemimpin yang telah memberikan amaran yang mereka akan memerangi salah laku yang dilakukan oleh pemimpin BN yang dikatakan akan tewas dan duduk dipetak pembangkang saki baki yang masih memenangi kerusi masing-masing.

Yang mereka berjaya hanyalah memenangi undi popular sebanyak 52 peratus dan itulah yang mereka jajakan untuk memberikan keyakinan setidak-tidaknya kepada diri mereka sendiri yang mereka kali ini kan terus berjaya memenangi lebih banyak kerusi. Mempunyai keyakinan dan bersikap positif itu baik sebenarnya tetapi biarlah keyakinan itu dilandaskan kepada hakikat yang realistik yang kita sedang berada di dalamnya sekarang. Saya sendiri cuba untuk memberikan keyakinan kepada diri saya sendiri yang kali ini pembangkang akan mengambil giliran untuk memerintah negara.

Tetapi usaha saya untuk memberikan keyakinan itu tidak pernah berjaya kerana saya sentiasa bertanya kembali dimanakah letaknya harapan untuk menambah kerusi atau mengekalkan peratusan undi popular itu jika tidak dapat menambahnya?

Dalam keadaan PAS, PKR dan DAP dalam keadaan begitu rapat sebelum pilihanraya yang lalu Pakatan Rakyat tidak dapat menguasai kerajaan, bagaimana kita hendak meyakinkan diri kita yang keadaan itu akan kekal dengan pergeseran yang begitu ketara yang berlaku di antara parti-parti Pakatan Rakyat. Semasa tidak ada pergaduhan di antara PAS dengan DAP dahulu kita masih tertinggal walaupuin dapat mengurangkan majoriti kemenangan BN itu.

Hubungan di antara PAS dan DAP begitu akrab khususnya di antara pemimpin-pemimpin parti-parti itu semasa itu. Ada yang beranggapan rapatnya DAP dan PAS ibarat dua orang yang ‘bertambat bulu’, bak kata orang-orang tua dahulu. Tetapi semuanya sudah menjadi sejarah dan sehingga hari ini keadaan semakin buruk yang berlaku di antara kedua-dua parti itu.

Pergeseran di antara parti-parti ini tidak boleh dianggap sebagai pergolakan yang mudah diselesaikan kerana ia membabitkan isu dan perjuangan pokok bagi kedua-dua parti itu. Pergeseran ‘intra-parti’ dalam Pakatan Rakyat begitu ketara dalam isu undang-undang hudud dan pilihanraya kerajaan tempatan.

Apakah keajaiban yang akan berlaku untuk meyakinkan diri kita yang Pakatan akan mendapat undi popular yang lebih tinggi dan seterusnya menguasai kerajaan Persekutuan itu?

Bagi saya dengan kenyataan PAS dan DAP sehari dua ini membayangkan yang cita-cita untuk memenangi Putrajaya melalui persepakatan yang terlalu longgar di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu tidak akan membawa mereka kemana-mana dan impian untuk ke Putrajaya itu hanyalah mimpi di siang hari sahaja.

Terutamanya DAP dan PKR, parti-parti ini hanya akan merasakan sebahagian dari kuasa persekutuan itu jika parti-parti ini membuat penyatuan dikalangan pemimpin-pemimpin yang berkebolehan umntuk membawa setiap pemimpin yang berjiwa besar dikalangan semua kaum duduk semeja dan berunding serta memulakan negara dan politik baru. Sememangnya sudah menjadi kenyataan perubahan perlu berlaku tetapi dengan keadaan Pakatan Rakyat pada hari ini perubahan itu tidak akan membawa apa-apa kejayaan. Itu adalah kenyataan dan hakikatnya yang ada pada hari ini.

Negara perlukan ‘overhaul’ yang serius dan semua sistem politik dan parti-parti yang bermain politik negara ini perlu di ‘cannibalized’ dan membina politik itu kembali dari mula. Apa yang ada Dan wujud hari ini tidak lagi ‘sustainable’ dan ia tidak memberikan faedah kepada parti-parti yang ada terutamanya kepada parti-parti DAP dan PKR.

Perubahan poltik perlu berlaku secara 'structural' bagi kita berada dalam situasi dan ‘ambience’ yang baru yang boleh membawa penyatuan semua kaum yang berpanjangan. Pemimpin-pemimpin parti-parti politik lebih-lebih lagi parti yang berkuasa telah mengabaikan negara dan rakyat, mungkin kerana terlalu lama berkuasa dan mengambil segala-gala ‘for granted’ dan tidak menumpukan usaha dan tindakan mereka kepada membawa kepada ‘ultimate’ kita iaitu ‘national unity’.

Pemimpin-pemimpin politik baik dari kerjaan mahu pun dari pembangkang tidak lagi berjiwa besar malahan hampir semua dari mereka berjiwa fakir dan memainkan peranan dalam politik kotor yang tidak ada tolok bandingnya.

Politik yang berpijak keatas bumi yang nyata sudah tidak nampak berlaku lagi. Dari kedua-dua belah pihak politik dimainkan secara kotor dan sarat dengan tiga elemen beracun, iaitu ‘greed, anger and foolishness’ dan ini tentunya adalah elemen-elemen yang ‘devilish’ yang akhirnya akan menghancurkan sistem politik dan perjuangan negara itu sendiri.

Semuanya akan hancur baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang kerana jika ketiga-tiga elemen ini masih tidak dapat dibuangkan dari diri pemimpin-pemimpin kita keadaan akan terus jadi seperti yang kita alami sekarang dan ia akan secara deras akan menghancurkan budaya dan politik negara yang telah di bina oleh ‘founding fathers’ negara kita. Semuanya ‘chauvinistic’ baik dari kaum Cina mahu pun dari kaum Melayu dan kaum-kaum lain yang ada di negara ini.

Pemimpin-pemimpin kaum dan agama semuanya lemah dan mereka terpaksa menjadi pejuang perkauman atau agama untuk mendapatkan sokongan dari puak, bangsa dan mereka dari agama mereka.

Kita dalam kekontangan kepimpinan yang berjiwa besar kerana politik telah di ‘hijacked’ oleh mereka yang lemah yang keliru dan tidak memahami kenapa mereka menjadi pemimpin kerajaan mahu pun pembangkang sekarang ini.

Semuanya mengaku menyayangi semua bangsa dan rakyat berbilang kaum, tetapi mereka yang sama juga yang mempunyai sifat ‘sayangnya bertompok-tompok, bencinya merata-rata’. Telunjuk mereka lurus tetapi kelengkeng mereka berkait-kait.

27 January 2015

Rotan itu penting, bukan sahaja untuk kanak-kanak, juga untuk orang dewasa

Jika saya masih kecil (kanak-kanak) dan ibu saya masih muda membimbing dan membesarkan saya dengan cara yang betul pastinya ibu saya akan masuk penjara kerana kanak-kanak seperti saya tentunya akan dirotan kerana berbagai-bagai masalah kanak-kanak. Nasib baiklah saya dilahirkan lebih dari 60 tahun dahulu dan semasa itu merotan kanak-kanak bukan lagi menjadi kesalahan dan boleh dipenjarakan.

Undang-undang yang sedang digubal oleh pihak kerajaan sekarang melarang merotan kanak-kanak itu merupakan usaha yang sia-sia. Itu bukan caranya untuk membentuk nilai keibuan dan kebapaan dan nilai baik untuk seorang anak berhubung  dengan ibu bapa mereka. Agama kita memerintahkan kita mengajar dan membuatkan anak kita mendirikan solat dalam jangka usia kanak-kanak itu tujuh tahun dan jika dia enggan adalah diminta untuk ibu atau bapa merotan anak-anak kita itu secara yang betul.

Ibu bapa bukannya membelasah anak-anak mereka tetapi merotan anak-anak yang engkar mendirikan solat itu kerana adalah tanggungjawab ibu bapa yang menentukan samada anak-anak mereka itu yahudi atau nasrani. Cakap ini bukan cakap saya yang lemah ini, tetapi itu adalah cakap agama kita.

Jika anak-anak tidak takut pada sesiapa kepada siapakah mereka akan merasakan ketakutan untuk melakukan kesalahan?

Saya yang sudah berumur ini sentiasa ingat kepada ibu bapa saya yang kedua-duanya sudah tiada di dunia ini. Saya hanya mendoakan sentiasa tanpa henti-henti agar roh mereka berada dalam kumpulan roh yang terampun dan sentiasa berada sebaris dengan roh-roh aulia-aulia dan syuhada.

Salah satu dari perkara yang membuatkan ingatan kepada ibu bapa saya yang telah pergi itu ialah kerana teguran dan didikan mereka yang salah satunya ialah tindakan mereka merotan saya semasa saya dalam bimbingan mereka setiap kali saya melakukan kesalahan.

Ibu bapa dahulu kala, apabila menghantar anak-anak mereka kepada guru mengaji quran, akan membawa bersama anaknya itu sebatang rotan halus untuk diberikan kepada guru quran itu. Sekarang sudah diamalkan lagi. Semasa menyerahkan anak-anak mereka kepada guru quran, ibu bapa semasa itu akan berpesan kepada guru atau ustaz itu dengan berkata lebih kurang begini; “ sayo sorahkan anak sayo ni tuan haji. Bimbinglah anak sayo ini sehingga pandai mengaji. Kalau dio dogil inilah rotannya. Rotanlah asalkan jangan patah atau pun tiyek”

Begitulah keadaannya dalam mana rotan itu sememangnya tidak boleh jauh dari anak-anak yang sedang dibimbing itu. Saya sendiri bersama dengan rakan seangkatan dengan saya tidak pernah lari dari melakukan kesalahan dan tiada seorang pun yang terlepas dari kena rotan oleh guru-guru sekolah kami.

Merotan itu bukan sahaja dianggap sebagai proses pendidikan seseorang itu tetapi ianya telah menjadi budaya dalam proses pembesaran kanak semasa itu. Guru-guru sudah tidak boleh merotan lagi dan kita lihat perbezaan seorang kanak-kanak sekarang dengan kanak-kanak dahulu kala. Mungkin saya masih dianggap kuno tetapi itulah yang menjadikan ramai anak-anak seorang ‘menjadi orang’ apabila sudah dewasa.

Malahan sekarang ini orang dewasa pun memerlukan rotan itu. Jika dahulu kala anak-anak memerlukan rotan untuk memperbaiki diri mereka, sekarang ini orang dewasa pun memerlukannya terutamanya yang mempunyai kelakuan dan moral yang tidak baik seperti pemimpin politik yang menganiaya rakyatnya.

Pendeknya rotan ini sangat perlu untuk semua orang, baik yang masih kanak-kanak mahu pun yang sudah mempunyai anak-anak dan cucu. Rakyat kita tahu siapa yang sepatutnya dirotan kerana salah laku terhadap negara kita ini. Itu sebabnya masing-masing menuduh di antara satu dengan lain kerana hendak mengelakkan dirotan oleh rakyat.

Saya sarankan agar niat untuk menjadikan merotan anak-anak atau kanak-kanak itu satu kesalahan supaya dibatalkan sahaja. Banyak perkara lain yang perlu dilakukan sebelum kita fikirkan untuk menggubal undang-undang menjadikan merotan itu satu kesalahan.

Rotan orang dewasa yang melakukan kezaliman terhadap rakyat seperti perasuah dan penyalahguna undang-undang itu dahulu. 

Pemimpin-pemimpin yang bermasalah besar, mangsanya rakyat

Pemuda UMNO meminta peperangan siber di antara puak Dr Mahathir dan Daim yang berlawanan dengan puak Najib perlu diselesaikan dengan baik. Begitulah kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin. Beliau membuat kenyataan selepas mesyuarat Pergerakan Pemuda itu di PWTC semalam. Apa pun kenyataan Ketua Pemuda itu hanya satu ‘poitical statement’ yang simplistik yang tidak boleh membawa apa-apa ‘consequence’ yang positif. Pemuda masih berpolitiking seperti biasa sahaja dan elok diabaikan sahaja.

Sekarang perang proxi yang sudah sampai ketahap menelanjangkan lawan. Masing-masing mempunyai saham dalam melakukan keburukan yang sedang dialami oleh negara sekarang. Semuanya itu tinggal dalam rumah kaca. Apabila salah seorang membaling batu kepada rumah kaca rakan lamanya maka rakan lamanya itu juga boleh membaling kaca kerumah mereka juga.

Yang ‘interesting’ nya mereka yang menjadi pengikut atau ‘foot soldiers’ kepada masing-masing pemimpin itu. Mereka ini pula yang lebih hebat menari dengan gendang paluan kedua-dua belah pihak. Justeru seperti yang blog ini selalu sebutkan masalah yang dihadapi negara kita sekarang bukannya masalah dari rakyat asalnya. Masalah dan belahnya parti itu adalah oleh kerana pemimpin-pemimpin ini. Yang terasa miangnya ialah pengikut dan rakyat serta politik negara itu sekali.

Bagaimana puak Najib hendak mengkritik Mahathir atau Daim dengan betul kerana puak Najib itu sendiri merupakan puak yang sedang leka dan lalai dan terus menerus melakukan apa yang tidak disukai rakyat sekarang ini. Dia sebaliknya juga bagai mana puak Mahathir dan Daim pula hendak mengkritik Najib secara ‘credible’ kerana puak ini merupakan puak yang telah membina budaya ‘material’ yang sedang menguasai jiwa dan pemikiran ahli-ahli politik dan pemimpin negara kita sekarang ini?

Tidak ada pemimpin yang tidak berniaga dan berlumba-lumba dengan rakyat. Hasilnya berbagai-bagai cara dilakukan untuk memudahkan pemimpin-pemimpin menjadi kaya raya dengan menggunakan kuasa ditangan mereka. Jika sebelum menjadi pemimpin besar dan berkuasa besar mereka masih sibuk menghadapi ‘litigations’ kerana kegagalan perniagaan, mereka menjadi kaya raya setelah mendapat pangkat dalam kerajaan negara kita.

Sekarang mereka menghadapi tuduhan dan persepsi buruk dengan kekayaan dan perniagaan besar mereka dalam sedang berkelahi dalam usia yang sudah begitu lanjut yang sepatutnya berada dalam ketenangan dalam persaraan. Kita tidaklah kisah dengan pergaduhan mereka tetapi dengan pergaduhan ini kita telah dapat meyakinkan diri kita yang salah laku yang dituduh mereka lakukan semasa berkuasa dahulu semakin hari semakin jelas kerana ada pihak yang berani tampil untuk memberikan keterangan jika dipanggil bagi menyempurnakan penyiasatan.

Yang terlibat dalam pergaduhan ini adalah mereka yang besar-besar bernama dan bergelar. Yang bergelar Tun pun ada, Tan Sri pun ada dan ramai yang datuk-datuk dan nama panggilan yang lain yang semuanya besar-besar belaka.

Dalam situasi ini kita melihat yang berkawan semalam hari ini menjadi musuh dan yang telah bermusuh begitu lama kini sudah menjadi kawan. Masing-masing mempunyai rahsia yang mereka tahu tentang mereka yang berlawanan itu.

Mereka ini jugalah yang bercakap tentang perjuangan untuk Melayu dan kumpulan ini jugalah yang bercakap tentang keresahan terhadap keadaan negara pada hari ini. Mereka jugalah yang bercakap tentang keunggulan kepimpinan tetapi mereka jugalah yang memulakan keadaan ini. Yang lebih menarik lagi kumpulan ini jugalah yang bersuara mahu membetulkan keadaan negara sedang mereka adalah penyumbang kepada keadaan buruk negara sekarang ini.

Dalam keadaan sekarang, Ketua Pemuda nampaknya serba salah dan tidak mahu mengambil ketegasan yang jelas dalam isu ini. Elok Pemuda melihat dari sudut kenapa perkara ini boleh berlaku. Baik dari pihak Daim mahupun Najib masing-masing mempunyai alasan untuk mengkritik pihak yang lain kerana masing-masing mempunyai saham yang membuatkan pertengkaran sekarang ini berlaku.

Pemuda sepatutnya setia kepada UMNO dan bukannya kepada individu dan cuba bermain dengan membawa sentimen perpaduan yang tidak mungkin akan wujud di antara kedua-dua belah pihak ini. Selain tidak mempercayai di antara satu pihak dengan pihak yang lain tetap akan wujud dan tidak mungkin kendur kerana kedua-dua belah pihak tahu dan maklum tentang perkara yang dilakukan oleh pihak yang lain itu.

Keadaan sekarang sudah menjadi seperti perkelahian budak-budak atau kanak-kanak sekolah. Ia seolah-olah memberikan andaian yang ‘kau dulu apa kurangnya, pandai-pandai hendak mengkritik aku’. Perkelahian ini tidak disebabkan oleh kepentingan negara dan rakyat.

Tidak ada apa-apa keuntungan untuk orang ramai dalam perkelahian ini. Hanya jika boleh dianggap yang baik timbul, ialah ia telah mengiyakan yang pandangan banyak pihak yang mereka dari kedua-dua belah pihak ini telah melakukan perkara yang setidak-tidaknya tidak bermoral bagi keperluan negara dan rakyat telah mereka lakukan.

Jika ia tidak dilakukan tidak mungkin keadaan seperti ini akan berlaku. Masing-masing hidup da;lam rumah kaca dan mana-mana pihak pun tidak boleh membaling batu terhadap rumah kaca yang lain. Itu sebabnya keadaan negara sekarang menjadi kalut bukannya oleh kerana rakyat tetapi oleh kerana pemimpin dan cara pemulihannya ialah dengan melakukan ‘dismantling’ terhadap sistem yang ada dan lakukan pemulihan dengan memulakan negara baru seperti yang selalu blog ini sarankan. Keadaan sekarang sudah menjadi begitu kalut dan tidak boleh diperbaiki dengan memberikan pembetulan satu masalah satu lepas satu.

Kita tidak boleh hanya bergantung kepada ubat tahan sakit kerana kesemua anggota tubuh kita sedang sakit. Kita mesti mencari jalan untuk menghilangkan penyakit, bukannya setakat menghilangkan sakit yang terlalu banyak itu. Kalau kita merasa sakit kepala selalu dan sakit tengkok setiap waktu, ia tidak boleh diselesaikan atau diubati dengan memakan panadol sahaja. Ia hanya menghilangkan sakit buat seketika. Mungkin penyakit yang dihidapi seseorang itu ialah penyakit darah tinggi. Darah tinggi inilah yang perlu diubati dan bukannya menghilangkan sakit di kepala atau pun di tengkok.

Negara perlukan ‘overhauling’. Orang yang bergaduh tidak boleh mendamaikan keadaan. Ada orang lain yang mungkin boleh membentuk kedamaian ini. Jika pihak yang bergaduh ini hendak di yakini untuk menyelesaikan keadaan negara ia tidak mungkin boleh tercapai sampai bila-bila. Baik dari puak ini mahupun dari puak itu, kedamaian tidak boleh diperolehi jika tanggungjawab itu diberikan kepada mana-mana satu pihak.

Negara memerlukan banyak lagi masalah yang hendak diselesaikan dan diberikan perhatian. Ia bukan setakat masalah dua pihak yang berkelahi ini. Kita ada masalah yang lebih besar seperti untuk menyelesaikan masalah asas penubuhah negara kita seperti isu Persekutaun Malaysia yang melibatkan negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang kian hari kian meruncing.

Sabah dan Sarawak memerlukan perhatian sebagai negeri-negeri yang ‘equal partners’ dengan Persekutuan Tanah Melayu (Semenanjung). Perjanjian Persekutuan Malaysia ini ditandatangani oleh 4 pihak (termasuk Singapura) pada tahun 1963 dahulu. Perjanjian itu bukannya ditandatangani oleh 14 negeri-negeri dalam Persekutuan ini. Jika masing-masing pemimpin dari peringkat persekutuan ini menumpukan kepada perkelahian untuk menegakkan benang basah masing-masing, bilakan masalah yang lebih besar untuk masa depan Persekutuan kita ini akan dapat diselesaikan?

Jika pemimpin utama sentiasa berada diluar negara bagaimana beliau hendak memberikan tumpuan kepada keperluan rakyat dan negara. Bagaimana hendak mencari formula untuk menjadikan Persekutuan ini lebih jitu kewujudannya dan mengurangkan rasa tidak puas hati di antara wilayah-wilayah dan persekutuan ini? Najib bukan seorang sahaja Perdana Menteri dalam dunia ini ramai, tetapi PM-PM negara lain tidak pula terbang seantero dunia ini setiap minggu dan bulan.

Kita abaikan sahaja mereka yang bergaduh ini terutamanya mereka yang menganggotai Dewan Legislatif negara. Ahli-ahli Dewan Legislatif negara perlu melakukan perkara yang boleh menyelesaikan isu-isu negara yang bertimbun-timbun dengan kadar yang segera. Mereka (ahli-ahli Legislatif) sebenarnya adalah rakyat kerana mereka mewakili rakyat dalam Dewan Tertinggi Legislatif itu. Mereka ini dipertanggungjawabkan untuk melihat negara kita keluar dari kemelut yang tidak ada penghujungnya sekarang ini. Masing-masing perlu menghentikan ‘politicking’ yang menjahanamkan negara. Jangan dibiarkan sekumpulan kecil manusia yang tamak dan haloba ini menentukan masa depan negara kita.

Perlu diingat kita tidak mempunyai tempat atau negara lain untuk tinggal. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Mereka yang telah menjadikan keluarga mereka kaya raya boleh mencari bumi lain untuk dipijak dan menjunjung langit ditempat dan wilayah yang lain.

Apa pun Najib perlu bersara dahulu, kalau boleh dalam kadar yang segera. Itu dahulu.

22 January 2015

Kembali kepada tempat kita mula melakukan kesalahan dahulu, insyaallah jumpa penyelesaiannya

Ramai yang meminta saya memberikan komen tentang tuduhan atau pandangan setengah pihak yang Najib dan Anwar akan berkompromi dan kompromi itu adalah semata-mata untuk menyelamatkan tengkok masing-masing. Saya bukan orangnya yang pandai menelah dan membuat andaian yang betul dan tepat seperti setengah orang lain, tetapi di dunia ini tidak ada yang mustahil, apatah lagi apabila bercakap tentang kuasa dalam kerajaan negara dan negeri.

Anwar sememangnya ketagih untuk menjadi pemimpin. Jika Najib selalu berkata, ‘at all costs we must retain Putrajaya’, Anwar juga begitu. Anwar akan buat apa sahaja untuk mendapatkan kuasa. Perhubungan di antara beliau dengan Pakatan Rakyat itu adalah ‘marriage of convenience’ dan beliau sanggup bersama parti-parti dan pemimpin yang beliau musuhi dengan kuat semasa lampau. Bagi politik baru ini, ia adalah satu situasi yang realistik. Berkawan hari ini bermusuh esok hari.

Najib pula sedang berada dalam keadaan yang sangat susah kerana beliau bukan sahaja mempunyai terlalu banyak ‘perkara’ yang beliau hendak tutupi, beliau juga tidak mempunyai kekuatan sokongan ramai lagi sedangkan beliau belum puas untuk berkuasa lebih lama. Mahu tidak mahu Najib tidak lagi dihormati oleh pemimpin dalam BN dan UMNO, beliau juga bukanlah pemimpin yang disayangi oleh rakyat yang ramai.

Banyak tanda-tanda yang menunjukan yang beliau sudah hilang segala sokongan, yang hanya tinggal kepada beliau hanyalah kuasa eksekutif yang diperguna habis-habisan untuk mengekalkan kuasa. Secara ‘conclusive’ nya Najib sudah hilang segala-gala yang perlu bagi seorang pemimpin Persekutuan Malaysia ini.

Kita wajar memahami yang jawatan Perdana Menteri Malaysia adalah jawatan yang boleh memasukkan ke dalam dan mengeluarkan seseorang dari penjara. PM Malaysia mempunyai kuasa yang lebih besar dari seorang Presiden Amerika Syarikat (AS). Mahu tidak mahu kita sedang memerhati dan mencari sebab kenapa keputusan Mahkamah Persekutuan tentang rayuan Anwar dalam kes Sodomi 2 masih tidak dilakukan oleh Mahkamah Persekutuan itu.

Kedua-dua Najib dan Anwar pendeknya adalah dua orang pemimpin ‘desperado’ dan kebarangkalian mereka untuk berkompromi semata-mata untuk kepentingan mereka berdua itu tetap ada. Hanya samada mereka berjaya untuk berbuat demikian sahaja yang menjadi persoalan sekarang. Mereka bukan mahu memikirkan apakah ‘consequence’ nya terhadap nasib siasah dan kerajaan negara ini. Yang penting bagi mereka ialah kuasa dan cara berpolitik sebegini sememangnya ‘attribute’ kepimpinan yang sangat tidak bermoral.

Kalau benar mereka adalah dari gulungan pemimpin yang bermoral, takkanlah seorang mengalami ‘dipatuk ular dua kali dari lubang yang sama’, dan seorang lagi sudah menjadi bahan cacian rakyat di merata-rata tempat. Tetapi tolak lah isu ini ke tepi dahulu.

Bagi saya tidak akan ada persefahaman di antara Najib dengan Anwar tetapi ramai yang suka untuk melihat dan mengkaji apakah implikasinya jika teori kompromi Anwar/Najib oleh beberapa orang pemerhati politik tanahair itu benar? Jika ia benar, maka apa yang blog ini telah selama ini sudah menjadi kenyataan. Sekarang sudah lengkap masing-masing pihak ada masalah untuk di tutupi dan masing-masing menggunakan isu yang sama di antara satu pihak dengan satu pihak yang lain. Apa yang kita lakukan yang tidak baik ia akan akhirnya timbul kerana jika kesalahan itu besar tidak ada apa yang boleh menutupinya. Bagaimana 'bangkai gajah hendak di tutupi dengan nyiru'?

Kalau kita mempunyai pengalaman tidur di padang pasir kita akan mendengar dentuman kuat di mana-mana pada tengah malam kerana batu-batu pejal itu pecah oleh kerana perbezaan dan perubahan suhu yang mendadak di antara siang hari dengan malam hari. Ia merupakan ‘physic and geographical principle’ yang sangat mudah difahami Apa yang berlaku sekarang ini 'ibarat batu-batu pejal yang pecah ditengah padang pasir'. Apabila batu-batu pejal itu pecah maka apa-apa kesalahan yang kita sangka boleh ditutupi oleh batu-batu pejal itu akan terbongkar akhirnya.

Masing-masing mempunyai pengetahuan yang luas tentang diri-diri di antara mereka. Masing-masing boleh berkata kepada pihak yang bertentangan. “I know what you did last summer”. Seperti yang saya selalu katakan mereka ini adalah hasil dari acuan yang sama. Bentuknya sama, rasanya sama, nilainya sama dan isinya pun sama. Kalau tidak sama masakan mereka berbalah di antara satu dengan lain dengan melemparkan tuduhan yang masing-masing penyumbang kepada masalah yang negara hadapi sekarang.

Kata orang 'keruh di hulu, keruh di hilir'. Kalau tidak ada kesalahan yang dahulu masakan ada kesalahan yang sekarang. Apa yang berlaku di antara kedua-dua belah yang berperang sekarang ini bukan tidak pernah dijangkakan. Kita boleh membaca dan mentelaah apa yang mereka lakukan dengan sengaja, maksud saya kerana politik peribadi yang mendahului politik bangsa dan tanah airnya.

Apabila telah merasakan bahana dari politik tidak jujur dahulu maka masing-masing menyalahkan pihak yang lain sedangkan apa yang dilakukan oleh mereka yang sedang mentadbir poilitik dan negara sekarang adalah hasil dari acuan yang telah mereka bentuk sejak tiga dekad dahulu. Tidak adalah yang salah dan yang benar di antara kedua-dua belah pihak yang sedang ‘berperang’ sekarang ini. Mereka adalah dari kelompok dan budaya yang sama dan mereka hanya mementingkan apa yang diperlukan oleh pihak masing-masing.

Itu sebabnya negara perlukan perubahan drastikdan kita perlu memulakan politik baru dengan situasi yang baru. Kita terpaksa memulakan negara yang baru, dan jika kurang dari itu kita tidak akan berjumpa jalan penyelesaiannya.

Kita berkata demikian kerana tiada apa yang akan kita jumpai yang baik selagi kita terbalut dengan elemen-elemen ‘greed, anger and foolishness’ seperti yang selalu saya sebutkan itu.

Kita perlu lepaskan diri kita dari pengaruh-pengaruh negatif yang saya sebutkan tadi yang telah menguasai diri pimpinan kita selama ini. Sekarang semua sudah merasakan akibah jika pucuk lalai dalam membentuk kepimpinan pelapis yang mempunyai roh perjuangan seperti yang telah dibentuk oleh pimpinan terdahulu. Suara-suara seperti ini telah diluahkan oleh ramai di antara yang insaf tentang kelalaian ini, tetapi pihak ini sentiasa diketepikan secara sistematik semata-mata kerana kepentingan jangka pendek peribadi yang tidak menguntungkan negara.

Akhirnya yang lalai ini jugalah yang sedang merasakan bahang dari permainan politik peribadi sejak puluhan tahun dahulu. Blog ini tidak jemu-jemu menyebut isu ini kerana ia adalah isu yang sebenarnya yang telah melanda kita semua sejak itu.

Jika kita benar-benar serius untuk melihat pembetulan maka caranya hanyalah untuk kembali ke tempat yang kita mula-mula melakukan kesilapan ini dan kembali kepada ‘basic’ perjuangan parti pemerintah dahulu.

20 January 2015

Peluang Najib disanjung rakyat masih ada jika....

“Najib has to immediately retire!” kata seorang pemimpin UMNO yang tidak mengizinkan saya menyebut namanya. Saya tidak faham kenapa pemimpin ini tidak mahu berkata secara terbuka. Saya sudah bersedia untuk menulis namanya tetapi oleh kerana menghormatinya sebagai seorang sahabat yang begitu lama saya mengambil sikap menghormati kemahuannya.

Inilah yang menjadi masalahnya dikalangan pemimpin UMNO, takut berkata benar seolah-olah nyawanya akan melayang jika didapati beliau berkata demikian oleh orang ramai. Ini jugalah masalahnya yang menyebabkan pemimpin yang sepatutnya pergi dan bersara masih kekal memegang kuasa tanpa pegangan yang kuat.

Tetapi bukan rakan Dato’ saya ini sahaja yang bersikap demikian, ramai lagi yang terkemut-kemut untuk berkata benar sedangkan mereka sendiri sengsara melihat perlakuan Najib dan keluarganya melakukan jenayah politik dan moral kepada negara. Sesungguhnya yang membuat banyak masalah ialah Najib, kerana masalah dari orang ramai itu boleh diselesaikan apabila mendapat gantian kepada Najib itu adalah pemimpin yang benar-benar pemimpin.

Untuk membetulkan kerosakan yang dilakukan oleh Najib bukan setakat boleh membiarkan apa kemampuan yang ada kepada Muhyiddin atau sesiapa dikalangan Naib-Naib Presiden parti. Seperti yang selalu disebutkan oleh blog ini, kali ini negara perlu memulakan dan membentuk ‘ambience’ politik yang baru, jangan lagi terlekat dengan budaya politik yang kita sedang lalui sekarang. Ia sentiasa membuatkan kehidupan rasa tidak berkeyakinan terhadap negara. Kita tidak ada negara atau wilayah lain untuk tinggal. Dimana bumi di pijak di situ langit di junjung.

Najib patut merasakan yang beliau sudah tidak dapat lagi menguasai sebuah kerajaan yang ‘viable’ untuk rakyatnya hidup dalam aman dan makmur. Najib perlu buktikan yang beliau sebenar-benarnya sayangkan negara dan tidak mahu rakyatnya menderita. Tumpukan tenaga melihat ke dalam dan berilah rakyat peluang untuk hidup tenang dan mempunyai pemimpin yang boleh meyakinkan mereka.

“I hope PM Najib will give the rakyat a break” kata seorang guru yang sangat prihatin terhadap apa yang sedang berlaku di negara ini. Najib boleh menutupi kegagalannya dengan bersara bersama barisan yang beliau lantik. Tindakan bersara itu sendiri adalah bukti yang beliau benar dan serius dalam mengambil hati rakyat. Tindakan Najib bersara akan dikenang oleh rakyat sebagai pengorbanan besar terhadap mereka dan sekali gus Najib akan dikenang juga sebagai seorang pemimpin yang mengutamakan rakyat lebih dari dirinya sendiri.

Seperti yang selalu disebut oleh blog ini berkorban untuk rakyat bukan sahaja dengan memegang jawatan tetapi bersara dari jawatan pun adalah pengorbanan. Bagi setengah pemimpin mereka memberikan pengorbanan kepada rakyat dengan memegang jawatan dengan penuh tanggungjawab dan setengahnya pula ialah dengan berhenti dan memberikan laluan untuk rakyat membetulkan sendiri dengan memilih pemimpin yang boleh memperbaiki keadaan ekonomi dan politik negara, berserta dengan budaya dan cara hidup mereka.

Kata perbilangan, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa. Jasa yang boleh ditinggalkan Najib ialah dengan bersara dan membantu mencari jalan untuk memperbetulkan apa yang tidak betul dalam negara ini.

Bersara dari jawatan itu merupakan tindakan lazim yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin yang bertanggungjawab terutamanya pemimpin-pemimpin dari negara maju dan berbudaya. Jepun menghadapi tindakan ramai perdana menterinya yang bersara setelah gagal untuk membetulkan kesilapan yang mereka lakukan. Di Korea beberapa orang Perdana Menteri nya berhenti dan bersara semata-mata untuk menjaga kepentingan negara yang mereka sayangi.

Justeru itu, jika PM Najib bertindakan drastik dan bersara semata-mata untuk negara, maka itu merupakan jasa yang amat sukar dilupakan rakyat dan akan terpahat dihati semua penulis sejarah negara untuk dibaca dan dihormati oleh generasi yang akan datang.

Seperti yang disebutkan dalam posting saya yang lepas, Hussein Onn sanggup berhenti, semata-mata kerana sebilangan kecil ahli-ahli UMNO yang tidak bersetuju dengan beliau dalam beberapa isu. Beliau bukan tidak boleh meneruskan pimpinannya kerana yang tidak bersetuju hanya segelintiran dari perwakilan UMNO sahaja yang bertindak memberikan sokongan kepada pencabarnya, Sulaiman Palestin.

Semasa Dr Mahathir mengambil alih jawatan dari Hussein Onn beliau sendiri telah berjanji akan bersara secara terhormat dalam perhimpunan agung 1981, tetapi malangnya beliau tidak berdaya untuk memenuhi janji-janji beliau itu walaupun pada suatu ketika beliau hanya mempunyai sokongan yang tipis sahaja.

Beliau terus sahaja memerintah sehingga 22 tahun lamanya dan bermula dari masa itulah budaya mempertahankan jawatan ‘at all costs’ itu mula bersemi di dalam parti UMNO itu. Inilah hasil yang kita dapati dari perubahan sikap dan budaya dalam kepimpinan parti itu.

Tetapi Najib mungkin boleh kembali memperkayakan budaya berhenti untuk rakyat itu seperti apa yang dilakukan oleh Hussein Onn dan sebelumnya oleh Tunku Abdul Rahman Putra-Alhaj.

Dalam situasi sekarang, Najib lah pemimpin yang paling luas peluangnya untuk disanjung oleh rakyat dengan cara bersara, terutamanya kepada generasi yang akan datang.

19 January 2015

'At all costs' nak kekalkan jawatan, biarpun negara hancur kerananya

Tekanan terhadap Najib untuk berundur semakin kuat kedengaran. Jika kita buat tinjaun di peringkat akar umbi amat susah mencari orang yang tidak bersetuju untuk Najib berhenti. Dikalangan ‘warlords’ dalam UMNO kini teraba-raba seolah-olah tidak mempunyai jalan lain selain dari memaksa Najib untuk bersara sahaja. Seboleh-bolehnya Najib tidak mahu bersara kerana bersara untuk kepentingan negara sudah tidak menjadi budaya dalam kepimpinan UMNO lagi.

Berlainan dari kepimpinan pra Mahathir di mana pemimpin mengutamakan perpaduan ahli-ahli parti dan rakyat. Jika pucuk pimpinan merasakan yang rakyat dan negara akan berpecah kerananya, pemimpin utama itu dengan senang hati mengundurkan diri. Semasa itu keutamaan niat dan matlamat seorang pucuk pimpinan itu ialah untuk mengekalkan negara berada dalam kesejahteraan.

Hussein Onn telah mengumumkan tidak mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan 1981 selepas sahaja beliau ditentang oleh Sulaiman Palestin pada tahun 1978. Dalam pertandingan itu Hussein telah mendapat kemenangan besar dan Sulaiman Palestin hanya mendapat lebih sedikit dari seratus undi sahaja dari 1200 orang perwakilan.

Tetapi apakah yang menyebabkan Hussein bertindak mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri pada tahun 1981 dahulu? Sebabnya ialah beliau tidak mahu UMNO itu pecah belah dan beliau telah merasakan walaupun hanya segelintiran yang tidak bersetuju dengan beliau sokongan terhadap beliau tetap tidak bulat untuk membolehkan pengekalan perpaduan dalam parti semasa itu.

Hussein mendapat tekanan dari Pemuda UMNO untuk bersara kerana isu Dato Harun Idris yang dianggap oleh ramai ahli UMNO khususnya pemuda telah sebagai satu penganiayaan terhadap Harun semasa itu. Pemuda berkeras untuk membela Dato Harun dan telah memutuskan untuk menandingi Hussein dalam pemilihan pada tahun 1978, tahun mana Husein sedang mendapatkan ‘endorsement’ sebagai Presiden parti itu setelah memangku jawatan itu sejak Januari 1976 selepas kematian Tun A Razak.

Usaha Pemuda semasa itu mendapat sokongan Timbalan Presiden secara senyap-senyap semasa itu, iaitu Dr Mahathir Mohamed yang tatkala itu sudah mahukan jawatan Presiden parti itu untuk beliau sendiri. Oleh itu pertandingan Sulaiman Palestin dengan Hussein Onn itu membuatkan Dr Mahathir berjaya mendapatkan jawatan Presiden itu lebih mudah setelah Hussein mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden parti dalam pemilihan berikutnya iaitu pada tahun 1981 dahulu.

Persoalannya ialah kenapa begitu mudah Hussein mengalah dan memberikan laluan kepada Dr Mahathir begitu senang tanpa sebarang masalah yang membawa UMNO itu kepada perpecahan? Jawapannya mudah kerana pemimpin semasa itu hanya mahu melihat negara aman melalui perpaduan kepada parti yang memerintah, UMNO ketika itu. Hussein mahu pun Tun Razak sebelum itu tidak menganggap meletakan jawatan itu sebagai perkara yang payah untuk dilakukan kerana yang hanya ada dalam jiwa dan benak mereka hanyalah keamanan dan perpaduan rakyat dan tidak mahu melihat negara dibawa kepada arah tuju yang boleh membawa perpecahan negara.

Pemimpin semasa itu tidak memikirkan masalah keluarga dan menganggap bersara dari jawatan itu sendiri adalah pengorbanan terhadap rakyat dan negara. Mereka lebih menumpukan usaha untuk meninggalkan nama yang baik dan tidak mahu  sejarah membaca mereka sebagai seorang pembawa masalah kepada negara. Kenapa mereka mampu untuk menjiwai nilai ini? Sebabnya mudah kerana mereka tidak memikirkan laba dan keuntungan peribadi dan keluarga atau harta benda yang berbillion ringgit.

Apabila mereka berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini, mereka mengambilnya sebagai kejayaan peribadi yang sangat berharga untuk dibawa mati, tanpa sebarang persoalan dan persepsi buruk semasa meninggalkan dunia ini. Mereka mengambil mencapai ‘ultimate perpaduan nasional’ itu sebagai ibadah yang dituntut agama dan bangsanya. Lagi pula mereka mahukan kehidupan yang tenang semasa waktu-waktu sisa-sisa hidup didunia ini. Mereka takutkan kepada generasi yang akan datang yang akan membaca sejarah buruk untuk mereka.

Semuanya ini sudah hilang dan tidak lagi wujud elemen mulia ini dalam kepimpinan negara. Kepimpinan sekarang dari semua pihak sarat dengan kepimpinan yang berpandukan kepada kemahuan peribadi dan kepimpinan negara begitu sarata dengan mereka yang hanya menumpukan tenaga mereka untuk menjadi ‘social climbers’ semata-mata.  Mereka adalah dari gulungan yang terlalu banyak kekurangan dalam diri mereka. Mereka tidak lebih dari orang ramai dibawah ini, termasuk diri saya sendiri yang hanya layaknya hanya menjadi pendukung perjuangan dan bukannya untuk menjadi pemimpin.

Itu sebabnya diantara mereka atau ahli keluarga mereka apabila sampai kepuncak mereka mengambil kesempatan untuk menggunakan apa yang ada dihadapan mereka untuk diperguna dengan habis-habisan tanpa menimbangkan moral terhadap tindakan mereka. Yang berangan selama ini untuk menjadi ‘jet setters’ akan menggunakan kesempatan untuk terbang kemerata dan seantero dunia dengan jet-jet kerajaan dan semuanya ini dibayar oleh rakyat.

Pimpinan seperti ini juga tidak mahu mengambil segala ‘accountability’ di atas segala kesalahan dalam menggunakan wang kepunyaan rakyat terhadap kononnya pelaburan untuk negara. Kerugian yang melibatkan kerugian berpuluh-puluh billion ringgit di dalam setiap kes ‘misadventure’ sudah menjadi lazim dan tidak dianggap sebagai bersalah lagi.

Mereka masih selamba melekat kepada kerusi dan jawatan yang penting negara itu. Yang masih menjadi Perdana Menteri tidak mahu dialih dan dianjak, yang menjadi Menteri Dalam Negeri tetap memberikan alasan ‘cock and bull stories’ dalam mempertahankan kesalahan moral dan politik yang mereka lakukan. Tidak ada bentuk kesalahan yang boleh membuatkan mereka mengambil ‘accountability’ dan berhenti sahaja dari jawatan sandangan mereka.

Selalunya pemimpin yang tidak berkemampuan dan lemah tetapi masih ingin untuk berjawatan penting itu adalah mereka dari jenis yang tebal kulit mukanya. Itulah ‘attribute’ penting dalam kepimpinan hari ini baik dari pihak kerajaan mahupun dari pihak yang membangkang.

Tidak ada lagi pimpinan yang terasa yang mereka perlu meletakan jawatan kerana kekal dengan jawatan mereka itu akan memecah dan merosakan negara sehingga ia tidak dapat diperbetulkan lagi.

Mengikut dan mencontohi Hussein Onn tidak menyelerakan bagi pemimpin hari ini kerana tidak dapat kepentingan dan laba yang bertimbun. Kadangkala hendak salahkan orang lain pun susah juga, kerana anak kepada Hussein itu sendiri pun tidak mahu menghargai jiwa dan semangat bapanya itu.

Kita pinjam kata-kata Najib yang sangat popular, ‘at all costs’ kerusi di Putrajaya itu masti dikekalkan, walaupun ia menjahanamkan budaya politik yang bermoral.

18 January 2015

Peperangan media di antara puak Mahathir/Daim dgn Najib itu, peperangan terhadap diri sendiri

Tidak ada siapa yang tidak bergaduh sekarang ini. Pergaduhan berlaku di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat. DAP membangkang pengenalan hukum hudud di Kelantan kerana tidak pernah dipersetujui dalam manifesto bersama pakatan pembangkang itu. Sekarang DAP pula mahu mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan yang tidak pernah dibawa berbincang dalam Pakatan dan PAS tidak bersetuju tindakan DAP itu. Sekarang PAS menuduh DAP 'cakap tidak serupa bikin'.

Kini Pakatan pembangkang seolah-olah sudah tidak wujud lagi pada hakikatnya dan masing-masing membuat kerja masing-masing dengan hala tujuan masing-masing. Dalam pihak kerajaan pula berlaku pergaduhan besar dalam MIC dan berlaku pergeseran di antara parti-parti dalam BN itu. UMNO tidak lagi sekuat dahulu yang mampu menguasai hala tuju BN itu.

UMNO kini bergaduh sesama sendiri. Puak bekas Perdana Menteri bergaduh dengan puak Perdana Menteri sekarang, Najib Tun Razak. Setelah menerima kritikan yang kuat dari pihak Tun Mahathir, maka pihak Najib pula telah mendapat nasihat dari seorang yang hanya dikenali sebagai HR dalam usaha memberikan tentangan terhadap kritikan pihak Dr Mahathir. Seorang yang bernama HR sebagai mana yang disebut oleh A Kadir Jasin dikatakan begitu berpengaruh dan segala arahannya terhadap media-media massa perdana untuk mengkritik Dr Mahathir, Daim Zainduddin dan Kadir Jasin sendiri.

Sekarang di antara pemimpin dan mereka yang rapat dengan kuasa dalam UMNO dan BN itu sedang bergaduh sesama sendiri dan masing-masing mengeluarkan kelemahan pihak yang berlawanan itu. Pertembungan di antara puak Dr Mahathir/Daim dan Najib dikatakan oleh setengah pihak sebagai ‘bontot kuali mengatakan bontot belanga hitam’. Masing-masing mendiami rumah kaca dan elok jika masing-masing tidak melontar batu ke rumah kaca lawan.

Semuanya sudah terburai dan ingatlah, perlakuan buruk kita tidak akan dapat dipengapkan selama-lamanya. Tiba masanya ia akan terbongkar dan akan diketahui umum juga. Yang paling mengelirukan kita, kedua-dua belah pihak bercakap tentang kesejahteraan rakyat dan menentang semua bentuk kezaliman dalam kerajaan dan negara.

Sekarang kedua-dua belah pihak sedang bergaduh dikhalayak ramai seperti 'janda tua bergaduh sambil menyinsing kain dikhalayak ramai dikampung-kampung dahulu'. Masing-masing membontotkan pihak lawannya sebagai tanda benci dan dendam masing-masing terhadap pihak lawan. Sekarang ini kita mulai nampak apa yang ada disebalik kain mereka.

Kita lihat seterusnya apa yang berlaku di antara kedua-dua belah pihak ini dalam sehari dua ini. Kedua-dua belah pihak semakin hari semakin terbawa-bawa dengan amarah masing-masing dan mereka ini jugalah yang mengaku diri mereka sebagai pejuang kepada rakyat dan negara sedangkan sebenarnya mereka sedang mempertahankan 'lopak dan laba' masing-masing itu.

Saya mengambil ini sebagai isu hari ini kerana saya sudah lama menulis tentangnya. Selalu saya perkatakan akhirnya masing-masing tidak akan mampu bertahan dengan ego masing-masing kerana masing-masing mempunyai saham dalam menjadikan negara kita dalam keadaan sekarang ini.

Jika ada walaupun sebelah pihak sahaja yang benar-benar jujur terhadap rakyat yang dipimpin mereka tidak akan berlaku bergaduh sambil ‘menyinsing kain’ seperti sekarang ini. Tentulah pihak yang benar tidak akan memberikan respon yang sama seperti pihak yang lagi satu. Pendeknya apa yang dikatakan oleh puak Kadir Jasin terhadap Najib itu semuanya benar, dan apa yang diperkatakan oleh Najib terhadap pihak Dr Mahathir, terutamanya Daim itu semuanya benar.

Dalam pergaduhan ini Najib nampaknya kesaorangan kerana tidak ada seorang Menteri pun yang tampil secara terangan mempertahankan Najib, kerana mereka tahu jika Najib berundur akhirnya mereka secara ‘collective’ mesti berundur sedangkan banyak laba yang akan hilang jika Najib berundur. Mereka bukan mahu berkorban untuk rakyat walaupun itulah yang mereka laungkan dalam politik ini.

Tidak ada juga pihak yang mengiyakan apa yang di sebut oleh Dr Mahathir terhadap Najib kerana rakyat yang berfikir akan mengakui, ‘there must be a cause for a cause’. Kalau tidak kerana berlindung dibawah kuasa Mahathir dahulu masakan Najib akan wujud dan timbul sebagai pemimpin besar negara? Kalau tidak ada lonjakan oleh Mahathir masakan Pak Lah dan Najib muncul di pesada kepimpinan negara dan melakukan kerja yang sangat tidak selari dengan kehendak Dr Mahathir sendiri?

Inilah padah yang di perolehi oleh Dr Mahathir kerana terlalu kuat memelihara orang yang lemah untuk menggantikan beliau. Sekarang oleh kerana Najib dan Pak Lah dahulu lemah maka mereka ini tidak mampu untuk menunjukan kepimpinan mereka untuk mempertahankan atau untuk menutupi tindakan dan salah laku Dr Mahathir sendiri.

Dulu Dr Mahathir tidak percaya kepada orang yang bernas dan cerdas untuk berada bersamanya dalam kepimpinan negara. Bagi beliau memilih orang yang cerdik dan bernas untuk mengiringi beliau itu merupakan satu tindakan 'membela harimau' pada Dr Mahathir. Mahathir memilih untuk bersama dengan pengampu dan pendokong membuta tuli mereka dan Mahathir sendiri tidak sedar apa kah ‘consequence’ nya membela dan mewariskan kepimpinan kepada pengampu dan yang pandai menggeli pundi-pundinya sahaja.

Sekarang kita semua sudah mempelajari satu pelajaran yang sangat berguna kepada mereka yang mampu belajar dari kesalahan orang lain. Kita sekarang sudah belajar dengan jelas yang jika kita melonjakkan dan menaikan mereka yang lemah, kelemahan mereka itu tidak akan membantu untuk kita semasa kita bersara. Pemimpin yang lemah selalunya akan terbekal secara ‘natural’ dalam diri mereka dengan tiga racun berbisa yang akan membinasakan mereka sendiri, iaitu ‘greed, anger and foolishness’.

Bagi seseorang yang mempunyai tiga unsur ini di dalam diri mereka tidak akan terjumpa waktunya mereka akan mengambil tindakan yang betul terutamanya terhadap kepentingan rakyat dan negara. Unsur-unsur inilah yang menonjol sejak kepimpinan Dr Mahathir.

Oleh kerana wujudnya tiga unsur beracun itulah yang menyebabkan sejak kepimpinan Dr Mahathir Mohamed, tidak ada pemimpin yang sesuai lagi untuk negara dan ini dibuktikan oleh ‘frustrations’ Dr Mahathir terhadap mereka yang beliau lonjakan dari Musa Hitam kepada Najib yang memimpin pada hari ini. Bukannya kita yang menuduh Dr Mahathir dalam isu ini, sebaliknya Dr Mahathir sendiri yang menyerang semua mereka yang beliau sayangi yang beliau guna untuk beliau jadikan ‘pelapik’ beliau seperti yang saya selalu sebutkan selama ini.

Seperkara yang kita mesti akui jika kita ada sedikit ‘spiritual value’ dalam diri pemimpin kita, kehidupan mereka terutamanya semasa alam persaraannya akan aman dan tenteram. Tetapi oleh kerana kita terlalu kosong dalam diri kita ini, maka malang datang menghimpit dan merasakan kehidupan tidak pernah merasakan kepuasan dan sentiasa berada dalam kemurungan dan sifat amarah itu tetap menguasai kehidupan kita.

Tetapi kita juga percaya, tidak akan datang kebaikan jika kita tidak lalui keperitan. Tidak akan datang yang enak jika tidak datang kepayahan terlebih dahulu. Tidak akan dapat menghargai hidup dalam kejujuran jika kita tidak melalui zaman kita hidup dengan bisikan khatir yang akan sentiasa menyesatkan kita terutamnya apabila kita sampai dan menghampiri akhir kalam.

Bak kata ulamak muktabar, jalan ke syurga itu 'berduri-duri dan beronak, jalan ke neraka itu penuh dengan roti dan keju'. Tetapi yang pastinya di pengakhir hidup kita biarlah kita dihormati dan disayangi oleh orang setidak-tidaknya di kariah kita. Adalah amat menyedihkan kita dihimpit dengan banyak masalah dalam akhir-akhir dan sisa hidup kita, sedangkan waktu itu adalah waktu yang kita dahagakan ketenangan hidup.

Baik pihak Dr Mahathir mahu pun pihak Najib. Sesungguhnya mereka sedang berperang dengan diri mereka sendiri. Peperangan melawan nafsu sendiri itu adalah peperangan yang tidak berkesudahan. Ia bermula sejak kita lahir sampai lah ke akhir kalam kita.

16 January 2015

Kalau Najib benar berjiwa besar dan sayangkan negaranya, berundurlah!

Kenapa Najib masih berkeliaran di Putrajaya lagi? Kesalahan yang macam mana yang membolehkan seseorang Perdana Menteri dan kabinetnya meletakkan jawatan? Tidak kah cukup lagi dalil-dalil dan sebab-sebab kenapa Najib dan seluruh barisan kabinetnya yang gagal sekarang ini untuk meletakkan jawatan?

Cuba kita sebutkan apakah yang baik yang telah Najib lakukan yang membolehkan beliau kekal duduk di Sri Perdana itu? Najib mempunyai imej seorang Perdana Menteri yang tidak bertanggungjawab kerana beliau tidak mempunyai roh kepimpinan yang betul dan secocok dengan kemahuan negara dan rakyatnya.  Najib telah gagal segagal-gagalnya untuk mentadbir politik dan negara walaupun beliau telah melalui segala-gala laluan dalam kepimpinan parti sejak memasuki politik pada tahun 1976 yang lalu.

Datang dari keluarga yang pejuang pun dan di tambah dengan pelajaran luar negara sekali pun tidak dapat menggilap beliau sebagai pemimpin yang mempunyai roh yang sesuai dan secocok untuk negara yang kosmopolitan ini. Najib tidak mampu untuk belajar baik dari kesilapan sendiri mahu pun dari kesilapan orang lain dan pendeknya beliau hanya mempunyai kulit yang cantik dan kehidupan yang senang dari keluarga seorang Perdana Menteri.

Segala yang dilaungkan dan dilancarkan secara ‘ambitious’ untuk kemajuan negara semuanya gagal dilaksanakan dan beliau tidak dapat menghampiri cita-citanya untuk menunjukan kelainan dari pimpinan terdahulu. Beliau tidak dihormati oleh rakyat kerana beliau sendiri tidak mampu untuk menghormati diri beliau sendiri sebagai seorang pemimpin yang sepatutnya bertanggungjawab dan prihatin terhadap kemahuan dan keperluan rakyat pimpinannya dan kerajaan yang diketuainya.

Jika sudah sampai ketahap ini maka tidak ada sebab untuk beliau dan pimpinan dalam kabinet beliau kekal dan masih berkeliaran di Putrajaya melakukan semua yang tidak digemari rakyat. Mereka ini menjadi masalah kepada negara dan tidak tahu bagaimana mereka boleh dan mampu untuk menyelesaikan masalah rakyat dan negara sedangkan mereka sendiri adalah penyumbang kepada masalah yang negara hadapi kini.

Najib telah gagal dalam segala-galanya dan untuk terus menjadi ketua kerajaan merupakan satu tindakan yang menzalimi rakyat dan dirinya sendiri. Jika Najib bersara ia boleh membuka ruang bagi mencari penggantinya yang boleh dianggap mempunyai 'stature' yang baik untuk meneruskan mentadbir dan membina negara ini ketahap yang lebih tinggi lagi.

Jika Najib bersara tentulah ia diikuti oleh barisan kepimpinan dalan kabinet sekali kerana kegagalan Najib itu juga adalah kegagalan keseluruhan barisan kabinet itu. Itu sememangnya biasa kerana kabinet yang ada itu adalah lantikan Perdana Menteri yang gagal itu. Kegagalan Najib itu adalah kegagalan seluruh ahli-ahli jemaah kabinet itu. Itu adalah ‘collective responsibility’ yang digunapakai oleh kebanyakan kerajaan di negara-negara maju.

Najib sendiri mesti mencari ‘instruments’ demokrasi yang ada jika mahukan perubahan dan ianya perlu dilakukan oleh Najib sendiri jika beliau mempunyai jiwa yang besar dan ingin melihat negaranya maju ke hadapan. Jika beliau mempunyai jiwa yang besar beliau tidak akan membiarkan negara menjadi begini kucar kacir dan membawa kerosakan negara semata-mata kerana tidak mahu berganjak dari jawatan yang disandangnya sekarang ini.

Adalah wajar bagi Najib dan barisan kabinetnya untuk mengembalikan kuasa kerajaan kepada Majlis Raja-Raja  misalnya dan Majlis Raja-Raja memilih sesiapa yang beliau anggap sebagai orang yang di yakini baginda untuk mentadbir negara buat sementara bagi memulakan sebuah negara baru dan akhirnya membawa negara kepada ‘ambience’ politik yang baru dengan semangat yang baru untuk rakyat mengharapkan perubahan dan meninggalkan masalah-masalah yang mereka hadapi sekarang jauh dibelakang.

Mungkin Ahli-Ahli Dewan Rakyat boleh memainkan peranan yang besar dalam perubahan yang amat diperlukan ini. Lupakan cara pemilihan seorang Perdana Menteri secara konvensyen sekarang ini, dalam mana sesiapa sahaja yang menjadi Presiden UMNO itu adalah otomatik menjadi Perdana Menteri. Perlembagaan memperuntukan seseorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti walaupun dengan ‘simple majority’ itu boleh dijadikan Perdana Menteri termasuk yang menjadi ahli UMNO itu sendiri.

Perubahan ini amat diperlukan kerana jika tidak ada perubahan dalam jangka masa yang terdekat ini, ramai merasakan kita akan ditadbir oleh mereka yang tidak berjiwa seperti kita dipimpin oleh hanya jasad yang tidak berjiwa lagi. Kita semua tahu apa yang akan berlaku selepas ini jika tidak ada perubahan itu.

Kita mahu melihat seseorang yang mampu melakukan sesuatu yang tepat dalam kita menghadapi kejatuhan ringgit Malaysia yang sangat mengerikan ini. Kita mahu di pimpin oleh seseorang yang mahir dalam mengendalikan negara dalam waktu kejatuhan harga minyak yang mendadak sejak dua bulan lepas. Kita mahu dipimpin oleh seseorang yang berpijak diatas bumi yang nyata.

Kita mahu dipimpin oleh seseorang yang ‘realist’ dan mengakui kita wajar hidup dalam keadaan aman bersama-sama rakyat berbilang kaum yang saling hormat menghormati di antara satu dengan yang lain. Kita mahukan negara menjadi sebuah negara dalam mana ia tetap dengan perjuangan yang ‘ultimate’ iaitu untuk mencapai ‘national unity’ yang abadi tanpa ada sesiapa yang mempersoalkan budaya dan hidup beragama masing-masing.

Yang lebih penting lagi kita mahu seorang yang memimpin negara yang boleh mendidik pimpinan yang rasuah itu adalah satu budaya dan kerja yang amat hina di sisi apa sekali pun lebih-lebih lagi di sisi agama dan budaya kita. Kita mahukan pemimpin yang memahami dalam erti kata yang sebenarnya yang rasuah itu adalah lebih hina dari seseorang yang memakan daging saudaranya sendiri.

Kita mahukan seorang pemimpin yang boleh mengisi kembali roh keluhuran dalam mentadbir negara. Kita perlu mencari pemimpin yang tidak merelakan pimpinan negara di setiap peringkat mengambil yang salah itu sebagai benar dan mengambil yang benar sebagai salah.

Kita perlukan kepimpinan baru yang mampu untuk kembali kepada ‘basic’ kepimpinan. Semuanya tidak ada dalam ‘set’ kepimpinan hari ini dan untuk kembali kepada yang ‘basic’ itu tadi. Ia memerlukan pengorbanan yang besar dari semua pihak termasuk dari mereka yang sedang enak dengan kuasa dan glamor sekarang ini.

Bagi Najib dan barisan kepimpinan hari ini, mereka hanya ada satu cara sahaja untuk menunjukan yang mereka sanggup berkorban untuk negara, iaitu berundur dan memberikankan kepada yang berkelayakan untuk menjadi pemimpin negara dan negeri.                                                                                                  

13 January 2015

Akhirnya Azilah dan Sirul ke tali gantung juga

Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan ‘verdict’ gantung sampai mati kepada ketua inspector Azilah Hadari dan korporal Sirul, dalam kes pembunuhan Altantuya Shariibu seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi empat tahun dahulu. Ini bermakna Mahkamah Persekutuan telah menolak keputusan membebaskan mereka oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 dahulu.

Akhirnya isu ini telah selesai kerana kedua-dua yang didapati bersalah kerana membunuh wanita Monggolia itu yang telah mendapat liputan yang begitu meluas diperingkat antarabangsa yang telah membabitkan nama Perdana Menteri Najib Razak dalam isu ini.

Undang-undang tetap undang-undang. Yang bersalah tetap bersalah tetapi apa yang memusykilkan dalam kes ini ialah dalam perbicaraan di setiap peringkat Mahkamah tidak timbul persoalan tentang motif pembunuhan itu. Motif pembunuhan itu amat perlu diketahui Mahkamah dan rakyat, kerana kita perlu mengetahui kenapa dua orang penguatkuasa undang-undang negara yang perpangkat rendah itu boleh membunuh seorang wanita yang mereka tidak pernah mengenalinya dan tidak mempunyai apa-apa perhubungan perniagaan atau sosial di antara mereka.

Baik dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi mahu pun di Mahkamah Rayuan tidak timbul persoalan kenapa mereka membunuh Altantuya ini dan siapa yang menyebabkan mereka melakukan pembunuhan itu. Pihak pendakwa seolah-olah mahu mengelak untuk membabitkan isu motif pembunuhan itu dan ini amat menyangsikan pihak yang meminati untuk mengikuti perbicaraan ini.

Kedua-dua penguatkuasa undang-undang negara ini tidak pernah mengenali sigadis Altantuya ini, tetapi mereka melakukan pembunuhan secara kejam sehingga menggunakan C4 dalam pembunuhan itu.

Tidak tahulah keadaan sebenar dibelakang tabir tetapi ia telah diputuskan oleh Mahkamah. Mempersoalkan keputusan Mahakamh adalah salah tetapi yang nyata ramai yang tidak tahu kenapa dan mengapa kedua-dua orang anggota keselamatan ini melakukan pembunuhan terhadap orang yang mereka tidak pernah mengenalinya. Tetapi mungkin oleh kerana slogan 'Malaysia Boleh!' yang membolehkan seseorang itu membunuh orang yang mereka tidak kenali dan pernah berhubung secara sosialnya.

Itu persoalan yang tidak akan terjawab walaupun kedua-duanya mungkin sudah tiada nanti. Ramai memahami persoalan ini tidak akan ada yang menjawabnya kerana ‘avenue’ untuk mencari jawapannya sudah tiada lagi.

Hanya ‘universal law’ akan memberikan penghakimannya, tidak tahu bila, tetapi ia akan ia tetap akan sampai..

11 January 2015

1MDB: Kita tunggu kenyataan Bank Negara yang tak kunjung tiba itu

Tanggal 31 Januari akan sampai dan itulah tarikhnya 1MDB perlu membayar hutang RM2 billion kepada tiga buah bank di Malaysia. Pembayaran itu sepatutnya diselesaikan pada penghujung tahun 2013 lagi tetapi telah diberikan tempoh setahun lagi untuk membayarnya, iaitu pada penghujung tahun 2014 yang lalu. Tetapi 1MDB masih gagal untuk membayarnya dan telah dipanjangkan lagi tempoh pembayaran itu kepada 31hb Januari yang hampir tiba.

Sejak setahun yang lepas 1MDB telah pergi ke merata-rata memohon pinjaman untuk mengembalikan wang yang sepatutnya dibayar kepada tiga buah institusi kewangan negara tetapi telah gagal untuk mendapatkannya.  1MDB sampai ke hari ini masih lagi belum dapat melunaskan hutang yang tertangguh sebanyak RM2 billion itu dan ini memaksa Bank Negara Malaysia untuk melakukan sesuatu.

Apakah bentuk tindakan BNM terhadap 1MDB itu tidak pasti lagi tetapi isu pinjaman 1MDB yang tidak berbayar ini sudah pasti menjejaskan badan-badan kewangan negara dan BNM bertanggungjawab untuk mencari penyelesaiannya. Isu ini bukannya isu yang kecil kerana ia boleh melumpuhkan sistem kewangan negara dalam situasi negara sedang menghadapi krisis ekonomi dan kepimpinan yang amat genting sekarang ini.

Kejatuhan harga minyak mentah yang begitu teruk dan ditambah pula dengan kejatuhan nilai ringgit berbanding dengan banyak matawang antarabangsa ini tetap akan menjejaskan ekonomi negara dengan kadar yang amat mengeri dan menakutkan. Kepimpinan negara sedang menghadapi krisis dalam semua bidang dan ini merupakan keadaan yang akan memaksa rakyat dan negara terutamanya kepada pimpinan semua pihak mencari jalan penyelesaiannya secepat yang mungkin.

Yang pastinya pembaik pulihan ini tentunya memerlukan pemimpin yang memahami keadaan ekonomi dan memahami cara penyelesaiannya yang betul. Ia memerlukan seorang pemimpin yang 'berstature' seorang ‘planner’ yang berpengalaman dan ini sahajalah caranya bagi kita boleh mencari penyelesaian dan menjadikan masalah yang kita hadapi ini menjadi sejarah.

Jika 1MDB tidak dapat membayar kembali hutang dari tiga buah institusi kewangan di negara ini, maka yang terbeban dengan masalah salah pengurusan 1MDB ini ialah bank-bank yang memberikan pinjaman dahulu, iaitu Maybank, CIMB dan RHB. Kerugian yang bakal di alami oleh bank-bank tersebut sudah tentunya memberikan impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara dan ini adalah satu kesilapan yang sangat ‘unnecessary’ yang kita semua hadapi.

Penubuhan 1MDB ini dari awal lagi telah dipersoalkan oleh ramai. Tetapi pimpinan Najib terlalu angkuh dan tidak memikirkan pandangan pakar-pakar bidang ini kerana Najib lebih berusaha untuk menunjukkan kelainan dari pemimpin yang terdahulu dalam bidang ini, bidang yang telah jelas merupakan bidang yang beliau terlalu kecil pengetahuannya.

Rakyat ramai sedang menunggu tindakan susulan yang bakal diambil oleh BNM dalam usaha penyelesaian hutang 1MDB ini. Yang jelas kini kita mesti akui yang persetujuan mana-mana pihak untuk memberikan pinjaman kepada syarikat ini adalah didasarkan kepada prestasi pengurusannya dan bukannya dari kekuatan pengaruh politiknya. 1MDB telah pergi ke merata pelusuk dunia untuk mendapatkan pinjaman bagi membayar apa yang sepatutnya dibayar kepada bank-bank tempatan yang telah tertambat dengan masalah 1MDB ini.

Bagi sebuah syarikat sebesar 1MDB ini, mendapatkan pinjaman sebanyak RM2 billion ini sepatutnya tidak menghadapi masalah. Tetapi kenapa semua institusi kewangan antarabangsa tidak mahu memberikan pinjaman kepada syarikat ini, tentulah semua tahu jawapannya yang sebenar. Reputasi dan prestasi syarikat ini telah dipersoalkan bukan sahaja oleh masyarakat korporat tempatan tetapi juga oleh pihak ‘investment bank” tetapi juga oleh seluruh masyarakat korporat yang professional.

Masalah yang dihadapi oleh 1MDB ini pada pandangan ramai merupakan katalis kepada kejatuhan barisan pimpinan hari ini, bukan setakat Najib seorang, kerana semua tindakan ini adalah keputusan bersama oleh jemaah kabinet negara kita. Untuk menjawab persoalan yang sedang dihadapi oleh kerajaan pimpinan hari ini, ia tidak boleh diberikan tanggungjawab menjawabnya hanya kepada seorang Timbalan Menteri seperti Ahmad Maslan. Memberikan Ahmad Maslan untuk menjawab persoalan ramai itu, hanya akan menambahkan rasa kurang keyakinan terhadap ketelusan pengurusan syarikat ini.

Kita juga tidak kurang ramainya sedang menunggu jawapan dari Menteri-Menteri yang dikatakan mempunyai latar belakang sebagai ‘investment banker’ seperti Khairy Jamaludin. Tetapi Ketua Pemuda itu masih senyap dan sunyi berhubung dengan isu ini. Minggu lepas Bank Negara telah berjanji untuk membuat pengumuman penting tentang isu 1MDB dengan hutangnya ini, tetapi sehingga hari ini BNM masih lagi belum membuat apa-apa pengumuman dan rakyat masih tertanya-tanya kepada keadaan yang sangat meruncing ini.

Kerugian ini merupakan kerugian yang lebih besar dari kerugian yang dialami oleh Bank Negara pada tahun sembilan puluhan dahulu dalam perniagaan pertukaran wang asing. Dalam isu itu Bank Negara telah kerugian ‘operational’ sebanyak RM36 billion dalam mana Bank Negara telah menjual banyak aset untuk mengumumkan pengurang kerugian kepada RM9 billion sahaja semasa itu.

Negara telah beberapa kali mengalami kerugian yang melibatkan puluhan billion ringgit dan sekarang ini kerugian sebesar itu sudah menjadi perkara biasa bagi kerajaan yang mentadbir kita pada hari ini.

Itu sebabnya saranan berbagai pihak untuk Najib dan barisannya meletakkan jawatan dan berundur sejak dari dulu adalah saranan yang sangat tepat kerana sekarang sememangnya sudah tidak ada sebab kenapa mereka tidak berundur lagi. Tenyata segala-gala yang mereka lakukan semuanya menghadapi masalah yang akhirnya rakyat ramai yang membayar semua kerugian ini.

Sampai bila kita perlu menahan kesabaran menghadapi isu-isu seperti ini?

08 January 2015

TDM mewariskan pemimpin-pemimpin pelapik, bukan pimpinan pelapis

Najib adalah seorang Perdana Menteri yang paling tidak secocok dengan keadaan dan situasi di negara ini. Berbagai-bagai isu dilemparkan terhadap beliau termasuk lemparan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir tentang perilaku Najib yang tidak sensitif dengan keadaan politik negara ini. Apa pun isu yang dibesarkan terhadap beliau tidak menampakkan yang beliau sedar yang beliau merupakan seorang pemimpin yang paling tidak bertanggungjawab dalam sejarah negara, tetapi beliau tetap dengan sikap bebalnya.

Beliau merasakan tidak ada siapa yang mampu menahan beliau dari apa yang beliau hendak lakukan atau yang dilakukan oleh isterinya. Beliau seperti seorang maharaja yang besar dan kesangsaraan rakyat tidak membuatkan beliau hari ini menjadi pemimpin yang lebih baik dari semalam. Malahan beliau bertambah bebal dan menganggap isu yang dimainkan rakyat itu tidak akan membawa apa-apa ‘consequence’ kepada beliau.

Diharapkan kepada sesiapa yang telah membentuk kepimpinan Najib pada hari ini akan merasakan kekesalannya kerana memberikan laluan kepada pemimpin yang sudah tidak sedar akan apa yang beliau lakukan setiap masa dan waktu itu. Beliau seolah-olah sedang mabuk dan tidak menyedari apa yang beliau lakukan terhadap negara. Seorang pemabuk selalunya akan melakukan apa yang beliau suka tanpa merasa bersalah.

Isu beliau sentiasa segar, silih berganti setiap minggu dan bulan. Kadangkala beberapa isu datang sekali gus terhadapnya. Dalam keadaan negara dilanda banjir beliau masih bermain golf dengan pemimpin dan mentornya Obama dan setelah sedar beliau kembali tetapi jet mewah kerajaan yang membawa beliau ke Hawaii itu tidak pulang bersamanya tetapi jet itu telah terbang mengelilingi dunia dari AS ke Dubai, Bangkok dan seterusnya kembali ke negara.

Siapakah yang menggunakan jet tersebut sudah diketahui umum dan perlakuan membelanjakan wang rakyat yang sedang sengsara sekarang masih dilakukan seolah-olah wang itu adalah wang emak atau bapanya serta datuk neneknya.

Najib merupakan seorang Perdana Menteri yang paling mahal untuk ditanggung oleh rakyat.dan jika beliau lebih lama duduk di kerusi Perdana Menteri itu kita akan menanggung bebanan besar untuk menurut kemahuan nafsu dan kehendak beliau.

Tetapi entah apa sebabnya tiada seorang pun yang berbunyi dan memberikan teguran dari kalangan ahli-ahli jemaah kabinet negara mahupun dari parti yang beliau ketuai. Selagi tiada tindakan dilakukan terhadap Perdana Menteri ini, selagi itulah negara akan dibebankan dengan masalah besar yang tidak akan dapat diselesaikan.

Sebagai Menteri Kewangan, kita juga mahu tahu apakah tindakan beliau dalam menghadapi penurunan nilai ringgit dipasaran wang antarabangsa. Semalam ringgit sudah mencecah ke peringkat RM3.55sen bagi setiap dollar Amerika, malahan dalam pertengahan dagangan semalam ia pernah mencecah ke peringkat RM3.59 bagi satu dollar Amerika.

Kejatuhan harga minyak mentah Brent telah turun ketahap USD 53 dan ini semua perlu pencerahan dari Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri yang tidak lekat di negara ini. Beliau berada luar negara tanpa hentinya. Apakah agenda beliau dengan kekerapan keluar negara sekarang ini, hanya beliau sahaja yang boleh menjawabnya.

Presiden AS pun tidak keluar negara sekerap Perdana Menteri Malaysia. Perdana Menteri China pun tidak keluar negara sekerap Najib. Sikap buruk Perdana Menteri sudah sampai ke tahap yang tidak boleh dibiarkan lagi dan mereka yang boleh melakukan apa-apa tindakan untuk menyekat sikap buruk Perdana Menteri ini harus melakukan sesuatu untuk kebaikan negara.

Berada di luar negara dengan alasan melakukan diplomasi melalui permainan golf ini merupakan satu alasan yang tidak boleh diterima. Jika golf itu menjadi tumpuan beliau beliau sepatutnya bersara sahaja dan berikan tumpuan terhadap golf sahaja. Moga-moga tidak berapa lama dari sekarang beliau boleh menjadi pemain golf professional dan boleh menyertai European PGA atau US PGA dan beliau akan tetap mendapat perhatian dunia dalam permainan golf professional itu.

Beliau seolah-olah mahu lari dari tanggungjawab membetulkan keadaan negara dalam situasi politik dan ekonomi dunia yang tidak menentu ini. Di manakah slogan-slogan besar ciptaan beliau berada sekarang. Di mana slogan rakyat didahulukan itu? Di manakah slogan pencapaian diutamakan itu. Di manakah perginya ETP dan banyak lagi program yang beliau umumkan setiap bulan dahulu? Di manakah pencapaiannya? Bagaimana dengan NKRA beliau sendiri dan bagaimana pula prestasi barisan kabinet beliau?

Setakat manakah pencapaian matlamat untuk menjadikan negara ini negara maju dengan penadapatan yang tinggi menjelang tahun 2020 itu? Sekarang kita sudah berada dalam tahun 2015. Rakyat masih susah dan apakah formula atau magik yang akan beliau lakukan untuk mencapai pendapatan purata rakyat sebanyak USD 15 ribu setahun itu?

Rakyat sudah terlalu kenyang dengan janji-janji Najib selama ini? Najib sudah hilang kawalan terhadap negara dan kini seolah-olah kita tidak mempunyai kerajaan yang mentadbir rakyat dan negara lagi.

Najib bertindak dan bercakap tidak berpijak kepada bumi yang nyata. Najib seolah-olah sudah menjadi ‘makhluk perosak’ kepada negara kerana setiap perlakuannya membuatkan rakyat tidak senang duduk dibuatnya. Sememangnya kita tahu yang Najib itu seorang yang lemah dari dulu. Tidak pula kita menyangka yang beliau begitu teruk dan tidak mempunyai apa-apa nilai kepimpinan bagi negara majmuk seperti negara kita ini.

Siapakah yang menjadikan Najib pemimpin dahulu sepatutnya merasakan yang sudah sampai waktunya untuk melakukan sesuatu bagi menolak ketepi Najib ini. Bagaimanakah pemimpin yang membina Najib sampai ke hari ini boleh lelap dan nyenyak tidurnya, tidak dapat kita ketahui.

Dalam isu kelemahan kepimpinan hari ini mungkin Najib tidak bersalah keseluruhannya, mungkin yang paling bersalah ialah pemimpin yang membiarkan dan membantu Najib naik ke tangga politik sampai tahap yang tertinggi ini.

Orang yang saya maksudkan itu ialah Tun Mahathir. Tidak pula diketahui samada TDM sedar yang beliau tidak mempunyai banyak waktu untuk membetulkan kesalahan beliau membina seorang demi seorang pemimpin yang tidak memberikan faedah kepada negara ini.

Malahan kepimpinan beliau telah mewarisi kepimpinan acuan beliau yang tidak mempunyai apa-apa nilai kepimpinan kerana mereka itu bukannya pemimpin tetapi hanyalah barisan pengampu dan pembodek semata-mata. Penulis-penulis sejarah akan mempunyai banyak modal untuk menulis tentang warisan Dr Mahathir kepada kita sekarang ini.

Masalahnya, Dr Mahthir tidak membina kepimpinan pelapis untuk negara. Apa yang beliau lakukan ialah hanya membina pemimpin pelapiknya sahaja. Akhirnya barisan pelapik inilah yang menguasai negara, dan inilah yang kita rasai sekarang.

07 January 2015

Isu banjir: kita hanya mampu berdoa dan bermunajat sahaja

Banjir telah berlaku dalam kadar yang sangat besar dan yang belum pernah kita alami sejak puluhan tahun dahulu. Hujan lebat telah mengakibatkan banjir yang sangat besar itu dan apa yang kita mahu tahu kenapa ia berlaku dengan begitu besar sehinggakan ia idak dapat mengawal kerosakan harta benda rakyat dan awam dan kos kerugian tentunya melibatkan puluhan billion ringgit.

Kenapa begitu. Bukankah hujan lebat terutamanya dipantai timor itu sememangnya merupakan fenomena tahunan dan tidak pernah ia tidak berlaku sejak dari dulu. Jika dahulu banjir dijadikan pesta untuk kanak-kanak dan dewasa bermain air, kini banjir telah menjadi ganas dan memusnahkan apa sahaja yang ada kepada rakyat yang terlibat, tidak kira mereka kaya atau pun miskin.

Sejak Adam dan Hawa lagi hujan sememangnya turun dengan kadar yang besar disetengah tempat tetapi kenapa kali ini ia turun tetapi memusnahkan harta benda rakyat dan harta awam dengan begitu besar? Kenapa air yang turun itu tidak terkawal lagi arusnya dan kenapa bumi tidak lagi dapat menampung hujan yang turun itu dan mengalir dengan deras ke lembah-lembah tempat kediaman manusia?

Jika dahulu air yang besar tidak mengalir dengan cepat ke lembah-lembah dan tanah yang rendah kenapa sekarang seolah-olah air itu tidak dapat menahan dari mengalir laju dan memusnahkan semua kehidupan dan ternakan serta harta benda umat yang berada dalam kawasan air bah itu?

Berbagai-bagai kenyataan kita dengari dari pihak kerajaan yang banjir itu adalah kerana jumlah air hujan yang turun itu terlalu besar dan itulah sebab utamanya kenapa banjir dan bah berlaku. Seperti yang disebutkan tadi hujan lebat itu bukannya datang kali ini sahaja. Hujan yang lebat itu datang sejak waktu Adam dan Hawa dijadikan Tuhan lagi dan sejak dunia ini wujud. Tetapi kenapa sekarang ini ia memberikan impak besar dan memusnahkan kehidupan orang ramai terutamanya dikawasan-kawasan yang terlibat.

Tuhan telah menyediakan tempat air yang jatuh melalui hujan itu dengan pasak-pasak bumi yang asli, iaitu pokok-pokok dan pohon yang rimbun untuk menampung jumlah air yang ditutunkan Tuhan itu. Itu sebabnya kita sejak dari dulu lagi telah memberikan peringatan yang kita tidak wajar melanggar kemahuan dan teguran Tuhan yang menebang serta menebas pokok-pokok dan pohon-pohon serta hutan rimba itu adalah salah dan berdosa besar.

Tetapi teguran dan pandangan pihak yang bertanggungjawab dan memahami sistem ekoloji bumi ini yang pembalakan yang terlalu berluas-luasa di negara ini akan akhirnya membawa padah yang tidak dapat diukur lagi jumlah kemusnahannya. Nyata sekali banjir ini adalah hasil dari kerja tangan manusia yang rakus dan menebang dan menebas pohon-pohon dan hutan belantara untuk mendapatkan laba besar hanya dengan menggunakan kekayaan sumber alam kita.

Pembalakan di negara kita ini dilakukan oleh semua pihak dan dari setiap lapisan sosial rakyat. Ia dilakukan oleh orang biasa sehingga kepada tahap sosial yang tertinggi iaitu yang mendiami Istana-Istana indah di negara ini. Tidak ada mana pihak yang mampu untuk menyekat mereka yang begitu berpengaruh ini dari menebang dan menebas hutan belantara, pasak bumi ciptaan Tuhan yang Maha Esa itu. Rakyat selama ini hanya melihat tanpa mampu berbuat apa-apa segala tindakan mereka yang berpengaruh dan berkuasa membotakkan hutan belantara di negara ini.

Jika rakyat biasa seperti kita ini membuat kenyataan yang membangkang tindakan mereka ini, kita juga yang akan menerima hukuman dan padah dari mereka yang berkuasa ini.

Bukan rakyat tidak tahu yang sebahagian dari hasil dari pembalakan ini dihabiskan ditempat-tempat dan pusat perjudian yang terkenal di dunia ini, tetapi apakan daya, kata orang 'kita ini mentimun mereka itu pisau'. Apa pun timun jugalah yang menerima padahnya jika cuba untuk menegur dan menahan dari mereka yang berkuasa ini membotakkan hutan belantara ini.

Sekarang ini berbagai-bagai pihak sedang berusaha untuk membantu ratusan ribu manusia yang terlibat dengan bah besar ini. Tidak dapat dipastikan samada pemulihan keadaan dari kehancuran akibat banjir ini akan selesai sebelum banjir akan kembali tiba pada musim tengkujuh yang akan tiba lagi setiap tahun.

Akibatnya sekarang ini rakyat biasa berperang untuk menyelamatkan kehidupan mereka tetapi manusia yang menjadi penyebab kepada banjir ini bersuka ria dan berjoli di atas kesengsaraan rakyat yang ramai-ramai dalam kesusahan ini.

Kedatangan banjir kali ini ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Sedang rakyat bergawat dengan kos sara hidup yang tinggi dengan kedatangan GST dan berbagai-bagai lagi datang pula banjir yang telah meragut banyak nyawa dan menanggung kesusahan hasil dari banjir pula.

Setelah ‘ditimpa tangga’, apa pula yang akan menimpa kita selepas ini. Yang pastinya banjir dan bah akan sampai lagi pada penghujung tahun ini. Dalam pada itu hutan belantara masih rakus di tebang dan ditebas dan akan menyumbang lagi kepada pengaliran air yang tidak terkawal dalam jumlah yang lebih besar lagi.

Hanya Tuhan sahaja yang boleh membantu kita selepas ini. Kita memerlukan rahmat dan syufaat dari junjungan besar kita sahaja untuk memperbetulkan keadaan ini. Bila rahmat dan syufaat itu akan tiba tidak siapa yang tahu.

Kita hanya mampu berdoa dan bermunajat sahaja.Samada kita dapat memulihkan keadaan sebelum sampainya musin tengkujuh yang akan datang, sama-samalah kita tunggu dan lihat.