27 February 2016

Najib dan barisan pimpinan berjiwa fakir

Kita sedang tercari-cari (soul searching) pemimpin yang berkualiti dalam kepimpinan untuk mendapatkan sebuah negara yang terurus dengan kepimpinan lurus dan ‘magnanimous’. Saya menyebut isu ini kerana  apa yang sedang berlaku pada politik dan kepimpinan hari ini tidak mempunyai  sedikit pun unsur yang ada dalam kepimpinan pemimpin terdahulu yang pernah dialami oleh rakyat. Rakyat yang sudah berusia mungkin masih ingat bagaimana pucuk pimpinan dahulu tidak mengambil teguran sebagai kesalahan. Tetapi untuk mendapatkan kepimpinan seperti ini ia tentulah datangnya dari seorng yang jujur dan berjiwa besar dan perjuangannya semata-mata untuk negara dan tidak ada kepentingan peribadi.

Saya masih teringat lagi semasa isu mengeluarkan Singapura dari Malaysia walaupun saya semasa itu masih terlalu muda pada waktu itu. Semasa Tunku Abdul Rahman  mengambil keputusan untuk menolak Singapura dari gagasan Malaysia beliau mendapat tentangan dari Pemimpin Tertinggi UMNO sendiri dan pemimpin itu tidak lain dan tidak bukan adalah Tun Dr Ismail Abdul Rahman. Seorang lagi yang saya masih ingat ialah Syed Jaafar Albar. Kedua-dua pemimpin tersebut telah dengan cara terbuka telah menentang Tunku dan Tun Ismail yang bersifat tegas itu telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan tindakan Tunku itu.

Perkelahian ini tidak memecahkan UMNO kerana kedua-dua pemimpin ini hanya mempunyai kepentingan negara sahaja yang ada dalam jiwa mereka. Isu penolakan Singapura dari Malaysia ini merupakan isu yang besar tetapi ia tidak memecahkan UMNO. Tunku tidak memecat Tun Ismail kerana Tunku mempunyai jiwa besar dan tidak ada apa-apa kepentingan peribadi yang beliau hendak lindungi. Beliau tidak terlibat dengan rasuah berbillion ringgit, maka beliau mudah untuk membuat keputusan dalam hal kenegaraan. Beliau tidak perlu berlakon seperti pemimpin sekarang ini. Sehingga akhir hayatnya Tunku seorang yang lebih miskin dari waktu beliau belum menjadi Perdana Menteri.

Walaupun dalam perbezaan politik yang begitu besar Tunku tetap memahami jiwa Tun Dr Ismail dan akhirnya Tun Dr Ismail telah kembali kepangkuan rakan-rakan dan bersama Tunku setelah keadaan reda dan akhirnya Tun Dr Ismail telah menjadi Timbalan Perdana Menteri semasa Tun Razak mengetuai kerajaan Malaysia. Tunku dan Tun Razak dan seterusnya Hussein  Onn  tidak perlu menukar AG kerana kepentingan peribadi.  Pemimpin-pemimpin ini tidak perlu menguasai Ketua Polis Negara untuk mempertahankan mereka kerana mereka tidak mempunyai kesalahan ‘criminal’ yang mereka lakukan.

Tunku adalah orang yang ‘sporting’ dan memahami jiwa semua ahli Jemaah kabinetnya. Saya sendiri dapat berapat dengan almarhum Tunku semasa beberapa tahun akhir hayatnya semasa beliau dalam persaraan. Banyak yang beliau ceritakan kepada kami dalam siri mengulangi lawatan beliau semasa beliau sudah uzur dan tidak mempunyai penglihatan yang baik lagi. Tetapi pemikiran beliau tetap mantap dan ingat segala-gala yang berlaku semasa beliau menjadi PM.

Pernah beliau bercerita bagaimana bagaimana Tan Siew Sin, Menteri Kewangan,  datang menemui beliau untuk bercuti melebihi sebulan dan bertanya kepada Tunku siapa yang akan memangku Kementerian Kewangan. Tunku menjawab Siew Sin biarlah beliau sendiri (Tunku) memangku Kementerian Kewangan semasa ketiadaan Siew Sin. Siew Sin tidak bersetuju kerana beliau tidak berapa yakin Tunku boleh mengendalikan Kementerian Kewangan dan takut Tunku akan berbelanja banyak. Akhirnya Siew Sin hanya mengambil cuti pendek sahaja dan kabinet tidak perlu melantik   Menteri Kewangan.

Tunku tidak berkecil hati dengan Siew Sin kerana Tunku memahami sifat dan tanggungjawab yang dipegang oleh Tan Siew Sin. Malahan semasa bercerita kepada kami Tunku tidak berhenti ketawa bagaimana seronoknya beliau mempunyai ahli Jemaah kabinet yang jujur dan berterus terang dan Tunku tidak pula meminta Majlis Tertinggi UMNO atau Perikatan untuk membuang Tan Siew Sin seperti apa yang berlaku kepada Muhyiddin.

Berdasarkan kepada cerita pendek ini apa yang membezakan pemimpin dahulu dengan sekarang ialah tahap jiwa pemimpin itu. Tunku mempunyai jiwa yang besar sedangkan Najib mempunyai jiwa yang fakir yang tidak kisah dengan kehidupan yang bakal dilaluinya semasa persaraannya nanti. Najib terlupa satu anoloji. Dalam perlumbaan 100 meter yang penting ialah berjaya sampai kepenamat. Hidup manusia ini yang penting kita disayangi oleh masyarakat di kariah kita. Apalah gunanya hidup kaya raya tetapi dibenci masyarakat sekeliling kita. Kasih sayang dan hormat masyarakat itu adalah doa buat bekalan semasa kita meninggalkan dunia ini.

5 comments:

  1. Tepat sekali tuan...yang penting mati dengan hati yang tenang dan yakin menghadapi hari yang pasti. Sumpah seranah dan maki hamun rakyat terhadap kita tak akan membawa rahmat, tetapi bala. Biarkan lah badut2 UMNO begumbira buat sementara waktu di mukabumi ini. Jangan nyawa di hujung halkum atau sudah cacat sakit di hospital baru nak ingat tuhan.

    ReplyDelete
  2. Saudara Aspan

    Artikel yang bermutu dan terus kepada isu. Jika diimbau kembali ditahun 1975/76 Datuk Harun Idris sebagai MB Selangor yang juga Ketua Pemuda UMNO ketika itu (betulkan saya jika tersilap), telah dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah kerana melakukan pecah amanah wang Bank Rakyat dimana beliau juga adalah pengerusinya. Amaun yang terlibat hanyalah beberapa juta sahaja. Beliau melakukan pecah amanah itu pun bukan untuk kepentingan dirinya mahupun kaum kerabat atau kroni, tetapi hanyalah untuk melunaskan bayaran pertandingan tinju Mohammad Ali-Joe Bugner di KL setelah kutipan jualan tiket perlawanan tidak memberangsangkan. Demi untuk menjaga imej negara, maka beliau amat terdesak untuk menyelesaikan bayaran tersebut. Sungguhpun perlakuan pecah amanah bukanlah merupakan amalan yang boleh dibiarkan begitu sahaja, mungkin sedikit kredit boleh diberikan kepada beliau yang tidak mendapat sebarang keuntungan dari melakukan kesalahan tersebut hatta jika kesalahan itu tidak disedari oleh sesiapa sekalipun. Akhirnya beliau telah melunaskan kesalahannya dengan merengkok dalam penjara selain hilang beberapa kepentingan lainnya. Dengan pelaksanaan prinsip undang-undang terhadapnya, jenama UMNO ketika itu tidak langsung tercemar malah boleh dibanggakan. Tetapi dalam kes Najib sekarang? Bangkai!!!

    ReplyDelete
  3. Menjadi ahli Umno sungguh sungguh memalukan Dan menghinakan kerana kerenah pemimpinnya . Semua perangai buruk ada dengan mereka sanggup berbuat apa saja asalkan pegang kuasa untuk perkayakan diri sendiri. Tengok negara jiran sungguhpun mereka bukan berugama islam tetapi budaya mereka lebih bermaruah termasuk memurtabatkan undang2 demi menjaga negaranya. Sini semua dibuat asalkan kepimpinan dan kuasa dan budaya haprak dipertahankan . Rakyat yang dah mula ditekan ekonomi tidak langsung mendapat simpati kepimpinan sekarang masih lagi bercakap macamlah negara ini tidak menghadapi apa2 masaalah.
    Kalau bolih janganlah keluarkan cerita2 berkaitan Umno Dan pemimpin2 nya kerana ianya sungguh memuntahkan....haprak....

    ReplyDelete
  4. Assalammualaikum Sdra Aspan,

    Saya rasa sdra juga meyedari bahawasanya Ahli 'UMNO' itu hanyalah sebahagian dari rakyat Malaysia. Kita juga sedar bukan semua rakyat Malaysia itu terdiri dari ahli atau penyokong UMNO. Buktinya dapat dilihat dalam peratusan undi popular PRU lepas.

    Memang tidak dapat disangkal sebagai orang Melayu kebanyakan kita mahu hidup bersama UMNO yang sebangsa dan seagama hingga ke akhir hayat. Tetapi bukan ini gaya-lakunya sekarang!. Gara-gara perbuatan pemimpin negara yang seolah-olah tersesat haluan, maka sudah tiba masanya untuk kita mengubah hala.

    Untuk memperjuangkan hak rakyat atas bangsa, negara dan agama, perlu apakah TSMY atau siapa sahaja melakukannya melalui UMNO sahaja?. Bukankah segala usaha dan pandangan untuk memperbaiki telah menjadi sia-sia.

    Wassalam
    Saya anak Johor kelahiran 1947

    ReplyDelete
  5. Barisan pimpinan yang miskin hati, miskin jiwa, miskin akal; setiap kata dan tindakan mereka dirakam oleh rakyat yang rata-rata adalah lebih berpendidikan daripada pemimpin, rakyat yang sudah bijak menilai yang palsu dan yang tulen.

    ReplyDelete