27 May 2014

Kalau kebolehan hanya membangkang, teruskan jadi pembangkang, jangan jadi kerajaan

Pilihanraya Kecil Teluk Intan kian panas dengan kempen kedua-dua belah pihak yang ‘aggressive’ bagi mendapatkan undi dan sokongan. Masing-masing dengan hujah masing-masing. Dalam pilihanraya di negara ini ia adalah medan untuk berkelahi dan ejek mengejek diantara satu dengan lain. Tiada apa yang elok dipihak lawan dan tidak ada yang tidak elok dipihak sendiri.

Apa pun ia bergantung kepada pengundi untuk menentukan dipihak mana mereka hendak berikan undi pada 31hb mei nanti. Pengundi mempunyai banyak pertimbangan untuk melakukan pemilihan. Di Teluk Intan ini saya mempunyai banyak hubungan sejak dulu lagi kerana puluhan tahun saya bergiat dahulu. Saya hanya mendapatkan pandangan dari mereka yang saya kenal dan telah memahami sikap rakan-rakan disana.

Ramai juga diantara pengundi tidak mahu mengambil berat dalam PRK ini kerana mereka merasakan siapa pun yang menang ia tidak membawa perubahan kepada politik negara. Jika DAP memenanginya ia hanya meletakkan keadaan status quo dalam parlimen Malaysia. Ia tidak meempengaruhi 'equation' kekuatan mana-mana pihak dalam parlimen negara kita. Mereka beranggapan jika DAP terus memenangi kerusi itu ia tidak dapat menolak BN dari kuasa pemerintahan.

Tetapi jika BN yang menang ia boleh menambah satu lagi kerusi dan akan mengurangkan kerusi DAP dalam Dewan Legislatif itu dengan satu kerusi. Kumpulan yang berfikiran sedemikian mereka menyatakan kepada saya yang memberikan undi kepada BN mungkin boleh memberikan faedah kepada kawasan itu kerana BN akan tetap memberikan kalau tidak sepenuhnya apa yang dijanjikan calon BN, setidak tidaknya sedikit pun mereka akan dapat menuntut keperluan bagi rakyat kawasan itu.

Bagi setengah yang lain pula jika DAP memenangi dan mengekalkan kerusi Teluk Intan ini, kemenangan itu akan membuktikan yang gerakan untuk menghapuskan UMNO dan BN itu masih kuat. Tetapi kemenangan DAP itu mestilah melebihi dari kemenangannya dalam PRU yang lepas. Jika ia berkurangan maka ia membayangkan yang DAP pun sudah susut sokongan bukan sahaja di Teluk Intan, malahan ia juga adalah 'indicator' yang parti pembangkang itu sudah mula menghadapi hakisan sokongan dari rakyat.

Tetapi satu lagi pihak yang tidak mengambil tahu tentang pilihanraya ini kerana berbagai-bagai isu yang terkumpul dikalangan pihak pembangkang sekarang ini. Isu kekeruhan dalam pemilihan parti PKR telah membawa masalah kepada pihak pembangkang juga. PKR sedang bertarung sesama sendiri dengan berbagai-bagai tuduhan diantara penyokong pihak dan pemimpin yang mereka sokong dalam pemilihan itu. Sebanyak 35 cabang dan bahagian pemuda telah digantung dan penggantungan sebegini banyak cabang dalam PKR itu amat jelas memberikan kesan negatif terhadap DAP yang mewakili Pakatan Rakyat di Teluk Intan ini

Mereka memberitahu saya yang mereka tidak ambil 'pot' terhadap PRK ini kerana PR sedang menghadapi berbagai-bagai masalah melalui masalah yang dihadapi oleh rakan kongsi DAP, iaitu PKR. Bagi mereka jika kita hanya mahukan PR duduk dalam parlimen sebagai pembangkang ia tidak menjadi masalah, tetapi jika hendak mereka harapkan PR untuk dijadikan parti ‘alternative’, kebarangkalian keadaan itu akan berlaku sudah semakin jauh. Mereka mengakui yang DAP adalah pembangkang yang baik dan adalah baik jika tugaskan DAP itu sebagai pembangkang ‘in perpetuity’. “Kalau baik parti itu sebagai pembangkang tidak mungkin ia baik sebagai kerajaan” kata seorang pengundi yang agak terpelajar disana.

Saya mendapati yang kaum Cina tidak begitu bersatu seperti dalam pilihanraya umum yang lalu. Masih ramai kaum Cina yang tidak bersetuju dengan calon Melayu dan itu sememangnya sudah diduga dari awal lagi.

Bagi setengah kaum Cina pilihanraya kecil ini bukannya medan untuk mereka bergerak untuk menolak BN kerana kemenangan kepada DAP tidak akan mengubah keadaan negara. Maka mereka lebih mesra dengan pihak BN dan mengambil sikap untuk tidak mahu bermusuhan dengan parti kerajaan yang sedang memerintah buat masa ini. Mereka akan menunjukkan sikap mereka semasa pilihanraya umum yang ke 14 nanti.

Faktor positif terhadap BN pun ada, kerana begitu ramai pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang menjawat jawatan menteri sedang mundar mandir di Teluk Intan dengan berbagai-bagai janji dan mereka mempunyai kekuatan jentera kerajaan. UMNO mungkin lemah tetapi kelemahan mereka itu ditutupi oleh kekuatan pengaruh kerajaan yang ada kepada mereka.

Seperti yang kita tahu setiap rakyat terutamanya diluar bandar akan ditadbir oleh jabatan-jabatan kerajaan. Tidak ada siapa yang tidak ditadbir oleh kerajaan. Setidak-tidaknya mereka ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Bukannya mudah, walaupun bukan mustahil untuk memecahkan benteng UMNO yang begitu kuat dipedalaman yang mempunyai pengaruh dalam kehidupan rakyat ramai diluar bandar termasuk mereka yang mengundi di Teluk Intan.

Setakat ini DAP belum lagi dapat membersihkan imejnya sebagai parti untuk kaum Cinanya. Parti itu tidak mengambil kesempatan situasi sebelum PRU yang lalu untuk menunjukkan yang parti itu adalah parti berbilang kaum dan bukannya setakat satu baris ayat yang mengaku partinya sebagai parti berbilang kaum dalam perlembagaannya semata-mata. Mungkin mereka semasa sebelum PRU yang lalu sudah begitu yakin yang mereka akan dapat duduk di Putrajaya dan tidak perlu mengambil berat tentang isu keperbilangan kaum itu.

DAP terpaksa bermula dari awal kembali dan tindakan meletakkan Dyana sebagai calon itu merupakan satu usaha kearah membersihakn imej parti perkaumannya. Jika saya pengundi dan pemilih di Teluk Intan ramai yang tahu undi saya akan pergi ke Dyana, tetapi bukan saya yakin parti itu telah bersih dari imej parti kaum Cina, tetapi untuk mencuba sekali lagi samada parti itu serius dalam penampilannya sebagai parti berbilang kaum.

Elok Dyana itu menang, kerana kita juga ingin melihat sejauh mana seriusnya DAP dalam usaha menjadikan parti itu parti berbilang kaum dan bukannya parti yang dikuasai oleh kaum Cina semata. Walau bagaimana pun ia tidak akan dapat diketahui niatnya dan ia akan hanya diketahui apabila kita melihat senarai calon-calonnya dalam PRU yang akan datang. Melayu tidak kurang yang berupaya, terutamanya dikalangan yang muda-muda sekarang ini yang tidak mendapat tempat dihati UMNO.

UMNO tidak sehayun dan selenggang dengan keperluan sekarang ini yang mahukan penglibatan orang muda dalam politik negara kini. Dalam keadaan sekarang UMNO sudah ketinggalan zaman, tetapi jika DAP berkuasa pun ia juga akan menjadi seperti UMNO yang tidak dapat lari dari penyakit kronisma yang jauh lebih jelas dari UMNO.

9 comments:

Unknown said...

Dengan Nama Allah SWT
Setiap kekata Tuan dalam N3 tuan amat bernas tanpa tercela dalam uraian Parti Parti yang bertanding di Pilihanraya kecil Teluk Intan.
Kalah menang dalam pertanding adalah adat namun bak kata Abang Mat atau Mat Sabu andai kata DAP ( Pakatan Rakyat ) kalah dalam pilihanraya kecil mahupun Umum pasti mereka akan terima dengan aman
Akan tetapi andaikata Gerakkan ( BN) kecundang atau kalah dalam pilihanraya pasti akan lahir api kemarahan yang menjadi mangsa rakyat Malaysia . Apakah pemimpin Umno @BN akan terima kekalahan dengan redha??? Patut perkara yang ini lah harus di ulas dalam N3 Tuan Aspan Alias

Anonymous said...

Membangkang adalah perlu bagi mencapai satu keputusan yang munasabah dan tepat. Perasaan ingin membangkang perlu ada pada setiap individu ataupun kumpulan tertentu kerana ia boleh membawa kepada perubahan yang positif samada kepada individu ataupun masyarakat amnya. Begitu juga kepada parti politik, perlunya ada pihak-pihak yang membangkang kerana ia merupakan satu keadaan 'check and balance' kepada sesuatu keputusan ataupun tindak tanduk pihak pemerintah mahupun pembangkang. Oleh yang demikian, adalah tidak salah kita membangkang kerana ia adalah salah satu proses demokrasi ke arah kebaikan.

maae said...

Dalam ulasan ini saya berani nyatakan, dyana hanya kosmetik dap semata- mata. Cuma melayu dap enggan mengakui. Secaraa terang bukan dyana yang di wakilkan, kekuatan sebalik nya LKS ! Undi cina tetap kepada dap.

Berbalik kepada BN, memang agak ketinggalan mengendali senario politik. Tsunami cina masih berlaku. Hakikat nya keperluan asas mereka sudah di isi oleh BN. Dap hanya ' Penenggek Jalanan' kepada Umno, dan ahli-ahli serta penyokong melayu hanya 'Penenggek Jalanan' kepada Dap yang juga mereka panggil ' monet-monet ( monyet ) yang boleh di hambat dengan penyapu bila-bila masa. Ramai yang sudah di hambat sehingga mereka nilaikan 'dua puluh sen' sahaja.

boey said...

Benar Tuan kata....
Dap itu hanya bagus jadi pembangkang saja.

Dia tidak ada ciri sebagi parti layak untuk memerintah

Kalam Putih said...

Apabila Wanita Muslim mewakili DAP dalam PRK Parlimen Teluk Intan

Pencalonan Dyana Sofya dalam PRK Teluk Intan sebagai calon DAP bukan sahaja telah menimbulkan fenomenanya yang tersendiri tetapi yang lebih penting ianya telah memperlihatkan bagaimana sikap dan tolok ukur umat Islam khususnya para pemimpin dalam menilai situasi tersebut.

Ternyata sikap dan tolok ukur mereka tidak boleh lari daripada pemikiran berasaskan kerangka politik perebutan kuasa dalam sistem demokrasi. Segala-galanya adalah demi undi.

Pendirian, ketidaksetujuan, usaha dan sebagainya semuanya berpaksikan bagaimana undi itu harus dijaga dan ditingkatkan agar seteru politik dapat dikalahkan.

Artikel Penuh :
http://kalamputihmenuliss.blogspot.com/2014/05/apabila-perempuan-islam-mewakili-dap.html

Anonymous said...

Dlm tulisan AA ini, "kronisma" lebih sesuai digantikan dengan "nepotisma". Namun nepotisma dlm PR bukan macam nepotisma dlm BN. BN punya nepostima datang dengan kuasa menabur wang dan projek. Nepotisma dalam PR ialah nepotisma yang kalau perlu kita pandangan sudut islam, ialah nepotisma yang "harus".

sri hartamas

Anonymous said...

Kita selalu mendengar ucapan-ucapan pemimpin pas yang mereka menolak umno/bn kerana mengamalkan politik suku kaum(parti melayu) yang tidak berasaskan islam, mengamalkan hukum2 kafir (undang2 reid).Pas dikatakan berjuang untuk menegakkan hukum hudud sepenuhnya di malaysia.

Itu dulu...sekarang pas sudah jadi seperti mana umno juga, cuma hendakkan undi untuk memerintah...yg lain2 boleh di"kawtim" selepas menang.

Kemudian baru pemimpin pas tahu apa yg mereka laungkan puluhan tahun tidak dapat dilakukan jugak walaupun sekiranya pr yang memerintah..

Kita kuatir ahli2 politik Pas yang kurang matang akan mengulangi kesalahan pemimpin2 umno dizaman muda yang banyak berpoya-poya dengan rakan taulan sehingga mengabaikan makan minum anak-anak dirumah.

Sekarang anak2 sudah besar dan mahu itu dan ini, namum bapa sudah tua dan sudah tidak mampu sediakan itu dan ini...anak2 mahu cari sendiri tetapi pendapatan tidak cukup seperti zaman bapa..

bapa terlepas pandang sediakan "peluang" kerja selepas sekolah...anak2 terpaksa minta kerja dipremis rakan walaupun dahulunya bapa adalah tuan tanah kepada rakan tersebut....akibat banyak berfoya-foya, bapa sudah terlupa dia masih hidup ketika anak2 nya membesar...

Justru itu dari mengambil risiko orang muda yg sukar melayan nafsu rakan-rakan eloklah mengekalkan orang tua yg sudah insaf dan sekarang ini sepenuh masa di surau dan mesjid menjadi pemimpin
kita.

Unknown said...

Kalau masih ramai ahli yang layak di wakilkan tetapi masih juga nak amik anak beranak ,itu kategori nepotisme di haruskan rupanya..wahhh..jangan coba coba membuka gedung menjual agama..sri hartamas..rujukan mana kah itu?kena dgn situasi atau sekadar modal sekilas?

tebing tinggi said...


Kejayaan sesabuah kerajaan yang dipilih secara democracy ,bukan hanya bergantong kapada kemampuan kerajaan yang memimpin, bergantong kuat kapada pembangkang yang berkualiti.
Malang sekali di Malaysia ,menteliti pembangkang hanya mengkritik sahaja ,tidaklebih dari itu.
Rakyat selalu bertanya ,adakah kemampuan "mengkritik" menjadi keteria penting untok memimpin dan memberi kepimpinan yang lebih baik ?.

Kobau Den pon "mengkritik caro diolah" kalau Den buat silap ,Den kenolah selosai sendiri silop Den.