Cara sesebuah kerajaan untuk
kekal kuat dan tidak menghadapi tekanan dari demonstrasi jalanan dan sebagainya
ialah dengan memimpin negara mengikut kaedah dan cara yang telah ditetapkan
seperti mana yang kita terima semasa mencapai kemerdekaan dahulu. Mempertahankan
kerajaan bukan dengan menggunakan kekerasan tetapi sebaliknya dengan cara
memimpin yang berbudaya dan bersih dari perbuatan jenayah dalam mentadbir
kerajaan itu.
Jika kerajaan itu bersih dan
beretika kepimpinannya dan rakyat merasakan dengan sesungguhnya yang mereka
mempunyai hanya satu matlamat, iaitu untuk rakyat dan kemajuan negara, tidak
akan senang bagi pihak-pihak lain untuk menumbangkan kerajaan itu.
Apabila kelemahan kepimpinan itu
terlalu jelas maka akan mudah pihak lain untuk melakukan apa sahaja untuk
menumbangkan kerajaan termasuk melalui demonstrasi jalanan dan fitnah yang
keterlaluan terhadap kerajaan yang lemah itu. Semasa itu rakyat terutamanya
anak-anak muda akan mudah dipengaruhi oleh pihak lain yang berkepentingan
politik mereka dan anak-anak muda ini tidak akan ada masa untuk menilai apa
kebaikan dari pihak yang mereka sokong bagi menumbangkan kerajaan itu.
Saya maksudkan pihak yang
sepatutnya berwajib untuk mentadbir secara baik dan berhemah itu ialah kerajaan
UMNO pada hari ini yang tidak mampu menjaga ketelusan dan kejujuran memimpin
negara ini sejak tiga dekad dahulu. Apabila sebuah kerajaan itu mempunyai
persepsi yang kerajaan itu rasuah, tidak jujur kepimpinannya ditambah pula dengan
timbul dan wujudnya pemimpin-pemimpin yang tidak sepatutnya berada di sana .
Pastinya ramai di antara mereka
yang berada didalam kepimpinan sekarang ini tidak sepatutnya berada di atas sana kerana mereka
bukannya mendapat tempat kerana kepimpinan mereka, tetapi menaiki tangga
kepimpinan melalui kronisma dan nepotisma yang telah terbentuk sejak beberapa
lama dahulu.
Mereka yang sedang memimpin hari
ini bukannya mereka yang telah dibentuk untuk menjadi PELAPIS kepada pimpinan
yang utama, tetapi mereka hanya diambil menjadi PELAPIK kepada pimpinan yang
lemah dan tamak kuasa sahaja. PELAPIK-PELAPIK inilah yang terbina dikeliling
pimpinan yang tamak kuasa dan mereka ini menjadi benteng bagi pimpinan
yang ingin berkuasa tanpa halangan dari pihak yang ingin mempengaruhi
kepimpinannya.
Maka yang mewarisi kepimpinan itu
ialah pimpinan sekarang yang dahulunya menjadi pelapik semata-mata. Maka yang
memimpin sekarang adalah mereka yang terbentuk dari kumpulan pelapik itu dan
bukannya dari mereka yang telah terbentuk daya kepimpinan yang baik yang
digilap oleh pimpinan yang telus dan jujur.
Mereka ini tidak pernah berfikir
atau dididik untuk menjadi pemimpin justeru apabila kepimpinan itu bersara dan
berhenti, kumpulan pelapik ini mengambil alih pimpinan tanpa mempunyai roh
kepimpinan yang betul yang memahami apa yang mereka patut lakukan setelah
menjadi pemimpin. Mereka bukannya menaiki kepimpinan kerana kepimpinan mereka,
tetapi hanya mengambil alih kepimpinan hasil dari tugas melapik mereka dahulu.
Sekarang mereka menghadapi
masalah memimpin negara kerana mereka bukannya dididik untuk mentadbir negara.
Kelemahan ini diambil kesempatan oleh parti-parti yang mengaku sebagai ‘alternative’
dan boleh memberikan pilihan kepada pimpinan yang lemah ini, dan tidak ramai
yang memahami yang mereka ini juga datang dari lubang dan lubuk yang sama.
Kepimpinan hari ini menjadi ‘defensive’
dan tidak tahu untuk memberikan pencerahan apabila berhadapan dengan tekanan dan
desak anak-anak muda yang sedang dipengaruhi oleh pihak lain yang sama juga
nilai dan tabii politik dan kepimpinan mereka. Masing-masing pihak tidak
menumpukan matlamat utama bagi mereka untuk memimpin negara yang berbilang kaum
ini.
Masing-masing menuduh pihak lain
memainkan isu perkauman tetapi hakikatnya kedua-dua belah pihak mempunyai
kelebihan masing-masing dalam memainkan peranan dan bertindak mengikut alur perkauman.
Jika ada pun perbezaannya, satu pihak bercakap bergegar-gegar tentang perkauman
manakala satu pihak yang lain dengan secara sistematik dan tersusun memainkan
politik untuk kaum mereka semata-mata. Tanpa bercakap tentang perkauman tetapi
membuat keputusan mengikut alur dan sisip perkauman mereka sahaja.
Isu perkauman dan agama merupakan
isu yang paling mudah untuk diketengahkan sebagai isu politik kerana isu-isu
ini amat senang untuk memecahbelahkan rakyat. Dalam keadaan kelemahan
kepimpinan kedua-dua belah pihak mereka secara ‘natural’ akan menggunakan isu perkauman
dan agama ini. Mereka tidak mempunyai kudrat yang teguh untuk menjadi pemimpin
yang 'real' dan mentadbir negara mengikut lunas realiti politik dan kepimpinan
yang sebenarnya bagi negara berbilang kaum ini.
Itulah sebabnya saya tidak dan
belum lagi jemu meminta difikirkan untuk memulakan negara dengan politik yang
baru supaya kita terkeluar dari situasi yang tidak kunjung selesai ini.
Negara kita bukannya kekurangan
mereka yang berkepimpinan, tetapi mereka ini tidak lagi di dalam barisan
kepimpinan arus perdana kerana kepimpinan negara telah disaratkan oleh pemimpin
yang lahir dari kumpulan pelapik yang saya sebutkan tadi. Mereka bukannya
datang dari kumpulan pelapis tetapi hanya dari kumpulan pelapik sahaja.
Tun Razak dahulu semasa berkuasa
dan berpengaruh telah membina barisan pelapis yang baik untuk negara mengikut
fikiran beliau. Tun Razak telah mendidik dan menggilap Tengku Razaleigh, Dr
Mahathir dan Musa Hitam untuk diwarisi kepada negara untuk mengambil alih
kepimpinan beliau sesudah beliau tiada dan bersara.
Tetapi pembinaan kepimpinan yang
baik dan jujur ini telah dipesongkan oleh orang yang tidak disangka mahu memerintah
negara sebegitu lama sehinggakan mereka yang sama-sama digilap untuk memimpin
negara diketepikan begitu sahaja dan memilih untuk membina kepimpinan pelapik
beliau sahaja.